Soal Jawab Mufti




Tariqat Sufiyyah

Soalan :Adakah tariqat itu dianjurkan oleh syarak atau tidak? Adakah termasuk di dalam amalan tariqat memukul-mukul badan dengan pedang atau lembing, memegang ular-ular berbisa, mengunyah kaca dan mata pisau cukur?

Jawapan :Tasawuf yang sebenar ialah berusaha untuk memilih akhlaq sepertimana akhlaq RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam di dalam amalan, percakapan dan segala tindakan serta berpegang teguh dengan apa yang disampaikan oleh syarak iaitu dengan cara mematuhi segala perintah , menjauhi segala larangan dan menyerah diri kepada ketentuan qadha' dan qadar. Ahli tasawuf yang benar ialah seorang yang tidak beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan aula (utama) disamping menjauhkan diri daripada perkara haram dan makruh.Dan ahli tasawuf juga tidak menjadikan tasawuf sebagai sumber rezeki dan kehidupan serta tidak menggunakan helah atau mengeluarkan kata-kata melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Dia juga tidak berhasad dengan dan membenci melainkan kerana ALLah dan menghadapi kejahatan dengan kebaikan.Sekiranya sesuatu tariqat bersifat seperti di atas maka ia di kira termasuk di dalam syariat kerana ia berakhlaq dengan apa yang disebut tadi, contohnya : ahli tariqat itu mengeluarkan kata-kata yang tidak diperakui oleh syariat atau berlebih-lebih atau menyifatkan imam-imam tasawuf dengan sifat-sifat yang berlebihan seperti menganggap mereka itu sehingga melebihi taraf sebagai seorang manusia, atau mengambil kesempatan daripada tasawuf untuk mengaut harta dan sumber pendapatan hidup atau malas untuk bekerja sehingga dia bergantung kepad aorang ramai, maka tasawuf seperti ini adalah satu kejahilan. Adakala ia membawa kepada kesesatan dan bukannya tasawuf yang digariskan oleh syarak.Di antara syarat-syarat yang mesti dimiliki oleh ahli tariqat adalah seperti berikut :a. Ahli tariqat mestilah 'alim (pakar) dengan ilmu fiqh dan syariat Islam atau sentiasa belajar dengan alim ulama.b. Di hendaklah beramal dengan ilmunya.d. Dia hendaklah melazimi adab-adab Islame. Dia sentiasa mendampingi orang-orang soleh untuk mencontohi mereka.Sekiranya dia tidak memiliki satu sahaja daripada syarat-syarat di atas, maka dia bukanlah seorang sufi yang sebenar. Manakala pertanyaan mengenai hukum memukul-mukul badan dengan tombak atau pedang, memamah kaca dan memegang ular-ular berbisa. Sekiranya perlakuan itu berlaku daipada seorang lelaki yang bertaqwa, ahli ibadah dan solah, maka tidaklah menjadi tegahan sekiranya dianggap sebagai karomah atau kemuliaan daripada ALlah ta'ala.Sekiranya lelaki itu tidak bertaqwa atau cuai daripada melaksanakan syariat, maka perkara itu dikira sebagai istidraj - yang mana ALLah subhanahu wa ta'ala memberinya perkara seperti itu supaya dia menjadi bertambah tertipu dengan dirinya sendiri, kerana dia merasakan sudah mencapai peringkat orang soleh sedangkan realitinya adalah sebaliknya.Kemungkinan juga perkara-perkara itu boleh dihasilkan melalui kebiasaan dan latihan sepertimana ia terjadi pada kebanyakan orang-orang kafir. Penghuraiannya secara detail akan didatangkan selepas ini.

