Syaikh Ahmad Bin
Muhammad Zain Al-Fatani – Pemikir Bangsa
Oleh - 'Abdullah Zaidi bin Hassan
Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa
al-Fatani RH adalah seorang Muslim-Melayu yang merupakan antara peribadi
kemuncak di dalam sejarah tamaddun Melayu dari zaman Melaka sehingga
kini. Syaikh menyatakan sifat dirinya sebagai:
Yang dibangsakan kepada Imam Abi al-Hasan
al-Asya‘ari mazhabnya lagi kepada Melayu bahasanya lagi kepada
Patani tuturannya lagi kepada kenyataan isyaratnya. (1)
Syaikh adalah seorang ulama yang
menghabiskan umurnya berkhidmat kepada ilmu, seorang pengerak masyarakat yang
berfikir merentasi negeri kelahirannya, merangkul keseluruhan
rantau Melayu dan kesejagatan ummah. Seorang yang meneruskan warisan
ilmu dan hikmah para ulama dan hukama dari zaman silam serta bersedia untuk
mengharungi masa mendatang yang mengandungi belbagai penemuan. Seorang sufi
yang mengusahakan kejilahan hati dan agar diri tiada sunyi dari berzikir
bagi menikmati kemanisan bersama Tuhannya, serta di masa sama dia bergerak
cergas pula di dalam masyarakat bersama raja-raja dan para fuqara. Dia
teramat sayang kepada ilmu dan amalan agamanya yang mulia, lanjutan kepada
sayang yang amat itulah yang mencambahkan sayangnya kepada bangsa,
tanah air dan bahasanya.
Latar
Belakang Masyarakatnya
Datuk beliau Syaikh Mustafa Bin
Muhammad adalah seorang panglima Istana Raja Patani, yang telah
mengundur diri selepas tentera Raja Patani kalah perang dengan tentera
Siam, lalu membuka pondok pengajian di Kampong Sena Janjar, daerah Jambu.
Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari
Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam
akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadr.
Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar zuriat beliau menjadi
ulama. Telaga itu masih ada sehingga sekarang dan berada tidak berapa jauh
dari kubur beliau. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang, Syaikh
Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, Syaikh Daud dan Syaikh
Muhammad Zain, ayahnya Syaikh Ahmad bergiat di Makkah dan Syaikh Abdul Qadir,
yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya di Patani.
Sebelum kelahiran Syaikh Ahmad, Patani berada di
dalam keadaan yang tegang. Berapa siri peperangan telah berlaku di antara
tentera Siam dan tentera Raja Patani. Di dalam peperangan 1831, Long Muhammad
Raja Kelantan telah menghantar bantuan tentera di bawah pimpinan
Raja Muda Kampong Laut dan Raja Banggol, sementara Sultan Terengganu telah
menghantar bantuan di bawah pimpinan Panglima Tengku Idris. Takdirnya Patani
telah kalah perang, Tuan Sulung, Raja Patani dan Tuan Kundur ,Raja Jala telah
melarikan diri ke Kelantan, sementara Tuan Kecik, Raja Nongcik dan Tuan Dah,
Raja Legeh lari ke hulu Patani. Tuan Kecik telah diburu dan dibunuh oleh
tentera Siam, Tuan Dah sempat melarikan diri ke Perak. Siam telah mengancam
untuk menyerang Kelantan dan Terengganu kerana telah menghantar bantuan
menyokong Raja Patani. Lalu pada tahun 1832, Long Muhammad, Sultan Kelantan
terpaksa menyerahkan Tuan Sulung dan Tuan Kundur kepada Siam dan Terengganu
pula menyerahkan Panglima Demit, Panglima Mahmud, Panglima Pie’ dan Panglima
Ahmad. Seramai 4,000 orang tawanan perang telah dibawa ke Bangkok.
Pada Tahun 1838, Kedah pula melancar serangan
untuk memerdekakan diri daripada Siam, iannya juga disertai oleh
panglima raja-raja Melayu lainnya, peperangan ini telah sampai
hingga ke Chenok, kemudian tentera Melayu dapat dipatahkan oleh tentera Siam.
Syaikh Ahmad membuat sedikit catitan tentang perjuangan yang panjang itu:
(Faedah) awal musuh Patani dengan Siam
itu pada tahun ular besar iaitu tahun 1235 daripada hijrah sah dan
nama raja yang musuh dengan Siam itu Long Abdul Qadir anak saudara Raja
Nik yang jadi raja dahulu daripadanya (2)
Pada tahun 1842, Kelantan berada di dalam keadaan
kucar kacir kerana peperangan saudara di antara Tuan Senik Mulut Merah
melawan Raja Dewa Penambang, Raja Muda Tengku Sri Indera dan Tengku Muhammad
anak Raja Muda Kampong Laut. Tuan Senik telah mendapat bantuan Siam untuk
mengukuhkan kedudukan baginda, sebagai penyelesaian bagi perang saudara ini,
pihak Siam telah membawa Tengku Mahammad dan penyokong baginda ke Patani
dan dilantik menjadi raja pada pertengahan tahun 1842, berkebetulan Patani
ketiadaan raja di waktu itu.
Keadaan Patani agak tenteram di bawah
pemerentahan Raja-raja asal Kelantan ini. Tengku Muhammad diganti oleh
anakanda baginda Tengku Putih . Pada tahun 1881. Tengku Putih pula
diganti oleh Tengku Timun. Tengku Timun diganti oleh Tengku Sulaiman Syarif
ad-Din pada tahun 1890. Baginda telah membuat banyak kemajuan di negeri
Patani termasuklah meluruskan saliran Sungai Patani sepanjang 7km dan membina
Masjid Batu di Cabang Tiga. Baginda diganti oleh Tengku Abdul Qadir Qamar
ad-Din pada tahun 1899.
Pada tahun 1902 Siam telah merancang untuk
mengubah sistem pemerintahan di kawasan selatan dengan menghapuskan kekuasaan
Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu telah menurunkan tanda tangan perstujuan
kecuali Raja Patani, Raja Reman dan Raja Legeh. Akhirnya Raja Raman dan Raja
Legeh telah dipaksa menurunkan tanda-tangan. Tinggallah Sultan Abdul
Qadir yang berkeras, kemudiannya baginda dipenjarakan di utara Bangkok dan
dibebaskan pada tahun 1905. Baginda telah berundur ke Kelantan dan mangkat di
Kelantan pada tahun 1933. (3)
Ditakdirkan Allah yang keseluruhan hidup Syaikh
Ahmad bersamaan dengan tempuh pemerintahan Raja asal Kelantan di Patani,
beliau dilahirkan pada tahun pertabalan Tengku Puteh sebagai Raja Patani dan
beliau meninggal selepas Raja terakhir dari keturunan ini dilucutkan kuasa
oleh Kerajaan Siam. Begitupun Syaikh Ahmad bergiat di Hejaz dan Masir bukan
di tanah tumpah darahnya, Patani. Syaikh Ahmad mencatitkan:
(Faedah) Diperanakkan Ahmad Bin Muhammad Zain Bin
Mustafa Bin Muhammad Fatani pada malam jumaat waktu jendera budak 5 haribulan
Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan 5 daripadanya
dengan istilah Siam pada hari yang keenam daripada bulan yang keenam pada
istilah Melayu dan tempat beranaknya pada kampong Jambu, negeri Jerim
daripada bumi Patani dan masya’nya kampong Jambu itu dan Kampong Sena Janjar. (4)
Syaikh Ahmad tidak lama membesar di Patani,
ketika berusia empat tahun beliau telah dibawa oleh ayahnya ke tanah suci,
Makkah. Di sini beliau telah menjalani kehidupan sebagai seorang penuntut
yang gigih, ketika berumur belasan tahun beliau menyambung pelajarannya
di Masir. Di sana beliau telah mula menghasilkan tulisan sendiri dan terjun
di dalam kerja-kerja penerbitan kitab-kitab Melayu .
Beliau kembali ke Makkah sebagai seorang ilmuan
yang disegani dan penyair yang terbilang. Beliau segera didatangi oleh
murid-murid yang ramai terutama dari rantau Melayu. Walaupun terdapat ramai
ulama dari rantau kita di waktu itu yang bergiat di bumi Makkah, tetapi
kedudukan Syaikh Ahmad agak teristimewa. Selain daripada menguasai ilmu-ilmu
tradisional agama seperti ulama yang lainnya,beliau juga memiliki kesungguhan
untuk memahami perkembangan kemajuan yang sedang pesat berlaku dan beliau
berusaha untuk memanafaatkan kemajuan itu untuk meninggikan agama Islam dan
memartabatkan bangsanya.
Beliau juga telah mengadap Sultan
Abdul Abdul Hamid II untuk membenarkan percetakan kitab-kitab Melayu di
Makkah. Beliau juga telah membawa beberapa orang muridnya mengunjungi Syam
untuk bertemu Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani, kemudian mengunjungi Masir
dan bertemu dengan Syaikh Muhammad Abduh. Beliau juga menghantar
muridnya ke beberapa daerah untuk tujuan dakwah, terutamanya beberapa
muridnya telah pergi ke Kemboja Beliau mengambil berat tentang
nasib yang menimpa anak bangsanya [istilah Syaikh Ahmad ialah anak
jenisnya].
Zaman Syaikh Ahmad bergiat berkebetulan dengan
zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul, banyak
daripada kawasan pemerentahan Uthmaniyyah telah jatuh ke tangan negara-negara
barat. Syaikh sangat mengkagumi sejarah kebesaran kerajaan
Uthmaniyyah di zaman lampau dan mengharapkan pemerentahan Uthmaniyyah akan
berterusan demi kepentingan ummah. Di waktu yang sama beliau
sangat insaf tentang kelemahan dan kemunduran ummah serta kekuatan pihak lain
hasil kemajuan yang sedang berlaku di Eropah dan Amerika ketika itu.
Jarak masa yang mana syaikh bergiat-cergas dengan
kerja-kerjanya di dalam bidang-bidang yang belbagai itu tidaklah begitu panjang.
Ketika umurnya baru lima-puluh dua tahun, syaikh telah kembali menemui
Tuhan. Di dalam surat yang dikirim oleh bapa saudaranya
Syaikh Wan Daud bin Mustafa serta anaknya Syaikh Wan Ismail kepada Tengku
Long Bin Tengku Ngah, Besut, dinyatakan:
Hadrat Tuanku yang mulia serta hamba
Tuanku mengurniakan sembah dari hak hamba Tuanku, Wan Ahmad bin
Almarhum al-Haj Wan Muhammad Zain itu sudah kembali ke rahmatullah pada malam
sebelas haribulan Zu al-Hijjah [1325H]di Mina. Maka dibawa turun ke Makkah,
maka ditanam di Ma’la, dengan sebab mati sebelah tubuh. Awal sakitnya pada
dua puluh dua Jamadu al-Akhir [1325H]. Maka dapat (sembuh)
sedikit, kemudian bertambah pula. Pada lepas puasa enam maka hingga [dapat
sembuh] sedikit pula, boleh naik haji. Maka tatkala lepas zuhur hari raya
haji maka kena pula [serangan penyakit] hingga sampai lepas maghrib hingga
habis umurnya….dan demikian lagi al-Haj Wan Muhammad Zain bin Almarhum al-Haj
Mustafa [ayahanda Syaikh Ahmad] itu pun kembali ke rahmatullah juga pada
lapan belas haribulan Zu al-Hijjah [1325H] dengan sebab sakit cara orang tuha
sahaja. (5)
Memahami perkiraan asas inilah yang
menjadi kunci bagi kita memahami corak pemikiran Syaikh Ahmad dan dengan itu
dapat kita jadikan pedoman dalam menyelusuri pengaruh pemikirannya ke
atas masyarakat.
Memandangkan keterbatasan ilmu serta
kekurangan maklumat yang ada pada pencatit ini, maka kebanyakan contoh
kesan pemikiran Syaikh Ahmad ke atas masyarakat tertumpu kepada
pengalaman-pengalaman di Kelantan, walaupun sudah barang tentu pengaruh
pemikiran Syaikh Ahmad adalah lebih meluas daripada itu.
Sikap
Mengambil Berat Tentang Bangsanya
Agaknya dengan latar belakang bangsanya, terutama
penduduk Patani yang di rudung malang akibat kalah perang melawan
Siam dan kebanyakan negeri Melayu lainnya masih dijajah oleh kuasa-kuasa
dari Eropah telah menyebabkan Syaikh Ahmad begitu mengambil berat tentang
nasib bangsanya. Dia telah mengerah fikiran dan melakukan usaha yang
terancang sebagai langkah untuk menebus maruah bangsanya.
Syaikh Ahmad telah memperkenalkan bangsa Melayu
dengan menyebut:.
Iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah
kepada Melayu dengan kasrah [baris di bawah bagi huruf] mim atau
difathahkan[baris di atas]nya dan dammah[barisan di depan bagi
huruf] ya. Mereka itu adalah suatu kelompok atau
golongan yang besar daripada manusia. Negeri mereka adalah sesubur-subur
negeri di dunia. Ianya terletak di antara negeri Hindi dan China dan
kebanyakan dari pulau Waq-Waq .Dan ahli ilmu geografi menganggap
sebahagian negeri-negeri mereka sebagai negeri-negeri Indo-China. Penduduk
Hejaz menamakan mereka dan golongan-golongan selain mereka dari wilayah itu
dengan sebutan ;jawa’ , dan mereka[orang jawa sebenarnya] itu golongan yang
menduduki sebuah pulau besar di sana, dan mereka bukan orang
Melayu. Dan bahasa mereka [Melayu] adalah bahasa yang paling
ringan di kalangan penduduk rantau itu. Maka kerana
inilah ianya telah diguna-pakai kebanyakan ahli Hejaz di dalam
muamalat dengan golongan-golongan yang tersebut itu [walaupun
mereka] mempunyai bahasa-bahasa yang berbeza. Mereka adalah qaum
yang bersifat ikhlas, lemah-lembut, lunak, berperibadi baik. Maka
setengah daripada keistimewaan mereka sesungguhnya tiada terlihat
di negeri mereka dan di negeri lainnya seorangpun daripada mereka menjadi
pengemis walaupun mereka bersangatan faqir .Bagi mereka ketertiban di dalam
urusan, kehalusan di dalam pertukangan, menerima pembaharuan di dalam
perusahaan, menerima pelbagai maklumat dan ilmu berserta dengan
terserlah faham mereka di dalamnya. Dan adalah bagi mereka dulunya
kerajaan-kerajaan yang besar kemudian dijajah padanya tangan-tangan
kerajaan-kerajaan kuffar. Semoga Allah memelihara negeri-negeri muslimin
daripada mereka [kuffar itu] (6 )
Syaikh Ahmad sangat menekankan beberapa nilai
positif yang ada pada bangsa Melayu yang boleh dijadikan antara ‘bahan
mentah’ bagi mambangunkan bangsa. Syaikh Ahmad menyebut:
Alhamdulillah ada maruah pada jenis Melayu
terlebih banyak dari setengah-setengah jenis yang lainnya dengan dalil memuliakan
mereka itu akan orang dagang yang baik yang datang kepada negeri mereka itu
istimewa Ahli al-Hijjaz Dan jika tiada dibalas mereka itu dengan syukur
sekalipun dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya dan tiada ada pada
mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta bersalahan setengah daripada
jenis yang lain (7)
Syaikh Ahmad menyebut tentang sifat-sifat
kebajikan yang perlu diamalkan di dalam perbincangan Tasauf dengan
mengatakan:
Dan berlemah-lembut dengan mereka itu [muslimin]
dan memperdamaikan segala yang berseteru dan tolong-menolong atas
kebajikan dan menyuruh dengan maaruf dan menegahkan daripada
mungkar dan menyempurnakan segala amanah lagi memuliakan yang sekampong
dengan dia dan mendirikan dengan segala ‘iyalnya dan amat berbuat kebajikan
bagi ibu-bapa lagi menghubungkan rahim segala kerabat dan bersungguh pada
muafakat dan sangat kasih sayang kepada sekelian yang tersebut dan segala
muslimin istimewa bagi anak jenisnya dan anak negerinya. (8)
Syaikh juga memerhati yang sesuatu bangsa yang
besar itu perlu mengambil berat darihal sejarahnya, serta
dipelajari iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku, kata syaikh:
(Dan adapun) ahli Tanah Melayu kita maka tiadalah
memperduli mereka itu dengan syaan [urusan] tawarikh hingga jahillah mereka
itu akan ehwal segala masa yang telah lalu atas negeri mereka
itu daripada masa yang hampir bahkan tiada mengtahui mereka itu akan
nama-nama segala nenek moyang mereka itu pada hal belum lalu beberapa lapis
yang sedikit (tetapi) ada juga tersampai khabar kepada perhamba bahawasanya
ada bagi setengah-setengah negeri mereka itu buku yang disebutkan di dalam
setengah-setengah ehwal yang jatuh di dalam masa yang tertentu dikatakan
baginya ‘Sejarah Patani’ dan seumpamanya* Dan perhamba dengarkan
setengah daripada orang tua-tua mentarikh mereka itu pada ketika
berkhabar-khabar pada ‘Tahun Musuh Kedah’ atau kemudian daripada tiga tahun
daripada ‘Musuh Patani’ pada hal tiada disuratkan bagi demikian [tahun]
musuh-musuh itu akan tarikh yang dapat kita ketahui dan kita perpegangkan
dengan dia (Dan adalah) tiap-tiap bangsa yang lain istimewa Arab dan Parsi
dan ahli Eropah yang dahulu-dahulu dan yang kemudian-kemudian sangat
amat-amati mereka itu dengan pekerjaan tarikh hingga dapat mengetahui mereka
yang terkemudian daripada mereka itu akan ehwal yang dahulu-dahulu dengan
masa beberapa ribu tahun…
Betapa tinggi hemmah dan besar pisah [usaha]
bangsa orang supaya dapat bagimu hidayatu al-i’tibar* maka menjalani
engkau akan jalan manafaat dan hasil dawamu al-iftikhar [berkelalan
kemulian]* dan membuka engkau bagi dirimu dan bagi segala anak jenismu akan
mata istibsar [mendapat pengajaran] (9)
Penekanan
Kepentingan Penguasaan Ilmu.
Syaikh Ahmad mempunyai cita-cita yang luhur,
beliau mencatitkan:
Dan adalah tercita-cita di dalam hati hamba ini
bahawasa Allah Ta’ala lagi akan memperdengarkan hamba dan memperlihatkan
hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa adalah segala raja-raja di dalam
Tanah Melayu yang mulia menaruh mereka itu akan cemburu pada segala
hati mereka itu dan membesarkan hemmah mereka itu
dan menghadapkan amat-amati mereka itu dan menyungguh-nyungguhkan
usaha mereka itu pada bahawadijadikan segala negeri mereka itu bendaharaan
ilmu dan perladungan kepandaian dan membuka segala mata anak jenis mereka itu kepadamemandang
cemerlang kebijakan dan handalan supaya adalah kelihatan megah
bangsa Melayu antara segala alam. Dan terkebilangan nama
mereka itu antara segala Bani Adam. Dan bertambah-tambah
kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama. Dan bertambah nyata
agama mereka itu atas segala agama. Serta dapat pula bagi segala
hadrat raja-raja itu jikalau diperbuatkan demikian itu keredaan
daripada Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya yang mulia dan jadilah mereka tauladan
dan ikutan bagi segala mereka yang kemudian daripada mereka itu maka
masuk mereka itu di dalam mereka yang diimtinan Allah Ta‘ala dengan
mereka itu pada firman-Nya (ertinya) “dan Kami jadikan mereka itu segala yang
menunjuk mereka itu dengan pekerjaan Kami”. Dan dapat pula bagi mereka
itu pahala yang amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka
yang dapat manafaat dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap mereka
yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu terbahagi ia dengan
mereka itu selamanya kerana sabda Rasulullah SAW (ertinya) “barang siapa
mereka-reka ia pada agama Islam akan suatu rekaan yang eluk maka baginya
pahalanya dan pahala mereka yang mengerjakan dengan dia kemudian daripadanya
daripada ketiadaan kurang daripada segala pahala mereka itu
sesuatu” rawahu Muslim. Dan dapat pula bagi mereka itu sebutan yang baik
dan kepujian yang eluk atas lidah segala makhluk. (10)
Sebelum itu Syaikh Ahmad melahirkan rasa
dukacitanya kerana bangsanya tidak mengambil berat tentang pendidikan. Bagi
beliau, golongan berpengaruh dalam masyarakat Melayu daripada golongan
raja, para pembesar dan hartawan seakan-akan tidak sedar tentang
akibat yang menimpa apabila urusan ilmu dan kemahiran diperingan-ringankan,
penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapai oleh bangsa hendaklah dimulai
dengan langkah penguasaan ke atas ilmu dan kemahiran yang mencakupi semua
bidang dan tidak terhad pada ilmu keagamaan sahaja, Syaikh mencatitkan:
Dan adalah pada hati hamba risau dan benci dengan
sebab ihmal dan mensia-siakan bangsa kita ahli Tanah Melayu dan ahli segala
tanah yang di bawah angin dan segala raja-raja mereka itu yang
muslimin yang dahulu-dahulu dan yang sekarang ini dan segala mereka yang
kaya-kaya dan kemudahan daripada mereka itu tiada memperduli mereka itu akan
umpama segala perkara yang tersebut itu hingga jadi kemudian daripada
kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan kepada
segala bangsa yang lain pada segala ehwal kehidupan dan hilang segala
tempat kediaman kita dan kemegahan kita maka sekelian itu dengan
sebab taqsir kita pada umpama perkara itu dan sangka
kita bahawa sekelian itu bukan daripada pekerjaan yang
bergantung dengan agama kita maka sebab itulah kita biarkan dia pada hal jikalau
kita tilik halus-halus niscaya adalah berbimbang dengan demikian itulah dapat
kuat atas segala seteru dan kekerasan yang dengan dialah hasil
pelihara akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan eluk pada segala mata
mereka itu dan termasyhur segala pendengaran mereka itu dan hebat pada
segala hati mereka itu dan betapa tiada demikian itu setengah daripada barang
yang bergantung dengan agama dan pada hal tiada sempurna ia melainkan
demikian itu dan betapa pula masuk demikian itu di bawah kekuatan yang
disuruh Allah Ta‘ala mensediakan ia dan bersiapkan dengan ia pada
firman-Nya Ta‘ala (ertinya) “dan bersiap oleh kamu bagi mereka itu akan
barang kuasa kamu daripada kekuatan dan daripada mengawali beberapa kuda pada
negeri dan tepi-tepinya hal keadaan menakut kamu dengan dia akan seteru Allah
dan seteru kamu”.(11)
Syaikh memperbetulkan fahaman keliru yang
terdapat di kalangan ahli masyarakat yang beranggapan bahawa jenis ilmu dan
pekerjaan yang bukan dari ibadat secara khusus tidak dituntut oleh
agama. Kefahaman ini perlu diikatkan kepada kefahaman yang benar tentang
maratib pengamatan kerohanian Islam yang menyeluruh. Syaikh memberi
nasihat:
Maka hendaklah bersungguh-sungguh oleh tiap-tiap
yang berakal pada pekerjaan yang mulia yang manafaat bagi dirinya dan
ahlinya dan bagi muslimin serta amat-amati ia pada
pekerjaan ini dengan meninggalkan barang yang menyakiti dan menghilangkan
maruah seperti [dia]bersungguh-sungguh ia pada pekerjaan akhiratnya bahkan
pekerjaan dunia yang tersebut itu setengah daripada pekerjaan akhirat dan
telah datang pada hadith(ertinya) “bekerja olehmu bagi dunia kamu seolah-olah
engkau hidup selama-lama dan bekerja olehmu bagi dunia engkau lagi akan mati
engkau esuk hari” Wallahu Ta‘ala ‘alam. Dan mensedikit ia akan segala yang
lain daripada Allah Ta‘ala maka mengintai-intai ia akan Tuhannya pada
sekelian kelakuannya ertinya takut ia seolah-olah melihat ia akan Dia
Subhanahu wa Ta‘ala maka jika tiada melihat ia akan Dia, maka Allah Ta‘ala
melihat akan dia dan takut akan Allah Ta‘ala itu dengan mengerjakan tiap-tiap
yang disuruh daripada segala yang difardukan dan tertahan daripada tiap-tiap
yang ditegah daripada segala yang diharamkan serta taubat daripada dosa
semada dosa besar atau dosa kecil (kemudian) mengerjakan dia akan segala yang
sunnat dan meninggal akan segala yang makruh (dan hendaklah) amat-amati ia
dengan meninggal akan segala yang ditegah atas terlebih bersangatan daripada
amat-amatinya dengan mengerjakan yang disuruh. (12)
Syaikh menyebut tentang ciri sesuatu bangsa yang
berjaya itu ialah usaha mereka yang gigih dalam menguasai ilmu dan
kemahiran, hasilan daripada penguasaan ilmu dan kemahiran itulah membawa
mereka kepada kejayaan mereka. Syaikh menulis:
Maka demikianlah amat-amati ahli negeri
orang dengan syaan ilmu pada negeri mereka itu hingga
masyhur bangsa mereka itu antara sekelian bangsa dengan kepandaian dan
bijaksana dan kepetahan dan banyak ilmu maka dengan demikian itulah dapat
mereka itu mereka-reka memperbuatkan beberapa alat yang
manafaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada
sejauh-jauh negeri dalam masa yang singkat dan datang kepada
mereka itu sekelian khabar-khabar daripada sejauh-jauh jajahan dalam beberapa
lahzah dan mengindah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan
lekas dan banyak dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan
masa dan dengan sebab baik perbicaraan dan muafakat antara mereka itu serta
besar hemmah dan halus tipu dan jauh helah dan tajam tilik mereka itu yang
jadi sekeliannya itu daripada banyak pelajaran mereka itu maka dapatlah
mereka itu memelihara akan segala negeri dan jajahan mereka itu
hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu
mengambil negeri orang dan meliputi mereka itu dengan ehwal dunia laut dan
darat”. (13)
Syaikh Ahmad mengharapkan agar usaha-usaha dapat
dijalankan bagi menyediakan kemudahan bagi semua untuk mendapat
pelajaran, agaknya apa yang disebut sekarang dengan istilah ‘pendemokrasian
pendidikan’. Syaikh mencatit bahawa di antara sikap yang baik dan perlu
dipupuk:
Sangat amat-amati pada meninggikan agamanya dan
mengambil dengan segala sebab bagi demikian itu setengah daripadanya
mengajarkan ilmu yang memberi manafaat dan memudahkan menuntutinya
hingga rata antara segala mereka itu dan ketahuilah olehmu bahawasa
ilmu itu umbi dan amal itu faedahnya dan sedikit amal serta ilmu itu terlebih
baik daripada banyaknya serta jahil maka dari kerana inilah belajar ilmu dan
mengajarnya afdal daripada sembahyang sunnat. (14)
Syaikh menyebut usaha-usaha yang telah dijalankan
