MANIFESTO GERAKAN DAKWAH ISLAM :MELIHAT MASA LALU, MEMBINA MASA DEPAN



MANIFESTO GERAKAN DAKWAH ISLAM :MELIHAT MASA LALU, MEMBINA MASA DEPAN
                                                             
Ustaz Ismail Mina Ahmad[1]

Iqra’ kitaabaka kafaa binafsika ’l-yawma  ‘alayka hasiiba - al-Qur’an, Surah al-Isra’:14

tidak akan menjadi baik Ummat yang akhir ini, melainkan dengan mengikut cara memperbaikinya seperti ( cara ) yang dilakukan oleh (Ummat) yang awal – Imam Malik.

1.PENDAHULUAN

Dari awal-awal lagi, usaha Dakwah Islamiyyah perlu meletak dan menegaskan, bahawa dakwah ilallah yang sebenar, hanya dalam spektrum ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah (ASWJ), yang merangkumi konsep, kosmologi, epistemologi dan weltanschauung. Perlu dijelaskan juga matlamat yang hendak dicapai bersekali dengan mekanisme untuk mencapainya serta falsafah dakwah itu.Untuk memastikan perjalanan usaha dakwah ini berjalan lancar, tidak menyimpang dan tergendala, memerlukan keberanian muhasabah[2] yang merujuk dan berpandukan kepada doktrin dan konsep ASWJ tersebut, sebagai neraca. Melalui muhasabah yang sungguh-sungguh, cermat,ikhlas,teliti,‘adil,jujur dan amanah, insya Allah akan berupaya menilai mutu dan tahap pencapaian dan dengan itu dapat dijadikan asas untuk memperkasakan lagi usaha yang sudah perkasa  dan boleh meluruskan yang bengkok dan akan bertambah kukuh apa yang sudah thabit, justeru mendapat limpahan kebaikan yang tidak terhingga dari Allah Yang Maha Pemberi.
         
2.TUJUAN DAKWAH

Seperti termaklum, secara ringkas, tujuan usaha dakwah Islamiyyah, baik secara perseorangan mahu pun jama‘ah[3], seperti  jelas di dalam al-Qur’an ialah mengajak dan mendakwah kepada Tawhid dan sekaligus mengajarkannya yakni Tawhid yang khalis dengan segala implikasinya dan menghindarkan kesyirikan dalam semua bentuk, sifat dan manifestasi.Ia juga bertujuan memperbaiki kualiti zohir dan batin, hati dan ‘aqal, serta membebaskannya dari pengaruh-pengaruh kejahatan dan kesesatan dan menghidupkannya dengan kehidupan yang sebenar-benar, sehingga memiliki arbaab al-quluub.Dakwah juga bertujuan  mengajak manusia kepada Daaru ’s-salaam dan menghindari dari abwaabi jahannam dengan melaksanakan segala awaamir dan meninggalkan segala nawaahiy.Juga ia sebagai usaha mengajar dan mengenali kebenaran dan kepalsuan dan segala tipu daya kehidupan dunia,pada paras dan bahagian-bahagian berkaitan dalam perkara ‘ibadah,hukum,kehidupan-budaya dan akhlaq.Maka usaha dakwah Islam ialah memimpin seseorang agar dapat membebaskan ‘aqliyyah dan ruhaniyyah dari terikat kepada selain Allah kepada tunduk patuh sepenuhya kepada Iradah Allah sehingga seluruh hidupnya, zohir dan batin adalah Islam[4].Juga usaha dakwah bertujuan membina peribadi yang kukuh yang memiliki kefahaman dan keyakinan yang mendalam mengenai  ajaran Islam dalam segala hal – duniawi dan ukhrowi - dan dengannya akan lahirlah rijaalu ’d-diin wa ’d-dakwah .Peribadi seperti mereka inilah sahaja yang dapat memikul Risalah Dakwah dalam rangka menyerlahkan rahmatan li ’l-‘aalamiin atas dasar amanah yang murni  dan rasa tanggung  jawab Ilahiyyah yang tinggi  serta kasih sayang yang mendalam sesama manusia dan ‘alam,berteraskan pesanan Allah: wa tawa sawbi ’l-haqqi wa tawa sawbi ’l-marhamah, yang tercurah dari Hadrat Rahiimiyyah-Nya.Mereka inilah rantaian emas dalam usaha dakwah dan berkemampuan membina seluruh anggota masyarakat menjadi rijal-rijal seperti mereka.

Usaha dakwah adalah paksi terbesar atau al-qutbu ’l-a‘zam dalam Agama ini. Tanpa ada usaha dakwah, kelangsungan Ummah sebagai pewaris Agama, akan pupus dan jika masih wujud, ia hanya sebagai agama bersifat adat semata-mata yakni sebagai kelangsungan cara hidup yang diwarisi dari nenek moyang terdahulu tanpa tujuan yang  quddus seperti sekumpulan haiwan yang sekadar meragut di padang ragut.Usaha dakwah bermakna,mengarah masyarakat ke suatu arah tertinggi dan mulia melalui mekanisme yang terdapat dalam doktrin dan konsep yang berpaksikan al-amru bi ’l-ma‘ruf  wa ’n-nahyu ‘ani ’l-munkar. Maka usaha dakwah bertujuan membina masyarakat menjadi mulia dengan ‘izzah Muslimin dan perkasa, kuat jasmani[5] dan ruhaniyy, sehingga mendapat nusrah dan barakah dari Langit Yang Tinggi[6].

Maka, tujuan keseluruhannya boleh disimpul dengan ringkas sebagai menyampaikan ajaran Islam yang syumul-kaffah kepada orang yang belum sampai seruan dakwah dan memperbaiki kualiti beragama-islah kepada orang yang sudah beragama (Islam), yang merangkumi perkara yang berkaitan dengan kesohihan dan kemurniannya, dalam semua aspek kehidupan, supaya benar-benar serasi dengan ajaran Islam yang murni dan mengelak dari segala macam bid‘ah  dan menurut kehendak Iblis dan hawa nafsu manusia yang sesat, demi untuk mendapat Rahmat di dunia dan keselamatan serta nikmat di Akhirat.Ini bererti membebaskan dari kesesatan ‘Aqidah kepada Tawhidullah yang khalis dan yang berkaitan dengan Usul al-Din yang telah di Ijma‘[7]; dan dari kesesatan dan bid‘ah dalam ‘ibadah, kepada semata-mata ikhlas kepada Allah; dan dari kesesatan ‘ilmu dan falsafah, kepada makrifah dan tahqiq; serta dari cara hidup dan akhlaq rendah yang penuh lagho dan ghaflah kepada kehidupan yang serious,bermakna dan memandang kehidupan Akhirat melebihi segala-galanya[8].

Dalam melaksanakan MANIFESTO ini, mestilah berpegang kepada falsafah berdakwah kerana Allah,atas dasar dan rasa kasih sayang,secara aman damai,berakhlaq mulia,berhikmah,jidal yang baik,berlapang dada dalam perkara perbezaan furu‘ Agama tetapi tegas dalam perkara Usul,rakan dalam pembangunan Negara dan masyarakat,bekerjasama dalam perkara-perkara yang boleh membawa kepada ketaqwaan dan kebaikan,tidak bersifat konfrontasi,tidak mengujudkan suasana tegang dan huruhara,tidak menjadi agitator,tidak anarkis,tidak membuat fasad,tidak menjadi alat kepada mana-mana individu, organisasi politik dan agen Yahudi,Kuffar dan mana-mana musuh Islam.

3.PEMBINAAN RIJAL

MANIFESTO paling penting  serta teras dalam usaha dakwah ialah membina pribadi yang mampu menggalas tugas dakwah melalui pembinaan rijaalu ’d-diin wa ’d-dakwah dengan segala kualiti yang tinggi,mempunyai wawasan yang jelas dan lengkap mengenai Islam, yang mencintai Akhirat mengatasi segala-galanya dan satu-satunya destinasi.

Sebaik diangkat menjadi Rasul, Baginda sollallahu ‘alayhi wa sallam terus melaksanakan usaha membina rijal dari kalangan Sahabat-Sahabatnya di Makkah, yang kemudian diteruskan di Madinah, dalam semua aspek. 

Kelangsungan Risalah Muhammadiyyah, adalah kerana faktor peranan rijaalu ’d-diin wa ’d-dakwah ini. Mereka dibina oleh pemikiran dan perancangan strategik,  pada peringkat paling awal, oleh Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam, secara tersusun dan sistematik, dan kemudian diteruskan dari generasi ke genarasi, melalui proses pembelajaran dan pembinaan ‘ilmu kasbi  bersekali dengan penggarapan ‘ilmu qalbi, dan berseiringan pula dengan ‘amalan, yang zohir dan ‘amalan batin, secara berdisiplin dan intensif. Hasilnya, rijal-rijal  ini berjaya memiliki kualiti kepimpinan,‘ilmu,‘amal,‘aqal,hati,akhlaq dsb,dan dapat memikul tanggung jawab dakwah membawa ke mercunya.

Selepas kewafatan Baginda sollallahu ‘alayhi wa sallam, rijal-rijal inilah yang menjadi amir-pemimpin yang berkualiti dalam semua bidang dan urusan dunya dan Agama: umuuru ’d-dunya wa ’d-diin.

Mereka adalah qutub Ummah.

4.RIJAL DALAM KEPEMIMPINAN

Dalam program membina rijal, antara yang urgen ialah melahirkan rijal  dalam kepimpinan dunya dan Agama.Ummat memerlukan pemimpin yang berpegang kepada ‘Aqidah dan Syari‘ah ASWJ (baca: Islam paling benar) dengan jazam dan iltizam yang kukuh kepadanya, serta memiliki wawasan yang jelas dan mantap,dengan ‘aqal yang salim lagi sempurna dan ‘azam yang kuat untuk mendaulatkannya serta memiliki kasih sayang kepada Ummat[9].

Dalam suasana Ummat Islam dan Agama Islam dicabar dan diserang dari dalam dan luar, Ummat memerlukan pemimpin yang  bersikap keras dan bersifat tegas, dalam memelihara dan melindungi  Agama-‘Aqaid-Usul al-Diin, demi keselamatan Ummah. Pemimpin wajib menjaganya dari diubah dan diseleweng, serta mencegahnya dari berlaku seperti yang terjadi kepada Agama Samawi  terdahulu. Jika terdapat bid‘ah, kesesatan dan penyelewengan dalam ‘Aqidah, mereka berkewajipan segera mencegah, membenteras dan meluruskannya, hatta kepada al-akaabir  dan jika perlu, menggunakan segala hak-hak dan hukuman, agar Agama terpelihara dari kerosakan dan masyarakat  terhindar dari penyelewengan.

Dalam urusan dunya pula, mereka berperanan menguruskan ahwal siyasah al-dunya dengan melaksanakan segala peraturan dan hukum-hakam yang berkaitan, melalui mekanisme pentadbiran untuk tujuan kesejahteraan kehidupan manusia.

Selain dari itu, peranan pemimpin, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh fitnah ini  ialah menjaga dan melindungi kehormatan wanita bukan sahaja wanita Islam bahkan semua wanita. Kelompok Liberalis atas nama HAM, menyerang konsepsi Islam terhadap wanita. Mereka berandai, Islam menindas wanita dan justeru mengambil cara Kuffar mengurus ahwal Muslimah dan wanita. Al-Maawardiyy rh dan lain-lain pemikir politik Islam, jelas menegaskan, pemimpin berkewajiban mengurus  ahwal wanita. Tujuannya bukan sahaja memelihara maruah diri wanita tersebut tetapi juga supaya masyarakat dapat mengendalikan kehidupan harian dengan selesa dan harmoni tanpa terganggu dari sebarang ancaman emosi dan psikologi terhadap diri, maruah dan harta ( kalau sudah terkena penyakit gila wanita, harta habis dibelanja ). Cuba perhatikan sebab terjadi Peperangan Bani Qaynuqa’. Peperangan ini terjadi kerana Yahudi Madinah cuba menjatuhkan maruah hanya seorang  sahaja Sahabiyah-Muslimah.Nabiyy yang mulia sollallahu ‘alayhi wa sallam pun dengan sifat ghirah seorang Muslim, segera bangun menentang mereka. Oleh kerana kedegilan mahu mempertahankan pendirian fasad  mereka, terjadilah Peperangan Bani Qaynuqa’ yang termasyhur itu.Tiada satu pun doktrin agama dan politik di muka bumi ini, begitu ‘adil, jelas dan tegas memelihara hak dan maruah wanita selain Islam. Adakah dengan membiarkan pelacuran dan beranggapan ia urusan pribadi, bermakna mempertahan hak dan memelihara maruah wanita?. Atau pun membakar wanita selepas kematian suaminya sebagai mempertahankan hak wanita atau melakukan kahwin batin dengan isteri orang, sebagai memelihara maruah wanita? dan seterusnya.

Pemimpin juga bertanggung jawab menegak keadilan dan membendung para penzalim bermaharajalela dalam wilayah kekuasaannya, baik dalam kelompok  kecil atau besar, di semua paras dan keadaan, dan membela golongan yang teraniaya. Selain dari itu, mereka juga berkewajipan dan bertanggung  jawab, melaksanakan hukum-hukum dan menjaga hudud Allah, demi melindungi kehormatan Agama Allah dari tercemar dan melindungi hak masyarakat dari rosak dan musnah.

Peranan lain mereka lagi ialah berjihad[10] dan memimpin Ummah menentang musuh Islam selepas menjalankan dakwah dengan syarat-syarat seperti terkandung dalam kitab-kitab Fiqh. Mereka berkewajiban menegakkan hak Allah dan menonjolkan ketinggian Agama Islam ke atas segala agama[11]  hingga ke Hari Qiyamat[12]. Secara fizikal dan teritorial, mereka berkewajiban menjaga negara Umat Islam dari diceroboh[13] dan jika berkemampuan dan cukup syarat, membebaskan watan Islam yang dirampas. Teori politik Islam menjelaskan, ketika Islam menghadapi musuh, al-syaja‘ah wa al-najdah yakni berani dan kuat, menjadi pilihan dalam memilih pemimpin mendahului sifat ‘alim[14].

Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam mengaku, para rijal yang diasuh Baginda itu yang terdiri dari kalangan Sahabat-Sahabatnya, bagai bintang-bintang[15]. Sesiapa yang mengikut salah seorang daripada mereka, pasti tidak akan sesat, bahkan akan selamat. Mereka ini semua disebut paling thiqah dalam semua aspek dengan segala kualiti sifat terpuji yang antara lain ialah amanah; syajaa‘ah wa al-najdah-berani dan kuat; ber‘ilmu dan memiliki hikmah-bijaksana; memiliki ‘aqal yang cerdas dan tinggi, penuh dengan ilham yang solih sebagai sumber segala keutamaan dan tidak memiliki ‘aqal ahmaq kerana ‘aqal ahmaq adalah sesat dan menyesatkan; al-‘adaalah; berhati lembut bak sutera, menangis mengenangkan ahwal  Akhirat; keras terhadap kekufuran; cinta kepada Allah dan Rasul dengan cinta paling dalam; kuat  azam untuk berjihad, sehingga menangis kerana bimbang tidak dapat menyertai jihad dan kerana tidak ada harta untuk diinfaq[16]; kasih sayang sesama Muslim dan pelbagai sifat yang lain. Rijal-rijal yang memiliki kualiti seperti inilah yang mampu dan berjaya  memikul usaha dakwah dan jihad serta melaksanakan siyasah dunya dan urusan Ummah dengan teratur dan baik. Ada sebahagian mereka terlibat dalam imamah-kepimpinan mengurus Ummat dan Negara dan sebahagian  pula tidak, mengikut pilihan masing-masing.

Dewasa ini, terasa benar kekurangan rijal-rijal  berkualiti seperti itu,hatta pada peringkat dan dalam lingkungan kumpulan dakwah yang kecil, sehingga tokoh besar dakwah dan pemikir ulung dari al-Ikhwan al-Muslimin, Syaikh Sa‘id Hawwa rh ( 1935-1989 M ) menulis puluhan buku, merangkumi semua aspek dalam rangka membina rijal.Tidak dinafikan, memang terdapat usaha gigih dari kalangan pelbagai  kumpulan dakwah Islam berusaha mengujudkan peribadi  Muslim yang baik,  tetapi  seperti yang disebut Sa‘id Hawwa rh, masih  terdapat  beberapa kekurangan fundamental dan jika dibiarkan kekurangan ini berlarutan, akan memberi kesan destruktif kepada dakwah bahkan kepada Ummat seluruhnya.

Seperti dilakukan Nabi sollallahu ‘alayhi wa sallam, pembinaan rijaalu ’d-diin wa ’d-dakwah, diawali dengan penekanan kepada ‘ilmu bersekali  ‘amal ‘ibadat, yang bagi Syaikh Sa‘id Hawwa rh, terutamanya ‘ilmu berkaitan dengan ‘Aqidah dan Ruhaniyyah-Siddiqiyyah serta Rabbaniyyah[17]  serta kehidupan yang memenuhi dan penyerahan yang sempurna kepada Kehendak Syari‘at  Allah secara kaffah, dalam semua aspek, seperti yang di sepakati ‘Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengenainya.

Kekurangan yang dikhuatiri  Sa‘id Hawaa rh ini, memang  telah disedari tokoh ASWJ lain puluhan tahun dahulu seperti  Muhammad ‘Aliyy al-Sanusi, di Afrika Utara; ‘Uthman dan Fodio di Nigeria,Sokoto dan sekitar; al-Hassan al-Banna, Asia Barat; , Nahdah al-‘Ulama ( kini NU diserapi fahaman Liberalisme-Pluralisme Agama)  di Indonesia; Manzur Nu‘mani,Mawlana Ilyas, Abu al-Hassan ‘Aliy an-Nadvi, Mawdudiy, Indo-Pakistan; Sa‘id Nursi di Turkey; Ahmad Fuad (PAS), ‘Uthman El-Muhammady (al-Rahmaniah) dan ramai lagi, bangun menyedarkan Ummah melalui program kesedaran dengan mengajar, berceramah dan menulis mengenainya dan cara penyelesaian masalah ini. Tokoh-tokoh Islam yang ikhlas dan mempunyai himmah yang tinggi dan prihatin kepada amanah Nabiyy sollalallahu ‘alyhi wa sallam menjelang wafatnya dan juga prihatin kepada kesejahtreraan Ummat dalam semua perspektif, amat sangat menginginkan kelahiran rijal yang mempunyai kualiti tinggi yang jitu, yang dapat mengurus Ummat dan negara secara Islam, hatta boleh memecahkan hegemoni Yahudi dan musuh Islam serta memimpin dunia ini[18]. Saya tidak berkhayal dalam hal ini, kerana sebagai orang Islam, kita wajib yakin bahawa rahmatan li ’l-‘aalamiin, hanyasanya akan tercapai melalui diinu ’l-Islam sahaja, yang mana orang Islam menjadi pemimpin[19]. Orang Islam wajib menanam niyat dan keazaman seperti mereka menanam niyat untuk berjihad[20], untuk memimpin dunia, walaupun pada mata kasar sekarang ini, perkara ini nampak sukar  terjadi, tetapi tidak mustahil![21]. Sikap dan pendirian negatif, sakastik  dan bacul seperti kelompok Sekularis-Liberalis, adalah kerana mereka digomol erat oleh Yahudi-Kristian, yang menyebabkan mereka terkena penyakit rasa hina diri yang kronik terhadap kekuasaan dan peradaban ( baca: kebiadaban ) Kuffar itu, sementelah pula kerana keimanan kepada diinu ’l-Islam terhakis bahkan sesetengahnya sudah hilang sama sekali[22]. Islam memerlukan rijal-rijal dalam semua bidang kepemimpinan, untuk memimpin Umat menentang pencerobohan berterusan Yahudi dan Kuffar ke dalam diri, kumpulan dan watan Islam, melalui penjajahan pemikiran dan imperialisme  ekonomi, ketenteraan, diplomasi dan politik. Mereka tidak akan berhenti menjajah sehingga setiap individu, kumpulan dan watan Islam di kuasai mereka.

Sejarah memberitau,ketika Ummat Islam diserang fahaman Mu‘tazilah, Syi‘ah, Mujassimah  dan aliran-aliran  yang bercanggah dengan ‘Aqidah Islam, bangunlah  rijal Ummat seperti Sayyiduna al-Imam al-Syafi ‘i, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Imam Muhasibi, Abu al-Hasan al-Asy‘ariyy, al-Baqillaniy, Ibn Furak, dan kemudiannya  al-Sanusi,dsb, menentang mereka hingga tidak angkat muka.  Ketika serangan falsafah sesat menyerang Ummat, bangun pula rijal seperti al-Ghazzaliy, Fakhruddin al-Razi dll menentang. Ketika Ummah diserang tentera Salib dari Eropah, bangun Solahu ’d-Din menghalau tentera Salib itu dan mengembalikan Palestin kepada berhak. Ketika imperialis Kristian Eropah menjajah watan Islam di Afrika, bangun rijal Ummah seperti al-Sanusi, Sehu ‘Uthman dan Fodio, Sidi ‘Umar al-Mukhtar, al-Mahdi, ‘Abdul Qadir al-Jazairiy, Sidi Abu Hasan al-Syaziliy dll, membimbing Ummat menentang Kuffar tersebut - mereka ini semua, tokoh besar Sufi. Di Nusantara,Ummat Islam Ternate-Maluku dan beberapa daerah lain, memberi tentangan hebat kepada Kuffar Eropah melalui Perang Sabil; di Pattani Daru ’s-Salam, rijal seperti Syaikh ‘Abdul Somad Palimbang,Haji Sulong  dll, memberi tentangan keras kepada  penjajah Buddha sehingga syahid; dan di Tanah Melayu, Haji ‘Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Tok Janggut, sekadar menyebut beberapa nama, bangun menentang penguasaan dan campur tangan Inggeris dengan sengit. Mereka tidak menjadi peribadi seperti Mirza Ghulam Ahmad Qadyani atau Kamal Attatuk atau kelompok Sekular-Liberal  Utan Kayu-IKD dan yang sepertinya di Malaysia.

Ringkasnya, usaha membina  rijal-rijal , seperti kata Sa‘id Hawwa rh, mesti bertolak dari permulaan yang betul dan berada di atas siraat al-mustaqiim, diiringi dengan tarbiyyah ruhaniyyah, menjadi mantap dan kukuh, moga-moga nantinya, tidak akan terlencung dari niat asal dan tidak akan gugur dari jalan dakwah dan bahkan tidak akan menjadi musuh dakwah pula[23] dan menyebarkan Islam tanpa bersifat munafiq[24] dan mempertahankan Agamanya dengan apa sahaja kos dan risiko.

Sayyidina ‘Umar al-Khattab r‘a, menyuruh memiliki ‘ilmu-‘ilmu Islam sebelum menjadi pemimpin!.

5.PEMBINAAN RIJAL ‘ILMU

Perjalanan sejarah dakwah Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam menerangkan, sejak detik pertama dakwah Baginda di Makkah, Baginda  membina rijaalu ’l-‘ilmi melalui pembinaan ‘ilmu Fardhu ‘Ayn[25]  dikalangan Sahabatnya, yang kemudian  berperanan sebagai rijaalu’d-diin wa ’d-dakwah.Ketandusan rijaalu ’l-‘ilmi dalam komuniti dakwah Islam dewasa ini, amat ketara. Ia boleh memberi impak negatif malah destruktif kepada usaha dakwah kerana mereka tidak akan dapat membentuk masyarakat Islam sejati kerana  tidak ada apa-apa yang positif dan konstruktif, yang boleh ditawarkan kepada masyarakat Islam untuk tujuan pengislahan. Apa yang lebih malang lagi, jika kepimpinan ‘ilmu jatuh ke tangan kelompok rijaalu ’s-syayatiin atau kelompok yang berfahaman Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme Agama atau singkatnya Sepilis.

Dalam MANIFESTO dakwah, seperti yang dilakukan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam, dilihat dari segi awlawiyatnya, dalam bingkai  ‘ilmu,  paling awal mesti dipelajari ialah ‘ilmu Fardhu ‘Ayn[26]  bersekali dengan kepelbagaian ‘ilmu Fardhu Kifayah yang bermanfaat , mengikut keperluan, secara tekun, berdisiplin dan sistematik seperti pendahulu kita itu[27]. ‘Ilmu-‘ilmu ini tidak dibiar mentah dan kering di otak dan dibuai khayalan tetapi diproses menjadi benar-benar difahami dalam epistemologinya secara ontologi  dan aksiologi dan sebati serta mantap dalam diri pada paras  tahqiq, berserta dengan perlaksanaan ‘amalan secara bertahap tetapi intensif.      

Kita berpanjang kalam sedikit mengenai bab ‘ilmu ini, kerana ‘ilmu  penyuluh dan punca segala kebaikan dan kesahihan diin[28]. ‘Ilmu teras yang diperlukan, antara lain ialah: ‘Ilmu Usul al-Thalathah; al-Kitab dan ‘Ulum al-Qur’an; as-Sunnah dan ‘Ulum al-Hadith; ‘Ilmu Fiqh; Usul al-Fiqh; ‘Ilmu ‘Aqaid dan Usul ‘Aqidah; Akhlaq dan ‘Ilmu Pembersihan Hati; ‘Ilmu Sirah, Sejarah dan Tamaddun; ‘Ilmu yang membincangkan hal-hal konspirasi terhadap Agama Islam dan Ummat Islam; Kajian Islam kontemporari dan aliran Pemikiran modern dan pasca modernisme seperti Liberalisme, Pluralisme dsb; dan  juga ‘Ilmu Dakwah. Ada pun ‘Ilmu Bahasa ‘Arab dengan segala cabangnya yang seni-seni hanya perlu kepada sebahagian orang sahaja.

Keperluan mengaji ‘Ilmu Usul al-Thalathah iaitu ‘Ilmu tentang Allah, tentang Rasul dan tentang Islam dan Iman,  wajar hingga ke peringkat dzaaqa tho‘mu ’l-iimaan, merasa manisnya iman[29]. ‘Ilmu-‘ilmu ini perlu diintegralkan menjadi padu untuk melahirkan individu  kuat,tegar dan tahan, selain untuk menghadapi provokasi dan konfrontasi non Muslim yang keras dan berterusan, melalui kefasihan berhujjah.

Ada pun  berkaitan dengan al-Qur’an,  pendakwah wajib menekuni  al-Qur’an dan mendapatkan sebanyak-banyak ‘ilmu darinya untuk menyelamatkan diri dari kubang dosa, kesesatan, syirik dan kemunafikan dan juga sebagai hujjah dalam mendepani segala macam persoalan yang wujud. Pendakwah wajar mempelajari  ‘ilmu tilawah yang merangkumi ‘ilmu tajwid dan adab membaca dengan betul.Kepada yang berminat,  boleh mempelajari ‘ilmu qira-at yang menarik itu.Yang termasuk dalamnya juga ialah ‘ilmu nasikh-mansukh, asbab al-Nuzul dan amkinah Nuzul, ‘ilmu ghara-ib al-Qur’an, Rusum ‘Uthmani,‘Ilmu Tafsir dan Ta’wil, mengikut kaedah ‘ilmu ASWJ.Mengingatkan kepada fahaman Liberalisme-Pluralisme Agama mula memasuki wilayah dakwah dengan membawa tafsiran diabolik dalam menghuraikan ayat-ayat al-Qur’an, adalah amat wajib dhoruriyy kepada para pendakwah ilallah, mempelajari ‘ilmu Tafsir dan Ta’wil secara serious, sistematik dan berdisiplin dari teks-teks yang muktabar yang diperakui secara Ijma‘ akan kebenaran dan kesohihannya.

Pasangan kepada  ‘Ulum al- Qur’an  ialah ‘Ilmu mengenai al-Sunnah. Ia penting  kerana tidak dapat memahami al-Qur’an melainkan dengan memahami al-Sunnah, dalam  segala dimensi, yang merangkumi dan menyangkut bahagian-bahagian kehidupan dengan segala peraturan hukum dan akhlaq, pada paras yang pelbagai.

Pendakwah juga wajib menekuni  ‘ilmu Fiqh dan rubu‘-rubu‘nya  yang pelbagai , terutama berkaitan ‘ibadah fardi. Dalam kaitan dengan Fiqh, wajar juga difahami perkara-perkara  yang sudah di Ijma‘ oleh ‘Ulama’ – kerana salah satu dari sumber hukum Islam ialah Ijma‘ ‘Ulama’. Juga  pendakwah perlu memahami perkara-perkara yang sudah  disepakati oleh ahli ‘ilmu yang pakar  lagi amanah dalam isu-isu semasa dalam segala bidang. Selain dari itu perlu juga dipelajari ‘Ilmu Usul al-Fiqh dan Qawa’id al-Fiqh dan perkara berkaitan Siyasah al-Syar‘iyyah.

