FIKRAH: Hadith Najd: Kebenaran Yang digeruni & Pembohongan Fakta




Hadith Najd – Kebenaran Yang Digeruni dan Pembohongan Fakta

Terdapat sepotong hadith yang amat digeruni oleh sesetengah pihak hinggakan mereka sanggup mengeluarkan pelbagai helah termasuk memalsukan fakta serta memutarbelitkan kesahihan maksud supaya tidak terkena pengertian hadith tersebut kepada mereka.

Hadith yang saya maksud itu adalah hadith yang popular disebut sebagai hadith Najd”.

Sebelum saya teruskan penghujahan ini izinkan saya maklumkan kepada para pembaca sekelian bahawa saya bukan seorang ustaz mahupun seorang “protaz” yang mahir bab hadith. Apa yang saya cuba tulis hanyalah semata-mata setakat kadar kemampuan orang umum seperti saudara semua yang mampu untuk berfikir serta meneliti fakta yang ada secara akademik.

Saya tidak mengulas dari aspek Fiqh dan Syariah yang cukup kemas telah dihujahkan oleh ilmuan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pendekatan saya lebih kepada “common-sense” menurut fakta geografi dan yang berkaitannya.

Hadith dari Sahih Bukhari tersebut adalah seperti berikut (terjemahannya):

Ibn 'Umar meriwayatkan bahwa Nabi s.a.w. berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Aku agak pada (permintaan) yang ketiga Baginda bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”

Hadith tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa yang boleh diharapkan dari Najd kecuali mala petaka dan fitnah yang dahsyat serta tempat keluarnya tanduk shaytan.

Bagi menjustifikasi tempat yang dimaksudkan dalam hadith tersebut bukan terkena kepada kepada mereka yang gerun dilabel dari pengikut ajaran berasal dari Najd, mereka akan cuba mencari helah serta memalsukan fakta agar Najd itu diterjemahkan sebagai terletak di Iraq bukan di Hijaz Arab.

Bagi orang-orang arab dari zaman dahulu lagi, Najd memang difahami bahawa ianya ialah tanah tinggi sebelah timur Madinah di tengah-tengah Hijaz. Dan sememangnya terdapat tempat yang bernama sedemikian sejak dari zaman itu lagi. Malah di zaman Rasulullah s.a.w. telah pun berlaku Peperangan Najd pada tahun 4H.

Najd terletak di timur Madinah al Munawwarah
Dalam banyak hadith lain, Najd itu disebut sebagai terletak di sebelah timur Madinah. Dan sememangnya jika dilihat kedudukan koordinat geografi, Najd/Riyadh terletak pada 2443N 04644E, manakala Madinah terletak pada 2433N 03942E. Kedudukan Riyadh/Najd hampir pada garis darjah latitude yang sama (beza 10 minit sahaja – bukan ukuran waktu tetapi ukuran latitude) dengan Madinah betul-betul sebelah timur.

Helah yang digunapakai bagi mereka yang gerun dengan hadith ini ialah mereka mengatakan bahawa Iraq sememangnya di sebelah timur. Tetapi yang sebenarnya, latitude yang paling rendah bagi Iraq ialah sekitar 3040N (kota Basrah). Baghdad pula 3340N.

Dengan kedudukan latitude sedemikian, Iraq terletak di antara 0 – 40 darjah ke utara Medinah. Bukan timur. Kalau nak dikatakan timur, ianya sepatut disekitar 90 +/- 20 darjah dari Medinah.

Saya petik di sini pemalsuan fakta yang dilakukan seorang yang bergelar ustaz dalam sebuah artikel beliau “Maksud Najd”:

“Dari sudut geografi pula, kawasan Najd yang meliputi daerah Hijaz dan Al-Yamamah (tempat lahir Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab) secara tepatnya terletak di sebelah Timur Makkah, dan bukannya di sebelah Timur Madinah. Justeru oleh kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengisyaratkan bahawa fitnah itu datang dari sebelah Timur Madinah, maka ia sudah tentu bermaksud negeri Iraq kerana ia sememangnya terletak pada arah yang berkenaan. Dengan mengambil kira tafsiran daripada keseluruhan riwayat hadith, penjelasan para ulama, asal usul bahasa, geografi dan realiti sejarah, maka sahlah bahawa perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadith itu ialah negeri Iraq dan kawasan persekitarannya yang turut merangkumi negeri Iran pada masa kini.”

