Teks Penghormatan Tokoh Buku 'Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas)

(Sempena Pelancaran Buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas) Teks Ucapan Penghormatan oleh Raja Nazrin Sultan Azlan Syah


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wrt wbrkt dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dengan kebesaran Allah yang maha esa, majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas, dapat dilangsungkan.

Beta bersyukur kerana bersempena majlis pelancaran ini dengan ketentuan Ilahi juga beta turut di angkat ke satu martabat kemuliaan apabila dipilih sebagai insan yang digandingkan dengan usaha mulia untuk memuliakan seorang sarjana Islam berwarga Malaysia.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas diiktiraf, disegani dan dihormati di serata dunia sebagai pohon ilmu yang asli teguh berakar di Taman Ilmu.

Syed Muhammad Naquib adalah insan istimewa memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan ruh intelek seorang muslim perintis dalam mempelopori idea mengislamkan pengetahuan (The Idea of Islamization of Knowledge).

Beliau telah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam khususnya subjek-subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Beliau telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam adalah penerbitan berkualiti tinggi mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana bertujuan merakamkan pengiktirafan kepada seorang ilmuan Malaysia bertaraf dunia. 22 esei tersebut telah dihasilkan oleh para sarjana dari serata dunia. Dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Bahrain, Egypt, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, The Netherlands, Russia, Turkey dan United Kingdom di samping sarjana-sarjana dari Malaysia.

Setiap esei mengandungi kupasan dan huraian tersendiri bersandarkan sudut kajian dan aspek analisis yang diberikan fokus. Namun setiap seorang dari mereka walaupun apa sub-disiplin kajiannya mencapai satu titik pertemuan mengiktiraf dan menghargai ketokohan, pemikiran dan kebijaksanaan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Beta berpeluang mendapat naskah awal penerbitan yang akan dilancarkan ini yang telah diutus kepada beta bersama warkah jemputan ke majlis ini. Beta tertarik mengikuti kupasan-kupasan mengenai adab. Huraian tentang adab merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih-sayang serta sifat menghormati ibu-bapa, orang tua dan kanak-kanak, juga jiran tetangga dan pemimpin masyarakat. Ditegaskan betapa pentingnya bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing. Beliau menekankan bahawa adab itu adalah ketertiban budi (intellectual discipline). Menghormati guru dan orang berilmu adalah manifestasi adab terhadap ilmu. Tidak ketinggalan peringatan adab terhadap alam semulajadi, terhadap bahasa dan pentingnya alam spiritual dihormati dalam hasrat mahu mencecah darjat keluhuran dan adab itu sewajibnya memperlihatkan keadilan, mencerminkan hikmah serta mempertahankan hak dari segi realiti dan kebenaran. Adab dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur bahawa apabila kuasa dan sumber diserahkan kepada individu yang tidak memahami idea induk, akan berlakulah penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber. Diikuti dengan suasana kekeliruan intelek dan kekeliruan moral. Salah urus sumber mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting yang begitu berkesan dan dihormati pada zaman kolonial. Justeru itu, adab adalah penentu kepada jatuh bangunnya pemimpin di dalam sesebuah masyarakat. Adab memperingatkan bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kemanusiaan dari sudut kuasa, kekayaan mahu pun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.

Setelah berpeluang menyelami huraian Syed Muhammad Naquib tentang adab, beta amat insaf akan betapa kerdilnya diri beta dalam aspek pencapaian ilmu berbanding dengan tahap yang telah beliau capai. Membawa beta bertanyakan diri sendiri apatah beta selayaknya dianugerahkan dengan kemuliaan pada petang ini untuk melancarkan sebuah penerbitan yang bertujuan memuliakan seorang insan. Seorang insan yang telah sedia lebih awal diangkat oleh Ilahi ke martabat kemuliaan ilmu yang begitu tinggi. Beta tidak dapat lari dari bertanyakan diri adakah Syed Muhammad Naquib al-Attas seorang yang beta kenali atau seorang yang tidak beta kenali. Pertanyaan tersebut membawa ingatan beta kembali mengembara kepada peristiwa ketika beta berangkat melawat ISTAC. Lawatan yang beta pinta diaturkan setelah disembah maklumkan tentang keistimewaan institusi tersebut. Itulah pertemuan pertama dan sehingga majlis pelancaran ini, merupakan satu-satunya pertemuan beta dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pertemuan untuk tempoh masa sekitar 2 jam adalah satu peratusan waktu yang amat kecil dalam hayat beta yang telah meraut usia lebih 53 tahun. Namun pertemuan singkat itu memberi fahaman dan nilai baru kepada beta akan erti dan makna pertemuan. Bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.