Aspek penting dari ‘ilmu, ialah cara faham dan ketinggian fahaman kepadanya. Ini perlu kepada kualiti ketajaman ‘aqal dalam konteks dan bingkainya yang sebenar. ‘Aqal  perlu diasah dan diasuh, supaya benar-benar sensatif dan responsif kepada kebenaran ‘ilmu dan terikat kepadanya, yang pada paras minimanya, ialah mengenali dan membezakan yang toyyib dari yang khabith, yang haram dan yang halal, yang sah dan yang batal, dalam semua bidang epistemologinya.

Selain dari itu, harus berani dan mampu mengenengahkan doktrin Islam sejati sebagai rahmatan li ’l ‘aalamiin ditengah-tengah arus globalisasi dan hegemoni Barat-Timur serta arus deras fahaman fasad Sekularisme-Liberalisme. Ini bukan sesuatu yang bersifat apologetik atau respons kepada penguasaan sistem kontra Syari‘ah seperti yang dituduh oleh golongan Sekular-Liberal,  tetapi sebagai melaksanakan ‘ubudiyyah, amanah dan menunaikan janji serta fungsi khalifah Allah seperti  terkandung dalam Syahadah dan ikrar dalam solat.

Suatu kesilapan  sering berlaku dalam kumpulan dakwah ialah menyerah bulat-bulat huraian ‘ilmu Islam kepada elit berkuasa dalam kumpulan mereka, walau pun sesetengah mereka tidak memiliki apa-apa kualiti ‘ilmu Islam pun, walau yang paling basik.Fahaman Islam, dibiarkan dihurai dan dikuasai sepenuhnya oleh elit  berkuasa yang tumpul ‘aqal dan rendah kefahaman , sehingga mematikan potensi berfikir dari kalangan  bukan elit berkuasa, bahkan mematikan ‘ilmu yang ada dikalangan orang yang ada pengetahuan ‘ilmu Islam juga. ‘Ilmu mereka mati, kerana tidak berpeluang diketengahkan sebab terhalang oleh perasaan rendah diri  bersangatan terhadap elit  berkuasa itu. Sesetengah dari kalangan orang yang ada ‘ilmu Islam itu pula, tidak mempunyai kemampuan berhujjah dengan golongan yang dianggap professional, mungkin kerana tidak  persediaan psikologi atau pun kemahiran berbincang atau pun terlalu hina diri atau pun kesemuanya sekali.Ini menatijahkan keputusan malang dalam usaha dakwah.

Elok disebut,dalam perubahan paradigma dikalangan sesetengah kumpulan Islam,  keghairahan membahagikan kelompok dengan jenama ‘Ulama’ dan professional, adalah tidak relevan dan mempunyai kesan negatif. Pembahagian ini dibuat, kerana orang  berjenama ‘Ulama’ dilihat sebahagian orang, gagal menonjolkan kepimpinan berkualiti dan berkesan dalam semua aspek  kepemimpinan, terutama dalam era globalisasi dan arus pemikiran pasca modern serta himpitan fahaman HAM dan demokrasi. ‘Ulama’ pula berpendirian, mereka sahaja memiliki kepandaian serba boleh termasuk seni memimpin dan mempunyai otoriti  mengenai Islam, sebagai pembimbing Ummah. Dalam cara pandang yang mencetuskan perbezaan sikap seperti ini, perlu ada kesejajaran serta rekonsiliasi dan tidak wajar ada dikatomi kekuasaan dan status. Apa yang elok dilakukan ialah membina rijal yang mempunyai dua kualiti tersebut dalam satu peribadi atau paling tidak menyuburkan sikap saling lengkap melengkapi bukan saling tolak menolak.Hal ini pernah terjadi dalam sejarah peradaban Islam, yang mana kualiti ‘ilmu Usul dan kualiti ‘ilmu furu‘ , berada pada dua peribadi berbeza tetapi saling lengkap melengkapi seperti yang terdapat di dalam teori politik Islam. Pemerintah-pemimpin yang kurang mahir di dalam sesuatu subjek ‘ilmu-‘ilmu Islam, dengan rendah hati, merujuk dan mendapat nasihat  dari ahli ‘ilmu yang mahir dalam bidang-bidang yang diperlukan.

Dalam rangka kefahaman ‘ilmu dan epistemologi, perkara paling pokok bagi setiap individu ialah kefahaman mengenai konsep  Tawhid dan Usuluddin. Hal ini sangat perlu ditekan kerana ternyata dalam era Global Theology,Globalisasi dan arus deras  Liberalisme sekarang, ramai orang Islam, tidak terkecuali sesetengah aktivis dakwah, mengabaikan doktrin dan konsep Tawhid dan Usuluddin Islam seperti yang  di Ijma‘. Mereka beranggapan ‘ilmu dan fahaman ‘Aqidah mereka sudah memadai dan selesai, pada hal mereka tidak sedar, ‘Aqidah mereka  sudah tercemar oleh ‘aqidah Syi‘ah atau Pluralisme Agama atau ‘aqidah  global theology dan ‘aqidah sesat yang lain.Maka disinilah peranan paling penting dan mendasar  ‘ilmu Tawhid dan Usuluddin Islam sebagai neraca, seperti yang dihuraikan oleh Usuliyyin-teolog Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, dalam spektrum pengertiannya yang sebenar dengan segala implikasinya, bukan sekadar mengakui keEsaan Allah SwT semata-mata seperti golongan Liberalisme-Pluralisme Agama itu.

Semua  pendakwah bersetuju, Tawhid-‘Aqidah-Usuluddin,  adalah asas kepada mesej dakwah,tetapi oleh kerana kepelbagiaan latar belakang, orientasi serta pengaruh dan persekitaran yang fasad, kefahaman berkenaan Tawhid-‘Aqidah- Usuluddin turut  diwarnai oleh fahaman dan tafsiran fasad tersebut. Ini ternyata apabila mereka membenarkan ajaran Syi‘ah Khumayni  dan tidak menganggapnya bercanggah dengan ‘Aqidah Islam.Begitu juga, sesetengahnya mengatakan, ajaran Muhammad ‘Abdul Wahhab selari dengan ajaran ‘Aqidah Islam pada hal mereka menganut fahaman Tajsim. Akhir-akhir ini pula terdapat fahaman Liberalisme-Pluralisme yang didakwa mereka, pun tidak bercanggah dengan ‘Aqidah Islam.

Elok  diperturunkan secara ringkas, inti beberapa ajaran yang bercanggah dengan ‘Aqidah Islam, dalam catatan ini, untuk manfa‘at bersama. Antara lain, ‘aqidah Khumayni, menolak al-Qur’an yang ada di tangan Muslimin dewasa ini sebagai paling otentik, kerana baginya, al-Qur’an yang paling otentik ialah Mushaf Fatimah[30]. Ia juga mengkafirkan Sayyidina ‘Umar r‘a[31] dan mengatakan Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar r‘ah  jahil dan mereka-reka Hadith[32]. Ini amat bercanggah sama sekali dengan ajaran ‘Aqidah Islam kerana semua Sahabat  adalah thiqah dan ‘adil[33]. Dia juga menunggu kemunculan Muhammad bin Hasan ‘Askari, sebagai Imam al-Mahdi, yang dikatakan ghayb di dalam doktrin ‘aqidah Syi‘ah Imamiyyah[34] dan banyak lagi.[35] Demikian juga dengan ajaran Muhammad  bin ‘Abdul Wahhab al-Najdi yang menghukum Adam ‘a.s kafir dalam keta‘atan dan sesetengah Sahabat Nabi s‘aw dan Kerajaan ‘Uthmaniyyah Turki[36] pada hal pegangan sedemikian adalah salah. Demikian juga dengan ajaran Liberalisme-Pluralisme Agama dan ajaran keruhaniyan sesat[37]

Dari kenyataan ini, para pendakwah  Islam, perlu meneliti ulang secara cermat mengenai  sesuatu ajaran yang berkaitan dengan ‘Aqidah-Usuluddin atau Agama. Perihal ‘Aqidah-Usuluddin, sejak zaman klasik lagi, menjadi isu penting, sehingga ‘Ulama’ ‘Aqidah-Usuluddin secara serious dan tekun, menulis ribuan kitab, untuk menerangkan ajaran ‘Aqidah-Usuluddin sebenar lagi sohih dan menolak ‘aqidah yang sesat dan bercanggah dengan Islam seperti ‘aqidah Murji’ah, Mu‘tazilah, Qadariyyah, Syi‘ah, Khawarij, Karramiyyah dsb dengan penditilan yang luar biasa, bertujuan untuk menyelamatkan ‘Aqidah Ummat Islam dari kesesatan.

Bagi pendakwah Islam, perlu sangat-sangat memahami secara benar lagi sohih ajaran Tawhid-‘Aqidah-Usuluddin Islam seperti yang telah di Ijma‘ dan dihuraikan dalam skima ajaran ‘Aqidah-Usuluddin Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah kerana ajaran ‘Aqidah Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah baik dari aliran Tafwid mahu pun Takwil sahaja yang diterima Allah. Ringkasnya, Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah berbeza dengan mereka itu semua, baik dalam Usul mahu pun Furu‘[38].

Pengaruh globalisasi dan pasaran bebas ‘Aqidah dan Syari‘ah dan fahaman liberalisme-rasionalisme agama, benar-benar mengesankan. Di Malaysia, nada memperjuangkan Islam untuk merealisasikannya sebagai cara hidup yang kaffah, syumul dan sebagai nizoom al-hayaah, al-diin wa al-dawlah yang  sempurna, telah hilang kegairahannya.Ini disebabkan kualiti iltizam semakin merosot dan sesetengahnya hilang sama sekali dan beralih kepada memperjuangkan tertegaknya sistem demokrasi kaffah kerana pengaruh global theology. Mereka berhujah, dalam suasana landskap politik Malaysia, dengan beralasan kepada Siyasah Syar‘iyyah fahaman mereka, nizom Islam tidak wajar berlaku kerana mereka  pengikut setia kelompok politik Sekular-Liberal Indonesia yang berfahaman tidak ada negara Islam, bahkan Negara Madinah zaman Nabi pun bukan negara Islam tetapi negara sekular, maka Indonesia tidak wajar melaksanakan hukum Islam[39].  Sebab itu, Liberalis-Pluralis Malaysia , bersungguh-sungguh menerbitkan semula buku ‘Aliy ‘Abdul Razik yang ditolak oleh seluruh ahli ‘ilmu dan aktivis Islam ke dalam Bahasa Melayu[40] dan buku-buku lain yang memberi promosi serious kepada ‘aqidah dan falsafah serta sistem  liberal.

Pendirian sebegini disebabkan oleh pelbagai faktor yang antaranya kerana asas perjuangan semata-mata dorongan semangat  kebencian kepada lawan politik yang didakwa tidak Islamik; dan kedua, kerana keghairahan berpolitik mengatasi segala-galanya, sehingga menyampingkan kepentingan menuntut dan menambah ‘ilmu-‘ilmu Islam.
Berkata Imam as-Syafi‘i rahimahu’llah kepada murid kanannya,Rabi‘: Wahai Rabi‘!, redha manusia adalah matlamat yang tidak mampu dicapai,maka ke atas anda  apa yang memberi maslahah kepada anda, lazimilah ia, kerana sesungguhnya, tiada jalan untuk mendapatkan redha mereka. Ketahuilah, sesungguhnya, barangsiapa mempelajari al-Quran, ia amat mulia di mata manusia; barangsiapa mempelajari Hadith, kuat hujjahnya; barangsiapa mempelajari bahasa- nahu, hebat ; barangsiapa mempelajari bahasa ‘Arab, halus pekertinya; barangsiapa mempelajari hisab, banyak pendapatnya; barangsiapa mempelajari Feqah, mulia kedudukannya; barangsiapa tidak menjaga dirinya, ‘ilmunya tidak memberi manfaat kepadanya. Asas terpenting bagi keseluruhan yang demikian itu adalah bertaqwa kepada Allah. 
Kefahaman ‘ilmu yang mendalam akan dapat membantu membina kehidupan dan persekitaran soleh berpandukan al-Sunnah dan perjalanan para Solihin. Budaya maksiyat, lagho dan hedonisme, dibuang, seperti tarian dan nyanyian, apa lagi yang melibatkan wanita.Kerehatan, keseronokan, ketenangan dan hiburan, didendangkan oleh aktiviti membaca al-Qur’an, majlis zikir, na‘at, bersolawat dan Qasidah-Mawlid Nabiyy dsb.Ini MANIFESTO Solihin dalam dakwah mereka.

Memang diakui tidak semua orang mempunyai kesempatan untuk mempelajari ‘ilmu-‘ilmu yang banyak itu tetapi jama‘ah perlu menggarisbawahkan keperluan minima dalam setiap subjek teras. 

Sebagai penutup bab ini, perlu perhatikan Hadith ini: …..di pagi hari sebagai seorang Mukmin ( tetapi ) di petang hari menjadi kafir, kecuali orang yang dihidupkan oleh Allah dengan ‘ilmu[41].Demikian peranan dan kepentingan ‘ilmu.

6.PEMBINAAN ‘AQAL

MANIFESTO seterusnya ialah membina ‘aqal pendakwah supaya ia benar-benar memiliki ‘Aqal ‘Ubudiyyah Integrasi[42] dan ‘aqal mazid-strategik, yang terpancar dari Cahaya Pencerahan Ilahiyyah[43] bukan pencerahan diabolik Kuffar baik aliran Kant, Schuon atau seumpamanya. ‘Aqal ‘Ubudiyyah dan ‘aqal mazid ini, diasah dan diasuh supaya benar-benar menjadi tajam dan mahir berfikir untuk memahami ‘ilmu, persekitaran dan semua fenomena  ‘alam  dan dapat membezakan yang baik dari yang buruk, yang terbaik dari yang baik, dalam spektrum ‘ilmu dan epistemologinya dan akan  bertindak secara aktif dan betul, sebagai pemikir dan perancang dakwah yang berkesan. Pemikir dan perancang  gagasan ini, mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok. Mereka berperanan menggaris pelan kerja dan pelan bertindak yang rapi, agar Risalah dan matlamat untuk merealisasikan ramatan li ’l-‘aalamiin ternyata secara utuh dan sempurna. Ummat tidak boleh membiarkan pemikir diabolik Liberalis, menentukan cara dan halatuju serta agenda dakwah Ummat, kerana da‘i ilallah yang sebenar sahaja,  paling layak dan berhak menentukan itu semua. Mereka juga perlu diasuh supaya mempunyai kemahiran dan kemampuan berjidal  menghadapi pemikir-pemikir diabolik dan sesat, dengan hujjah, dalil, burhan dan mantiq Islami seperti Mutakallimin Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah berdepan dengan Mutakallimin sesat di zaman dahulu.

