Sempunakan ASWJ: Kenapa Perlu Bertarekah?


Sempurnakan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah : Kenapa Perlu Bertarekah?

Telah berlaku satu diskusi saya dengan ustaz di kalangan sahabat yang terkena virus anti tarekah dan tasawwuf. Saya hanya tersenyum dengan persoalan tersebut, namun apa yang membanggakan beliau berani mengemukakan persoalan tersebut secara berhadapan. Selama ini beliau hanya menghentam saya dan tarekah secara jauh, tapi saya tetap berlapang dada kerana mengetahui niat baik mereka.

Mereka memusuhi bukan kerana mereka tidak baik tetapi kerana tiada kefahaman. Pepatah mengatakan 'manusia akan memusuhi apa yang mereka tiada ketahui’. Dalam surah al-Ahqaf, ayat 2, Allah berfirman : “Dan kerana mereka tidak mendapat petunjuk dengannya maka mereka akan berkata : “Ini adalah dusta yang lama”.

Bukan seorang dua, malah saya berdepan dengan ramai orang seperti sahabat ini yang memusuhi tarekah tasawuf tanpa ilmu. Namun alhamdulillah, ramai juga di kalangan mereka yang bersikap agak rasional apabila diberi penjelasan sebenar.

Saya bertanya kepadanya, 'apakah yang beliau faham tentang akidah Ahli Sunnah walj Jamaah (ASWJ)?’. Dia menjawab dengan kaedah Tauhid 3 serangkai, iaitu Tauhid Uluhiah, Tauhid Rububiah dan Tauhid Asma’ wa Sifat yang dimasyhurkan oleh Syaikh yang mulia, Ibnu Taimiyyah (semoga dalam keampunan Allah).

Konsep itu tiada salah jika difahami dengan jalan sifat ketuhanan yang benar. Malangnya ramai yang hanya memahaminya pada konsep penyaksian ketuhanan dan ibadah, sedang konsep rububiyah itu tidak difahami dengan baik. Menerima konsep rububiyah yakni ketuhanan sahaja belum sempurna jika tiada difahami sifat-sifat Allah yang dikehendaki dalam konteks Ahli Sunnah wal Jamaah.

AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Beriman kepada Allah, Sifat dan Asma’nya perlu difahami kerana ia berpecah kepada 73 golongan dalam mentafsirkan akidah, justeru ia hendaklah dihurai mengikut pegangan kaum Salaf. Itulah yang diperjuangkan oleh Syaikh Abu Hassan Asy’ari rahimahullah (260H-324H) dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi rahimahullah (238H- 333H); yakni kembali kepada akidah Salaf dengan menjauhi kefahaman akidah yang berlainan dengan Salaf seperti Mu’tazilah, Jabariyah, Qadariyah, Mujassimah dan lainnya.

Semua akidah beriman kepada Allah tetapi berpecah kepada 73 qaul disebabkan perbezaan pnghuraian tentang Sifat-Sifat Allah. Seperti sifat Kuasa Allah, ada yang mentafsirkan bahawa Allah tiada kuasa lagi dalam hal manusia, manusia yang menentukan segala hal dirinya seperti yang difahami aliran Qadariyah. Ada yang memahami bahawa kuasa Allah yang mutlak dimana manusia ‘majbur’ ertinya tidak berdaya apa-apa, ‘kasab’ atau usaha tiada sama sekali, mereka bagaikan kapas sahaja, baik dan buruk adalah pilihan Allah seperti fahaman Jabariyah.

Maka di atas tafsiran manakah yang mahu dipegang oleh kita dalam bab Kuasa Allah? Hanya beriman kepada rububiyah Allah dengan tiada mengetahui tafsiran yang benar akan menjerumuskan kita kepada akidah yang batil.

Syaikh Abu Hassan Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi adalah Imam ASWJ. Hal ini diakui oleh majoriti ulama di zamannya dan ulama di zaman kemudiannya. Mereka bukan membawa perkara baru tetapi mengajak kepada akidah kaum Salaf yakni generasi awal sahabat. Apa yang membezakan ialah dari sudut metodologi perbahasan sifat tersebut sahaja, agar mudah difahami oleh masyarakat zamannya dan zaman kemudian. Mereka menyimpulkan dalam ijtihad mereka bahawa akidah Salaf yakni ASWJ cukuplah difahami hanya dengan 13 atau 20 Sifat sebagai tunjang akidah ASWJ.

