FALSAFAH DAN METODOLOGI PENGKAJIAN SEJARAH S.M.N AL-ATTAS


FALSAFAH DAN METODOLOGI PENGKAJIAN SEJARAH
SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
Oleh
Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Pengarah
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur 


Dalam dunia Islam kontemporari, pada pandangan saya, hanya dua orang sarjana yang benar dapat dimartabatkan sebagai ahli falsafah sejarah, yakni almarhum Malek Bennabi dari Algeria (meninggal 1973) terutama melalui karyanya Islam in Society and History, dan sarjana kita Tan Sri Syed Muhamad Naquib al-Attas, melalui pelbagai karyanya terutama yang terakhir ini. Ramai yang menulis tentang sejarah dan menggunakan fakta-fakta sejarah, tetapi hanya dua orang ini yang cuba mengutarakan gagasan mereka mengenai sejarah yang bermakna dan berdaya-cipta. Di antara keduanya, Syed Muhammad Naquib ternyata lebih komprehensif dan luas dari segi falsafah dan kaedahnya yang juga membantu menyelesai beberapa masalah penting dan memutarakan tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu.

Dalam buku terbaru Historical fact and Fiction ini, al-Attas telah mengemukakan tafsiran baru mengenai kisah Merah Silau; keterangan sejarah yang membuktikan Semut Besar adalah suatu yang benar, bukan rekaan; identiti raja Muslim pertama bagi kerajaan Samudra-Pasai; asal-asul perkataan Melayu bagi nama Sumatra; adat resam Melayu dalam amalan mewariskan takhta diraja ketika pertengahan abad ke-14 Masehi. Beliau juga memberi suatu penjelasan baru bila dan bagaimana Parameswara memperoleh gelaran diraja Jawa, iaitu Parameswara; apakah nama gelaran diraja Melayu ketika beliau memberontak menentang Majapahit; bila dan di mana beliau memeluk Islam, dan siapakah mubaligh yang mengIslamkannya; nama Muslimnya yang sebenar; peranannya yang utama berbanding dengan Adityawarman dalam menetapkan asas bagi kelahiran kerajaan Melayu yang baru; penubuhan Melaka, asal usul nama Melaka dan maknanya; cerita rekaan mengenai pohon melaka yang kononnya menjadi punca kepada penubuhan Melaka; makna sejarah dan faham utama tentang sejarah.

Di dalam buku ini Al-Attas juga menjelaskan bahawa identiti orang Arab adalah berasaskan silsilah, bukan berasaskan suku kaum; para pelopor yang membawa dan menyebarkan Islam di Alam Melayu pada zaman awal dan zaman kemudiannya serta nama-nama dan silsilah-silsilah mereka yang diperolehi melalui sumber-sumber Melayu, Jawa, Sulu, Moro, dan Arab (Hadrami); penyelesaian terhadap masalah mengenani sejarah Sulu dan Mindanao yang selama ini tidak dapat diselesaikan serta identiti sebenar Tuan Masha’ika dan Tuhan Maqbalu; kenyataan sejarah dan bukti yang bersifat badihi yang menunjukkan bahawa Islam yang tersebar di Alam Melayu adalah berasal dari Selatan Tanah Arab (Hadramaut); mubaligh-mubaligh Islam tersohor di Alam Melayu ketika abad ke-12 hingga abad ke-16; dan penciptaan abjad Melayu-Arab dan tulisan Jawi berasaskan sistem bunyi (vokal) Arab (Hadrami).

Sifat Istiqamah dalam Pemikiran dan Kaedah

Makalah ini cuba meringkaskan falsafah dan kaedah pengkajian sejarah seorang sarjana terbesar kita ini. Justeru kerana kesuntukan masa, makalah ini hanya mengutip beberapa contoh bagi membuktikan titik-titik persoalan yang dibincangkan. Buku terbaru beliau ini sesungguhnya menegaskan dan menambahbaiki lagi semua dasar-dasar penting yang dipeganginya selama lebih 40 tahun secara penuh istiqamah. Sikap istiqamah untuk sekian lama dalam kehidupan seseorang, terutama dalam kehidupan sarjana semasa memang jarang terdapat. Pegangan terhadap dasar-dasar penting kehidupan termasuk ilmu dan agama sering berubah-ubah, kononnya kerana berdepan dengan penemuan data-data baru dari seluruh pelusuk dunia dengan jumlah yang banyak dan kadar yang cepat. 

