Masjid Ulul Albab - Senibina Melayu Tradisional




Masjid Ulul Albab - Senibina Melayu Tradisional

Khamis-25 Februari daku kembara merentasi beberapa negeri bagi urusan kerja di Terenganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Setiba di Jertih daku singgah dan terpesona melihat Masjid Kayu ‘Masjid Ulul albab’ suatu masjid yang cantik dengan senibina Melayu dimana ianya tidak menggunakan paku tapi berkonsep pasak (sama dengan rumah almarhum moyangku suatu ketika dahulu). Seumpama juga masjid Kampung Laut di Kelantan.Binaannya 90 peratus menggunakan kayu cengal dan dianggap unik dengan keaslian seni bina Melayu yang mengekalkan ciri-ciri Islam. 

Masjid ini merupakan konsep rekaan Wan Musatafa Wan Su atau dikenali Wanpo pemilik syarikat Khazanah Seni Warisan.Selain mempunyai reka bentuk menarik masjid itu juga mempunyai pelbagai kemudahan asas termasuk dewan solat, pusat sumber, kolah besar dan lanskap untuk kawasan rekreasi kepada orang ramai yang berkunjung mengerjakan ibadat di situ. 

Keesokannya (Jumaat) masjid ini akan dirasmikan oleh Sultan Terenggnu Tuanku Mizan Zainal Abidin. Alangkah indahnya dan unik sekiranya Putrajaya juga dapat mewujudkan masjid hebat berkonsep seni bina Melayu islami ini sebagai mercu tanda Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, nescaya ianya menjadi suatu tarikan baru pelancongan dan pengimarahan ke Putrajaya dan menyerlahkan keunikan Malaysia.