Jalan untuk menjadi Sufi Sejati

Jalan untuk menjadi Sufi sejati

Oleh

Shahidan Radiman
Pusat Pengajian Fizik Gunaan
Fakulti Sains dan Teknologi , UKM

1.Latarbelakang

Cerita tentang pertemuan seorang professor universiti dengan seorang tukang sampan sangat terkenal (kebanyakannya dalam versi B. Inggeris). Secara ringkasnya , apabila ditanya samada tukang sampan itu pernah ke sekolah dan dijawab tidak, professor (yang ingin memberi seminar di sebuah pulau) itu mengatakan “ setengah kehidupan kamu sudah habis” . Namun apabila di tengah laut sampan itu bocor dan tukang sampan bertanya samada professor itu boleh berenang atau tidak dan dijawab tidak, maka dia berkata “ seluruh kehidupan kamu akan habis”. Begitu jugalah analogi di antara seseorang yang sudah biasa dengan ilmu duniawi dan alam syariati (tanpa menceduk ilmu hakikat dan makrifat) akan binasa apabila berhadapan dengan alam ghaib dan alam akhirat. Betapa banyak ustaz dan ustazah yang mengajar ilmu agama , tetapi bila sampai ke bab gangguan jin dan syaitan , mereka tidak dapat menolong orang , malah mereka tidak dapat menolong diri sendiri apabila berlaku kerasukan dan sebagainya. Itu belum lagi dengan pengetahuan dan pengalaman tentang alam malakut, jabarut dan sebagainya, apatah lagi alam ketuhanan. Mengapa fenomena ini berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kebongkakan golongan yang mengaku ulamak tetapi sebenarnya hanyalah ulamak dunia. Mereka merasa hebat dengan ilmu agama yang ada dan segolong ijazah dari universiti terkemuka tertentu , sedangkan hebatnya ilmu terletak kepada taqwa. Mereka taksub dengan ilmu yang mereka pelajari dari buku dan professor , tidak kepada nasab sebenar ilmu Islam. Tidakkah kita pernah mendengar hadith Rasulullah s.a.w “ Semua nasab akan terputus di Hari Akhirat , kecuali nasab ku”. Mereka lupa kepada ehsan sedangkan selepas Islam ada iman dan selepas iman , ehsan pula yang perlu dibangunkan. Nabi Muhammad s.a.w bukan saja perlu diteladani secara lahiriah tetapi juga secara batiniah dan ruhiyah ! Bibit-bibit ketaksuban dalam beragama semakin jelas apabila timbul fahaman Wahabi yang begitu rigid , tidak menerima pemikiran dan fatwa orang lain serta secara sistematik ingin menghilangkan sejarah Nabi Muhammad s.a.w agar manusia lalai dengan kemodenan dan melupakan tokoh ikutan ummat dari ingatan ummat !

2.Perjalanan Sufi Muhaqqiqin

Orang Sufi sangat menekankan pengetahuan alam ghaib dan amalan batiniah dikeranakan Allah s.w.t itu melihat kepada amalan hati. Jika alam semesta yang fizikal ini diwakili oleh sebutir pasir di padang Sahara , maka alam ghaib itu diwakili oleh padang Sahara yang begitu luas. Keadaan orang Sufi itu begini: ruh mereka menembus langit dan mengadap Allah s.w.t ketika solat ; ketika berzikir , mereka menghantarkan ruh mereka ke falak-falak yang telah ditetapkan atas perintah Allah s.w.t dan bagi yang diiktiraf , mereka menjalankan tugas di alam ghaib sebagai tentera dan utusan Allah bagi membantu dan mengajar manusia . Dalam banyak tugasan ini “hanya yang khawasul khawas akan mengajar yang khawas”. Dengan bimbingan guru yang mursyid, seseorang Sufi itu akan dapat memperjalani setiap ayat Al-Quran sehingga khatam –ini merupakan Sunnah yang telah dilaksanakn oleh para sahabat termasuk Saidina Umar r.a yang mengambil 4 tahun untuk mengkhatamkan al-Quran secara praktikal. Sebahagian dari ahli Sufi akan dapat kembali ke alam “alasti birobbikum , qolu bala syahidna” , memahami rahsia Alif yang ghaib dalam awal Basmalah dan juga rahsia titik Ba dalam Basmalah seperti yang dihurai oleh Saidina Ali kar. dan sebagainya. Perjalanan sufi ini adalah ke arah insanul kamil ( yang dicapai oleh Rasulullah s.a.w dan para nabi a.s). Melaluinya Allah s.w.t mentajallikan sifat dan asma’Nya sehingga dirinya sendiri mempunyai banyak “nama rahsia”. Pentajalian itu adalah seperti yang disebut dalam al-Quran sebagai “tusarriful ayat” .

