20 Resolusi Kongres MAIN: SKAN & IKSIM


20 Resolusi Kongres MAIN: SKAN & IKSIM
Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) .
 Negara perlu mempunyai sebuah Suruhanjaya di bawah naungan MRR dan YDPA bagi memastikan ikrar dan sumpah YDPA atas nama Allah untuk memelihara agama Islam benar-benar dilaksanakan. Islam tidak sewajarnya dijadikan bahan pertimbangan politik (political bargaining).
Suruhanjaya ini bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang Di- Pertuan Agong dan bebas dari pengaruh politik. Justeru, ia  berhak memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi nya sama ada secara terus atau melalui laporan tahunan kepada MRR. Ia juga bertanggungjawab mendengar aduan dari mana-mana pihak mengenai apa-apa perkara yang menyentuh prinsip agama Islam secara langsung atau tidak langsung di peringkat Persekutuan.
Antara objektif yang dapat dikenal pasti bagi penubuhan majlis/suruhanjaya sebegini adalah  seperti yang berikut –
o   menjadikan kewajipan kepada semua pihak sama ada Kerajaan atau rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai Agama Negara selaras dengan prinsip Rukun Negara

o   meletakkan kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-negeri untuk mengambil kira kedudukan Islam sebagai Agama Negara(persekutuan) dan Agama Negeri-negeri dalam merangka dasar dan polisi Kerajaan bagi mengelakkan sebarang bentuk percanggahan dan penghinaan kepada agama Islam.

o   Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara dan sistem hidup yang sempurna yang perlu dilaksanakan dalam semua urusan kehidupan dan bukan sekadar agama rasmi atau agama ritual sahaja. 

o   Memelihara keluhuran dan kesucian agama Islam selama-lamanya dari sebarang bentuk penyelewengan, fahaman moden yang tersasar atau ajaran sesat yang boleh mengelirukan umat Islam.

o   Mengembalikan keutuhan Islam sebagai agama bagi Negeri-negeri Melayu yang tidak pernah dijajah atau dicemari oleh nasihat-nasihat penjajah dan prinsip-prinsip moden Barat

Islam mesti dibebaskan daripada sebarang bentuk polemik politik melalui cara yang starategik dan berhikmah.  Hal ini kerana hakikatnya, Islam tidak pernah berada atau bergantung di bawah kawalan politik sejak dulu hingga sekarang.  Menyedari hakikat ini maka mekanisme pemantauan yang berkesan amat diperlukan.  Justeru itu, mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) di bawah Akta Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (ASKAN)

ii.         Penubuhan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
            Islam mesti dikembalikan kedudukannya sebagai asas pemerintahan Negara. Dasar-dasar dan perundangan Negara perlu berpaksikan kepada ajaran Islam sebagai Agama Negara (persekutuan). Islam telah menjadi asas peradaban Negeri-negeri Melayu dan menjadi asas pembentukan Negara serta berjaya memakmurkan negara dan mengangkat  taraf kedudukan kemanusiaan tanpa mengira kaum dan agama. Dengan Islamlah, hak yang lemah terpelihara dan yang kuat lagi berkuasa tidak bermaharajalela.  Sudah terang lagi nyata, pemerintah dan yang diberi kepercayaan atau kuasa, menggalas amanah bagi memperkukuh semula kedaulatan Islam dan memelihara martabat Islam sebagai agama negara. Usaha untuk memartabatkan semula kedaulatan Islam sebagai asas ketamadunan Negara perlu dilakukan secara berterusan dan berkesan. Institut Kajian Strategik bagi memikir dan mengkaji langkah-langkah strategik untuk memelihara kedaulatan Islam dan MAIN keseluruhannya  dan mengkaji hal-hal berkaitan kemajuan pemikiran dan peradaban Islam ditubuhkan.

 Sumber: Kongres MAIN 2011



20 Resolusi Kongres MAIN 2011:

·         Kedaulatan Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa prerogratif terhadap agama Islam hendaklah terus terjamin dan terpelihara.
·         MAIN hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja-raja Melayu.  
·         Majlis agama Islam negeri melantik keanggotaan yang lebih representatif di kalangan pelbagai pakar dan tenaga profesional
·         Mengemas kini enakmen/akta majlis agama Islam supaya ada bidang kuasa yang membolehkan majlis agama Islam negeri berfungsi lebih berkesan, memiliki autonomi dan akauntabaliti kepada Allah dan Raja-Raja Melayu
·         Memastikan Majlis Agama Islam negeri bebas sebarang pengaruh, campur tangan dan pembabitan politik kepartian.
·         Memperkukuh struktur pentadbiran majlis agama Islam negeri secara kolektif bagi melaksanakan transformasi pengurusan Islam yang profesional.
·         MAIN hendaklah meneroka kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan secara lestari.
·         MAIN pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.
·         Meneroka usaha membangun modal insan dan sosial
·         Menegaskan penubuhan Jabatan Agama Islam negeri adalah untuk melaksana dasar dan perkara yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam negeri.
·         Memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam sedia ada seperti masjid dan surau.
·         Penubuhan yayasan Waqaf korporat diperingkat negeri dan pusat.
·         Memperkasa peranan Lembaga Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) sebagai lembaga atau yayasan.
·         Majlis agama Islam negeri perlu menubuhkan sekolah bermula peringkat rendah.
·         Memperkasa dan memartabat sistem perundangan Islam selaras dengan perlembagaan persekutuan.
·         YDP Agong ketua agama Islam bagi wilayah persekutuan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka. Sistem pengurusan yang seragam antara MAIN dan JAIN.
·         Menaik taraf mahkamah syariah bagi menggubal, menyelaras dan menyeragamkan undang2 negeri.
·         Penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
·         Mempertimbangkan cadangan penubuhan Yayasan Kebajikan Keluarga Islam dan Pusat Perundingan Keluarga.