Menurut pendapat Prof Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir) apabila ditanyakan mengenai tarekat sufi dan tasawuf. Maka beliau telah mengatakan begini :

Jawapan :Tasawuf adalah kaedah pendidikan kerohanian dan perilaku yang membentuk seorang Muslim hingga mencapai tingkat ihsan, yang didefinisikan oleh Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :" Bahawa kamu menyembah ALLah subahanahu wa ta'ala seakan-akan kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu." (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 1m hlmn 27; Bukhari, Sohih Bukhari, vol 1, hlmn 27; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 1, hlmn 37).Jadi tasawuf adalah program pendidikan yang menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa manusia daripada seluruh penyakit-penyakitnya yang menjauhkan manusia dari ALLah subahanahu wa ta'ala dan membetulkan kelakuan dan perilaku yang menyimpang dalam segala hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan ALlah subahanahu wa ta'ala, hubungan sesama manusia dan dengan ego diri. Tarekat tasawuf adalah lembaga yang melaksanakan pembersihan jiwa dan pelurusan perilaku tersebut. Manakala syeikh adalah khadim atau ustaz yang bertugas melakukan hal itu bersama penuntut atau murid.Jiwa manusia pada tabiatnya merupakan tempat yang di dalamnya terhimpun pelbagai penyakit-penyakit seperti sombong, 'ujub (bangga diri/bongkak), angkuh, egois, kikir (kedekut), marah, riya' (menunjuk-nunjuk), dorongan maksiat dan derhaka, hasrat memuaskan diri dan membalas dendam, benci, dengki, menipu, tamak, dan loba.ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman dalam mengungkapkan perkataan isteri al Aziz (penguasa Mesir) yang bererti : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), sebab sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Yusuf:53)Oleh itu, orang-orang yang awal daripada para pendahulu kita bersikap arif dan cerdas memandang pentingnya pendidikan akhlaq dan membersihkan peribadi daripada penyakit-penyakit ego agar dapat berjalan selaras dengan masyarakat dan beruntung di dalam melangkah menuju Tuhannya.

Tarekat tasawuf mesti dilengkapi dengan beberapa syarat antara lain:Pertama : Berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah sebab tarekat tasawuf itu adalah kaedah al Quran dan Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi al Quran dan Sunnah, maka bukan bahagian dari tarekat, bahkan tarekat sendiri menolak perkara itu dan melarangnya.Kedua : Tarekat tidak mengajarkan ajaran-ajaran yang terpisah dari syariat, tetapi ke arah mempersiapkan manusia menuju kepada intinya.

Tasawuf mempunyai tiga fenomena pokok yang seluruhnya dilandaskan di atas ajaran al Quran al Karim iaitu :1. Menumpukan perhatian terhadap keadaan jiwa, mengawasinya dan membersihkannya dari unsur tercela. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka ALLah subahanahu wa ta'ala mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang mneyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya, merugilah bagi orang-orang yang mengotorinya (jiwa itu)." (Surah Asy Syams :7-10)2. Banyak-banyaklah berzikir dan mengingat ALLah subahanahu wa ta'ala. ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLah subahanahu wa ta'ala, zikirlah sebanyak-banyaknya". (Surah al Ahzab : 41)Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :"Sentiasa basahkan lidahmu dalam berzikir mengingati ALlah subahanahu wa ta'ala (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 4, hlmn 188; Tirmidzi, Sunan Tirmidzi vol 5, hlmn 485; Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, vol 2 hlmn 1246; Ibnu Hibban, Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlmn 96 ; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)3. Zuhud terhadap dunia dan tidak bergantung dengannya, dan cinta terhadap akhirat. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka (kesenangan-kesenangan duniawi yang bersifat sementara dan tidaklah kekal). Dan, sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al An'am :3