7.PEMBINAAN HATI

Seperti yang disebut oleh tokoh besar dakwah abad ini, Syaikh Sa‘id Hawwa rh, melalui penelitian yang tajam setelah sekitar empat puluh tahun aktif dalam gerakan dakwah Islam,menyimpulkan, bahawa kekurangan besar pendakwah ialah perihal Ruhaniyyah atau dalam erti yang lebih khusus, Siddiqiyyah dan Rabbaniyyah[44].  Oleh sebab itu beliau menulis banyak buku mengenai Ruhaniyyah.Di Malaysia, tokoh dakwah istiqomah lagi gigih, intelektual dan pemikir Islam ASWJ, Ustaz ‘Uthman El-Muhammady[45] telah menulis perkara berkaitan, sejak tahun 60an lagi dalam Bahasa Melayu.Penyakit  Ruhaniyyah ini hanya dapat  diubati dan dihilangkan melalui riyadah qalbiyyah yang intensif dan istiqomah dengan kaedah yang benar.

Dalam konteks dakwah era globalisasi dan hegemoni Kuffar seperti sekarang, satu sifat Ruhaniyy yang tinggi ialah sifat al-syaja‘ah. Ia kurang diberi perhatian sekarang. Justeru wajar sangat-sangat ditekankan semula. Sifat inilah yang menggerakkan pejalan kaki ayam, kurus kering tiada cukup makan radiyallahu ‘anhum  mendaulatkan diinu ’l-Islam di tengah-tengah dua Emperium besar, Barat dan Timur, pemilik senjata yang banyak dan badan segar bugar kerana kekenyangan makan.  

Sifat al-Syaja‘ah ini perlu difahami dengan baik dalam pengertiannya yang sebenar dari perspektif yang betul. Ia bermaksud  sifat  yang diantara sifat berani kerana benar dan yakin, dengan sifat berani membabi buta dan mengikut hawa nafsu jahat. Pada paras paling minima ialah berani mengenengahkan diinu ’l-lslam yang syumul dan murni, ditengah-tengah arus deras fahaman tegar Liberalisme –Pluralisme Agama  dihadapan audiens bukan Islam, baik melalui wacana verbal  atau tulisan. Lawan kepada sifat al-Syaja‘ah ini ialah sifat jubun atau pengecut. Penyakit jubun ini, seperti yang telah ditegas oleh Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam, akan menimpa Ummat Islam - dan sedang  berlaku sekarang - bersama penyakit  karaahatu ’l-mawt, takut mati, dalam menegakkan diinu ’ l-Islam.

Kedua-dua sifat-penyakit ini, berpunca dari kegelapan Ruhaniyy yang ada pada hati. Maka pengubatan kepada penyakit ini perlu menjadi MANIFESTO utama dakwah Islamiyyah.

8.MEMZOHIRKAN KEHIDUPAN BERAGAMA

Kumpulan Islam kontemporari, perlu menyatakan dengan tegas dalam MANIFESTO dakwah, bahawa mengembalikan kehidupan zohir yang sempurna atau dalam terminologi yang biasa dipakai ialah lasaanu ’l-haal pada diri dan juga kumpulan dalam semua aspek aktiviti, adalah agenda urgen. Pengrealisasian Syahadah dan iqrar iftitah solat, wajar dikonkritkan dalam praktis hidup harian, dari mula tidur hingga mula tidur kembali, bukan hanyut dalam rethorik dan sikap sekadar menceritakan prihal Islam dan kemudian menyerang balas para konspirator tersebut sehingga mengabaikan sebahagian kewajipan kehidupan menurut al-Sunnah. Justeru terkeluarlah ungkapan: tidak dapat dibezakan kehidupan dan sifat zohir seorang Muslim ( baca: aktivis dakwah ) itu, dari seorang penganut agama Sikh atau Majusi, di luar solat, sawm-puasa dan hajjnya. Dalam MANIFESTO tersebut, perlu ditekankan sangat-sangat , mekanisme dan cara mengurus kehidupan mengikut al-Sunnah. Diasuh adab Nabawiyy secara tertib dan diberi tarbiyah ruhaniyy dengan mantap, supaya mereka benar-benar memiliki rasa dan sifat malu yang mendalam dalam semua dimensi kehidupan. Mereka juga perlu disedarkan oleh rasa malu bersangatan kepada Allah, oleh kerana meninggalkan kehidupan menurut  al-Sunnah yang di Ijma‘kan dan memilih mengikut kehidupan cara Kuffar, dalam cara berakhlaq, cara dan gaya hidup, cara berpolitik, cara bermesyuarat, cara berfikir, cara bertindak, cara bergaul, cara bersahabat, cara berorganisasi hatta cara berhibur dsb.

Budaya ma‘ruf dihidupkan dan budaya mungkar dihindari.

9.MENYEBARKAN KONSEP RAHMATAN LI ’L ‘AALAMIIN

Penyebaran wawasan dan konsep rahmatan li ’l ‘aalamiin dalam epistemologi ASWJ dewasa ini terasa malap, kerana ramai pendakwah tercemar oleh falsasah demokrasi, global theology  dan global ethics, baik secara sedar atau tidak. Wawasan dan konsep ini, perlu segera dihidupkan semula dan wajar menjadi salah satu dari MANIFESTO penting  abad ini. Abad ini sedang menyaksikan serangan hebat kepada ajaran Islam oleh falsafah demokrasi dan global ethics, yang bukan sahaja dari golongan Kuffar, tetapi juga oleh kelompok yang mendakwa berdakwah untuk Islam – dan sesetengahnya mendakwa sebagai juru bicara Islam - dari kalangan Liberalis-Pluralis.Gerakan ini perlu dihalang  segera dengan keras, melalui hujjah ‘ilmiyyah:  liyahlika man halaka ‘ambayyinatinn wa yahyaa man hayya ‘ambayyinatinn[46] dan menyerlahkan semula superioriti rahmatan li ’l-‘aalamiin ini, dari segala perspektif – konsep, teori dan praktis - yang menyangkut  politik, ekonomi, sosial, kebajikan dan pendidikan dsb. Ini bukan sekadar respons kepada ajaran palsu tersebut seperti yang dituduh oleh kelompok Liberalis, tetapi  ia merupakan doktrin dan konsep paling benar, dan lagi pula, amat menepati kehendak fitrah semua manusia yakni menginginkan kesejahteraan dan keselamatan kehidupan fizikal, ekonomi dan diri-jiwa dan juga sifat-sifat yang non fizikal, seperti emosi dan psikologi; dan boleh mencerahkan dunia ini dari kegelapan doktrin dan konsep demokrasi dan global ethics itu.

Kelompok Liberal, oleh kerana masih mahu digolong ke dalam kelompok memperjuangkan Islam, terpaksa mencari beberapa nilai dalam Islam yang ada persamaan dengan nilai yang sedang diperjuangkan oleh Kuffar tersebut seperti keadilan dan persamaan, lalu dipadankan kepada dan dengan nilai yang sedang diperjuangkan oleh Kuffar tersebut. Mereka naïf, bahawa  nilai yang sedang diperjuangkan oleh Kuffar itu; pertamanya, bukan nilai Islam sebenar dalam epistemologinya, dan kedua, adalah semata-mata umpan pemurtadan kepada penganut Islam yang naïf , kerana dalam realitinya, mereka, si Kuffar tersebut, tidak pernah langsung berlaku ‘adil kepada Ummat Islam, hatta kepada warganegara mereka  yang Islam pun; ketiganya, mereka mahu mengujudkan huru hara di negeri-negeri Ummat Islam.Dalam epistemologi Kuffar, keadilan  bermakna menindas Ummat Islam dan persaman bermakna superioriti Barat dan demokrasi bermakna mengikut kemahuan Yahudi.  

Penonjolan beberapa nilai dari ajaran Islam yang dinamakan universal oleh kelompok Liberal itu,memberi implikasi ‘aqidah, kerana, seolah-olah dalam ajaran Islam, itulah sahaja ajaran yang bersifat universal dan yang lain tidak. Pada hakikatnya, mereka menafikan nilai-nilai lain yang terdapat dalam ajaran Islam itu, sebagai tidak universal. Seorang Muslim yang beriman kepada al-Qur’an dan al-Sunnah menyakini: semua ajaran dan nilai yang ada dalam ajaran Islam bersifat Universal. Kita tidak beremosi dalam hal ini dan kita dapat mempertahankan keyakinan ini dengan hujjah al-Qur’an, sejarah dan logik ‘aqal.

Termasuk dalam nilai universal secara ontology ialah ‘Aqidah Islam. Oleh kerana inilah, Allah memerintah Nabiy sollallahu ‘alayhi wa sallam mengajak Yahudi dan Nasrani supaya beriman dengan Zat Yang Paling Universal, melintasi ruang, tempat dan waktu dan Zat Yang Maha Meliputi Segala Sesuatu, berbanding dengan zat tuhan yang dalam konsepsi Yahudi dan Nasrani, terbatas kepada jisim duniawi dan ruang,  masa dan tempat, dimana ‘anak-anak tuhan’ berada ( kerana mereka mendakwa Nabiyy ‘Uzaiyr dan Nabiyy ‘Isa anak tuhan. Maha Suci Allah dari dakwaan mereka !. ). Epistemologi ini yang tidak berani diketengahkan oleh kelompok Liberal itu, kerana mereka terikat kepada konsep ketuhanan Yahudi-Nasrani yang beranak pinak itu. Satu lagi hujjah kita ialah Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam diutus sebagai sayyidu ’l-kawnayni wa ’th-thaqolayn , kepada semesta ‘alam, yang merangkumi manusia dan jin, tidak terbatas kepada sesuatu bangsa dan wilayah seperti Nabiyy-Nabiyy Bani Israil ‘alayhimu ’s-solaatu wa ’s-salaam  atau kelompok manusia di Lembah Indus atau Furat sahaja. Ini bermakna semua yang dibawa Baginda itu adalah bersifat paling universal.  

Dari segi sejarah dan dalam perspektif sosiologi dan politik, ternyata Islam melewati batas ras, geografi dan budaya dan tidak memisahkan orang ‘Arab dari orang ‘ajam, yang ternyata sejak dari sejarah awal dakwahnya, diwakili oleh Sayyidina Bilal al-Habasyi, Salman al-Farisiy dan Suhayb al- Rumiy dll.Dari segi pelaksanaan hukum pula, orang bukan Islam selesa, dibawah naungan hukum Ilahiyy seperti ternyata dalam buku-buku sejarah tulisan orang bukan Islam sendiri, bila mana mereka menerima hukum jizyah yang menggantikan hukum cukai Byzantium dan hukum Qisra. Jizyah tidak dikenakan kepada rahib sepenuh masa di Gereja dan Sinagog. Bandingkan dengan cukai pendapatan sekarang !.

Dari segi logik pula, tanpa berpanjang kalam, agama Islam diterima sebagai agama fitrah dan semua manusia mempunyai fitrah. Jadi, semua nilai yang ada dalam agama Islam adalah nilai bersifat fitrah, justeru, ia bersifat universal. Oleh kerana manusia juga bersifat fitrah, maka tidak  berhalangan untuk menerima semua ajaran yang ada dalam Islam kerana sesuai dengan fitrah yang ada dalam diri masing-masing. Ini amat mudah bagi keplompok Liberal untuk berdakwah kepada yang bukan Islam itu, jika mereka mahu.Tetapi, kelompok Liberalis terlalu naïf, amat tebal prajudis kepada Islam dan paling ketara kerana takut serta rasa hina yang bersangatan kepada Kuffar tersebut sehingga tidak berani mengenengahkan konsep ini.   
 

Perbincangan mengenai corak dan kemampuan politik Islam memimpin dunia, timbul semula secara serious oleh kelompok Liberalisme Agama. Mereka lebih risau dari kelompok Kuffar sendiri. Premis mereka ialah menolak Islam Kaffah dan menerima falsafah sapere aude ajaran Kant dsb yang menolak agama sebagai pembimbing dunia.Bagi seorang Muslim murni, mereka yakin Islam Kaffah dan mereka berpegang kepada ‘Aqidah: ma ana ‘alayhi wa ashabi dan perjalanan hidup: syuhadaa’  wa ’s-soolihiin.
 
Barang diingat, dunia akan terus berada dalam kegelapan dan menerima petaka seperti sekarang, jika konsep dan doktrin demokrasi dan global ethics dibiarkan mendominasi dunia dengan menyingkirkan diinu ’ l-Islam.

10.MENONJOLKAN ISLAM

Penyakit besar yang menimpa kumpulan Islam ialah menonjol dan mempromosi pemimpin dan kumpulan melebihi dari menonjolkan Islam dan ketinggiannya. Dari segi psikologi, orang yang rendah dan kerdil dan tidak ada apa yang hendak ditawarkan, akan bercakap mengenai dirinya atau kumpulannya; ada pun orang besar dan memiliki himmah yang tinggi, akan bercakap mengenai ‘ilmu dan dasar serta falsafah perjuangan dan dalam konteks ini, ketinggian dan kesempurnaan  Islam. Mereka akan menonjolkan Islam, kerana inilah MANIFESTO dakwah, melebihi kumpulan dan pemimpin, kerana yang hendak diperjuangkan itu ialah ketinggian Agama dan ajaran Islam, bukan kumpulan dan pemimpin dan lagi pun, qudwah paling unggul ialah para Solihin. Kadang-kadang, sanjungan dan pujian kepada pemimpin itu, sampai ke peringkat berlebihan, malah tidak kurang pula jatuh pada martabat berbohong seperti mengatakan yang pemimpin mereka adalah wali Allah atau mujaddid atau tokoh pencerahan atau murabbi ummah atau guru bangsa atau amat ‘alim atau wara ‘ dsb. Jenis pengikut bodoh, dungu dan taksub negatif seperti ini, perlu dihindar dengan memberi ‘ilmu, tarbiyyah dan kesedaran serta kemahiran berfikir kepada mereka. Sikap menonjol kumpulan dan mendewa pemimpin seperti kata ahli hikmah Islam adalah memiliki penyakit hati dan ghurur.