Sebenarnya sikap istiqamah mencerminkan dua kemungkinan saling berlawanan. Satu yang tidak baik, satu lagi sebaliknya. Pertama ialah kejumudan luar biasa yang degil berubah walau diasak oleh data, tafsiran dan kebenaran baru yang lebih baik; kedua ialah kebenaran mutlak yang diyakini berdasarkan kerangka keilmuan lengkap dan mendalam sehingga tidak tergugat oleh segala maklumat dan tafsiran baru: malah data-data dan tafsiran baru hanya meneguhkan lagi tafsiran dan kebenaran sebahagian besar yang dipegangi selama ini. Perobahan dalam hal ini hanya melibatkan penghuraian, pemurnian, dan penghalusan dasar-dasar pemikiran dahulu, bukan melibatkan penukaran dasar. Terdapat kemungkinan ketiga yang sentiasa berobah-robah mengikut maklumat dan tafsiran terkini. Hal ini memang kerap berlaku yang menandakan kekeliruan dalam kerangka ilmu pengetahuan hasil dari pengelutan jiwa yang berada dalam keadaan syak dan zan.

Dalam konteks ini sikap istiqamah SMN al-Attas tentang falsafah dan kaedah pengajian sejarah termasuk dalam golongan kedua yang baik tadi. Sikap ini kerap digelar oleh pengkritiknya sebagai berfikiran sempit dan tidak dinamik kerana mereka gagal menumbangkan hujjah-hujjahnya secara ilmiah dan lebih munasabah.


Hubungan Pandangan Alam dengan Epistemologi

Tidak dapat dinafikan bahawa falsafah sejarah SMN al-Attas adalah cerminan dari pandangan alam serta epistemologi Islam, yakni kerangka ilmu yang muncul darinya. Islam menerima keupayaan panca-indera yang sejahtera, akal sihat dan laporan yang benar sebagai saluran ilmu pengetahuan yang sah bagi manusia. Hakikat ini jelas terakam dalam al-Qur’an dan hadis Rasullulah SAW dan di dalam kupasan akidah Islamiah khususnya yang disimpulkan oleh Abu Hafs Najmuddin al-Nasafi (kurun ke 12M) yang digunapakai di Alam Melayu selama ratusan tahun.

Seperti semua ilmuwan dan sarjana Islam yang berakar dalam tradisi Ahlussunnah Wal Jamaah ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga menayangkan kerangka keilmuan ini dan diterapkan kepada falsafah dan metodologi pensejarahannya. Beliau menggunakan hujjah-hujjah yang berasaskan data emfiris, logika yang sangat berbekas, dan pengalaman-pengetahuan pribadi serta intuisi yang mencerahkan. Kerangka dan kaedah ini bukanlah sesuatu yang harus dipetak-petakkan, malah bagi al-Attas, pendekatan keilmuan yang difahami dan diamalkannya ialah bersifat tawhid (mempersatukan). (al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, 1995, ms 3-4)

Kedudukan Sejarah Yang Penting

Sejarah adalah suatu bidang yang amat penting bagi SMN al-Attas. Inilah yang pernah diisyaratkan sekitar 40 tahun lalu dalam muka Dedikasi bukunya yang sangat bermakna dan berpengaruh, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Ketetapan pegangannya itu terbukti apabila beliau mengulanginya dalam muka Dedikasi dalam buku terbarunya ini, Historical Fact and Fiction (2011): 

“He in whose heart no History is enscrolled,
Cannot discern in life’s alloy the gold 
But he that keeps the records of the Dead
Adds to his life new lives a hundredfold.”

“Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia
Penyimpan Khabar Zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali ganda”

(Dalam muka Dedikasi, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1972)

Beliau menganggap Sejarah sangat penting dari sudut memahami dengan sebenarnya perjalanan jauh sesuatu bangsa, memahami pencapaian-pencapaian agung dan mengelak kesilapan-kesilapan masa lalu, dan mengambil iktibar yang juga dianjurkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an dan ramai sarjana. 

