Metod faham Sejarah

Metod faham Sejarah

Sejak menjelang sambutan kemerdekaan dan hari Malaysia tahun ini, sejarah dan perkara berkaitannya mendapat perhatian media massa dan individu di seluruh negara. Hatta di pejabat, kampung, kedai-kedai kopi ianya diulas dan ditafsir dengan cara tersendiri sama ada oleh individu, akademik, pengkaji, ahli sejarah, peminat sejarah, penjawat awam, swasta, ngo, pimpinan parti politik dll.

Sejarah negara mula mendapat perhatian pelbagai pihak dan peringkat lapisan masyarakat Nampaknya kepentingan sejarah dan kesedaran masyarakat mula mendapat perhatian walaupun selama ini subjek pengajian sejarah dan hal sejarah kurang mendapat perhatian apatah lagi dalam pengkajian. Walhal al-Quran sendiri banyak menukilkan sejarah umat terdahulu sebagai iktibar, pengajaran dan panduan semasa umat.


Para pejuang kemerdekaan tanah Melayu sewajarnya dinukilkan dan diketahui masyarakat umum di negara ini tanpa menyorotnya tidak kira latarbelakang ideologi, fahaman politik agama dan bangsa. kerana matlamat sama cuma berbeza pendekatan dalam menentang musuh penjajah dan memerdekakan negara. Label golongan kiri tidak perlu disembunyikan bagi berpegang kepada fakta sejarah perlu dinukilkan tokohnya dalam agenda watan tersebut seperti Burhanuddin el-Hilmy, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaakob dll. Begitu juga pahlawan-pahlawan seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Hj Abd Rahman Limbung, Mat Salleh, Rentap, dll.

Sejarah amat penting dikaji dan dihayati untuk kepentingan masa kini dan akan datang. kalau di Amerika Syarikat subjek sejarah menjadi subjek wajib dan sesiapa yang memohon kewarganegaran AS semestinya mengetahui dan membaca tentang sejarah AS. Dimana mengetahui usul sejarah sesuatu bangasa, tempat dan watan boleh membangkitkan semamangat patriotik dan kefahaman sebagai warganegara seseorang individu di sesebuah negara.

Namun jangan lupa dalam membaca bahan karya berunsur sejarah, sebagai pembaca juga perlu bijak dan perpengetahuan kerana ianya mungkin diselewengkan faktanya, kadang kala tafsiran terhadap sejarah berbeza, bias, prejudis dan tidak adil. Suatu fahaman dan aliran ideologi boleh mempengaruhi sesorang bahkan penulisan sejarah kadang kala dipengaruhi aliran fahaman dan aliran seseorang penulis.

Dalam mengkaji sejarah adalah elok jika dibaca metod pendekatan Ibnu Khaldun dalam karyanya 'al-Muqaddimah', karya-karya Malek Bennabi. Karya-karya S.M.N. al-Attas dalam karyanya 'Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu' serta karya terbarunya 'Historical fact and fiction', karya Sheikh Ahmad al-Fatani 'Hadiqah al-Azhar',karya Seyyed Hossein Nasr 'A young muslim's guide to the modern world & Islam Agama, sejarah dan peradaban, karya Tatiana A.Denisova 'Refleksi Historiografi Alam Melayu. Pengkajian sejarah harus bebas daripada bias, proses penelitian seperti neuristik, verifikasi, interprestasi, historiografi. dimana perlunya suatu metod dalam memahami bahan sejarah. Bahkan sesuatu fakta perlu dilihat secara seberapa banyak untuk diteliti dan dinilai secara menyeluruh dan saling kaitan antara fakta sejarah bagi membentuk rangkaian kesimpulan yang bermakna dan jitu. iaitu suatu kefahaman mendalam dalam memahami fakta sejarah dengan mendalam dan tepat. Menilai sejarah dengan kritis terhadap fakta dan teks sejarah bahkan menganalisis penulis serta sumbernya.

Sejarah perlu dilihat secara objektif dan ilmiah tanpa bias dan kepentingan tertentu dalam mentafsirnya. Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta macam mana yang diungkapkannya. misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

Apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu sains untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.
Sumber peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. al-Quran dan al-Hadith serta sanad-sanad kedua-duanya adalah autoriti penentu. ini bermakna mana-mana kaedah sains sosial lain masih bersifat sekunder. Metod tradisi Islam mementingkan sanad, kesahihan sumber, periwayat dalam mengabsahkan sesuatu bahan atau perkara.

Penyelidikan keislaman pada hari ini terutama dari segi persejarahan menerima pakai kaedah sains sosial dan kemanusiaan yang masih dipertikai latarbelakang pembinaannya. Dikatakan kebanyakan persejarahan dan sains sosial pada hari ini dipengaruhi metod barat dan seumpamanya. Perkara ini antara yang dibangkitkan oleh pemikir Melayu S.M.N. Al-Attas.

Umpamanya memahami sejarah aliran fahaman Islam sama ada aliran akidah atau aliran pemikiran tertentu. Aliran akidah seperti Muktazilah, Syiah, Wahabi dan Sunni. Seterusnya ia berkembang dari sudut pendekatan dari sumber tadi kepada suatu aliran fahaman daripada aliran tersebut mungkin menggunakan dengan pelbagai pendekatan dan penjenamaan atau dilabel antaranya seperti fundamentalis, konservatif, ortodoks, liberal, progresif,modenis, moderat, islah, tajdid, neo dll.

Warga sesebuah negara yang buta sejarah dan tidak celik budaya akan selamanya tidak tahu menghormati prinsip-prinsip hidup berbangsa dan bernegara . Nilai-nilai murni sesungguhnya terdapat dalam pendidikan berasaskan sejarah kerana sejarah mengajar kita kekuatan dan kelemahan silam, sejarah adalah intipati ketamadunan atau peradaban. Melalui sejarah, kita sedar mengenai kewujudan atau keberadaan identiti sesebuah negara, masyarakat, kebudayaan dan manusia. Sejarah memperkatakan hakikat asal-usul. Sejarah perlu dilihat kembali dengan adil dan kepentingannya dalam arus kehidupan massa sebagai insan berperadaban dan bertamadun serta mempunyai nilai manfaat sebagai iktibar dan panduan.


oleh; Rodi@Rizhan