KEDUDUKAN, PERANAN DAN KEPENTINGAN AL-RĀBITAH DALAM DISIPLIN ILMU DAN AMALAN TASAWWUF


KEDUDUKAN, PERANAN DAN KEPENTINGAN AL-RĀBITAH DALAM DISIPLIN ILMU DAN AMALAN TASAWWUF

4.1 PENGENALAN

Dalam bab keempat, perbincangan akan menjurus kepada beberapa aspek yang berkaitan dengan al-rābitah. Antaranya kita cuba melihat kedudukan al-rābitah dari sudut ilmu dan amalan tasawwuf khasnya dan dalam Islam umumnya. Begitu juga akan dihuraikan beberapa dalil yang berkaitan dengan keharusan amalan al-rābitah dalam Islam di samping akan membicarakan juga beberapa bentuk dan bahagian al-rābitah. Tidak ketinggalan juga perbincangan akan menyentuh aspek kepentingan al-rābitah dalam ilmu dan amalan tasawwuf. Di samping itu terdapat beberapa perkara lain yang berkaitan juga akan cuba diketengahkan dalam perbahasan ini agar dapat membantu dan memperjelaskan lagi fakta-fakta yang cuba dihuraikan kelak. Dengan wujudnya beberapa fakta dan huraiannya tentang kedudukan al-rābitah, dalil-dalil yang melibatkan pro dan kontra terhadap al-rābitah, bentuk-bentuk al-rābitah dan kepentingannya dalam disiplin ilmu tasawwuf yang akan dipersembahkan nanti diharap dapat membantu dan memperjelaskan lagi terhadap bentuk, corak, warna serta gambaran yang jelas dan sebenar yang telahpun disentuh dalam bab ketiga yang lalu.


4.2 KEDUDUKAN AL-RĀBITAH

Untuk melihat dengan lebih jelas kedudukan al-rābitah menurut perspektif Islam dan disiplin ilmu tasawwuf yang sebenar, kita hendaklah memberikan tumpuan dan penelitian yang serius lagi mendalam terhadap berbagai definisi al-rābitah, sama ada dilihat dari sudut bahasa mahupun dari sudut istilah. Seperti yang telah dihuraikan dalam bab yang ketiga dahulu. Demikian juga dengan fakta-fakta serta huraiannya yang berhubung dengan kedudukan seorang syeikh dan kedudukan seorang yang al-sālik, serba sedikit akan membantu memperjelaskan lagi makna dan kedudukan al-rābitah yang diamalkan di dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Di samping itu kita juga telah melihat kalimah al-rābitah itu melalui penjelasan dari al-Qur’an dan al-Sunnah, sejarah kehidupan manusia dan agama, di samping pandangan ulamak tasawwuf dan sebagainya lagi. Berdasarkan kepada sumber maklumat tersebut, maka dapatlah kita katakan bahawa kedudukan al-rābitah dalam Islam dan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf itu adalah seperti berikut:


4.2.1 Al-Rābitah sebagai sumber pendidikan.
4.2.2 AI-Rābitah sebagai sumber pengawasan diri.
4.2.3 AI-Rābitah Sebagai Sumber Perpaduan.

 

.3 DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF

Apabila kita membicarakan soal al-rābitah dan mentalaah kitab-kitab tasawwuf tentangnya, maka antara dalil-dalil yang telah digunakan oleh para ulamak tasawwuf dahulu dan sekarang ialah seperti berikut:
4.3.1 Firman Allah S.W.T:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ . 
Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Dalam ayat di atas terdapat dua fi‘il al-amr yang membawa maksud perintah. Perintah pertama agar bertakwa kepada Allah S.W.T., sedang yang kedua pula perintah agar bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat sādiqin. Justeru menurut ayat di atas kita diperintahkan oleh Allah S.W.T. agar bersama-sama dengan mereka dari semua aspek kehidupan. Kita dituntut supaya bersifat sabar seperti sabarnya golongan tersebut, kita diperintahkan bersifat dengan sifat mukmin, solehin dan sebagainya seperti yang mereka miliki. Lantaran itu kita diperintahkan memohon kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan dengan nikmat-nikmat seperti yang telah Allah S.W.T. kurniakan kepada golongan tersebut. Keadaan ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ. 
Maksudnya:

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan ni’mat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dumurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Persoalannya di sini ialah bagaimana perintah supaya bersama-sama itu dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Di sinilah titik permulaan untuk kita membicarakan masalah al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dengan bersandar kepada dalil di atas. Kerana terdapat berbagai pendapat serta pandangan yang telah dikemukakan terhadap persoalan ini. Namun bagi para ulamak tasawwuf, secara umumnya mereka berpendapat ayat tersebut membawa maksud al-rābitah. Pendapat tersebut adalah didasarkan kepada beberapa fakta berikut:

1- Menurut al-Khāni seperti yang terdapat dalam kitabnya berjudul al-Haqā`iq al-Wardiyyah, yang beliau nukil dari keterangan Syeikh ‘Ubaydullah bahawa al-kaynunah, (iaitu perkataan kunu) dalam ayat di atas merupakan perintah Allah S.W.T. agar manusia sentiasa bersama-sama dengan golongan al-siddiqin seperti yang disebutkan dalam surah al-Taubah tersebut, arahan supaya bersama-sama ini merangkumi aspek zahir dan batin. Menurut ‘Ubaydullah lagi, al-kaynunah al-ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan oleh golongan tasawwuf dengan al-rābitah.

Oleh yang demikian dapat kita fahamkan di sini bahawa al-kaynunah tersebut boleh terjadi dalam dua bentuk, pertama al-kaynunah yang bersifat zahir dan kedua pula ialah al-kaynunah dari sudut ma‘nawiyyah atau yang batin.

