Buta sejarah, tidak celik budaya

Buta sejarah, tidak celik budaya

oleh AZIZ DERAMAN
1/19/2011 Sinar Harian

Peristiwa membakar novel Interlok hasil karya SN Datuk Abdullah Hussain oleh sekumpulan 100 orang keturunan India di Klang pada 8 Januari 2011 sungguh mendukacitakan. Sekelompok anggota masyarakat yang jahil budaya, tidak faham sejarah, tidak mengerti sastera telah bertindak liar tidak beradab, tergamak mencoretkan pangkah hitam ke wajah persuratan bangsa. Malaysia telah menyaksikan air mata seorang sasterawan gugur membasahi pipi akibat terlalu hiba. Kesusasteraan kebangsaan tercemar. Malang sungguh Malaysia, sekiranya cara begitu akan diambil sebagai pedoman pembentukan dasar, tidak kepada ilmu dan kebenaran fakta. Akal budi kumpulan itu telah dibakar api perkauman, bertindak kerana politik bukan sastera. Mereka tidak mengerti realiti di India dengan di Malaysia. Perbuatan atau ‘tunjuk perangai’ itu sangat biadab.

Bagi penulis, kerajaan tidak perlu menarik balik Interlok dari bilik darjah. Kerajaan jangan ‘ketar dagu’, tetapi hendaklah memberikan penjelasan dan mesti ada ketegasan. Kenapa penulis katakan buta sejarah dan tidak celik budaya?. Sifat kedua-dua ‘buta’ ini merupakan istilah universal bukan sahaja berlaku ke atas sastera. Kedua-duanya saling berkaitan dan ada dalam semua bidang kehidupan. Warga sesebuah negara yang buta sejarah dan tidak celik budaya akan selamanya tidak tahu menghormati prinsip-prinsip hidup berbangsa dan bernegara, sesuatu yang dibimbangi menjadi wabak yang merebak di negara kita sekarang. Mereka mudah terperangkap dengan hasutan puak, politik emosional dan ketaksuban pemimpin serta perkauman, lalu menolak kebenaran ilmu. Perpaduan dan kesatuan bangsa akan sukar dibina jika rakyatnya buta sejarah. Konflik mudah meletus akibat berfikiran jumud. Kehidupan politik boleh menjadi kacau, sedangkan politik akan menentukan perjalanan pemerintahan dan pentadbiran negara. Mereka yang tidak mengetahui sejarah bangsa dan negara itu akan menolak apa sahaja gagasan dan dasar-dasar yang baik, mengetepikan nilai-nilai murni, dan menolak prinsip penerimaan terhadap kesatuan dalam kepelbagaian. Negara seperti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan kaum, kaya dengan aneka warisan budaya, kesenian, perbezaan bahasa dan dialek, adat, kepercayaan itu adalah aset bagi kemajuan dan kemakmuran. Jika kita sudah terdengar formula kesatuan bangsa melalui undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan, tetapi Perlembagaan mahu dirobekkan. Maka puak seperti tadi tidak akan malu muka bertindak merosakkan atau memusnahkan banyak perkara lagi.

Fenomena politik mutakhir di Malaysia patut dipandang serius. Kita merasakan ada goncangan perjuangan perkauman puak tertentu yang ekstrem. Kejujuran dan keikhlasan sudah diterbalikkan dengan nilai-nilai sebaliknya. Orang politik mesti sedar. Pimpinan di semua peringkat baik sektor awam dan swasta juga mesti insaf. Cuba hayati maksud sebenar sesuatu pemikiran, seperti yang terjadi kepada Interlok itu. Buta sejarah dan tidak celik budaya, menyebabkan generasi baru hanya tahu mempersoalkan sesuatu yang baik. Manifestasi peristiwa Interlok itu boleh dianggap sama dengan lanjutan cetusan yang mula menolak martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Kedudukan istimewa bumiputera atau sistem pemerintahan raja berperlembagaan itu pun dilihat dari sudut perkauman bukan kenegaraan. Mereka akan mempersoalkan apa sahaja dan mengambil peluang, akibat buta sejarah dan tidak celik budaya, mempertikai, memperlekeh dan mencerca.

