DARUL ULOOM, DEOBAND, INDIA

DARUL ULOOM, DEOBAND, INDIA

Penubuhan pusat pendidikan Islam tersebut mula berputik setelah kejatuhan Dinasti Moghul pada tahun 1857 setelah pihak British menjatuhkan hukuman buang negeri ke Burma ke atas Bahadur Shah Zafar (1775-1862).

Di zaman Dinasti Moghul juga, India terkenal dengan beberapa monumen bersejarah antaranya ialah Taj Mahal (dibina di Agra oleh Shah Jahan), Kota Merah atau red fort (dibina di Delhi oleh Shah Jahan), Kota Lalbagh (dibina di Dhaka pertengahan kurun ke-17 oleh Aurengzeb), Gerbang Alamgiri yang menjadi pintu masuk ke Kota Lahore (dibina oleh Aurengzeb) dan beberapa buah bangunan yang mempunyai keunikan seni binanya.

Kesemua bangunan bersejarah dan mempunyai seni bina Moghul itu diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO walaupun sesetengah pihak mengkritiknya kerana sebahagian kecil tapak-tapak tersebut berasal daripada tapak kuil Hindu manakala sesetengah bahagian bahan binaan diambil daripada runtuhan tersebut.

Atas semangat ingin meneruskan kesinambungan pendidikan Islam, pada 30 Mei 1866 (15 Muharam 1283 H), satu batu tanda penubuhan sebuah pusat pendidikan Islam telah dilakukan di Deoband.

Bermula dengan bentuk pendidikan secara madrasah, perkembangan pusat pendidikan ini menjangkau lebih jauh sehingga menjadi pusat pendidikan Islam yang terbesar di India.

Darul Uloom juga disifatkan universiti yang kedua terbesar dalam pengambilan pelajar dengan menggunakan konsep pendidikan yang dilaksanakan oleh Universiti al-Azhar, Mesir.

Beberapa madrasah yang berada di seluruh India menjadi penyumbang terbesar membekalkan pelajar untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Darul Uloom.

Pusat pengajian Islam yang ditubuhkan oleh Muhamad Qasim Nanautawi ini sebenarnya turut merupakan pusat pendidikan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia terutama pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an.

Kebanyakan mereka adalah lulusan pondok-pondok yang terdapat di seluruh negara. Lulusan Darul Uloom kebanyakannya diterima meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Universiti Azhar dan lain-lain pusat pendidikan tinggi Islam di Timur Tengah.

Selain Aziz Jamaluddin yang lulus sarjana dalam bidang hadis, antara warga Malaysia yang pernah menjadi anak didik universiti ini ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut, Mohd. Asri Yusuf (Pendakwah), Dr. Abdul Hayei Abdul Shukur (bekas Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Razali Shahabudin dan Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Selamat Hashim.

Selain menjadi pusat pendidikan Islam terbesar, Darul Uloom turut dipertanggungjawabkan sebagai badan penyelaras fatwa bagi seluruh Islam.

Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, ulama dari seluruh India akan dipanggil membincangkan sesuatu permasalahan sebelum kata sepakat mereka

Darul Uloom turut menjadi pilihan pendidikan Islam oleh masyarakat Islam Afghanistan, Iran, Bukhara dan Samarkand, Burma, Indonesia, Turki, Afrika dan lain-lain negara Asia. Konsep pengajian di Darul Uloom mewajibkan setiap pelajarnya mempelajari al-Quran dan sunnah terlebih dahulu sebelum boleh membuat pengkhususan dalam bidang-bidang lain.

Kini pusat pengajian Darul Uloom yang menjadikan bidang syariah dan tarekat sebagai adunan konsep dan sistem pendidikan menawarkan tahap pengajian asas selama lapan tahun bagi kelas yang menggunakan bahasa Arab.

Mereka yang lulus di peringkat ini, sebenarnya turut khatam Kutub As-Sittah dan Al-Muwatha’ Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Mustadrak Al Hakimi dan lain-lain.

Bagi pendidikan fiqh, kebanyakan bahan yang dipelajari adalah bersumberkan mazhab Hanafi. Dalam tempoh tersebut, pelajar tidak dibenarkan membuat pengkhususan kerana pihak pengurusan Darul Uloom yakin corak pendidikan umum itulah yang menjadikan pusat pengajian Islam ini terkenal dan mampu melahirkan ramai pemikir yang berpengetahuan luas.

Kerana itulah, selepas tamat pendidikan di Darul Uloom sebahagian besar alumninya menyambung pengajian dan pengkhususan di pelbagai universiti di Timur Tengah.

Kurikulum pendidikan Darul Uloom yang diasaskan pada kurun ke-17 menggunakan pendekatan Indo-Islamik dan dikenali sebagai Dars-e-Nizami.

Kurikulum ini memberi penekanan teras kepada syariah, fiqh, tasauf dengan menjadikan tradisi sufistik dan kajian Islam sebagai metod pengajaran dan pembelajaran.

di perpustakaan, Darul Mutalaah al-Maktabah al-Qasiniyah, kedua pihak cuba menimba pengalaman berhubung kerjasama ilmiah dan peluang perkongsian ilmu mengenai Islam.

Ia juga mempelajari pengurusan penyelidikan dan pembangunan dakwah, tradisi akademik dan bertukar-tukar pendapat mengenai permasalahan umat Islam masakini. peluang yang terbuka dalam hubungan kerjasama ini adalah amat baik kerana bukan sahaja merintis hubungan dua hala antara organisasi Islam. Malah turut menjernihkan salah faham sesetengah penganut Islam mengenai kepelbagaian mazhab yang diterapkan dalam pemikiran umat Islam. Dengan cara mendekati dan cubaan memahami antara satu sama lain akan memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara sesama Islam dan asas perhubungan yang lebih akrab dalam membangunkan tradisi keintelektual Islam antara Malaysia-India.

Berita Harian (Rabu) 3 November 2010