TRADISI PENGANUGERAHAN IJAZAH DALAM PENDIDIKAN ISLAM



Oleh : Dr. Mesut Idriz 

1.0 Ta’rif Ijazah
Perkataan ‘Ijazah’ berasal daripada bahasa Arab yang diambil dari kata dasar ‘ajaza’. Ibn Manzur mengungkapkan di dalam kitabnya Lisan al – ‘Arab dengan merujuk kepada ilmu etimologi , ia bermaksud bersandar di atas sesuatu sepertimana bersandar di atas kusyen.
 Imam an – Nawawi di dalam kitabnya at – Taqrib wa at – Taysir li Ma’rifati Sunan al – Bashir al – Nazir pula menyebut Kata Kerja ‘Ajaza’ merujuk kepada air yang digunakan untuk mengairi tanah lapang (seperti sawah) atau air yang menghilangkan dahaga seseorang . Akhir sekali, al – Fayruzabadi di dalam al – Qamus al – Muhit menyatakan ia bermakna untuk memberi kebenaran, lesen atau kuasa / hak .

Dari segi istilahnya, berdasarkan kepada Ibn Manzur, kata nama Ijazah merujuk kepada hak yang diberikan ke atas seseorang pelajar untuk menyokong ilmu pengetahuannya dalam sesuatu bidang. Bagi Imam an – Nawawi, para pelajar meminta profesor (pensyarah) untuk memberikan ijazah kepada mereka secara simboliknya untuk menghilangkan dahaga mereka terhadap ilmu pengetahuan. Dan bagi al – Fayruzabadi berhubung dengan pendidikan, ia merujuk kepada memberikan kebenaran untuk mengajar.

Istilah ijazah di dalam ilmu pendidikan Islam secara umumnya bermaksud lesen (kebenaran) untuk mengajar, dan secara khususnya ia merujuk kepada sijil yang dikeluarkan oleh seseorang profesor / pensyarah di dalam sesebuah institusi pengajian tinggi kepada seseorang pelajar yang mengikuti sesuatu kursus pengajian (dan akan dianugerahkan ijazah) berdasarkan penilaian profesor / pensyarah (yang mengajar kursus tersebut), dan juga kepada sesiapa (pelajar) yang difikirkan sudah cukup kelayakannya menyampaikan subjek (ilmu) yang sama kepada anak muridnya sendiri . 

Maka, ijazah dikeluarkan oleh seseorang tenaga pengajar (al – Mujiz seperti profesor, pensyarah, syeikh, guru dan sebagainya) yang menganugerahkan lesen (kebenaran) untuk memindahkan segala ilmu yang telah disampaikan.
Umumnya, ijazah mengandungi senarai tajuk buku / kitab atau kompilasinya serta subjek yang telah dikuasai untuk dipindahkan dan dengan itu,lesen (kebenaran) akan diberikan. Pemindahan dari tenaga pengajar ini boleh jadi dalam bentuk umum ataupun khusus.

Rangkaian pemindah (perawi) atau lebih tepat disebut sebagai sanad ini akan berakhir pada pengarang buku / kitab yang dipelajari, Nabi Muhammad SAW atau selain mereka .

2.0 Tradisi Penganugerahan Ijazah Dalam Dunia Islam dan Kepentingannya

Menurut tradisi kaum muslimin, orang yang paling berautoriti untuk menyampaikan (‘ilmu) adalah Rasulullah SAW, insan yang dipilih oleh ALLAH SWT untuk menerima wahyu, pengetahuan agama (‘ilmu) yang diperlukan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat; yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. ‘Ilmu ini dipindahkan secara lisan oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabatnya (ashaab, sahabah jama’ daripada saahib) yang kemudiannya disampaikan pula kepada at – Taabi’in dan kemudian kepada tabi’ at – Taabi’in. Begitulah seterusnya beberapa kurun sehingga sampai kepada para ulama’ (mufrad : ‘alim); sepertimana periwayatan hadith yang berkait dengan perkataan, perbuatan, taqrir dan sifat Rasulullah SAW yang juga disebut sebagai Sunnah. Method ataupun cara periwayatan ialah dengan mendengar hadith, membaca, menghafaz dan kemudian menyebutnya dengan kuat sepertimana cara Nabi SAW berhadapan dengan Jibril a.s ketika menerima wahyu pertama (al –Quran) daripada ALLAH SWT di Gua Hira’.

Ijazah dianugerahkan melalui dua cara; secara lisan and tulisan. Akan tetapi, jika di tinjau dari sudut sejarahnya, penganugerahan ijazah secara lisan lebih dipraktikkan berbanding secara tulisan . Sebelum ijazah mempunyai maksud yang luas, ia hanya berperanan sebagai salah satu dari lapan method dalam menentukan kesahihan periwayatan sesuatu hadith, dan akhirnya hadith dapat diklasifikasikan mengikut darjat kepercayaan (thiqah) seseorang perawi melalui ucapan mulut . Para muhadtihin adalah golongan pertama yang menggunakan istilah ini demi memelihara kepentingan ‘ilmu. Oleh kerana itu, merekalah Muslim yang paling awal menyedari kepentingan penulisan sesuatu ‘ilmu yang kemudiannya ia digunakan secara meluas di dalam bidang ‘ilmu yang lain .
Oleh itu, istilah pertama yang dikaitkan dengan ijazah berasal dari kata kerja “sami’ah” yang bermaksud mendengar. Kata terbitannya “sama’ “ telah digunakan di dalam pengajian hadith yang membawa makna ijazah pendengaran (ijazat as – sama’). Ijazah ini kemudiannya dikepilkan bersama di dalam buku / kitab atau penulisan – penulisan lain yang mengesahkan pemiliknya dan kemungkinan ada orang selain beliau dinamakan (di dalam ijazah) yang juga mempelajari material tersebut di bawah pengawasannya. Profesor / pensyarah akan membenarkan orang yang dinamakan itu menyampaikan segala kandungan buku / kitab atau ‘ilmu atas dasar beliau sebagai penulis buku / kitab tersebut atau sebagai salah seorang yang layak memberikan autoriti kepada orang lain. 