oleh bangsa-bangsa lain untuk memajukan bidang pendidikan . Dan ini perlu
dicontohi oleh bangsa kita:
Bahawasanya ahli negeri yang besar-besar yang
lain daripada ahli pihak kita sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan
ilmu dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak
mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekalipun dan
berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti
ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekelian jalan dan
tipu hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan segala kitab yang
boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah dalam masa yang sedikit
sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum
lagi sudah satu naskhah jua dan membina mereka itu akan beberapa banyak
madrasah iaitu rumah tempat mengajar dan mengaji segala ilmu dan bagai-bagai
hikmah dan kepada ini bergantung dengan dunia dan akhirat mereka itu (15)
Syaikh menyebut perihal kemahiran yang terhasil
daripada pendidikan yang terdapat di dalam masyarakat yang maju. Kemahiran
itu mencakupi kemahiran membaca, menulis, mengarang,mengira, kemahiran komunikasi,
muzik dan lainnya pada peringkat yang awal lagi, katanya:
Maka bermegah-megah mereka itu[para penuntut]
setengah di atas setengah dengan eluk khat dan pandai menulis dan cepat
berhitung dan eluk aturan surat kiriman pandai bertutur dengan
beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan
bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian [kemahiran] dan dapat tiap-tiap
seseorang daripada mereka itu daripada ilmu dan kepandaian pada hal
belum baligh umurnya (16)
Syaikh kemudiannya memperinci apa yang
diperhatinya berlaku di Masir dan Istanbul:
Syaikh Ahmad sendiri selain daripada menjadi
tenaga pengajar yang penting di zamannnya, beliau juga berusaha dengan gigih
untuk menjayakan percetakan kitab-kitab Melayu yang dijadikan teks
pengajian dan rujukan di dalam pendidikan agama di tanah air kita . Syaikh
menyebut:
(Dan adalah hamba) al-faqir ila ‘afwilah Ta‘ala
sahibu haza al-majmu telah mendirikan dengan fardu kifayah mentashihkan
kitab Melayu pada Matba‘ah al-Miriyyah dan lainnya dan qasad hamba dengan
demikian itu menolongkan muslimin mengambil manafaat dengan segala kitab itu
hingga hari qiyamat maka hambalah awal mereka yang mentashihkan kitab Melayu
di matba‘ah Masir dan Makkah. Wallahamdu lillahi Rabbi al- alamin. (18 )
Syaikh juga telah menulis beberapa kitab ilmu
nahu dan ilmu saraf bahasa Arab serta terlibat pentashihan kitab
seumpamanya didalam bahasa Arab. Kitab-kitab itu membentuk kurikulum dari
peringkat yang sangat asas seperti kitab Matan Dammu wa Madkhal kemudian Tashilu
Naili al-Amani fi as-Syarhi al-Awamil al-Jurjanidan
seterusnya. Syaikh telah berusaha mempermudahkan kaedah
penyampaiannya, sehingga seakan-akan ada kaedah beliau sendiri. (19)
Syaikh memperingati kita agar di dalam kita
membentuk sesuatu faham daripada ilmu, kita perlu kepada huraian yang buat
oleh pihak yang mempunyai wibawa [authority] di dalam bidang itu, misalnya di
dalam bidang usuluddin syaikh berkata:
Seperti barang yang telah dinaskan atasnya
di dalam segala kitab Arab kecilnya dan besarnya dan demikian dinaskan di
dalam kitab Melayu kecilnya dan besarnya yang dikarang dia oleh ulama
Melayu yang dipercayaikan dengan ilmu mereka itu seperti segala
kitab Syaikh Daud Bin Abdullah Fatani.(20)
Anjuran agar kita berpegang dengan huraian dari
pihak yang berwibawa itu hendaklah dibuat dengan kita faham perbincangannya
dan bukan secara membuta-tuli, serta kita mengelakkan diri daripada
kekeliruan yang timbul daripada faham yang salah serta kesamaran huraiannya,
syaikh memperingati kita:
Orang yang awal meringkahkan perkataan itu [iaitu
istilah yang mengelirukan] dan orang yang teringin hawa-nafsunya pada
mengarangkan kitab padahal ia tiada daripada ulama yang dipercayakan dengan
ilmunya kerana tiada mahirnya pada ilmu dan suka hatinya bahawa dibilangkan
dia daripada daripada ulama yang mengarang kitab, maka menaqal ia akan
sebarang-barang perkataan maka menaruh ia akan dia di dalam kitabnya dan
kebanyakan orang yang mengajarkan kitab Melayu yang tiada ada faham bagi
mereka itu lalu atas segala lidah mereka yang tersebut itu dan atas segala
hati mereka itu oleh umpama segala [Sifat] harus [bagi Allah] yang tersebut
itu hal keadaannya samar-samar seperti bayang-bayang atau mimpi dengan
ketiadaan tahqiq yang jadi daripada fikir dan taammul. (21)
Gagasan pemikiran Syaikh Ahmad di dalam bidang
pendidikan telah membentuk suatu gerak kerja yang memberangsangkan di tanah
air. Ramai murid-muridnya yang kembali ke tanah air telah membuka pondok
pengajian dan ada pula yang telah bermukim di luar negeri sendiri untuk
menjayakan kerja-kerja dakwah. Pengajian pondok di sekitar Kota Bharu,
sebagai contoh, menjadi begitu meriah, sehingga guru-guru pondok selain
daripada mengajar di pondok masing-masing juga terlibat di dalam mengajar
halaqah pengajian lanjutan di Masjid Muhammadi.
Syaikh Muhammad Daud al-Fatani telah
dihantar oleh Syaikh Ahmad dari Makkah ke Kelantan untuk mengetuai
kerja-kerja percetakan, percetakan ini dinamakan Matba‘ah al-Miriyyah
al-Kelantaniyyah. Syarikat-syarikat percetakan yang lainnya juga cambah dengan
banyak kemudiannya. Aktiviti penerbitan dan percetakan buku-buku begitu pesat
dijalankan di Kelantan sebelum merdeka dan ianya hanya menjadi
sangat pudar menjelang 1970’an. Bersama kegiatan penerbitan ini, lahirlah
penulis-penulis yang berkaliber :
Antara mereka, selain daripada Haji Muhammad yang
sejak 1923 bergelar Datuk Laksamana ialah Abdul Kadir Adabi, Hassan Haji Umar
(manager Matba‘ah majlisdan penyunting Pengasuh), Megat Uthman (guru bahasa
Inggeris, redaksi al-Kitab dan penerjemah beberapa artikel Encyclopedia
Britannica untuk Pengasuh), Ishak Lutfi Haji Umar (redaksi Riwayah), As‘ad
Syukri Bin Haji Muda (redaksi Kencana dan penulis kamus Setiawan Belia), Mohd
Adnan Ariffin (penyunting Pengasuh dan penulis kitab Tikaman Bahasa), Haji
Ahmad Ismail (pengarang al-Hikmah), Tengku Mahmud Mohyeddin (YDP Dewan Bahasa
Melayu Kelantan) dan lain-lain. Bilangan ini akan menjadi lebih ramai apabila
dimasukkan sama nama-nama ulama yang cukup ramai di Kelantan pada era 1920an
dan 1930an itu. Hampir semua daripada nama-nama ini terlibat dalam pelbagai
kegiatan ilmiah dan intelektual seperti penulisan dan terjemahan buku atau
majalah, menganjurkan majlis-majlis diskusi atau muzakarah, syarahan, juga
aktif dalam badan-badan belia, bahasa dan budaya yang banyak ditubuhkan dalam
tempuh berkenaan. (22)
Dua orang bekas pelajar Syaikh Ahmad, iaitu Tuan
Guru Haji Umar Sungai Keladi dan Syaikh Muhammad Daud al-Fatani [disebut juga
al-Makki] telah dilantik menjadi anggota Jabatan Menterjemah di
Majlis Agama Islam pada tahun 1916 dengan gaji bulanan 40 Ringgit. Penyata
Majlis agama pada tahun 1917 menyebut:
Maka inilah sebesar-besar gaji yang dikeluarkan
oleh Majlis hingga sekarang di antara orang-orang bekerja di dalam jabatan
Majlis (23)
Selain daripada menterjemahkan dan menulis
kitab-kitab agama, terdapat beberapa buku lain juga diusahakan seperti Political
Economy pada tahun 1919 oleh Megat Uthman, Tarikh Kerajaan
Besar Rom Yang kedua pada tahun 1943, Asas Didikan, Geografi Tanah
Melayu, Perusahaan Kapas, Pyhsical Geography, Pandangan Baru
Amerika Dalam Pelajaran pada tahun 1944. Majalah Pengasuh
keluaran 5 Julai 1934 telah menyebut:
Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
membanyakkan anak-anak kita yang suka menterjemahkan buku-buku ilmiyyah
istimewa di dalam bahagian tarikh, perangai, ijtima’, falsafah, siyasah dan
lainnya yang boleh dikatakan sangat miskin ummat kita, hanyalah berkehendak
kepada gaya yang mengemar dan memperangsangkan anak-anak kita membacanya,
kerana sememangnya anak Melayu kita belum berjelira lagi atas yang demikian
apatah lagi mereka yang telah berjauhan daripada sekolah-sekolah dan tidak
semaikan perasaan membaca buku-buku kalaupun untuk menjadi kuli, peladang
sahaja. (24)
Murid-murid Syaikh Ahmad telah menjadi
golongan berpengaruh di Kota Bharu, semada sebagai pentadbir seperti Datuk
Perdana Menteri dan Datuk Laksamana serta ulama yang menganggotai Majlis Agama
Islam. Mereka telah menubuhkan sekolah yang dinamai Madrasah Muhammadiyyah,
yang mempunyai tiga aliran, Melayu, Arab dan Inggeris. Aliran inggerisnya
dipimpin oleh Megat Uthman Megat Ali, seorang asal Singapura. Pengajian
aliran Inggerisnya bermula pada 8 pagi dan berakhir 11 pagi. Ianya dibuka
pada tahun 1918. Iaitu 18 tahun mendahului sekolah Inggeris kerajaan, yakni
Ismail English School yang dibuka pada tahun 1936.
Kota Bharu dan jajahan sekitarnya telah menjadi
begitu subur sebagai bendaharan ilmu dan perladungan kepandaian pada
waktu itu. Penerusan pendidikan cara pondok dan pembukaan pendidikan cara
baru telah menjadikan Kelantan tumpuan penuntut-penuntut ilmu. Golongan
berilmu diberi penghormatan yang tinggi termasuk ulama yang berasal dari luar
lingkungan kita seperti Mualana Tok Khurasan, seorang asal India lepasan
Dar al-Ulum, Deoband. Sementara tokoh tempatan seperti Tok Kenali di kerumuni
oleh pelajar dekat dan jauh yang dahagakan ilmu sperti yang dicatit tentang
beliau:
Tidaklah sunyi daripada pengetahuan umum
bahkan boleh dikatakan sejagat alam Melayu tiadalah khali [kosong] daripada
penuntut-penutut yang berguru kepadanya apatah lagi pihak yang telah lama
menghisap jerijik pengajarannya yang sangat menghilangkan dahaga dan mencapai
lazat kemanisan syarahnya (25 )
Kefahaman
dan Amalan Di Dalam Siyasah
Syaikh Ahmad telah menyebut ilmu siyasah dengan
katanya:
Pada bicara ilmu siyasah iaitu ilmu membaikkan
rakyat dengan menunjukkan kepada jalan yang melepaskan mereka itu daripada
tiap-tiap kekeruhan pada dunia dan pada akhirat. Dan iaitu daripada anbiya
atas khawas dan awam pada zahir dan batin mereka itu dan daripada segala
raja-raja dan salatin atas mereka itu pada zahir mereka itu jua. Dan daripada
ulama atas khawas mereka itu pada batin mereka itu. Maka hanyalah ilmu ini
wujub kifayah dan ghayahnya menceraikan segala perbantahan atas jalan sebenar
dan merentahkan mereka itu atas jalan adil dan menghelakan mereka itu kepada
segala yang manafaatkan mereka itu pada dunia mereka itu dan akhirat mereka
itu dan memelihara kerajaan daripada segala barang yang menjatuhkan dia ke
dalam kecederaan. (26)
Syaikh kemudiannya menyenaraikan 40 perkara yang
disuruh oleh Aristotle bagi Iskandar al-Yunani;
Bermula setengah perkara yang lazim atas raja itu
1.
bahawa ia
dengan nama yang eluk yang masyhur
2.
dan merai
ia akan sekelian hudud agama dan membesar ia akan ahlinya daripada segala
qadi dan ulama
3.
dan ada ia
besar hemmahnya dengan ketiadaan jabarut yakni kekerasan dengan tiada sebenar
4.
lagi luas
fikirnya
5.
dan baik
periksanya
6.
menilik
kepada kesudahan pekerjaan
7.
dan
lemah-lembut
8.
lagi
mengasihani
9.
apabila
marah ia tiada melulus marahnya dengan ketiadaan tilik
10.
dan
apabila bergerak syahwatnya kepada kekejian niscaya mengkembali ia akan dia
dengan aqalnya
11.
manis
tuturannya
12.
fasih
lidahnya
13.
kasar
suaranya ketika menakuti
14.
dan bahawa
sedikit ia mubasyarahkan manusia dan segala majlis mereka itu
15.
dan
menghilang ia daripada rakyatnya akan barang yang mudaratkan mereka itu dari
menzalim maka bahawa sanya demikian itu sebab bagi meramaikan negerinya dan
bagi bertambah kehasilannya
16.
dan
hendaklah ada ia baik sebutannya
17.
rata
kebajikannya tiada seperti harimau pada menerkam ia kepada barang yang
berjumpa dan tiada baginya kasihani dan mengikut syahwatnya daripada makan
dan tidur dan jima’
18.
dan
mengambil kesenangan ia serta ahlinya kerana membersihkan segala
pancainderanya dan rajin tabiatnya tiga hari atau empat hari pada masa
yang tiada ada ketakutan padanya atas sesuatu daripada ehwal mamlakahnya
dengan syarat tiada mengetahui dengan demikian itu oleh khawasnya
19.
dan bahawa
tiada menghampa ia akan segala khawasnya dan kepala-kepala kerajaan daripada
bermakan-makan ia serta mereka itu dalam setahun dua kali atau tiga
20.
dan
menempati ia akan tiap-tiap daripada mereka itu tempat mereka itu
21.
dan
mengkurnia ia akan mereka itu dengan barang yang gemar mereka itu padanya dan
memuji ia akan mereka itu di hadapan mereka itu
22.
dan bahawa
adalah ia banyah haibat
23.
sedikit
tertawa
24.
melazimkan
ahli majlisnya akan takut dan haibat
25.
dan bahawa
memeriksa ia akan kelakuan segala yang daif
26.
dan meluas
ia bagi mereka itu dengan harta bait al-mal
27.
dan
membanyak ia dengan menaruh biji-bijian makanan pada ketika murah supaya
dikeluarnya pada ketika mahal
28.
dan
mengaman ia akan ahli wara’ dan ahli sejahtera daripada kejahatan daripada
takut dan siksa
29.
dan
menakuti ia akan ahli rabbah atas meluluskan deranya hingga terperasaan pada
hati mereka itu dalam khalwah mereka itu bahawa ada baginya mata-mata atas
mereka itu
30.