Apa yang menyedihkan, telah berlaku pemisahan ilmu di kalangan umat Islam sehingga dilihat ilmu akidah, fekah, tarekah dan tasawwuf berpecah. Sedang seorang muslim wajib berpegang pada Al-Quran dan Hadis secara keseluruhan, bukan juzuiah. Ilmu akidah, fekah, tarekah dan tasawwuf adalah bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang wajib diamalkan untuk menjadi mukmin yang sejati.

Para ulama telah membahagikan tiga asas ilmu penting yang wajib menjadi pegangan seorang muslim iaitu ilmu fardhu ain yang berkaitan akidah, fekah dan ihsan atau adab. Kemudian ilmu fardhu kifayah berkaitan ekonomi, politik, keluarga, sosial, perundangan dan lainnya.

Pendidikan yang pertama wajib dipelajari adalah akidah, sebagaimana yang ditunjuk dan diajar oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam di awal dakwah Baginda di Mekah. Ilmu akidah yang diajar bukan sekadar kefahaman tentang Sifat-Sifat Allah sahaja, tetapi menanam kefahaman tersebut ke dalam jiwa sehingga mencapai ihsan. Ihsan membuahkan kemanisan yang mendalam dalam perasaan keimanan kepada Allah dan Rasul serta segala Sifat-SifatNya.

MEMAHAMI DASAR ASWJ

Berbalik pada persoalan tersebut, ramai para ilmuwan aliran ilmu moden tiada memahami apakah dasar akidah ASWJ. ASWJ adalah akidah sederhana yang menolak melampau dalam pegangan seperti kekuasan diri tanpa perlu bertuhan, sebagaimana fahaman Qadiriah, kehebatan akal mengatasi rukun ketauhidan seperti pegangan Mu’tazilah dan Tuhan semata-mata seperti pegangan Jabariyah.

Hari ini ramai yang mengaku mereka adalah ASWJ, tetapi dalam praktik kehidupan mereka adalah Mu’tazilah, Qadariyah, Jabariyah dan Mujassimah. Dalam masalah praktik akidah, ramai para ulama sendiri mungkin tak lepas walaupun mereka menghafal puluhan matan kitab dan mengamalkan syariat dengan baik.

Sahabat saya bertanya, apakah kaitan tarekah dengan ASWJ? Saya tanya balik, apakah dikatakan seseorang itu sudah bersolat sedangkan dia hanya mengaji kitab bab solat, tapi tak bersolat? ‘Tidak’, katanya. Baiklah, saya tanya lagi, apakah seorang itu dikatakan ASWJ jika sekadar memahami Sifat Allah tetapi dalam kehidupannya lebih berpegang kepada logik akal, pergantungan kudrat diri dan makhluk daripada kekuasaan Allah? Dia menjawab agak lambat “mungkin tidak”.

Justeru, mempelajari Sifat 20 atau akidah ASWJ adalah ibarat memahami rukun dan syarat ASWJ sebagaimana memahami rukun sembahyang, yang belum tentu ia telah mengamalkan dengan jiwa dan perbuatan.

ASWJ ialah fahaman yang menggabungkan Qadariyah dan Jabariyah menjadi satu dalam setiap gerak kerjanya. Tiada boleh berdiri pada Qadariyah semata-mata kerana ialah adalah haram, tiada boleh berdiri di atas Jabariyah semata-mata kerana ia juga adalah haram. Namun apabila bergabung serentak antara Qadariyah dan Jabariyah, maka ia menjadi ASWJ yang hakiki. Ia barulah dipanggil ASWJ yang praktikal, bukan ASWJ dalam bentuk ilmu atau kefahaman semata-mata.

Sebagai contoh, tahi dan darah adalah najis (haram), tetapi diantaranya terdapat susu yang halal untuk diminum. Allah menyatakan, “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.” (An-Nahl: 66)

ASWJ adalah mereka yang berpegang pada hukum sebab musabab dalam kehidupan, tetapi mata hatinya syuhud (memandang dengan cahaya hati) kepada kekuasaan Allah dalam segala gerak geri walau satu zarah sekalipun. ASWJ menggabungkan dua pandangan; mata zahir melihat nasi, mata batinnya melihat kepada Allah. Tiada ditinggalkan hukum asbab dan musabab seperti kenyang dengan makan nasi, tetapi mata hatinya melihat yang mengenyangkan adalah Allah. Mata batinnya fana melihat yang lain di alam ini melainkan hanya tersyuhud pada batinnya tajalli (kenyataan/penzahiran) Sifat dan Asma’ Allah.

