DASAR PERTAHANAN NEGARA (DPN)

DASAR PERTAHANAN NEGARA

Kementerian Pertahanan dipimpin oleh Menteri Pertahanan dengan dibantu oleh seorang Timbalan Menteri. Organisasi Kementerian Pertahanan mengandungi dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kementerian bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Dasar Pertahanan Negara dan segala pengurusan hal ehwal pertahanan serta sumber-sumber yang disediakan kepada Angkatan Tentera (AT) untuk mempertahankan negara.


Dasar Pertahanan Negara mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.



Kawasan Serantau

Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global. Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Selat Melaka dan laluan pintu keluar masuknya, dan Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.


Kawasan serantau yang dianggap penting oleh Malaysia meliputi Asia Tenggara, termasuk Kepulauan Andaman dan juga Laut China Selatan. Malaysia melihat sebarang perkembangan di rantau ini akan juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunannya. Ini adalah penting kerana Malaysia berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan hampir setiap negara anggota ASEAN. Sebarang gangguan kepada keselamatan rantau ini, sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke atas keselamatan negara.

Hubungan dagangan negara yang kian berkembang, adanya pasaran baru untuk hasil-hasil keluarannya, pelaburan asing yang bertambah dan pengambilalihan negara terhadap syarikat-syarikat swasta yang memiliki kepentingan-kepentingan di seluruh dunia, telah menjadikan kepentingan-kepentingan negara menjangkau luar dari kawasan terdekat dan serantau. Berdasarkan keadaan sedemikian, maka adalah menjadi kepentingan negara untuk memastikan keamanan dunia terpelihara.

Keupayaan Berdikari


Dengan mengambil kira faktor-faktor kepentingan strategik negara dan persaingan dalam pelbagai kepentingannya yang lain, pertahanan Malaysia berkisar sekitar prinsip-prinsip utama iaitu Keupayaan untuk Berdikari, Kerjasama Serantau dan Bantuan Luar.



Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan berdikari nasional. Ia melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar dengan keutamaan program pembangunan negara.


Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, dengan mengambilkira had-hadnya, keupayaan berdikari negara umumnya berasaskan dua landasan. Pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancaman-ancaman luar tahap rendah dan pertengahan.

Kerjasama Serantau

Oleh kerana kedudukan geografi negara di tengah-tengah Asia Tenggara, tidak dapat dielakkan kepentingan-kepentingan strategik Malaysia mempunyai pertalian yang rapat dengan negara-negara serantau yang lain. Berdasarkan kedudukan ini, keselamatan Malaysia adalah sebahagian daripada keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Dengan demikian, sebarang ancaman terhadap ASEAN atau ke atas mana-mana negara ASEAN adalah juga dilihat sebagai ancaman kepada Malaysia. Dengan demikian sewajarnya, Malaysia memberi keutamaan kepada kerjasama serantau.

Dalam konteks kerjasama serantau, Malaysia juga memberi sokongan terhadap mengwujudkan hubungan kerjasama pertahanan dua hala di kalangan negara-negara ASEAN. Satu rangkaian kerjasama pertahanan dua hala dengan negara-negara ASEAN akan banyak membantu dalam proses membina keyakinan dan menggalakkan ketelusan. Seiring dengan pendekatan ini, Malaysia akan menggalak dan menyumbang ke arah membangunkan suatu kesatuan ASEAN yang teguh dan berkesan untuk memastikan Asia Tenggara yang aman.


Malaysia melihat penubuhan Forum Serantau ASEAN (ASEAN Regional Forum – ARF) sebagai satu perkembangan penting ke arah kesinambungan keamanan dan kestabilan serantau. Inisiatif ASEAN ini telah berjaya membawa bersama ahli-ahli untuk berkongsi pandangan mengenai masalah keselamatan yang melibatkan kepentingan bersama. Proses dialog yang dilaksanakan terbukti merupakan mekanisme penting ke arah membina keyakinan. Aktiviti-aktiviti ARF akan dapat mengwujudkan kerjasama yang lebih akrab serta persefahaman yang lebih baik di kalangan peserta ARF.


Bagi melengkapi usaha-usaha kerjasama serantau, Malaysia juga menyedari perlunya untuk mendapat bantuan luar dari negara-negara luar rantau. Bantuan tersebut meliputi sokongan moral dan fizikal, kemudahan-kemudahan latihan, pemindahan teknologi dan bekalan peralatan. Ke arah usaha ini, Malaysia telah mengambil langkah untuk menjalin dan meningkatkan hubungan pertahanan dengan negara-negara luar rantau. Sungguh pun negara bertanggungjawab terhadap prinsip Kawasan Aman, Bebas dan Berkeculai (ZOPFAN), ini tidak seharusnya mengenepikan keperluan untuk meminta bantuan daripada sumber-sumber di luar rantau apabila diperlukan.

Pertahanan Lima Negara (FPDA)

Ini terutamanya apabila tahap ancaman adalah melebihi keupayaan angkatan tempatan untuk menghadapinya. Malaysia menganggap peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Malaysia sebagai satu saluran untuk memperolehi bantuan luar. FPDA merupakan satu-satunya peraturan pertahanan bentuk formal yang melibatkan Malaysia dengan negara-negara kuasa luar rantau. Di peringkat awal penubuhan FPDA, negara menyedari bahawa dasar keupayaan berdikari memerlukan jangka masa tertentu untuk dicapai.

Lantaran itu, FPDA telah menjadi saluran kepada Malaysia untuk membangun keupayaan pertahanan dengan bantuan negara-negara rakan yang telah sekian lama menjalinkan hubungan pertahanan dengan Malaysia. Corak mekanisme perundingan FPDA membuka ruang kepada negara untuk mendapat bantuan luar dan juga jaminan keselamatan. Malaysia adalah komited dengan pendirian bahawa FPDA masih relevan. Walau bagaimanapun, berdasarkan senario strategik semasa dan peningkatan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peranan FPDA telah disusun semula untuk mencerminkan keperluan semasa.


Komitmen tegas Malaysia terhadap Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan negara berpegang kepada pendirian pertahanan yang bercorak defensif. Sehubungan dengan ini, dasar pertahanan telah menggubal strategi berdasarkan prinsip cegah rintang dan pertahanan menyeluruh. Dasar ini juga menggariskan perlunya mengelakkan terjadinya konflik dalam wilayah sendiri, sama ada dengan mencegahnya dari berlaku, atau melalui cara berdepan dengan musuh sejauh mungkin di luar wilayah Malaysia. Konsep cegah rintang bertujuan untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman. Ini memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan di samping usaha-usaha untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang memiliki keupayaan yang mantap untuk menghadapi peperangan. Ia juga dapat memastikan negara mempunyai keupayaan bagi menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh pihak lawan.


Pertahanan Menyeluruh

Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan bersepadu yang dilaksanakan oleh kerajaan, agensi bukan Kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata dalam mempertahankan negara. Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan Malaysia memerlukan komitmen semua lapisan rakyat, dan tidak hanya oleh Angkatan Tentera.

Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional. Menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Malaysia yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya terus menjadi tonggak pertahanan negara. Sehubungan ini, Malaysia akan terus berusaha ke arah meningkat dan membangunkan keupayaan ATM di samping menggalakkan kesedaran pertahan dan semangat patriotik di kalangan rakyat jelata.