Ilmu bermanfaat


Ilmu Bermanafaat

Ilmu menjadi teras bagi insan dan umat yang inginkan kejayaan dan ketamadunan samaada bagi kehidupan diri, kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ianya begitu luas mencakupi pelbagai bidang keilmuan. Yang menjadi fitrah sebagai manusia dan tuntutan sebagai insan.

Keperluan ilmu dan kemanfaatannya tidak dapat dinafikan dalam arus semasa kehidupan manusia. Islam begitu menitikberatkan aspek menuntut ilmu kepada umatnya yang bertujuan kebaikkan kepada diri dan dalam kehidupan semasa. Sesungghnya ilmu dijadikan tuntutan agama bagi agenda untuk diri dan memakmurkan alam ini dan bagi kehidupan manusia sejagat. Ilmu dan golongan berilmu begitu dimuliakan dan mendapat kedudukan istimewa di dalam Islam.

Sejarah telah memaparkan ilmu menjadi teras utama bagi kegemilangan sesebuah pemerintahan dan empayar di zaman silam dan didalam membina tamadun manusia. Begitu juga ilmu menjadi nadi penting kearah kemajuan dan kecemerlangan sesuatu bangsa. Begitu juga di zaman kegemilangan Islam di zaman Saidina Rasulullah, khalifah ar-Rasyidin, Umayyah, Abbasiah dan Osmaniah dan kegemilangan empayar Melayu di nusantara.

Ilmu Dan Kemanfaatannya
Ilmu bermanfaat adalah ilmu yang berguna dan berfaedah samaada bagi diri manusia dan kepada alam sejagat. Dalam konteks Islam ilmu bermanfaat mempunyai nilai berterusan dan ganjarannya sebagai amal soleh bagi kehidupan duniawi dan ukhrawi kelak. Dengan matlamat kebaikkan kepada manusia dan didalam memakmurkan alam ini.

Tuntutan menuntut ilmu menjadi kewajipan bagi insan muslim, lantaran konsep keilmuan dalam Islam dikategorikan tuntutan fardu Ain dan tuntuan fardu kifayah. Iaitu fardu Ain menjadi kewajipan bagi setiap insan muslim mempelajari dan mengetahuinya dan menjadi tuntutan bersifat individu yang menjadi asas utama, manakala ilmu fardu kifayah adalah tuntutan umum dan tidak menjadi kewajipan setiap insan bahkan memadai mana-mana insan yang mengetahui dan mempelajarinya.

Ilmu menjadi teras bagi wadah Habluminallah (hubungan dengan Ilahi) dan Habluminannas ( hubungan sesama manusia). Al-Quran dan Hadis banyak menyatakan kepentingan ilmu dan kemuliaannya serta kedudukan mulia mereka yang berilmu. Firman Allah Taala yang bermaksud :
( Adakah sama orang yang berilmu dengan orang tidak berilmu)

(Diangkatkan Allah Taala merka yang berilmu dari kalangan kamu dan mereka yang mengajarkannya dengan beberapa kedudukan darjat)

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
( Menuntut ilmu adalah adalah fardu bagi setiap muslim)

Ilmu fardu Ain dalam keilmuan agama adalah teras terpenting bagi insan muslim mengetahui dan mempelajarinya. Ianya mencakupi ilmi asas agama iaitu Usuluddin, Feqh dan Tasawuf. Usulddin suatu ilmu yangmembicarakan hal akidah Islamiah, Feqh membicarakan tentang ibadat dan amalan zahir manakala Tasawuf mencakupi aspek penyucian hati, akhlak dan hal kerohanian. Yang kesemuanya merupakan ilmu syariat Islam.

Ilmu fardu kifayah adalah ilmu bukan teras antaranya lanjutan ilmu-ilmu pengajian Islam lain seperti Tafsir, Hadis, Sirah dan lain-lain. Yang juga merangkumi ilmu-ilmu lain seperti pengurusan, ekonomi, politik, pentadbiran, pertahanan, sains, teknologi dan lain-lain. Yang merangkumi ilmu agama dan akademik iaitu antara perkara duniawi dan ukhrawi.

Di dalam Islam pembahgian ilmu secara mendalam adalah antara ilmu yang dipelajari dan ilmu anugerah Ilahi. Yang dikenali ilmu dirayah dan ilmu warasah (pemberian Ilahi kepada insan bertakwa dan pilihan Ilahi iaitu kepada Ulamak dan para auliyaa’).

