Syuyukh/ Tok Guru & Murid Sheikh Wan Ahmad al-Fatani (10 April 1856-14 Januari 1908)

Syuyukh/Tok Guru Dan Murid Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani   (5 Syaaban 1272/10 April 1856-14 Januari 1908/11 Zulhijjah 1325)

Tok Guru Beliau Antaranya:
  • Syeikh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah (Berbangsa Arab)
  • Syeikh Mustafa Al-Afifi (Berbangsa Arab)
  • Sayyid Umar Al-Shami Al-Baqa’i (Berbangsa Arab)
  • Syeikh Husin Al-Habshi
  • Syeikh Abu Bakar Syatha
  • Syeikh Ahmad Zaini Dahlan
  • Syeikh Muhamad Haqqi Al.Nazili
  • Syeikh Muhammad Amin Al.Ridwan
  • Syeikh Ibrahim Al.Rashidi Al.Ahmadiyyah
  • Syeikh Ahmad Al.Dandarawi Al.Ahmadiyyah
  • Syeikh Ab. Rahim Al.Kabuli
  • Sayyid Muhammad Ali Bin Sayyid Zahir Al-Watri (Berbangsa Arab)
  • Syeikh Abd Qadir Al-Shibli Al-Tarablusi (Berbangsa Arab)
  • Syeikh Muhammad Bin Ismail Al-Fatani @ Syeikh Nik Mat Kecik Al-Fatani (Berbangsa Melayu -Patani)
  • Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Rahman Al-Fatani (Berbangsa Melayu – Patani)
  • Syeikh Muhammad Said Bin Isa Al-Kalatani (Berbangsa Melayu – Kelantan)
  • Syeikh Abdul Mutallib Kuta (Berbangsa Melayu – Kelantan)
  • Syeikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani (Berbangsa Melayu – Kelantan)
  •  Syeikh Wan Daud Al.Fatani
  • Syeikh Muhammad Zain al-fatani
Disenaraikan Antara Murid-Muridnya :
Dari Patani Murid-Muridnya Tidak Kurang Dari 23 Orang :
  • Syeikh Abdullah Bin Qasim Senggora
  • Syeikh Muhamad Nur
  • Syeikh Muhammad Qasim
  • Syeikh Muhammad Bin Idris Al-Fatani
  • Muhammad Bin Hussein Bin Abdul Latif Al-Fatani
  • Haji Sulong
  • Pak Cu Yeh Hj Idris
  • Syaikh Muhammad Daud Al-Fatani
  • Sheikh Wan Ismail (Anak Beliau)
  •  Tg Guru Ab Samad Jakar
  • Tok Kelaba
  • Tengku Mahmud Zuhdi
  • Tok Bermin
  • Hj Wan Ahmad Palwan
  • Hj Ahmad Pauh
  •  
Dari Malaysia Iaitu Melebihi 38 Orang Dan Terdiri Daripada Kalangan Sultan, Iaitu:
  • Sultan Mansor Yang Merupakan Sultan Kelantan
  • Sultan Zainal Abidin Iaitu Sultan Negeri Terengganu
  • Syeikh Abdul Samad Bin Muhammad Saleh (Tuan Tabal)
  • Syeikh Wan Sulaiman Bin Sidiq, Mufti Kedah
  • Tuan Guru Haji Omar Bin Ismail, Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan
  • Tuan Haji Awang Muhammad Yusuf Bin Ahmad Al-Kenali (Tok Kenali)
  • Tuan Haji Hassan Bin Panglima Munas (Tok Janggut)
  • Wan Ahmad Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang)
  •  Datuk Nik Mahmud (Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan,
  • Haji Muhammad Bin Muhammad Said ( Datuk Laksamana Kelantan)
  • Mufti Johor Dato Abdullah
  • Mufti Kelantan Hj Wan Ishak
  • Hj Wan Ahmad Aeang Muhd Zain
  • Tok Perlis
  • Dato Nik Mat Dato Nik Yusuf
  • Hj Musa
  • Hj Wan Hasan
  • Tok Kemuning Hj Ismail Senik
  • Tok Selehong Hj Ab Rahman Hj Osman
  • Wan Daud Khatib
  • Hj Wan Musa Mufti Kelantan
  • Hj Ismail Mahmid
  • Hj Ismail Ab Majid
  • Wan Abdullah Geting
  • Hj Ismail Wahab
  • Tn Husin Kedah
  • Tok Bachok Hj Osman
  • Tok Raja Hj Ibrahim
  • Tok Pulau Ubi Hj Yusuf
  • Hj Ab Latif Melaka
  • Qadhi Muar Hj Abu Bakar
  •  
Dari Kemboja / Champa Iaitu:
  • Hj. Muhammad Saleh
  • Tengku Sulaiman
  • Tuan Guru Haji Muhammad Tahir Kemboja
Dari Indonesia Mempunyai Lebih Dari 23 Orang Murid Antaranya:
  • Syeikh Sulaiman Al-Rasuli
  • Syekh Muhammad Jamil Jaho
  • Kiyai Hashim Ashaari
  • Syekh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Minangkabawi
  • Raja Haji Ali Kelana
  •  Raja Haji Utsman
  • Raja Daud
  • Kiyai Muhammad Khalil Madura
  • Tengku Muhamad Said Riau
  • Tengku Adam Riau
  • Syekh Ab Ghani Acheh
  • Syekh Ismail Mutalib Acheh
  • Syekh Ismail Minangkabau
  • Syekh Jaafar Hasan Mandailing
  • Hj Muhamad Nur
  • Hj Ab Mutalib
  • Syekh Muhammad Saad Payakumbuh Sumatera
  • Syekh Hasanudin Mifti Deli
  • Syekh Ab Rahman Sidek Mufti Indergiri
  • Syekh Muhamad Basiyuni Sambas
  • Syekh Muhd Zain Nuruddin Batibahara Sumatera
  • Syekh Husin Kalimantan Barat
  • Hj Muhd Jabar Kalimantan Barat
  • Syekh Mustafa Husin Mandahiling
  •  