Adapun tentang syeikh yang menerangkan secara terperinci mengenai pelajaran zikir-zikir kepada para murid; membantu mereka di dalam membersihkan karenah-karenah (perilaku) jiwa dan sifat tercela dan menyembuhkan hati mereka dari penyakit-penyakit , maka dia adalah seorang 'pelayan' atau ustaz yang dapat melihat kaedah mana yang lebih sesuai dengan penyakit hati pada peribadi diri, keadaan tertentu, dengan murid atau penuntut.Dalil dari Hadith :Adalah merupakan Sunnah RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam memberikan nasihat kepada setiap manusia tentang apa yang mendekatkan dirinya kepada ALlah subahanahu wa ta'ala sesuai dengan keadaan dan konsep jiwa yang berbeza-beza. Seseorang datang kepada Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam bertanya :
"Wahai rasuluLLah, sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang menjauhkan diriku dari kemarahan ALLah subahanahu wa ta'ala." Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab, "Janganlah marah!" (Hadith riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 5, hlmn 2267; dan Tirmidzi, Sunan Tirmidzi, vol 4 hlmn 371)
Seorang lelaki yang lain lagi datang kepada RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata :
"Sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang aku jadikan pegangan; Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya, "Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada ALlah subahanahu wa ta'ala."(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlmn 188; Tirmidzi; Sunan Tirmidzi vol 5m hlmn 485; Ibnu Majah, vol 2, hlmn 1246; Ibnu Hibban. Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlm 96; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)

Demikian juga, kehidupan para Sahabat radiyaLLahu anhu (semoga ALlah subahanahu wa ta'ala meredhai mereka). Di antara mereka ada yang memperbanyakkan solat malam, ada yang memperbanyakkan membaca al Quran, ada yang memperbanyakkan jihad, ada yang memperbanyakkan zikir dan ada yang memperbanyakkan sedekah.Ini semua tidak bererti mesti meninggalkan urusan dunia. Ada ibadah tertentu, yang diperbanyakkan oleh orang yang menempuh jalan kepada ALlah subahanahu wa ta'ala. Di atas penjagaan dan dasar itu, kita juga menyaksikan pintu-pintu syurga pun banyak dan bermacam-macam. Akan tetapi, pada akhirnya semua itu hanya tempat masuk yang banyak dan berbeza-beza, sedangkan syurga itu sendiri satu :
Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti:"Bagi setiap ahli (orang yang menekuni) suatu amal ada pintu dari pintu-pintu syurga yang dinamakan dengan amal tersebut. Dan bagi orang-orang yang berpuasa ada pintunya yang mereka akan dipanggil dari sana. Pintu itu disebut ar Rayyan."(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 2 hlmn 449, Bukhari, Sohih BUkhari, vol 2 hlmn 671; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 2 hlm 808. teks hadith daripada riwayat Imam Ahmad RadiyaLLahu anhu)

Demikian juga tarekat-tarekat menjadi banyak dan bermacam-macam pintu-pintu masuk dan kaedah-kaedah sesuai dengan syeikh dan muridnya sendiri. Di antara mereka ada yang lebih mengutamakan dan memperhatikan puasa, dan ada yang mengutamakan al Quran lebih banyak dengan tanpa mengabaikan puasa. Begitulah seterusnya.Keterangan yang telah dikemukakan di atas menjelaskan tentang tasawuf yang sebenar, tarekat yang sohih, dan syeikh yang teguh dengan syariat dan sunnah. Kita sedia maklum mengenai tarekat itu sendiri ada bermacam-macam jenis tarekat atas beberapa faktor yang mendorong disebabkan oleh bermacam-macam corak pendidikan dan tarbiah serta berbeza-beza kaedah dalam usaha untuk sampai ke arah tujuan.

Namun, semuanya adalah dalam satu tujuan, sebab ALLah subahanahu wa ta;ala yang menjadi tujuan semuanya.Di sini kami tekankan bahawa keterangan tersebut tidak menyesuaikan kebanyakan orang-orang yang menghukum dirinya bertasawuf. Iaitu, mereka yang mengotori wajah tasawuf dari kelompok orang-orang yang tidak ada agama dan tidak memiliki kesolehan; orang-orang yang berjoget-joget (Ada perbahasannya DI SINI))pada acara-acara peringatan dan maulid-maulid dan mereka melakukan perbuatan orang-orang yang jadzab (hilang kesedaran) dan pengamal perkara khurafat. Ini semuanya bukan tasawuf dan sama sekali tidak tergolong daripada tarekat tasawuf.Sesungguhnya tasawuf yang kami ajak untuk mengikutinya adalah tidak ada hubungannya dengan fenomena-fenomena negatif dan buruk yang dilihat kebanyakan orang. Tidak boleh bagi kita mengenal tasawuf dan menarik kesimpulan tentangnya daripada sebahagian orang-orang yang bodoh (jahil mengenai tasawuf) yang mengaku-tasawuf. Akan tetapi, semestinya kita bertanya kepada para ulamak yang memberikan pujian terhadap tasawuf sehingga kita mengerti sebab pujian mereka terhadapnya (tasawuf).

