Dakwah dan Perjuangan Sufi di Alam Melayu






Dakwah dan Perjuangan Sufi di Alam Melayu

Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama Allah. Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa.

Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam.

Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi.

Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat.

Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British.

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan.

Selain itu, sejarah juga mencatatkan peranan besar yang dimainkan oleh Wali Songo (Wali Sembilan) di Pulau Jawa. Dengan usaha gigih yang dilakukan, dengan sokongan rakyat jelata, mereka berjaya menubuhkan pemerintahan Islam, menewaskan kekuasaan Hindu, mendirikan masjid, pesantren (pondok), mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam kehidupan masyarakat.

Sejarah Islamnya Kerajaan Pattani juga melibatkan ahli Tasawuf dengan kaedah menarik. Menurut ceritanya, tiga orang ulama sufi yang merupakan sahabat karib telah menjalankan dakwah di Patani.

Mereka ialah Syeikh Shafiyuddin, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Sebaik tiba di Patani, mereka bertiga telah membuat pondok kecil di satu tempat bernama Kerisik.

Di situ, mereka mengumpul maklumat, membuat kajian mengenai suasana dan budaya setempat serta memikirkan strategi dakwah yang sesuai kerana di masa itu Patani diperintah oleh raja yang beragama Budha.

Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan Allah dalam dakwahnya. Akhirnya raja Budha itu pun memeluk Islam dan diikuti oleh ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga Wali Allah tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhamad Salleh al-Zawawi, Arshad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata :


“Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.”

