Sains Dimajukan Melalui Pemerkasan Akal Fikiran Dan Bahasa Umat Islam

Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas: Sains Dimajukan Melalui Pemerkasan Akal Fikiran Dan Bahasa Umat Islam

Sekiranya kita menyelidik kegiatan sains pada zaman yang lampau,[1] bolehlah dikatakan bahawa kesemua kegiatan tersebut adalah usaha untuk memahami alam ini secara yang tertib dalam satu sistem. Oleh kerana itu, sekiranya kita menanggapi sains sebagai sejenis pengetahuan yang mengkaji sistem-sistem tersebut, sains akan tertakrif sebagai ilmu mengenai sistem-sistem (a science of systems). Sekiranya kita mempertimbangkan fakta bahawa terdapat kegiatan-kegiatan dalam kajian sains yang tidak secara langsung membina sistem, iaitu aktiviti-aktiviti yang secara tepat menilai masalah-masalah khusus dalam sistem tertentu, maka takrif sains adalah ilmu yang membahaskan mengenai sistem-sistem dan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan sistem. Bingkai untuk menilai proses perkembangan sains sehingga menjadi satu disiplin ilmu akan membantu kita untuk memahami bagaimana sains berkembang dalam sesuatu masyarakat. Penjelasan ini berpegang kepada andaian bahawa kebangkitan sesuatu tamadun adalah seiring dengan kebangkitan kegiatan sains dan gerakan falsafah.

Dalam usaha untuk mengemukakan suatu rangka teori kebangkitan tamadun, kita mestilah mengkaji tamadun tersebut sehinggalah kebangkitan aktiviti-aktiviti ilmu sains dan falsafah jadi nyata. Setiap tamadun memiliki ciri-ciri yang khusus dalam kegiatan ilmu sains dan falsafahnya; perbezaan-perbezaan tersebut timbul sebagai penyesuaian budaya dan zaman. Meskipun demikian, asas yang menyatukan antara pelbagai tamadun adalah rangka-dasar (framework) yang menjelaskan bagaimana falsafah dan ilmu sains boleh tumbuh dan subur dalam tamadun tersebut. Pandangan-alam - iaitu rumusan-rumusan dasar yang menjadi asas dan lunas kehidupan - menayangkan satu semangat yang kuat untuk maju yang mulanya tercetus dari lingkungan masyarakat dan kemudian memuncak dan tersebar dalam seluruh aspek kehidupan. Punca yang mencetuskan kekuatan semangat ini amat berbeza antara berbagai tamadun. Walau bagaimanapun, secara amnya, ia adalah perjuangan akal-budi yang terpahat dalam jati-diri manusia, yang kemudiannya mendorong masyarakat ke arah satu pergelutan. Pergelutan akhlaqiah dan jasadiah ini akan mendorong kepada pengesahan budi dan pekerti menerusi janaan akal dan secara beransur-ansur satu tradisi akan menjadi lazim dan seterusnya menggerakkan pembinaan suatu tamadun.

Jelas bahawa ‘kebangunan' dan ‘kejatuhan' sesuatu tamadun itu adalah bergantung kepada semangat akal-budinya (intellectual dynamism) yang ditandai dengan falsafah sains dan pemikiran falsafi. Apabila semakin banyak hasil akal dan buah pemikiran, semakin bertambahlah pula pengetahuan. Ini pasti mendorong kepada perubahan kefahaman dalam akal dan budi. Akibatnya, perkara-perkara dasar yang tertentu akan dipersoal, dan pemecahan terhadap persoalan-persoalan tersebut akan menimbulkan pula persoalan-persoalan lain sehinggalah kesimpulan akhirnya dapat ditetapkan. Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha-usaha aqliah dan penubuhan pusat-pusat pengajian sains. Adalah satu kemestian untuk mempunyai golongan yang bergiat dalam aktiviti-aktiviti kesarjanaan kerana untuk memantapkan kegiatan-kegiatan sains dan falsafah, satu tradisi yang lazim amatlah diperlukan. Tradisi ini nantinya akan menjadi bahagian yang memperlengkap kesempurnaan masyarakat. Kerangka ini, meskipun ringkas, bolehlah secara umum menggambarkan peristiwa awal yang berlaku semasa kemunculan tamadun Barat dan, pada takat yang tertentu, tamadun Yunani purba. Walaupun demikian, ternyata bahawa ada perbezaan antara kedua-dua tamadun tersebut apabila pandangan-alamnya masing-masing diperbandingkan.

