Gerakan tolak kewangan Islam

Gerakan tolak kewangan Islam

PERKEMBANGAN pesat kewangan Islam di dunia dengan menikmati pertumbuhan 15 hingga 20 peratus setahun telah mencecah AS$1 trilion tahun ini. Dalam masa lima tahun akan datang, kewangan Islam mungkin akan mencapai saiz AS$2 trilion dan bakal memberikan impak yang signifikan kepada sektor kewangan dunia yang kini bernilai AS$232 trilion (tidak termasuk pasaran derivatif).

Dengan jumlah kira-kira 1.6 bilion Muslim di seluruh dunia yang mana Qatar merupakan negara pendapatan per kapita tertinggi dunia yang mencecah AS$83,841 dan Brunei di tangga kelima dengan AS$49,110 diikuti negara-negara pengeluar minyak terbesar dunia seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan UAE, kewangan Islam dilihat mampu memberikan impak besar kepada ekonomi dunia.

Secara umumnya, kewangan Islam diterima positif dan ia bukan sahaja diamalkan di negara-negara majoriti penduduk Islam, bahkan di negara barat dan minoriti penduduk Islam seperti Amerika, Australia, Jepun, Kanada, Perancis, United Kingdom, Jerman, Luxembourg dan Itali.

Di samping teruja dengan perkembangan ini, elok rasanya jika kita meninjau beberapa maklum balas negatif mengenai sambutan dan reaksi masyarakat antarabangsa terhadap kewangan Islam. Di Korea umpamanya, Parlimen telah menolak bil undang-undang pindaan cukai bagi tujuan pelaksanaan kewangan Islam atas dasar dipengaruhi oleh lobi Islamophobia pihak tertentu seperti Christian Evangelical Group. Di India, nasionalis Hindu secara terbuka membantah sebarang usaha untuk melaksanakan kewangan Islam. Di Australia, Senator Cory Bernardi dari Parti Liberal dan juga Senator Nick Sherry dari Parti Buruh dengan lantang menolak sistem kewangan Islam dan berpandangan bahawa ia tidak sesuai dengan nilai-nilai barat.

Di Amerika, sudah ada gerakan anti-kewangan Islam yang antaranya dipengaruhi oleh Alex Alexiev, Timbalan Presiden Center for Security Policy, sebuah organisasi penyokong kuat Israel.

Perkembangan negatif ini bukan sahaja berlaku di negara-negara barat, bahkan di negara majoriti penduduk Islam sendiri seperti Oman di mana pihak autoritinya masih keberatan untuk melaksanakan sistem kewangan Islam.

Perhatian juga harus diberikan kepada beberapa gerakan dipelopori golongan tertentu termasuk orang Islam sendiri yang terus menerus memberikan gambaran yang salah dan tidak adil terhadap kewangan Islam. Terdapat juga laman web dan blog serta medium komunikasi lain memaparkan fakta yang tidak tepat dan berat sebelah yang mampu menjejaskan perkembangan sektor ini.

Reaksi dan maklum balas negatif terhadap kewangan Islam ini seharusnya diambil perhatian serius, sebelum mana-mana gerakan yang cuba menjatuhkan sektor ini bermaharajalela. Malaysia sebagai salah sebuah negara yang komited mempromosikan kewangan Islam perlu lebih memainkan peranan di peringkat nasional dan antarabangsa untuk terus memberikan kefahaman serta mendidik masyarakat antarabangsa mengenai kelebihan sistem kewangan Islam.

Malaysia dengan kerjasama negara lain dilihat mampu menerajui sektor ini dan seterusnya melaksanakan perancangan strategik bagi menyanggah sebarang usaha untuk menjatuhkan kewangan Islam.

ZULKIFLI HASAN

Universiti Durham, United Kingdom