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali Allah dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLahu ‘anhum)
.
Kajian sarjana Barat yang terbaik sampai kini tentang perkembangan tariqah-tariqah dan tasawwuf dalam Islam ialah The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham (9). Abad ke 14 dan ke 15 zaman al-Maqrizi garis-garis perkembangan tariqah-tariqah sufiyyah itu terbentuk dengan jelas nyata dalam Alam islam.(10). Beliau membuat kenyataan berkenaan dengan “para fuqara’ Ahmadiyyah dan Rifa’iyyah” di Kahirah. Dan lebih kurang pada masa yang sama golongan Qadiriyyah mula berkembang dan satu cawangan daripadanya dibentuk di Damsyik pada akhir abad ke 14 Masihi. Maqrizi menyatakan bahawa Azhar terbuka untuk para sufi dan majlis zikir diadakan di sana.Di kota-kota Islam lainnnya tariqah-tariqah sufiyyah berkembang mendapat pengikut-pengikutnya.
Antara tariqah-tariqah yang dibicarakan ialah Suhrawardiyyah - dari nama Abun-Najib al-Suhrawardi rh ‘al-Rifa’iyyah, Qadiriyyah, al-Syadhiliyyah, al-Kubrawiyyah, al-Yasaviyyah, al-maulawiyyah, Khawajagan-Naqsyabandiyyah, Chistiyyah, Suhrawardiyyah di India, dengan cawangan-cawangannya pula. Antaranya ialah tariqah Tijaniyyah, Darqawiyyah dan cawangan-cawangannya, Ahmadiyyah, Mirghaniyyah, Sanusiyyah.(bab 2, 3 dan 4 karangan Trimingham). Tariqah-tariqah itu tersebar ke Nusantara dengan kedatangan Islam ke rantau ini.
Antara maklumat-maklumat tentang perkembangannya boleh didapati dari penyelidikian Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (12), A.H.Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14) , al-Attas dalam karyanya ‘Some aspects of Sufism in the malay Archipelago,’ dan beberapa artikel dalam JMRAS oleh Dr Drewes dan lainnya. Termasuk antara yang terpentingnya ialah buku The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, diedit oleh Alijah Gordon yang diterbitkan oleh MSRI baru-baru ini, yang terdiri daripada penyelidikan beberapa sarjana seperti Kern, Drewes, dan lain-lainnya.
Antara fakta-fakta yang berfaedah diingatkan berhubungan dengan perkembangan tasawwuf di Dunia Melayu ialah beberapa tarikh berkenaan dengan ahli-ahli sufi yang terkemuka Alam Islam. Antaranya ialah Imam al-Ghazali yang banyak berbicara segi akhlak dalam tasawwuf. Ibn ‘Arabi yang banyak menimbulkan pengaruh kemudiannya (men. 1230 Masihi). ‘Abd al-Qadir al-Jilani yang menjadi asas tariqah Qadiriyyah (men. 1166 Masihi), dan Abun-Najib al-Suhrawardi yang namanya menjadi nama bagi tariqah Suhrawardiyyah (wafat tahun 1167 Masihi).Najmuddin al-Kubra, tokoh sufi Asia Tengah pendiri tariqah al-Kubrawiyyah, dan berpengaruh terhadap tariqah Naqsyabandiyyah (men. 1221), Abul-Hasan a-Syazili sufi Afrika Utara pendiri tariqah yang memakai namanya (men. 1258), dan Baha’uddin al-Naqsyaband (men. 1389) dan pendiri tariqah Syattariyyah (men. 1428-9). (16).
Boleh dikatakan bahawa ajaran Islam yang disampaikan kepada Dunia Melayu sangat dipengaruhi oleh ajaran tasawwuf. Para sejarahwan menyatakan bahawa inilah yang menyebabkan Islam menarik kepada mereka di Asia Tenggara, dan boleh dikatakan bahawa tasawwuf dengan ajaran dan amalannya menyebabkan berlakunya proses Islamisasi Asia Tenggara, selain daripada faktor-faktor lainnya.
A. H. Johns ahli sejarah Australia itu menyatakan bahawa Islamisasi tersebut berlaku dengan adanya dakwah yang cergas dilakukan oleh para penyebar sufi yang datang bersama-sama dengan para pedagang Muslim. Para pendakwah yang bersifat sufi ini disebutkan dalam punca-punca pribumi. Berhubungan dengan perkembangan tariqah dan tasawwuf sumber-sumber paling awal nampaknya berasal dari akhir abad ke-16.
Nampaknya dalam naskhah-naskhah Islam yang paling tua dari Sumatera dan Jawa yang ada sekarang yang dibawa ke Eropah sekitar tahun 1600 ditemui tidak hanya risalah-risalah tasawwuf dan cerita-cerita ajaib berasal dari Parsi dan India tetapi juga kitab fiqh yang sahih. (17). Risalah-risalah agama berbahasa Jawa paling tua yang masih ada sekarang nampaknya menunjukkan adanya usaha mencari keseimbangan antara ajaran akidah, fiqh dan tasawwuf. Hanya dalam tulisan-tulisan Jawa pada masa belakangan ini adanya ajaran-ajaran tasawwuf yang jauh lebih kental. Tentang tariqah nampaknya tidak begitu banyak pengikut sebelum akhir abad ke-18 dan 19. (18).
Tanah Arab -Mekah dan Madinah Sebagai Pusat Perkembangan Tasawwuf Asia Tenggara:
Ibadat haji merupakan kemuncak cita-cita kehidupan Muslim yang taat. Maka Muslimin di Dunia Melayu yang berkemampuan datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji mereka, dan dalam masa yang sama ada dikalangan mereka yang menetap di sana. Nampaknya bilangan meraka yang menunaikan haji agak ramai berbanding dengan mereka yang datang dari wilayah lain apa lagi bila diambil kira jaraknya yang jauh dari Dunia Melayu.Orang-Orang Nusantara yang datang ke sana mempelajari ilmu-ilmu Islam dan ada di kalangan mereka yang mengambil tariqah daripada para ulama terkenal di sana, dan kemudiannya membawa ajaran itu pulang ke Nusantara.
Pada abad ke 17 antara ulama yang terkenal itu ialah Syaikh Ahmad al-Qasyasyi, Ibrahim al-Kurani, dan putra Ibrahim, Muhammad Tahir di Madinah. Pada abad ke 18 pula ulama Madinah yang terkenal Syaikh Muhammad al-Samman sangat berpengaruh ke atas oang-orang Dunia Melayu. Pada pertengahan abad ke-19 ulama dan sufi asli Indonesia, Ahmad Khatib Syambas di Makkah menjadi pusat perhatian utama orangf-orang Jawa, dan dalam separuh yang kedua abad yang sama suyaikh-syaikh di zawiyah tariqah Naqsyabandiyyah di Jabal Qubais di Makkah mengatasi pengaruh ulama lainnya.(23).