dan bahawa
tertegah ia daripada menumpahkan darah
31.
dan tiada
memanjangkan ia akan mempenjarakan bahkan mendera ia dengan yang lain
daripada demikian itu dariapada segala hukum yang datang pada agama
32.
dan
muamalah ia akan segala yang daif daripada seterunya atas bahawa sanya ia
daripada sekuat-kuat seteru
33.
dan jangan
memudah-mudah ia dengan dia maka berapa banyak daripada yang hina
yang kecil jadi ia dengan eluk tadbirnya besar dan kuat
34.
dan bahawa
tertakut-takut ia daripada bahawa diperdayakan dia dan menipu daya ia akan
orang
35.
dan bahawa
tiada keluh-kesah ia atas barang yang telah luput
36.
dan bahawa
menyuruh ia akan ahli negeri dengan mengaji sekelian ilmu
37.
dan
berbuat bakti ia kepada mereka yang masyhur ia dengan faham dan
ilmu
38.
dan
mengangkat ia akan martabatnya
39.
dan
melazim ia akan adil
40.
dan
diratakan akan dia pada rakyatnya bahawa dengan dialah diramaikan negeri dan
dengan dia mengikutkan dia oleh rakyat
41.
kemudian
jangan menzahir ia sekali-kali bagi seseorang daripada segala wazirnya akan
berhajatnya kepada barang yang ada padanya
42.
dan
apabila menghimpunkan ia akan mereka itu atas satu-satu penilikan yang
mentadbir mereka itu pada hadapannya maka jangan memasuk ia akan penilikan
dirinya serta mereka itu dan apbila ittifaq mereka itu mehurailah ia akan
penilikan mereka itu dan memperlihat ia akan mereka itu akan khilaf supaya
berfikir mereka itu dan ijtihad mereka itu maka apabila sahlah baginya
penilikan niscaya menerima ia akan dia
43.
dan
membanyakkan ia akan khawasnya ertinya orang ketentuannya daripada ahli
istiqamah dan ahli ilmu dan pengetahuan yang terjauh mereka itu daripada
segala kekejian istimewa jika ada mereka itu mempunyai asal dan kemuliaan
nafsu dan fasih lidah dan tahu dengan segala khabar orang yang dahulu-dahulu
44.
dan bahawa
tiada memperbuat ia akan sesuatu melainkan kemudian daripada mesyuarat, maka
sentiasalah hukama berkata mereka itu bermula mesyuarat itu ‘ain hidayah (27
)
Syaikh Ahmad mengambil berat tentang urusan
siyasah ummah dalam maksud yang luas sebagai yang beliau huraikan terutama
yang menyentuh tentang anak bangsanya sendiri. Syaikh Ahmad tiada
terhenti sebagai seorang ulama yang dikerumuni oleh penuntut-penuntut, bahkan
beliau membina hubungan dengan raja-raja Melayu dan mengambil tahu
tentang berkembangan yang berlaku di tanah airnya.
Agak menarik untuk diperhatikan yang Syaikh Ahmad
tidak menulis bab yang khusus tentang jihad di dalam kitab feqah tulisannya
seperti ‘Unwanu al-Falah danBahjatu al-Mubtadin , sedangkan
kedua-dua kitab ini telah menyentuh bab-bab muamalat, munakahat, jinayah dan
tasauf. Sebaliknya Syaikh Ahmad menyentuh persoalan keutamaan jihad secara
penceritaan sejarah tentang kelebihan-kelebihan raja-raja Uthmaniyyah yang
memang gigih melancarkan jihad. Tersirat daripada tulisannya, yang Syaikh
Ahmad sangat menekankan kepada penguasaan ilmu dan kepandaian
yang meliputi segala bidang dan strategi politik yang
berkesan sebagai wasilah perjuangan. Sebagai mana yang beliau
catitkan:
Kata setengah ulama bermula kepala
buda[kebodohan] itu hiddah yakni bersangatan berani* dan diam daripada
perkataan orang yang buda itu jawabnya * bermula helah
[strategi] itu terlebih bersangatan daripada kuat* dan orang
yang ‘aqil itu mereka yang beramal dengan barang yang ia ketahui dan bertanya
ia daripada barang yang ia jahil* dan bermula berlambatan pada amal
itu meghilangkan luang[peluang]. (28)
Maka beberapa banyak daripada yang hina yang
kecil, jadi ia dengan eluk tadbir besar dan kuat. (29)
Dan pekerjaan kecil [boleh] jadi besar.Adakah
engkau tiada ketahui bahawasa bunga api yang amat halus itu apabila merecik
ia kepada sesuatu dan tiada padam ia niscaya melarat jadi terbakar rumah
dengan sebabnya. (30)
Ketika menceritakan kelebihan pengetahuan ilmu,
Syaikh Ahmad menyebut tentang kerajaan-kerajaan yang mengambil
berat tentang ilmu dan kesan politik yang baik yang mereka perolehi :
Dan muafakat antara mereka itu serta besar
hemmah dan halus tipu daya[strategi] dan jauh
helah dan tajam tilik mereka itu yang jadi sekelian
itukerana banyak pelajaran mereka itu maka dapatlah mereka itu memeliharakan
segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak
padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka
itu mengambil negeri orang (31)
Ketika Syaikh Ahmad menceritakan riwayat hidup
bagi setiap sultan-sultan Daulah Uthmaniyyah, beliau telah menyelit pengajaran-pengajaran
politik yang sangat berguna untuk dijadikan tauladan. Syaikh menyatakan sifat
Sultan Uthman pengasas Daulah Uthmaniyyah sebagai:
(Dan adalah) Sultan Uthman Rahimahu Llah Ta‘ala
raja yang adil lagi zahid pada dunia dan gemar ia pada akhirat lagi amat
berani hatinya mengekali pada berperang sabilillah merai ia akan segala
panglima dan memperbuat ia akan kebajikan kepada segala anak yatim dan segala
perempuan yang bujang dan setengah daripada zahidnya bahawa tiada tinggal ia
kemudian daripada matinya akan sesuatu daripada harta hanya tinggal beberapa
kuda dan kambing (32)
Syaikh telah mempamir kisah pembukaan kota Istanbul
oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 857H dengan agak
terperinci. Tentera Islam telah berusaha untuk membuka Kota Istanbul mulai
tahun 52H. Mengikut syaikh, kejayaan Sultan Muhammad itu adalah disebabkan
oleh:~ adanya sultan yang wara; ditemani oleh syaikhnya Agha Syamsuddin yang
berkat; persiapan yang mencukupi; strategi perang yang terancang dan kemas;
semangat juang tentera yang tinggi selain daripada menjalankan tanggung-jawab
agama, mereka dijanjikan harta rampasan yang lumayan.
Syaikh juga menyebut perlucutan 3 orang sultan
dengan sebab yang sangat berbeza.
Sultan Ibrahim I Bin Sultan Ahmad yang diturunkan
dari tahkta oleh para wazir kerana “melampau ia pada syahwat dan lazat
dan terlangsung membuang harta”. Sultan Mustafa saudaranya Sultan Ahmad
pula diturunkan takhta selepas menaiki takhta selama tiga bulan
kerana “bahawasanya adalah ia sangat soleh lagi zahid dan banyak membuangan
harta serta tiada gemar ia kepada dunia sekali-kali maka tiada nyata padanya
memadai bagi sultanah hingga adalah pakaiannya baju sakhalat yang
hijau dan tangan bajunya luas dan tiada makan ia akan makanan yang
berminyak sekali-kali hanya makanannya roti kering dan buah zabib dan
umpamanya jua dan tiada diketahui ia akan ehwal kerajaan melainkan barang
yang dicampakkan di hadapannya”. Sementara Sultan Muhammad ke IV pula
dilucutkan kerana “huru-hara dan menderhaka Raja Nasrani dan muafakat
mereka itu setengah dengan setengah dan hasil beberapa banyak peperangan dan
Sultan lalai ia dengan berburu-buru dan bermain-main maka marah segala
wazir-wazirnya”
Syaikh juga menceritakan bagaimana Sultan Abdul
Hamid I telah terpedaya dengan perjanjian yang dibuat dengan kuasa-kuasa
barat sebelum dia melancarkan serangan ke atas kerajaan Moscow serta
sekutunya. Perkara ini telah menyebabkan kerajaan Uthmaniyyah telah kalah
teruk dan kehilangan banyak daripada kawasan taaluknya.
Syaikh menyebut tentang pemberontakan
dalaman sesama ummah terhadap kerajaan Uthmaniyyah yang telah melemahkan
lagi kerajaan. Antaranya ialah dan pemberontakan asykar
‘anqasyariyyah dan peperangan Wahabiyyah. Perlu diperhatikan sikap
melampau yang ada pada golongan Wahabi di peringkat awal pertumbuhannya
[persamaan dengan sebahagian sikap golongan pelampau yang bergerak pada masa
kini] kata Syaikh:
(dan) setengah daripadanya fitnah Wahabiyyah yang
melampaui mereka itu hingga merentah mereka akan dua tanah haram yang
mulia dan mereka itu satu kaum mempunyai mazhab yang jahat dan
jalan yang sesat dan ‘itiqad yang mudarat dan adalah yang menghantarkan
mazhab mereka itu yang keji dan yang menerangkan dia Muhammad anak Abdul
Wahab dan asalnya daripada masyriq daripada Bani Tamim. Dan adalah
permulaan pekerjaan bahawasanya ia sesetengah daripada mereka yang menuntuti
ilmu pada negeri Madinah al-Munawwaarh ‘ala sahibiha afdalu as-solati wa
as-salami dan adalah bapanya laki-laki yang soleh demikian lagi saudaranya dan
adalah bapanya dan saudaranya dan sekelian guru-gurunya memfirasat mereka itu
padanya bahawa sanya lagi akan menjadi daripadanya sesat dan menyesat dan
zaigh [seleweng] dan ilhad daripada kerana barang ynag diketahui oleh mereka
itu daripada perkataannya dan perbuatannya dan batah-batahannya
pada kebanyakan daripada beberapa banyak masaalah maka adalah mereka itu
menakutkan akan manusia daripada hampir kepadanya maka tahqiq oleh Allah
Ta‘ala akan firasat mereka itu maka meringkah ia akan dirinya akan
mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala Imam agama dan menyesat ia
akan segala yang jahilin dan mengkafir ia akan segala merela yang
tiada mengikut mazhabnya daripada mukmin dan menghukum ia dengan syirik
mereka itu yang ziarah Qubur Nabi SAW dan auliya’ dan solihin dan
bertawassul dengan mereka itu dan mengharam ia akan berselawat
atas Nabi SAW dan beberapa i’tiqad yang lain daripada demikian itu dan
bahawasa segala manusia telah kafir mereka itu daripada masa
hijrah Nabi SAW 600 tahun kepada masanya itu. Dan ialah [Syaikh Muhammad
Abdul Wahab] yang membaharukan bagi mereka itu akan Islam mereka itu dan
mentaklif ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatangkan ia dengan
beberapa ibarat dan beberapa dalil atas fahamnya yang sesat dan aqalnya yang
tebal dan mengkesamaran ia dengan demikian itu atas kebanyakan orang awam
maka mengikut setengah mereka itu akan dia kemudian maka masuk ia kepada
setengah raja-raja negeri masyriq dan diam dia di sisi mereka itu
menghingga-hingga [bersungguh-sungguh] ia akan mereka itu hingga
tertipu daya mereka itu maka menolong mereka itu akan dia dan tusallit
[menguasai] mereka itu atas beberapa qaryah [kampong] dan negeri hingga
memerangi mereka akan beberapa negeri yang besar-besar dan memiliki mereka
itu akan dua Tanah Haram yang mulia dan segala qura [kampong] keduanya
dan meroboh mereka itu akan segala kubah tempat yang mulia-mulia dan kubur
solihin dan mengerasi mereka itu akan manusia atas masuk mazhab mereka itu
yang celaka dan merampas mereka itu akan segala pakaian kubur Nabi dan segala
barang yang di dalam kubahnya yang maha mulia SAW dan segala barang yang di
dalam Kaabah daripada segala perkakas dan perhiasan yang indah-indah dan
masuk mereka pada Makkah pada tahun 1220 dan menhizarkan [mengepung] mereka
itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan
anjing kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya
tujuh tahun. (33)
Syaikh membuat beberapa catitan tentang
pengubah-suaian yang dilakukan oleh kerajaan Uthmaniyyah terhadap sistem
pemerentahan mereka, bagi menyesuaikan dengan perkembangan yang berlaku di
Eropah. Syaikh mencatitkan bahawa perubahan-perubahan ini dilakukan tatkala
kerajaan Uthmaniyyah telah semakin lemah untuk berdepan dengan musuh dari
luar dan telah terlalu letih pula menghadapi kerenah dalaman. Apakah
pengubah-suaian ini dilakukan dengan ‘pemikiran orang yang telah kalah’, atau
sememengnya ianya keperluan yang dituntut?.
