Patriotisme: Menjana Jatidiri Generasi Pewaris

Patriotisme : Menjana Jatidiri Islamik Generasi Pewaris


Patriotik atau patriotisme membawa maksud semangat kecintaan dan sayangkan kepada negaranya. Ianya juga dikenali sebagai nilai nasionalisme warga sebuah negara. Perkara ini harus difikirkan dan difahami memandangkan ianya semakin terhakis terutamanya kalangan generasi kini lantaran arus perubahan semasa. Walhal ianya adalah suatu kepentingan bagi wadah murni kepada rakyat dan negara.

Sikap tidak ambil kisah dan tidak peduli menjadi penyumbang kepada hakisnya sikap cintakan negara dan kurangnya nilai patriotisme yang menjadi teras penting bagi sesebuah negara. Patriotisme dari perspektif Islam adalah tidak bercanggah dengan kehendak negara bahkan Islam menjadi teras sebagai pemacu dan penyuluh kepada menjana dan membina nilai patriotisme hakiki yang diredhai Ilahi. Sebagaimana maksud Hadis Saidina Rasulullah SAW (Kasihkan Watan merupakan sebahagian daripada iman ). Secara jelas Islam memerintahkan umatnya agar cintakan dan sayangkan tanahairnya. Begitu juga Junjungan Agung Saidina Rasulullah SAW rasa bangga dengan keturunan kearabannya dan bahasa Arab yang boleh disifatkan sebagai nasionalisme dalam makna pada hari ini. Iaitu sikap sayangkan dan rasa bangga yang tidak dilarang oleh Islam bahkan ianya menjadi tuntutan apabila Rasulullah SAW sendiri menjadi qudwah agar kasihkan bangsa dan negara tanahainya sendiri. Iaitu taksub yang tidak membawa kepada kehancuran dan perpecahan bahkan membawa kebaikkan dan kemaslahatan.

Patriotisme Islamik
Dalam memahami pengertian patriotisme Islamik ialah suatu nilai murni yang tidak bercanggah dengan agama dan menurut acuan Islam, dimana agama menjadi pemacu dan penyuluh bagi agenda patriotisme yang hakiki mengikut acuan tuntutan agama. Ianya tidak bercanggah dengan kehendak negara, tiada pemisahan antara agama dan bernegara bahkan Islam sebagai roh kepada nilai-nilai patriotisme yang hakiki.

Sejarah Sebagai Panduan Strategis
Agama Islam menyarankan umatnya agar mengambil iktibar dan pengetahuan sesuatu peristiwa, kejadian, kisah sesuatu kaum dan tempat bersejarah sebagai peringatan dan pengajaran berguna bagi tatapan dan kerangka amali bagi kemaslatan kehidupan kini dan masa depan. Sebagaimana begitu banyak ayat-ayat al-Quran yang memaparkan kisah-kisah silam, peristiwa, manusia silam sebagai pengajaran, peringatan dan tauladan kepada generasi massa dan amat berguna bagi rujukan sepanjang zaman. Paparan al-Quran begitu strategis dan hanya dapat dihayati secara mendalam oleh kalangan para solohin, ahli zikr dan ulul albab dan mereka yang mendampingi golongan tersebut.

Malaysia sebuah negara merdeka yang telah mengistiharkan kemerdekaannya pada tanggal 31 Ogos 1957 , merupakan tarikh bertuah bagi seluruh rakyat Malaysia. Dan tarikh ini sememangnya telah dipilih dan ditentukan oleh tokoh Ulamak Melayu bernama Abdullah Fahim (iaitu datuk kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi). Iaitu suatu tarikh yang strategis mengikut ahli falak dan dilakukan oleh seorang ulamak.

Sejarah nusa dan bangsa, liku-liku pembentukan negara merdeka, perjuangan tokoh-tokoh pahlawan dan ulamak Melayu dalam menentang penjajah, memerangi kezaliman dan di dalam dakwah Islamiah begitu penting bagi informasi tatapan generasi kini. Bahkan sejarah menjadi panduan bagi membina tamadun dan kegemilangan empayar Melayu di nusantara kerana bangsa Melayu merupakan bangsa bertamadun yang pernah mencapai kegemilangannya di zaman silam. Nilai-nilai informasi sejarah dapat melahirkan rasa bangga kepada bangsa sendiri, agama, bahasa, budaya dan mewujudkan sikap sayangkan bangsa, agama dan tanahair.

Benteng Dan Acuan Sendiri
Dalam memahami dan menanam jatidiri untuk penghayatan generasi kini ialah dengan nilai patriotisme Islamik, kerana Melayu dan Islam bagaikan sebati sejak berzaman dan tidak boleh dipisahkan. Iaitu kecintaan kepada negara mengikut acuan Islam dan diredhai Ilahi. Kerana patriotisme yang tidak mengikut acuan Islam boleh membawa kehancuran dan ketiadaan keredhaan Ilahi. Justeru jatidiri yang Islamik adalah mencakupi tuntutan dan larangan Ilahi bagi kemaslatan ummah yang tidak mampu dan terbatasnya kemampuan akal fikiran manusia untuk mengetahuinya. Agama menjadi teras kepada membina jatidiri insan yang patriotik mengikut acuan Islam.

