Model Pendidikan Islam Gulen

Seminar Model Pendidikan Gulen

FETHULLAH Gulen merupakan intelektual Islam yang tersohor di pentas sejagat terutamanya di kalangan pergerakan Islam antarabangsa tetapi agak asing di negara kita.

Dalam buku 50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia karya Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad tidak tercatat nama beliau.

Malah nama tokoh Turki seperti Beddiuzaman Said Nursi dan Recep Tayyib Erdogan, Perdana Menteri Turki sekarang digolongkan antara 50 tokoh tersebut.

Malah sumbangan Gulen kepada kebangkitan Islam di Turki dan membawa kepada kemenangan Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pada 2007, pimpinan Erdogan itu tidak dibincangkan dalam mana-mana seminar mengenai tokoh-tokoh pergerakan Islam dunia di negara ini.

Agak pelik juga mengapa parti-parti politik dan gerakan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Jemaah Islah Malaysia (JIM) tidak membicarakan mengenai tokoh Islam bernama Gulen ini.

Siapakah Fethullah Gulen? Apakah sumbangan beliau untuk layak digelar sebagai tokoh atau pejuang Islam di peringkat antarabangsa.

Mungkin tidak seperti tokoh Islam yang berjuang melalui politik, Gulen banyak memperjuangkan Islam melalui pendidikan.

Beliau percaya bahawa pendidikan memainkan peranan utama dalam mencapai nilai-nilai yang membuatkan seseorang itu menjadi seorang insan.

Katanya, pendidikan adalah cara yang baik dalam menyebarkan perdamaian, keharmonian, disiplin dan peraturan dalam kehidupan sosial dan individu.

Gulen juga percaya dengan pendidikan boleh menyelamatkan seseorang di dunia dan akhirat. Dia juga menekankan bahawa perkhidmatan yang paling penting di dunia ini ialah memberikan pendidikan kepada manusia.

Atas sebab itulah beliau berdedikasi dalam memperjuangkan Islam dalam aspek pendidikan dan ingin mendidik manusia menjadi seorang insan.

Selama 50 tahun perjuangannya, beliau telah menulis lebih 70 buku (terdapat juga dalam bahasa Inggeris), memberikan ribuan ceramah dan menulis banyak artikel.

Antara intipati perjuangannya adalah membantu manusia menjadi seorang insan mencapainya dengan ikhlas dan tulus kerana Allah.

Apa yang menarik mengenai ketokohan Gulen bukan hanya dihormati oleh majoriti umat Islam di dunia tetapi juga dihormati oleh kalangan bukan Islam.

Beliau diterima di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan agama kerana pemikirannya yang dianggap sederhana dan menjadi penyeimbang kepada para pemikir Islam yang dianggap ekstrem dan radikal.

Berkembang

Gulen banyak menuangkan pemikirannya tentang pembaharuan di dunia Islam dan lebih mengkedepankan dialog dan perdamaian antara sesama umat dan bukan Islam dalam menyebarkan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Pemikiran-pemikirannya kemudian menjadi sebuah pergerakan yang dalam lembaga-lembaga pendidikan, amal, institusi media massa dan perkumpulan-perkumpulan pelajar serta pelobi-pelobi. Malah membantu menubuhkan persatuan wartawan dan penulis.

Yang lebih menarik mengenai perjuangan Gulen adalah terdirinya sekolah-sekolah beliau bukan sahaja di Turki malah di merata-rata tempat di dunia.

Lebih 100 negara di serata dunia mendirikan sekolah Gulen iaitu di Amerika Syarikat (AS), Eropah (terkini di Belgium), Asia Tengah, Asia Tenggara (hanya sebuah sekolah di Malaysia, lima di Indonesia bahkan terdapat sekolah Gulen di Myanmar) dan Asia Timur (di Jepun dan Korea Selatan)

Tentulah seorang intelektual Islam seperti Gulen mempunyai kehebatannya yang tersendiri kerana banyak negara memberi kebenaran bagi mendirikan sekolahnya.

Pelajaran-pelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah itu adalah bebas daripada sebarang agenda politik, etnik, kaum dan faktor-faktor keuntungan.

Justeru, sebagai menghormati sumbangannya dalam bidang pendidikan dan membangkitkan kesedaran Islam, diadakan seminar antarabangsa mengenai sumbangan-sumbangan pergerakan Gulen di kota London pada Oktober 2007.

