Budaya Perdebatan Ilmiah


Budaya perdebatan ilmiah

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SEBAGAIMANA kekayaan tidak seharusnya berlegar dalam kelompok tertentu, ilmu juga tidak sewajarnya hanya berputar di dalam gedung ilmu dan akademi. Sebaliknya, ilmu pengetahuan dan manfaatnya harus dinikmati bersama iaitu bersifat massa atau merakyatkan.

Untuk itu, masyarakat perlu dibenarkan melakukan al-munazarat al-ilmiah (perdebatan ilmiah). Sebagaimana pada zaman keemasan Andalusia, perdebatan ilmiah menjadi salah satu metodologi pembelajaran.

Ia mencerahkan pemikiran dan mendedahkan masyarakat kepada pelbagai pandangan. Sebarang pandangan yang baru, bebas dikritik sebelum diterima oleh masyarakat.

Meskipun perdebatan termasyhur di Andalusia antara Ibn Hazm, seorang ulama fiqh al-Zahiri dengan Sulaiman Khalaf al-Baji yang bermazhab Maliki menyebabkan Ibn Hazm dihalau dari bandar kediamannya dan buku-bukunya dibakar, namun tradisi perdebatan tidak mati.

Ketika berada dalam buangan, Ibn Hazm bertemu dengan faqih terkenal, Abu al-Walid al-Baji dan kedua-dua tokoh itu terlibat dalam beberapa siri perdebatan. Budaya perdebatan tetap segar antaranya melibatkan Ibn Arabi dan Ahmad bin Muhammad Warad al-Tamimi (1145M).

Kelangsungan budaya perdebatan ilmiah itu turut mendapat sokongan raja-raja di kalangan Bani Ubbal di Asybilia, Bani al-Aftas di zaman al-Muzaffar dan ketika zaman al-Makmun di Talilah. Kecintaan kepada ilmu itulah yang menyebabkan kelangsungan tamadun Andalusia selama lebih 800 tahun sehingga menjadi contoh kepada negara-negara Eropah.

Namun, dunia Islam kemudiannya mengalami keterbalikan apabila perdebatan ilmiah bertukar kepada ketaksuban mazhabiah dan bertaklid sehingga membantutkan proses ijtihad.

Memetik kata-kata Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sewaktu melancarkan buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honour of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 23 Februari lalu, baginda bertitah: ''Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar."

Sebaliknya titah baginda, pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.

Dalam hal ini, Malaysia yang baru separuh abad membebaskan diri daripada cengkaman kolonial sebenarnya mampu mencipta 'hadharah' sehebat Andalusia. Bukan sekadar kehebatan fizikal di Putrajaya yang persis al-Hamra, tetapi dengan pengisian kematangan keilmuan di dada masyarakat dan intelektualnya termasuk ulama.

Intelektual sebenar adalah mereka yang mencampakkan diri di tengah-tengah perjuangan bersama masyarakat, mempraktikkan segala kajian berasaskan agama dan wahyu, nalar (akal) dan istidlal (demonstrasi rasional).

Begitu juga para profesor di menara gading, selain mengajar, mereka turut membuat penyelidikan. Kajian mereka perlu melalui saringan yang ketat dan objektif berasaskan kepada keperluan akademia.

Seterusnya, ia dimuatkan di dalam jurnal-jurnal untuk dinilai rakan sejawat. Namun mereka tidak seharusnya berasa selesa untuk kekal di menara gading sehinggakan sering kali masyarakat melihat sumbangan mereka 'nampak macam tidak ada'.

Intelektual tidak hanya melegarkan ilmu dalam gedung-gedung mereka, sebaliknya melontarkan idea-idea kepada masyarakat.

Lantas idea-idea yang diperdebatkan menjelma sebagai satu arus pemikiran dan seterusnya membentuk institusi-institusi yang dimanfaatkan oleh rakyat.

Untuk menjadi seperti Andalusia, seramai 1,426 profesor di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan sahaja mampu merancakkan perbahasan ilmiah, malah boleh menghasilkan pelbagai penyelesaian untuk masyarakat dan negara. Itu baru jumlah mereka yang hanya kira-kira 6.3 peratus daripada sejumlah 22,000 tenaga akademik di 20 buah IPTA seluruh negara.

