Karya Agung 'Fakta Sejarah & Khayalan' Historical Fact & Fiction'

"Fakta Sejarah dan Khayalan" - penerusan rencana tajdid persejarahan Alam Melayu oleh Prof. Al-Atta

Rihlah saya ke Turki baru-baru ini menyedarkan saya betapa penting-nya sejarah sebagai satu daya sosial (social force) dalam usaha meng-ihya'-kan kembali maknadiri insan dan masyarakat. Seperti mana bangsa Eropah "menemukan" semula khazanah dan identiti silam mereka dalam bentuk-rupa tamadun Yunani - yang mencetus semangat zaman baru (zeitgeist) Pencerahan (Enlightenment, Aufklärung), kaum Muslimin juga perlu meng-itsbat-kan diri kepada faham persejarahan yang benar dan tepat, sesuai dengan faham ilmu yang dijelaskan oleh ulama' berwibawa zaman-berzaman.

Buat cucu-cicit keturunan Bani Osman, peninggalan kesan sejarah, samada yang sudah mati atau yang "hidup" kerana masih di-'imarah-kan dengan baik seperti masjid-masjid agung berusia ratusan tahun seperi Sultanahmet, dan Ulu Camii etc; makam-makam para umara' dan ulama' yang soleh senantiasa mampu membangkitkan rasa maknadiri mereka yang sering dimamah bahana sekularisme (laiklik) semenjak puluhan tahun dahulu. Sejarawan mereka seperti Halil İnalcık dan İlber Ortaylı berusah gigih menjelaskan kembali kepada massa akan hakikat identiti mereka yang telah dimuliakan dengan Islam seperti yang dizahirkan oleh datuk nenek mereka iaitu Bani Osman. Pendek kata, mawdu' sejarah adalah satu aset berharga buat warga Turki baik dalam mencari maknadiri hatta sebagai "komoditi" ekonomi dalam menjadikan Turki sebagai destinasi pelancongan sejarah yang terkemuka.

Lain pula di Alam Melayu ini. Agak sukar untuk massa menemukan maknadiri mereka melalui bukti-bukti peninggalan sejarah Islam berbentuk fizikal dalam kuantiti yang banyak seperti yang terdapat di Turki dan daerah-daerah kaum Muslimin yang lain. Aturan Ilahi telah menayangkan kepada kaum Muslimin di Alam Melayu bahawa untuk mengenali maknadiri mereka, sumber utama yang paling hampir dan yang memenuhi syarat faham 'ilmu tidak lain tidak bukan ialah peninggalan turath ulama' kita yang terdahulu samada dalam bentuk teks 'ilmiah ataupun rekod-rekod pentadbiran, rakaman sejarah daulah Islamiyyah yang panjang, sezaman dengan Empayar Islam yang lain khususnya Empayar Osmaniyyah.

Takdir ilahi menguji kaum Muslimin dengan kehadiran perompak dan penyanggak Barat telah banyak membantutkan usaha dalam memahami maknadiri persejarahan kita sebagai kaum Muslimin di Alam Melayu. Oleh yang sedemikian tidak hairanlah aktiviti 'ilmiah dan penafsiran butiran sejarah di Alam Melayu ini banyak dipelopori oleh 'ilmuan Barat (lebih "mesra dan gah" dikenali sebagai Orientalis) seperti Snuck Hurgronje, Stamford Raffles, R.O Windstedt dan banyak lagi. Sudah tentu penafsiran mereka yang bukan Islam ini amat banyak menimbulkan masalah dengan penyuburan tafsiran-tafsiran bersifat dhanni dan juga yang diwarna pekat oleh pandangan alam mereka sebagai bangsa Barat yang telah banyak melalui pergolakan sejarah yang panjang lagi berbisa akan hakikat kewujudan, kebudayaan dan kegamaan mereka itu.

Penghasilan ilmu-ilmu sejarah yang diajar di Alam Melayu pasca era penjajahan inilah yang telah menyuburkan suasana untuk pemesatan faham sekularisasi yang menyerang segenap sudut kehidupan kaum Muslimin bukan sahaja di Alam Melayu malah di seluruh dunia jua (faham persejarahan Turki di bawah Atarturk dan Iran di bawah Shah Iran adalah contoh sejarah masalah ini). Maka, perjuangan untuk men-tajdid-kan sejarah Alam Melayu ini merupakan satu ke-fardhu-an yang amat tinggi nilainya dan alhamdulillah, Allah SWT telah anugerahkan kita mujaddid yang mempunyai kewibawaan dan kelayakkan 'ilmu yang tinggi dalam usaha meluruskan garisan tafsiran sejarah yang telah sedia kendur oleh mereka-mereka yang berniat jahat mahupun yang tidak layak menafsir perkara yang diluar kemampuan mereka - melalui sosok insan yang dikenali sebagai Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, mantan pengasas-pengarah ISTAC.

Walaupun usia beliau hampir mencecah satu abad, Prof. Al-Attas masih gigih meneruskan rencana tajdid persejarahan Alam Melayu yang beliau telah mulakan seawal tahun 1963 seperti yang terzahir dalam karya beliau Some Aspects of Sufism as Understood and Practised among the Malays dan kini gagasan tersebut diperkemaskan lagi melalui karya terbaru beliau yang baru sahaja diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia-CASIS dengan judul Historical Fact and Fiction (2011).