…………Akan Dikemaskini Dari Masa Ke Semasa Untuk Rekod Personel.


Peranan Institusi Raja




Peranan Institusi Raja
RAJA
SEMBILAN negeri di Malaysia kekal berada di bawah payung naungan Raja. Institusi Raja telah wujud lebih enam abad dan telah berakar umbi di bumi ini. Perlu difahami bahawa penduduk di negeri-negeri beraja di alam Melayu, menganggap mereka menetap bukannya dalam wilayah sempadan geografi mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup tertakluk kepada kesetiaan di bawah payung naungan Raja. 

Istilah Kerajaan berasal daripada perkataan Sanskrit Ke-Raja-An; mengandungi istilah Raja, bermaksud rakyat yang tertakluk kepada seorang Raja Pemerintah. Sembilan Raja Pemerintah yang masih kekal bertakhta adalah pewaris pemerintahan di negeri masing-masing.
Sesungguhnya sistem beraja telah menjadi benteng penghalang dari memudahkan imperialis British melakukan penjajahan mutlak; British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu.
British, terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan, dan hanya berupaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.

Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati, bahawa sistem pemerintahan berteraskan Raja terlalu berharga dan terlalu bernilai untuk ditiadakan. Tanah Melayu yang merdeka telah memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja yang kekal segar dengan menjelmakannya dalam bentuk dan acuan kontemporari. 

Institusi Raja diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Lalu diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah baru, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.
Raja, termaktub dalam Perlembagaan diwujudkan berasas undang-undang. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara bangsa.
Ketetapan untuk terus mendaulatkan institusi Raja adalah satu pelanjutan adat - satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi; betapa keindahan adat - betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa. 

Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal Perlembagaan Merdeka tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja dalam sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud Dia Yang Terulung Dalam Kalangan Kami, iaitu primus inter pares

Sesungguhnya, kewujudan takhta Ketua Utama Negara dan kaedah lantikan Yang di-Pertuan Agong, adalah satu kehebatan keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negara bangsa.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan yang terdiri daripada cabang Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi tiga komponen, terdiri dari Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Diperuntukkan supaya Yang di-Pertuan Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Baginda berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman.
Baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. 

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak.
Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda.
Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Kehakiman. Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.
Demikian senarai peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, meskipun nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa. 

Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum - tanpa mengira agama - tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. 

Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali, memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.
Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga senantiasa dilindungi. Pada pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot telah memperkenalkan konsep triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk memberi nasihat, ketiga: hak untuk memberi peringatan.
Dalam perkara-perkara, termaktub secara nyata dalam Perlembagaan, bahawa Raja perlu bertindak atas nasihat, Duli-Duli Baginda hendaklah menerima nasihat tersebut; tetapi Raja juga tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, bercanggah dengan semangat Perlembagaan, bercanggah dengan undang-undang dan bercanggah dengan keadilan hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbang tara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, sekali gus memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang, demi menjamin berlangsungnya tadbir urus negara yang baik. Institusi Raja yang berjaya mencerminkan sifat-sifat kearifan dan keadilan pastinya akan menjadi sumber rujukan pilihan apabila tercetusnya sesuatu krisis.
Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kematangan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum - pelbagai agama; ditambah pula dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Pada hari ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur akan peranannya.

Sesungguhnya, para pengasas kemerdekaan negara ini telah mendapat petunjuk Ilahi, dengan wawasan bijak membentuk Kerajaan Merdeka di bawah naungan Raja Berperlembagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Raja Pemerintah untuk memperlihatkan kepada warga akan relevansi Institusi Raja, terutama untuk memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Pada masa ini, daripada jumlah 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai Institusi Raja; Enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja Separa Autonomi, dan tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak. 