2- AI-Kaynunah dalam ayat tersebut juga tidak boleh terjadi sama sekali kecuali setelah berlaku irtibāt yang sempurna antara kedua belah pihak. Oleh yang demikian perintah Allah S.W.T. supaya sentiasa bersama dengan golongan al-siddiqin itu tidak akan terjadi tanpa adanya suatu bentuk irtibāt antara kedua-dua golongan tersebut. Dalam mewujudkan situasi irtibāt antara kedua-dua golongan ini maka amalan al-rābitah berperanan sangat penting bagi mewujudkan irtibāt tersebut.

Dari kedua-dua fakta di atas memperjelaskan lagi di sini bagaimana ulamak tasawwuf menggunakan ayat al-Qur’an surah al-Taubah ayat 119 tersebut sebagai dalil yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah yang diamalkan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Walaupun demikian, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah itu dibantah oleh ulamak bukan tasawwuf, seperti Syeikh Ahmad Khātib. Beliau membantah keras penggunaan ayat tersebut dengan membuat beberapa ulasan antaranya beliau menyebutkan:

Mereka mentafsir; orang-orang yang benar dengan guru-guru. Dan; serta mereka, dengan menghadirkan mereka ketika berzikir, kerana hendak memelihara rupa itu dan beradab kepadanya serta meminta limpahan daripadanya supaya dengan menghadirkannya, sempurna hadir hati kepada Allah Ta'ala dan turun cahaya. Dan dengan melihat rupa itu terhalang tiap-tiap pekerjaan yang bersifat kekurangan.

Dari keterangan di atas Syeikh Ahmad Khātib mengemukakan bantahan beliau dengan pandangannya:
Dalil itu adalah batal dan mentafsirkan al-Qur’an dengan fikiran semata-mata yang terlarang. Sabda Nabi kita (s.a.w.):

Bermaksud:

“Barangsiapa mengatakan sesuatu tentang al-Qur’an dengan fikirannya semata-mata atau dengan kejahilan, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam api neraka.” 


Orang tersebut telah termasuk dalam umum hadis ini kerana ia telah mentafsirkan al-Qur’an dengan fikirannya. Adapun makna:

Jadilah engkau seperti mereka itu tentang benarnya.

Dan seperti itu pula diriwayatkan Bayhaqi dan lain-lain dari Ibn Mas‘ud. Maka yang dikehendaki dengan sādiqin (orang-orang yang benar), ialah segala orang yang benar agama, niat, perkataan dan amalannya.

Maka dari tafsir di atas nyatalah bahawa ayat tersebut tidak boleh dijadikan dalil bagi menghadirkan guru ketika berzikir, iaitu makna rābitah. Dan jika kita umpamakan makna:

Jadilah kamu berserta orang-orang yang benar.

Maka ia juga tidak menunjukkan kepada makna menghadirkan rupa guru ketika berzikir. Kerana orang yang menghadirkan rupa guru itu tidaklah ia berserta orang yang benar. Kerana orang yang benar ialah anak Adam (manusia) yang amat benar dalam agama, niat dan ibadatnya. Sedang rupa guru itu bukan ia diri guru. Dan makna berserta suatu dengan suatu ialah bersama-sama dengan dia dan bergaul dengan dia. Bukan makna berserta itu menghadirkan rupanya. Maka antara dalil dan madlul berjauhan seperti antara bumi dengan langit.

Adapun katanya beradab dengan rupa guru meminta limpahan daripadanya, maka telah lalu bahawa ia terlarang menurut nas Qur’an yang telah diterangkan, kerana dia beradab terhadap bayang-bayang guru dan meminta kepadanya. Maka yang demikian menyampaikan kepada mensekutukan Tuhan dan mengiktikadkan yang lain dari Allah Ta'ala mempunyai bekas.

Penjelasan:
Seperti yang telah kita bincangkan, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah ini adalah merujuk kepada makna yang batin atau ma‘nawi. Justeru, konsep bersama-sama yang cuba diutarakan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang terdapat dalam ayat di atas ialah bersama-sama dari sudut maknanya yang batin atau ma‘nawiyyah itu. Hal ini jelas terbukti dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni seperti yang beliau jelaskan
وجوز أن يكون عاما لهم ولغيرهم فيكون المراد بالصادقين الذين صدقوا فى الدين نية وقولا وعملا, وأن يكون خاصا بمن تخلف وربط نفسه بالسوارى. 

Maksudnya:

Boleh juga diertikan bahawa al-sadiqin itu dengan makna yang am bagi mereka dan selain mereka, maka yang dimaksudkan dengan al-sadiqin itu ialah mereka yang benar dalam agama dari sudut niat, perkataan dan perbuatan. Dan boleh juga diertikan al-sadiqin itu secara khusus kepada mereka yang terdahulu dengan berabitah dirinya atas kemuliaan dan darjah mereka.

Jelas dari keterangan al-Ālusi ke atas ayat 119 surah al-Taubah itu tadi, menunjukkan bahawa al-siddiqin itu adalah merujuk kepada orang-orang yang terdahulu, sama ada mereka itu dari kalangan ahli kitab, Rasulullah s.a.w. mahupun para sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. Fakta ini beliau jelaskan dengan menukil keterangan yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mundhir daripada Jarir daripada Nāfi‘, beliau menyebutkan:
أن الاية نزلت فى الثلاثة الذين خلفوا , والمراد بالصادقين محمد صلى الله عليه وسلم وأصحابه , وبذلك فسره ابن عمر كما أخرجه أبى خاتم . 

