Syeikh Yusuf Makassar


Syeikh Yusuf dilahirkan pada 3 Julai 1626 di Makasar. Nama ringkasnya Muhammad Yusuf dan gelarannya Syeikh Yusuf Abdul Mahasin Hidayatullah Tajul Khalwati Al-Magasyari (Syeikh Yusuf yang empunya pelbagai macam kebajikan, Anugerah Allah, Mahkota Khalwatiyah, anak Makasar). Gelaran “Syeikh” diterimanya kerana telah diberi izin oleh gurunya mengajar tarikat Ilmu Tasawuf kepada orang lain, setelah lulus dan mencapai darjat yang tinggi dalam Tarikat Khalwatiyah. Gurunya telah memberikan gelaran Tajul Khalwatiyah.

Syeikh Yusuf adalah keturunan daripada keluarga bangsawan. Beliau dilahirkan setelah kira-kira 23 tahun keluarga Kerajaan Makasar memeluk Islam dengan rasminya pada tahun 1603. Sejak kecil lagi beliau telah diajar hidup secara Islam, belajar al-Quran, fikah dan ilmu bahasa Arab, tetapi kecenderungannya ialah kepada Ilmu Tasawuf. Di samping itu, sebagaimana bangsawan Makasar yang lain, beliau juga belajar ilmu peperangan.

Setelah tamat pelajarannya di Makasar, Syeikh Yusuf mencari guru di luar negeri pula. Beliau meninggalkan negerinya pada 22 September 1645, menumpang sebuah kapal dagang kepunyaan orang Portugis dan pergi ke Bantam (Jawa Barat). Di situ beliau sangat dihormati kerana ketinggian ilmu pengetahuannya, di samping beliau juga bersahabat dengan guru-guru di tempat tersebut. Pada masa inilah Syeikh Yusuf bersahabat dengan Putera Mahkota bernama Tirtajasa yang kemudiannya menjadi Sultan Bantam.

Dari Bantam, Syeikh Yusuf pergi pula ke Acheh dan belajar daripada ulama besar Syeikh Nuruddin ar-Raniri pada zaman pemerintahan Sultanah Tajul Alam (balu Sultan Iskandar Thani). Daripada Syeikh Nuruddin, beliau mendapat ijazah Tarikat Qadariyah.

Setelah belajar di Acheh, Syeikh Yusuf meneruskan pelajarannya ke Yaman dan mendapat ijazah Tarikat Naqshabandiyah. Di Zubaid (salah sebuah tempat di Yaman), beliau menerima ijazah Assadah Al-Baalawiyah. Dari situ beliau pergi ke Mekah dan menunaikan fardu haji. Kemudian terus ke Madinah dan menerima ijazah Tarikat Shatariyah. Dari Madinah, Syeikh Yusuf pergi pula ke Syam untuk belajar dan menerima ijazah Tarikat Khalwatiyah. Syeikh tarikat itu adalah imam di Masjid Shaikhal Akhbar Muhyidin Ibnu Arabi di Damsyik. Beliaulah yang memberi gelaran Tajul Khalwatiyah kepada Syeikh Yusuf kerana pengetahuannya dan darjat yang tinggi dalam tarikat itu. Setelah itu ada juga cerita yang mengatakan Syeikh Yusuf telah pergi ke Istanbul. Pengembaraannya untuk mendalami ilmu pengetahuan ini telah memakan masa selama lebih kurang 22 tahun.

Setelah cukup pelajarannya, Syeikh Yusuf pun kembali ke Makasar untuk mengembangkan ilmunya. Tetapi beliau mendapati negerinya telah dijajah Belanda setelah Sultan Hassanudin kalah dan menandatangani Perjanjian Bongaya pada 18 November 1667. Beliau cuba mengadakan reformasi moral di Makasar mengikut ajaran Islam kerana pada pandangannya moral yang sedia ada itu telah menyebabkan rakyat menjadi lemah. Beliau telah mengadap Sultan supaya melarang orang meminum arak, berjudi dan melakukan maksiat-maksiat yang lain. Sultan tidak bersetuju dengan saranannya itu dengan alasan bahawa kebiasaan itulah yang membuat orang-orang Makasar menjadi perkasa. Syeikh Yusuf berkata dengan terus terang: “Inilah pangkal kejatuhan Makasar. Makasar akan hancur pecah berderai laksana perkapuran ini,” sambil menghempaskan tepak kapur sirih ke lantai hingga hancur.

Setelah rancangannya gagal, beliau telah menumpukan masa untuk mengajar dan memberi ijazah kepada beberapa orang muridnya di samping terus mengembangkan ajaran-ajarannya. Kemudian beliau meninggalkan Makasar walaupun ditahan oleh Sultan dan penduduk negeri itu. Beliau berasa agak terkilan kerana Sultan tidak menyokong usahanya untuk mengadakan reformasi moral itu.

Syeikh Yusuf pergi ke Bantam yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Ageng Tirtajasa (1651-1662) dan mendapat sambutan yang baik daripada Sultan dan rakyat Bantam. Disebabkan Bantam masih merdeka, perhatian orang kepada agama lebih kuat daripada di Makasar. Sultan Ageng pula amat tertarik akan ilmu tasawuf dan baginda pun mempelajarinya daripada Syeikh Yusuf. Akhirnya, Syeikh Yusuf berkahwin dengan puteri Sultan Ageng. Oleh kerana alim dan luas pengalaman serta pengetahuannya, Syeikh Yusuf telah dilantik oleh Sultan menjadi mufti kerajaan dan penasihatnya dalam urusan pemerintahan. Ilmu peperangan yang dipelajarinya dahulu amat berguna dalam tugas barunya itu.

