Pengurusan Minda Strategis

PENGURUSAN MINDA STRATEGIS

Fitrah manusia inginkan hidup harmoni dan tenang bahagia bagi kehidupan di dunia ini dan akhirat kelak. Nilai murni yang berada di sanubari manusia sebetulnya inginkan kebaikan, kemajuan, kebahagiaan dan kesenangan hidup. Justeru perlunya proses untuk mengembalikan manusia kepada fitrah naluri yang hakiki. Islam Sememangnya agama yang komprehensif bagi kehidupan manusia dan bersifat sejagat.

Manusia dianugerahkan akal yang mulia untuk membolehkan mengerakkannya dalam kehidupan ini bagi kebaikan diri, ummah dan alam ini. Dengan memahami konsep habluminallah ( hubungan dengan Ilahi) iaitu sebagai hamba, dan konsep habluminannas (hubungan sesama manusia ) bagi kebaikan bersama dan memakmurkan alam ini.

Dengan adanya minda, setiap insan harus menggunakannya secara strategis bagi kebaikan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan ummah. Dimana fungsinya adalah bagi pelbagai lapisan kehidupan dan peringkat manusia. Minda strategis begitu penting bagi memacu insan kepada perancangan, tindakan, perlaksanaan dan bermuhasabah. Kesemuanya bagi kebaikan diri dan orang lain.

Tuntutan agama dan akal adalah selari bagi insan manusia. Begitu juga dalam konteks duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani, pembangunan insan dan pembangunan material.

Apa yang dimaksudkan dengan pengurusan strategik ialah kebolehan minda merancang, berfikir, menilai, menganalisis dan bertindak mengikut kepentingan, keutamaan dan kebaikan yang bukan sahaja bagi diri tetapi juga merangkumi kepada orang lain dan alam ini. Dengan ini dapat mengesani akan kebaikan, keburukan, kelemahan, ancaman dan peluang bagi sesuatu perkara dan tindakan.

Minda strategis adalah berbentuk harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Iaitu prosesnya secara bertahap, berhikmah dan sistematik bagi menghasilkan kesan yang positif dan berguna.

Pembentukan Minda
Pembinaan minda strategis adalah melalui pendidikan, keilmuan dan berfikir. Akal hendaklah digerakkan dengan ilmu pengetahuan dan daya berfikir bagi penambahbaikan dan daya intelek. Namun begitu minda hendaklah disepadukan dengan bimbingan rohani. Kerana akal yang bijak tanpa kejernihan rohani akan membawa kepincangan dan terpesong dari landasan sebenar agama. Justeru strategi bagi membina kecerdasan rohani adalah melalui amalan sunat seperti berzikir, membaca Quran ,selawat, wirid dan solat tahajud. Hati bersih begitu penting bagi petunjuk hidayah Ilahi. Dan ianya penting bagi insan yang memahami konsep habluminallah (hubungan dengan Allah) dan habluminannas (hubungan sesama manusia). Akal dan rohani mantap merupakan aset kepada minda strategis bagi gagasan keredaan Ilahi.

Rasulullah saw merupakan qudwah yang terbaik dan sempurna bagi manusia. Ianya meliputi segala aspek kehidupan manusia antaranya dalam strategi dakwah, pentadbiran, ibadat, khidmat sosial, peperangan, perdagangan, perniagaan dan diplomatik. Iaitu bagi kepentingan diri, keluarga, masyarakat dan ummah serta tanah air. Iaitu seorang insan yang mantap rohaninya dan mempunyai minda yang strategis lagi bijaksana.

Kekuatan rohani menjadi aspek keutamaan kerana ia menjadi pemacu yang cukup bermanfaat dan strategis di mana bantuan petunjuk Ilahi begitu penting kerana akal manusia begitu terbatas dan tidak mampu di dalam memikirkan bagi semua perkara. Keterbatasan akal hendaklah dieksploitasikan dengan kerohanian agar dapat memberi faedah yang efektif.

Sumber utama Quran dan Sunah hanya dapat ditadabbur melalui kesucian kerohanian manusia dan inilah rahsia bagi insan rabbani dan minda strategis.