Sejarah begitu penting bagi beliau khususnya bagi para pemimpin umat Islam sejak beberapa abad kebelakangan ini kerana kejahilan dan kekeliruan tentang sejarah sebenar peranan Islam boleh menimbulkan keraguan tentang kebenaran ajaran Islam serta kebaikannya kepada manusia dan seluruh makhluk di Alam Raya ini. Bagi beliau sejarah Islam sebagai sejarah pengislahan manusia sejagat (Islam as World History) adalah fardu ain bagi golongan terdidik dari kalangan umat Islam bagi membuktikan dengan tepat bahawa Islam telah menyumbang secara bermakna dan berterusan bagi kebaikan umat manusia samada Muslim atau tidak, secara langsung atau tidak langsung. 

Malah beliau juga menekankan peri pentingnya golongan terdidik Islam memahami sejarah bangsa-bangsa besar di dunia. Selain itu apabila beliau merencana dan melaksanakan kurikulum pasca-sarjana di ISTAC dari 1988-2002, sejarah bidang-bidang ilmu yang penting, di samping metodologi masing-masing, juga diajarkan kepada mahasiswa di Institut itu. Sikap ini tertayang pada jenis dan jumlah koleksi perpustakaan ISTAC yang sangat unik di negara Islam itu.

Keperihatinan tentang peri-pentingnya sejarah yang benar ini menjadi lebih berat apabila Islam dipersalahkan bagi menjelaskan kemunduran dan kelemahan Umat Islam sedunia sejak beberapa abad kebelakangan ini. Terakhir, Islam pula dikaitkan dengan keganasan. Perkaitan Islam dengan hal-hal negatif ini tidak pernah dilakukan terhadap agama-agama lain oleh sarjana dan media massa moden.

Justeru itu, beliau mensyaratkan agar seseorang sejarawan harus memiliki sejumlah ilmu, kemahiran dan kaedah berfikir yang komprehensif. Beliau menyatakan keperluan syarat-syarat yang jarang-jarang ditunjukkan oleh sebahagian besar sejarawan mengenai Islam di Alam Melayu:

Rational estimation is not mere conjecture. It pre-supposes…an authoritative knowledge of the religion under investigation, its worldview and the languages that project (it)…, its symbols and their correct meanings; its adherents and their cultural and traditional ways, its religious and intellectual tradition, and sound imagination and method of rational and empirical analysis….” (Historical Fact and Fiction, ms xiv)

Dalam semua karyanya tentang pelbagai perkara berkaitan Islam di Alam Melayu, terutama dalam karya terbaru yang amat penting ini, al-Attas membuktikan peranan positif agama ini kepada pengislahan jiwa dan rupa umat Islam di Rantau. Islam telah berjaya menyatukan ribuan pulau dan daerah serta suku bangsa di bawah suatu lingua franca ilmiah, Bahasa Melayu, suatu mazhab fikah Shafii dan mazhab akidah al-Asyaari; membawa perubahan kemanusiaan dan peradaban akli dan lebih sejagat; serta semangat kebangsaan yang lebih inklusif, tidak tribalistik dan jarang menzalimi orang-orang lain yang tak seagama.

Sejarah adalah Satu Bidang Ilmu

Salah satu teras Pandangan Alam Islam serta akidahnya ialah penekanan tegas keupayaan manusia mencapai keyakinan dalam ilmu, mengikut saluran-salurannya yang khusus. Pandangan Alam ini juga menolak sekeras-kerasnya sikap yang menafikan keupayaan manusia mencapai keyakinan, dan yang memuja agnotisisme, relativisme dan subjektivisme yang dida’ayahkan golongan Sofis dulu dan semasa. Aspek ini sangat mempengaruhi kaedah ilmiah al-Attas dalam semua bidang kajiannya termasuk bidang sejarah.

Dalam satu karya sejarahnya yang awal, The Correct Date of the Terengganu Inscription (1970), beliau menegur keras sikap yang memasarkan “keraguan yang merimaskan” (“pestilential doubt”) beberapa sejarawan Barat seperti C.O Blagden dan G.W.J Drewes mengenai tarikh sebenar yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu yang sangat penting dan bermakna itu. (Terengganu Inscription, ms 4).