Al-Qasyasyi (men. 1660) dan al-Kurani (men. 1691) merupakan wakil gabungan tradisi India dan Mesir. Di satu pihak mereka pewaris keilmuan sebagai ulama dari Zakaria Ansari dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani dalam fiqh dan tasawwuf, dan dari segi lain pula mereka mengambil bai’ah menjadi pengikut tariqah dari India, yang paling berpengaruh antaranya ialah tariqah Syattariyyah dan Naqsyabandiyyah. Dua tariqah ini mulanya diperkenalkan di Madinah oleh seorang India bernama Sibghatu’Llah yang menetap di sana sejak tahun 1605. Al-Kurani, seorang Kurdi, mungkin mengenal persuratan Islam dalam Bahasa parsi datri India; selain itu ia ahli hadith dan suka pula kepada metafisika. Dalam beberapa pertelingkahan pendapat yang sengit nampaknya ulama India menjadikannya sebagai rujukan.Orang Dunia Melayu juga nampaknya demikian sikapnya.Atas permintaan mereka beliau menulis syarah atas kitab Tuhfah karangan Burhanpuri, dengan memberi penafsiran aliran Ahlis-Sunnah.
Antara tariqah yang diajarkan oleh al-Qasyasyi dan al-Kurani tariqat Syattariyyah digemari oleh orang Indonesia.Di Timur Tengah kedua syaikh ini terkenal sebagai pengikut tariqah Naqsyabandiyyah. ‘Abdu’r-Rauf yang tersebut di atas murid paling terkenal dari keduanya merupakan ulama paling terkenal antara murid mereka, tapi mungkin ada ramai lagi murid-murid mereka itu selain daripadanya. ‘Abdu’r-Rauf dihantar ke Dunia Melayu sebagai khalifah.
Seorang ulama lagi yang sezaman dengan ‘Abdu’r-Rauf ialah Syeikh Yusuf Makassar yang dimuliakan sebagai wali utama Sulawesi Selatan. Dia menghabiskan masanya dua dekad di Tanah Arab dan belajar dengan Ibrahim al-Kurani dan lainnya dan mengembara sampai ke Damsyik. Beliau mengambil bai’ah sejumlah tariqah dan mendapat ijazah untuk mengajarkan tariqah Naqsyabandiyyah, Qadiriyyah, Syattariyyah, Ba’lawiyyah, dan Khalwatiyyah; juga beliau mengaku pernah mengikuti tariqah Dusuqiyyah, Syadhiliyhyah, ‘Aydrusiyyah, Chistiyyah, Ahmadiyyah, Madsriyyah, Kubrawiyyah, dan lainnya. Setelah beliau pulang ke Dunia Melayu pada tahun 1670 beliau mengajar apa yang dikatakannya sebagai tariqah Khalwatiyyah, tetapi berupa teknik kerohanian Khalwatiyyah dan yang lain-lainnya.Tariqah beliau ini berpengaruh di Sulawesi Selatan, terutama di kalangan golongan bangsawan Makassar.
Hampir seratus tahun kemudian orang-orang Jawah di Tanah Arab tertarik kepadaa ajaran ulama yang sangat karismatik iaitu Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman (men. 1775) di Madinah. 
Syeikh Muhamnmad Nafis al-banjari (dari kalimantan Selatan) menulis karya penting dalam bahasa Melayu iaitu al-Durrun-Nafis.
Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah merupakan tariqah gabungan serupa dengan Sammaniyyah, yang di dalamnya teknik-teknik kerohanian tariqah Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah merupakan unsur utamanya, tetapi selain dari itu ada juga unsur-unsur lainnya. Tariqah ini adalah tariqah muktabar yang didirikan oleh ulama Dunia Melayu, Ahmad Khatib Syambas. Beliau yang menghabiskan masa dewasanya di Makkah sangat dihormati di luar kalangan orang Dunia Melayu sebagai ulama yang serba tahu yang menguasai fiqh, akidah dan juga tasawwuf.Ia mendapat ramai murid dan kemudian tariqah ini mengantikan tariqah Sammaniyyah sebagai tariqah yang paling popular di Dunia Melayu.Setelah beliau wafat tahun 1873, atau 1875, khalifahnya ‘Abd al-Karim dari Banten mengantinya sebagai syaikh tertinggi tariqah itu. ‘Abd al-Karim kena kembali dari Banten ke Mekah untuk mengganti kedudukan syaikh. Dua khalifah utama lainnya ialah Kiai Tolhah di Ceribon dan seorang kiai di Madura.’Abd al-Karim adalah pimpinan pusat terakhir tariqah ini.
Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah sekarang ini merupakan salah satu dari dua tariqat yang memiliki jumlah pengikut yang paling besar di Nusantara. Yang satu laginya ialah tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang tersebar ke seluruh Dunia Melayu berkat zawiyah yang didirikan oleh khalifah dari Maulana Khalid , ‘Abdul ‘Aziz al-Arzinjani di jabal Abu Qubais, Makkah. Para pengganti ‘Abdullah, Sulaiman al-Kirimi, Sulaiman al-Zuhdi, dan ‘Ali Ridha mengarahkan supaya penyebaran tariqah itu terutama kepada orang-orang Jawah yang datang ke Mekah dan Madinah dalam bilangan yang sangat ramai dalam dekad-dekad terakhir abad ke-19. Abad ke-21 memaparkan lepasan penuntut al-Azhar membawa pulang tariqah daripada Mesir.
Perkembangan tariqah-tariqah Syattariyyah, Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Rifa’iyyah, Ba’lawiyyah, Khalwatiyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah, dan Rahmaniyyah di bicarakan dengan lanjut lagi oleh ustaz  Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dalam buku barunya Penyebarann Thariqah-Thariqah Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu,terbitan Khazanah Fathaniyyah, Kuala Lumpur, 2000. Antara karya yang membicarakan tariqat sufi dan tasawuf di alam Melayu iaitu karya Azyumardi Azra ‘ Jaringan ulama timur tengah dan nusantara’. The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham, Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (12), A.H.Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14) , al-Attas dalam karyanya ‘Some aspects of Sufism in the Malay Archipelago,’ dan juga Syekh Ahmad al-Fathani ‘hadiqah al-Azhar’.
Sumber : Sufi Mujahid dll.