Elemen yang terkandung dalam ijazah pendengaran (ijazat as – sama’); antaranya penganugerah yakni profesor, pensyarah, guru, syeikh atau sebagainya yang dipanggil sebagai Musmi’, pembaca yang digelar Qaari’, orang yang mendengar – Saami’ dan penulis ijazah yang juga disebut sebagai kaatib, kaatib as – sama’, kaatib at – Tabaqah ataupun muthbit as – sama’ . Termasuk di dalam ijazah pendengaran ini adalah membaca teks atau menyebut dari ingatan. Pembacaan ini berkaitan sama ada yang berhubung dengan al – Quran ataupun hadith, kedua – duanya (mendengar dan membaca) saling berkait dan kadang – kadang menjadi sinonim antara qaraah dan sami’ah .

Ijazah dalam meriwayatkan hadith mengandungi memberi kebenaran kepada seseorang untuk melakukan perkara yang sama yakni meriwayatkan hadith kepada orang lain. Kuasa dan memberi kuasa untuk meriwayatkan adalah dua perkara yang boleh dipindahkan. Selain ijazah untuk meriwayatkan hadith, ijazah – ijazah dalam bidang lain turut mula meluas penggunaannya sepertimana lesen untuk mengajar hukum – hakam, al – Ijazah li at – Tadris. Dengan perkembangan fiqh (hukum – hakam), lesen bukan sahaja dalam memelihara hadith tetapi ia melangkah setapak ke hadapan dengan wujudnya lesen untuk mengajar .
Ijazah untuk mengajar ini dikeluarkan pertama kali di Baghdad seawal kurun ketiga Hijrah. Kemudian, pada kurun keempat, penggunaannya menjadi universal dalam prosedur pendidikan di seluruh tanah Islam. Selepas itu, ia berkembang pesat kepada subjek – subjek lain (selain agama) dan profesor / pensyarah akan menganugerahkan ijazah kepada pelajarnya yang mencapai tahap pencapaian yang sangat memuaskan dalam sesuatu kursus yang diajar oleh profesor / pensyarah terbabit. Semasa peringkat awal, ijazah (lesen) lazimnya ditulis di atas helaian kosong yang terdapat di dalam buku / kitab yang dipelajari .

a) Peperiksaan
Ijazah akan dikeluarkan setelah profesor / pensyarah berpuashati dengan pencapaian pelajar mereka di dalam ujian lisan yang diadakan. Pada peringkat pertama proses peperiksaan, para pelajar akan diuji dengan kemahiran berhujah dan berbahas untuk mempertahankan tesis atau sekumpulan tesis – tesis yang ditulis oleh mereka. Apabila terbukti kecekapan dan kepandaian mereka, ijazah (lesen) untuk mengajar hukum – hakam (fiqh) akan dianugerahkan kepada mereka. Perkembangan ijazah dalam bidang fiqh sejajar dengan perkembangan awal ijazah dalam bidang hadith. Peperiksaan juga mengambilkira buku / kitab yang dipelajari oleh pelajar. Sebagai contoh, Ibrahim b Makram al – Shirazi telah dianugerahkan ijazah mengajar hukum – hakam dan lesen untuk mengeluarkan fatwa oleh 2 orang profesor, pada masa yang sama juga beliau telah diuji oleh beberapa orang profesor berdasarkan kandungan buku – buku (yang telah dipelajarinya). Akhirnya, beliau dikurniakan ijazah untuk mengajar buku – buku tersebut .

b) Umur Pelajar ketika menerima Ijazah
Kebiasaannya, ijazah akan dikurniakan pada peringkat umur matang iaitu dalam lingkungan 30 – an, 40 – an dan ke atas disamping tidak dinafikan ada sesetengahnya memperolehi ijazah dalam usia masih muda. Ulama’ besar fiqh dari Syria, al – Awza’i telah mengeluarkan fatwanya dalam usia tiga belas tahun. Muslim b Khalid, salah seorang ulama’ besar mazhab as – Syafi’e telah dianugerahkan ijazah pada usia lima belas tahun. Tajud Din as – Subki pula mendapat ijazah untuk mengajar hukum – hakam dan lesen mengeluarkan fatwa pada usianya yang baru mencecah lapan belas tahun dan sebenarnya banyak lagi contoh yang seangkatan dengan mereka. Yang nyata, kemahiran mereka berhujah dan berbahas dikuatkan lagi dengan ingatan yang kuat .

Kesemua kes yang disebutkan adalah satu keadaan yang luar biasa. Apabila autorirti menganugerahkan ijazah menjadi hak peribadi, ia bergantung kepada seseorang profesor / pensyarah dalam mengeluarkannya. Sesetengah mereka begitu teliti dan sukar menganugerahkan ijazah. Sepertimana seorang ulama’ fiqh, Abu Ishaq Ibrahim b Yahya al – Dimashqi telah menjadikan para pelajarnya sangat sukar mendapatkan ijazah daripadanya, beliau sering ‘mengagalkan’ mereka dan mengatakan bahawa mereka belum lagi layak (memperolehi ijazah) . Begitu juga ‘Uthman b Sa’id Uthman Abu Umar dan lain – lain.

Namun, sebaliknya ada sebahagian pelajar pula sangat rendah diri dan menyatakan bahawa mereka belum lagi mahir dan layak untuk menerima ijazah, kerana memikirkan ia merupakan tanggungjawab yang amat besar untuk dipikul dan oleh sebab itu, mereka mengelak dari menerimanya, seperti kes Ibn Hubaysh, beliau berkata:”Wahai Tuhan, aku tidak layak menerima ijazah....”

c) Ijazah sebagai Hak Peribadi
Kuasa dan kelayakan (untuk menganugerahkan ijazah) hanya pada ‘alim,
iaitu orang yang paling faham dalam hal – ehwal agama, terutamanya pakar dalam hukum – hakam Islam, faqih (jama’ – fuqaha’). Apabila seseorang guru / syeikh / faqih mengurniakan ijazah kepada anak muridnya, dia sebenarnya menggunakan hak peribadinya yang sah dan kelayakan yang ada pada dirinya sebagai seorang individu bukannya mewakili mana – mana kumpulan guru / syeikh / pensyarah yang diletakkan di bawah satu fakulti (sepertimana sekarang). Jika ditinjau dari sejarahnya pada zaman moden ini, ijazah adalah hak peribadi individu untuk mengeluarkannya iaitu daripada seorang ‘alim kepada anak muridnya. Pemerintah dan pihak berkuasa tiada ada hak mencampuri urusan ini sekalipun dia seorang khalifah, sultan, amir, qadi dan lain – lain.