Sebagaimana maklum tuntutan menuntut ilmu adalah bagi diri sendiri dan juga bagi orang lain bagi wadah hidup dalam kemasyarakatan untuk memakmurkan alam ini. Serta bagi mencapai apa yang diperkatakan sebagai konsep Habluminallah (Hubungan dengan Ilahi) dan konsep Habluminannas (hubungan sesama manusia)

Nilai ilmu dan mereka yang berilmu dimuliakan di sisi Islam sehinggakan mendapat tempat istimewa di sisi Allah Taala. Ilmu menjadi saham akhirat yang berterusan bagi sesiap sahaja yang meninggalkannya kepada orang lain yang merangkumi apa sahaja ilmu yang membawa faedah samaada ilmu agama dan ilmu bukan agama. Dimana ianya menjadi amal berterusan seseorang insan wallaupun ke alam akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ( apabila mati seseorang anak Adam terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya ).

Prinsip-prinsip Pembelajaran Ilmu Agama
Disiplin dalam sesuatu ilmu adalah penting lebih-lebih lagi ianya dikategorikan sebagai ilmua agama. Ianya harus dititiberatkan bagi memastikan ketulenan dan kebenaran ilmu tersebut mengikut kehendak al-Quran dan as-Sunnah.

Berpaksi kepada warisan Sunni Ahli Sunnah Waljamaah sebagai paksi asas sebenar pegangan umat Islam.
Tradisi sanad pembelajaran dengan mempunyai rujukan guru/pembimbing bagi wadah keberkatan dan kesinambungan secara berijazah bersanad dari seseorang kepada seseorang. Sabda Rasulullah SAW ( Ulamak adalah pewaris para nabi) dan Sabda Rasulullah SAW ( Bertanyalah Ahli Zikr sekiranya kamu tidak mengetahui.. )

Merujuk kepada kitab-kitab atau karya ulamak Islam yang berpaksi kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Kepincangan dalam memahami ilmu-ilmu agama antaranya kedapatan yang memahami agama dengan berguru kepada akal fikiran dan merujuk kepada mereka yang tidak berpaksi kepada pegangan Ahli Sunnah waljamaah yang sebenar mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah.

Adalah tidak menjadi kesalahan mencari ilmu agama dengan membaca samaada melalui bahan-bahan bertulis dan bercetak dan seumpamanya namun pentingnya mempunyai rujukan guru sebagaimana tradisi pembelajaran agama yang harus dipertahankan dan diperkasakan bagi memastikan kefahaman agama adalah tidak menyeleweng dari tuntutan sebenar. Dengan matlamat agar diredhai Ilahi dan keberkatannya.

Ilmu harus diamalkan dan dipraktikkan kerana ilmu yang banyak tetapi tidak diamalkan akan membawa kepada kemudaratan terhadap seseorang itu. Para ulamak mengingatkan ilmu tanpa zikir dan penyucian hati boleh membawa kepada rasa takabbur dan terseleweng dari kefahaman yang sebenar. Ini adalah bagi memastikan proses keilmuan tetap berpaksi dan mengikut landasan benar dan betul mengikut al-Quran dan as-Sunnah iaitu dalam acuan Islam sebagai ad-Din. Yang dapat membawa kebaikkan diri dan orang lain serta bagi matlamat yang diredhai Ilahi.

Proses Menjana Keilmuan
Ilmu dapat menjana minda dan pemikiran seseorang kepada kecerdasan akal dan pengetahuan. Ianya suatu proses yang menggerakkan otak untuk menjadikan insan berpengetahuan dan berilmu. Proses-proses keilmuan sememangnya mengambil masa dan perlunya secara konsisten. Iaitu antaranya melalui pendidikan, pengajian, pembacaan, penyelidikan dan pengalaman. Samaada melalui pendengaran, bahan bertulis, bercetak dan bersumberkan pengalaman dalam kehidupan manusia.

Tuntutan dunia hari ini yang mengerakkan manusia kepada perkembangan keilmuan dan menjadi tuntutan agama untuk terus menerokainya, mengembangkannya dan menaburinya bagi kemanfaatan diri, manusia dan alam sejagat. Ilmu yang bermanfaat menjadi wadah mulia dan agung bagi gagasan menjana modal insan. Kerana insan berilmu menjadi aset bagi kehidupan dunia hari ini. Kedudukan ilmu dan orang yang berilmu tetap dimuliakan samaada di sisi agama maupun di sisi manusia amnya. Adalah menjadi fitrah tuntutan sebagai manusia untuk terus mencari ilmu. Ilmu bermanfaat menjadi pemacu dalam wadah memakmurkan alam ini dan bagi kemaslahatan kehidupan manusia sejagat.