Antara lain syaikh mencatitkan:
Dan adalah
peraturan mereka itu pada perangan kurang matbut [sempurna] seperti tentera
Eropah maka dengan beberapa sebab inilah jadi cenderung Sultan Mahmud
ini dan Sultan Salim yang dahulu kepada mengubahkan aturan mereka itu dan
mengajarkan peraturan yang baru yang maklum pada tentera Eropah dan jadilah
Sultan dan wazirnya yang a’zam mentadbirkan dan mengaturkan dan menyuruhkan
beberapa orang mengajar asykar akan tertib yang baharu. (34)
Maka
membanyakkanlah Sultan daripada tentera dan diajarkan mereka itu akan segala
pengajaran yang baharu (dan) di dalam masa itulah mengubah Sultan akan
pakaiannya seperti pakaian Raja Istanbul yang dipakai sekarang ini. Adapun
pakaian segala sultan yang dahulu-dahulu maka iaitu dengan serban dan
jubah yang besar dengan tangan yang luas (35)
Maka diangkatkan ke atas takhta al-malik akan
anaknya [iaitu anak Sultan Mustafa] Sultan Abdu al-Majid dan pada tahunnya
diperadakan segala qanun mamlakah yang dinamai at-Tanzimatu al-Khairiyyah
[ini merupakan kali pertama wujudnya perlembagaan di dalam pemerentahan
Islam] (36)
Syaikh juga menceritakan bagaimana Sultan Abd
al-Aziz telah dipedaya oleh kuasa Eropah dalam baginda berjinak-jinak
dengan mereka, kata syaikh:
(kemudian berangkat) ia berjalan melihat segala
negeri orang dan segala jajahannya mereka itu maka datang ia ke Masir
dan pulang ia kemudian berangkat ia pula ke negeri Paris tempat kerusi
kerajaan Peranchis kemudian kepada negeri Inggeris dan lalu ia pada madinah
Belgrade dan adalah nasari memintakan dia daripadanya dan mengkhabar mereka itu
bahawa sanya ia madinah yang roboh yang sedikit ahlinya dan diberikan dia
kepada mereka itu dengan ketiadaan diperiksakan daripadanya maka tatkala
dilihatnya dalam perjalanannya ini menyesal ia dan marah ia padahal tiada
memberi manafaat marahnya dan menyesalnya (37)
Syaikh menyebut perkara ini mungkinnya antara
lain sebagai peringatan kepada raja-raja Melayu agar mereka membuka mata
untuk mempelajari pengalaman orang lain demi mengenal dan membaiki kelemahan
masing-masing.
Syaikh juga mengambil peduli tentang perkembangan
semasa poltitik yang berlaku di dalam dunia Islam, contohnya terhadap
kebangkitan tentera al-Mahdi melawan tentera Inggeris dan Masir di Sudan,
katanya:
(dan zahir) seorang laki-laki pada negeri Sudan
namanya Muhammad anak Ahmad dan adalah ia satu syaikh daripada masyaikh
tariqah berdiri ia maka mengikutkan dia manusia yang banyak katanya
kerana menzahirkan haq dan mendirikan agama Islam dan lemah asykar Masir
melawankan dia dan memiliki ia akan kebanyakan negeri Sudan yang dibawah raja
Masir maka jadilah Inggeris memerangkan mereka itu dengan beberapa
tentera yang amat banyak dan segaka alat yang masyhur pada
peperangan dan segala meriam yang besar-besar dan mereka itu tiada
memperduli hanya menerkam mereka itu ke dalam asykar Masir dan
asykar Inggeris (38)
Di dalam surat Syaikh Ahmad kepada Sultan Mansur,
Sultan Kelantan sempena dengan pertabalan Baginda, Syaikh telah berdoa:
Bahawa Engkau [ya Allah] lanjutkan umur Hadrat
as-Sultan Mansur Sultan Kelantan di dalam mengerjakan taat dan ibadat
bagi Engkau dan segala pekerjaan yang Engkau redakan dia dan bahawa Engkau
sentuasakan dia dan ‘iyalnya dan ahli mamlakahnya dan negerinya daripada
segala bahaya dan bala dunia dan akhirat. Dan kami pohonkan Dikau pula
hormat segala yang tersebut itu bahawa Engkau sentuasakan dia dan
negerinya dan rakyatnya dan segala negeri Melayu dan raja-rajanya daripada
segala kejahatan segala kuffar dan tipu-daya mereka itu dan
kalahkan hai Tuhanku daripada masuk mereka itu kuffar ke
negeri Kelantan dan segala negeri Melayu dengan merentah padanya barang
perentah ada ia. Bahkan tegahkan daripada masuk mereka kepadanya sama sekali
dan peliharakan hai Tuhanku akan dia daripada segala kejahatan dan tipu daya
dan dengki dan khianat segala mereka itu yang taghin daripada segala kuffar
dan muslimin daripada ahli negeri dan lainnnya dengan barang mana jalan yang
hendak memperbuat mereka itu atas dirinya dan ahli mamlakahnya dan negerinya
dan segala negeri muslimin dan palingkan tiap-tiap hati yang tiada
kasih kepadnya jadi kasih kepadanya dan lembutkan baginya akan segala hati
yang keras dan anugerahakan dia akan ketinggian dan kemuliaan dan
kekayaan yang sempurna serta kemurahan dan angkatkan oleh Mu daripadanya akan
segala penyakit di dalam badannya dan kurniakan dia akan sihat dan ‘afiat
padanya dan tunaikan baginya segala kehendaknya daripada pekerjaan dunia dan
akhirat dan kekalkan kerajaan dengan perentahan yang ‘adil.Hai Tuhanku, Ya
Qahar,Ya Jabbar, Ya ‘Aziz, Ya Ghalib kami pohonkan bahawa Engkau
binasakan tiap-tiap kafir yang cita-cita dan ‘azam dengan
menyakiti akan dia dahulu daripada sampai kejahatan kepadanya dan kepada
negerinya dan anugerahakan dia ziarah Rumah Engkau yang mulia dan
ziarah Nabi Engkau yang bahagia dengan semurah-murah kelakuan dan
sudahikan dia kemudian daripada umur yang panjang dengan husnu al-khatim.(39)
Lafaz doa itu secara terang-terangan dan juga
secara kiasan menganjurkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh as-Sultan
demi kesejahteraan negerinya. Lafaz doa yang terzahir sebagai pengharapan
seorang ulama akan diaminkan dengan sejuk hati oleh pihak berkuasa, tetapi
sekiranya perkara yang sama disampaikan dalam bentuk nasihat atau kritikan
yang tajam, mungkin penerimaannya akan terhijab oleh keangkuhan dan kedudukan
yang tinggi pihak yang berkuasa.
Sultan Mansur adalah seorang sultan yang kuat
beragama dan baginda telah menjalankan beberapa peraturan agama di dalam
pentadbiran negeri:
Maka dalam zaman pemerentahan baginda, kuatkuasa
undang-undang ini lebih dipertingkat dan diperluas. Selain perlaksanaan
undang-undang hudud ke atas pencuri (potong tangan) dan qisas ke atas
pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas
orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat. Ada
diceritakan bahawa pada zaman baginda, mana-mana orang yang ditahabitkan
kesalahan bermukah, dikenakan hukuman dengan diarak keliling pekan dan
kampung sambil disuruh memberitahu orang ramai akan kesalahan yang dilakukan.
Manakala bagi perempuan yang didapati memakai pakaian yang tidak menutup
aurat pula, akan dikenakan tindakan dengan cara melumurkan tubuh mereka
dengan “belakin”. (40)
Baginda juga telah membangunkan bangunan wakaf
untuk kegunaan musafir di tepi jalan dan di tengah padang di dalam negeri.
Bahkan baginda juga telah menitah agar didirikan rumah wakaf di Makkah
al-Mukaramah, yang dikenali sebagai ‘Rumah Puteh’ untuk kegunaan anak-anak
Kelantan yang menuntut di Makkah.
Syaikh juga berhubung rapat dengan Sultan
Zainul‘Abdin III Terengganu. Sultan Zainul ‘Abidin merupakan Raja
di Tanah Semenanjung yang terawal menunaikan fardu haji di Makkah. Syaikh
telah menyebut di dalam suratnya kepada baginda yang bertarikh 13 Muharam
1323H:
Serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat
Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia kadr
dan menyakiti oleh ajanib. Dan dilimpahi dengan nikmat dan
rahmat dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manafaat bagi
agama Islam dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu. (41)
Di dalam surat yang lain kepada baginda, syaikh
menyebut:
Khususan minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iyal
Tuanku yang maha mulia di dalam berkekalan keredaan Allah dan syafa
kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi
ummah Melayuwiyyah dengan hemmah dan tuah Duli Tuanku yang ‘alaihi
yang mendapat kuat yang disuruh oleh dia di dalam al-Quraniyyah maka
dengan demikian itu as-sa’datu al-abadiyyah ( 42 )
Syaikh meletakkan harapan yang tinggi ke
atas bahu Sultan Zainul ‘Abidin III untuk mempertingkatan pencapaian
bangsa Melayu. Beliau telah mengubah sebuah syair di dalam bahasa Arab yang
mengandungi kekaguman beliau terhadap baginda dan beberapa pengesyuran beliau
kepada as-Sultan. Pada bait yang ke sebelas hingga ke empat belas, beliau
berkata (terjemahannya lebih kurang):
Aku
maksudkan dengannya Raja Terengganu yang muda-remaja*
Yang
memiliki kehebatan, maruah dan kesungguhan usaha
Dengannya menjadi
agunglah dia sebagai raja dan bijak-pandai serta mengabungkan*
Antara
siyasah dan pembelajaran yang memberi panduan
Raja yang
agung, ketelitiannya pada mendalami pengetahuan*
Serta
makrifat dan belbagai ilmu serta penunjuk jalan
Tiada
pernah pada kerajaan Melayu yang dulu memiliki*
Umpama peribadi yang serupa baginda tidak
didapati
Syaikh mengharapkan Sultan melaksanakan beberapa
perkara, katanya bermula pada bait yang ke 22:
Ku
harapkan sesungguh dengannya ummah Melayu akan meningkat*
Ke kemuncak
tamaddun dan kejayaan serta ketinggian pangkat
Ku harap
padanya akan menyebar pengetahuan dan panduan*
Dalamnya
maka akan diperolehi kemuliaan dan kebahagian
Yang
paling ku harapkan adalah limpah kurnia baginda*
dititahkan
kepada para ulama yang mendapat huda
untuk
mengkemaskan kaedah bahasa Melayu kerana sesungguhnya*
telah
dipunahkannya oleh tangan yang menukar lama-kelamanya
Dan
mengarang bagi manusia sejarah yang meliputi *
Berita
tentang Melayu jikalau tiada, mereka akan dilupai tanpa diingati
Orang yang
utama akan menghidupkan peringatan perihal orang tuanya*
Maka jadilah sebutan tentang mereka keindahan
yang kekal selamanya (43)
Sangat jelas azam Syaikh yang kuat agar martabat
bangsa kita ditingkatkan melalui menghayati agama sebaik mungkin,
memperkasakan raja-raja kerajaan Melayu dengan sifat-sifat
mulia pada peribadi mereka, menyuburkan pendidikan ilmu dan kepandaian
di dalam semua bidang, mengusahakan tata bahasa bagi bahasa Melayu supaya
ianya terpelihara dan sikap mengambil peduli serta menulis tentang sejarah
bangsa sendiri.
Syaikh telah menjelaskan tanggung-jawab anggota
masyarakat termasuk pihak pemerentah:
(dan hendaklah) muafakat oleh sekelian hingga
raja-raja dan sekelian orang yang merentah atas menolongkan syariat,
zahirnya dan batinnya denganmenolakkan tiap-tiap suatu yang mencederakan
dia daripada maksiat dan bid‘ah yang keji dan wajib sekelian
memeliharakan diri daripada demikian itu dan menghilangkankan dia barang yang
dikuasakan atasnya dan wajib pula membaikkan segala kelakuan daripada
perangai ulama dan sufiyyah dan sekelian muslimin dengan memudahkan
belajar ilmu syariat zahir dan batin dan segala ilmu dunia
dan kepandaian yang dapat memelihara dengan dia akan
kerajaan Islam dan meninggikan dia atas segala yang lain pada hati
dan mata (44)
Syaikh kemudiannya mengariskan sumbangan anggota
masyarakat di dalam membangunkan negeri dengan memetik perkataan Imam Hasan
al-Basri:
Jikalau tiada segala orang yang benar [sadiqun]
niscaya binasa oleh bumi, dan jikalau tiada ada ulama niscaya adalah manusia
seperti segala binatang dan jikalau tiada ada raja niscaya membinasa oleh
manusia setengah mereka itu akan setengah dan jikalau tiada ada segala orang
bodoh yang mereka itulah orang yang meramaikan dunia dengan umpama membinakan
rumah-rumah dan mahligai-mahligai dan mengerjakan segala pekerjaan yang lebih
daripada hajat diri mereka, niscaya jadi roboh dunia. (45)
Syaikh membayangkan setiap orang mempunyai
tugasannya sesuai dengan kebolehannya di dalam membina tamaddun bangsa:
Ketahui oleh mu afdal segala usaha itu bertanam
kemudian bekerja kemudian berniaga jikalau sunyi daripada tipu-daya dan
khianat dan bersumpah yang ada padanya dusta dan tersebut di dalam Ihya Ulumu
ad-Din sayugia bagi yang bekerja dan yang berniaga qasad ia dengan kerjanya
dan berniaganya itu mendirikan dengan fardu daripada segala fardu kifayah
kerana bahawsa segala pekerjaan jikalau ditinggalkan sekelian niscaya tiada
ada kehidupan dan binasa segala makhluk. Dan jika berhadap mereka itu
sekelian atas pekerjaan yang satu niscaya terhampa segala yang tinggal lagi
dan binasa mereka itu . Dan ditanggungkan atas ini sabda Nabi SAW ertinya
“bersalah-salahan ummatku itu rahmat” ertinya ikhtilaf segala hemmah mereka
itu pada segala pekerjaan dan kepandaian. (46)
Syaikh Ahmad menyentuh tentang tanggung-jawab
pihak berkuasa apabila lemah mereka di dalam melaksanakan hukum jenayah
Islam, katanya:
(dan manakala) lemah kita daripada
mendirikan sesuatu dariapada hukum syara’ seperti direjamkan zani yang muhsan
dan takut fitnah yang mudaratkan muslimin yang tiada kuasa kita atas
menolaknya niscaya gugur daripada kita wajib mendirikan dia pada
ketika itu dan wajib sekelian muslimin bersungguh-sungguh mencarikan
jalan dengan tadbir dan siyasah dan belajar
dan memperlajarkan anak-anak kita akan segala wasilah bagi
mendirikan segala hukum syara’ daripada segala ilmu siyasah dan ilmu
syara’ hingga dapat mendirikan dia sperti barang yang zahir (47)
Syaikh Ahmad juga telah mengemukakan istilah ‘tamaddun
yang muafakat dengan syara’ sebagai wawasan yang perlu dibina oleh
bangsa kita. Di dalam suratnya kepada muridnya Nik Mahmud Bin Haji Ismail
[kemudiannya Datuk Perdana Menteri Kelantan], beliau menyebut:
Dan mudah-mudahan anakanda meninggikan hemmah
pada mendapatkan barang yang sayuginya mendapatkan dia bagi seumpama diri
anakanda di dalam ini masa supaya terangkat dengan demikian itu oleh nama
jenis Melayu berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati
ajanib. Dan tertamaddun dengan dia oleh siyasah mereka itu sebagai
tamaddun yang muafakat dengan syara’ (48)
Syaikh juga menggunakan sekurang-kurang dua kali
perkataan tamaddun dalam tulisannya kepada Sultan Zainal
‘Abidin ke III, iaitu di dalam syairnya tentang baginda pada bait yang ke 22
dan di dalam suratnya kepada baginda sebagaimana yang telah disebut sebelum
ini.