Sewaktu mengunjungi ISTAC beta berpeluang menemui Syed Muhammad Naquib, berjabat tangan, bertentang wajah disusuli dengan renungan mata dan perbualan kata, beta datang dan pergi dengan minda yang mengakui hakikat bahawa, pertama : beta adalah seorang anak muda yang sedang mengunjungi seorang dewasa yang usianya hampir sama dengan usia Paduka Ayahanda beta. Sewajarnyalah beta menyedari diri berada di taraf yang lebih rendah dan sewajibnya beta menghormati beliau. Kedua: Beta masih seorang musafir dalam pengembaraan mencari ilmu, masih daif, sedang berada di kaki gunung dalam pendakian menemui seorang sarjana, seorang mahaguru, seorang pendeta yang bukan sahaja telah sedia berada di puncak gunung pengetahuan tetapi telah sekelian lama mengalirkan pemikirannya ke serata lembah dan wadi ilmu.

ISTAC adalah hasil dari himpunan usaha yang mengutamakan kualiti. ISTAC melambangkan himpunan idea terbaik dari terbaik, dipilih lalu diubahsuai dari contoh-contoh keindahan yang telah pernah beliau temui dari serata dunia. Ia bukan sahaja memiliki keindahan fizikal tetapi keindahan itu dilengkapi dengan fungsi dan memenuhi matlamat. ISTAC memperlihatkan satu prasarana yang dihasilkan melalui pemikiran yang serius dan komitmen yang tinggi hingga terbangun sebuah kampus pengajian yang dinamik bertenaga menghidupkan budaya berfikir, berupaya membina tabiat rindukan ilmu. ISTAC memiliki persekitaran yang mengandungi lirik cinta dan simfoni kasih. Selepas berpeluang melihat ISTAC, beta sering mengimpikan untuk melihat lebih banyak institusi, terutama institusi pengajian di negara ini dapat menjadikan ISTAC sebagai contoh dari aspek pembangunan prasarana bermula dari peringkat falsafah dan konsep, perancangan, pembiayaan, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan. Betapa produktifnya dan betapa kemungkinan ketua-ketua eksekutif institusi pengajian tinggi di negara ini diberikan lebih autonomi dalam memenuhi amanah membangunkan taman-taman ilmu yang setanding dengan ISTAC bersandarkan amalan ‘let the manager manage’. Beta kagum melihat ISTAC yang telah beliau bangunkan tetapi beta lebih kagum dengan insan yang telah mengabadikan pemikiran dan jiwa raganya untuk membangunkan ISTAC. Melihat ISTAC beta merumuskan bahawa beta sebenarnya berhadapan dengan seorang seniman yang sangat teliti, sangat jauh, mendalam dan luas wawasannya, sangat komited dan amat terlibat memenuhi visinya.

Masih segar dalam ingatan beta akan 3 wawasan utama yang beliau suarakan kepada beta. Pertama: ISTAC adalah taman ilmu. Justeru itu bangunan dan kampus, kelengkapan dan peralatan, lanskap dan hiasan dalamannya tidak sekadar untuk memenuhi keindahan fizikal tetapi menyediakan satu persekitaran yang mendorong semangat kecintaan ke arah membina budaya untuk meminati dan menghargai ilmu. Kedua: ISTAC wajib mendapatkan sarjana tebaik dari serata dunia di peringkat tenaga pengajar dan penyelidik, demikian juga pelajar. Dan Ketiga: Memastikan ISTAC mempunyai pusat sumber rujukan yang dilengkapi dengan koleksi karya agung dan penerbitan berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Kunjungan ke ISTAC yang hanya sekali berlaku dan pertemuan dengan Syed Muhammad Naquib yang juga hanya sekali berlaku, telah lama berlalu. Namun ia tetap meninggalkan ingatan berkekalan dalam diri beta. Beliau adalah seorang sarjana yang memiliki kuasa intelek yang hebat. Berjaya meninggalkan impak kepada pemikiran muridnya walaupun hanya berpeluang berinteraksi seketika dengannya. Dengan kehalusan dan kesantunan budi pekertinya beliau telah memberikan keselesaan kepada beta untuk berinteraksi walaupun beta laksana kail sejengkal yang mahu memancing di laut ilmu milik beliau yang sangat dalam lagi luas. Beliau bersifat rendah diri laksana padi semakin berisi semakin tunduk. Beliau adalah bukti hidup seorang insan yang berpegang kukuh kepada prinsip. Beliau teguh dalam tindakan untuk menegakkan kebenaran.

Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah satu khazanah amat berharga. Beliau adalah hasil adukan keturunan ulamak dan aristokrat, turut dibesarkan dan didewasakan dalam persekitaran budaya Islam dan melalui kehidupan harian di taman aristokrasi. Pengalaman-pengalaman yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup telah menambah-kukuhkan keperibadian beliau yang sebenarnya telah sedia kukuh. Antaranya, kandungan elemen-elemen mematuhi disiplin, mematuhi perintah dan kesetiaan semasa mengikuti latihan ketenteraan mempunyai pengaruhi terhadap pandangan dan budaya kerja beliau sebagai ilmuan dan pentadbir. Beliau memenuhi amanah dengan penuh disiplin, mentaati perintah dan mengabdikan kesetiaan secara mutlak kepada Pemerintah Teragung atau Supreme Commander yang tidak ada dua baginya iaitu Allah yang Maha Esa. Segala yang diwarisi dan setiap liku pengalaman hidup yang dilalui telah membina satu watak yang memiliki kekuatan dan keunggulan. Beliau adalah satu keistimewaan, satu keluarbiasaan, hebat dari segi intelek, hebat dari segi personaliti, hebat dari segi kesenimanan dan hebat dari segi keimanan kepada Yang Maha Pencipta.

Syed Muhammad Naquib al-Attas memiliki daya fikir yang berupaya menghidupkan pemikiran-pemikiran berteraskan Islam, memperlihatkan kehebatan Islam melalui hujah-hujah yang amat intelek, mempercayai lalu memilih untuk Islam itu dibangunkan secara membangunkan masyarakat Islam dan bukannya terburu-buru memilih kaedah politik dengan retorik yang membina Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Beliau yakin dengan undang-undang Islam tetapi tidak yakin dengan orang-orang yang memiliki dan diberikan kuasa untuk mentafsir dan melaksanakannya di Negara ini. Beliau meragui sama ada mereka benar-benar telah memiliki kesederhanaan, hikmah, keadilan dan keberanian untuk melaksanakannya. Kepada beliau pendekatan yang mengutamakan Islam itu harus dikembangkan dari dalam dan membesar secara organik, dan bukannya secara mengenakan tekanan dari atas kepada masyarakat . Contoh kehebatan daya keintelektualan beliau berhujah dapat dipetik dari catatan dalam dialog beliau ketika memberikan respon kepada soalan berkaitan dengan polemik penggunaan kalimah Allah semasa berlangsungnya seminar Worldview of Islam anjuran The Assembly of Muslim Intellectuals pada 13 Disember 2009 yang lalu.

Petikan: “ Allah is not from Bahasa Malaysia, it is not a National Language. It belongs to the Language of the Muslims all over the world. Therefore your argument using this for the word ‘Allah’ does not fit into your idea of God because Allah does not have a son. It is not one of three. That is why, out of respect to Allah we can’t allow you to use this. We agree you want to use God then use ‘Tuhan’ as we also use that. But we understand in the Malay language ‘Tuhan’ is not a translation of Allah. That is why we say, ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ not, ‘Tiada tuhan melainkan Tuhan’. So Allah cannot be translated as no language has translated Allah. But if they use it and they say in Indonesia they have used it, why can’t we here. It is because of the Muslims. If Muslims don’t care, they will go on and use it, and in Indonesia they are using not only that but other things too. They even call it choir for selawat. Choir is not a Selawat as selawat is for the Prophet. It is not singing a hymn”.

Demikian keintektualan beliau berhujah dan kehebatan beliau berdebat dengan memberikan hujah-hujah secara rasional dan faktual, secara ringkas, secara jelas telah mempertahankan kesucian nama Allah dari disalahgunakan, yang dibimbangkan boleh menggelincirkan akidah.
Beliau mengikuti pengajian tertiari di Singapura, di Kanada dan di United Kingdom. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar di ketiga-tiga institusi pengajian tinggi di tiga Negara berkaitan. Penguasaan bahasa Inggeris beliau berada di tahap par excellence. Pada hukum adatnya, beliau tidak perlu bersusah payah untuk menobatkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara tetapi beliau memilih mengambil tanggung jawab besar mendaulatkan bahasa ibundanya dengan menyedari bahawa lebih ramai anak bangsanya akan mendapat akses kepada ilmu jika Bahasa Melayu dapat dinobatkan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi.

Semangat nasionalisme Melayunya terbukti dalam usaha gigih beliau untuk menobatkan bahasa Melayu. Perlu diingatkan bahawa menobatkan bahasa Melayu merupakan salah satu dari 7 wasiat raja-raja Melayu dalam kontrak sosial yang dimaktubkan menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau gigih berusaha melaksanakan program untuk membolehkan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya walaupun mendapat tentangan hebat dari ramai pensyarah. Beliau adalah antara pendokong utama kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulisan-penulisan beliau dalam Bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada Bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru Bahasa Melayu di peringkat intelek dan falsafah.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani hendak menggugat mertabat bahasa bangsa Melayu. Bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Dapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan tidak pernah dijadikan opsyen kerana beliau tidak mahu pemikirannya terikat atau terantai dengan mana-mana kumpulan politik. Beliau tidak reda kejernihan tasik pemikiran beliau dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat untuk mendapat kuasa, mengguna atau menyalahguna kuasa serta mempertahankan kuasa.