Maksudnya:

Sesungguhnya ayat tersebut diturunkan kepada golongan yang terdahulu, sedangkan maksud al-sādiqin pula ialah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Demikian penafsiran Ibn ‘Umar seperti yang dikeluarkan oleh Abu Khātim.

Oleh yang demikian, dapat kita membuat tanggapan di sini bahawa pandangan Syeikh Ahmad Khatib ketika menghuraikan makna berserta atau bersama itu hanya terbatas kepada makna yang zahir dengan merujuk kepada pergaulan secara fizikal, pandangan tersebut tentu sahaja menyalahi kaedah pentafsiran yang telah dikemukakan oleh al-Ālusi tersebut. Kerana menurut al-Ālusi, yang dimaksudkan dengan al-sādiqin itu ialah mereka yang terdahulu yang sezaman dengan Nabi s.a.w., atau yang sebelum itu lagi. Jika demikian, bagaimana pandangan Syeikh Ahmad Khatib dalam menjelaskan bersama-sama dengan orang al-sādiqin itu boleh dipraktikkan, kerana zaman mereka telah berlalu sekian lama. Dalam konteks ini apakah boleh kita mengabaikan sahaja perintah Allah S.W.T. agar kita bersama dengan orang yang al-sādiqin tersebut? Di sinilah timbulnya pandangan ulama-ulama tasawwuf yang mentafsirkan bersama-sama itu dalam pengertiannya yang ma‘nawiyyah. Menurut al-Khāni bersama-sama dari sudut ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan dengan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. 

Kesimpulan:
Dari perbincangan di atas, dapat kita mengambil beberapa kesimpulan yang menyebabkan timbulnya kekeliruan ketika memahami maksud ayat 119 dalam surah al-Taubah tersebut adalah seperti berikut:

a) Tidak memahami dan menerima bentuk pentafsiran yang bersifat ma‘nawiyyah terhadap ayat-ayat al-Qur’an.

b) Pentafsiran yang dilakukan mestilah memahami secara bahasa dan istilah terhadap makna al-rābitah tersebut, kerana makna dan konsep al-rābitah itu tidak hanya terbatas kepada amalan menghadirkan rupa guru ketika hendak berzikir semata-mata, tetapi lebih luas dan lebih umum dari itu. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan:
عن أسماء بنت يزيد, انها سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ألا أنبئكم بخياركم؟ قالوا: بلى يا رسول الله! قال : خياركم الذين اذا رؤا , ذكر الله عز وجل . 

Maksudnya:

Daripada Asmā` binti Yazid, bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda. Adakah tidak mahu aku khabarkan kepada kamu orang yang paling baik di kalangan kamu? Mereka menjawab : Bahkan Ya Rasulullah! Mereka yang apabila dilihat mengingatkan orang yang melihat itu kepada Allah S.W.T.

Hadis di atas memberikan penjelasan kepada kita bahawa dengan melihat seseorang yang berada pada maqāmnya yang hampir dengan Allah S.W.T., akan memberikan keberkatan terhadap orang yang melihatnya. Bagi seorang yang sālik, hal tersebut merupakan wasilah yang boleh mempercepatkan bagi dirinya untuk berada pada tahap wusul kepada Allah S.W.T. Oleh sebab itu, dalam menjalani suluk, seorang yang sālik amat dituntut untuk menghadirkan rābitah sebagai memenuhi maksud hadis di atas. Jika sekiranya yang dimaksudkan dengan ru’yah itu hanya terbatas kepada pandangan yang zahir sahaja, bagaimana dengan orang-orang terkemudian yang tidak pernah berjumpa dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w., para sahabat, tābi‘ al-tābi‘in dan seterusnya? Tentu sahaja kita tidak dapat mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas.

Dalam konteks Malaysia hari ini, siapa agaknya yang boleh menepati kehendak dari hadis di atas? Sukar untuk kita mencari seorang guru yang menepati ciri-ciri seperti generasi awal zaman Rasul s.a.w. Jika adapun terlalu kecil bilangannya dan sukar pula untuk berjumpa dan melihatnya bagi mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas. Oleh itu, menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwaf, ru'yah dalam hadis di atas merangkumi kedua-dua maksud, iaitu penglihatan yang zahir dan yang kedua ialah penglihatan yang batin. Melihat dengan mata hati yang bersifat sanubari itu sebenarnya adalah lebih berkesan dan memberikan manfaat bagi seorang yang sālik ketika menjalani al-suluk.

 

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.

4.3.2 Firman Allah S.W.T.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . 

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. supaya kamu beroleh kejayaan. 

Seperti yang telah kita jelaskan, ketika menghuraikan dalil yang pertama, pengertian batin atau ma‘nawiyyah terhadap ayat ini diambil kira dalam menjelaskan peranan dan kedudukan al-rābitah. Bagi menjelaskan fakta ini dapat kita lihat keterangan yang diberikan oleh ahli tafsir tentangnya. Sebagai contoh seperti keterangan yang telah dikemukakan oleh Syeikh al-Ālusi dalam tafsirnya yang terkenal, Ruh al-Ma‘āni antara lain menyebutkan:

(ورابطوا) فى مقام الروح ذواتكم حتى لا تعتريكم فترة أو غفلة واتقوا الله عن المخالفة والاعراض والجفاء 

Maksudnya:

Dan berābitahlah kamu pada tingkat roh itu ialah diri kamu (hati dan sirr kamu) sehingga kamu tidak ditimpa lemah (iman) dan kelalaian dan bertakwalah kepada Allah S.W.T. (dengan menjaga diri) dari (sifat) menentang Allah S.W.T., membelakangkan Allah S.W.T. dan membenci Allah S.W.T. 