Kita boleh menyatakan bahawa pandangan alam Yunani purba secara khasnya telah tumbuh berkembang dari benih pandangan-alam yang bersifat tabii. Iaitu, satu pandangan-alam yang mendasarkan wujud semesta dan matlamat hidup manusia secara keseluruhannya semata-mata berasaskan kepada tanggapan mudah bahawa alam hanyalah berkaitan dengan kejadian-kejadian tabii sahaja. Dengan yang demikian, kebudayaanlah yang telah menentukan hala-tuju pandangan-alamnya, sehingga di sepanjang sejarahnya, pandangan-alam tersebut boleh diperlengkap dan dibentuk menurut kesesuaian budaya. Apakah falsafah Yunani purba berasal dari keperluan rasa ingin tahu yang amat sangat untuk memperjelas hakikat segala benda dan perkara? Sekiranya andaian ini dianggap benar, maka tidak mungkin untuk menyatakan bahawa kajian dan penyelidikan mengenai alam semesta adalah berasal daripada bangsa Yunani purba sahaja. Sekiranya kita berhujah bahawa, walaupun kaji-selidik mengenai alam semesta juga ada dilaksanakan oleh bangsa-bangsa yang lain, tetapi hanya bangsa Yunani silam sahaja satu-satunya bangsa yang secara beransur-ansur memperkembang kajian tersebut sebagai sains, kita boleh menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya pasti terdapat dua cara yang digunakan untuk mengkaji alam semesta. Pertamanya, kajian yang berciri 'saintifik' yang merangsang kepada kebangkitan sains; keduanya, kajian yang dibuat hanya sekadar untuk memenuhi rasa ingin-tahu manusia dan tidak memunculkan sebarang bentuk sains. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu kepada penjelasan tadi sejauh yang berkenaan dengan kaedah atau ‘methodology'. Maka itu, kita perlu kepada penjelasan lanjut mengenai kenapa kesarjanaan Yunani purba dianggap istimewa. Justeru kita perlu kembali kepada pendirian asas kita yang telah disebut mengenai semangat yang kuat untuk maju yang mulanya tercetus dari lingkungan masyarakat dan kemudian memuncak dalam lapangan sains. Dari sini, barangkali telah lama ada suasana akliah yang mempengaruhi kegiatan-kegiatan sains yang kemudiannya merangsang Thales yang disanjung sebagai failasuf pertama untuk melaksanakan kajian dan penyelidikan sains dan alam semesta, Berdasarkan hujah ini, ada pendapat bahawa semangat kuat akhlaqiah tadi mungkin berakar dari hikayat dongeng pahlawan-pahlawan Yunani purba. Cerita-cerita epik tersebut- selain daripada penjelasan-penjelasan harfiah yang nyata - mengandungi kiasan dan peribaratan mengenai andaian-andaian akhlak dan perjuangan diri manusia, godaan dan keazaman, semuanya diatur secara terperinci dari Kuil Raya para dewa. Kejayaan insan menewaskan para dewa yang mendiami alam semesta ini membawa makna bahawa hanya manusia sahaja yang akan menentukan nasibnya sendiri dan meraih kebebasan.

Secara umumnya kita boleh menyatakan bahawa pandangan-alam Barat telah tumbuh dan berkembang di sepanjang sejarah. Maknanya, pandangan-alam Barat telah terbentuk melalui sederet aliran saintifik yang datang secara berturut-turut, yang masing-masing menurut lengkungan ideologinya, yang terbit "dari unsur-unsur budaya dan falsafah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan sains pada zamannya."[2] Oleh kerana itu, unsur-unsur dasar bagi pandangan-hidup yang sedemikian pastilah tidak tetap, tergantung kepada rumusan-rumusan ideologi-ideologi baru yang tidak henti-henti datang silih berganti. Oleh sebab itu, pandangan-hidup tersebut sentiasa berada dalam keadaan ‘kemenjadian' (becoming), tidak pernah benar-benar mencapai kematangan dan kerana itu "tidak dapat menyedari makna dirinya sendiri".[3] Sebenarnya, kedatangan Islamlah yang telah membimbing Barat keluar dari ketandusan aqliahnya dan menyebabkan perobahan hebat yang meninggalkan kesan-kesan yang berkekalan bukan sahaja terhadap Agama Kristian, yang menyamar dalam rupa agama ‘Tanzil', tetapi juga terhadap pelbagai aliran pemikiran yang berbeza, yang kemudiannya turut serta membangunkan bentuk pandangan-alamnya.[4]

