Konsep waqaf selamatkan GLC

Konsep waqaf selamatkan GLC


PADA 7 Julai, 2011, akhbar Utusan Malaysia menerbitkan seruan saya supaya kerajaan mengkaji semula pelupusan atau penswastaan 33 GLC sehingga satu agenda ekonomi untuk membela nasib golongan miskin yang majoritinya Melayu dan Bumiputera digubal.
Saya telah menyatakan pendirian selaku Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan juga bagi pihak Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili sejumlah besar NGO Melayu.
Seruan ini diutarakan setelah Datuk Seri Idris Jala, Ketua Eksekutif Pemandu yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelupusan 33 syarikat terbabit sebagai sebahagian “Inisiatif Pembaharuan Strategik yang membabitkan peranan kerajaan dalam sektor perniagaan.” Beliau telah dipetik sebagai berkata antaranya, 21 syarikat milik GLC akan dilupus terus, sementara lima dikurangkan pegangannya dan tujuh lagi disenaraikan di bursa saham.
Pada pandangan saya, antara sebab utama pelupusan ini tidak harus dilakukan ialah kerana dengan menswasta atau melupuskan ekuiti milik GLC, pada hakikatnya kerajaan memindahkan bahagian hak milik pegangan masyarakat ramai dan ekuiti amanah rakyat terbanyak kepada segelintir golongan atasan dan mereka yang kaya. Lebih-lebih lagi jika penswastaan atau pelupusan ini dilakukan menurut kaedah penyenaraian di bursa saham – berapa ramaikah dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah akan mendapat manfaat darinya? Sesungguhnya langkah ini suatu langkah yang tidak adil dan akan melebarkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Beberapa persoalan lain juga menuntut cadangan ini dikaji semula. Tidakkah sebahagian besar GLC telah membuktikan prestasi yang bertambah baik dan usaha hebat kalangan CEO dan barisan kepimpinan GLC telah membuktikan GLC pada umumnya tidak lagi membebankan kewangan kerajaan dan rakyat? Jika ianya dilakukan bertujuan meringankan beban rakyat, kenapa syarikat GLC yang berjaya mahu dilupuskan?
Peranan kerajaan menerusi GLC dan penglibatan mereka dalam ekonomi juga bukan lagi menjadi isu “ideologi” politik dan pemerintahan. Kita di Malaysia harus bersikap pragmatik. Setelah GLC lebih efisien dan berkesan, diurus dengan profesional, telus dan akauntabiliti, mereka tidak lagi menjadi penghalang kepada persaingan sihat dalam sistem ekonomi. Justeru, setelah mengikut kaedah pasaran dan berjaya menambah nilai ekonomi tanpa subsidi yang semuanya dicapai tanpa campur tangan kerajaan, tidak ada sebab lagi peranan mereka harus dicurigai.
Tidakkah Republik Rakyat China dan Singapura bukti nyata antara beberapa negara lain yang tegas menggunakan GLC sebagai strategi besar membina keupayaan dan ketahanan bersaing ekonomi masing-masing? Singapura tetap menjadikan GLC institusi strategik dalam percaturan persaingan ekonomi serantau dan global, sekalipun pernah berlaku kerugian besar oleh GLC utama mereka atas kesilapan dan kelemahan pengurusan. Selain itu, Amerika syarikat, iaitu pejuang utama kapitalisme liberal dan benteng paling kukuh sistem kapitalisme Barat, kini sedang mengkaji semula dasar liberalisasi ekonomi mereka setelah dilanda krisis sejak akhir 2008 dan seterusnya, setelah kadar pengangguran dan kemiskinan meningkat dan tekanan ekonomi semakin mendesak.