Islam tidak seperti gereja, tiada kuasa seperti paderi, tiada universiti dan tiada persatuan guru / syeikh / pensyarah untuk mengurniakan ijazah melainkan seorang guru / syeikh / pensyarah. Tiada seorangpun boleh memaksa dan menahan mereka daripada mengurniakan ijazah. Dengan ini, garisan agama dapat ditegakkan bukan melalui pemerintah, tetapi dengan kebijaksanaan para ulama’.

Tambahan pula, institusi yang dipunyai oleh ulama’ ini bebas dari kongkongan pemerintah dan tidak memerlukan kelulusan mereka untuk mewujudkannya (institusi). Sesungguhnya, pemerintah tiada hak mencampuri urusan memberi ijazah sekalipun dia mengasaskan sesebuah institusi terbabit (kecuali sekiranya beliau terbukti juga seorang ‘alim). Pendidikan Islam seperti juga Undang – undang Islam bersifat individu dan peribadi .

d) Jenis – jenis Ijazah
Terdapat 6 jenis ijazah dan disebutkan sepertimana di bawah :-
1. Ijazah Khusus : Ijazah ini dikurniakan dari orang tertentu kepada orang tertentu yang lain. Ada 4 asas yang terdapat pada ijazah yang paling berprestij ini; menyatakan nama profesor / pensyarah yang mengajar, nama pelajar, nama subjek / matapelajaran dan pengakuan (tenaga pengajar) dengan perkataan ‘ajaztu’

2. Ijazah Tidak Khusus : Ijazah ini juga menyatakan nama profesor / pensyarah yang mengajar akan tetapi nama subjek digugurkan atau tidak dinyatakan. Profesor / pensyarah akan menyatakan dengan lisan bahawa mereka (pelajarnya) dikurniakan kebenaran menyampaikan segala apa yang telah mereka pelajari daripadanya tanpa mengkhususkannya pada sebarang buku / kitab atau subjek 

3. Ijazah Umum : Nama profesor / pensyarah dinyatakan, akan tetapi para pelajarnya adalah dalam satu kumpulan dan tidak diperincikan nama mereka dan kebenaran secara umum diberikan kepada mereka untuk menyampaikan ilmu dalam sesuatu subjek

4. Ijazah dalam buku / kitab tertentu : Ijazah jenis ini sangat terperinci. Profesor / pensyarah memperakui pelajar tertentu telah tamat mempelajari sebuah buku / kitab daripadanya atau dia mengingati teks tertentu. Hanya setelah pelajar membuktikan kecekapannya akan dikurniakan ijazah ini

5. Ijazah melalui perutusan atau surat ; Ijazah ini hanya untuk pengajian hadith. Ia berlaku apabila seorang ‘alim menulis teks tertentu (hadith) dan menghantarnya kepada seorang atau lebih anak – anak muridnya, disertai dengan “perutusan / surat” yang memberi kebenaran kepada mereka meriwayatkannya kepada pelajar lain apa yang telah ditulis oleh profesor / pensyarah mereka

6. Ijazah Kehormat ; Ijazah ini hanya terhad untuk ulama’ sahaja, dan sering bertukar – tukar (ijazah ini) sesama mereka sebagai tanda hormat dan menghargai jasa mereka
Jika diteliti, kita akan mendapati setiap ijazah mempunyai perbezaan. Namun, satu karakter umum yang sama bagi ijazah – ijazah ini dan sepertimana yang disebut pada awal tadi ialah kesemuanya bersifat peribadi bukan institusi. Sesungguhnya, inilah kriteria pensijilan yang paling menonjol dan terkemuka dalam Pendidikan Umat Islam.

e) Kepentingan Ijazah
Nilai ijazah pada pelajar moden semasa zaman ketemadunan Islam sangat tinggi.

Kepentingan utamanya dapat disimpulkan kepada 5 perkara seperti berikut:-
i. Ijazah mengandungi banyak maklumat terperinci tentang biografi (Riwayat hidup) . Biografi seseorang tokoh / perawi yang meriwayatkan perkataan, perbuatan,sifat – sifat dan taqrir Nabi Muhammad SAW dengan disebutkan nama, salasilah, gelaran dan pekerjaan mereka, di samping guru – guru yang pernah mereka menuntut ilmu daripadanya. Inilah yang boleh dikatakan sebagai sumber terhebat dan terunggul dalam Bibliografi Islam.
ii. Ia mengandungi maklumat sejarah yang bernilai berkenaan ulama’ , aktiviti intelek mereka, cara mereka mempraktikkan ilmu, pandangan dan pemikiran mereka
iii. Ia juga memberikan maklumat yang banyak tentang bandar – bandar yang menjadi pusat pengajian ilmu dan intelek pada zaman tertentu
iv. Di samping itu, ia juga mendedahkan kepada kita buku / kitab yang sering dipelajari dalam sesuatu subjek / matapelajaran tertentu
v. Akhir sekali, gambaran yang boleh didapati daripada kewujudan ijazah ialah perkembangan akademik Islam dan ia menjadi asas kepada kemunculan idea – idea dan teori – teori baru

3.0 Kepelbagaian Ijazah
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini dalam pembahagian jenis – jenis ijazah terdapat satu jenis ijazah yang dikenali sebagai Ijazah Khusus. Ijazah ini telah tersebar penggunaannya dalam pelbagai cabang ilmu terutamanya hadith dan bidang – bidang yang lain seperti kaligrafi, tariqah (religious order), sufisme, puisi / sajak, kesusasteraan, sains perubatan dan sains Islam yang lain. Selepas perkembangan awal ijazah dalam sejarah Islam dipelopori oleh bidang hadith, pengijazahan dalam bidang yang lain mula wujud dan berkembang.