Sesungguhnya, pemikiran aliran Aristotle, atau rasionalisme, telah menjadi asas yang mendasari rumusan ideologi pemikiran yang datang kemudian. Penerimaan terhadap Aristotelisme atau rasionalisme itu sendiri adalah satu perkara yang hebat kerana ia telah merangsang penubuhan pusat-pusat pengajian yang khusus berbakti demi usaha-usaha penyelidikan kesarjanaan yang memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah Barat yang mendorong kepada perubahan hebat atau revolusi sains yang menarik dan terkenal itu. Bahkan, penerimaan terhadap Aristotelianisme atau rasionalisme dengan hebatnya mengancam untuk merubah hingga ke akar-umbi perkara-perkara pokok yang menjadi asas dan dasar Agama Kristian. Bagaimana untuk menyerasikan persoalan-persoalan akal dan wahyu, Wahdah dan kathrah, gerakan dan perubahan, Perintah Tuhan dan peraturan Alam, semuanya merupakan masalah-masalah yang secara tepat menuju teras agama. Penyelesaian mereka, dibina dengan bantuan rasionalisme, hadir dalam bentuk teori dua bahagian kebenaran (the theory of twofold truths), yang secara kekal tetap membelah dua antara rohani dan benda. Walau bagaimanapun, kemushkilan paling ketara berakibat daripada penduaan ini, adalah masalah yang berkaitan dengan sains. Ini kerana, apa yang diyakini oleh akal boleh menjadi asas yang kemudian menyerang apa yang diyakini oleh agama.

Dari pernyataan ringkas ini jelaslah bahawa pandangan-alam Yunani dan Barat "terbentuk secara beransur-ansur melalui aliran sejarah dan perkembangan renungan falsafah dan penemuan sains,"[5] yang meletakkan manusia di tempat yang paling utama. Walau bagaimanapun, perkara yang sama tidak berlaku dalam tinjauan pandangan-alam Islam.

Berlawanan dengan pandangan-alam Yunani silam dan Barat, pandangan-alam Islam bukanlah dihasilkan oleh budaya atau dilema masyarakat yang bergelora; sebaliknya pandangan-alam Islamlah yang menimbulkan budaya dan seterusnya menerbitkan tamadun. Pandangan-alam Islam juga bukan bertunjangkan semangat yang ditandai dengan "renungan falsafah yang dirumuskan terutamanya daripada tinjauan maklumat yang diketahui melalui indera, daripada apa yang nampak oleh mata-kasar; bukan juga hanya terbatas kepada kawn, yakni alam yang boleh diketahui oleh indera, alam benda-benda ciptaan."[6] Asas-asas pandangan-alam Islam tidak berpuncakan perkembangan sains, yang dasar-dasarnya terhunjam hanya di alam nyata, yang nasibnya ditentukan oleh corakan ideologi (ideological paradigms).[7] Pandangan-alam Islam tidak boleh menerima pemisahan antara kerohanian dan keduniaan, atau diberikan bergantung kepada jangka masa sejarah. "Apa yang dimaksudkan dengan ‘pandangan-alam' menurut tinjauan Islam, adalah Pandangan mengenai Hakikat dan Kebenaran semesta yang nyata pada mata-hati kita menerangkan hakikat wujud semesta; ini kerana Islam merencanakan wujud semesta seluruhnya."[8] Sumber pandangan mengenai hakikat dan kebenaran ini adalah Wahyu atau Tanzil yang menayangkan unsur-unsur asas pandangan-alam; unsur-unsur tersebut ilmunya berdasar kepada yaqin.[9] Dalam perenggan yang terdahulu kita telahpun merujuk secara umum tentang kebangkitan sains apabila kita memperkatakan mengenai pengertian kedua-dua Yunani dan Barat mengenai pandangan-alam dan perkembangan ilmu pengetahuan sains kemudiannya. Kita telah menyatakan bahawa ia berakibat dari keinginan manusia untuk mengenali terutamanya Tuhan, ciptaan-Nya, kewujudan, hakikat jiwa dan seterusnya, dan kemudian memperjelas hakikat segala perkara. Oleh kerana kita mempertegaskan bahawa kedua-dua pandangan-alam Yunani silam dan Barat mengingkari ilmu Wahyu, maka secara mantiqnya tentulah tidak ada unsur-unsur asas dan dasar tadi, dan kerana itu penjelasan ini mengandaikan bahawa penyelidikan seseorang itu bermula dari apa yang tidak diketahuinya; kemudian, dia cuba untuk menjelaskan perkara tersebut dengan menggunakan kaedah pengalaman ukur-sukat amali (empirical methods) dan dibantu hanya oleh akal-fikir sahaja.