Melalui penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April lalu, ia boleh menjadi platform kepada komuniti ilmuwan untuk bergerak secara kolektif melibatkan pelbagai bidang.

Menurut Pengerusi MPN yang pertama, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid, MPN diharap dapat memberi input kepakaran akademik dan profesional dalam pelbagai bidang untuk advokasi awam. Beliau berkata, ia juga dapat memainkan peranan dalam memperkukuhkan penggubalan dasar negara dan pelaksanaan program yang dirancang.

''Para profesor boleh menawarkan pelbagai kepakaran dan sumbangan kepada kementerian. Ikon-ikon ilmuwan juga boleh menyalurkan keintelektualan mereka kepada masyarakat awam dan ia merupakan satu cara berkesan untuk memberikan sumbangan kepada negara," katanya kepada Utusan Malaysia.

Tanpa menafikan sumbangan yang sudah diberikan oleh golongan ilmuwan, Zakri yang juga penasihat sains kepada kerajaan berkata, sebelum ini sumbangan yang diberikan lebih banyak dalam bentuk peribadi melibatkan kepakaran masing-masing.

''Kita mahu mengikis persepsi yang mengatakan profesor lebih selesa berada di menara gading, sedangkan kini mereka bersama-sama pemimpin dan rakyat membangunkan negara," katanya.

Jelasnya, sebuah majlis yang menjadi platform kepada para profesor sudah lama wujud di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

''Jadi, penubuhan MPN adalah selaras dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju," katanya.

Katanya, dalam majlis tersebut, para intelektual boleh saling memberikan pandangan sekali gus membuka ruang kepada pelbagai perdebatan ilmu.

Setakat ini, beliau menjelaskan, MPN membuka penyertaan kepada profesor di IPTA sebelum merancang untuk meluaskannya ke institusi pengajian tinggi swasta.

Sebanyak 13 bidang tujahan disenaraikan dalam MPN, antaranya urus tadbir, perundangan dan pengurusan awam, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi, kewangan, politik, keselamatan, hal ehwal antarabangsa, warisan dan sosio budaya.

Pelbagai isu lain juga boleh dibincangkan seperti pemanasan global dan langkah menangani pelbagai jenis penyakit.

''Ia menjadi satu landasan untuk membincangkan isu-isu semasa di peringkat tempatan mahu pun global," katanya.

Katanya, berpaksikan kepada keilmuan yang didasari sains dan teknologi, MPN dapat membantu kerajaan merangka pelbagai dasar dan strategi yang kukuh serta bernas.

Selain itu, jelas beliau, MPN boleh berperanan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sesuatu perkara berlandaskan keilmuan.

''Ini termasuk dengan cara mempromosikan kelestarian kehidupan iaitu dengan tidak merosakkan sumber asli dan alam sekitar. Bagi membentuk ekonomi berpendapatan tinggi, ia memerlukan teknologi tinggi, iaitu suatu yang memerlukan muatan sains dan teknologi, jadi kepakaran kita boleh disalurkan ke situ," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive

Jumaat 09 April 2010

Ulasan:

Bagi menyahut seruan dan nukilan diatas, petunjuk dan panduan yang diberi al-Quran dan Hadith sewajarnya digunapakai. Dengan tadabbur ayat Quran memberi kunci untuk mencapai kejayaan, kefahaman bagi agenda membina peradaban insani dan tamadun . iaitu saranan ayat dala msurah al-Anbiyaa’:7 bermaksud: tanyalah ahli Zikr sekiranya kamu tidak mengetahui (dalam pelbagai bidang). , Surah al-Furqan:59: maksudnya: Dengan nama Tuhan ar-Rahman. Maka bertanyalah mereka yang pakar(ahli ) dan Sabda Rasulullah SAW: Para Ulama’ adalah pewaris para Auliyaa. Justeru ulama hakiki ialah mereka pakar dalam pelbagai bidang ilmu kerana mereka mewarisi ilmu warasah, ladunni dan anugerah ilahi.