Tentang laporan yang benar sebagai satu saluran ilmu pengetahuan yang menyakinkan, al-Attas contohnya menerima hadis yang sangat terkenal walaupun ditolak sebahagian ahli Hadis sebagai sahih dan historis. Bagi beliau, hadis “Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina” adalah sahih kerena “ tiada sebab yang sah bagi sejarawan menolak bahawa Baginda ( SAW) pernah melafazkan kata-kata yang membawa makna tersebut, kerana khabar yang datang dari para sarjana berwibawa dan terpecaya adalah termasuk bukti sejarah.” (HFF, 33). Di samping itu, negara Cina sudah terkenal sebagai sebuah tamadun ulung yang diketahui oleh orang Arab sejak dari zaman Nabi lagi. (HFF, 33).

Kaedah Emfiris-logika

Dalam buku ini al-Attas sekali lagi membuktikan penguasaannya tentang fakta empirik yang “self evident” atau badihi (HFF, ms 135) serta kehebatan pemikiran logik dan analisanya apabila beliau menghuraikan mengenai nama-nama bagi hari-hari dalam seminggu dalam bahasa Melayu, huruf Jawi yang bersifat Arab-Melayu, nama-nama orang Islam tempatan di Alam Melayu, bunyi bacaan bahasa Arab orang Islam tempatan, dan jumlah penduduk Arab dari keturunan Rasulullah SAW khususnya melalui Imam Ahmad Isa al-Muhajir (meninggal 961M) dan Imam Muhammad Sahib Marbat (m. 1156M) yang sangat ramai di Alam Melayu: semuanya membuktikan peranan pengislaman yang awal dan efektif oleh golongan mereka dari Hadhramaut terutama sejak kurun ke 12M. Terdapat sebahagian dari mereka yang datang melalui Campa, dan India.

Begitu juga tentang kesilapan sejarawan yang mengatakan bahawa al-Malik al-Salih ( wafat 1296M) adalah pemerentah Islam pertama Samudra-Pasai (HFF, ms 16), sedangkan al-Attas menggunakan laporan seorang sejarawan tempatan berwibawa Sayyid Alawi bin Tahir al-Haddad yang menziarahi perkuburan al-Malik al-Salih itu dan menemui sebuah kubor al-Malik al-Kamil berdekatan di situ yang wafat lebih awal, yaitu pada tahun 1210M. (HFF, ms 16-17).

Al-Attas juga mendedahkan bagaimana seorang sejarawan berpengaruh seperti SQ Fatimi yang memasukkan gambar batu nisan yang mengukir nama al-Malik al-Zahir dan tarikh wafatnya bersamaan 1326 M boleh menulis bahawa batu nisan itu menandakan kubur al-Malik al-Salih yang wafat 30 tahun terdahulu! (HFF ms 29-30)

Tentang asal nama Sumatra dari Semutraya yang terkaitkan dengan kisah Merah Silau melihat semut sebesar kucing. Al-Attas menggunakan bentuk-bentuk ejaan nama itu dalam teks-teks lama berbahasa Arab dan bukan Arab (HFF, ms 6-12). Beliau juga menggunaka laporan dari teks Arab, yaitu Ajaib al-Hind oleh Buzurg ibn Shahriyar dari abad ke 10M yang merakamkan laporan seorang yang bernama Muhammad ibn Babishah bahawa terdapat semut-semut yang sangat besar di utara Sumatera terutama di Pulau Lamri. (HFF, ms 12).

Cara mereka-cipta lima foneme Melayu dalam huruf Jawi: nya, ga, cha, nga, pa yang terilham olehnya dari huraian Ibn Khaldun dalam Muqaddimah, tentang penyebutan suara “g” dalam loghat bahasa Berber sebagai huruf Arab “kaf” dengan menambahkan satu titik dari huruf “jim.” (HFF ms 137-138).

Beliau menujukkan bunyi ch dalam abjad Melayu-Arab berada di antara huruf ta dan jim: 2 titik dari ta ditambah pada 1 titik di bawah jim menjadikan cha. Bunyi ng berada di antara huruf ghayn, nun dan kaf bertitik (yakni ga). Dengan menambahkan 1 titik dari nun dan 1 dari kaf bertitik (ga) pada 1 titik diatas gyan, maka terciptalah nga. Beliau juga menghuraikan bagaimana huruf-huruf lain diciptakan seperti nya, dan pa. (HFF, 137-138).