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOlG8-2sKUqLqAVril-F5-qD5aOM3GgZWN1rxLW7RMB-Ll992KhVQBSZ4WEWyfGxecdJE268UiZeVnrfOl5dDLOBXkfJ_I_tafmPaegBU8blqxM0JY7d6zwyywPv4sVvlE__cInlGO6mQ/s320/Historical+Fact+and+Fiction_Al-Attas.jpeg

Hasil 'ilmiah terbaru Prof. Al-Attas ini cuba menyelesaikan beberapa persoalan penting dalam persejarahan Alam Melayu seperti yang terzahir dalam ruangan depan buku tersebut antaranya berkenaan pentafsiran baru tentang kisah Merah Silau; bukti sejarah bahawa Semut Raya (Great Ant) ialah satu fakta bukan khayalan/mitos; identiti raja Muslim pertama di Samudra-Pasai; penerbitan nama Sumatra; singkapan baru tentang Parameswara; pembukaan Melaka dan nama asalnya yang sebenar; kisah khayalan/mitos pokok melaka dalam pembukaan Melaka; ma'na sejarah; tentang identiti Arab dan pendakwah yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Alam Melayu; pembentukkan abjad Melayu-Arab dan skrip Jawi berdasarkan sistem vokal Arab Hadrami dan banyak lagi mawdu' persejarahan yang selama hari ini kurang dijelaskan dengan baik atau penuh dengan tafsiran yang salah lagi mengelirukan.

Hampir 40 tahun sudah Prof. Al-Attas mengulas, menerangkan juga me-radd-kan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sarjana Barat tentang persejarahan Alam Melayu.Sepanjang saya membaca karya beliau dan setelah dijelas dengan tuntas oleh Dr. Aliza Elias sebelah pagi harini dalam kelas WISE anjuran HAKIM, sebenarnya Prof. Al-Attas amat konsisten memperjuangkan tajdid sejarah Alam Melayu dalam semua karya-karya beliau (kecuali Prolegomena yang sarat dan tertumpu bulat pada mawdu' metafizik Islam). Hari ini saya tersedar dan berpendapat bahawa kesemua hasil 'ilmiah yang Prof. Al-Attas telah usahakan amat sarat dengan faham tajdid persejarahan khususnya berkenaan Alam Melayu, seolah-olah kesemua pendalilan yang dikemukakan beliau boleh dijadikan sebagai satu "matawang filsafat" (philosophical currency) dalam urusan "muamalah 'ilmiah" agar "pembeli" yang terdiri daripada golongan sarjana hinggalah kepada orang awwam dapat memahami keseluruhan gagasan dan sistem pemikiran yang beliau gagaskan sepanjang beliah hidup secara istiqamah itu sebagai sesuatu yang amat penting dalam usaha meneruskan cara-gaya (proses) Islamisasi ilmu kontemporari secara am-nya dan Islamisasi persejarahan di Alam Melayu secara khasnya.

Bukan mudah untuk 'ilmuan wibawa seperti beliau yang telah terjun ke dalam samudera ilmu membawa permata nan indah untuk didagangkan sebagai satu hakikat penting memahami maknadiri Islam yang sekian lama terkambus dan terkeliru dek arus sekularisasi yang masih mekar di Alam Melayu ini, dan kesukaran itu dapat dipermudahkan dengan adanya pendalilan persejarahan yang mapan. Kesulitan dan kepentingan kajian ini dijelaskan oleh Prof. Al-Attas dalam bab muqaddimah karya itu:

"Unlike those who can depend upon and have access to well-documented source materials of their past achievements, reflecting their individual expressions of Islamic civilization in their religious, intellectual and cultural history as interpreted , ordered, authenticated, and established by their own erudite predecessors, our predicament is that we cannot fall back upon such wealth of preserved knowledge about our past. Our religious, intellectual and cultural history has for the most part not yet been written, nor has authoritative and concerted effort ever been directed toward genuine research and careful and correct recording of Islamic events with a view to writing such a history. In view of this dearth of historical materials, much of our interpretation and explanation of past events will have to depend largely upon rational rather than empirical methods. Rational estimation [emphasis mine] must find credence from the empirical evidence of past facts" (ms: xiv)

Saya melihat dan yakin bahawa hasil 'ilmiah persejarahan Alam Melayu yang diusahakan Prof. Al-Attas ini merupakan satu contoh rencana penyelidikan Islamisasi ilmu kontemporari yang unik dan bertepatan dengan faham ilmu dalam Islam dan ianya tertayang dengan hebatnya dalam karya terbaru beliau, Historical Fact and Fiction ini. Karya ini pasti dapat menjernihkan kekeruhan berkenaan keperluan merombak kembali silibus mata pelajaran sejarah di setiap peringkat pendidikan di negara ini serta sebagai satu benteng menentang "dekonstruksi" persejarahan yang digagas oleh pemikir dan sarjana yang keliru lagi mengelirukan seperti Farish Noor et al.

Memadangkan saya masih tidak habis membaca, merenungi, dan memahami makna yang terkandung dalam karya nan hebat ini, saya hanya mampu memberi sedikit gambaran awal dan intisari seperti yang dijelaskan di atas. Ada banyak perkara baru yang tersingkap dalam pemikiran saya ("matawang filsafat", "world-system" dalam kerangka persejarahan Al-Attas, falsafah sains Al-Attas yang terlaksana dan terkandung secara zahir dan batin dalam isi kandungan karya terbaru itu etc.) pada hari ini setelah membelek Historical Fact and Fiction juga setelah mendegar syarahan mantap berkenaan tajdid persejarahan Alam Melayu oleh Prof. Al-Attas yang telah disampaikan oleh Dr. Aliza Elias pagini. Perbincangan lanjut perlu saya lakukan dengan anak-anak murid Prof. Al-Attas sendiri kelak.

Dapatkan karya ini kelak di kedai-kedai buku utama.

Wallahua'lam.

http://rausyanfikir.com/2011/07/fakta-sejarah-dan-khayalan-penerusan.html