Walau bagaimanapun, ilmu mengenai Yang Mutlak tidak boleh dicapai hanya melalui akal-fikiran sahaja; ini mengakibatkan keraguan (doubt). Keraguan inilah yang membuka ruang kepada pendapat-pendapat yang berpunca dari tekaan dan agakan (speculation). Akibatnya, ilmu mengenai perkara-perkara yang asasi dicurigai kebenarannya, sementara teori-teori dan idea-idea baru dirumuskan dan menghasilkan pengetahuan-pengetahuan yang baru yang juga tertakluk kepada keraguan. Dari sini, ilmu yang tertakluk kepada keraguan tidak boleh mendatangkan keyakinan. Dari pernyataan ini, jelaslah bahawa pandangan-alam Islam tidak menderitai masalah mengenai ilmu. Wahyu tidak berlawanan dengan akal; akal pula mampu memahami kebenaran-kebenaran Wahyu. Sesungguhnyalah, unsur-unsur asasi yang ditayangkan oleh Wahyu dan dibantu oleh pentafsiran dan pernyataan Rasulullah menzahirkan hakikat ilmu-ilmu sains Islami. Hakikatnya, inilah yang membawa kepada faham yang menyifatkan sains itu sebagai suatu kefarduan.

Pendapat yang berpengaruh dalam sains Barat adalah bahawa sains Islam secara umumnya tidak mempunyai sebarang nilai lebih dari penerusan sains Yunani, dan para failasuf sains Muslim hanyalah para penukil yang menyampai dan menurunkan sains mahaguru Yunani purba sahaja. Pendapat ini mengandaikan bahawa sains Islam berkembang bebas tanpa bergantung kepada ilmu-ilmu wahyu, dan para ilmiah Muslim tidak memiliki sebarang perkara yang baharu untuk disampaikan, dan tidak menyumbang sebarang fikiran yang ‘hebat'. Pendapat ini seterusnya mengandaikan ‘sains Islam' tidak pernah dan tidak mungkin wujud, yang membawa kesimpulan bahawa persekitaran pemikiran Islam bersifat kaku dan beku. Walau bagaimanapun, pendapat-pendapat seperti ini yang mempersenda pencapaian kaum Muslimin tidak memiliki bukti-bukti yang sah. Paksi ajaran wahyu yang kekal yang tidak dapat dirobah, dan kefahaman kalbu yang diperkenan oleh wahyu, pasti telah membelah peradaban Yunani. Oleh itu, keserupaan antara sains Yunani dan Muslim tidak boleh diandaikan sekadar penerimaan menyeluruh sains Yunani oleh kaum Muslimin.[10] Betapa silapnya sangkaan bahawa ilmuwan Muslim meminjam segala-galanya dari ilmuwan Yunani, walaupun kita bersetuju bahawa mereka ada meminjam beberapa kebijaksanaan para ilmuwan silam. Hadith Nabi Muhammad yang berikut membuktikan kemampuan Islam menerima peradaban lain sekiranya ilmu tersebut tidak berlawanan dengan kebenaran-kebenaran yang dinyatakan Islam:

Abu Hurayrah (radiyallahu ‘anhu) melaporkan Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wa sallam) bersabda: "hikmah itu adalah barang hilang bagi seseorang Mukmin, di mana sahaja ia dijumpai, dia boleh mengambilnya, kerana dia lebih berhak terhadapnya."[11]