The Economist Intelligence Unit Democracy Index mencatatkan: tujuh daripada sepuluh negara di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan; sementara penemuan Transparency Internationals Corruption Perception Index mencatatkan tujuh daripada sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan. 

Sebelas daripada dua puluh negara dalam UNDP Human Development Index yang berada di tangga teratas, adalah negara-negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan, dan sembilan daripada dua puluh negara di tangga teratas mengikut yang dikategorikan oleh Heritage Foundations Index of Economic Freedom memiliki Institusi Raja Berperlembagaan.
Dalam menghadapi cabaran dinamik politik yang sedang berlaku, Institusi Raja sedang melalui satu lagi tahap evolusi. Berpedomankan pengalaman dan hikmah takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Institusi Raja di bumi ini, akan menemui paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah, membantu membina imej institusi takhta yang terus bertenaga - kekal dinamik, berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.
Sebenarnya, takhta ketika ini, berhadapan cabaran lebih kompleks, malah diperlu untuk menyempurnakan peranan yang semakin mencabar dalam orbit moden Malaysia. Keunggulan sifatnya, menjadikan peranan Raja begitu jitu terutama ketika menghadapi keadaan yang mendesak. Ciri-ciri keunggulan yang membezakannya dari versi stereotaip, memperlihatkan keistimewaan keupayaan, menggabungkan tiga tenaga utama, pertama: institusi takhta, dilambangkan oleh Raja, kedua: institusi demokrasi, dimanifestasikan melalui Perlembagaan, ketiga: institusi moral atas nama Islam. Bahawa kejayaan yang tercipta sehingga kini adalah hasil daripada peranan bersepadu di antara tatanegara sosial dan sivil; gabungan Raja, Perlembagaan dan Islam. 

Kebijaksanaan Raja sehingga kini adalah kejayaan mengintegrasikan ketiga-tiga tenaga utama tersebut menjadi satu tenaga yang amat dinamik dalam menstabilkan dan memakmurkan sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Kesaktian daripada rangkuman tiga komponen - Raja, Perlembagaan dan Islam telah menghasilkan kepaduan yang dihasratkan. Ia turut memberikan kesinambungan serta membuahkan nikmat keharmonian sosial, juga turut memperkukuhkan cara demokrasi dapat berfungsi dan mendasari kestabilan sosial serta kestabilan politik.
PENUTUP
Ujian kepada kandungan yang tersirat dalam Perlembagaan akan menjelma ketika berlakunya situasi kejutan yang tidak ada duluan (precedent), situasi kejutan yang berpotensi mencetuskan senario baru. Ketika menghadapi saat-saat sedemikian, hikmah pemimpin, terutama Raja yang bertakhta di atas politik dan bersemayam di atas birokrasi pentadbiran harian, berperanan amat penting untuk melakukan analisis bijak lagi tepat dengan merumuskan penyelesaian secara adil lagi saksama. 

Bermula daripada Pilihan Raya Umum Kedua Belas, landskap politik negara menghadapi perubahan. Dikatakan telah berlaku tsunami politik, memperlihatkan negara semakin menuju kepada senario politik dua parti. Senario ini, jika berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, ditangani secara bijak lagi berhikmah, dilihat, berpotensi memberikan impak positif, menyuburkan amalan demokrasi.
Tetapi, kelihatan, kaedah menuju ke senario tersebut, bagai mencetuskan gelombang perpecahan, yang ombaknya semakin menghempas minda warga. Warga kelihatan semakin terpisah hingga benteng perpaduan kelihatan semakin retak. Lebih membimbangkan, jika keretakan itu tercetus atas nama agama - atas nama kaum. 

Dalam senario sedemikian, keluhuran institusi Raja perlu dilindungi daripada sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga setia. Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula, kisah perit hikayat lama; betapa akibat fitnah dan hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh.
Tercetuslah sengketa antara dua saudara yang sebangsa - seagama - seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri; yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, bergambir dan berpinang sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur.

Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita - diimbangkan berita. Raja juga dikurniakan Ilahi dengan akal - dengan fikiran, dilengkapkan dengan deria - disempurnakan dengan hati. Raja juga memikul amanah Allah Subhanahu Wataala yang wajib dipenuhi. Sebagai Amirulmukminin, Raja bertanggungjawab menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah kepada watan - kepada ummah. 

Setiap minggu di mimbar Jumaat, Katib mendoakan - jemaah mengaminkan, akan kesejahteraan Raja, agar Raja berdaulat lagi mulia, gagah lagi perkasa, memerintah secara adil lagi saksama, supaya negara aman, sentosa, selamat lagi sejahtera. Warga semestinya meletakkan harapan agar doa mereka dikabulkan Ilahi. Ia tidak sekadar doa, ia juga seruan - ia juga peringatan, akan tanggungjawab dan harapan yang diletakkan kepada Raja.