Kaedah Luas Pandangan Alam Islam dan Adat Resam Kebudayaan Islam dan Kerajaan Melayu Awal

Penguasaan beliau tentang tradisi dan kebudayaan Islam dipergunakannya bagi menyelesai beberapa perkara asas yang sekian lama dipermasalahkan oleh sebahagian sarjana. 

Hadith pengislaman Alam Melayu yg terdapat dalam hikayat terawal berbahasa Melayu, Hikayat Raja Pasai, tidak diambil serius oleh sarjana samada Muslim atau bukan Muslim. Hadith ini mengisahkan Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa agama Islam ke Samudra selepas wafatnya SAW dengan membawa alat perkakas kerajaan. Mereka disuruh singgah ke Mengiri dan mengambil seorang fakir untuk di bawa bersama. Hikayat itu juga menceritakan selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW, Syarif yang di Mekkah mendapat berita tentang Samudra. Syarif itu diperintahkan oleh “Khalifah Syarif” membuat persiapan menghantar rombongan memenuhi suruhan Nabi itu (HFF, 3-4; Hikayat Raja Pasai, Yayasan Karyawan, ms 13-14). 

Al-Attas menerima laporan ini dengan pegangan yang meyakinkan berdasarkan ajaran agama Islam tentang dakwah Islamiah dan tentang pengetahuan sangat baik orang-orang Arab tentang Alam Melayu lama sebelum Islam. (HFF, 2-5). Beliau juga memberikan pelbagai bukti bahawa di Mengiri (Monghyr) di Timur Jauh India sejak kurun 8-9M lagi telah terdapat sangat ramai orang-orang Arab Islam dari keturunan Abu Bakar dan Ali ibn Abi Talib (HFF, 19-23).

Beliau juga menggunakan ajaran dalam akidah Islam berteraskan bahawa Imam atau pemimpin haruslah dari golongan Quraish bagi menyelesaikan identiti dan gelaran beberapa pemerintah Muslim awal di Alam Melayu termasuk di Semudra-Pasai, yaitu al-Malik Muhammad al-Taymi al-Qurayshi (HFF, 2) bukannya Sultan Muhammad (HFF, 18-19, 25) , dan bukannya Merah Silau.

Begitu jugalah, pengetahuan mendalam tentang seni tulisan Jawi membantu beliau menyelesaikan masalah besar tarikh sebenar Batu Bersurat Terengganu. Apabila sarjana Barat menyatakan terdapat pelbagai kemungkinan perkataan tambahan selepas frasa tahun Hijiriah “Tujuh Ratus Dua”, beliau menegaskan bahwa bentuk kelonggaran tulisan “Tujuh Ratus Dua” (yang menyamai 1303M) yang merupakan tiga perkataan terakhir di tepi Batu ini menafikan kemungkinan adanya perkataan tambahan selepas itu. Ini kerana seni tulisan Jawi membenarkan penulis mengetatkan huruf-huruf supaya perkataan atau frasa penting tidak terputus. (Terengganu Inscription, ms, 9, 12)

Pengetahuannya tentang makna shahid yang luas dan mendalam memberikan keyakinan kepadanya menghuraikan istilah tersebut yang tertulis pada batu nisan Puteri Fatimah, puteri Raja Cermin, yg terdapat di Leran bertarikh hijriah bersamaan 1082M, dan yang terdapat pada batu nisan al-Malik al-Zahir bertarikh hijriah bersamaan1326 M. Beliau menegaskan bahawa istilah shahidah pada batu nisan Fatimah dan syahid pada batu nisa al-Malik al Zahir itu kerana mereka wafat jauh dari negeri masing-masing. (HFF, ms 27-28).

Begitu juga pengetahuannya tentang adat pertabalan Raja-Raja Melayu membantu beliau menyelesaikan masalah kekhilafan dalam teks Ibn Batutah tentang identiti Raja Samudera-Pasai yang ditemuinya. (HFF ms 31-32) Ibn Batutah dikatakan melawat Pasai dan menyaksikan perkahwinan seorang putera al-Malik al-Zahir bernama Ahmad pada tahun 1346M. Al-Attas menegaskan al-Malik al-Zahir telah wafat pada tahun 1326, tetapi para pembesar menamakan beliau sebagai Sultan yang memerintah pada waktu itu. Ini kerana mengikut adat pertabalan Raja-Raja Melayu, seperti di Melaka, seorang putera yang dewasa dari permaisuri hanya akan ditabalkan sebagai Sultan apabila putera itu melahirkan seorang anak lelaki yang bakal menggantikan beliau. (HFF, ms 31).