Cadangan Kementerian Pelajaran dan kerajaan mewajibkan subjek sejarah itu memang dialu-alukan. Hal ini bukan tidak difikirkan sebelum ini, tetapi suara sejarawan dan budayawan terketepi disebabkan alasan politik tanpa bersandarkan ilmu dan arah tuju peradaban bangsa. Kenapa tidak subjek Perlembagaan, secara asas diperkenalkan di peringkat awal, misalnya di peringkat menengah dan dijadikan subjek wajib merentasi fakulti di pusat-pusat pengajian tinggi. Demikian juga ilmu kesusasteraan, dalamnya terkandung kekayaan perbendaharaan tentang bahasa, nilai-nilai kemanusiaan, pembentukan modal insan cemerlang, ketatanegaraan dan sebagainya. Karya-karya agung Malaysia sendiri, seperti teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta karya-karya sasterawan tersohor seharusnya menjadi teks wajib bagi ditelaah di universiti merentas fakulti pengajian. Di mana-mana negara besar sekalipun, rakyatnya dididik mengenali sejarah negara sendiri, mempelajari sejarah serantau dan perbandingan sejarah dunia dan menelaah karya-karya kesusasteraan. Juga subjek bahasa, dimasukkan komponen sastera, agar bahasa menjadi lebih kukuh dari segi artikulasi dan penggunaan yang sempurna. Kenapa orang dalam bidang profesional di United Kingdom mengenali Shakespeare, Charles Dickens atau orang Rusia tahu siapa Boris Pasternak dan A Pushkin. Karya-karya agung persuratan mereka dibaca. Kita di Malaysia, nama-nama Sasterawan Negara pun tidak melekat di bibir pelajar dan karya mereka tidak dibaca masyarakat umum. Cari sebab-sebab kenapa hal sedemikian terjadi di Malaysia? Saluran pendidikan paling utama, tetapi kadang-kadang dasar pendidikan cepat berubah mengikut selera ad hoc. Walhal sesuatu yang teras sewajarnya dikekalkan dan segala isu atau masalah diselesaikan melalui strategi dan pendekatan. Pendidikan di negara kita telah meninggalkan lompang kesedaran bangsa dan kecintaan negara, tidak memperkukuh patriotisme. Penegasan sistem melalui satu bahasa pengantar terus menerus dipertikaikan golongan politik. Formula asal sudah ada. Kenapa semangat Penyata Razak dan Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti mana yang ditetapkan Akta Pelajaran atau Akta Pendidikan diabaikan?. Aliran bahasa ibunda di peringkat rendah dengan persekolahan jenis kebangsaan atau aliran agama dan lainnya dikekalkan tetapi hanya satu sistem bahasa pengantar bermula di peringkat menengah. Itu formula asal. Masalah penguasaan bahasa-bahasa asing hendaklah ditangani dengan pedagogi atau pengajaran dan pembelajaran yang sistematik. Formula yang diterapkan semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 cetusan Allahyarham Tun Razak itu sudah terbukti sangat berjaya. Kenapakah kerelevanannya tidak dikekalkan? Bagaimanakah kesedaran sejarah dan budaya akan bertambah kalau program media yang baik pun tidak diikuti? Pengamal media cetak mahupun elektronik ada tanggungjawab sosial dan budaya yang sangat besar. Kalau diperhatikan, kadang-kadang program media elektronik bagaikan kehilangan bahan siaran yang baik. Ini belum termasuk agenda persendirian melalui blog dan sebagainya. Kini Malaysia juga sedang berhadapan dengan keruntuhan nilai moral dan akhlak.

Cuba diteliti kelompok atau puak yang memesongkan atau menghakiskan nilai-nilai agama dan kenegaraan. Bagaimanakah boleh kita kikiskan buta sejarah dan rakyat akan menjadi lebih celik budaya tanpa programnya yang konkrit?. Nilai-nilai murni sesungguhnya terdapat dalam pendidikan berasaskan sejarah kerana sejarah mengajar kita kekuatan dan kelemahan silam, ada dalam kesusasteraan kerana di dalamnya ada nilai-nilai positifnya, falsafah dan pemikiran bangsa. Nilai-nilai agama jangan diperkecilkan, di dalamnya ada tunjuk ajar kebaikan bukannya nilai-nilai kekejian. Kita akan selamanya tidak celik budaya, memahami tata kehidupan menerusi amal makruf selagi aspek rohaniah diketepikan. Agaknya kerana kelemahan demikianlah menjadikan berleluasanya kejadian menolak sistem dan struktur yang ada dan seribu satu macam unsur-unsur yang akan meruntuhkan masa depan peradaban bangsa.