Keyakinan penuh rakyat Amerika sebelum ini terhadap sistem ekonomi ‘private-sector driven’ semakin pudar setelah jelas dilihat impak sistem ini yang lebih mirip menjadi ‘greed-driven’ – iaitu dipacu nafsu serakah dan tamak haloba golongan elit korporatnya. Kini pemerintah Amerika banyak terlibat langsung dalam pengurusan ekonomi, termasuk menggunakan wang rakyat untuk membela dan melindungi kepentingan golongan yang paling terjejas oleh krisis kerana ditakuti akan merosak dan memusnahkan sistem ekonomi.
Kenapa pula kini kita di Malaysia berebut-rebut melakukan sebaliknya? Kenapa harus taksub memburu liberalisasi, menyerahkan destini masa depan rakyat dan negara kepada kepentingan sempit swasta, langsung mengabaikan “Semangat DEB” dan mengenepikan nilai keadilan masyarakat?
Sesungguhnya langkah yang membawa impak besar seperti ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati dan setelah dihalusi kesan dan implikasi sepenuhnya. Kerana jika ia diteruskan, bermakna “Semangat DEB” telah diketepikan dan dibuang. Dan dengan mengenepikan “Semangat DEB” membawa kesan jangka panjang serius terhadap perjuangan menerapkan keadilan dalam sistem ekonomi negara. Apabila keadilan dikesampingkan, ia jelas bertentangan dengan aspirasi besar umat Islam di Malaysia serta pegangan nilai hidup mereka dan ini pasti tidak akan dapat mereka terima!
Jangan gadaikan GLC dengan sistem
liberalisasi
Dalam keadaan iklim ekonomi mencabar dan desakan kos sara hidup semakin mengancam, golongan termiskin, majoritinya Melayu dan Bumiputera, berhak untuk terus menuntut pembelaan dan perlindungan. Sesungguhnya, sangat tidak kena pada masanya sistem ekonomi negara yang diwarisi sejak merdeka yang berteras kepada memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan ekonomi dirombak dan diliberalisasikan.
Malah Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) tegas dengan pendirian supaya kerajaan mengekalkan peranan GLC selagi jelas mereka berupaya menambah nilai ekonomi atas dasar persaingan di pasaran. DPIM dan MPM juga mencadangkan supaya penswastaan GLC, jika hendak terus dilakukan, sewajarnya dijayakan menerusi kaedah Islamik, kerana dengan berprinsipkan Islam ciri-ciri keadilan dan pembelaan untuk golongan masyarakat termiskin akan tetap menjadi pertimbangan utama.
Salah satu institusi yang boleh digunakan untuk menjayakan penswastaan cara Islam ialah dengan mewakafkan bahagian saham dan ekuiti syarikat GLC yang berjaya dan menyerahkan hakmilik atas nama institusi Waqaf Korporat. Lebih baik lagi jika wakaf dilakukan sebelum syarikat terbabit disenaraikan. Dengan cara ini, pertambahan nilai saham di bursa saham akan dapat dimanfaatkan oleh Waqaf Korporat untuk dipanjangkan kepada masyarakat menerusi agihan kepada golongan bukan-bisnes, termasuk yang miskin dan terpinggir khasnya. Menerusi Waqaf Korporat sebagai institusi amanah, milik saham tersenarai juga dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat generasi akan datang, Insya Allah sampai kiamat!
Penulisan saya dalam artikel al Islam, terbitan Julai, 2011, memberi satu contoh kejayaan Waqaf Korporat, iaitu Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp) yang ditubuhkan oleh Johor Corporation sejak tahun 2000. WANCorp memiliki aset bernilai RM430.4 juta pada akhir 2010 dan selain memiliki saham tersenarai di Bursa Malaysia, juga menerajui syarikat tidak tersenarai pemilik kompleks membeli belah (Larkin Sentral di Johor Bahru), selain syarikat terbabit dalam bisnes haji dan umrah serta pembangunan mutawif profesional.