Syeikh al-Fakhr al-Rāzi tidak ketinggalan memberikan keterangannya dalam tafsirnya Mafātih al-Ghayb, bahawa perkataan rābitu dalam ayat di atas adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Antara maksud yang termasuk dalam pengertian batin itu ialah seperti sifat sabar, tetap iman, gigih dan sebagainya lagi. Situasi seumpama ini memang boleh terjadi dalam hati seseorang, baik ketika berjihad atau mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya. Ini bererti bahawa sifat-sifat batiniah seperti di atas amat dituntut sebagai satu landasan kepada aspek yang zahir.

Dari keterangan yang telah diberikan oleh para mufassir di atas, dapat kita menyimpulkan di sini bahawa istilah rābitu yang digunakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud zahir dan batin. Sedang yang batin itu lebih ditekankan kerana ia sebagai dasar dan asas tiap-tiap yang zahir. Oleh yang demikian jika teguh aspek yang batin, maka sudah pasti akan teguh pula aspek zahir itu. Sebagai contoh; jika rābitah yang zahir itu ialah sentiasa bersiap sedia atau waspada di tempat ibadah atau dengan makna menanti-nanti waktu solat selepas menunaikan solat, bersiap sedia atau waspada dengan kekuatan tentera di perbatasan negara untuk memerangi musuh atau seumpamanya, maka rābitah yang bersifat batin atau ma‘nawiyyah pula bolehlah kita katakan sebagai perkara-perkara yang bersifat ruhāniyyah yang menyumbang kepada kekuatan keimanan kepada Allah S.W.T. dan akhirnya akan membawa seseorang itu mencapai kejayaan seperti yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat di atas tadi. Antaranya ialah rābitah al-syeikh seperti yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. 

Menurut Prof. Madya Dr. Jahid Sidek, huraian seperti yang tersebut berhubung dengan perintah rābitah dalam kalimah wa rābitu itu sebenarnya tidak menyalahi kaedah merumuskan kefahaman hukum dari ayat tersebut. Hal ini disebabkan, perintah daripada Allah S.W.T. itu sebenarnya merangkumi aspeknya yang zahir dan batin. Beliau seterusnya membuatkan kronologi terhadap kewajipan berpuasa yang merangkumi puasa zahir dan yang batin. Jika dari sudutnya yang zahir, puasa itu tidak boleh makan, minum dan apa juga yang boleh membatalkan puasa tersebut dari terbit fajar hingga terbenam matahari, maka begitu juga dengan puasa jika dilihat dari sudutnya yang batin hendaklah menjaga hati dan semua anggota dari berbagai pekerjaan yang membawa akibat kepada dosa. Malahan puasa yang batin itulah yang lebih penting seperti yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa ramai orang yang berpuasa itu hanya merasai lapar dan dahaga sahaja tanpa mendapat pahala dan hikmat yang sebenar dari puasa tersebut. Demikian juga dengan tuntutan berābitah dalam ayat di atas, jika kita hanya berābitah dari sudutnya yang zahir, bererti kita akan penat berada di tempat ibadat itu sahaja tanpa mendapat hikmatnya yang sebenar. 


Kesimpulan

Dari keterangan dan perbincangan di atas, maka dapatlah kita tegaskan sekali lagi bahawa amalan rābitat al-syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf seperti yang telah diterangkan definisi dan konsepnya, begitu juga dengan kedudukan dan cara mengamalkannya merupakan salah satu dari berbagai bentuk wasilah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Amalan tersebut tentu sahaja boleh menyampaikan seseorang yang sālik kepada hakikat mengenal Allah S.W.T., sama seperti kita berwasilah dan berwāsitah dengan segala ciptaan sama ada di langit dan di bumi seperti yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

أَفَلاَ يَنْظُرُونَ إِلَى الاِْبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ . وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ . وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ . وَإِلَى الاَْرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ . 

Maksudnya:

Maka apakah mereka tidak memerhatikan atau melihat bagaimana dunia diciptakan . Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan. Dan bukit-bukit bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan . 

Bagaimana keadaan dan perasaan kita ketika sedang merenung, memandang dan memikirkan tentang ciptaan Allah S.W.T. tersebut? Tentu sahaja pandangan dan renungan itu bukan kepada Zat Allah S.W.T., sebaliknya melihat dan memikirkan tentang berbagai kesan kewujudanNya, keagunganNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Maka begitulah juga dalam ajaran tasawwuf, rābitah dengan syeikh al-murshid itu bukanlah zat syeikh itu yang menjadi tumpuan dan matlamat akhirannya, tetapi ialah wujudnya Allah S.W.T., keagunganNya, kehebatanNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Akhirnya akan melahirkan seorang mukmin yang bersifat dengan sifat orang-orang yang mutawakkilin seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًَا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ . 

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah S.W.T.(dan sifat-sifatNya) gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah .

 

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.

4.3.3 Firman Allah S.W.T.:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . 

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadanya (dengan mematuhi dan meninggalkan laranganNya), dan berjuanglah pada jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."

Dari keterangan yang berdasarkan kepada ayat 35 surah al-Maidah di atas, jelas menunjukkan adanya perintah untuk mencari wasilah seperti yang terkandung dalam ungkapan
وابتغوا إليه الوسيلة . Tujuan serta matlamat berbuat demikian juga telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat tersebut dengan ungkapan لعلكم تفلحون . Dari keterangan yang diberikan dari dua ungkapan tersebut menunjukkan bahawa amalan mencari wasilah itu merupakan suatu yang sangat penting kerana tanpanya kejayaan yang dicari tidak akan kunjung tiba seperti yang telah diterangkan oleh struktur ayat tersebut.