Bagi ijazah dalam bidang kaligrafi yang begitu banyak jenisnya akan dianugerahkan kepada pelajar oleh seseorang profesor / pensyarah untuk melayakkan mereka bekerja sebagai penulis khat, penyalin / pencetak dan kerani di dalam pejabat kerajaan. Beberapa contoh boleh dijumpai berdasarkan ijazah ini seperti dalam Muradi’s Silk al – Durar fi A’yan al – Thani ‘Ashar dan dalam Ugur Derman’s Hattat Icazetnameleri .
 Ramai pelajar berminat untuk mendalami ilmu kaligrafi Islam dan mendapatkan ijazahnya kerana menyedari kepentingannya dalam pejabat – pejabat kerajaan dan menyalin buku – buku / kitab – kitab memandangkan mesin pencetakan belum wujud lagi (pada masa tersebut).

Ijazah dalam bidang tariqah kesufian pula begitu luas maknanya. Ia meliputi sudut fizikal dan spiritual. Seseorang syeikh akan mengurniakan ijazah kepada anak muridnya sama ada dari segi kuasa spiritual (akan menjadi pengganti syeikh) atau hak untuk mengajar buku – buku/ kitab – kitab yang berkaitan dengan kesufian. Sebagai contoh dalam menganugerahkan kuasa spiritual, ijazah Syeikh ‘Abbas Afandi dianugerahkan kepada Hafiz ‘Umar Afandi dalam tariqah Ummu Sinan, salah satu cabang Naqshibandiyyah, pada 1321 A.H., di Skopje (Dalam bahasa Turki, Uskup) .
Dan juga satu contoh kebenaran yang diberikan untuk mengajar buku / kitab yang berkaitan dengan Sufisme iaitu ijazah Syeikh Nizamuddin Awliya dianugerahkan oleh syeikhnya Syeikh Faridud – Din Gani – Shakar yang juga mengurniakan kuasa spiritual kepadanya disamping kebenaran mengajar buku / kitab Tamhidi yang dikarang oleh Abu Shakur Salimi yang membicarakan tentang asas – asas Keimanan .

Pengurniaan Ijazah di dalam bidang puisi dan sajak pula boleh didapati dengan adanya contoh ijazah yang dianugerahkan oleh ‘Ali b Muhammad b Mahfuz al – ‘Alawi kepada anaknya Siddiq b ‘Ali pada 691 A.H dengan memberikannya kebenaran mengajar puisi ‘Umar b al – Farid. Sepertimana katanya:-
Wahai anakku, Siddiq ibn ‘Ali, pelajar yang berilmu, ‘adil dan bersemangat tinggi – Semoga ALLAH mengilhamkannya kebenaran dan jalan yang lurus untuk diikuti, dan melindunginya daripada bersama orang – orang yang berhak menerima kutukan dan azab seksaan – telah mempelajari puisi ‘Umar b al – Farid daripada saya kecuali satu puisi yang bermula dengan : Sa’iq al – Az’an Tatwy al – Bid Tay, maka, dengan ini saya memberi kebenaran kepadanya membacanya selepas saya sepertimana saya membacanya selepas Syeikh Fakhrud – Din al – Iraqi .

Bagi bidang perubatan, profesion dalam bidang ini mendapat kesedaran yang tinggi di dunia Islam semasa abad kesepuluh Masihi, seseorang penuntut perubatan / bakal doktor wajib lulus peperiksaan dan mendapat ijazah dan jika tidak, mereka tidak dibenarkan mempraktikkan ilmu ini. Kita boleh melihat contoh ijazah perubatan di dalam kitab Ibn Abi ‘Usaybi’ah’s Tabaqat al – Atibba’ .

4.0 Struktur dan Kandungan Ijazah

Satu skema umum disediakan untuk sesi ini yang mengandungi ciri – ciri lazim ijazah yang dikeluarkan di dalam Dunia Islam. Kebanyakan ciri – ciri ini menepati skema tersebut melainkan ada sedikit pengecualian..

1. Ijazah kebiasaannya akan dimulakan dengan Basmalah (Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani), diikuti dengan memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH (Hamdalah) dan pujian kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda (Selawat)

2. Pujian ke atas ilmu dan menyebut kepentingannya..Kemudian disebut potongan ayat – ayat al – Quran al – Karim dan Hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan kepentingan ilmu pengetahuan; seperti ayat, “Katakanlah : Adakah sama orang – orang yang mengetahui dan orang – orang yang tidak mengetahui? .... , dan hadith yang bermaksud,”Sekiranya seseorang mengembara di atas jalan untuk mencari ilmu, ALLAH akan membukanya perjalanannya ke salah satu jalan menuju ke syurga” .

3. Menitikberatkan sanad . Inilah perkara yang sangat diutamakan oleh ulama’ Salaf dalam mengkaji sesuatu hadith, sama ada ia benar – benar datang dari Nabi SAW atau sebaliknya. Kemudian digunapakai oleh bidang – bidang yang lain bagi menjamin ketulenan, kesahihan dan kualiti ilmu yang disampaikan kepada umat Islam. Sepertimana kata ‘Abdullah b Mubarak : “Sanad itu sebahagian dari ad – Deen, sekiranya tidak kerana sanad, sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu” .

4. Mengandungi nama profesor / pensyarah dan nama pelajar. Di sini profesor / pensyarah akan menyatakan nama pelajar yang akan dikurniakan ijazah. Perkembangan akademik pelajar juga diselitkan bagi menunjukkan kualiti ilmu seseorang pelajar. Selain itu, para profesor / pensyarah akan menggunakan peluang untuk melahirkan penghargaan kepada guru mereka sendiri dengan menyebutkan nasab ilmunya.