Fakta dan Kebenaran

Dalam karyanya yang sangat penting, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, al-Attas membicarakan tentang Islam dan Falsafah Sains. Di dalamnya beliau menghuraikan betapa dalam pandangan alam Islam, fakta dan kebenaran itu tidak semestinya sama. Tidak semua fakta itu benar, jika fakta tersebut tidak ditafsirkan dan diperlakukan di luar pandangan alam Islam.

Dalam karya itu juga beliau mengutarakan satu gagasan sangat penting dan berguna dalam perencanaan dan kegiatan ilmiah termasuk bidang Sejarah. “Terdapat batas-batas kebenaran bagi setiap ilmu pengetahuan” (“There is a limit of truth to every object of knowledge”).

Gagasan ini memang terinspirasi dari ajaran al-Qur’an dan tradisi keilmuan Islam yang merumuskan gagasan ilmu bermanfaat dan skop ilmu kepada fardu ain dan fardu kifayah bagi mengelakkan pembaziran umur seorang mengkaji ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat bagi dirinya dan bagi masyarakat seluruhnya. 

Tentang fakta sejarah lampau, al-Attas menegaskan bahawa fakta harus ditafsirkan semata-mata bukan pada kehadirannya di luar minda, sebagai kewujudan yang objektif, tetapi harus diambil-kira nilainya:

“To test the accuracy of the explanation is not necessarily achieved by seeing whether the fact corresponds to a reality which is already known to us now. To find coherence in the explanation of facts described by history cannot be free of judgments that involve value.” ( HFF, ms xii) 

Hakikat ini telah dinyatakan beliau pada tahun 1970an dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu apabila mengkritik tren sesetengah sejarawan yang asyik mengumpulkan fakta, terutama yang bersifat runcitan. Katanya: 

“ Bahawasanya ternyatalah konsep tugas seorang ahli sejarah itu bukanlah mengkaji, mencatat, dan melaporkan segala hal yang terjadi dalam meriwayatkan dan mentafsirkan kehidupan dan nasib sesuatu bangsa; akan tetapi ia harus memilih apa yang hendak dikajinya, ia harus mengasingkan apa yang hendak dicatatnya dari bahan-bahan tiada terbatas itu, ia harus merumuskan apa yang hendak dilaporkannya dengan tujuan bagi menayangkan gambaran yang terdiri daripada sifat-sifat tertentu yang akan merupakan hakikat bangsa itu.” (IDSKM, ms-2-3)

Dalam konteks alam Melayu, data-data sejarah lampau sangat berkurangan, justeru itu beliau mencadangkan bahawa kebanyakan dari tafsiran dan penjelasan kita tentang peristiwa-pristiwa lampau harus bergantung banyak kepada kaedah-kaedah akliah dan bukan inderawiah (empirical) (HFF, ms xiv). Jika tidak, sejarah keagamaan, keilmuan dan kebudayaan tidak akan dapat ditulis. (Ibid, ms xiv).

Teori Manusia Unggul/Great Man Theory

Al-Attas berpegang kepada teori Manusia Unggul sebagai aktor terpenting dalam Sejarah. (HFF, ms 72) Ini kelihatan berlawanan dengan pandangan seorang ahli fasafah Barat yang dilapor mengatakan: “anyman can create History, but only great man write History”. 

Pegangan al-Attas ini mencerminkan ajaran Islam dan agama besar lainnya yang memusatkan pengislahan manusia melalui para Rasul. Dan jika kita mengenepikan akhlak mulia dari takrif keunggulan , greatness, dan mengekalkan kriteria perubahan dan pencapaian besar saja, maka semua pemimpim dan sarjana besar dari beberapa orang Firaun, Mesir Kuno, Hannibal, Shih Huang Ti, Hitler, Karl Marx, Mao Tse Tung, Genghiz Khan, Hulagu dan Lenardo da Vinci, Bill Gates, Osama bin Laden adalah Manusia Unggul yang mencipta sejarah kerana merobah kehidupan manusia.