Masalahnya sekarang ialah, apakah yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. dengan ungkapan
وابتغوا إليه الوسيلة tersebut. Apakah ia hanya terbatas kepada amal soleh atau apa juga bentuk wasilah selain dari amal soleh. Di sinilah titik perselisihan yang timbul sehingga ada yang mengatakan bahawa wasilah selain amal soleh adalah bersifat bidaah dan tidak ada dalam syariat Islam. 

Kita berpendapat, oleh kerana ayat al-Qur’an tersebut tidak memberikan penjelasan yang tepat terhadap maksud wasilah yang sebenar, maka di sini ada ruang yang diberikan oleh syariat Islam untuk mentafsirkan ayat tersebut kepada makna-makna yang tertentu berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu.

Dalam hal ini ulamak tasawwuf berpendapat bahawa al-wasilah itu adalah bersifat umum, ia merangkumi semua bentuk tawassul sama ada kepada zat-zat yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T semasa hidup atau sesudah matinya, begitu juga tawassul dengan amal-amal soleh. Untuk membatasi tujuan al-wasilah dalam ayat di atas hanya kepada amal-amal soleh ternyata agak sukar, kerana selain bermaksud umum, kalimah tersebut juga dari sudut kaedah bahasa Arab berada pada posisi ism al-ma‘rifah bukan ism al-nakirah sekalipun kalimah al-wasilah itu dalam bentuknya yang mufrad tidak jamak. 

Namun ulamak yang tidak terlibat secara langsung dengan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, secara umumnya menolak penggunaan ayat 35 dalam surah al-Ma`idah ini sebagai dalil keharusan untuk mengamalkan al-rābitah. Seperti Syeikh Ahmad Khātib menganggap wasilah selain daripada amal soleh itu adalah perbuatan bidaah dan terlarang dalam syariat Islam. Menurut beliau perbuatan berwasilah kepada selain dari amal soleh seperti berwasilah kepada zat-zat yang mulia yang mempunyai kelebihan serta ketinggian martabah di sisi Allah S.W.T. adalah permohonan dan permintaan kepada selain daripada Allah S.W.T. Beliau beranggapan perbuatan berwasilah tersebut adalah bertentangan dengan hadis Rasullah s.a.w. yang bermaksud:

Apabila kamu hendak meminta tolong maka pintalah pertolongan itu daripada Allah. 

Sebenarnya, penggunaan ayat 35 surah al-Ma`idah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah bagi tujuan mensabitkan keharusan al-rābitah itu. Kerana amalan rābitah merupakan salah satu dari berbagai cara untuk berwasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.

4.3.4 Firman Allah S.W.T.:
وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلاَ أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ .


Maksudnya:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan TuhanNya (tentang kejinya perbuatan zina itu) Demikianlah agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih . 

Berdasarkan kepada ayat di atas para mufassirin telah berselisih pendapat tentang maksud burhāna rabbihi. Kerana ungkapan ini telah ditafsirkan kepada berbagai maksud dan tujuan. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan dan keyakinan ulamak tasawwuf dan tariqat, yang dimaksudkan dengan burhāna rabbihi dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud al-rābitah. 

Keyakinan ini disandarkan kepada kebiasaan yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang sangat menekankan hubungan yang erat antara seorang murid dengan syeikhnya. Hasil dan kesan dari hubungan yang erat dan kukuh ini akan melahirkan satu sifat yang sentiasa ingat kepada guru atau syeikhnya. Ingatan tersebut akan berlaku ketika hendak melakukan perintah Allah S.W.T. seperti yang telah diterima ketika waktu pengajian yang diberikan oleh gurunya. 

Begitu juga apabila hendak melakukan sesuatu kemaksiatan dia akan terbayang guru murshidnya seakan-akan marah terhadap dirinya dengan memperingatkan supaya jangan melakukan maksiat tersebut. Hal ini menyebabkan hawa nafsunya terhenti dan tidak jadi untuk meneruskan perbuatan yang diruntun oleh nafsu syahwat tersebut. Keadaan ini telah menjadi satu disiplin dan kaedah bagi seorang yang sālik dalam amalan tariqat. Kaedah ini dilakukan untuk mengawal diri dari terjerumus ke lembah maksiat yang boleh menggagalkan seorang yang sālik untuk wusul ilā Allah S.W.T.

Justeru kerana itu, jika seorang Islam yang mengambil sesuatu ilmu dengan tidak menggunakan perantaraan seorang guru murshid atau syeikh, maka kemungkinan untuk terjadinya penyelewengan terhadap nilai-nilai agama Islam adalah besar. Hal ini disebabkan seseorang itu merasakan dirinya tidak berada dalam lingkaran kesesatan. Dalam hal ini, yang paling jelas, ia tidak mendapat keberkatan dari kedudukan seorang guru yang murshid itu ketika mendapatkan ilmu yang tersebut. Dalam konteks ini perlu diingatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiripun diajarkan oleh Allah S.W.T. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.

Oleh yang demikian, rābitah yang dilakukan oleh pengamal tariqat khasnya dan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf amnya adalah semata-mata kerana Allah S.W.T. Tidak terdapat sedikitpun unsur-unsur penyembahan kepada guru murshid. Jangan disamakan amalan rābitah ini dengan perbuatan orang-orang yang musyrik, jika tidak memahami konsep serta tujuan amalan ini dilakukan. Orang-orang musyrik itu memang dengan sengaja menjadikan berhala-berhala mereka sebagai tempat melakukan perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., mereka beriktikad bahawa berbagai bentuk berhala tersebut mempunyai status sebagai oknom yang dipertuhankan lantaran kekuasaan yang dimiliki sama dengan kekuasaan Allah S.W.T.