Apabila solat hanya melihat pada gerak diam daripada kuasa diri, itulah solat kaum Qadariyah yang batil. Pada ilmu mengaku bahawa diri tiada kekuatan melainkan dengan kekuasaan Allah, tetapi dalam praktikal mereka melihat diri yang melakukannya, bukan hak Allah tetapi hak dirinya. Maka kesan dari ibadah atau banyak ilmu, kaya dan pangkat kaum Qadariyah adalah timbulnya takabur, riya’, ‘ujub, menghitung amal, memandang hina orang lain, buruk sangka dan lainnya. Camlah bahawa mereka yang kena penyakit ini, ia adalah kesan daripada akidah yang batil, maka ia akan menghasilkan buah (sifat) yang batil.

Berlainan dengan ASWJ, kesan mata batinnya syuhud pada Allah. Mereka sentiasa memandang apa jua kebaikan yang ada padanya adalah hak Allah, bukan hak dirinya, hanya kejahatan sahaja hak dirinya. Kesannya, mereka walaupun banyak harta, pangkat, ilmu, ibadah, karamah dan lainnya, mereka menjadi semakin merendah diri dan bersyukur kerana melihat nikmat Allah at

Sempurnakan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah : Kenapa Perlu Bertarekah?
MENCAPAI TAUHID SYUHUDIAH

Tasawwuf hanyalah istilah, sedangkan hakikatnya ia adalah pancaran atau buah daripada akidah yang benar. Kitab Hikam (Syeikh Ibnu ‘Atha’illah Askandary) adalah kitab mereka yang benar-benar berada dalam adab ASWJ. Mereka yang benar-benar beramal dengan ASWJ, mereka adalah auliya Allah dimana jiwa memiliki cahaya syuhudiah, mereka fana dan tenang dengan kelakuan Allah dalam setiap nafas mereka. Mereka inilah yang difirman oleh Allah :

Ingatlah, sesungguhnya para Wali Allah tiada ketakutan pada diri mereka dan tiada pula mereka berduka cita.” (Yunus : 62)

Mereka yang tiada memiliki jiwa tasawuf, mereka bukan ASWJ yang hakiki kerana tasawwuf adalah penghayatan dan praktik ASWJ dalam kehidupan. Golongan ini akan memiliki jiwa yang keras dan sombong kerana akidah mereka sebenarnya Qadariyah, manakala menolak hal kerohanian seperti karamah, barakah kerana mereka adalah Mu’tazilah.

Kaum Mu'tazilah cuba mentafsir ayat Al-Quran dengan akal terutama ayat Mutasyabihat (seperti ayat الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى maksudnya "Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arasy" [Thaha: 20] atau يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ maksudnya "Tangan Allah di atas tangan mereka" [al-Fath: 48]), lalu membawa kepada akidah Mujassimah yakni menjisimkan Allah. Gabungan Qadariyah dan Mu’tazilah adalah Khawarij ; manakala Wahabi adalah golongan Mu'tazilah, Mujassimah dan Khawarij.

Mereka bukan ASWJ tetapi Mu’tazilah dan Mujassimah, sehingga Allah juga mahu ditafsir dengan logik akal. Maka beriktikad mereka itu bahawa Allah itu bertempat kerana bersesuaian dengan akal, dan mengkafirkan orang-orang yang mengatakan Allah tiada tempat kerana tiada sesuai dengan akal.

Ulama ASWJ berpegang bahawa tiada perkataan yang dapat menjelaskan hakikat keberadaan Allah. Akal manusia terbatas dan tiada mampu untuk mengatakan apa-apa tentang keadaaan Diri Dzat Allah. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah sallaLahu ‘alaihi wassalam dengan sabdaNya :

Berfikirlah kamu pada makhluk (kejadian) Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (zat) Allah, kerana ía akan membinasakan kamu.” (Riwayat Abu Dzar r.a)