5. Nama buku – buku / kitab – kitab dan subjek yang dipelajari juga dinyatakan dalam ijazah

6. Rantaian penyampai / perawi sesuatu ilmu (silsilah) akan kembali kepada ALLAH SWT, kecuali ijazah dalam sesuatu buku / kitab, rantaian akan berakhir pada penulisnya. Walaubagaimanapun, bagi kitab hadith, ia akan kembali kepada orang yang mengumpul dan menulis hadith tersebut kerana hadith – hadith di dalam kitab ini mempunyai sebilangan para perawi yang berbeza dan ia akhirnya akan kembali kepada Rasulullah SAW. Selebihnya, menyatakan nama semua perawi yang hidup sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke zaman ulama’ yang mengumpul hadith – hadith adalah sesuatu yang sukar,dan sanad akan menjadi terlalu panjang di samping memerlukan masa yang banyak dan ruang yang besar (pada ijazah). Oleh itu, kadang – kadang hanya sebahagian nama perawi yang disebut (dengan keadaan tidak menjejaskan kekuatan sesuatu hadith).

7. Kemudian penganugerah (profesor / pensyarah) akan memberikan nasihatnya kepada pelajar bagaimana menggunakan ‘ilmu sebaik mungkin, mendidik bakal anak murid mereka, memainkan peranan sebagai seorang ulama’ di dalam masyarakat dan meminta pelajarnya supaya tidak melupakannya dan memohon mereka berdoa kepada ALLAH SWT untuk memberi keampunan kepadanya 

8. Akhir sekali, ijazah lazimnya akan diakhiri dengan doa, tarikh dikeluarkan ijazah dan pengesahan dari profesor / pensyarah sama ada dengan tanda tangan, cop rasmi atau kedua – duanya.

 Namun, nama institusi / tempat pengajian jarang – jarang dinyatakan. Kecuali jika diadakan majlis rasmi (konvokesyen), nama tempat majlis diadakan akan disebut dan tempat pengajian secara tidak langsung dapat dikenalpasti. Begitu juga apabila disebut nama profesor / pensyarah, nama tempat pengajian juga dapat diketahui. Dengan cara ini, situasi geografi pengajian ilmu – ilmu Islam dapat digambarkan; di mana, bila, bagaimana dan subjek yang dipelajari, kedudukan tempat atau kawasan dari segi sosial dan politiknya yang bercahaya kerana padat dengan ilmu pengetahuan dan terkenal di dalam lipatan sejarah.

5.0 Perbezaan Utama Diantara Ijazah dan Sijil atau Diploma
Tradisi pengijazahan seperti yang disebutkan pada awal lagi telah bermula dan berkembang dalam Islam sejak kurun ke 4 A.H (kurun ke 10 Masihi).
Dua kurun selepas itu, pada pertengahan kedua kurun ke 12, ia muncul pula di Latin Barat. Ia adalah lesen untuk mengajar yang dipanggil sebagai licentia docendi, yang sama maksudnya dengan ijazah. Namun, berdasarkan kepada pandangan George Makdisi, tiada satupun bukti pada zaman lampau / purba yang menunjukkan sama ada di Greece mahupun di Rom mengeluarkan lesen untuk mengajar (ijazah). Juga tiada ijazah yang dikeluarkan oleh Kristian Timur Byzantine yang sekalipun ia mempunyai pertalian terus dengan pendidikan klasik (Greece). Begitu juga hal yang sama berlaku pada sistem pendidikan Kristian Barat Latin. Ia hanya mula diperkenalkan Kristian Barat pada pertengahan kedua kurun ke 12, dari salah satu institusi – institusi yang wujud tanpa maklumat sejarah yang asli . Tetapi Daniel Haneberg, dalam kajiannya terhadap sistem pendidikan Islam telah mengeluarkan satu kenyataan yang menarik berkenaan ijazah. Katanya;” Saya merasakan lesen / sijil yang kita (Barat) keluarkan adalah bersumberkan dari institusi umat Islam” . Oleh itu, ianya satu kemungkinan besar bahawa licentia docendi berasal daripada ijazah.

Sebagai tambahan, peringkat perkembangan ijazah dan licentia docendi menurut George Makdisi sebenarnya tidak jauh berbeza dan beliau menerangkannya seperti berikut:-
From initial training in the literacy arts, to embarking on the long course of study leading to the mastership, passing through the ranks of scholar (mutafaqqih) and fellow (faqih), representing the undergraduate and graduate level, assisting the master as ordinary repetitor (mu’id) or extraordinary docent (mufid), including the work of building up repertories of disputed questions (masa’il khilafiyah, quaestiones disputatae), the student practice of quizzing one another (mudhakarah,collatio), disputing for practice with fellow students, or with masters in class (munazarah, disputatio), disputation based on the confrontation of conflicting opinions (khilaf, sic et non), and the mastery of dialectic (jadal, dialectica), and finally, obtaining the licence to teach (ijazah li at – Tadris, licentia docendi), and incepting by giving the inaugural lesson or lecture (dars iftitahi, inceptio) .

Hanya satu perbezaan ketara yang boleh dilihat bahawa perkembangan ijazah di dunia Islam terkehadapan lebih dari satu kurun sebelum kemunculan licentia docendi dari mana – mana bahagian pemerintahan Kristian Eropah. Inilah bentuk awal sijil yang terdapat di Barat. Tetapi jika dilihat pada sejarah, perkataan licentia docendi telah diubah menjadi elemen – elemen dalam sistem universiti; sijil, diploma, ijazah dan sebagainya. Seperti satu kes di Perancis, secara tradisionalnya, lesen mengajar adalah ijazah pertama dan latihan / pengajian untuk mendapatkan ijazah menjadi tanggungjawab sistem Pengajian Tinggi Perancis. Walaubagaimanapun, reformasi / perubahan pada diploma universiti Perancis bermula pada 1973 dan lengkap pada 1976, dan kedudukan licentia docendi berubah .

Sebaliknya, ijazah dalam kehidupan pendidikan umat Islam tetap kekal seperti dahulu sehingga hari ini kecuali pada tempat – tempat tertentu.