Bayangkan dalam situasi sekular keras dan kekuatan pemerintahan tentera, Gulen masih mampu mengembangkan Islam melalui pendidikan dengan penubuhan sekolah-sekolahnya.

Gulen dalam memperjuangkan Islam, cuba mengelakkan diri daripada menyentuh isu-isu sensitif seperti sekular.

Pengaruh beliau begitu berkembang di Turki sehingga terdirinya universiti swasta (seperti Universiti Fatih), stesen televisyen bernama Simanyolu dan akhbar bernama Zaman, Persatuan Bantuan Kemanusiaan Kimse Yok Mu dan Persatuan Penulis. Malah pengaruh tersebar di institusi kewangan dan ketenteraan.

Malah terdapat pandangan yang mengatakan kemenangan parti AKP adalah hasil sokongan rakyat yang cenderung Islam, ada kaitan dengan pengaruh dan pendidikan Gulen.

Pada 6 Januari lalu, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Industri Selangor (Unisel), Kampus Shah Alam bersama-sama dengan Malaysian Turkish Dialogue Societymenganjurkan Seminar Antarabangsa Mengenai Model Pendidikan Gulen' bertempat di Unisel, Kampus Shah Alam.

Adalah wajar jika kita dapat memanfaatkan kebijakan konsep dan strategi pendidikan Gulen yang mengembangkan dakwah Islamiah ke serata dunia.

Dengan harapan semoga kita dapat menggunakan model pendidikan Gulen untuk kemanfaatan dakwah Islam dalam negara kita yang berbilang kaum ini.

Segala konsep dan metodologi pendidikan Islam yang sesuai dan membawa kebaikan dapat digunakan dalam sistem pendidikan sekolah-sekolah di negara kita.

Mungkin kita dapat mencari kaedah baru dalam pendidikan agama melalui metodologi Gulen di sekolah-sekolah agama di negara kita.

Seminar setengah hari itu dihadiri penceramah dari Universiti Islam Negeri, Jakarta, Dr. Ali Unsal. Beliau lulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang teologi Islam dari Universiti Selcuk, Konya (tempat kelahiran Jalalludin Rumi), Turki.

Malah Dr. Unsal juga adalah Presiden Persatuan Persahabatan Amerika-Turki di Fairfaz, Virginia, AS.

Dr. Unsal yang kini Pengarah Kerusi Fethullah Gulen di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta berkata, bagi Gulen, pendidikan adalah intipati asas untuk masa depan masyarakat.

Lantaran itu, bagi membangunkan pelajar, hubungan tiga segi antara pelajar, sekolah (guru-guru) dan keluarga adalah penting.

"Manusia dilahirkan ke dunia ini dengan keperluan dan objektif pendidikan kepada masyarakat meliputi keluarga, agama, bangsa dan negara," katanya yang banyak menyumbang kertas kerja mengenai teologi Islam dalam jurnal dan juga menulis buku.

Sementara itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam pembentangannya pula berkata, Gulen telah berjaya menggabungkan antara sumber Islam berasaskan tauhid dan al-Quran dengan bidang-bidang sains dan teknologi, di mana para pemimpin dan pejuang Islam lain gagal merumuskannya.

"Tambahan pula, wacana Gulen yang dimasukkan dengan istilah-istilah moden, membuatkan ia mudah

diterima masyarakat Turki, masyarakat Islam dan bukan Islam yang merupakan suatu bentuk kestabilan yang

dinamik.

"Malah, beliau mempunyai kefahaman yang mendalam antara tradisi Islam dan pandangan dunia Arab," kata Dr. Wan Mohd. Nor yang merupakan anak didik Prof. Dr. Syed Naquib al Attas.

Selain menyumbang artikel dan membentangkan kertas kerja di peringkat tempatan dan antarabangsa, Dr. Wan Mohd. Nor juga menghasilkan buku.

Antara bukunya yang terkenal adalah The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al Attas, The Concept of Knowledge in Islam: Its Implication for Education in a Developing Country dan Pembangunan di Malaysia: Ke arah Satu Kefahaman Baru yang lebih Sempurna.

Seminar setengah hari itu dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar antarabangsa dari Turki, Jerman, Turkmenistan, Pakistan, Krygzstan dan Afrika Selatan.

Ia turut dihadiri oleh para pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UKM dan beberapa kolej swasta.

Perasmian seminar dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad.

ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah Ketua Program Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Industri Selangor (Unisel), Kampus Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

12 Januari 2011