Keadaan ini tidak berlaku dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, walaupun terdapat amalan rābitah dalamnya, tetapi ia mempunyai konsepnya yang tersendiri. Murshid hanya sebagai orang tua yang mengandungi makna barakah yang dijadikan wasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Tidak ada keyakinan bahawa guru atau syeikh itu memberikan bekas terhadap keyakinan dan iktikad yang dituju, iaitu Zat Allah S.W.T. Hanya Allah S.W.T. sebagai tempat pengharapan dan sembahan, tidak ada iktikad mempertuhankan guru murshid. Seperti yang telah dijelaskan di atas tadi, bahawa guru itu berada pada posisinya sebagai orang tua yang sewajarnya diikuti dan dipatuhi segala perintah dan anjurannya selama mana dia tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T.dan RasulNya, sebaliknya apa juga bentuk larangan yang dibenci hendaklah segera dijauhi dan ditinggalkan. Mereka yang berada dan beramal dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf merasa takut dan khuatir apabila hendak meninggalkan perintah agama dan melanggar apa yang dilarang lantaran teringatkan atau terbayang wajah guru murshid berada di hadapannya dalam keadaan marah terhadapnya.

Dari penjelasan yang telah diberikan di atas tadi, dapat dinyatakan di sini bahawa disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menjadikan ayat 24 dalam surah Yusuf tersebut sebagai sandaran bagi keharusan amalan rābitah. Satu hal yang perlu difahamkan di sini ialah firman Allah S.W.T. yang tersebut dalam ayat 24 surah Yusuf itu adalah jelas dari syariat yang terdahulu, (yakni syariat Nabi Yusuf) namun perlu diingatkan bahawa hukum syariat itu masih muhkamah (berjalan atau berlaku) bagi umat Muhammad s.a.w., tidak terdapat satu keterangan pun yang membatalkan atau membatasi syariat tersebut. Atau hanya terbatas dengan tamatnya tempoh kerasulan Nabi Yusuf a.s. Untuk itu ada kebenarannya menurut pandangan Islam jika ahli tariqat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf mengamalkan al-rābitah dengan para guru murshid mereka.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.

4.3.5 Firman Allah S.W.T.:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ . 

Maksudnya:

Katakanlah wahai Muhammad! Jika sekiranya kamu mengasihi Allah S.W.T., maka hendaklah kamu ikut aku, nescaya Allah S.W.T. akan mengasihi kamu. 

Ayat di atas secara umumnya dikaitkan oleh ulamak tasawwuf dengan amalan al-rābitah. Malahan ayat tersebut dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Antara beberapa sebab yang dikira wajar oleh ulamak tasawwuf untuk menyandarkan keharusan amalan al-rābitah dengan ayat di atas sebagai berikut:

1- Merujuk Kepada Konsep Fattabi‘uni.
Ayat di atas mengandungi perintah dari Allah S.W.T., melalui lisan Nabi Muhammad s.aw. dengan ungkapan Fattabi‘uni bermaksud: Ikutilah akan daku yang ditafsirkan oleh al-Ālusi dengan katanya:

أو من مجاز النقص أى إن كنتم تحبون طاعة الله تعالى أو ثوابه فاتبعونى فيما آمركم به عنه. كذا قيل. 

Maksudnya:

Atau dari bab majāz al-Naqs iaitu: Jika sekiranya cintakan ketaatan kepada Allah S.W.T., atau pahala daripadaNya, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti daku dari apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada kamu dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Demikian apa yang telah dikatakan.

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi di atas tadi, jelas kepada kita bahawa, untuk mendapat dan merasakan mahabbah terhadap Allah S.W.T. itu mestilah dengan cara mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala urusan yang berkaitan dengan suruhan dan larangan daripada Allah S.W.T. Persoalannya di sini ialah bagaimana kita hendak merealisasikan konsep ittibā‘ tersebut. Dari ungkapan fattabi‘uni, sebahagian besar ulamak tasawwuf mentafsirkan kalimah tersebut kepada maksud al-rābitah. Fakta ini berdasarkan kepada suatu keyakinan bahawa konsep al-ititbā‘ dalam ayat tersebut membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ iaitu melihat kepada yang diikuti secara zahir mahupun batin. Hal ini telah diterangkan oleh al-Khāni dalam kitabnya al-Bahjah al-Saniyyah dengan katanya:

ففيه اشارة الى الرابطة لأن الأتباع يقتضى رؤية المتبوع حسا أو تخيله معنى وهو غرضنا من الرابطة . 

Maksudnya:

Maka dalamnya mengisyaratkan kepada makna al-rābitah, kalimah ittibā‘ itu sendiri membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ (melihat yang diikuti) sama ada secara zahir mahupun dengan cara menghadirkan makna (batin). Dan inilah yang kami maksudkan dengan al-rābitah itu. Jika tidak demikian maka ia tidak dikira sebagai matbu‘ . 

Berdasarkan kepada kenyataan al-Khāni di atas, menunjukkan kepada kita bahawa hubungan yang bersifat ruhāniyyah itu nampaknya begitu penting dan sangat berperanan dalam membimbing seorang yang sālik menuju hadirat Allah S.W.T. Dengan menggunakan kaedah yang berkonsepkan al-rābitah tersebut, hubungan ruhāniyyah ini akan dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Dengan demikian perintah fattabi‘uni itu secara langsung dapat disempurnakan dari sudut zahirnya dengan mengikut dan melaksanakan segala suruhan dan larangan, manakala dari sudutnya yang batin pula dapat dilaksanakan dengan melakukan al-rābitah.