Sekarang kita lihat pula perbezaan utama diantara ijazah dan sijil atau diploma yang digunapakai pada hari ini. Perbezaan ini dapat diringkaskan kepada tiga perkara utama:-
a. Pertama, keunikan ciri pendidikan Islam itu sendiri yang menunjukkan bahawa bukanlah tanggungjawab institusi pendidikan Islam untuk menganugerahkan sijil akademik. Ia adalah tanggungjawab profesor / pensyarah untuk mengurniakannya apabila seseorang pelajar tamat mempelajari satu – satu subjek atau sesebuah buku / kitab. Ini semua bergantung kepada pencapaian pelajar sama ada mereka benar – benar layak untuk mempraktikkannya, mengajar dan menyampaikan segala material yang dipelajari kepada pelajar yang lain. Tiada cop rasmi atau pengesahan dari institusi (universiti) di tempat profesor / pensyarah mengajar akan diminta untuk mengesahkan seseorang pelajar itu layak menerima ijazah.
Inilah fakta yang jelas bahawa ijazah di dalam pendidikan Islam adalah tanggungjawab individu profesor / pensyarah bukan universitit. Selagi mana beliau sedar tanggungjawabnya, kualiti pendidikan dan akademik umat Islam akan tetap terpelihara. Berbeza dengan situasi ini, institusi pendidikan di Barat hanya mementingkan sijil dan penganugerahan gelaran akademik dan ijazah. Tanggungjawab profesor / pensyarah dalam hal ini seolah – olah pada kelas kedua. Perkara ini mendatangkan masalah apabila sesebuah kelas / dewan kuliah di universiti mempunyai saiz yang besar dan pelajar yang ramai.

Sudah tentu dari segi praktikalnya, amat mustahil bagi seseorang profesor / pensyarah mengetahui sejauh mana pencapaian para pelajarnya dan di manakah tahap yang sesuai untuk mengurniakan ijazah kepada mereka. Maka, hubungan intelektual diantara profesor / pensyarah dan para pelajar mereka tidak wujud. Hanya pelajar pada peringkat postgraduate (sarjana, PhD dll) yang mempunyai hubungan baik dengan profesor / pensyarah mereka. 

b. Kedua, selain subjek / mata pelajaran (madah) yang dipelajari disebut di dalam ijazah, buku / kitab yang tamat dipelajari dan berjaya dihabiskan juga dinyatakan bersama – sama rantaian perawi / penyampai (silsilah) buku tersebut hingga akhirnya kembali kepada penulis asal buku / kitab tersebut.
Sedangkan sijil, diploma atau ijazah (hari ini) hanya menyatakan subjek yang telah dipelajari, tiada nama buku / kitab, penulisnya dan rantaian perawi / penyampai dilampirkan bersama.

c. Ketiga, perbezaan dari segi bentuk. Umumnya ijazah dalam pendidikan Islam dianugerahkan dalam bentuk buku yang kadang – kadang mengandungi 20 muka surat dan lebih. Tetapi sijil, diploma dan ijazah hari ini (berdasarkan pendidikan Barat) dikeluarkan dalam bentuk satu gulungan (scroll) yang hanya mengandungi satu muka surat.


Sumber:ibnumar / Suntingan dan Terjemahan : Hairil Irza Ramli


Autonomi demi kestabilan serantau


Autonomi demi kestabilan serantau

PERJUANGAN berdarah lebih 40 tahun di selatan Filipina yang merangkumi dua atau tiga generasi pelapis akhirnya mencapai titik noktah pada 15 Oktober 2012 dengan perjanjian mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Penghujung pergolakan yang meragut lebih 120,000 nyawa dan mendesak ratusan ribu lagi melarikan diri meninggalkan kampung halaman akan melalui lembaran baru ke arah kedamaian serta pembangunan masyarakat Islam di negara itu.
Siapa dapat menjangka pemilihan Presiden Benigno Aquino III selaku pemimpin baru Filipina akan membawa kepada perjanjian damai yang bakal menamatkan konflik berdarah tersebut dengan memilih jalan diplomatik berbanding ketenteraan.
Pihak pejuang pula, khususnya Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang rata-ratanya dibarisi pelapis muda, mungkin tidak menyangka tuntutan autonomi akan dipenuhi kerajaan Filipina dalam tempoh hayat mereka.
Tentera pejuang kini tidak perlu lagi menyorok di dalam hutan ataupun menggunakan kekerasan untuk mendapatkan dana kewangan sementara rakyat di selatan mahupun di seluruh Filipina tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan.
Penduduk Bangsamoro tidak perlu khuatir akan campur tangan mahupun penindasan, sementara rakyat Filipina lain tidak perlu bimbang dengan serangan keganasan, penculikan dan pergolakan baru daripada saudara mereka di selatan.
Melalui Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang dimeterai kedua-dua belah pihak, bermulalah detik baru dan penamat kepada konflik yang menjejaskan rakyat sehingga melangkaui sempadan Filipina.

Perjanjian 13 muka surat wilayah autonomi itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.
Turut diperakui dalam perjanjian autonomi itu termasuk keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah tersebut.
Bukan sahaja kuasa ekonomi, politik dan pelaksanaan cukai, kuasa autonomi juga akan membolehkan penduduk wilayah itu menerima bahagian lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan memainkan peranan lebih aktif dalam aspek keselamatan.
Dengan pemerintahan sendiri dan sumber pendapatan yang lebih stabil, pembangunan infrstruktur dan modal insan di selatan Filipina bukan sahaja akan memakmurkan Bangsamoro malahan menstabilkan keadaan serantau.

Inilah yang dinanti-nantikan dan diraikan secara besar-besaran rakyat Bangsamoro dari bandar, pekan hingga ke perkampungan di pedalaman yang selama ini tersepit antara hidup aman dalam jajahan dan kemiskinan, atau perjuangan demi masa depan pewaris bangsa.
Pembangunan wilayah Bangsamoro yang kaya dengan sumber asli dijangka akan mengurangkan kebanjiran penduduknya di sempadan negara-negara jiran di samping mampu membawa limpahan manfaat kepada penduduk sekitar rantau tersebut.