Satu peringatan penting kepada pendakwah, bahawa dalam keghairahan menonjolkan Islam, perlu hindari Islam yang diracuni fahaman modernisme dan pasca modernisme seperti Egalitarianisme, Hedonisme, Islam sapare aude atau Free Thinking, Liberalisme-Pluralisme, Islam Radikal, Islam fahaman peribadi pemimpin dan Islam ajaran keruhaniyan sesat dsb.

11.MARDHOTILLAH

Pendakwah dari awal-awal lagi perlu jelas tujuan dan matlamat dari usaha dakwah mereka yakni pasang niyat untuk mendapat  mardhotillah[47]  mengatasi  segala-galanya. MANIFESTO mardhotillah, sudah tidak dipedulikan lagi, kerana terhijab oleh hijab kejahilan dalam memahami tujuan dakwah sebenar dan terhijab oleh hawa nafsu kerana berdakwah dengan tujuan yang bercampur aduk bersama  kehendak duniawi  dan terhijab oleh ‘ujub kerana pencapaian diri dan kumpulan. Faktor-faktor inilah yang menghalang seseorang pendakwah dari memahami dan menyedari kepentingan dan ketinggian martabat mardhotillah.

Bergandingan dengan mardhotillah  ialah penekanan kepada epistemologi fawz dalam pengertian  sebenar yakni kejayaan Akhirat[48]. Apalah makna kejayaan politik dan glamor duniawi dan kekuasaan, jika tidak diredhoi Allah kerana didapati  dengan cara yang salah atau mempunyai niyat selain Allah atau apabila berkuasa, tidak melaksanakan nizom Islam tetapi melaksanakan nizom yang bercanggah dengan Islam. Ini tujuan dan matlamat tertinggi semua aktiviti yang nantinya akan bertemu dengan Wajah Allah Dzu ’l-Jalaali wa ’l-Ikraam.

MANIFESTO lain dalam usaha dakwah ialah pengawasan-muraqabah diri dan kumpulan, melalui mekanisme renungan ke dalam diri dan hisbah umum, dengan standard amar ma‘ruf- nahiyy munkar yang diIjma‘kan, dengan rapi dan ‘adil. Seperti yang disebut al-Qur’an, musuh-musuh dakwah terlalu banyak[49], yang nampak mahu pun yang tidak nampak, yang maknawi mahu pun yang hakiki. Maka pengawasan-muraqabah  dan hisbah dalam bentuk zohiriyyah dan juga ruhaniyyah, amat perlu dan  berterusan. Setiap orang  perlu diawasi, tidak kira apa status dan kedudukan dan peranannya dalam organisasi dan masyarakat, supaya usaha dakwah tidak kendala dan mendapat  pertolongan Allah.

12.NERACA PENCAPAIAN DAKWAH

Pencapaian usaha menyampaikan dakwah terlaksana, apabila berjaya membina rijal-rijal dakwah dalam bab ‘Aqidah dan semua cabang Syari‘at. Dalam ‘Aqidah, berjaya bebas dari fahaman yang bertentangan dengan konsep ASWJ seperti antara lain fahaman Tasybih, Ta‘til, Irja‘, Tasy-yi‘, Kharijiyyah, dan I‘tizal atau di zaman kita ‘aqidah Demokrasi-Liberalisme –Pluralisme Agama. Dalam ‘Ibadah pula, berjaya berpegang kukuh kepada ajaran- ajaran Mazhab yang Empat dan tidak bertindak keluar dari ajaran mereka itu dengan mengikut fahaman bebas bermazhab[50] atau ajaran Wahhabiyyah. Ada pun dalam bab Akhlaq pula, berjaya berpegang kepada ajaran akhlaq yang muktabar dalam subjek ini, seperti ajaran Imam al-Muhasibi, al-Ghazzaliy, Syaikh Dawud al-Fathoniyy, al-Falimbani  dan dalam zaman kita seperti  al-Nadvi, Sa‘id Hawwa, Nursi, al-Buthi dsb. Akhlaq bukan sekadar dibicara di atas kursi-kursi khas di pusat pengajian atau dalam wacana-wacana atau di atas lembaran kertas, akan tetapi ia dijadikan pakaian hidup,  dilaksanakan dengan penuh cermat agar mencerminkan ajaran ‘Ulama’ akhlaq tersebut, kalau tidak, terjadilah seperti para Orientalis-Occidentalis Yahudi dan Kristian dan sesetengah orang Islam, meminati al-Ghazzali atau al-Rumi bahkan al-Ibn ‘Arabi dan menubuhkan persatuan untuk memberi  promosi kepada fahaman dan ajaran mereka itu, akan tetapi dalam kehidupan mereka, tidak mencerminkan langsung ajaran al-Ghazzaliy atau al-Rumi[51] dsbnya itu.Dari satu sisi lain, mereka tidak memiliki apa-apa pun adab kepada ‘Ulama’ akhlaq tersebut,  bahkan kepada ‘ilmu yang diperkatakan itu, pada hal ‘Ulama’ akhlaq itu semua, menekankan kepada adab dalam makna beradab kepada adab[52]. Maka kod akhlaq Islam mestilah bebas dari menurut hawa nafsu dan khayalan syaitoniyy dan berlepas tangan dari mengikuti sistem akhlaq-moral golongan Kuffar. Sementara dalam kehidupan harian dan mu‘amalah serta dalam  melaksanakan hukum Syari‘at, mereka menolak dan terhindar dari nilai yang dikehendaki dan ditetapkan oleh standard HAM tajaan Kuffar-PBB-Yahudi.

Semua kehidupan dalam pelbagai belahan kehidupan, mestilah  berdasarkan konsep dan ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah[53] , terutamanya terserlah dalam diri seseorang  pendakwah itu. Kejayaan juga tercapai apabila rijal-rijal ini  dapat berperanan membina di dalam organisasi-jama‘ah yang dibawah kawalan mereka, kehidupan dan budaya makruf, yang berteraskan ajaran Wahyu dan Sunnah dan perjalanan hidup Solihin. Kejayaan juga berhasil apabila dapat membina kualiti hikmah dengan ketajamatan ‘aqal dan mata hati yang dapat membezakan yang benar dari yang salah, yang baik dari yang buruk dan dapat memilih yang lebih baik dari yang terbaik. Ertinya berjaya melahirkan rijal yang mempunyai ‘ilmu yang mendalam lagi tahqiq; menjaga ‘ibadat  dan kuat berjuang ; apabila berurusan dengan masyarakat dan ahwal duniawi, tetap tidak melupai Allah dan batas-batas Allah; kasih sayang yang tinggi kepada Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya dan lemah lembut sesama Muslimin; berurusan, bersahabat, bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah; menjadi batu bata dalam membina Ummat dan menjadi matarantai dan rangkaian dalam menyebarkan dakwah yang selaras dengan Ijma‘ dengan sifat kental dan sobar; pembela Islam dan Ummat yang gigih dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

13.HAMBATAN /KEKANGAN

Terlalu banyak hambatan dalam usaha untuk menjayakan MANIFESTO ini. Antaranya ialah:

1.Kekurangan rijal ‘ilmu.Kurang mahir dalam epistemologi dan world-view Islam,     terutama ‘ilmu teras, malah ada yang terpesong langsung dalam ‘Aqidah dan Syari ‘ah.Kurang menekuni teks-teks muktabar dari ‘Ulama’ besar, berpada dalam lingkungan,kurang usaha menambah dan ulangkaji.Kurang  kemahiran dan kefahaman dalam memahami ‘ilmu dan kurang ketajaman berfikir. ‘Aqal perlu diasuh supaya  benar-benar tajam dan dapat  memahami ‘ilmu dalam epistemologinya.

2.Kekurangan pemimpin berwibawa.Kurang pemimpin yang benar-benar iltizam untuk mendaulatkan Islam dan prihatin mendalam kepada Ummat.(mengenangkan sabda Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam:Ummati, Ummati,Ummati,menjelang wafat).Kurang pemimpin yang serious berpikir dan pandai merancang untuk kejayaan dakwah dan politik,yang banyak ialah pemimpin rhetorik dan bermuka-muka.Kurang memiliki kualiti faylasuf mutadayyin yang benar-benar memiliki wawasan Qur’anik dan Sunnah serta quwwah.

3.Kekurangan rijal ruhaniyy sebenar.Memang ada aktiviti keruhaniyan tetapi pada taraf ‘adat-kebiasaan semata-mata seperti membaca beberapa wirid selepas solat atau dalam program tertentu.Kurang memahami epistemologi ruhaniyyah sebenar – keruhaniyan ialah penyucian hati yang sudah tentu bermula dengan wirid-wirid.Ruhaniyyah adalah nadi gerakan dakwah.  Akibat dari fahaman aktivisme yang tebal, aktiviti ruhaniyyah, siddiqiyyah dan rabbaniyyah sebenar, tidak  dapat  berjalan secara teratur. Ada yang meminati hal-hal ruhaniyy, tetapi kefahaman ruhaniyy mereka, masih dibelenggu fahaman dan bersifat materialistik.

4.Kekeliruan fahaman mengenai doktrin, konsep dan epistemologi Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam semua aspek. Bersekali dengannya ialah kekeliruan fahaman mengenai  konsep fawz-kejayaan. Sesetengah pendakwah tidak  mengambil peduli prihal epistemologi ASWJ ini, kerana menganut fahaman sesat  ‘kembali kepada al-Qur’an’-  perkataan betul tetapi maksudnya melencong. Pada hakikatnya, propagandis ini, buta al-Qur’an, kerana secara jelas, Sayyiduna ‘Abdullah ibn ‘Umar rodiyallahu ‘anhuma, ( secara marfu‘, Hadith riwayat Malik dan Daylamiyy ), dalam menafsirkan ayat 106, Surah Aaliy ‘Imraan, berkata : tabyaddu wujuuhunn sebagai al-Jama‘ah  dan al-ladzina ’s-waddat wujuuhuhum sebagai  Ahli al-Ahwa’. Sementara dalam lafaz Ibn Abiyy Haatim dan Allaalakaaiy  dari  Hadrat  ‘Abdullah ibn ‘Abbas rodiyallahu ‘anhuma ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan kumpulan yang satu lagi ialah Ahlu ’l bida‘ wa ’d-dolaalah. Mereka ini sesat. Jadi seruan ‘kembali kepada al-Qur’an’ sebenarnya, dalam perspektif al-Qur’an itu, ialah   kembali kepada ajaran ASWJ.  Abuw al-Muzoffar rh berkata, ASWJ adalah Ahlu’n-Najaah,yang berjaya dan mereka yang sesat itu, kerana tidak mengikut al-Kitab dan tidak juga al-Sunnah[54]. Dalam konteks sekarang, termasuk ke dalam kesesatan ialah kelompok berfahaman Liberalisme-Pluralisme Agama.

5.Hambatan lain ialah orang Islam yang dengki[55], orang Munafiq[56] yang berkhianat dalam lingkungan, kelompok Kafir yang memerangi[57], syaiton yang menyesatkan[58] dan rangsangan hawa nafsu[59] yang dituruti.    