2- Merujuk Kepada Konsep Mahabbah
Ayat al-Qur’an di atas juga memberikan satu gambaran yang jelas kepada kita bahawa untuk mendapatkan sifat mahabbah terhadap Allah S.W.T., seseorang itu hendaklah mengikut jejak Rasulullah s.a.w. dari sudut zahir dan batin. Sedang hakikat al-hubb itu ialah wujudnya sifat al-‘alāqah al-rābitah dalam diri seseorang yang sālik. Tanpa sifat ini, adalah sukar bagi seseorang yang sālik untuk mencapai sifat mahabbah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Fakta ini dapat diperjelaskan lagi menerusi keterangan Muhammad Husayn al-Tabā`tabā’i dalam tafsirnya al-Mizān, antara lain menyebutkan dengan katanya:

والحب في الحقيقة هو العلقة الرابطة التي تربط أحد الشيئين بالآخر . 

Maksudnya:

Dan sifat mahabbah itu hakikatnya ialah al-'alāqah al-rābitah (ketergantungan dan keterikatan) yang menghubungkan antara satu dengan yang lain. 

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Tabā’tabā’i di atas tadi jelas bahawa amalan al-rābitah tersebut adalah aspek terpenting bagi seorang yang sālik untuk membolehkannya mencapai maqām al-mahabbah dalam perjalanannya menuju ke hadirat Allah S.W.T. Jika dilihat dari sudutnya yang zahir, kita diperintahkan supaya mengikuti jejak Nabi Muhammad s.a.w. untuk mencapai maqām mahabbah tersebut, manakala dari sudut ruhāniyyah pula, amalan al-rābitah berfungsi sebagai wasilah untuk mencapai maqām tersebut.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada dua konsep yang terkandung dalam ayat al-Qur’an, surah Āli 'Imran di atas, para ulamak tasawwuf melalui disiplin ilmu dan amalan tasawwuf telah menentapkan amalan al-rābitah adalah salah suatu aspek penting yang menyumbang kepada kejayaan bagi seorang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan oleh al-Qādiri dalam kitabnya Madārij al-Haqiqah antara lain menyebutkan:

ولهذا عمد أئمة الطريقة الى تكليف السالكين بتصور المرشد الأعظم , صلى الله عليه وسلم , وتصور المشايخ المرشد, الورثة المحمديين , وتخيلهم للاستفادة من تلك الأسرار , والاستنارة من تلك الأنوار , لحفظ الحال والترقى الى الكمال . 

Maksudnya:

Berdasarkan kepada pentingnya amalan al-rābitah tersebut, maka ulamak-ulamak tariqat telah menetapkan kepada para sālikin agar menghadirkan murshid al-a'zam Baginda s.a.w. dan menggambarkan mashāyikh al-murshidin yang mewarisi ajaran Muhammadiyyah, dan mengkhayalkannya bagi mendapatkan faedah dari rahsia-rahsia tersebut. Di samping mendapatkan cahaya bagi menjaga al-hāl dan peningkatan (al-Taraqqi) ke arah kesempurnaan. 

Secara keseluruhan dari dalil-dalil yang telah dikutip melalui sumber al-Qur’an, seperti yang telah dibentangkan di atas tadi adalah merujuk kepada tafsirannya yang bersifat ishāri. Tafsiran seumpama ini telah pun diakui sah dan benar oleh kebanyakan ulamak Islam. Hal ini dinyatakan oleh al-Taftazāni, beliau menyebutkan:
وأما ما يذهب اليه بعض المحققين من أن النصوص على ظواهرها , ومع ذلك ففيها ءا شارات خفية ءالى دقائق تنكشف لأرباب السلوك يمكن التوفيق بينهما وبين الظواهر المرادة فهو من كمال الاءيمان ومحض العرفان . 

Maksudnya:

Dan adapun pandangan yang dibuat oleh sesetengah golongan muhaqqiqin bahawa nas-nas al-Qur’an itu (yang dimaksudkan) ialah zahirnya. Walaupun demikian dalam nas-nas al-Qur’an itu juga terdapat berbagai isyarat yang tersembunyi yang menunjukkan berbagai rahsia yang sangat halus yang akan tersingkap (rahsia-rahsia) itu bagi golongan ahli suluk, yang mana ianya boleh disesuaikan dengan maksud yang zahirnya sebagaimana yang dikehendaki itu. Menyesuaikan di antara (maksud) yang tersembunyi dengan yang zahir itu adalah merupakan sebahagian dari kesempurnaan iman dan ma‘rifah yang sebenar. 

Berdasarkan kepada prinsip tafsir ishāri seperti yang diterangkan di atas, maka segala dalil-dalil yang telah diperturunkan sememangnya mempunyai maknanya yang zahir, di samping maknanya yang bersifat batin ditunjukkan secara ishāri. Berdasarkan kepada dua prinsip tafsir ini maka para ulamak tasawwuf, seperti yang telah dihuraikan di atas, berpendapat segala ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibentangkan itu adalah merujuk kepada makna yang ditafsirkan secara ishāri dengan membawa pengertian al-rābitah. Hal ini terbukti dengan pengalaman yang telah dilalui dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menunjukkan bahawa amalan rābitat al-syeikh itu akan membolehkan seseorang yang sālik sentiasa ingatkan Allah S.W.T, sifat ghaflah akan hilang di samping lenyapnya was-was yang bersifat kesyaitanan.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF

4.3.6 Sumber hadis Rasulullah s.a.w.
Dalil keenam akan merujuk kepada beberapa buah hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah tersebut. Antara beberapa buah hadis yang dapat dikaitkan sebagai dalil keharusan amalan al-rābitah adalah seperti berikut:


1- Sabda Nabi S.A.W:

إن من الناس مفاتح لذكر الله إذا رؤا ذكر الله . 