Sekiranya unsur-unsur tertentu sistem falsafah Yunani didapati oleh kaum Muslimin sebagai bertentangan dan berlawanan dengan unsur-unsur dasaran pandangan-alam Islam, unsur-unsur tersebut akan dibuang, ataupun dirobah kepada bentuk yang lain oleh ‘ilm al-kalam supaya idea-idea tersebut serasi dengan asas-asas istimewa dalam unsur-unsur dasar pandangan-alam Islam.[12] Akan tetapi, kalaulah andaian kita tadi benar, maka apakah pengertian sains menurut Islam? Apakah unsur-unsur yang membezakan sains Islam dengan sains Barat? Apakah yang menyebabkan kelainan sains Islam?

Abad-abad sebelum kedatangan Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazzali al-Tusi (450-505 H/1058-1111 M) umpamanya, teriring dengan keghairahan akal-budi dan kehebatan duniawi dunia Islam, telah menghasilkan sehimpun ilmu pengetahuan falsafah dan sains yang akan kekal meterai pengaruhnya terhadap tamadun Barat lebih daripada mana-mana tamadun sebelum dan sesudahnya. Persoalan genting paling utama yang mendepani para failasuf Muslim sebelum kedatangan al-Ghazzali adalah bagaimana untuk menyerasikan keesaan mutlak dan maha sempurnanya Tuhan dan keberbagaian makhluk tanpa memahami sebarang pembahagian dalam Diri-Nya. Masalah yang sama telah membingungkan Yunani purba dari Aristotle hinggalah Plotinus. Sungguhpun para failasuf Muslim menerima dan mengiktiraf sejumlah asas-asas pemikiran Aristotle, mereka tidak memperkembangkan asas-asas tersebut sekadar untuk meneruskan pemikiran Yunani tanpa sebarang idea-idea baru, terungkap sama dalam tatacara Logos atau Nous agar tunduk kepada tuntutan pemikiran mantiq semata-mata. Sebaliknya, idea-idea dan penjelasan-penjelasan baru telah diberi secara yang memenuhi tuntutan akal dan tidak melanggar ajaran-ajaran al-Qur'an. Dalam hal ini, para ilmuwan Muslim berjaya merumuskan satu sistem baru yang amat berbeza berbanding dengan penghasilan para pendahulu mereka bangsa Yunani. Tambahan lagi, bahasa al-Quran dan ajaran ajaranya telah memperkaya bahasa sains. Contohnya ilmu sains mantiq. Pada hakikatnya, ilmu mantiq adalah pencetus perkembangan sains dan peradaban. Walau bagaimanapun, perkembangan sains dan peradaban yang dimaksudkan bukan sahaja terhad ataupun dikhaskan kepada mana-mana kaum atau golongan. Ini adalah kerana manusia diiktirafkan sebagai haiwan al-natiq, yakni dicipta dengan kebolehan bertutur atau berbahasa. Ini berbeza daripada kebolehan binatang yang disifatkan sebagai haiwan yang mempunyai bahasanya tersendiri. Nyata bahawa pertuturan yang disifatkan sebagai satu ciri manusia bermakna kebolehan berdebat dalam bahasa yang boleh membawa kepada faham yang bermakna di dalam nafs.

Sebagaimana yang disebutkan sebentar tadi, kebolehan manusia untuk berbahasa lazimnya menyifatkan manusia sebagai haiwan al-natiq. Tetapi bagaimana pula mantiq ini berkebolehan menjadi pencetus perkembangan sains dan peradaban sedangkan perkembangan ilmu dan peradaban ini hanya menjadi nyata lebih kurang dua ribu tahun dahulu? Hakikatnya ialah para tokoh-tokoh cendekiawan dan ilmuan Yunani contohnya, telah lama menerajui bidang mantiq sebelum kedatangan Islam, tetapi perkembangan ilmu dan peradaban Yunani terhad kepada kawasan yang di bawah kedaulatannya? Mengapa pula ianya tidak menerajui seluruh pelusuk dunia? Jadi apakah bezanya dengan fahaman tokoh-tokoh tersohor Yunani dan fahaman tokoh-tokoh mahaguru semasa zaman kegemilangan Islam?