Kita hanya perlu fikir apa yang mampu akal kita memahami seperti wajib Allah bersifat Ada (Wujud), Melihat (Basar), Mendengar (Sama’), Berkata-Kata (Kalam), Berkuasa (Kudrat), Berilmu (Ilmu), Hidup (Hayat), Tiada Permulaan (Qidam), Tiada Binasa (Baqa’), Tiada Berhajat Pada Makhluk (Mukhallafatuhu lil hawadith), Tiada Menyerupai Apa Jua KeadaanNya (Laitha kamithlihi syai’) sama ada Sifat atau Dzat, hanya sama pada sebutan tetapi tiada sama dalam keadaaannya. Seperti sifat melihat makhluk dengan sifat Melihat Allah, sifat melihat makhluk boleh dibahas, tetapi sifat Melihat Allah tiada kita ketahui keadaaannya.

Persoalannya, bagaimana mahu melepaskan diri daripada Qadariyah, Mu’tazilah kepada praktik ASWJ yakni jiwa mencapai tauhid syuhudiah?

Imam Al-Ghazali rahimahullah memulakan pendidikan ASWJ dengan kitab Bidayatul Bidayah, dimana mengajak peringkat mubtadi (permulaan) bertarekah menghafal doa-doa dalam semua perbuatan, agar seorang mukmin itu setiap mengingati Allah dalam segala hal. Ia akan menghancurkan kekuasaan diri dimana amalan doa itu mendidik kepada sentiasa bergantung diri kepada Allah.

Tahap kedua ialah melatih agar sentiasa mengingati Allah pada qalbinya, agar sentiasa mengingati Allah dalam segala keadaan untuk menghancurkan Qadariyah dan Mu’tazilahnya. Latihan mengingati Allah dinamakan Tarekah yakni mujahadah untuk mencapai hakikat yang dikehendaki. Tahap ketiga ialah mereka yang telah benar mencapai hakikat ASWJ iaitu mata hatinya memiliki cahaya syuhudiah atau ihsan dimana jiwanya sentiasa seolah-olah berpandangan pada Allah atau merasai Allah sentiasa bersamanya dimana ia berada. Zahir mereka beribadah tapi batin mereka syuhud pada kurniaan Allah, bukan kudrat mereka.

Ramai orang yang berjaya dalam program atau kerjaya merasa bahawa kejayaan tersebut adalah disebabkan kebijaksanaan dan usaha ikhtiar mereka. Ini menunjukkan mata hati mereka tiada cahaya untuk memandang kepada Allah, mereka telah menjadi kaum Qadariyah yang sesat. Inilah pentingnya kita bertarekah dengan mendidik diri agar sentiasa mengingati Allah, merasai bersama dengan Allah, syuhud pada segala Sifat Allah agar kita berada dalam ASWJ.
SEMPURNA AKIDAH BEROLEH ‘KARAMAH’

ASWJ adalah akidah yang berjalan atas akidah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiaLlahu anhum, maka akidah ini akan melahirkan pelbagai karamah dalam kehidupan mereka.
Para sahabat penuh yakin bertempur dengan musuh dalam Perang Badar walau hanya 313 orang dan bersenjatakan pelepah kurma melawan 1000 musuh lengkap bersenjata, sehingga diberi kejayaan oleh Allah. Tentera Saad bin Abi Waqqas r.a dapat menyeberangi lautan tanpa tenggelam. Ikan di laut tiba-tiba terdampar ke darat menghampiri tentera Islam yang kelaparan.
Sahabat tidak memiliki kekayaan, senjata yang hebat atau jumlah yang banyak, tetapi akidah ASWJ telah membawa mereka mencapai kejayaan yang tak sampai akal memikirkannya. Tapi dengan akidah inilah sahabat dapat menguasai dua pertiga dunia!

Akidah ini juga yang telah menunjangi kejayaan 9 Wali Songo mengIslamkan seluruh Indonesia yang asalnya Hindu dan Budha. Akidah ini telah membawa keyakinan pada Syaikh Abdul Qadir Jailani yang dapat menghidupkan orang mati apabila dicabar rahib Kristian, yang telah membawa Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) sekelip mata pulang ke Terengganu dari Mekah mengambil durian dan telah membawa kegerunan Inggeris dengan ‘keganjilan’ (karamah) Sayyid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus (Tokku Paloh) sehingga armada kapal mereka meninggalkan bumi Terengganu. Sesungguhnya akidah ini membawa manusia kepada kehebatan yang mengatasi logik akal!
ASWJ tiada berhenti pada akal tetapi meyakini Kuasa Allah boleh menjadikan sesuatu sama ada mengikut hukum sebab musabab atau tidak. Ia bergantung kepada situasi dan permohonan hamba yang amat memerlukan pertolongan Allah. Mohonlah apa saja dengan penuh keyakinan nescaya dimakbulkan oleh Allah (kecuali apa yang dilarang seperti mohon tiada mati, tiada berlaku kiamat dan lainnya).