WANCorp jelas telah banyak membawa manfaat bukan sahaja menerusi program bisnes dan pembangunan keusahawanan, malah juga menerusi program fi sabilillah dan amal kebajikan. Paling penting, sekalipun dibentuk mengikut acuan Islam, manfaat besarnya tidak eksklusif malah dapat dinikmati bersama semua warganegara.
Ini terbukti, misalnya apabila WANCorp berjaya memiliki saham PLC yang bisnesnya dikendalikan dengan cara sangat inklusif membabitkan eksekutif dan anggota profesional semua kaum di segala peringkat dan lapisan. Demikian juga, setelah WANCorp berjaya membawa manfaat besar kepada lebih 650,000 pesakit miskin menerusi rangkaian Klinik Waqaf dan Hospital Waqaf di seluruh negara, termasuk kepada lebih 40,000 pesakit miskin bukan Muslim.
Waqaf Korporat Nasional Malaysia
Apa yang segera perlu kerajaan lakukan ialah memudahkan pembentukan banyak lagi badan-badan Waqaf Korporat seperti WANCorp. Untuk itu, dicadangkan supaya ditubuhkan sekurang-kurangnya satu organisasi Waqaf Korporat di setiap negeri. Namun, pra syarat paling penting ialah menentukan semua organisasi Waqaf korporat ini diurus dan dikendalikan secara profesional dan distruktur mengikut kaedah yang dapat memaksimumkan kedua-dua kelebihan pada institusi ini. Pertama, kelebihan ciri Islamnya yang mematuhi syarak dan memenuhi semua syarat wakaf dalam Islam; dan kedua, digandingkan dinamisme Waqaf Korporat sebagai entiti bisnes yang di pacu daya keusahawanan tinggi berlandaskan sistem pengurusan profesional dan susunan organisasi mengikut kaedah amalan terbaik korporat sejagat.
Dalam hal ini, satu langkah besar dan paling strategik yang kerajaan perlu segera utamakan ialah penubuhan institusi Waqaf Korporat Nasional Malaysia. Institusi Waqaf Korporat peringkat nasional ini perlu segera dijadikan organisasi amanah induk mewakili bukan sahaja kepentingan masyarakat Melayu dan Muslim, malahan juga membela nasib semua golongan termiskin dan terpinggir dari kalangan semua kaum, agama dan keturunan. Untuk menjayakannya, sama seperti ketika penubuhan PNB dan Yayasan Pelaburan Bumiputera, kerajaan digesa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2 bilion, bagi digunakan untuk membeli dan mewakafkan saham-saham milik GLC kepada institusi Waqaf Korporat Nasional.
Setelah Waqaf Korporat dibangunkan, penswastaan syarikat GLC harus memberi keutamaan kepada mereka. Barulah penswastaan syarikat GLC dapat dijayakan mengikut acuan dan pendekatan Islam tanpa mengenepikan “semangat DEB”. Menerusi kaedah ini juga pendirian yang jelas dilihat membela kepentingan rakyat terbanyak dan melindungi kepentingan hak golongan miskin dan terpinggir pasti disambut baik oleh semua rakyat Malaysia.
Juga, menerusi kaedah Islamik ini, rakyat Malaysia dapat memperkenalkan satu pendekatan baru institusi wakaf yang dipercayai berupaya memperbaiki sistem ekonomi ciplakan kapitalisme Barat. Kerana seluruh dunia amnya dan dunia Islam khasnya sedang menantikan pembaharuan, supaya kehidupan tidak terus dinoda dan dirosakkan oleh orang yang rakus dan materialistik serta korporat yang cuma mengutamakan kepentingan swasta yang terlalu sempit.
Pembaharuan institusi ini juga perlu disegerakan jika kita di Malaysia ingin mengelakkan ledakan satu hari nanti kemarahan rakyat seperti yang telah berlaku di Mesir, Tunisia dan Libya dan kini sedang menjangkiti beberapa negara Islam lain, terutama di Asia Barat.
TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM
Timbalan Presiden Dewan
Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)