Syaikh mengambil peduli tentang perkembangan yang
baik dan buruk yang berlaku di tanah air. Pada tahun 1903, bekas
muridnya Datu Haji Abdullah bin Musa, Mufti kerajaan Johor yang kedua telah
menghantar surat kepada syaikh, antara kandungannya:
Yang Maha Mulia Raja Kelantan tengah bekerja
hendak khatamkan puteranya…..Segala bagai judi terbuka…tari-menari, berlaga
sabung…dengan sebab itu terlalu(banyak) pencuri, penyamun dan
perompak (49)
Syaikh sedar tentang perkembangan kependudukan
yang berlaku di tanah air, muridnya Datuk Laksamana juga turut merintih
memerhati ketinggalan bangsanya:
Sesungguhnya Tanah Melayu ini negeri yang
sentiasa bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya daripada kemakmuran
khazanah buminya. Akan tetapi siapakah yang sentiasa menambah-nambahkan
ramainya itu?Dan siapakah yang sentiasa beroleh keuntungan daripada
kemakmurannya itu??.Di manakah bapa-bapa Melayu dan di manakah anak-anak
Melayu ! Pada sebutan yang zahir sebenarnyalah negeri ini negeri
Melayu, luarnya dan dalamnya, kerana telah berkediaman bangsa Melayu ini
padanya hampir-hampir tujuh ratus tahun. Akan tetapi pada masa sekarang ini
sebutan ‘Negeri Melayu’ itu menempati hakikat maknanya akan daerah-daerah
kampung dan ceruk-ceruk negeri yang jauh dari pekan jua.
Orang-orang Melayu telah lari ke dalam hutan dan ke tengah-tengah negeri
tiap-tiap lepan dan bukit-bukau. (50)
Gagasan syaikh tentang membina tamaddun
yang muafakat dengan syara’ bukan dibangunkan di atas khayalan
yang tidak berjejak di bumi kenyataan. Di dalam suratnya kepada Nik Mahmud
Ismail, nampaklah kepada kita yang syaikh berusaha memenuhi syarat-syarat
awal bagi menjayakan gagasannya, dia menulis:
Kerana harap ayahanda bahawa anakanda mendapat
ulum dan ma‘arif di Masir atas kadar yang memberi manafaat bagi diri anakanda
bahkan bagi anak jenis Melayu kita barang yang belum mendapatkan dia oleh
orang yang dahulu daripada anakanda daripada anak Kelantan (51)
Syaikh mengikuti perkembangan antarabangsa,
kerana dunia Melayu tiada akan terlepas dari perkembangan yang berlaku
di peringkat dunia, syaikh berpesan kepada Nik Mahmud Ismail:
Dan ada kedengaran di Makkah bahawa sanya
Inggeris buat kacau pada tanah Sultan [Uthmaniyyah] yang pada pihak Masir.Dan
apa-apa perkara jadi, dan di mana-mana tempat tidak ayahanda tahu. Maka harap
anakanda suruh Ismail kirimkan sedikit daripada jaridah [potongan akhbar]
pada kenyataan demikian itu adanya (52)
Beliau juga meminta anaknya Wan Ismail
menghantar keratan akhbar tentang Harbu al-Yaban, iaitu peperangan Jepun
kepadanya. Muridnya, Datuk Laksamana pula sangat mengambil berat tentang
kepentingan surat khabar, sehingga beliau menulis di dalam Pengasuh keluaran
11 Julai 1918 yang pada tahun 1888 sudah terdapat273 akhbar di Paris dan dari
jumlah itu ada 36 surat khabar bergambar. Kemudian beliau menyambung
‘hingga sekarang ini, belum lagi sampai bilangan surat-surat khabar Melayu
itu boleh melampaui akan bilangan anak-anak jari’.
Secara khusus pula Syaikh mempunyai cita-cita
agar Patani, Kelantan dan Terengganu bergabung dibawah suatu pentadbiran yang
dilindungi oleh Kerajaan Uthmaniyyah. Cadangan ini mungkin mengambil
kira yang ketiga-tiga negeri Melayu ini pernah membentuk kerajaan Patani
Besar dulunya, penduduknya pula mempunyai resam hidup dan gaya percakapan
yang hampir sama. Bahkan mengikut suatu penelitian yang baru terhadap ukiran
kayu serantau juga menunjukkan bahawa bunga dan motif ukiran yang sama telah
terserlah pada ukiran-ukiran lama di ketiga-tiga negeri ini, dan ianya
berlainan dari kawasan-kawasan lainnya. Allahyarham Nik Rashidin, pengukir
kayu Kelantan menamakan bunga asas bagi ukiran kayu di ketiga-tiga
negeri ini sebagai ‘daun dewa’.
Syaikh Ahmad mengimpikan pula suatu kerajaan yang
khusus pula bagi orang Melayu Champa di Kemboja dapat didirikan.
Terdapat pendapat yang sukar bagi pencatit ini mencari asalnya yang
mengatakan bahawa Syaikh Ahmad berpandangan bahawa Patani, Terangganu dan
Kelantan sepatutnya berusaha agar ketiga-tiga negeri ini ditaaluki oleh
Inggeris dari tangan Siam. Ini memandangkan Inggeris akan
menganggap ketiga-tiga negeri ini adalah tanah yang dijajahnya, kerana
kedudukan Britain yang jauh ,dan rupa bangsa manusianya yang berbeza. Maka
lambat laun Inggeris akan memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini,
sebaliknya Siam akan menganggap negeri-negeri ini adalah sebahagian daripada
negara mereka sendiri dan sukarlah dicari jalan keluar darinya. Usaha untuk
membawa British supaya campur tangan di Patani jelas kemudiannya dalam
perjuangan yang dijalankan oleh Tengku Mahmud Muhyuddin semasa
Peperangan Dunia kedua, tetapi ianya tidak berhasil.
Syaikh mungkin berhasrat agat Patani kekal
diingati sebagai negeri Melayu Islam dan bukan sebaliknya walaupun di masa
hidupnya itu Patani telah berada di bawah penguasaan Siam. Syaikh mengatakan:
Kedaulatan Islam Acheh digelar orang dengan
Serambi Makkah, pertama mengelarnya ialah al-‘Allamah Nuruddin ar-Raniri,
kedaulatan Islam Kedah digelar oleh Syaikh Abdullah dengan Kedah Dar al-Aman,
maka eluklah hamba mengelar negeri hamba Daulah Islam Fatani dengan Fatani
Cermin Makkah, ia juga bernama Fatani Dar as-Salam, tetapi eluk juga digelar
Fatani Dar al-Islam (53)
Sementara muridnya Datuk Laksamana yang telah
menjadi Setiausaha Kerajaan dan Datuk Nik Mahmud pula yang menyandang jawatan
Datuk Perdana Menteri Kelantan telah mengubal undang-undang yang
sangat mahal ‘Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu’ yang memperuntukkan
tanah-tanah negeri Kelantan kepada orang-orang Melayu. Undang-undang inilah
yang menyebabkan sebahagian besar tanah-tanah negeri Kelantan kekal menjadi
tanah simpanan Melayu sehingga sekarang, melebihi jumlah mana-mana kawasan
tanah simpanan Melayu di negeri-negeri yang lain.(54)
Pemerhatiannya
Di Bidang Kemajuan Dunia Dan Dalam Sains Tabie
Syaikh memerhati perkembangan di dalam kemajuan
sains yang berlaku di zamannya. Dia bukan setakat mengambil berat tugas
utamanya sebagai tenaga pengajar bahkan turut mengamati beberapa
teknologi sezamannya dan membuat catitan tentang kehidupan secara yang agak
‘saintifik’.
Di dalam suratnya kepada Sultan Kelantan yang
dibukukan di dalam al-Fatawa al-Fataniyyah, syaikh telah membuat
pengamatan tentang kemajuan yang dicapai di negara barat, disamping itu
syaikh juga mengeritik kepalsuan yang didakwa sebagai kemajuan apabila
menceritakan tentang alat untuk menghadirkan ruh orang yang tidur, kata
syaikh:
(berkata hamba) pada menghampirkan bagi segala
aqal adakah engkau ketahui atau lihat bahawa sanya dikurniakan kepada kuffar
sekarang ini`beberapa banyak ringkahan yang ajib-ajib hingga sampai mereka
itu kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa [udara] yang
telah maklum pada mereka itu dengan belon atau tayyarah [kapalterbang] atau
mantad. Dan kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air
seperti ikan dan telegraph yang tiada berdawai dan alat yang dilihatkan
dengan dia akan segala binatang yang sangat halus [microscope], yang di
langit [telescope] dan alat yang memegangkan suara[recording]
Bahkan pada Amerika sekarang ini telah
sampai mereka dengan ikhtira’ mereka itu kepada menghadirkan ruh orang
yang tidur, maka mengkhabarkan dia barang yang ghaib daripada ehwal orang
yang telah mati bahkan sampai mereka itu pada menghadirkan ruh orang yang
mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala dan bertutur dengan dia
pada hal ia atas rupa orang mati. (berkata hamba) yahtamil bahawa yang
demikian itu syaitan berupa ia dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu
tetapi telah hasil dengan demikian itu ruju’ setengah daripada falasifah Amerika
kepada membenarkan barang yang thabit di dalam Agama Islam bahawa sanya ada
bagi ruh itu hakikat dan ada bangkit di dalam Akhirat dan lainnya daripada
barang yang mengingkar akan dia oleh kebanyakan mereka itu daripada Agama
Islam. Maka apabila mungkin serta telah jatuh diberi kepada kuffar umpama
segala yang tersebut itu adakah tiada patut dikurniakan dia kepada
setengah-tengah ahluLlah. (55)
Syaikh juga menyebut tentang kegigihan
bangsa-bangsa yang maju di dalam kerja-kerja ‘research & development’
mereka, katanya:
Dan mengindah-indahkan [menyempurnakan] mereka
itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak [mass production]
dan bertambah-tambah [improvement] yang demikian itu dengan
berpanjangan masa dan dengan sebab baik perbicaraan [research] dan muafakat
[coordination] antara mereka itu serta besar hemmah [memberi tumpuan sepenuh]
dan halus tipu daya [strategi yang berkesan] dan jauh helah [forward
planning](56)
Ini mengingatkan kita kepada jawaban yang diberi
oleh Tok Kenali, murid kanan Syaikh Ahmad ketika ditanya oleh seorang yang
pernah melawat Eropah semada orang Melayu adalah ummat yang boleh
diharapkan bagi mencapai ketamaddun [sebagaimana yang dilihat di
Eropah], Tok Kenali menjawab dengan menyifatkan dirinya ‘seorang
yang tidak keluar daripada dapur anak putera buminya’ yang beliau
tiada berapa nampak yang ummat Melayu akan mencapai tamaddun yang tinggi,
yang diibaratkan ‘menunggang atas kuda kepandaian’ sebagaimana
bangsa-bangsa yang maju kerana ummat Melayu tidak mahu berubah
sikap dengan mengambil nilai-nilai yang baik sedangkan dunia kian berubah.
Muridnya, Datuk Laksamana menyatakan
perkara yang hampir sama:
Tiap-tiap yang maju itu tak dapat tiadalah meniru
[borrowing the technology?] dengan memperbaiki [improve] dan meluaskan
asal-asal [expand] yang ditiru itu. Orang-orang yang pertama dahulu [pioneer]
hanya memulakan sahaja maka orang-orang yang meniru kemudiannya lah yang
melanjutkan dan membesarkan sentiasa [continues advancement & development]
Maka pekerjaan terjemah menterjemah itu satu daripada pekerjaan-pekerjaan
meniru dan dengan dialah orang-orang Eropah sekarang telah mendapat mengambil
dan mencuri asal kemajuan mereka itu sekarang ini daripada kaum-kaum yang
telah mendahului mereka itu. (57)
Agak menarik pula untuk melihat kesungguhan
syaikh di dalam menerangkan sifat-sifat siput jenis gondang dan kechau yang
di dapati di tempat kita. Syaikh membincangkan tentang dua jenis siput ini di
dalam sekurangnya tiga kitab beliau, iaitu di dalam al-Fatawa, Bahjah dan ‘Unwan. Syaikh
menyebut di dalam kitabnya ‘Unwan:
(Dan) telah ittifaq ahli Tanah Melayu dan Tanah
Jawa akan makan mereka itu akan ketam rancang dan demikian ahli Syam makan
mereka itu akan ketam, maka iaitu muafakat dengan kalam [Imam] Nawawi yang
tersebut. (Dan) halal danilis iaitu remis. (Dan)
manaqal Syaubari daripada [Imam] Ramli Saghir bahawasa halal sekelian binatang
gewang [mollusc] yang tiada hidup melainkan di air yang apabila keluar
daripada air niscaya jadilah hidupnya hidup mazbuh selama tiada dilewatikan[?].
