Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer




Buku Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer perjelas situasi

BUKU biografi, autobiografi dan memoir tidak miskin dalam khazanah kepustakaan tanah air baik yang melingkari kehidupan politikus, birokrat dan korporat atau melatari kepengarangan sasterawan, kewartawanan serta kesenian seniman.
Bagaimanapun, naskhah yang mengungkap perjalanan kesarjanaan dan keintelektualan golongan ilmuwan dalam perjuangan mereka mengutip ilmu serta hikmah boleh dianggap buku yang hadir dalam himpunan tradisi kita.
Marhalah ini wajar diambil iktibar oleh penuntut dan perancang mahupun pelaksana dasar untuk membuat peta arah perjalanan serta pertumbuhan akliah ilmiah untuk kebaikan diri perseorangan. - Prof Dr Mohamad Zaini Othman, Koordinator Antarabangsa dan Penerbitan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban UTM
Sedang hakikatnya buku yang menyorot perjalanan kesarjanaan mereka bukan saja jauh lebih penting dalam memberi contoh teladan dan semangat kepada ahli akademik serta bakal sarjana, bahkan memperlihatkan tradisi ilmu dengan kesinambungan dalam gedung peradaban besar.

Apatah lagi proses keilmuan tidak hanya membabitkan peribadi sarjana itu, sebaliknya ia meliputi seluruh ulama, ilmuwan dan intelektual sehingga ilmu mampu berkembang.

Dalam tradisi keilmuan Islam sendiri, imam dan ulama, baik dalam bidang usuluddin, hadis, fiqah dan pelbagai bidang ilmu lain boleh disusuri perjalanan keilmuan mereka baik salasilah guru atau susur galur anak murid mereka.

Hal itulah yang menjadi inti pati kepada Wacana Ilmu Buku Rihlah Ilmiah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, yang memperkatakan buku Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (Rihlah Ilmiah).
Editor Buku Rihlah Ilmiah, Dr Adian Hussaini, berkata buku itu sangat penting di Indonesia kerana masalah kekeliruan ilmu di negara itu yang disifatkannya sangat luar biasa dan tersebar ke mana-mana.

“Di Indonesia sekarang, sudah ada hampir 700 universiti dan institut pengajian Islam, manakala pondok pesantren pula mungkin menjangkau 30,000 jumlahnya dengan umat Islam melebihi 200 juta orang.

“Di Indonesia kalau ke mana juga, masalahnya sama saja sehingga soalan yang dikemukakan hampir serupa kerana masalah kekeliruan ilmu itu asalnya satu saja,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.

Dr Adian berkata, masalah kekeliruan ilmu itu dapat diberikan oleh Prof Wan Mohd Nor kerana statusnya sebagai anak murid kepada Fazlur Rahman, iaitu ahli falsafah dan sarjana Islam kelahiran Pakistan terkemuka yang menjadi Profesor Pemikiran Islam di Universiti Chicago, Amerika Syarikat. “Di mana-mana saja Prof Wan Mohd Nor berceramah, soalan yang dilontarkan kepada beliau hampir sama, iaitu ‘anda murid Fazlur Rahman, tetapi kenapa pemikiran anda berbeza?’, sekali gus membuka ruang kepadanya untuk menjawab hal itu.

“Ini kerana di Indonesia, Fazlur Rahman sudah dianggap identifikasi dengan Nurcholis Majid dan Syafii Maarif serta liberal sehingga beliau diangkat sebagai guru pemikir liberal,” katanya pada wacana yang dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Prof Wan Mohd Nor dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Bagaimanapun, Dr Adian berkata, ceramah di pelbagai universiti di Indonesia tidak cukup, sebaliknya memerlukan bahan bertulis khususnya buku dan majalah seperti yang pernah dilakukan mereka melalui penerbitan Jurnal Islamika.

“Justeru, saya selalu menggalakkan Prof Wan Mohd Nor menulis Rihlah Ilmiahnya, sekali gus dapat memberikan jawapan terhadap kekacauan yang berlaku dalam memahami ilmu,” katanya yang juga Pensyarah Pasca Sarjana-Program Studi Timur Tengah dan Islam Universiti Indonesia (PSTTI-UI).

Koordinator Antarabangsa dan Penerbitan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohamad Zaini Othman, berkata melalui sembilan belas bab buku itu, pembaca diperkenal dan dihidangkan dengan jalan hidup dan perkembangan insan yang melalui marhalah, di samping tahap ilmiah dalam tempuh berpuluh tahun.

“Marhalah ini wajar diambil iktibar oleh penuntut dan perancang mahupun pelaksana dasar untuk membuat peta arah perjalanan serta pertumbuhan akliah ilmiah untuk kebaikan diri perseorangan.

“Ini kerana diri yang berilmu bukan dibentuk dalam empat atau sepuluh tahun sehingga Dr Mustafa Ceric menyebut 40 tahun adalah masa yang singkat untuk melahirkan ilmuwan,” katanya pada wacana yang turut menampilkan Ketua Sekretariat Suruhanjaya Visi 1440H, Bank Pembangunan Islam (IDB), Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor.

Beliau memetik pandangan Mufti Besar Bosnia Herzegovina yang pernah berkhidmat di Institut Pemikir dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Kuala Lumpur.

“Dan untuk masak ranum pemikirannya dan zahir insan bergagasan besar, ia bukan sekadar masak pemikiran secara tabii kerana wawasan dan gagasan besar bukan hasil pemikiran runcitan, sebaliknya ia adalah kurniaan Allah SWT,” katanya.

Keperluan buku biografi, autobiografi dan memoir itu turut disentuh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang dalam ucapan pelancarannya yang menganggap penerbitan Rihlah Ilmiah memberi ruang kepada sarjana muda dan mereka yang berhasrat menjadi sarjana untuk memulakan kehidupan dalam konteks keilmuan.

“Ini kerana kita tidak banyak contoh teladan yang boleh dibaca dan dihayati oleh anak muda untuk memahami kerjaya sebagai sarjana.

“Buku ini menjadi petanda pentingnya kita mendapatkan tokoh yang menulis kehidupan mereka termasuk kejayaan mendepani pelbagai masalah dan menyediakan diri apabila berhadapan dengan tokoh besar yang akhirnya mereka bergelar tokoh pula,” katanya.

Kekeliruan ilmu
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/05/07