Perdamaian antara kedua-dua belah pihak juga akan mengurangkan keperluan ketenteraan kerajaan Filipina di wilayah selatan malahan turut mengurangkan beban pasukan keselamatan di negara-negara jiran menyekat anggota pemberontak mahupun pendatang haram.
Malaysia yang merupakan antara pengantara perundingan MILF dengan Manila sejak lebih 10 tahun lalu juga boleh menarik nafas lega memandangkan konflik berterusan hanya memberi impak negatif melangkaui sempadan Filipina khususnya kepada penduduk di negeri Sabah.
Era baru kemananan dan pembangunan Bangsamoro akan membolehkan kerajaan Filipina fokus kepada membawa keluar semua rakyatnya daripada kitaran kemiskinan dan memulakan proses pemulihan serta melupakan tragedi kehilangan ahli keluarga kerana pertumpahan darah.
Kini, proses pelaksanaan autonomi akan melalui tempoh transisi panjang bagi merapatkan kembali hubungan yang renggang dan diharap dapat diselesaikan dalam tempoh pentadbiran Presiden Aquino sehingga 2016.
Walaupun dengan bantuan pihak luar, kesediaan pihak berbalah berbincang dan menandatangani perjanjian damai rasmi, tetapi semuanya masih terlalu awal untuk kepastian mutlak. Perdamaian boleh musnah jika pentadbiran baru tidak menyokong malahan menentang perjanjian tersebut.
Bagi pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling, cabaran utama kepimpinan Bangsamoro kini adalah untuk membuktikan mereka mampu menguruskan sebuah pentadbiran sendiri.
"Proses pembentukan negara bangsa ini mengambil masa yang lama dan berterusan. Oleh itu, mereka perlu buktikan kemampuan memeritah dan membangunkan wilayah sendiri, ini perlu mereka jaga jika mahukan autonomi.
"Jangan pula jadi seperti di Timor Leste yang memberontak mahukan kemerdekaan tetapi selepas itu dilihat gagal mengurus tadbir dan menggerakkan pembangunan wilayah mereka," tegas pensyarahKolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia .
Katanya lagi, apa yang diharapkan semua pihak adalah kerjasama penduduk Bangsamoro untuk membangunkan negara bangsa mereka melalui pendidikan, peluang kerja, peningkatan taraf hidup dan paling penting, pemerintahan yang efisyen.

Menurut beliau, senario sama sebenarnya turut berlaku di Acheh dan selatan Thailand yang berkait rapat dengan selatan Filipina.
"Dengan mencapai keamanan dan perkongsian kuasa di Acheh, kemudian selatan Filipina, diharapkan kesan berangkainya dapat 'berjangkit' ke selatan Thailand.

"Malaysia memainkan peranan besar dalam perbincangan di Acheh dan selatan Filipina, dan mungkin juga suatu hari nanti kita dapat membantu situasi di selatan Thailand pula," katanya.
Mohamad Faisol menjelaskan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan 'jika jiran kita makmur, maka kita juga akan makmur'.
"Kata-kata itu jelas melihatkan kesan negatif pergolakan di selatan Filipina yang menyebabkan kegiatan penculikan berleluasa sehingga ke dalam sempadan negara kita di samping kebanjiran pendatang haram dari sana.
"Jika konflik ditamatkan, bukan mereka sahaja makmur malahan kita juga merasakan impak positifnya kelak," ujarnya.
Jelasnya lagi, Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam berkongsi kuasa serta wilayah autonomi mampu berkongsi modulnya dengan negara jiran yang bergolak.
Mengambil contoh di selatan Thailand, beliau berpendapat konflik berlaku kerana keengganan berkongsi kuasa dan tiada tolak ansur antara pihak berbalah.
"Mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membantu situasi di selatan Thailand pula selepas ini kerana ini juga jihad untuk umat Islam di sana seperti mana di Acheh dan selatan Filipina.
"Usaha ini bukan sahaja untuk pendidikan, kemajuan dan keamanan malahan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Islam di sana," tegas pemerhati antarabangsa itu.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Autonomi bukan sesuatu yang baharu

AUTONOMI berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud 'pentadbiran sendiri' iaitu satu konsep dalam isu moral, perubatan, politik dan falsafah.
Namun, kebanyakan penduduk dunia lebih mengenali maksud autonomi dari sudut politik iaitu pemerintahan sendiri sebuah wilayah dalam sesebuah negara.
Beberapa perjuangan menuntut autonomi terkenal kerana melibatkan pergolakan berdarah seperti di selatan Filipina, selatan Thailand, Xinjiang Uighur di China dan banyak lagi.

Pergolakan selama 40 tahun yang telah meragut lebih 120,000 nyawa di Filipina bagaimanapun berakhir menerusi perjanjian penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro antara pejuang Islam dan kerajaan negara itu pada minggu ini.

Masalah tuntutan autonomi bersenjata di beberapa negara lain bagaimanapun dijangka berterusan selagi kedua-dua pihak gagal berkompromi mencari jalan tengah.
Namun, bukan semua perjuangan autonomi memerlukan korban darah dan banyak daripadanya tidak dikenali umum kerana melalui proses permohonan dan kelulusan yang lebih mudah.

Ada juga pemerintahan autonomi yang tidak melibatkan wilayah tetapi merangkumi kawasan bandar, komuniti, kawasan, republik, sektor, jajahan mahupun negara yang bergantung kepada perlembagaan negara lain.
Selain itu, ada juga wilayah yang diberi nama 'autonomi' tetapi tidak semestinya menggambarkan pentadbiran sendiri yang bebas daripada kerajaan.

Penduduk beberapa wilayah di negara-negara tertentu dilihat bangkit menuntut autonomi bagi memudahkan urusan kawasan mereka, di samping menolak campur tangan pihak luar.
Ini kebiasaannya berlaku apabila penduduk wilayah tersebut mencapai bilangan yang amat besar tetapi masih tergolong dalam kumpulan minoriti terutamanya di negara-negara yang mempunyai sempadan jajahan yang amat besar.
Boleh dikatakan tuntutan autonomi yang munasabah tidak perlu mengangkat senjata selagi ada kerjasama dan kesediaan berbincang ke arah jalan tengah yang menguntungkan semua pihak agar rakyat tidak menderita.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sheikh Ahmad al-Fathani,organisasi dan politik


Sheikh Ahmad al-Fathani,organisasi dan politik

Koleksi tulisan Allahyarham
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya.


Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah. Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.

Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290 H/1873 M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.

Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air, maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.
Dalam dunia politik, Raja Haji Utsman lebih dikenali dengan nama Raja Khalid al-Haitami (dalam percakapan Melayu disebut Hitam)

Al-Fathaniyah dengan Ar-Rusydiyah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidaklah berapa jauh perbezaan ertinya. Al-Fathanah, dalam bahasa Arab kadang-kadang digunakan juga al-fithnah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti: kepandaian, kecerdasan, lekas faham, kepintaran, dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan.
Adapun al-rusydu boleh diertikan dengan akal, fikiran, hal mengikut jalan yang lurus, dapat petunjuk, dan lain-lain, dan salah satu dari ertinya, ialah cerdik atau kecerdikan. Sebagaimana al-fathanah boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan, demikian halnya dengan ar-rusydu. Dari perkataan al-fathanah, maka organisasi yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dinamakan Al-Fathaniyah, sedang dari perkataan al-rusydu, untuk organisasi yang didirikan oleh murid-murid beliau di Riau dinamakan Rusydiyah.
Berdasarkan bukti-bukti yang ada, jelas bahawa keintelektualan perjuangan kerabat Diraja Riau-Lingga itu berasal dari pelbagai aspek perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah.
Catatan tentang Jam’iyah al-Khairiyah sukar diperoleh, namun dapat dikesan hanyalah berdasarkan daripada sebuah buku kecil yang berjudul Jalan Kesatuan atau judul lain Al-Irsyad ila Thariqat at-Ta-allufi wa al-Ittihad karya Raja Haji Muhammad Said bin Raja Haji Muhammad Thahir, yang ada memperkatakan organisasi tersebut.
Buku tersebut diterbitkan oleh Maktabah wa Mathba’ah al-Ahmadiah, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan.
Jam’iyah al-Khairiyah Riau masih aktif sehingga tahun 1937 M. Barangkali pengaruh Jam’iyah al-Khairiyah Riau itu begitu besar, maka pada 3 Safar 1342 H/14 September 1923 M di Mesir ditubuhkan pula Al-Jam’iyah al- Khairiyah li Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah oleh pelajar dunia Melayu di Mesir.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal yang sangat berminat dalam bidang itu ialah Raja Haji Ali Kelana yang berasal dari Riau-Lingga, berketurunan campuran Melayu-Bugis. Sesudah itu menyusul agak terkemudian sedikit ialah Raja Haji Utsman dan selanjutnya terkenal dengan nama Raja Khalid Hitam. Kader politik Sheikh Ahmad al-Fathani yang terakhir ialah seperti Nik Mahmud bin Ismail berasal dari Kelantan.
Tokoh tersebut dikenali dengan gelaran Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said yang selanjutnya memperoleh gelaran Datuk Laksamana Kelantan, dan Haji Sulung al-Fathani, iaitu bapa Revolusi Islam Patani dalam masa Perang Dunia Kedua.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing.
Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.

Lihat pula tulisan Dr. Virginia Matheson, “Pada akhir abad ke-19 perhubungan Riau dengan Timur Tengah dikuatkan lagi oleh Raja Ali Kelana supaya dapat bantuan Turki untuk menentang pemerintah penjajahan Belanda yang mahu menghapuskan kerajaan Riau-Lingga”. Berdasarkan tersebut, Virginia Matheson tidak menyebut peranan Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu orang yang bertanggungjawab mengajak Raja Haji Ali Kelana ke Turki untuk meminta bantuan menghapuskan semua bentuk penjajahan di dunia Melayu, selain Indonesia (Hindia- Belanda) dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Patani dan Cam.

Hubungan politik Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Turki-Utsmaniah itu bukan bererti gagal, tetapi tergendala kerana beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan perkembangan Kerajaan Turki-Utsmaniah pun seterusnya mulai menurun dan lemah.

Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada 1912 dan 1913.
Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di Jepun pada 11 Mac 1914.
Dalam tahun 1939, ketika menghadapi Perang Dunia Ke-II barulah utusan Jepun datang ke Singapura mencari keturunan Raja Khalid Hitam. Yang berjaya ditemui oleh utusan dari Jepun itu hanyalah Ibrahim Ya’qub, yang ketika itu sebagai pemimpin kebangkitan Melayu.

Ibrahim Ya’qub bersama sahabatnya Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pun mengadakan perundingan dengan utusan Jepun itu. Peristiwa itu menjadi titik bermulanya kedatangan orang-orang Jepun ke dunia Melayu untuk menghadapi perang Asia-Pasifik. Ibrahim Ya’qub diberi pangkat dalam militer Jepun sebagai Leftenan Kolonel, sedangkan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad hanya sebagai Leftenan saja. Namun kerana kecergasannya, beberapa bulan kemudian Raja Haji Muhammad Yunus dilantik sebagai Mejar tanpa melalui pangkat Kapten terlebih dahulu.

Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.
Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.
Di antara surat beliau yang membicarakan isu politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.

Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah Siam-Buddha.

Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia dengan segeranya …”
Daripada surat yang tersebut dan surat-surat raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik bagi sultan-sultan di dunia Melayu.

Pemikiran Politik
Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniy

Polemik tajdid dan pembaharuan


Polemik tajdid dan pembaharuan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.
Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.
Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.
Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.
Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.
Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.
Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.
Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah tajdid
Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.
Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akanmentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.
Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.
Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.
Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.
Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.
Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.
Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.
Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.
Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.
Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.
Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.
Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.
Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.
Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.
Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha'rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.
Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash'ariy, al-Shafi'ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.
Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.
Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.
Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.

Mengenal mujaddid sebenar
Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.
Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.
Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.
Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.
Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.
Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan.
Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

SUNGAI GOLOK PEMISAH 2 SEMENANJUNG TANAH MELAYU



SUNGAI GOLOK PEMISAH 2 SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Tahun 1909 perjanjian Bangkok antara Siam & Inggeris mengenai wilayah Kelantan.....persetujuan sempadan baru wilayah kuasa Siam & Inggeris dgn jadikan Sungai Golok sbgai smpadan baru... Sg Golok, Takbai, Che Hel, Balwan, Kubu Sepung hingga Bukit Tanjung asalnya wilayah Kelantan diberi kpd Siam...manakala Batang Merbau, Batu Gajah, Jedok, sktr Jeli, Batu Melintang milik wilayah Legeh ditukar menjadi milik wilayah kelantan. Sungai Golok kekal sehingga kini menjadi pemisah dua negara..