Dalam menyampaikan ilmu kepada orang awam dan khawas, kaum Sufi tidak hanya menghafal ilmu dan menyodorkan semula ilmu itu kepada masyarakat , tetapi dapat menyerap roh ilmu dan apabila menyampaikannya mereka dapat menghantar manusia yang belajar dengan mereka ke makam mereka masing-masing. Berapa banyak tabi’in yang mengajar di masjid-masjid pada zaman kekhalifahan Saidina Ali kar. diberhentikan dan ditegah mengajar ilmu agama oleh beliau ( lihat riwayat ini dalam Qutul Qulub oleh Abu Talib Makki) – hanya beberapa tabiin sahaja yang dibenarkan meneruskan pengajaran mereka contohnya Imam Hasan Basri rah. Ini adalah diatas kehendak Allah s.w.t seperti dalam ayat 24 surah Al Hajj:

Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan diberi petunjuk pula kepada jalan Allah yang terpuji.

Banyak yang mencari dan mengajarkan ilmu tetapi tidak mendapat faedah dari ilmu itu kerena tidak dapat mengamalkannya- dalam erti lain tidak bersiap-siap menerima rahmat Allah melalui jalan amal salih , seperti yang disebut dalam al-Quran 53:39 :

“ Bahawasanya manusia itu tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. “

Perjalanan ahli Sufi beracuan/templat dengan perjalanan para anbiya , sebab perjalanan tersebut menuju insanul kamil sedangkan para anbiya merupakan insanul kamil yang wajib dicontohi. Oleh itu , akan ada perjalanan-perjalanan yang bernama Musawi, Isawi , Muhammadi dan sebagainya.

Kaum sufi sentiasa bersama Allah kerana mereka tidak pernah meninggalkan zikir pada setiap detik (dipanggil zikir nafas) – inilah sebenar-benar “zikran kathira”. Kehendak Allah sentiasa mendahului kehendak dan cita-cita makhluk , oleh itu biasanya bukti bahawa seseorang itu akan dapat beristiqomah dan diterima oleh Allah ialah si salik itu mendapat hadiah tongkat atau khirqah samada dari gurunya atau dari para nabi atau wali qutub , samada secara zahir atau batin (melalui mimpi). Kata “istiqomah” itu dihuraikan dalam Al-Quran dalam suku kata seperti “ aqimis solah , aqimud din ,aqimu wujuhakum” dan sebagainya. Selain daripada sentiasa menyucikan diri dengan pelbagai laku mahmudah , mereka sangat berhati-hati daripada terjerumus kepada perbuatan mazmumah sebab keterjerumusan itu berlaku secara perlahan-lahan dalam bentuk “langkah-langkah syaitan” ( khutuwatis syaitan , lihat Al An’am ayat 142). Mereka juga memahami dan mengenali hakikat sebenar penampilan (suwar) : contohnya penampilan Al-Quran sebagai pemuda yang tampan ,solat Jumaat sebagai seorang pengantin dan sebagainya. Imam Al Ghazali ada menyebutkan dalam Rasail ke-9 :

Seorang hamba tidak akan sampai ke surga , kecuali setelah melewati titian as-shirath. Kita tidak dapat berjalan di atasnya , kecuali seperti kita berjalan diatas jalan maknawi di dunia ini.

Renungkanlah !

Ibnu Arabi rah. dalam sebuah suratnya kepada Imam Fakhruddin al-Razi (dipetik dari Jawahir al Maani):

Ketahuilah saudaraku, hanya dua bentuk ilmu yang akan mengikuti manusia ke akhirat. Pertama , ilmu tentang Allah s.w.t. Kedua, ilmu tentang tempat-tempat (mawatin) di Hari Akhirat agar seseorang itu tidak gagal untuk mengenalpasti tajalliyat di sana sehingga dia tidak berkata “ Aku berlindung dengan Allah daripada mu” apabila al-Haqq menunjukkan DiriNya kepada manusia ketika itu.