Dan haram memakan halazun[ spiral-shaped-snail] kerana kejinya
iaiitu binatang yang seolah-olahnya ulat [bahagian dagingnya], baginya kulit
yang keras [cenkerang], ada ia pada tepi-tepi air[habitatnya], keluar ia dengan
setengah badannya daripada kulitnya, berkisut-kisut [ cara berjalannya] dan
apabila hendak berhenti ia kembali masuk ia ke dalam kulitnya
(Dan) siput yang maaruf dengan kecau yang di dalam bendang-bendang itu atas
sifat halazun yang tersebut melainkan bahawasa kecau ini
berkekalan ia di dalam air, demikian lagi gondang. Maka hendaklah haram makan
keduanya seperti halazun tetapi banyak ahli Tanah Melayu makan akan keduanya,
maka adalah makan mereka akan keduanya itu muafakat dengan qaul Imam Nawawi
yang terdahulu sebutnya. (58)
Di dalam nota tepi kitabnya Bahjah, Syaikh
menambah:
Telah dimujarrabkan [didapati] bahawa banyak
makan ketam mempusakai [menyebabkan] cerah perut [cirit-birit] dan menambah
Damiri daripada [Imam] Rafi‘ie pada ‘illah [sebab] haram ketam. Pada lafaz
halazun bahawa sanya masuk ia di dalam umum haram sadf [sea-shell dan
oyster](dan katanya seperti sadf) yakni haram makannya bahawa sanya kulitnya
[cenkerang] itu najis maka hendaklah bagi yang memakainya seperti dijadikan
kacing baju bahawa taqlid akan qaul [kitab] Majmu’. (59)
Di dalam kitab ini, syaikh menyebut lagi tentang
sifat siput:
..berkisut kiri dan kanan mencari makan apabila
berasa ia dengan suatu yang keras atau yang kasar mengkembali ia akan
badannya
Syaikh telah menyebut yang dia telah memberi
keterangan perihal sifat-sifat gondang dan kecau serta menunjukkan
cengkerangnya kepada ulama di Masir untuk mendapat fatwa tentang halal atau
haram binatang tersebut. Sementara di dalam al-Fatawa, syaikh
menulis tentang ketam, gondang dan kecau:
Dan ketam besar lagi hitam yang maaruf dengan
ketam batu itu jikalau hidup ia pada darat dengan beberapa hari dan merangkak
ia ke situ ke sini dengan kuatnya seperti yang hamba cubakan dia
tetapi di zankan bahawa hidupnya pada darat itu tiada kekal kerana tempat
ketetapannya dan tempat mencari makannya di dalam laut dan tiada hidupnya di
darat seperti halnya hidup di air
Adalah ia binatang yang dinamakan orang Melayu
gondang maka iaitu setengah daripada binatang yang maklum daripada binatang
air dan jikalau adalah ia kuat bertapanya di atas darat dan pada setengah daripada
kelakuannya keluar ia daripada air ke tempat yang dekat dengan air kerana
umpama bertelur sekalipun…..Hendaklah dihukumkan halal gondang itu kerana
maklum daripada kelakuannya bahawa sanya tiada pandai ia mencari makan di
atas darat seperti mencari makan ia di dalam air atas kelakuan yang bersamaan
bahkan tiada mencari makan ia sekali-kali di atas darat hanya hidupnya
dengan kuat bertapanya sahaja serta ada basah-basahan dan air yang di
dalam kulitnya itu dan apabila ditiarapkan dia niscaya lekas
matinya seperti barang yang dikhabarkan kepada hamba oleh beberapa orang
yang kepercayaan ….. bahawa sanya ia [gondang] setengah daripada
beberapa bagi [family] binatang gewang kerana kulitnya itu ada
padanya bagi menyerupai kulit gewang yang makruf di dalam laut. (60)
Syaikh juga membuat catitan tentang kegunaan
perubatan binatang dandang dengan katanya:
(dan) binatang yang dinamakan dia dandang dan
tiada didapat akan dia melainkan [endemic ?] pada negeri Paka dan negeri
Kertil [Kerteh} daripada jajahan Terangganu iaitu binatang kadar
besar sorok-sorok. Apabila dimakan akan dia menghancurkan [batu] karang
dan sekelian barang yang kotor-kotor seperti nanah dan lendir yang ada
sertanya hingga suci dan seekur daripadanya dimakan empat kali dan ia
memabukkan jika dimakan seekur sama sekali. Kata setengah apabila mabuk
seorang dengan sebabnya diberi minum air nyior niscaya hilang. (61)
Syaikh juga telah cuba
memahami ‘extraction process’ apabila menjawab soalan tentang hukum
menggunakan air wangi launda:
Bahawasa
pada membuatkan air launda itu dua jalan dan inilah nasnya:
Dan pada
jalan yang pertama masuk alcohol dan pada jalan kedua masuk
as-spirito seperti barang yang engkau ketahui dan kedua-duanya[ spirit
dan alcohol] itu benda yang satu kerana salah satu daripada kedua itu
ditafsirkan dia dengan yang satu lagi seperti barang yang ku lihat pada
setengah daripada beberapa tempat itu kitab dan bermula demikian benda itu
‘ruh al-khumur’ (pati arak) bagaimana khabar yang mutawatir dan masyhur
dan berasa-rasa pula aku melihat akan demikian itu iaitu keadaannya pati arak
di dalam kitab yang bernama ‘ad-Durru al-Maknunu fi as-Sana‘I wa al-Funun’.
….maka alcohol yang ialah spirit itu
daripada arak dan maklum bahawasa najis.(62)
Syaikh juga terlintas bahawa dia juga pernah
melihat di dalam kitab yang sama tentang pembuatan sabun:
Bahawasa kebanyakan sabun wangi yang datang
daripada negeri Afranji (Eropah) yang dibuat mandi dengan dia dan dibasuh
dengan dia segala tangan itu diperbuat akan dia daripada lemak babi. (63)
Syaikh mempunyai pengetahuan yang luas di dalam
perubatan, Syaikh menulis di dalam bahagian awal kitab perubatannya ‘Tayyibu
al-Ehsan’:
Pada bicara (ilmu tib) menyerukan kami kepada
menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis Melayu kepadanya *
Dan banyak darurat [keperluan] hal mereka itu kepada bicaranya kerana
mengubati itu berturut-turut [berterusan] soal mereka itu daripadanya
beserta tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang mat-amati dengan
dia* Atas qanun yang mudawwanun [secara bertulis] yang membawa kepada
pengetahuan yang muktabar yang boleh diperpegang akan dia * Padahal ilmu tib
itu daripada sebesar-besar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia*
hingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi atasnya daripada beberapa
banyak rahsia* Dan seolah-olah ilmu tib itu pada sisi mereka itu sesuatu yang
sia-sia* Maka meninggal mereka itu akan dia nasiyan nansiya [lupa dan
dilupakan] * Dan serta tiada pula bagi mereka itu sesuatu daripada
kutub[kitab-kitab] pada ini sana‘ah [pekerjaan] yang boleh
diperpegang atasnya * Dan [boleh] dipercayakan dengan naqalnya dan diambilkan
dengan ibarat dan nasnya * Allahumma bahkan ada juga bagi mereka itu beberapa
daftar tib mempunyai kalam yang sedikit tahrirnya [karangan]
* lagi naskhahnya sangat sedikit adanya* melengkapi ia atas
beberapa banyak ubat dan mengubati serta bercampur dengan khurafat
jampi-jampian yang diringkahkan[yang dibuat] yang tersembunyi tafsirnya[yang
tiada diketahui maksudnya]* atau nyata di sana* seperti kata mereka itu aun
[om] atau maha anu aku tahukan asalmu * dan yang lainnya yang dibenci
mendengar dia oleh yang beraqal lagi dijemu* tetapi serta bergaulnya dengan
demikian itu ringkahan yang belok [yang tiada sebenar] * tiada
sunyi ia daripada beberapa banyak ubat yang baik lagi eluk * dan
adapun bagi setengah mereka itu beberapa ubat yang dapat daripada
talaqqi[berguru] atau tajribah [pengalaman dan percubaan] yang diingat taruh
pada hati. (64)
Syaikh menyambung :
Pada hal segala bumi mereka[bangsa Melayu] itu
dan utan-utan [hutan] dan bukit-bukit mereka itu tempat perladungan segala
ubat dan tiada mengetahui akan faedah atau khasiat daripadanya melainkan
sedikit daripada mereka itu dengan talaqqi atau tajribah, maka sangatlah
kesukarannya bagi orang yang gemar pada ilmu tib belajarnya dan mendapatinya (65)
Syaikh menyatakan tujuan dia menyusun kitab
perubatan ini:
Dan supaya jadi pula ini risalah terladang
[tauladan] bagi orang yang mempunyai hemmah yang mulia * dan cotor
[contoh] bagi saudara yang fadil yang gemar kebajikan pada
menyampaikan anak jenisnya kepada tamaddun dan bahagia* maka menuntuti ia
akan ilmu ini hingga hasil baginya makrifah yang sempurna bagi memberi
manafaat ia akan mereka itu dengan mengubati. (66)
Syaikh melahirkan cita-citanya agar penyelidikan
dan kajian serta pendokumentasian terhadap pokok ubatan di tanah
air dapat dijalankan, kata Syaikh:
Dan telah kami harap bahawa membuka Allah akan
hati seorang yang mempunyai hemmah yang tinggi bagi bersungguh-sungguh ia mencubakanbeberapa
pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang
ada pada bumi Melayu dan memeriksakan pada demikian itu makadisuratkan beberapa faedahnya
serta khasiatnya dan pangkat segala tabiatnya [seakan-akan
yin yang di dalam perubatan cina] dan kaifiyat istimal [penggunaan]nya
seperti barang yang memperbuatkan demikian itu oleh hukama Yunani yang dahulu
dengan beribu-ribu tahun (67)
Syaikh kemudiannya menyentuh tentang sejarah
pendokumentasian perubatan dan betapa tertinggalnya bangsa kita di dalam
bidang ini:
Mengambil
daripada mereka [tabib Yunani] itu oleh hukama Arab dengan hemmah setengah
daripada raja-raja anak Harun ar-Rashid maka berkekalan mentaklif
[mengarang] mereka itu beberapa banyak karangan, maka tercawang [berkembang]
daripada demikian itu hingga sekarang ini tib segala tabib
Farsi dan Hindi. Kemudian beratas-atas [melebihi] pada demikian itu tabib
Afranji [Eropah] maka menambah dan meringkah [mencipta] mereka itu
beberapa banyak ringkahan yang ajib padahal kita jenis Melayu aula
[lebih sepatutnya] dengan demikian itu dikerana banyak ubat-ubat
itu pada bumi kita hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambil
daripada bumi kita dan kita lebih aula pada perentahkan
diri kita [sebagai negeri yang merdeka] daripada jenis yang lain daripada
kita.
Maka bersangatanlah sayugia bagi raja-raja Melayu
bahawa memalingkan hemmah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut
denganmenyungguh-nyungguh menyuruh dan mengemarkan
manusia pada demikian itu dengan memudahkan jalan bagi
yang demikian itu dan berdiri [memperuntukkan] dengan belanja bagi
demikian itu, maka dapat baginya pahala yang jazil. (68)
Syaikh menyebut bahawa dia mendapat pengetahuan
tentang perubatan daripada kitab-kitab perubatan yang sedia ada,
mengambil daripada perkataan bomoh-bomoh Melayu, daripada gurunya yang khusus
di dalam bidang perubatan, daripada amalan dan pengalaman orang serta percubaan
yang dilakukan. Beliau memetik perkataan hukama terdahulu termasuklah
perkataan Aflatun [Plato] di dalam bidang ini.
Syaikh menulis tentang huraian Imam ar-Razi
tentang pokok tamar yang mempunyai banyak persamaan dengan
manusia, syaikh menambah pengamatannya sendiri di dalam perkara
ini:
Bahawa sanya kelapa itu terlebih menyerupai
dengan manusia kerana bahawasa buahnya itu seperti kepala manusia dan pada
tempurungnya itu umpama mulut dan hidung dan dua mata seperti barang yang ada
pada manusia dan urat sabutnya itu seolah-olah rambutnya dan ia terlebih
menyerupai dengan pohon khurma pada batangnya dan pelepahnya dan seludangnya (69)
Sikap
Cakna Terhadap Bahasa
Walaupun syaikh telah meninggalkan rantau Melayu
dari umurnya semuda empat tahun, tetapi penguasaan bahasa ibundanya sangatlah
mengkagumkan. Syaikh Ahmad mengambil peduli terhadap tulisan Melayu:
(Dan
tiada) mengetahui perhamba akan bahawasa ada bagi bangsa Melayu kita khat
dahulu daripada masuk pada agama Islam dan jikalau ada maka apa rupanya
melainkan bahawa sanya ada bagi kita empat huruf yang musta’malah yang lebih
daripada huruf Arab yang dituliskan dia dengan rupa huruf Arab iaitu
‘ca, nga, ga, nya….
Dan adalah kebanyakan orang menyurat sekarang ini
memudah-mudah mereka itu dengan tiada ditaruhkan titik padanya
kerana memadai mereka itu dengan qarinah ibarat jua* maka yang demikian itu
setengah daripada barang yang membawa kepada kesamaran dan kepada payah
membaca dan meninggalkan hak bagi huruf yang dihantarkan dia oleh yang
menghantarnya[ditulis] dengan qasad hendak membezakannya (70)
Syaikh kemudiannya memberi contoh-contoh
kekeliruan dalam membaca apabila 4 huruf tambahan ini sekiranya tidak
dibariskan sebagaimana sepatutnya. Syaikh juga mendatangkan pandangan Mujahid
di dalam memberi tasir kepada ayat al-Quran yang bermaksud; “mengkurniakan
Allah Ta‘ala akan hikmah itu akan mereka yang menghendaki Ia”* akan
bahawasa hikmah itu ialah pandai menyurat. (71)
Syaikh menyebut bahawa bangsa-bangsa yang besar
mengambil berat tentang tata bahasa mereka terutamanya bangsa Arab, tetapi
bangsa Melayu kita tidak mengambil berat. Sebaliknya bangsa-bangsa besar
telah meniru mereka[orang Arab] itu oleh Peranchis dan Inggeris
dan lainnya daripada umam[umat-umat] Nasrani maka mentadwin
[menyusun] mereka itu akan lughah mereka itu pada beberapa kitab. (72)
Syaikh mempunyai cita-cita:
(Dan tercita-cita) di dalam hati hamba bahawa
adalah setengah orang yang petah-petah daripada ahli Melayu mentaklif-taklif
[mengarang] ia pada mendabitkan [membuat peraturan] lughah Melayu supaya
terpelihara ia daripada tahrif [penyelewengan] dan tabdil [perubahan] dengan
sebab berlamaan masa dan dengan sebab bercampur dengan beberapa bangsa lain (73)
Syaikh juga menyentuh kelebihan mengetahui bahasa
selain daripada bahasa sendiri:
(Dan adalah) ilmu [bahasa] ini sangat besar
manafaatnya kerana bahawa sanya seseorang apabila mengetahui ia beberapa
lughah [bahasa] selain daripada lughah dirinya niscaya mudahlah baginya
muamalat [berurusan] dan musahabah [berkenalan] dengan sekelian bangsa itu
dan tiadalah memudah-mudah mereka itu dengan dia [kerana tahu bahasa mereka].