Maksudnya:

Sesungguhnya sebahagian daripada manusia itu adalah sebagai anak kunci (yang membuka hati) bagi mengingati Allah S.W.T. (iaitu) apabila mereka itu dipandang maka ingatlah Allah S.W.T.(orang yang memandangnya itu). 


2- Sabda Nabi S.A.W:

ألا أنبئكم بخياركم الذين إذا رؤا ذكر الله .

Maksudnya:

Mahukah kamu aku khabarkan akan orang yang sebaik-baik di kalangan kamu? Orang yang sebaik-baik di kalangan kamu itu ialah mereka apabila dipandang maka yang memandang itu akan ingatkan Allah S.W.T. 


3. Sabda Nabi S.A.W:

خياركم من ذكركم الله رؤيته وزاد علمكم منطقه وغربكم فى اللآخرة عمله . 

Maksudnya:

Orang yang sebaik-baiknya di kalangan kamu itu ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan memandang (rupanya) dan percakapannya akan menambahkan ilmu kamu dan amalannya mendorongkan kamu cintakan hari akhirat. 




4. Sabda Nabi S.A.W:

قيل يا رسول الله أي جلسائنا خير؟ قال : من ذكركم الله رؤيته وزاد في علمكم منطقه وذكركم باللآخرة عمله . 

Maksudnya:

Rasulullah (s.a.w.) ditanya: Ya Rasulullah siapakah orang yang sebaik-baik menjadi rakan perbualan kami? Rasulullah bersabda: Dia itu, ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan melihatnya, percakapannya menambahkan ilmu kamu dan amalannya pula mengingatkan kamu kepada akhirat. 


5- Sabda Nabi S.A.W:

لا يدخل النار مسلم رأنى , ولا من رأى من رأنى ولا من رأى من رأنى أى ولو بسبعين واسطة فانهم خلفائى فى التبليغ والارشاد ءان استقاموا على شريعتى . 

Maksudnya:

Tidak akan masuk neraka orang (Islam) yang telah melihat aku (Nabi Muhammad) dan tidak juga akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang yang telah melihat aku dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat muka-muka orang yang melihat kamu, iaitu walaupun (sampai) kepada tujuh puluh wasitah (lapisan keturunan). Sesungguhnya mereka itu adalah khalifahku dalam menyampaikan (ajaran Islam) dan asuhan Islam, sekiranya mereka itu sentiasa istiqamah dalam syariatku. 

Dari lima buah hadis yang telah dibentangkan di atas tadi, cukup rasanya untuk menjelaskan dalil keharusan amalan al-rābitah. Dari sini dapatlah kita membuat kesimpulan dengan memandang rupa, mendengar perkataan dan memerhatikan tingkah-laku orang yang bersifat taqwa itu akan memberikan kesan rohaniah yang baik terhadap perjalanannya menuju Allah S.W.T. Antara beberapa kesan rohaniah tersebut ialah boleh menguatkan iman, membetulkan amalan dan menggemarkan kita kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat. Konsep melihat dan memandang yang terkandung dalam hadis di atas menurut keyakinan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Dari keterangan hadis di atas juga dapat kita memahami bahawa hadis-hadis tersebut menggalakkan kita supaya bersalawat kepada Nabi s.a.w. di samping berdampingan dengan orang-orang yang memiliki sifat-sifat taqwa. Atau sekurang-kurangnya sentiasa menjadikan mereka itu sebagai orang yang selalu kita ingati dalam khayalan kita. Apatah lagi jika orang itu sememangnya menjadi guru kita dalam bidang kerohanian seperti syeikh al-murshid. Sebaliknya kita dilarang dari bersahabat dengan orang-orang jahat yang selalu melanggar perintah Allah S.W.T. Pergaulan yang sedemikian sifatnya hanya akan mengganggu perjalanan rohaniah seseorang yang sālik.

Hubungan erat yang berlandaskan kasih sayang antara seorang sālik dengan seorang yang layak bergelar syeikh memang dituntut dalam Islam. Keadaan tersebut telah diajarkan oleh Baginda s.a.w. dan ditempuh serta diharungi oleh para sahabat semasa mereka bersama-sama dengannya. Khalifah Abu Bakr misalnya tidak dapat melupakan wajah Rasulullah s.a.w. sekalipun ketika beliau berada di dalam bilik air. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh al-lmam al-Bukhāri seperti berikut:

ان أبا بكر الصديق اشتكى إلى النبى صلى الله عليه وسلم عدم انفكاكه عنه حتى كأنه يراه فى بيت الخلأ . 

Maksudnya:

Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi s.a.w. tentang pengalamannya yang mana beliau terasa tidak bercerai daripada Nabi sehingga dalam bilik airpun seolah-olah ia masih melihat wajah Nabi s.a.w. 

Demikianlah antara beberapa buah hadis yang dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah. Namun demikian jika kita masih mahu meneliti kitab-kitab hadis yang lain, sudah pasti kita akan menemui berpuluh, malah mungkin beratus hadis yang berkaitan dengan amalan al-rābitah ini. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandalawi pernah menyatakan fakta ini dengan katanya:

وهكذا مئات الروايات عن التصور موجودة فى كتب الاحديث لذلك يصعب جدا أن نقول تصور الشيخ لا يجوز مطلقا; 

Maksudnya:

Demikianlah terdapat beratus-ratus riwayat (hadis) tentang membayangkan rupa syeikh itu ada dalam kitab-kitab hadis. Oleh yang demikian adalah sukar benar bagi kita untuk mengatakan bahawa membayangkan rupa guru itu tidak harus secara mutlak.