Al-Attas menggunakan teori Manusia Unggul sebagai pelaku penting dan Pembina Sejarah dengan mengaitkan secara istimewa dengan penggunaan istilah “Shajarah” ( disebut “Sejarah” dalam bahasa Melayu) berbanding “Tarikh” dalam bahasa Melayu. Seterusnya beliau menjelaskan, sekali lagi buat pertama kali dalam sejarah keilmuan di sini, pertautan semantik dan sosial, antara konsep Shajarah/Sejarah dengan susur galur, urat akar kekeluargaan ulama’ dan umara’ penting di Alam Melayu yang berasal dari Imam Muhamad Sahib Marbat yang seterusnya bernasab dari Imam Ahmad Isa al-Muhajir, dan Saiyidina Husyain bin Ali bin Abi Talib.

Di antara ilmuwan Islam semasa yang kelihatan berfikiran sama dengan al-Attas tentang Great Man Theory ini mungkin ialah Muhammad Iqbal (m. 1938) dengan konsep Mard Momin, dan Muhammad Fethullah Gulen (lahir 1945) dari Turki. Muhammad Iqbal terinspisari dari al-Qur’an tentun, dan menggunakan gagasan “superman” Friedrich Nietzsche (m. 1900) untuk meneguhkannya. Gulen pernah menulis dalam Statue of the Human Souls (2009) bahawa kebangkitan umat memerlukan “a few dozen heroes.” (Statue, ms. 152,). Di tempat sama beliau juga menulis: 

“…all renaissance worldwide have been the result of…few individual geniuses…; they did not arise from the effort and movement of the masses. Just as in the years immediately following the advent of Islam, some renewals and changes were the result of not more than a dozen exceptional souls and their intelligence and ideas” during the Umayyads down to or time”. (Statue, ms. 27) 

Peranan Intuisi

Dalam pandangan alam Islam dan kerangka epsitemologinya, intuisi adalah sesuatu yang asas dalam mencapai keyakinan dan penerimaan ide-ide. Jiwa yang serius berfikir menyelesaikan masalah-masalah besar akan sentiasa memusatkan perhatiannya kepada masalah itu tanpa mengira tempat dan waktu.

Apabila beliau mahu menulis sesuatu, al-Attas akan sentiasa berfikir serius tentang hal itu. Selama dua tahun ketika menyiapkan manuskrip buku terbaru ini beliau akan sentiasa bercakap dan mengulangi tanpa jemu tentang beberapa aspek yang sedang dikajinya itu setiap kali saya menziarahinya di kediamannya. Beberapa orang muridnya menyatakan mengalami hal yang sama.

Apabila beliau sedang menyiapkan Syarah tentang karya Hujjatul Siddiq oleh Syeikh Nurudin al-Raniri pada awal 1980an, al-Attas membuat kajian di Perpustakaan Universiti Chicago. Dalam beberapa pertemuan dengan saya di sana beliau mengakui amat sukar tidur sebab memikirkan maksud penulis asal yang sedang disyarahkan itu. Dalam usaha bersungguh-sungguh memahami maksud sarjana aging yang dikajinya itu beliau seakan-akan berbicara dengan al-Raniri sendiri. 

Beliau pernah menyatakan kepada saya apabila menulis tentang episod-episod sejarah, beliau seolah-olah dapat melihat dengan mata hatinya rentetan-rentetan semua peristiwa penting dalam episod berkenaan. Hal yang sama juga berlaku apabila beliau merancang dua kampus ISTAC di Jalan Damansara dan Persiaran Duta yang indah dan berperibadi unik itu. Beliau dapat membayangkan setiap sudut dari bangunan itu dan semua yang ingin diletakkan di dalamnya seperti seorang penghias dalaman dan juru lanskap. 

Sebenarnya dalam ilmu jiwa Islam, akal insani memiliki beberapa kekuatan (quwwah) atau fakulti yang saling berkait. Jiwa (roh) adalah diri insan itu sendiri: akal, nafs, qalb dan roh. Gambaran yang rasional atau akli tentang sejarah silam dan tentang bangunan berseni terhasil dari kegiatan jiwa khususnya dari fakulti khayalan akli (cognitive imagination) dan khayalan seni (sensitive imagination).