Wahai sahabatku,
Mengingati Allah bukan dalam solat sahaja atau waktu berzikir, tetapi Allah mewajibkan kepada kita mengingatinya 24 jam sehari semalam, kecuali waktu tidur dan tiada sedar diri. Dengan jiwa yang sentiasa mengingati Allah secara syuhud, maka hancurlah Qadariyah dan Mu’tazilah.
Firman Allah :
"... (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia." (Ali-'Imran:191)
Inilah kedudukan dan maqam para Sahabat radhiaLlahu anhum, sentiasa mereka itu syuhud pada Allah dalam setiap nafas dan detik kehidupan mereka.
Saidina Ali k.w.j tidak jadi membunuh seorang musuh apabila musuh itu meludah ke muka beliau. Bila ditanya kenapa, dijawab beliau, "Tadi aku memang mahu membunuhmu, tapi bila kamu meludah ke muka ku, aku bimbang kalau membunuhmu ia kerana nafsu ammarah ku, bukan kerana Allah!"
Khalid al-Walid r.a ketika sedang memimpin satu peperangan menerima surat pemecatan sebagai panglima perang oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a. Namun beliau terus berjuang sebagai tentera biasa. Yang menghairankan, beliau semakin berani dan bersemngat bertempur dengan musuh walau bukan lagi menjadi panglima. Lalu ditanya kenapa demikian, jawab Khalid r.a, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar!"
Inilah perjalanan Ahli Sunnah wal Jamaah!


Apabila kita dalam ingatan pada Allah, maka kita bergerak dan melakukan apa jua aktiviti dengan merasai dalam kekuasaan Allah. Kita memiliki wujud tetapi wujud kita bukan hakiki tetapi diwujudkan oleh Allah. Segala sifat yang kita miliki dalam Qabdah, yakni Genggaman kuasa Allah, tiada berfungsi dengan sendiri melainkan dengan izin Allah.

Inilah jawaban saya kenapa kita orang awam perlu bertarekah. Namun wajib berbaik sangka pada mereka yang tiada bertarekah kerana Allah berkuasa mengurniakan tauhid syuhudiah kepadanya atas keikhlasan hatinya pada Allah. Cuma bezanya tarekah memiliki silibus yang tersusun untuk mencapai tauhid syuhudiah yang boleh dipelajari oleh sesiapa demi kesempurnaan akidah ASWJ.

Itulah tujuan hakiki bertarekah yang saya ajarkan pada diri dan segala ikhwan saya iaitu untuk mencapai hakikat ASWJ dalam praktikal, bukan sekadar ilmu atau kefahaman semata-mata. Adapun kasyaf, firasat, ilham adalah kesan daripada akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Ia tiada perlu dikejar kerana apabila ada lampu dengan sendirinya ada cahaya.
Ilmu yang benar menghasilkan akidah yang benar, akidah yang benar menghasilkan ibadah yang sahih, ibadah yang sahih menghasilkan akhlak mahmudah dan menghancurkan mazmumah, akhlak yang benar akan menghasilkan amal ma’aruf dan nahi mungkar dalam diri, keluarga, pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Sahabat saya begitu tekun mendengar hujah-hujah yang saya berikan (saya tak tulis semuanya di sini kerana agak panjang). Namun apa yang positifnya, sahabat saya itu akhirnya mengatakan bahawa ia ‘perlu berfikir kembali di atas penjelasan saya yang benar-benar memukul dirinya itu’.

Apa yang penting dalam bertarekah adalah untuk mencapai hakikat ASWJ. Tasawuf hanyalah istilah bagi mereka yang benar-benar mencapai manhaj ASWJ yang menghimpun keImanan, Islam dan Ihsan. Kita tidak mahu ASWJ hanya pada ilmu, fahaman, teori atau perbahasan semata-mata tanpa adanya praktik atau penghayatan dalam kehidupan.
bersambung.....
sumber: kuliahadden