Bandingkan fakta geografi yang beliau kemukakan dengan apa yang telah saya perturunkan di atas. Cari di mana kedudukan Mekah dan Medinah dan bandingkan dengan kedudukan Riyadh/Najd dan Iraq. Bagaimana pula Riyadh/Najd boleh dikatakan terletak di timur Mekah?

Saya rasa peta di bawah ini mampu memberi gambaran yang amat jelas kecuali bagi mereka yang tidak bersedia menerima penghujahan yang:

Lihat garis latitude (biru) Madinah dengan Riyadh/Najd. Bandingkan kedudukan Iraq yang sebelah utara Madinah. Saya serahkan kepada para pembaca yang arif untuk membuat kesimpulan apa yang kedudukannya di timur Medinah dan apa yang di utara Medinah.

Najd terletak di tanah tinggi
Sememangnya Najd/Riyadh di Hijaz terletak di kawasan tanah gurun yang dipanggil pergunungan Najd (memang nama asalnya) yang terletak di sebelah timur Madinah. Ianya pada paras sekitar dari 2,500-5,000 kaki dari paras laut.

Helah Najd dimaksudkan kawasan tanah tinggi itu yang dikatakan mereka sebagai terletak di Iraq adalah tidak benar. Ini kerana permukaan topologi Iraq lebih banyak tanah rendah dari tanah tinggi. Ternyata hujah itu sekali lagi tidak benar. Sebagai contoh Baghdad terletak sekitar 100+ kaki dari paras laut dan begitu juga Karbala dan Najaf yang berdekatan dengan Baghdad.

Kawasan yang dikatakan tanah tinggi di Iraq (berdasarkan peta politik kini) hanya terdapat kawasan tingginya di sempadan Turki (yang dikira sebagai Kurdistan) dan sempadan Iran. Ianya merangkumi sekitar 1/5 dari seluruh topologi bumi Iraq moden. Dan kawasan-kawasan tinggi Iraq ini jauh lebih utara lagi.

Izinkan saya petik tulisan ustaz yang saya rujuk itu lagi:

“Sumber rujukan bahasa yang utama seperti Lisan Al-’Arab, Mu’jam Maqayis Al-Lughah dan Al-Qamus Al-Muhi telah mengesahkan bahawa makna asal perkataan najd ialah kawasan tanah tinggi, sama seperti yang telah dinyatakan oleh Al-Khattabi dan Al-Hafiz Ibn Hajar. Justeru gelaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada negeri Iraq dengan nama najd mesti dilihat sebagai penjelasan bagi bentuk muka bumi negeri berkenaan yang berada di kawasan tanah tinggi dan bukannya panggilan bagi suatu tempat yang khusus.”

Apakah ustaz itu hendak menolak fakta geografi yang menunjukkan “Plateau of Nejd” ini adalah kawasan tanah rendah yang tidak pula terletak di timur Madinah?

Najd memang tempat mula berlaku fitnah dan kacau-bilau pertama

Kemudian disabitkan pula dengan Iraq kerana di Iraq itu berlakunya pelbagai peperangan, pembunuhan dan sebagainya termasuk yang dikaitkan dengan pembunuhan cucunda Rasulullah s.a.w. dan kejatuhan kota Bahgdad oleh Tartar.

”Begitu juga dengan fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam, bermula dari zaman Sahabat sehinga ke hari ini, kebanyakannya berpunca di Iraq. Gerakan bughah (penentang khalifah), Khawarij dan Syiah pada zaman Khalifah ‘Uthman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhuma yang menjadi punca tercetusnya fitnah perselisihaan di kalangan umat Islam bermula di Kufah. Begitu juga Perang Jamal, Siffin, Nahrawan, fitnah pembunuhan Husain cucunda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, fitnah Mukhtar Ath-Thaqafi yang mendakwa kenabian dan serangan tentera Tartar pada zaman kerajaan Bani Abbasiyyah, semuanya berlaku di Iraq.”

Jelas yang amat ketara mereka ini sengaja melupakan peristiwa yang lebih besar dan lebih awal dari peristiwa-peristiwa yang beliau petik iaitu peristiwa pemberontakan Musailamah al-Kadzab. Pemberontakan itu adalah antara yang pertama berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Apakah pemberontakan Musailamah itu lebih kecil lagi dari perselisihan yang berlaku di zaman terkemudian?

