Perbezaan Makam Khaliq dan Makhluk

Perbezaan maqam Khaliq dan makhluk

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini kita menyambung perbahasan tentang larangan mengkafirkan dan memusuhi sesama Islam ke satu tahap lagi dengan menegaskan perbezaan antara sikap kita terhadap khaliq dan makhluk.

Penjelasan ini perlu kerana sehingga hari ini ada aliran yang cenderung mempertikaikan keIslaman orang lain semata-mata kerana mereka mengagungkan dan membesarkan Nabi SAW dan para awliya'.

Aliran ini berpegang bahawa dengan melakukan hal tersebut maka kemurnian dan kesucian tauhid seseorang akan rosak. Mereka cukup taksub dalam soal-soal ini. Seolah-olah inilah kemungkaran paling besar yang harus diutamakan pembanterasannya.

Maka dalam sambungan bicaranya dalam kitab rujukan kita Mafahim Yajib an Tusohhah, Al-Allamah Dr.Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki menegaskan bahawa membezakan di antara maqam (kedudukan) Khaliq (Allah) dan makhluk ialah batas pemisah di antara keimanan dan kekufuran. Beliau menegaskan bahawa, kita mempercayai, bahawa sesiapa yang mencampuradukkan antara kedua-dua maqam ini, maka ia menjadi kafir. Semoga dilindungi Allah SAW.

Sememangnya, setiap maqam mempunyai hak-haknya yang khusus. Tetapi, terdapat dalam bab ini, berkaitan dengan peribadi Nabi Muhammad SAW dan keistimewaannya, kita juga perlu membezakan antara baginda dengan manusia yang lain dan meninggikan martabat Rasulullah SAW berbanding manusia yang lain.

Kadang kala, perkara ini mengelirukan dan samar-samar di sisi pengetahuan sebahagian manusia lantaran kesentengan akal, kelemahan fikiran, kesempitan penelitian dan kesalahan fahaman mereka.

Lantas, mereka secara terburu-buru menghukum kafir orang yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW kerana menganggap golongan yang melakukan perbuatan sedemikian telah mencampuradukkan antara maqam Khaliq dan makhluk dan mengangkat darjat Nabi SAW sama tarafnya dengan darjat Tuhan SWT! Sesungguhnya kami berlepas diri daripada anggapan sedemikian.

Sesungguhnya kami dengan kurniaan Allah, mengetahui apa yang wajib bagi Allah SWT dan apa yang wajib bagi Rasul-Nya SAW. Kami juga mengetahui apa yang hanya menjadi hak Allah SWT dan apa yang menjadi hak Rasulullah SAW, tanpa melampaui batas dan berlebih-lebihan hingga sampai mensifatkannya dengan sifat-sifat ketuhanan yang khusus bagi Allah; baik sebagai Tuhan yang disembah (ilah), mahupun sebagai Tuhan yang mengurus alam ini (rabb). Misalnya, sifat menghalang, mengurniakan, memberi manfaat dan kemudaratan secara sendiri bukan dengan kekuasaan Allah. Kita tidak mensifatkan Rasulullah SAW sebagai Zat yang Maha Berkuasa, Maha Kuat, Maha Menciptakan, Raja Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mentadbir Alam, Yang Maha Agung, Yang Maha Berhak disucikan dan disembah dengan pelbagai cara ibadah, dalam pelbagai keadaan dan tingkatan.

Adapun Ghuluw, jika merujuk berlebih-lebihan dalam kesungguhan mencintai Nabi Muhammad SAW, mentaatinya dan tertambat hati dengannya, adalah soal isu yang berbeza dan merupakan sikap yang disukai dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang disebut di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis dalam bab tersebut.

Mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan selain daripada sifat-sifat ketuhanan, sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur kekufuran atau kesyirikan. Bahkan, perbuatan tersebut merupakan ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah yang sangat tinggi dan agung. Demikian juga halnya, mengagungkan orang-orang yang diagungkan oleh Allah , seperti para Nabi dan Rasul AS, para malaikat, ahli siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh.

Allah SWT berfirman: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang Mukmin. (al-Hajj:32)

Itulah yang wajib dipatuhi; dan siapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. (al-Hajj:30)

Di antara syiar Allah ialah Kaabah yang diagungkan, Hajar Aswad dan Makam Ibrahim AS. Semuanya itu adalah batu-batu yang diperintahkan oleh Allah kepada kita supaya mengagungkannya, dengan cara melakukan tawaf di sekeliling Kaabah, mengusap Rukun Yamani, mencium Hajar al Aswad dan melakukan solat di belakang Makam Nabi Ibrahim AS.

Kita juga diperintahkan supaya berhenti untuk berdoa di tempat-tempat yang mustajab, di pintu Kaabah dan Multazam. Ketika melakukan semua perkara tersebut, kami tidak berniat menyembah selain Allah SWT. Bahkan, kami tidak beriktikad adanya sesuatu yang memberi kesan selain kekuasaan Allah SWT; baik dalam memberi manfaat, mahupun mudarat. Tidak ada sedikitpun daripada semuanya itu terjadi kerana pengaruh dan kekuasaan seseorang melainkan kerana kekuasaan Allah SWT.

Jika kita boleh menerima untuk melakukan semua itu terhadap benda-benda yang tidak bernyawa semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT, maka apakah Nabi SAW dan para pewarisnya di kalangan para awliya' yang hakiki tidak termasuk dalam maksud syiar-syiar agama Allah yang perlu disanjung dan dibesarkan?