14.PENYELESAIAN

Antara lain, penyelesaian kepada kemelut  yang ada ialah:
Mengenai kekurangan rijal ‘ilmu, ia boleh diselesaikan dengan memecah tembok kejahilan, membuang sikap malas dan segan mengaji dan ulangkaji. Bina sikap cinta ‘ilmu dan berusaha membina mahligai ‘ilmu kasbi-qalbiy, Fardhu ‘Ayn dan Fardhu Kifayah yang berfaedah seperti yang di ajar oleh ASWJ.Adakan program ‘kilat’ seperti dalam Usrah dan program khas, mengkhatamkan sesebuah kitab-buku. Dalam bab ‘Aqidah, disyorkan menekuni kitab-kitab Fiqh al-Akbar, karya Imam al-Syafi‘i ( w:201 H ). Ada dua terjemahan dalam Bahasa Melayu, salah satunya oleh Ust ‘Uthman El-Muhammady, yang akan diterbitkan oleh MUAFAKAT; Maqaalaat al-Islaamiyyiin ( ada terjemahan Bahasa Indonesia, tetapi kurang menarik ), karangan Abu al-Hasan al-Asy‘ariyy ( w:243 H ); al-Tamhiid, karya  al-Baqillaniyy  ( w:403 H ); al-Farqu Bayna al-Firaq ( terjemahan ke dalam Bahasa Melayu sudah siap dan insya Allah akan diterbitkan.) dan Usuul al-Diin oleh ‘Abdul Qahir al-Baghdadiyy ( w:429 H ).[ kelas mengaji kitab Usuul ad-Diin ini,  sedang berjalan di bawah bimbingan Ust ‘Uthman El-Muhammady, anjuran MUAFAKAT, sebagai sambungan kepada kitab Fiqh al-Akbar yang telah selesai. Al-hamduli ’llah ] ; Tabsiir fi al-Diin, karya Abuw Muzaffar al-Isfaraayniyy ( w:471 H ); al-Milal wa al-Nihal, karya al-Syahrastaniyy ( w:548 H ). Al-Milal, ada terjemahan Bahasa Indonesia dan Melayu, terbitan DBP; ‘Aqidah Islam oleh Hasan al-Banna; dan ‘Aqaaid, oleh Sa‘id Hawaa. Juga perlu di teliti kitab-kitab Sifat Dua Puluh[60] yang banyak terdapat di pasaran dalam Bahasa Melayu huruf Jawi dan Rumi.Untuk memahami dan sekaligus menolak fahaman Muhammad ‘Abdul Wahhab ialah kertas kerja Wacana Najdiyyun anjuran MUAFAKAT. Untuk  memahami dan sekaligus menolak ajaran Syi‘ah, lihat tulisan Sa‘id Hawwa, Nadvi, Nu‘mani dan juga buku Mazhab Imam Dua Belas, karya  Shah ‘Abdul ‘Aziz Dihlawi.( Sayangnya terjemahan  Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh DBP banyak kesalahan terjemahan ). Juga kertas kerja Seminar Syi‘ah anjuran IPTI. Untuk melihat kekufuran fahaman Khumayni, sila lihat buku tulisannya sendiri antara lain, al-Hukumah al-Islamiyyah, Kasyfu ’l-Asrar dan juga Wasiyatnya. Dan untuk memahami dan sekaligus  menolak fahaman Liberalisme –Pluralisme Agama, tulisan yang baik dalam Bahasa Melayu ialah Tren Pluralisme Agama oleh Dr. Anis Malik dan kertas kerja Wacana Pluralisme Agama anjuran MUAFAKAT yang telah dibukukan bertajuk Pluralisme Agama Alat Iblis dan juga kertas kerja Dr.Ghazali Basri[61]. Untuk melihat perkara yang boleh membatalkan Kalimah Syahadah dan menjadi murtad na‘uzubillah, sila tela‘ah antara lain, buku-buku  Sa‘id Hawwa dan kitab Tuhfah al-Raaghibiin, dalam Bahasa Melayu huruf Jawi, karya Syaikh Arsyad al-Banjari  rh ( ada mengatakan karya Syaikh ‘Abdul Somad Falimbang  rh) dll. Dalam Akhlaq, lihat huraian antara lain karya-karya al-Ghazzaliy rh, Hikam ‘Ataillah rh, terjemahan  Tok Ku Pulau Manis dan Syarahnya oleh Sa‘id Hawaa dan Sa‘id Ramadhan al-Buthiy, juga ada terjemahan dalam Bahasa Melayu, Hikam Abi Madyan oleh Syaikh Dawud al-Fathoniyy, yang sudah puluhan tahun dipasaran, bersekali dengan huraian  dan mudah diperolehi. Dan kini terdapat terjemahan Bahasa Melayu/Indonesia kitab-kitab al-Muhasibi-Risalah al-Mustarsyidin; Abu Tolib al-Makki-Qut al-Qulub; ‘Abdul Qadir al-Jailaniyy- Wasiat Dan Nasihat Keruhaniyyan; Kharraj- al-Luma‘, Qusyairi-Risalah, Ahmad al-Rifa‘i- Benteng Diri Ahli Hakikat dan banyak lagi. Jauhi fahaman keruhaniyan Perennial Philosophy dan Pure Metaphysics seperti yang diajar oleh Frithjof Schuon, Hossein Nasr dan pengikutnya. Ringkasnya, berusaha memahami teks-teks klasik dalam semua subjek dengan baik dan juga pemikiran  semasa dengan merujuk kepada dan menjadikan teks tersebut sebagai neraca.  Dalam hal Fiqh ‘ibadah dan hukum-hakam, berusaha memahami dan melaksanakannya dengan betul dan sah ‘ibadat tersebut dan benar dalam segala hukum-hakam dengan menekuni teks-teks muktabar dalam Fiqh Syafi‘i. Tulisan dalam Bahasa Melayu antara lain: Matla‘ al-Badrayn ( ada edisi huruf Rumi),Sabil al-Muhtadiyn,Kifayah al-Muhtadiyy,Muniyah al-Musolliy, Furu‘ al-Masaail, dan dalam Bahasa Melayu semasa huruf Rumi ialah terjemahan Fiqh al-Manhaji.(Terjemahan yang baik ialah terbitan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) dll. Jauhi sikap bermudah dalam beribadat dan menurut-nurut orang dan menolak otoriti Mazhab.Hendaklah berpegang teguh kepada salah satu dari Mazhab Empat.Dalam konteks Malaysia, bahkan seluruh ‘Alam Melayu, Mazhab Imam al-Syafi‘i hendaklah diamalkan, kecuali sahabat-sahabat kita yang asal berMazhab Hanafi.Dalam Tafsir menekuni Ibn Katir dll teks klasik. Dalam Hadith, syarah Imam al-Nawawi, Ibn Hajar dll antara yang wajar menjadi pegangan. Perlu juga menekuni ‘ilmu Usul al-Fiqh yang basik, yang banyak sekarang dihurai dalam Bahasa Melayu. Dalam doktrin dan konsep politik  elok menekuni antara lain karya al-Maawardiyy, al-Ghazzaliyy dan lain-lain teori dalam doktrin wacana ASWJ.Tolak doktrin politik Syi‘ah dan Khawarij.   
Mengenai kekurangan rijal dalam kepimpinan, ia boleh diatasi melalui program pembinaan qiyadah yang khusus, serious, berdisiplin dan berterusan. Perlu menentukan standard tertentu dalam memilih pemimpin. Standard dan kriatiria ini mestilah dirujuk kepada dan yang dipersetujui dalam kehidupan Solihin dan berpandukan Ijma‘. Dalam sistem memilih pemimpin secara pilihan majoriti, kesulitan akan timbul kerana kualiti pemilih berbeza-beza dalam menilai standard pemimpin, maka individu yang tidak menepati kriatiria mungkin terpilih. Perkara ini tidak menjadi masalah dan boleh diatasi dengan merujuk kepada Dasar Perjuangan yang termaktub dalam Perlembagaan organisasi tersebut dan melalui proses pembinaan ‘ilmu dan tarbiyyah berterusan.
Kekurangan rijal ruhaniyy dapat di atasi dengan menekuni kitab-kitab ruhaniyy yang muktabar, secara teratur, bermanhaj, berdisiplin dan merujuk kepada yang benar-benar ahli.‘Ilmu ini digarap melalui riyadah qalbiyah yang intensif melalui pelaksanaan ‘ibadah fardhu, terutamanya solat dan zikir-zikir yang lain. Senantiasa bermuhasabah (bersendirian dan juga oleh sahabat-sahabat),tafakkur,muraqabah,mu‘atabah dan mujahadah serta mengingati mati berdasarkan neraca al-Qur’an, al-Sunnah dan perjalanan hidup Solihin. Kitab yang baik untuk dirujuk antara lain: Hidayah al-Salikin dan Siyar al-Salikin oleh ‘Abdul Somad al-Falimbani; dan Ihya’ al-Ghazzaliyy; Mustakhlash-Induk Penyucian Diri, Manazil,karya Sa’id Hawwa dll. Hubaya dengan syaikh yang bukan dari ASWJ. Kitab-kitab ini boleh menjadi ‘Syaikh’ seperti kata Sa‘id Hawwa.
Mengenai kekeliruan dalam memahami epistemolgi ASWJ boleh diselesai melalui wacana ‘ilmu seperti dalam nombor satu di atas. Untuk bantuan, perlu mengeratkan pergaulan dengan ahli ‘ilmu yang amanah dan solih dari kalangan ASWJ.
Menghilangkan taksub dan pendewaan kepada kumpulan dan pemimpin dengan menela‘ah kisah-kisah Sahabah dan Solihin.Taksub negatif, menjadi hijab tebal dalam usaha mengislah diri dan memartabatkan kalimatu ’llahi hiya ’l-‘ulya. Bina ‘taksub’ dan ‘pendewaan’ kepada Solihin kerana  suruhan Allah: wa alhiqna bi ’s-soolihiin dan kepada Islam! .
Memahami secara benar epistemologi  rahmatan li ’l ‘aalamiin seperti yang dihuraikan oleh ASWJ kerana rahmat dalam konsep inilah sahaja yang benar dan benar-benar dapat memberi kerahmatan yang mengandungi didalamnya keamanan, keselamatan, kesejahteraan, kedamaian, ketenangan dan keadilan kepada ‘alam dan semua pengghuninya termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan, seperti yang disebut dalam al-Qur’an, berbanding dengan konsep Liberal itu. Perlu ada usaha sungguh-sungguh  merealisasikannya  dengan  diawali oleh wacana dan tulisan.
Berusaha memahami dan bermujahadah untuk merealisasikan makna dan huraian al-Qur’an dan al-Sunnah, bacaan-bacaan du‘a dan wirid-wirid yang dibaca, semuga ia benar-benar melekat pada diri, mesra di hati dan menjadi petunjuk  dan neraca dalam membentuk sikap hidup dan tindakan. Sebagai contoh, Allah menerangkan perangai jahat orang Yahudi, tetapi masih ada yang menjadikannya teman sejati; dalam du‘a pula, memohon Allah menolong  mengalahkan Kafirun tetapi dalam praktis hidup,  membela Kafirun dan menjadikan ajaran mereka sebagai  pakaian hidup; atau minta dimatikan sebagai Syuhada’ dan Solihin tetapi menolak doktrin Jihad dan memperleceh Solihin dsb.
Mengenai orang Islam yang dengki kepada dakwah, serahkan sahaja kepada Allah. Mengenai kumpulan Munafiq dalam erti ia mengkhianat perjuangan Islam ASWJ, mereka perlu di peringatkan dan jika masih tidak berubah, tindakan perlu diambil hingga ke peringkat mengeluarkannya dari lingkungan. Mengenai ancaman Kuffar pula, al-Qur’an menyuruh kita bersiap siaga dengan persiapan jasmani dan ruhaniyy. Persiapan jasmani-material sekadar seadanya sahaja kerana selebihnya akan ‘dicukupkan’ oleh Allah seperti dalam peperangan-peperangan terdahulu yang direkodkan dalam al-Qur’an. Persiapan dan kekuatan ruhaniyy perlu ditekankan dengan sifat thubut, tawakkul, tidak gentar dan ingin syahid, kerana sifat ruhaniyy adalah tunjang.Mengenai hasutan syaiton dan pengaruh hawa nafsu pula, dapat dikekang melalui riyadhoh ruhaniyy seperti yang dihuraiankan pada nombor tiga ( 3 ) di atas.   

15.PENUTUP

Dakwah ilallah adalah usaha mulia tetapi berat dan penuh ujian.Ia mesti bermula dari pembinaan diri supaya tidak terkena penyakit ata’muruuna ’n-naasa bi ’l-birriy wa tansawna anfusakum (al-Baqaroh:44), menyuruh orang berbuat baik tetapi melupai diri sendiri.Ia perlu dilaksanakan atas dasar marhamah sebagai perawat penyakit, pembenteras ancaman dan pemelihara Ummah.MANIFESTO  yang digagaskan ini, akan berjaya dilaksanakan - dengan rahmat Allah - melalui keikhlasan sikap dan kemurnian niyat serta keteguhan ‘azam, melalui penyusunan dan pemikiran strategik, mengikut  uslub-kaedah  Salaf[62] berserta dengan muhasabah mendalam. Pendakwah mesti menanamkan keyakinan bahawa usaha Gerakan Dakwah adalah gerakan paling utama dan teramat penting dalam masyarakat dan merupakan first force, mengatasi gerakan politik, kerana ia menjunjung  Titah Allah dan menyambung Risalah Rasul-Nya  dalam rangka memelihara al-Diin dari diseleweng dan menjaga ‘izzah-kemuliaan-ketinggian Ummah hingga ke juzuk-juzuk paling seni dalam diri yang insya Allah akan dapat  menghasilkan hasanah fi ’d-dunya wa ’l- aakhirah yang tidak dapat dijayakan oleh gerakan politik per se.
Disamping itu, pembinaan jaringan di luar lingkungan sendiri perlu diperhebat  dan diperkukuh dengan ba’sun syadiid tenaga raksasa untuk jangka pendek dan jangka panjang demi rahmatan li ’l ‘aalamiin.
Wa ridhwaanunn minallaahi akbar . Dzaalika huwa ’l-fawzu ’l-‘aziim.
wamaa tawfiiqi illa billah
Isnin,20 Dzul Qa’dah 1432 bersamaan 17 Oktober 2011.
 



                        [1] Beliau ialah salah seorang pengasas ABIM, IPTI (Institut Pemikiran Tradisional Islam ) dan MUAFAKAT. Kini beliau adalah Presiden IPTI dan Jawatankuasa Pimpinan Pusat MUAFAKAT. ABIM ditubuhkan pada tahun 1972, sementara IPTI pada tahun 1989 dan MUAFAKAT pada tahun 2005.

                        [2] Golongan malas berfikir, berpada apa yang ada dan tiada wawasan.Mereka menghujjah, tidak perlu muhasabah kerana  bersifat nostalgik. Muhasabah bukan nostalgik tetapi usaha yang disuruh Syara‘ seperti motto di atas: Iqra’ kitaabaka kafa binafsika ’l-yawma ‘alayka hasiiba dan ungkapan masyhur yang dinisbah kepada Sayyidina  ‘Umar al-Khattab  r‘a : Haasibu qabla an tuhaasabuu terj : hisab/hitunglah sebelum anda dihisabkan.Bahkan dalam bisnes pun syarikat sentiasa bermuhasabah/audit . Nostalgia bermakna melihat masa lalu seadanya tanpa keinginan menilai.Tetapi muhasabah, untuk menilai pencapaian, supaya sentiasa selaras dengan Syari‘at, kerana dalam perjalanan dakwah, dibimbangi ada perkara-perkara yang menyimpang dari Syari‘at secara tidak sengaja atau tidak disedari.


                2.Banyak orang mendakwa, kumpulan merekalah Jama‘ah Islamiyyah. Definisi jama‘ah oleh Ibnu Mas‘ud  r ‘a ialah: al-jamaa‘atu ma waafaqa al-haqq wa in kunta wahdak, terjemahannya: Jama‘ah ialah apa yang bertepatan dengan kebenaran, meski pun anda keseorangan. Lihat, Sa‘id Hawwa, al-Islam. Dalam al-Madkhal pula, terdapat sedikit kelainan ungkapan, berbunyi: al-jamaa‘atu an takuuna ‘ala al-haq walaw kunta wahdak.Kedua-dua ungkapan ini mempunyai maksud yang sama. Definisi paling jelas ialah dari Hadith Nabiyy s‘aw, bahawa  makna jama‘ah dinisbahkan kepada Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. Antara Hadithnya berbunyi: Akan berpecah umat saya kepada tujuh puluh tiga firqah, yang berjaya ( selamat ) darinya, hanya satu sahaja dan yang lain akan binasa. Kata mereka ( Sahabah ): siapakah yang berjaya? Sabda Nabiyy s‘aw: Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Dan berkata mereka ( Sahabah ): dan apakah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah?. Sabda Nabiyy s‘aw: apa yang saya dan Sahabat saya berada dalamnya pada hari  ini.HR Abu Dawud,Ibnu Maajah dan Ahmad.( Dalam riwayat yang lain, tidak ada perkataan hari ini ). Dari pengertian Hadith ini, maka, kumpulan yang bercanggah dengan ‘Aqidah dan Syari‘at dalam epistemologi  ASWJ, tidak dapat dikategorikan sebagai Jama‘ah Islam seperti kumpulan yang mengkafirkan Sahabat Nabiy; yang menghina Nabiy seperti berkata dia seperti Mamat budak kampung; mentajsimkan Allah, menyokong fahaman Liberalisme-Pluralisme Agama dll.