Kenapa “peristiwa Musailamah” ini cuba diperkecilkan oleh mereka? Sebenarnya Musailamah al-Kadzab ini juga dari Najd. Ini jelas sekali puak mereka ini berusaha sesungguhnya untuk mengelakkan peristiwa besar pemberontakkan Musailamah yang tempat asalnya juga Najd dikaitkan dengan Hadith Najd yang amat digeruni mereka.

Garis gempa bumi – “Najd Fault System”

Disebutkan dalam hadith tersebut peristiwa yang akan berlaku antaranya ialah gempa bumi. Dan dikatakan mereka yang gerun dengan hadith Najd ini bahawa Najd tidak pernah berlaku gempa bumi.

Pertamanya, dari sudut tidak pernah berlaku tidak menjamin gempa tidak akan berlaku.

Keduanya, tidak terletak digarisan yang kerap berlaku gempa tidak juga menjamin gempa tidak akan berlaku.

Namun, kedua-dua hujah yang diguna di atas ialah satu lagi contoh mereka gemar memalsukan fakta.

Di tengah-tengah negara Saudi terdapat satu garisan “fault” yang berpotensi untuk berlaku gerak gempa yang para ahli geologis memanggil garisan itu dengan nama yang mereka geruni - Najd Fault System. Malah satu letupan gunung berapi pernah tercatat pada tahun kurun 13 masehi. Dan gegaran yang terakhir dikesan dari “fault-line” ini ialah pada tahun 1999.

Walaubagaimanapun, jika tiada “fault system” di kawasan Najd pun apakah kita boleh jamin 100% bahawa gempa tidak boleh berlaku? Apakah pula kemungkinan gempa yang disebut dalam hadith itu sebagai suatu gambaran kepada peristiwa lain yang mengambarkan suasana seolah-olah gempa yang berlaku yang menjadikan masyarakat dan segala sistem perjalanan hidup kacau-bilau?

Hadith Albani disandarkan untuk mengantikan Hadith Najd dengan perkataan Iraq
Hujah yang dipegang kuat oleh mereka bagi mengatakan hadith tersebut sebenarnya dimaksudkan sebagai Iraq dan bukan Najd disandarkan kepada hadith yang dikeluarkan oleh Albani. Tidak ada seorang pun pengumpul hadith yang besar meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab-kitab mereka.

Dan selain dari menukarkan Najd kepada Iraq, hadith Albani itu ditokok tambah lagi mengaitkan keberkatan kepada Mekah dan Madinah di samping Syams dan Yaman.

Apa kaitan Najd dengan Riyadh
Dalam tulisan ini saya kerap mengguna perkataan Riyadh bersilih-ganti dengan Najd. Nanti ada pula yang menuduh apakah saya tidak tahu bahawa itu adalah dua perkataan yang berbeza. Nanti ada pula mereka yang menuduh saya tidak tahu fakta.

Sebelum saya dituduh sedemikian dan bagi mereka yang kurang tahu kedudukan bandar-bandar dan wilayah di Saudi biar saya perjelaskan di sini.

Bandaraya Riyadh lahir dan membangun hasil dari mula pemerintahan gandingan kuasa keluarga Ibn Saud dan Ibn Wahhab. Ianya terletak di wilayah yang dulunya dipanggil sebagai Wilayah Najd. Namun kini, wilayah tersebut telah turut ditukar (saya tidak dapat mencari tarikh penukarannya) dan secara rasminya kini dipanggil Wilayah Riyadh.

Dan Muhammad bin Abdul Wahhab sememangnya lahir dari sebuah perkampungan di daerah atau wilayah Najd itu. Dan begitu juga dengan Musailamah.

Penutup

Apakah yang sebenarnya mereka takut dengan hadith Najd ini? Apakah mereka gerun jika tempat timbulnya ajaran baru Wahhabi dari Najd ini dikaitkan dengan Musailamah dan dikaitkan pula dengan erti “tempat terbitnya tanduk syaitan?

Saya serahkan kepada para pembaca budiman untuk membuat rumusan sendiri. Bagi saya, setakat fakta yang mampu saya cari dan diberi pertunjuk, saya yakin dan percaya tanpa syak bahawa hadith yang dibicarakan ini memang dimaksudkan kepada ajaran bawaan Muhammad Abdul Wahhab ini.

WalLahu’alam
Abu Imran Ismail