Sebenarnya tokoh-tokoh ilmuan seperti Plato dan Aristotle telah menghasilkan beberapa buku yang memperkenalkan betapa pentingnya ilmu mantiq. Tetapi oleh kerana pandangan alam semesta Yunani jauh berbeza daripada pandangan alam semesta Islam, Aristotle kurang berkeyakinan dari segi bagaimana rujukan kepada ilmu mantiq harus dilakukan. Adakah ilmu mantiq itu suatu alat semata mata, atau suatu falsafah semata mata, atau kedua duanya sekali? Disebabkan wujudnya kekeliruan ini, perkembangan ilmu dan peradaban Yunani terbatas dan hampir pupus buat selama-lamanya jika tidak kerana usaha para cendekiawan dan ahli penterjemah Arab. Disebabkan keghairahan para penterjemah Arab terhadap karya-karya agung Yunani ini, maka sebilangan besar hasil tulisan tokoh-tokoh Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Lebih tepat lagi, hasil tulisan tokoh-tokoh Yunani tersebut bukan hanya diterjemahkan, malah ianya dihalusi dan difahami mengikut acuan pandangan alam semesta dunia Arab. Lebih-lebih lagi, selepas kedatangan agama Islam ke dunia Arab, fahaman tersebut telah diperhalusi mengikut acuan pandangan alam Islam.

Buku-buku rujukan yang dihasilkan dalam bentuk Isagogue mula diperkenalkan dalam kurun ke-tiga Masihi. Ianya dihasilkan oleh tokoh mantiq Porphyry bagi mentafsirkan isi kandungan buku-buku tokoh tersohor Aristotle. Selain daripada Porphyry, buku-buku rujukan dalam bidang mantiq telah dihasilkan oleh Zeno, ahli-ahli sufastaiyyah dan para cendekiawan ilmu hisab. Terjemahan Isagogue hasil tulisan Prophyry yang paling awal ke dalam bahasa Syriac dihasilkan oleh Ibas sebelum kurun kelima masihi. Selepas itu, terdapat banyak terjemahan ke dalam bahasa Syriac oleh Athanasius, dan selepas beliau terdapat Ammonius, tetapi terjemahan-terjemahan beliau berdua telahpun dibuat mengikut acuan fahaman pandangan alam semesta Islam. Terjemahan ke dalam bahasa Arab bermula dengan Muhammad ibn al-Muqaffa' dalam kurun yang kesembilan masihi, sehingga Abu Uthman al-Dimashqi dalam kurun yang kesepuluh. Hasil usaha para penterjemah tersebut tidak terhad hanya kepada kerja-kerja menterjemah, malah sebahagian besar daripada terbitan buku-buku yang dihasilkan mengandungi tafsir. Sebahagian besar buku-buku tersebut adalah usaha daripada para tokoh ilmuwan agung seperti, al-Kindi, Muhammad ibn Zakariyya al-Razi, Abu Bishr Matta ibn Yunus, al-Farabi, Zakariyya Yahya ibn ‘Adi, al-Khwarizmi, ibn ‘Abbad, ibn Zur'ah, ibn Sawar, ibn Sina, al-Ghazzali, ibn al-Haytham, ibn al-Tayyib dan ibn Bajjah. Tulisan-tulisan sedemikian telah berterusan sehingga kurun kedua puluh di mana hasil tulisan yang disertakan tafsir digunakan sebagai buku rujukan di dalam madrasah-madrasah di setiap pelusuk dunia Islam.

Sebentar tadi saya telahpun mengemukakan soalan berkenaan dengan perbezaan antara fahaman tokoh-tokoh tersohor Yunani dan fahaman tokoh-tokoh mahaguru semasa zaman kegemilangan Islam berkenaan dengan ilmu mantiq. Maka demi memenuhi tuntutan kewarasan akal, seseorang itu perlu memahami perbezaan pandangan alam semesta mengikut acuan Yunani dan Islam.

Soalan-soalan asasi berkaitan wujud manusia dan peranannya, perbincangan-perbincangan ilmiah tentang Allah sebagai Tuhan bagi alam semesta seluruhnya dan sebagai Sumber segala ilmu semuanya telah dijawab secara langsung oleh al-Qur'an.[13] Jelaslah bahawa bahasa Arab telah mengalami perobahan, bukan dari segi susunan rangkaian akar-kata, atau bentuk, tetapi dari segi makna dan hakikatnya.