Jiwa manusia mencapai ilmu pengetahuan atau ide-ide melalui proses intuisi. Apabila sesorang manusia memikirkan sesuatu secara bersungguh-sungguh, yakni memerah tenaga akalnya, menelusuri setiap bukti dan hujjah dalam fikirannya bagi menyelesai kebuntuan dan kekusutan tentang isu-isu yang difikirkan. Pembacaan, perbincangan, penyelidikan dan segala usaha memecah masalah itu sesungguhnya menyediakan jiwanya untuk menerima makna atau ilmu yang dianugerahkah Allah swt. Usaha-usaha ini disebut sebagai pergerakan jiwa mencapai makna tersebut.

Adab Ilmiah

Satu ciri falsafah dan kaedah ilmiah al-Attas, termasuk tentang Sejarah ialah adab yang mencerminkan sikap bijaksana, berani, sederhana dan adil. Malah inilah yang mencirikan seluruh perjuangan keilmuannya yang terzahir dari kehidupan peribadi dan kepimpinan institusinya. Beliau tidak membuang waktu menilai dan mengkritik tokoh dan sumber-sumber kecil, tetapi memusatkan kepada sumber dan tokoh-tokoh muktabar dalam hal-hal tertentu. Kritikan-kritikan yang tegas dan kadang-kadang keras terhadap penafsiran sesetengah sarjana (dari Barat atau Timur) atau aliran pemikiran tidak bermakna beliau tidak mengiktiraf beberapa kebaikan sumbangan mereka. Hal ini dinyatakan dengan jelas di awal buku ini:

“European historians of the Malay Archipelago…have meticulously researched and brilliantly elaborated their cogent findings with such diligent and inspiring scholarship that evokes due praise. We must sincerely acknowledge their wonderful intellectual contributions and affirm what is true in their interpretation of our history which they have gradually set in the crucible agreed among themselves. But there are certain problems of knowledge and methodology that we must question which they and their followers from among our own scholars have caused to arise in our understanding of our history….” (HFF, ms xi).

Penting ditegaskan bahawa pandangan alam Islam dan kerangka serta kaedah keilmuan al-Attas membuat beliau berlaku adil kepada sumber-sumbernya. Beliau tidak bersikap subjektif dan relatif (sofistis). Penegasannya tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudyaan Melayu bukan semata mata kerana beliau seorang Islam; pembelaannya kepada peranan orang Arab dalam pengislaman di Alam Melayu khususnya dari abad 8-16M bukan kerana hanya beliau berdarah Arab dan dari titisan darah Rasalulullah SAW; kritikannya terhadap sebahagian ilmuwan Barat yang berpengaruh bukan bermakna beliau anti-Barat. Yang amat jelas bagi saya, ialah penegasan dan pembelaan tersebut berdasarkan data-data emfiris, pemikiran logika yang tinggi dan pengalaman serta pengetahuan pribadi yang unik. 

Penutup

Sesungguhnya sarjana yang menghasilkan buku ini adalah aset besar bagi Umat Islam khususnya bagi bangsa Melayu yang kelihatan baru mula memahami dan cuba mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam pelbagai dimensi. 

Menghadapi gelombang besar globalisasi tanpa kefahaman sebenar dan mendalam tentang sejarah bangsa terutama yang melibatakan peranan Islam di Alam Melayu ini boleh menyumbang kepada kekeliruan kewibawaan Islam sebagai pemersatu dan pembina bangsa dan tamadun, dan akan merumitkan langkah-langkah kita ke hadapan dengan tegas dan yakin. Penerbitan hampir semua buku-bukunya di negara ini membuktikan bahawa karya bertaraf dunia bukan seharusnya diterbitkan oleh institusi luar Negara dan di Barat, malah oleh institusi tempatan jua. 

Buku Historical Fact and Fiction ini harus diterjemahkan ke bahasa Melayu dan pelbagai bahasa Islam lainnya dan dibincangkan dengan serius.

Sekian


(CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur


Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Khas Sejarah Alam Melayu: Antara Fakta dan Khayalan, anjuran CASIS di Bilik Jemaah UTM International Campus Kuala Lumpur, 9hb Sept 2011. Seminar Khas ini bersempena pelancaran buku terbaru Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Historical Fact and Fiction (Skudai: UTM Press, 2011) oleh DYMM Canselor UTM Tuanku Raja Zarith Sofiah bin Almarhum Sultan Idris Shah pada hari yang sama. Kertas ini akan dikemaskan lagi untuk tujuan penerbitan dalam waktu terdekat.

sumber:kembara bahasa