Patriotisme menjadi benteng pertahanan penting yang tidak dilihat secara zahir bagi rakyat sesebuah negara, ianya mempunyai nilai strategik kepada insan Muslim, masyarakat, negara dan ummah sejagat. Segala ancaman yang berbentuk tidak zahir yang datang boleh dibenteng dengan nilai patriotisme Islamik, begitu juga daripada ancaman gejala sosial, kejadian jenayah, perbalahan kaum dan agama, kekacauan dan perpecahan rakyat bagi sebuah negara dan juga daripada ancaman asing.

Patiotisme menjadi pemangkin bagi menjaga kesucian Islam, kemurniaan masyarakat, keamanan dan kestabilan negara daripada krisis politik, krisis perkauman, krisis agama yang dapat menjana kestabilan politik, keamanan dan pertumbuhan ekonomi masyarakat dan negara. Jatidiri patriotisme akan dapat menjadikan insan yang berguna kepada masyarakat, agama dan negara dalam memberi sumbangan dan khidmat serta begitu penting kepada negara ketika keadaan negara dilanda kesusahan, bencana dan sebagainya yang dapat mengurangkan beban dan kekusutan masalah ketika dalam keadaan tersebut.

Tuntutan cintakan negara menjadi teras bagi penghayatan dan roh patriotisme. Kerana nilai sayangkan dan cintakan menjadi agenda dan wadah bagi negara.

Anjakan Paradigma
Nilai-nilai patriotisme kini semakin terancam dan terhakis terutama kalangan generasi muda yang agak membimbangkan bagi masa depan negara kelak sekiranya kurang gerakan bagi membangkitkan kesedaran dan penghayatan nilai murni patriotisme secara berterusan. Memandangkan kurangnya penghayatan dan sikap tidak kisah sesetengah orang kepada sejarah negara dan bangsa tercinta. Bahkan sejarah tokoh-tokoh pejuang silam, ulamak-ulamak Melayu dalam membela bangsa, mempertahankan tanahair, menentang kezaliman dan di dalam dakwah Islamiah dilupakan dan tidak diketahui ramai orang. Walhal mereka menjadi nadi penggerak bagi kebangkitan semangat patriotisme demi agama, bangsa dan tanahair tercinta.

Suatu yang memilukan kedapatan sesetengah warganegara yang menunjukkan sikap tidak kisah dan tidak peduli terhadap nusa dan bangsa kerana hakisnya nilai patriotisme dalam diri masing-masing. Sikap sedemikian tidak menguntungkan kepada negara dan merugikan apabila negara dalam keadaan terdesak ditimpa kesusahan, bencana dan seumpamanya.

Lantaran perlunya kesedaran dan penghayatan patriotisme bagi anjakan paradigma kepada perubahan sikap dan pemikiran. Dengan demikian bagi pemupukan nilai-nilai patriotisme demi kemaslahatan sejagat dan kepada negara.

Proses membina dan menjana nilai patriotisme hendaklah diaktifkan dan memerlukan usaha secara berterusan dan kerjasama pelbagai pihak bagi agenda strategik kepada masyarakat dan negara tercinta. Kerjasama dan jalinan strategik harus digerakkan dengan sokongan dan dokongan semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan. Samaada ianya daripada agensi-agensi kerajaan , pihak swasta , badan-badan NGO, pusat-pusat pengajian, media massa dan parti -parti politik bagi agenda bersama demi negara tercinta.

Sistem pendidikan menjadi nadi kesedaran yang terpenting bagi menjana nilai patriotisme secara berterusan kepada generasi pewaris dan penyambung yang dapat membina kefahaman dan perubahan minda rakyat. Sejarah nusa dan bangsa , perjuangan tokoh-tokoh pejuang dan ulamak, karya-karya ilmiah mereka hendaklah dijadikan rujukan dan kajian berguna yang merupakan khazanah negara yang bernilai. Program, wacana dan aktiviti hendaklah diperbanyakkan kepada masyarakat yang boleh menjurus kepada nilai dan kesedaran patriotisme dan sikap rasa bertanggungjawab kepada bangsa dan negara. Seni, budaya, bahasa dan karya klasik mempunyai nilai sentimental penting yang dapat menjurus kepada penghayatan patriotisme. Bahkan budaya, seni dan adab-adab Melayu sememangnya tidak bersalahan dengan ajaran Islam yang menjadi sebati kalangan orang Melayu yang tidak boleh dipisahkan. Kegemilangan dan ketamadunan bangsa Melayu di zaman silam sememangnya mengikut acuan Islam. Begitu juga teras warisan Sunni Ahli Sunnah Waljamaah tetap menjadi pegangan umat Melayu yang harus dipertahankan dan diperkasakan. Secara langsung ianya menyumbang kepada ketuanan Melayu dan Islam di negara tercinta.

Khazanah ilmiah negara antaranya karya kitab jawi klasik, sejarah warisan bangsa dan nusa, tokoh-tokoh pejuang dan ulamak hendaklah diperkembangkan dan diperkenalkan secara meluas kepada generasi pewaris bagi melahirkan rasa bangga kepada bangsa, agama dan cintakan tanahair, seterusnya dapat memupuk nilai dan kesedaran patriotisme kalangan masyarakat generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Sememangnya nilai-nilai patriotisme menjadi tuntutan agama Islam, gerakan dalam menjana kesedaran dan penghayatan patriotisme sewajarnya dilakukan secara berterusan bagi wadah negara, bangsa dan agama tercinta ini..