Sejajar dengan itu, ilmuwan Muslim, bila memperjelas idea-idea baru, telah dibantu oleh bahasa al-Qur'an yang mempersembahkan peristilahan baru yang amat berlainan dari peristilahan Yunani sama ada dari segi bentuk mahupun maknanya yang menurut konteks. Ini tidak pula bermakna yang istilah-istilah Yunani semuanya diganti dengan bahasa al-Qur'an, kerana istilah-istilah Yunani yang telah diperarabkan masih lagi merupakan sebahagian daripada ilmu-ilmu pengetahuan Muslim. Soalan yang mesti ditanyakan adalah sejauh mana istilah-istilah yang telah diperarabkan itu mempengaruhi ilmu pengetahuan dan sains; adakah makna-maknanya masih sama dengan apa yang difahami oleh orang-orang Yunani dalam konteks maknanya dan dalam bentuk katanya? Dalam perenggan-perenggan yang terdahulu, kita telahpun menyatakan bahawa timbulnya sains Muslim adalah hasil dari unsur-unsur utama pandangan-alam Islam. Pandangan-alam itu sendiri mestilah mempunyai bahasa yang mencerminkan Islam dan unsur-unsur utamanya; justeru, sains tersebut, untuk layak disebut 'Islami' atau 'Muslim', mestilah memiliki bahasa cerminan yang sama.

Sesungguhnya bahasa merangkumi unsur faham pengenalan diri. Akan tetapi unsur tersebut hanya terdapat di dalam bahasa-bahasa tamadun Islam, antaranya bahasa Arab, Farsi, Melayu, Othmani, dan Urdu. Ini adalah kerana istilah-istilah asas yang terkandung di dalam bahasa tersebut berupaya mencerminkan hikmat tasawwurnya (conceptual philosophy) sebagaimana ianya ditakrifkan mengikut rangka pandangan alam Islam. Adalah tidak benar sekiranya dikatakan semua bahasa berupaya mencerminkan hikmat tasawwurnya, terutama sekali bahasa-bahasa Barat (the romance languages). Oleh yang demikian, kita berupaya membuat simpulan bahawa bahasa-bahasa yang terkandung di bawah tamadun Islam merupakan bahasa mantiqi (languages of reason), manakala bahasa-bahasa Barat tidak boleh ditakrifkan sedemikian.

Merujuk kepada khazanah sains tamadun Islam semasa zaman kegemilangannya, terdapat seorang ulama' yang tersohor bernama Abu Bishr Matta ibn Yunus (940M). Beliau merupakan seorang ulama' dalam bidang sains mantiq. Abu Bishr berpendapat bahawa lazimnya sains mantiq lebih utama berbanding bahasa; mereka yang digelar ulama' dalam bidang sains mantiq tidak bergantung kepada bahasa, sebaliknya mereka yang digelar ulama' dalam bidang bahasa amat bergantung kepada ilmu sains mantiq. Menurut beliau, ini adalah kerana sains mantiq mengkaji fikiran manakala sains bahasa mengkaji pertuturan. Oleh yang demikian ilmu sains mantiq menduduki martabat yang lebih tinggi berbanding ilmu bahasa. Menurut Abu Sa'id al-Sirafi pula (932M), ilmu mantiq merupakan satu ciri bahasa; kedua-dua sains tersebut, yakni mantiq dan bahasa mengkaji pertuturan dan oleh yang demikian, ilmu mantiq mencerminkan penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Di sini kita boleh mengambil natijah bahawa kedua-dua ilmu mantiq dan bahasa adalah saling bergantung di antara satu sama lain. Ini bermakna bahawa cara kita berfikir bergantung kepada bahasa manakala pertuturan kita mencerminkan fikiran. Nyata bahawa terdapat apa yang dikatakan sebagai mantiq bahasa; bermakna bahasa itu bersifat mantiqi dan yang dizahirkan menerusi penggunaan bahasa yang disusun menurut aliran fikiran yang betul lagi tepat. Mengambil bahasa Melayu sebagai contoh, kita telahpun menyifatkan bahasa tersebut sebagai bahasa mantiqi. Oleh yang demikian ia lazimnya mencerminkan fikiran yang bersifat mantiqi. Maka sekiranya kita mengubah bahasa Melayu, lazimnya kita akan mengubah pengenalan diri kita. Tetapi hakikatnya ialah kita sudahpun berada di ambang kejahilan yang tidak lagi mengenal diri kita sendiri disebabkan perubahan bahasa. Lebih-lebih lagi, dalam pada mengubah bahasa kita telah menggadaikan tanggungjawab berfikir tanpa menyedarinya. Hasilnya, kefahaman disempitkan manakala kejahilan dibiarkan bermaharajalela dengan serentak. Pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah, menengah dan kuliyyah pengajian tinggi tidak melibatkan tatacara bahasa, sharat-sharat penggunaan bahasa, mahupun kefahaman berkenaan pertuturan bahasa yang bersifat mantiqi. Kesudahannya orang Melayu sendiri telah menggadaikan peluang kemajuan. Disebabkan kita sendiri yang tidak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul, akal fikiran kita juga tidak dididik mengikut acuan mantiqi; dan sebaliknya disebabkan fikiran kita tidak berlandaskan cara berfikir yang betul, hakikat zahirnya dicerminkan melalui penggunaan bahasa yang tiada membawa kepada faham yang bermakna. Keadaan ini juga telah membawa kepada keruntuhan tradisi ilmuwan (scientific tradition).