                        [4] Mustahil seseorang itu boleh menjadi Muslim yang sejati atau Muslim yang soleh, jika hanya setakat mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, mengerjakan Solat, mengeluarkan zakat dan mengerjakan Haji, sedangkan di dalam cara berfikir dan budaya hidupnya, tidak tunduk kepada ajaran Islam yang sebenar lagi syumul: mithalnya dibidang politik ia seorang democrat tulin atau seorang sekularis…..orang seperti ini adalah orang yang beriman dengan sebahagian dari al-Kitab dan kufur terhadap sebahagian yang lain…..Lihat kertas Penulis: Kekuatan Ruhaniyyah Dalam Kegiatan Dakwah Islamiyyah yang dibentangkan dalam Usrah MUAFAKAT. 

                        [5] fain yakun min(gk)kum mi-atun soobiratun ya‘libuu mi-atayn.Terj: dan jika ada diantara kamu seratus orang (Mukmin) yang sobar,niscaya dapat mengalahkan dua ratus orang (musuh). Surah al-Anfaal: 66. Nisbah 1: 2.

                        [6] walaw anna ahla ’l-quroo aamanuu wa ’t-taqaw lafatahna ‘alayhim barakaati  ’m-mina ’s-samaa-i wa ’l-ardhi...Terj: dan jika sesungguhnya penduduk sesuatu qaryah (negeri) beriman dan bertaqwa nescaya Kami (Allah) akan membuka kepada mereka itu barakah dari langit dan bumi.Surah al-A‘raaf: 96.

                        [7] Banyak orang Islam keliru dengan mengatakan Ijma‘ hanya berlaku dalam wilayah Fiqh sahaja, walhal dalam ‘Aqidah pun berlaku juga Ijma‘ seperti Ijma‘ menghukum kafir sesiapa yang mengkafirkan Sahabah rodiya’llahu ‘anhum ajma‘iyn, Ijma‘ dalam membina konsep dan faham ‘ilmu dalam doktrin Sifat Dua Puluh dll.Banyak juga orang beri‘tiqod, bahawa yang tertulis dalam senarai Rukun Iman secara tekstual-literal sahaja yang bersifat ‘Aqidah, selainnya tidak, seperti antara lain i‘tiqad kelompok Liberalis-Pluralis.

                        [8] Turiiduna ‘arodhu ’d-dunya wa’llahu yuriidu ’l-aakhirah. Surah al-Anfaal:67.

                        [9][9] Sesungguhnya telah datang kepada anda seorang Rasul dari kalangan anda,berat terasa olehnya penderitaan anda, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi anda,amat belas kasihan lagi penyayang kepada orang-orang Mukmin.Al-Tawbah:128.

                        [10] Pelik,ada Liberalis mengaku sebagai Islam beriman yang baik tetapi menolak doktrin jihad ma‘rakah. Lihat Buddhi Munawar Rachman, Reorientasi dan ucapan Anwar Ibrahim di LSE dan kertas tulisannya bertajuk: Civilizational Dialogue yang disampaikan dalam program International Meeting For Peace, di Munich, pada 11 September 2011. Anwar berkata: Jihad is spiritual cleansing…Memang benar salah satu dimensi jihad ialah membersih hati dan diantara sifat kebersihan hati ialah menerima segala yang terkandung di dalam al-Qur’an termasuk jihad serta memasang niyat menolak maksiyat.Bukan kah maksiyat namanya, apabila menolak jihad yang bertujuan membasmi fitnah yang ditimpakan oleh musuh Islam untuk menghalang tertegaknya diinu’I-Islam.Ini adalah maksiyat. Satu lagi aspek yang perlu diperhatikan dalam konteks spiritual cleansing ialah seperti Hadith riwayat Abuw Dawud, berbunyi:….orang yang tidak menyaksikan ( melakukan perbuatan dosa- P ) lantas meredhoinya adalah seperti orang menyaksikannya (melakukannya - P), apa lagi jika menganjurkan program maksiyat dikhalayak seperti program kebudayaan yang melibatkan wanita yang bukan mahram. Di paragraf seterusnya beliau berkata:…when the jihadis quote ....verse to justify their violence in the cause of Islam we have to tell them that…..jihad can never be used to justify mayhem and murder.Jika para Mujahidin itu memang benar-benar memiliki kualiti dan syarat seperti dalam Syari‘at, dan terjadi pertumpahan darah dan membunuh dan terbunuh, mereka bukanlah pembunuh dan jika terbunuh, hakikatnya mereka hidup dan akan mendapat nikmat di sisi Tuhan mereka. Dalam Islam memang ada dua dimensi jihad iaitu jihad di medan perang melawan Kuffar yang menentang Islam dan Muslimin dan jihad melawan hawa nafsu yang jahat. Dengan menafikan adanya doktrin jihad di medan perang, bererti jiwa belum bersih dan hawa nafsu syaitoniyy masih menguasai hati dan ruh seseorang itu. Banyak ayat al-Qur’an menerangkan prihal jihad-perang suci dan keutamaannya di sisi Allah.   

                        [11] Di petik dari al-Ahkam al-Sultaniyyah karya al-Maawardiy  ( w:450 H ), Bab Pertama, dengan penyesuaian frasa. Al-Ahkam al-Sultaniyyah adalah sebuah rujukan penting dalam teori politik Islam. Walau pun al-Maawardiyy rh bercakap mengenai tugas Khalifah-Imam tetapi ia juga boleh diqiyaskan kepada kepimpinan kumpulan yang berdakwah. Buku ini telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu bertajuk al-Ahkam al-Sultaniyyah, terbitan Institut Pengajian Tradisional Islam, KL, 1993. Al-Maawardiyy rh adalah seorang Faqih besar Mazhab Syafi‘i dengan kitabnya al-Haawiy al-Kabiir, 20 jilid. Dia juga ada menulis Tafsir bertajuk Nukat wa al-‘Uyuun dan beberapa kitab berkaitan pemerintahan dan siyasah serta berbagai-bagai subjek lain. Perhatikan perkataan Imam al-Maawardiyy rh, bahawa peranan pemimpin Islam ialah menonjolkan Islam mengatasi agama-agama lain tetapi kelompok Liberal-Perennialis dewasa ini, menyamakan diinu’l- Islam dengan semua agama hatta agama Paganisme!. 

                        [12] Laa tazaalu thooifatun min ummati zoohiriina ‘ala ’l- haqq ilaa yawmi ’l-qiyaamah. Terjemahan: akan senantiasa ada toifah/kumpulan dari Umat saya jelas di atas ( juga memperjuangkan – P ) kebenaran hingga Hari Qiyamat. HR al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Maajah. Semuga kita termasuk ke dalam thoifah ini dan memperjuangkannya dengan gigih dan istiqomah. Aamiin!.

                        [13] Lihat al-Baghdadiyy, al-Farqu bayna al-Firaq.

                        [14]  Al-Maawardiyy, Al-Ahkam.

                        [15] Ashaabiy kannujuum biayyihim iqtadaytum ihtadaytum=Sahabat-sahabat saya bagaikan bintang-bintang, dengan sesiapa pun daripada mereka itu yang anda ikut, anda ( akan berada ) di dalam hidayah.HR al-Bayhaqiy dan al-Daylamiy. Disebut juga oleh al-Syafi‘i rh dalam Fiqh Akbarnya. Ajaran ‘aqidah Syi‘ah Imam Dua Belas, mengkafirkan semua para Sahabat yang mulia ini – Allah meredai mereka semua -  kecuali beberapa orang sahaja seperti ‘Ali, Abu Zar, Miqdad, Salman dan beberapa yang lain. 

                        [16] Al-Tawbah: 92.

                        [17] Lihat bukunya Mustakhlash, Muzakkiraat Fi Manaazil al-Siddiiqiin wa al-Rabbaaniyyiin.Terjemahan Bahasa Indonesia bertajuk Syarah al-Hikam, Mencapai Maqam Shiddiqun Dan Rabbaniyyun. Edisi Malaysia diterbitkan oleh Pustaka Dini.

                        [18] Perhatikan ayat ini:tilka ’l-ayyamu nudawiluha bayna ’n-nas; in tansurullah yansurukum; inn ’allaha ma‘al-muttaqiin dan Hadith: Barangsiapa mengatakan bahawa kaum Muslimin telah binasa, maka ia lebih binasa lagi.HR Muslim, Malik, Ahmad dan Abuw Dawud. Nass-nass ini semua sebagai petunjuk kepada Ummat Islam untuk memperjuang dan mendaulatkan Islam di muka bumi ini dan sekaligus menghilangkan fitnah. Lihat juga Nadvi, Maza Khatiru al-‘Alam.

                        [19] Dari segi sejarah, bangsa-bangsa Eropah pernah menikmati rahmat dibawah pemerintahan Islam seperti masyarakat Semenanjung Iberia hingga mencecah Paris, Itali Utara  seperti Pisa dan Genoa dan Laut Meditteranean seperti Corsica dan Sardinia, Switzerland membawa ke pinggir Vienna. Di Asia pula, seluruh Asia Tengah hingga seluruh Caucasia, hingga ke pinggir Moskow, yang pada hari ini, masih tertegaknya republik  otonomi Tatarstan yang  100% penduduknya Islam, sampai ke Turkistan Timur yang ditukar nama kepada Xinjiang, yang kini dijajah China Komunis.

                        [20] Lihat huraian terperinci dalam kitab Fiqh dan buku-buku berkenaan Jihad.

                        [21] Golongan Munafiqun pernah menyindir Nabiyy s‘aw ketika Peperangan Tabuk, dengan berkata: Lelaki ini (Nabiyy yang mulia s‘aw) ingin menakluk istana-istana Syam dan kota-kotanya, alangkah jauhnya. Demikian juga pendirian kelompok Liberal, sinikal kepada usaha memartabatkan Islam syumul dewasa ini.

                        [22] Kelompok Liberal hilang keyakinan kepada kemampuan Islam mentadbir dunia. Mereka  percaya 100%, sistem domokrasi Barat paling baik mengurus dunia, bukan sahaja dalam politik, bahkan dalam urusan agama Islam juga. Lihat Budhy Munawar- Rachman, Reorientasi. Beliau puji melangit sistem demokrasi Amerika, pada hal demokrasi Baratlah yang menjahanamkan manusia dan nilai-nilai kemanusiaan di dunia ini dengan kuasa veto dalam semua lapangan hidup, bukan sahaja dalam percaturan politik. Ucapan-ucapan Anwar Ibrahim, terutama di luar negeri dan buku-buku terbitan MEGC-IKD juga mendewakan demokrasi dan hukum-hukum Barat.

                        [23] Tulisan khusus dan baik dalam perkara ini antaranya al-Mutasaaqituun oleh Ustaz Musthofa Masyhur rh dan Qawaarib al-Najaah oleh Ustaz Dr.Fathi Yakan rh. Kedua-dua buku ini ada terjemahan Bahasa Melayu.

                        [24] Zaman kita ini dapat menyaksikan peribadi seperti Ahmad Deedat yang berdebat dengan khalayak Kristian tanpa sedikit pun bersikap apologetik apalagi munafiq berbanding dengan golongan Islam Liberal dan Plural yang larut dalam fahaman Kuffar tersebut. 

                        [25] BerkaitanTawhid dan Akhirah seperti ternyata dalam Surah Makkiyah. Ini adalah Fardhu ‘Ayn.

                        [26] ‘Ilmu Fardhu ‘Ayn dalam bab ‘Aqidah ialah menjadikan ‘Aqidahnya sohih, tidak murtad dan tidak menjadi syirik;  dalam bab ‘Ibadah pula, menjadikan ‘ibadahnya sah dan tidak terbatal dan dalam bab hukum-hakam pula, dapat membezakan halal dan haram; dan dalam Akhlaq, dapat membersihkan hati dan membebaskannya dari sifat mazmumah dan memiliki sifat mahmudah. Ramai aktivis dakwah beranggapan mereka sudah selesai dari segi ‘ilmu Fardhu ‘Ayn, walhal, apabila datang fitnah Syi‘ah Khumayni, mereka menjadi orang pertama menyokong dan membela serta membenarkan ‘aqidah Syi‘ah itu dan dalam akhlaq pula menerima hukum moral Barat dsb.   

                        [27] Para pendakwah Islam perlu memiliki segala macam ‘ilmu yang boleh mendepani musuh-musuh dakwahnya. Ia perlu menilik kepada keperluan semasa seperti  Abu al-Hasan al-Asy‘ariy menekuni ajaran sesat dan menolaknya seperti yang termuat dalam Maqaalaatnya.Pendakwah perlu memahami konsep dakwah yang diluar kumpulannya dan juga pemikiran pemimpin mereka itu.

                        [28] Inna haadza ’l-‘ilma diinun fanzuruu ‘amman ta’khuzuuna diinakum.Terjemahan: sesungguhnya ‘ilmu ini adalah agama, maka lihatlah ( berhati-hatilah) dari siapa anda mengambi Agama anda (yakni ‘ilmu ini). Terdapat di dalam Sohih Muslim melalui matarantai Imam Muhammad Ibn Sirin rh ( w:110 H).  

                        [29] Orang yang merasa manisnya iman adalah orang yang redho Allah sebagai Tuhannya, dan Islam sebagai Agamanya dan Muhammad s‘aw sebagai Rasul-Nya. HR Imam Muslim, Ahmad dan Tirmizi.

                        [30] Lihat Wasiyat-nya.

                        [31] Khumayni, Kasyf al-Asrar, ms 137,176. Lihat juga al-Hukumah al-Islamiyyah. Buku ini penuh dengan kekufuran, takhayyul dan khurafat. Diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Edisi Bahasa Melayu  diterbitkan oleh ABIM.

                        [32] Kasyf Al-Asrar, ms 30 dan 31. ‘Ulama’ memberi fatwa, sesiapa yang merendah-rendahkan Abu Bakar r‘a dan ‘Umar r‘a, wajib dibunuh!  Apa lagi jika mengkafirkan mereka berdua.

                        [33] Lihat kitab-kitab ‘Aqidah dan Mustholah Hadith.

                        [34] Lihat Wasiyat Khumayni.

                        [35] Lihat Manzoor Nu‘mani, Khomeini, Revolusi Iran dan ‘Aqidah Syi‘ah; Abu Hasan al-Nadvi, Syi‘ah; dan Shah ‘Abdul ‘Aziz al-Dihlawiy, Mukhtasor al-Tuhfah al-Ithna Asy‘ariyyah. Semua buku ini mengupas doktrin ‘aqidah Imam Dua Belas anutan Khumayni dan ada terjemahan dalam Bahasa Melayu. Sayangnya terjemahan Tuhfah  terbitan DBP, terlalu banyak kesalahan terjemahan berbanding teks. Satu lagi buku mengenai ajaran Syi‘ah ialah karangan Ustaz  Muhd ‘Asri Yusuf, Syi‘ah Rafidah. Buku ini amat baik kerana menghuraikan bukan sahaja doktrin Syi‘ah tetapi juga memuatkan fatwa dari ‘Ulama’ ‘Aqidah Ahli Sunnah sepanjang zaman mengenainya. Penulisnya mahir berbahasa ‘Arab, Urdu dan Parsi.Ini adalah karya asli dalam Bahasa Melayu yang terbaik.