3.Hakikat Mengenal Diri

Zikir adalah dengan lisan dan kalbu. Zikir lisan adalah untuk menghasilkan zikir kalbu. Zikir kalbu adalah untuk memperolehi muraqabah. Seterusnya muraqabah membawa kepada musyahadah. Ini adalah disebabkan pada peringkat muraqabah teguhlah keEsaan Allah dalam kalbunya dan dengan itu mudahlah melestarikan ibadah kepadaNya. Pada peringkat musyahadah tersingkaplah melalui pandangan batinnya bahawa cahaya kewujudan Keesaan Allah itu meliputi segala sesuatu dan oleh itu nampaklah sifat-sifat dan nama-nama Allah dalam segala ciptaanNya. Maka dia akan sentiasa menyaksikan cahaya Rububiyyah dan tersingkap kepadanya rahsia-rahsia keMahatunggalan Allah s.w.t itu.

Sabda Rasulullah s.a.w “ Aku tinggalkan untuk kalian dua pemberi nasihat, yaitu yang berbicara dan yang diam”. Yang berbicara itu adalah Al-Quran dan yang diam itu adalah kematian. Orang Sufi dapat “menghidupkan” suruhan ini dengan melaksanakan zikir berterusan dalam dua cara iaitu secara lisan atau secara dalaman (dalam hati) dan sekaligus melaksanakan “kematian” dengan berada dalam keadaan fana’ atau fana’ baqa’ billah ketika melaksanakan solat dan lain-lain ibadat .

Imam al Ghazali ada menyebutkan dalam Rasail ke-6 tentang ruh:

Ruh itu ada tiga. Jiwa yang arif , jiwa yang ahli ibadah dan jiwa yang zuhud. Jika ketiga jiwa itu berkumpul , kematian dan kehilangan tidak akan membahayakannya. Sebab ia sempurna naik ke a lam kesempurnaan. Ia akan memperoleh apa yang tidak ada di dalam surga berupa maqam-maqam ketinggian dan cahaya-cahaya kesucian di dalam Kehadiran Keabadiaan.

Inilah yang dimaksudkan oleh orang-orang Sufi sebagai “indarobbihim” – di sisi Rabb mereka. Imam Ghazali seterusnya menghuraikan bahawa:

“…dibelakang kenikmatan surga , terdapat kenikmatan lain yang tidak terinderakan , kecuali dengan musyahadah . Sifat musyahadah tidak dapat diungkapkan kerana kelazatan melampaui batasan pengungkapan dan penafsiran. “

Mereka yang sudah mengenal diri akan dapat melakukan apa yang Saidina Ali kar dapat melalui. Kata beliau:

“ Tanyakanlah kepada ku tentang jalan-jalan langit , niscaya aku akan menghuraikannya kepada anda …………….”

4. Penutup

Ketika para professor dari universiti –universiti terkemuka dunia dan persatuan-persatuan sains dunia membincangkan hasil tulisan para Sufi muhaqqiqin seperti Ibn Arabi, Sh. Abdul Qadir Jilani, Sh. Abu Hasan Shadzli dan Imam Ghazali dan kitab-kitab mereka ditelaah dan dikaji oleh pelbagai zawiyah dan pondok pengajian (untuk mencapai ilmul yaqin), seorang Sufi yang telah mencapai makamnya dapat menyatakan bahawa “ hari ini aku dapat belajar dengan sheikh-sheikh yang disebutkan tadi secara ladunni serta dihuraikan kepada ku kitab-kitab tersebut “. Malah tidak mustahil untuk seseorang Sufi belajar sendiri daripada guru semua guru iaitu Allah s.w.t sendiri. Seperti kata seorang arif, jika mimpi berjumpa seseorang nabi a.s itu pasti benar, apatah lagi bermimpi (dan belajar) dengan Allah s.w.t sendiri (untuk mencapai haqqul yaqin). Maka, makam ehsan yang dicita-citakannya itu akhirnya tercapai.

Wallahu a’lam bissawab.

15 Mei 2011

http://www.kesturi.net/archives/1412