[1] Penjelasan yang berikut mengenai takrif falsafah dan perbezaan antara pandangan-alam Islam yang dibandingkan dengan pandangan-alam Yunani dan Barat, telah dikutip (dengan sedikit perubahan) dari Pengenalan kepada tesis PhD saya "The Mashsha'i Philosophical System: A Study, Commentary on and Translation of the Hidayat al-Hikmah of Athir al-Din al-Abhari," diserahkan kepada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Kuala Lumpur, September 2002.

[2] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, (Kuala Lumpur, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1993), 4.

[3] Ibid., 4.

[4] Untuk penjelasan lanjut mengenai asal-usul pemikiran Barat dan penyelewengan istilah ‘Tanzil' (revealed) seperti yang digunapakai terhadap Agama Kristian, lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, cetakan kedua (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1993). Seterusnya akan dipetik sebagai Islam and Secularism.

[5] Prolegomena, 2.

[6] Ibid., 1.

[7] Kita sedang merujuk kepada tafsiran aliran Kuhn mengenai paradigma dan anjakan paradigma. Lihat Thomas S. Kuhn, The Structure of Scientific Revolutions (Chicago: The University of Chicago Press, 1970), ed. kedua. Dalam buku ini, Kuhn menganjurkan pandangannya bahawa perjalanan sains banyak dipengaruhi oleh perkara-perkara yang non-rasional dan kecenderungan ideologi pemikiran yang tertentu yang didokong oleh kaedah yang datang seiring dengannya, yang menimbulkan teori-teori yang lebih rumit daripada teori-teori yang datang sebelumnya; meskipun demikian, teori-teori yang baharu ini tidaklah lebih tepat menggambarkan hakikat kejadian yang ditanggap secara aqliah. Teori-teori baru yang lebih rumit inilah yang mencerminkan paradigma atau corak pemikiran.

[8] Prolegomena, 2.

[9] Untuk takrifan dan kefahaman sempurna mengenai yaqin, lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, 86, 135n112.

[10] Lihat juga Titus Burckhardt, Mirror of the Intellect (Albany: State University of New York Press, 1987), 18-19.

[11] Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-‘Ilm, al-Kutub al-Sittah wa Shuruhuha, bab 19, hadith 2687 (Istanbul: Cagri, 1992).

[12] Lihat perbahasan ringkas Cemil Akdogan, "Muslim Influence upon European Scholarship and Learning," Al-Shajarah, Journal of the International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 2001, vol. 6, no. 2, hlmn. 161-196. Lihat juga Alnoor Dhanani, Muslim Philosophy and the Sciences (The Muslim Almanac, New York: Gale Research Inc., 1996), 190.

[13] Al-'Alaq, (96): 1-5. Lihat juga Wan Mohd. Nor Wan Daud, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1998), 317. Pengarang telah mempersembahkan secara ringkas tetapi mendalam tinjauan sejarah pengislaman ilmu. Rujuk juga bab satu, khasnya halaman 36-37.

Source: http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=2&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1277&cmd=resetall