Syed Naquib mentafsirkan kemerdekaan itu mempunyai pelbagai peringkat. Kemerdekaan politik hanyalah tahap pertama. Bahawa kemerdekaan yang lebih tinggi bermula dengan kemerdekaan minda untuk berupaya berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu dan pengetahuan serta tradisi bernilai sesebuah Negara. Pada hemat beliau bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggung jawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta ketegasan memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku. Baginya seorang sarjana tidak harus sama sekali memiliki sifat untuk mendapat sokongan atau kedudukan politik.

Pendirian neutral yang dijadikan prinsip pegangan telah membebaskan beliau untuk berupaya terbang mencapai awan di langit yang lebih tinggi. Membolehkan beliau berupaya singgah di pepohon yang lebih segar, subur dan hijau rendang dari satu taman ilmu ke satu taman ilmu di seluruh alam semesta. Adalah lazim bagi insan yang telah dianugerahkan kehebatan minda yang luar biasa untuk mendahului eranya, meletakkanya berada jauh di hadapan pemikiran bangsa dan warganya. Namun sifat istimewa luar biasa bukannya mudah difahami malah seringkali meletakkan beliau berhadapan dengan cabaran lebih berat untuk dapat dihargai. Seringkali pula mengundang kepada salah tafsiran lalu berlaku penilaian yang tidak semestinya bersifat adil dan positif ke atas diri beliau. Demikian harga yang perlu dibayar dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang sarjana yang berani menegakkan kebenaran dan bertegas menegur kebatilan.

Syed Muhammad Naquib yang telah diangkat oleh Ilahi berada di altar lebih tinggi dalam dunia dia didewasakan telah juga dianugerahkan daya lihat yang amat tajam dan mata hati yang amat terang. Beliau adalah satu-satunya sarjana di negara ini yang telah dianugerahkan penghormatan menduduki kursi-kursi utama akademik dalam pelbagai disiplin. Beliau pemegang pertama Kursi Pemikiran Islam Abu Hamid al-Ghazali di ISTAC. Syed Muhammad Naquib memiliki keistimewaan yang luar dari biasa lalu memerlukan sebenar-benar jauhari untuk dapat menilai mutu manikamnya. Manikam yang sangat asli tidak mudah luntur dan tidak senang hancur. Biar di mana ia jatuh, biar sejauh mana ia dilontar, ia terus bercahaya malah semakin memancarkan sinar cahaya menerangi benua dan alam semesta. Ia menjadi buruan para jauhari yang bestari.

Seorang ilmuan itu sebenarnya memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen. Pengiktirafan yang diabadikan lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan hingga jauh melangkau pasca hayatnya, dan tidak sekadar semasa dia masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu. Berbanding dengan penghormatan seorang raja ataupun ratu, seorang presiden atau seorang perdana menteri yang boleh sementara sifatnya didewakan bagaikan dewata ketika berada di tampuk kuasa kemudiannya terhenti dan begitu cepat dan mudah dilupakan setelah muncul pengganti yang baru.

Usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif. Usaha sebegini dapat membantu membina kekayaan intelek dan khazanah intelek negara. Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan. Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan daya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pemimpin yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar. Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif.

Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuan.

Semoga kebijaksanaan pemikiran Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas akan terus berkembang dan disuburkan. Semoga anak didik beliau akan berperanan secara berkesan menjadi duta ilmu menyebarkan pemikiran beliau. Dalam hubungan tersebut, inisiatif Wan Mohd Nor Wan Daud dan Muhammad Zainiy Uthman serta Universiti Teknologi Malaysia adalah salah satu misi dan amanah yang amat murni dan perlu dipuji.

Ke mana pula tumpahnya kuah kalau tidak di pinggan nasi. Ungkapan tersebut khusus beta tujukan kepada Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas, anakanda kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk terus menyalakan obor keluarga dalam kegiatan penulisan dan kehidupan. Dalam kapasiti beta memenuhi amanah sebagai Raja Muda Perak, sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, begitu juga sebagai Pro Canselor Universiti Malaya, selanjutnya sebagai seorang anak, suami dan ayah, esei-esei yang terkandung dalam koleksi buku ini sangat relevan untuk beta jadikan rujukan terutama dari segi memahami falsafah dan konsep berkaitan Islam, kesejahteraan, evolusi, adab, pengetahuan, dialog ketamadunan, pendidikan, institusi wakaf, kapitalisme dan dunia Melayu. Semoga apa jua ilmu yang beta timba akan dapat beta manfaatkan untuk kesejahteraan ummah. Dengan kalimah Bismillahirrahmani beta dengan sukacitanya melafazkan pengistiharan pelancaran Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Wabillahitaufiq wal hidayah…Wassalamu’alaikum wrt. wbt.

on Friday, February 26, 2010 at 9:13am