Dengan memahami bagi pembentukan minda strategis, perancangan dan pelaksanaan hendaklah digerakkan. Masa begitu penting dan bernilai bagi ahli strategis. Justeru dalam kehidupan manusia ini masa diisi dengan perancangan yang bermanfaat.
* Iaitu peruntukan bagi melakukan ibadat sebagai matlamat habluminallah dan hakikat mahabbah kepada Ilahi. Ia harus meliputi ibadat wajib dan ditambah dengan perkara sunat kerana rahsia untuk mencapai hakikat insan rabbani adalah dengan ibadat sunat antaranya melalui zikir dan selawat yang merupakan sunnah darjat pertama dan amat bermanfaat. Dan ianya merupakan alat utama bagi proses penyucian hati dan dapat memantapkan kekuatan rohani insan. Ibadat hendaklah meliputi perkara umum dan khusus secara individu dan berjemaah.

* Kerjaya iaitu bukan semata-mata mencari keperluan duit tetap ia lebih luas kepada khidmat kepada organisasi kerja, keluarga, masyarakat dan negara. Menjadikan insan yang bertanggungjawab bagi setiap aspek pekerjaan yang dilakukannya dengan amanah dan bertanggungjawab. Bahkan kerja dapat difahami sebagai ibadat sekiranya ikhlas kerana Allah dalam urusan pekerjaannya. Justeru implikasi ini menghasilkan produktiviti yang bernilai, berkualiti, rajin, amanah dan jujur dalam kerjayanya. Serta mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang bermutu dan bersifat mesra alam dan manusia.

* Bersosial iaitu berukhuwah dan hidup bermasyarakat. Dengan hidup secara bekerjasama, perbincangan, berpersatuan bagi kebaikan bersama, solat berjemaah, sikap bergotong-royong dan saling membantu. Tanggungjawab kemasyarakatan adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak. Khidmat masyarakat hendaklah dijadikan agenda bersama dan sikap prihatin akan segala permasalahan setempat dan seterusnya.

* Ilmu menjadi teras bagi seseorang insan dalam kehidupan dunia hari ini, pengurusan ilmu hendaklah sentiasa ditambahkan dan diperkembangkan. Sama ada dengan ilmu agama dan ilmu berkaitan kehidupan dan bermaklumat massa. Jadilah insan yang berilmu dan bermaklumat, seterusnya dengan penambahbaikan ilmu secara berterusan ia diperkembangkan kepada orang lain. Kerana ilmu terus berkembang melalui sebaran kepada orang lain serta beramal dengannya yang dapat menghasilkan kesan kepada seseorang itu. Justeru menuntut ilmu tidak mempunyai titik noktah dan harus dipelbagaikan bidang dan aspek. Ilmu lah yang dapat membina minda dan membentuk pemikiran seseorang.

* Muhasabah merupakan suatu penilaian insan secara berterusan dari masa ke semasa bagi segala aspek yang dilakukannya. Proses muhasabah begitu penting dan memberi manfaat yang begitu besar. Dengannya kita dapat mengetahui kepincangan, kelemahan, keburukan, permasalahan bagi membuat perubahan kepada kebaikan, pengislahan, penambahbaikan dan perubahan. Dengannya kita dapat mengetahui kesilapan dan apa perubahan yang perlu dilaksanakan.

Kesedaran minda strategis dapat menjurus insan kepada hidup berkualiti dan membawa kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan ummah. Akal digerakkan kepada khidmat agama, bangsa dan negara serta mengikut fitrah dan acuan agama. Yang membentuk manusia yang sedia berkhidmat, mempunyai jatidiri dan bijaksana.

Kesepaduan rohani dan minda merupakan strategi bagi membina insan rabbani. Kerana melahirkan insan yang memahami hidup bermatlamat bagi membawa kebaikan kepada sejagat yang bukan bagi kepentingan diri sahaja. Menjadikan minda digerakkan untuk berfikir kepada aktiviti yang berfaedah, insan yang prihatin dan sedia memberi khidmat kepada apa-apa kebaikan.

Pembangunan minda dan rohani merupakan aset terpenting bagi gagasan membina peradapan manusia yang hakiki. Dengan kesepaduanya dapat menjadikan insan bergerak mengikut landasan yang betul dan sentiasa dikawal kepada menjurus kebaikan bukan setakat kepada dirinya sahaja tetapi akan turut bersama memberi kebaikan kepada orang lain dan bersifat sejagat. Inilah peradapan strategik bagi insan muslim, semoga ianya berlandaskan acuan Islam dan diredhai Ilahi.