                        [36] Muhammad ‘Abdul Wahhab berkata Nabiyy Adam ‘as syirik dalam keta‘atan kerana mengikut arahan dan kemahuan Iblis; masyarakat ‘awam Muslimin umumnya kafir-syirik  kerana dianggapnya menyembah kubur wali-wali; Kerajaan ‘Uthmaniyyah bukan Islam dsb. Lihat kertas kerja Muhammad ‘Uthman El-Muhammady; Ajaran ‘Aqidah Wahhabiyyah. Kertas ini dibentangkan dalam Wacana Pemikiran Dan Pembinaan Ummah 1 yang bertemakan Gerakan Tajdid Dan Pemikiran Najdiyyun, pada 24 Januari 2010, anjuran MUAFAKAT.

                        [37] Seperti ajaran Tariqah Maryamiyyah atau Transcendentalism-Sophia Perennialism. Artikel yang baik dalam memahami fahaman ini, sila lihat, ‘TheTranscendent Unity Of Religions’ oleh Ustaz ‘Uthman El-Muhammady, yang dibentangkan dalam perbincangan Muzakarah Pakar bertajuk: Pendirian  Kaum Muslimin Terhadap Pluralisme Agama, pada 28 Julai 2011H/26 Sya‘ban 1432 H, anjuran IKIM.

                        [38] Ketika Ghaddafi menggulingkan Mulla atau Raja Idris, seorang pemerintah yang soleh, aktivis dakwah menyokongnya. Ketika Khumayni menjatuhkan regim Pahlavi pro Amerika itu, ramai NGO Islam terpesona dan menghantar rombongan demi rombongan melawat Syi‘ah Iran dan mengadap Khumayni. Mereka juga menjadi agen menyebarkan fahaman Syi‘ah dengan menyebarkan buku-buku ‘aqidah dan doktrin politik Syi‘ah bahkan menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu. Ada sebahagiannya pula, menghantar anak-anak mereka ke Iran terutaman Qum mempelajari Agama Syi‘ah secara tertib dan kembali ke Malaysia mengajar dan menyebarkan Agama Syi‘ah di tengah-tengah masyarakat Islam Sunni. Pendirian semacam ini mencerminkan betapa fahaman ‘ilmu dan ‘Aqidah mereka itu tidak mantap dan membahayakan.

                        [39] Budhi Munawar-Rachman, Reorientasi Pemikiran Islam.Mereka juga serious menentang usaha menghidupkan semula Piagam Jakarta yang beraroma Islam di Indonesia.

                        [40] Islam Dan Dasar Pemerintahan terjemahan dari buku al-Islam wa Usul al-Hukm; IKD-KAF 2004. Buku ini menolak wujudnya pelaksanaan Syari‘at Islam dalam pemerintahan negara. Dengan pegangannya itu, beliau telah dikafirkan oleh ‘Ulama’ al-Azhar. IKD juga menerbitkan buku Hukum Barat Pun Islam, yang antara lain kandungan isinya ialah menolak kesaksian empat orang saski dalam kes zina dan menerima bukti-bukti moden dan saintifik. Islam & Interfaith Marriage,MEGC-KAF 2006, yang mengharuskan orang Islam berkahwin dengan orang bukan Islam. Buku ini ada juga dalam edisi Bahasa Melayu. Hampir semua buku-buku terbitan IKD-MEGC disponsor oleh KAF-KAS yang menjurus kepada fahaman Liberalisme-Pluralisme dan menolak pelaksanaan Syari‘at Islam pada paras individu dan negara. Aktivis dakwah perlu membaca buku-buku terbitan JIL dan IKD untuk menilai tahap kekufuran mereka.

                        [41] Hadith do‘if dalam Sunan al-Darimi. Kata ‘Ulama’, walau pun do‘if dari segi sanad, tetapi sohih dan hasan dari segi makna.

                        [42] Lihat kertas perbincangan Usrah MUAFAKAT bertajuk: ‘Aqal Integrasi, dibentangkan pada 06 April 2010.

                        [43] Lihat kertas perbincangan Usrah MUAFAKAT bertajuk: al-Isyraaq, pada 07 Jun 2011.

                        [44] Untuk mendapat huraian terperinci lihat bukunya: Tarbiyatuna Ruhiyyah, al-Mustakhlash dan Muzakkiraat fi Manaazil Siddiiqiin wa Rabbaniyyin. Semuanya sudah diterjemah ke Bahasa Melayu/Indonesia.

                        [45] Ustaz ‘Uthman El-Muhammady adalah bekas aktivis PMIUM semasa menuntut di Universiti Malaya dan juga aktivis al-Rahmaniah, sebuah organisasi dakwah yang awal, pada pertengahan tahun 60an. Dalam Akhlaq, beliau menganut fahaman, falsafah dan konsep akhlaq dan keruhaniyyan Imam al-Ghazzaliy, al-Qusyairiy, ‘Ataillah, Abuw Madyan, Dawud al-Fathoniyy dan yang sealiran dengannya, bahkan dalam cara hidup.Kini beliau sedang mengajar kitab Bimbingan Mukminin intisari Ihya’ dan al-Risalah al-Qusyairiyyah. Pada tahun-tahun 80an,beliau mengajar Hikam Abi Madyan, terjemahan Dawud al-Fathoniyy di KL. Dalam ‘Aqidah beliau adalah pilar ASWJ Nusantara. Suara vokalnya, sejak tahun 60an, memperjuangkan supaya konsep, ajaran dan epistemologi ASWJ dipelihara dan dibudayakan dalam pemikiran dan aktiviti hidup.Beliau pernah mengajar kitab Sifat Dua Puluh diKL dan telah selesai mengajar kitab Maqaalaat Islaamiyyin karya Imam Abu Hasan al-Asy‘ari. Beliau telah menterjemah dan selesai mengajar kitab ‘Fiqh al-Akbar karya Imam al-Syafi‘i.Kini beliau memulakan kitab ‘Usuulu ’d-Diin’ karya ‘Abdul Qahir al-Baghdadiyy. Beliau  mahir mengenai pemikiran dan falsafah Greaco-Alexandario,moden dan pasca modernisme dan lantang menentang fahaman dan pemikiran ini. Sayang, tulisan beliau tidak dibukukan!. 

                        [46] Al-Qur’an, Surah al-Anfaal: 42. Terjemahannya: agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata ( pula ). Ayat ini menurut Mufassir, agar orang Kafir tidak mempunyai alasan lagi untuk terus berada dalam kekufuran.

                        [47]yabtaghuuna fadhlan mina ’llahi wa ridhwaana: al-Fath:29. Juga al-Maidah:2; al-Hasyr:8.

                        [48] Banyak ayat-ayat Al-Qur’an menerangkanya.

                        [49] Lihat huraian Fathi Yakan dalam Qawaarib al-Najaah; Mustafa Masyhur, Mutasaaqituun dan tulisan-tulisan Sa‘id Hawwa.

                        [50] Lihat tulisan Dr. Sa‘id Ramadhon al-Buti, Alla Mazhabiyyah. Ada terjemahan Bahasa Indonesia; Syaikh ‘Abdul Qadir al-Mandiiliyy, al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab. Dll.

                        [51] Ada kisah melucukan, Anwar Ibrahim,seorang Liberalis-Pluralis Melayu, memetik bayt-bayt yang dikatakannya dari al-Rumi, padahal dikutip dari tulisan John Hick, seorang tokoh Pluralis Agama, untuk memberi justifikasi kepada fahaman Pluralisme Agamanya.Dalam teks asal Mathnavi gubahan al-Rumi rh itu, tidak ada pun bayt-bayt tersebut!. Lihat terjemahan Mathnavi oleh Prof. Dr. Ajmal dari ISTAC. Rupanya, kelompok Liberalis-Pluralis ini berimam, beriman dan bertaqlid penuh yakin kepada Kuffar!. Na‘uzubi ’llah.

                        [52] Dalam bahasa semasa, lihat tulisan Sa‘id Hawwa seperti al-Mustakhlash, Manazil dll terutamnya dalam bab adab dalam berilmu. Elok juga dilihat dalam Ihya’, al-Ghazzali;  Adab al-Dunya wa  al-Diin oleh al-Maawardiyy dll, dan juga kitab-kitab Kuning-Jawi, yang boleh dirumuskan bahawa, beradab kepada ‘ilmu ialah menghayati ‘ilmu tersebut dengan merealisasikannya dalam kehidupan Syari‘at zohir terutamanya, bukan sekadar permainan lidah dan khayalan otak.

                        [53] Syaikh Sa‘id Hawwa rh sangat-sangat menekankan prihal doktrin dan konsep Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah-ASWJ dalam jama‘ah Islam. Justeru beliau menulis banyak buku yang bertunjangkan ajaran ASWJ. Tulisan beliau antara lain ialah: al-Asas fi al-Tafsir, 11 jil; al-Asas fi al-Sunnah yang merangkumi ‘Aqaid, Sirah dan ‘Ibadah, 14 jilid; Allah; al-Rasul; al-Islam; Jundullah; al-Mustakhlash; Muzakkirat fi Manaazil al-Siddiqiin; Fusul fi al-Imrah wa al-Amiir dan banyak lagi. Dalam ‘Aqidah, beliau amat gusar kerana dalam Ikhwan, pada pandanganya, sudah ada kelip-kelip fahaman Muhammad ‘Abdul Wahhab  dan kecenderungan menolak ajaran Tasawwur, yang menurut beliau sudah lari dari ajaran pengasasnya, Syaikh Hassan al-Banna rh. Syaikh Hassan al-Banna ada mengarang  kitab mengenai
                ‘Aqidah yang  diterbitkan dalam berbagai tajuk antaranya bertajuk:‘Aqidah Islam - terjemahan Bahasa Melayu/Indonesia, diterbitkan oleh Pustaka Damai, Kuala Terengganu, 1985 M, dan Risalah al-‘Aqa’id yang termuat dalam Majmu‘ah Rasailnya.Dalam tulisan ini beliau menghuraikan Sifat Tiga Belas dari konsep Sifat Dua Puluh dan menolak keras kumpulan ‘aqidah yang berfahaman tajsim yang mengambil zohir teks. Katanya: Mereka menyatakan Allah mempunyai wajah seperti wajah makhluk, tangan atau beberapa tangan seperti tangan-tangan mereka  dan ketawa seperti ketawa mereka dan seterusnya……mereka tidak mewakili Islam sedikit pun…. Ternyata Hassan al-Banna rh menganut ‘aqidah seperti yang dikodifikasikan oleh Imam Abu Hasan al-Ash‘ariy dan Imam Abu Mansur al-Maturidiyy rahimahumullah dan menolak keras ‘aqidah tajsim seperti fahaman ‘aqidah Muhammad ‘Abdul Wahhab atau Wahhabiyy dengan doktrin ‘Aqidah Tiga Serangkai: Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma’ wa ’s-Sifat itu. Beliau juga berpegang kepada falsafah dan doktrin akhlaq ‘Ulama’ Tasawwuf yang  muktabar lagi tinggi, sehingga mengajar kitab Hikam ‘Ataillah di markaz Ikhwan ( Syaikh Sa‘id Hawwa ada mensyarahkan kitab ini bernama Muzakkirat fi Manaazil al-Siddiqiin). Sa‘id Hawwa rh memiliki hikmah dan himmah yang tinggi dan berbeza pendirian sedikit dengan sesetengah ideolog Ikhwan antara lain seperti al-Syahid Marwan Haddad, yang berpendirian keras dalam dakwah Ikhwan. Marwan syahid dalam penjara Hafiz al-Asad, akibat siksaan, pada tahun 1976 M, sementara Sa‘id Hawwa pula menjadi persona non grata di zaman Asad dan meninggal di Jordan pada tahun 1989 M, rahimahumullallah.

                        [54] Abu al-Muzoffar al-Isfaraainiyy rh ( w:471 H ), al-Tabsiir fi al-Diin, 1359 H/1940 M; ms115-116. Diedit oleh Muhammad Zahid al-Kawthariy rh.

                        [55] Penyakit umat sebelum anda telah menular kepada anda iaitu hasad……ia mengikis Agama. HR al-Bayhaqiyy.

                        [56] Tanda munafiq ada tiga: Jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir, apabila mengikat janji setia ia khianat. HR  Bukhariy dan Muslim. Berbagai lafaz dalam riwayat  Ahmad dan Abuw Ya‘la.

                        [57] Mereka mahu memadamkan Nur Allah, Surah al-Soff:8. Allah bertanya:..atakhsyawnahum=adakah anda takut kepada mereka (Kafir). Surah al-Tawbah:13.

                        [58] …aku ( Iblis ) akan menyesatkan mereka ( Anak Adam ). Surah al-Hijr: 36.

                        [59]nafsu sering menyuruh yang buruk. Surah Yusuf:53.

                        [60] Banyak aktivis dakwah Islam yang sinikal bahkan menolak pendekatan Sifat Dua Puluh dalam memahami ‘Aqidah Islam. Barang diingat, pendekatan Sifat Dua Puluh ini telah pun dilakukan oleh Imam al-Syafi‘i rh melalui Fiqh Akbarnya bahkan Hasan al-Banna rh pun sama, melalui kitab ‘Aqidah Islamnya dan yang menariknya, mujahid Solahuddin al-Ayyubi rh, pembebas Palastin, bermazhab Asy‘ari r‘a.

                        [61] Islam,Pluralisme dan Pluraliti. Dr. Ghazali menyimpulkan, orang yang berpendirian…semua agama adalah sama dalam hak kesampaian kepada Kebenaran ( al-Haq ) adalah juga palsu …..klaim tentang ‘pemilikan bersama’ semua penganut agama yang berlainan terhadap Tuhan Yang Maha Esa ( dalam konsep Transcendent Unity of God ) juga adalah palsu…..

                        [62] Epistemologi Salaf perlu difahami dengan betul. Wahhabiyy bukan Salaf, kerana mereka mentajsimkan Allah. ‘Aqidah Salaf ialah Tafwidh bukan Tajsim.