Terakhir kami berikan jawapan kepada orang-orang yang bertanya, "Kenapa kita tidak belajar sahaja etika-etika (adab-adab) perilaku dan pembersihan jiwa itu dari Al Quran dan Sunnah secara langsung?."

Jawapan :Ini adalah ungkapan yang pada zahirnya mengandungi rahmat, sedangkan di sisi batinnya mengandung azab. Sebab, sesungguhnya kita tidak mempelajari rukun-rukun solat, perkara-perkara sunatnya dan perkara-perkara makruhn di dalamnya dengan membaca al Quran dan Sunnah. Akan tetapi, kita mempelajari semua itu dari bidang ilmu yang disebut ilmu feqah.Para ahli feqah telah mengarang buku-buku dan menyimpulkan seluruh hukum-hukum itu dari al Quran dan Sunnah. Lalu bagaimana seandainya muncul di tengah-tengah kita orang yang mengatakan bahawa kita harus mempelajari feqah dan hukum hukum agama daripada al Quran dan Sunnah secara langsung? Sedangkan kamu tidak akan menjumpai seorang alim pun yang mempelajari feqah dari al Quran dan Sunnah secara langsung.

Demikian juga, terdapat perkara-perkara yang tidak disebutkan di dalam al Quran dan Sunnah. Perkara-perkara itu mesti dipelajari dari syeikh dengan cara bertalaqi; tidak layak dengan mencukupkan diri hanya dengan al Quran seperti ilmu Tajwid. Sedangkan, di dalam perkara-perkara itu harus kukuh mengikuti istilah-istilah khusus dengan kefahaman ilmunya.Misalnya mereka mengatakan, :"Mad Lazim itu enam harakat." Siapakah yang menjadikan mad itu sebagai Mad Lazim? Mereka adalah ulama'-ulama' dalam bidang ini.

Begitu juga ilmu tasawuf adalah bidang ilmu yang diletakkan oleh para ulama' tasawuf sejak era Junaid al Baghdadi radiyaLlahu 'anhu dari abad ke 4 hingga masa kita sekarang.Manakala kehidupan zaman yang sudah rosak sehingga moral pun turut menjadi rosak, dengan sebahagian tarekat-tarekat tasawuf juga rosak, sehingga mereka bergantung dengan fenomena-fenomena yang bertentangan dengan agama ALlah subahanahu wa ta'ala. ALLah subhahanahu wa ta'ala akan membela tasawuf dan para pengikutnya; Dia akan memelihara mereka dengan kuasa-Nya. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :
"Sesungguhnya ALLah subahanahu wa ta'ala membela orang-orang yang telah beriman.Dan, ALLah subahanahu wa ta'ala tidak menyukai tiap-tiap orang yang menkhianati lagi mengingkari nikmat" (surah al Hajj:38)

Semoga apa yang telah kami kemukakan cukup untuk menjelaskan tentang makna tasawuf, tarekat, syeikh dan sebab wujudnya bermacam jenis tarekat. Demikian juga, tentang persoalan kenapa kita mempelajari perilaku dan pembersihan akhlaq dari bidang ilmu yang dinamakan tasawuf itu; kenapa kita mengambilnya dari para syeikh dan tidak secara langsung mengambilnya dari Al Quran dan Sunnah. Kita memohon kepada ALLah subahanahu wa ta'ala semoga membuka mata kita terhadap perkara-perkara agama kita.. Dan ALlah subahanahu wa ta'ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.

Sumber Ambilan :
Sahib as-Samahah Mufti Mesir Prof Dr Ali Jum’ah,

- Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .


- al-Bayan Lima Yasghilul al-Azhan