Sultan Ageng inginkan Bantam menjadi sebuah kerajaan yang besar serta menjadi pembela dan penyebar agama Islam. Untuk memberi pengalaman kepada putera mahkotanya, baginda telah melantik puteranya itu menjadi Sultan Muda. Bagi mengukuhkan semangat keislaman Sultan Muda, baginda telah menyuruhnya pergi menunaikan fardu haji di Mekah dan melawat tempat-tempat tamadun Islam di Timur Tengah termasuk Madinah dan Baitulmaqdis. Sultan Muda juga telah melawat Istanbul dan menjalin hubungan diplomatik dengan Sultan Turki pada tahun 1675.

Setelah berada di luar negeri selama setahun, beliau pun pulang ke Bantam pada tahun 1676 dan terkenal dengan gelaran Sultan Haji. Sekembalinya ke Bantam, beliau mendapati bahawa adiknya, Pangeran Purbaya yang berkahwin dengan anak Perdana Menteri Bantam akan dijadikan putera mahkota. Beliau pun mencari jalan untuk mendapatkan sokongan Belanda supaya terus berkuasa di Bantam. Akhirnya, terjadilah peperangan antara Sultan Haji dengan bapanya, Sultan Ageng. Tentera bapanya diketuai oleh Syeikh Yusuf, manakala tenteranya dibantu oleh tentera Belanda dan orang-orang Kristian Ambon di bawah Kapten Jongker. Oleh sebab mempunyai senjata yang banyak, pihak Belanda berjaya mengalahkan Sultan Ageng dan menawan markasnya di Tirtajasa pada tahun 1682. Sultan Ageng dan Syeikh Yusuf berundur ke pedalaman untuk terus berjuang. Tetapi selepas berjuang selama setahun, mereka telah kehabisan alat-alat dan kelengkapan perang yang akhirnya terpaksa menyerah kalah kepada Belanda pada tahun 1683. Sultan Ageng telah dibuang ke Betawi dan mangkat di situ pada tahun 1695.

Syeikh Yusuf pula telah ´diasingkan´ ke Selon (Ceylon – Sri Lanka sekarang) pada tahun 1683 kerana Belanda bimbang pengaruhnya boleh menaikkan semangat rakyat Bantam bangun menentang kuasa penjajah tersebut. Ketika itu beliau berusia 57 tahun. Di Selon, beliau telah mengajar ilmu tasawuf kepada orang Melayu dan Islam yang lain. Di sini beliau telah mengarang beberapa buah kitab tasawuf untuk panduan pelajar-pelajar atas cadangan seorang ulama tasawuf Hindustan bernama Syeikh Ibrahim bin Michan. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Arab.

Kitab-kitab yang dikarang oleh Syeikh Yusuf adalah seperti berikut:
1. At-Tahfatus-Sailaniyah
2. Al-Habul Warid
3. Tahfatul Labib
4. Safinat An-Najat
5. Zubdatul Asrar
6. Tuhfatur Rabbaniyah

Kitab-kitab tersebut juga dihantar kepada bekas murid-muridnya di Makasar dan Bantam melalui jemaah haji yang singgah di Selon dalam perjalanan pulang dari Mekah.

Apabila orang-orang Makasar, Bantam dan Acheh dalam perjalanan pergi atau pulang dari Mekah, mereka selalu singgah di Selon untuk belajar dan menziarahi Syeikh Yusuf. Orang-orang dari Hindustan (India) juga datang belajar kepadanya sehingga namanya menjadi masyhur di benua kecil India. Namanya juga terkenal dan sampai ke pengetahuan Maharaja Moghul, Aurangzeb (1659-1707) yang warak dan telah mengingatkan Belanda supaya menjadi Syeikh Yusuf dengan baik. Kalau tidak, baginda tidak akan memandang ringan perkara itu.

Disebabkan Belanda berasa curiga akan Syeikh Yusuf yang masih dapat memainkan peranan menggalakkan penentangan terhadap mereka di Indonesia melalui para jemaah haji tersebut, mereka pun memindahkan Syeikh Yusuf ke Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 1694. Bersama-sama Syeikh Yusuf ialah dua orang isteri dan anak-anaknya serta 94 pengiring dan murid-muridnya. Mereka telah ditempatkan di sebuah kampung bernama Zandfliet. Syeikh Yusuf terus mengajarkan ilmu tasawuf kepada orang-orang Arab dan Hindustan yang berniaga, juga orang-orang Indonesia yang dibuang negeri ke situ. Beliau terus menjadi imam dan menyusun sebuah masyarakat Islam yang lebih teratur. Setelah berada di situ selama lima tahun, beliau menghembuskan nafas terakhir di Earste River, Zanfliet pada 23 Mei 1699 dalam usia 73 tahun.

Empat tahun kemudian, atas desakan pembesar-pembesar, ulama-ulama dan Sultan Makasar, Belanda telah membawa peti jenazah Syeikh Yusuf ke Makasar dan dikebumikan semula di Jongaya, Makasar pada 23 Mei 1703. Bagaimanapun, orang-orang Islam Cape Town masih menghormati kuburnya kerana mereka menganggap di Zanfliet itulah kubur Syeikh Yusuf yang sebenarnya. Sehingga sekarang kubur Syeikh Yusuf dianggap sebagai keramat di kedua-dua tempat tersebut (Cape Town dan Makasar). Wallah hu a´ lam...