(dan memadailah) pada kemuliannya bahawa sanya jikalau tiada dengan mngetahui
lughah niscaya tiada berhamburan [tersebar] agama Islam yang lain daripada
bangsa Arab dan tiada diketahuikan makna Quran dan ahadith dan ahkam daripada
segala kitab. (Maka sayugialah) bagi tiap-tiap orang muda-muda bahawa belajar
ia akan beberapa bahasa orang hingga mahir ia padanya istimewa anak-anak raja
dan orang besar-besar dan sekelian saudagar maka mereka lebih berhajat kepada
demikian itu (74)
Syaikh telah menyatakan di dalam suratnya kepada
anaknya, Haji Wan Ismail yang berada di Masir ketika itu:
Tiada ilmu itu dikecualikan pada menuntut ilmu
bahasa Inggeris sahaja, tetapi lebih pada itu termasuk bahasa Arab.
Belajarlah akan dianya. Sesungguhnya di Jeddah sekarang ada sekolah yang
mengajar bahasa Inggeris. Maka bolehlah kamu belajar. Dan jikalau kamu
berhajat kepada bahasa Arab, aku sentiasa membukakan keluasan kepadamu supaya
belajar kepadaku (75)
Penguasaan syaikh di dalam ilmu bahasa Melayu
jelas ketika beliau membahaskan terjemahan solah dari bahasa Arab
kepada sembahyang di dalam bahasa Melayu. Syaikh menyebut fahamannya tentang
asal perkataan sembahyang:
(dan
bermula) kalimah sembahyang itu bersegera kepada faham hamba asalnya
sembah-han….dengan ditukarkan [huruf] ‘ha’ yang pertama kepada [huruf] ‘alif’
supaya jadi ringan bertutur dengan dia seperti tambah-han dan
rentah-han dan perah atau perahan pada kata mereka “ itu lembu perah-han”
atau perahan kemudian terlarat tuturan mereka itu kepada menukarkan [ huruf]
‘ ha’yang kedua pada sembah-han atau sembahan itu dengan [huruf] ‘ya’ maka
jadilah ia sembah-yan kerana banyak ada [huruf] ‘ya’ pada umpama
pakai, pakai-yan dan gadai, gadai-yan dan kepadai-yan atau kepandaian dan
tempa-yan (tempat isi air) dan maro-yan iaitu penyakit yang jadi sebab mara beranak
dan mari-yam iaitu bedil besar dan mara pada yang
tersebut itu dengan makna bala dan haru-hara. Dan terlarat mereka itu pula
pada menukarkan [huruf] ‘nun’ dengan [huruf] ‘nga’ maka jadilah ia sembahyang
seperti menukar mereka itu akan [huruf] ‘nun’ dengan [huruf] ‘mim’ pada
kata mereka itu sakit maroyam dan bedil meriam…..
( Dan bermula tukaran) pada sekalian lughah itu
amat banyak seperti menukar orang Pulau Pinang dan Kedah akan [huruf] ‘ra’
yang pada akhir kalimah dengan [huruf] ‘ain’ dan akan [huruf] ‘lam’ yang pada
akhir kalimah juga dengan [huruf] ‘ya’. Maka berkata mereka itu
pada [perkataan] ‘benar’ itu ‘benag’ dan akan [perkataan] ‘betul’ itu
‘betui’. (76)
Syaikh juga membahaskan asal perkataan catur yang
digunakan oleh orang Melayu, kata syaikh:
Kalimah catur yang ia itulah permainan yang
maaruf itu asalnya syatrunj, maka ditahrifkan [diselewengkan] dia oleh lidah
Melayu kepada catur kerana ada nau’ [jenis] berhampiran makhraj [huruf] ‘syin’
dengan [huruf]‘cha’ pada zauq dan tiada ada pada Melayu itu
[huruf] ‘Ta’, maka diubahkan kepada ‘ta’ dan
dibuangkan [huruf] ‘nun’ dan [huruf] ‘jim’ supaya ringan dan
ia daripada hantaran [dimulakan oleh]Hindi dan ringkahan mereka itu (77)
Syaikh juga telah berbahas panjang lebar tentang
terjemahan istilah ‘qadim’ di dalam bab usuluddin ke dalam bahasa Melayu dan
kesesuaiannya dengan perkataan orang Cham, kerana ada orang Cham yang
menterjemahkan qadim sebagai kolout [kolot ?], Syaikh
membahaskan kegunaan kalimah ‘sedia’ :
(Dan telah
ada pula) pada bahasa Arab kalimah ‘azali’ dan didengarkan daripada guru-guru
Melayu memasangkan makna sedia-kala, dikatakan pada Zat Allah Ta‘ala dan
Sifat-Nya, maka dikatakan Zat Allah Ta‘ala itu azali dan Sifat-Nya azaliyyah
tetapi azali ini kurang masyhur ia daripada ‘qadim’ dan ia terlebih eluk
daripada ‘qadim’ kerana tertentu ia dengan barang yang tiada awal baginya
sekali[-kali] bersalahan dengan ‘qadim’ maka tiada tertentu ia dengan dia
(Dan) terberasa pada hati hamba bahawsa ‘sedia’ itu makna bagi azali tetapi
dengan sebab eluknya dan manisnya pada pendengaran dan perasaan meminjamkan
dia oleh orang Melayu maka memakai mereka itu akan dia bagi makna qadim yang
zati iaitu qadim Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya pada hal makna qadim itu lama (dan
bahawasa) sedia pada bahasa Melayu itu memakai akan dia oleh mereka itu pada
dua makna (pertama) barang yang telah lalu yang tiada permulaan
baginya sekali-kali ia itulah sedia Zat Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya ertinya
sudah ada Zat Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya itu pada barang yang telah lalu yang
tiada permulaan bagi-Nya dan pada hamba bahawasa sedia ini makna bagi azali
dan terkadang dikatakan pula sediakala (kedua) barang yang ada
permulaan baginya yang telah lalu dahulu daripada sesuatu pekerjaan seperti
kata seseorang Melayu tatkala hendak berbahagi harta yang bersekutu antaranya
dan antara isterinya tatkala bercerai atau umpamanya pada hal ada baginya
harta yang asing yang milik baginya dahulu daripada berkahwinnya dengan
perempuan itu (ini hak aku yang sedia lagi) ertinya hartaku yang ada padaku
dahulu daripada pekerjaan kahwinku dengan dikau lagi. Setengah makna yang
kedua ini perkataan engkau kepada taulan engkau “esuk hari aku hendak ziarah
engkau, maka sediakan olehmu akan anu-anu daripada makanan” ertinya “siap
oleh akan dia bagiku pada masa yang dahulu daripada datang aku kepada
engkau”…..
(Dan
bahawasa ‘lama’ dan ‘usang’ dan ‘bahari’) pada bahasa Melayu, adalah
lama itu terlebih umum daripada usang dan bahari kerana dikatakan dia pada
barang yang telah lalu atasnya oleh masa yang panjang semada bersangatan
panjangnya atau kurang panjangnya, bersalahan usang , maka tiada
dikatakan dia melainkan pada barang yang terlangsung lamanya ertimya yang
bersangatan panjang lalu masa atasnya semada hampir binasa atau tiada, maka
dikatakan dia pada barang yang amat buruk dengan sebab lalu masa yang amat
lanjut atasnya seperti padi yang telah jadi hitam dengan sebab bersangatan
lamanya dan dikatakan pula pada barang yang baik yang disayangkan dengan
sebab lalu atasnya masa yang amat lanjut seperti emas yang baik [classical]
yang ditaruh daripada masa orang tua-tua hingga sampai
cucu-cicitnya .
Dan bersalahan pula ‘bahari’ kerana dikatakan dia
pada barang yang bersangatan lamanya daripada perkakas orang zaman dahulu
[antique] yang digemarkan oleh orang sekarang ini, dikatakan keris
bahari atau besi bahari (78)
Syaikh Ahmad membincangkan persoalan ‘penjodoh
bilangan’ di dalam penggunaan bahasa Melayu ketika syaikh menjawab
persoalan tentang jatuh talaq berapakah bagi orang yang melafazkan
talaq dengan menyebut ‘sebanyak bintang di langit’. Syaikh telah
menyebut:
Bermula [perkataan] (segala) dan
[juga]mengulang-ulangkan itu setengah daripada beberapa alat[ menunjukkan]
jama [plural] pada bahasa Melayu dan kalimah ‘sebanyak’ yang masuk atas
[perkataan] ‘bintang’ itu yuhtamil [dianggap] dikehendaki dengan dia akan
sebanyak satu bintang daripada beberapa bintang dilangit ‘ala. “(Aku
kehendaki) satu bintang yang cukup bukan umpama setengahnya sahaja”, maka
yang demikian itu akan menjatuhkan satu talaq maka hanyalah kerana
bahawasa kalimah ‘bintang’ pada ketika itu ‘mufrad [singular] Dan
jika ihtimal [anggapan] ini jauh [dari yang sebenar] ia daripada barang yang
bersegera mengertinya pada lafaz orang awam Melayu negeri Kelantan yang
datang soalan ini daripadanya sekalipun. Dan yuhtamil dikehendaki
dengan dia sebanyak bilangan segala bintang yang dilangit dengan bahawa
berniat ia akan demikian itu, maka jatuh tiga talaq (79)
Agak menarik diperhatikan bahawa Syaikh telah
menggunakan istilah ‘doktor’ di dalam kitabnya Hadiqatu
al-Azhar di tiga tempat, iaitu di halaman 53,54 dan 105. Hanyalah
ianya dieja menggunakan huruf ‘kaf’ dan huruf ‘qaf’. Orang Melayu di Patani
sehingga hari ini masih menggunakan istilah tok bomoh bagi doktor perubatan
moden.
Seperkara lain yang menarik ialah Syaikh
mengatakan:
(Kata hamba) Sarindib ia itulah yang maklum
dengan pulau Ceylon dan hamba dengarkan setengah daripada ashab hamba berkata
bahawsa setengah daripada ulama Jawa berkata ia bahawasa lafaz Ceylon yang
bagi pulau itu daripada lughah Jawa dan maknanya dalam bahasa arab (murami
an-nas) yakni tempat membuang segala orang yang kesalahan (80)
Beberapa
Pendapat Syaikh Yang Menjadi Amalan Sehingga Kini.
Agaknya terlalu ganjil jikalau tidak disentuh
langsung tentang kesan fahaman syaikh Ahmad di dalam pengamalan
agama di tanah air kita.
Harta
Sepencarian
Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia telah
menerima konsep harta sepencarian ketika menyelesaikan penceraian atau
pembahagian pusaka. Konsep ini tidak kedapatan di dalam teks-teks feqah
klasik yang biasa dirujuk oleh orang di sebelah sini. Sebenarnya
syaikh menyentuh soal harta sepencarian di dalam masalah yang ke 54 dan yang
ke 57 di dalam al-Fatawa karangannya, dan inilah yang menjadi rujukan
kemudiannya, soalan itu berbunyi:
Setengah daripada adat negeri-negeri yang di
bawah angin bahawa sanya apabila mati seseorang daripada dua laki isteri
dibahagikan harta peninggalannya dua bahagi maka ditolakkan kepada salah
seorang yang hidup itu satu bahagi dan yang tinggal lagi itu dibahagikan
antara segala wraith yang setengah daripada mereka itu seorang yang tersebut
dan sebab yang demikian itu bahaw sanya berusaha pada
ghalibnya oleh dua laki bini itu bersama-sama. Maka adakah betul perbuatan
itu atau tiada.. (81)
Syaikh memberi jawaban:
Jika harta tarakah[pusaka] itu bersekutu padanya
oleh dua laki isteri itu bersamaan kadarnya dengan yakin maka dibahagikan
sebagai bahagi yang tersebut itu, adalah membahagi itu sebenar. Adapun jika
tiada diketahuikan bersekutunya atau diketahuikan bersekutunya dan jikalau
sama-sama bekerja yang mendapatkan harta itu sekalipun, tiada [termasuk]
pekerjaan khidmat seperti bertanak dan membasuh dan menjahit kain suaminya,
tetapi tiada diketahui bersamaan bersekutu itu seperti tiada
diyakinkan bahawa sanya bekerja itu sama banyak kadarnya atau tiada maka
dibahagikan dibahagikan dua dengan ketiadaan reda mereda segala warith pada
kadar yang lebih kurang niscaya tiada sah membahagi sebagai bahagi yang
tersebut dan tiada harus menolak itu. Maka jika reda mereda daripada mereka
itu niscaya sah tetapi disyaratkan pada sah reda mereda itu bahawa taiada ada
di dalam mereka itu orang yang tiada dii’tibarkan redanya seperti kanak-kanak
dan sigila…..
Melontar
Sebelum Gelincir Matahari Di Mina
Lembaga Tabung Haji telah mengaturkan jadual yang
menentukan bahawa jamaah haji melontar selepas sembahyang subuh
pada hari ke 13 Zu al-Hijjah, terdapat di kalangan jamaah haji yang
tertanya-tanya kerana hampir keseluruhan kitab-kitab jawi dan arabnya yang
lazimnya di tadah di surau-surau menyebut di antara syarat sah melontar itu hendaklah
dilakukan selepas gelincir matahari. Walaupun buku panduan Tabung
Haji telah mendatangkan nas yang mengharuskan perbuatan itu, ramai yang
beranggapan Tabung Haji hanya memikirkan muslihat mereka, bukan
berpegang kepada nas yang kukuh.dalam mazhab. Sebenarnya Syaikh
Ahmad telah menulis:
Maka tiada harus melontar bagi tiap-tiap hari
tasyrik dahulu daripada gelincir mataharinya, inilah yang mu’tamad dan kata
qil sah ia dahulu daripada gelincir serta karahah dan menjazamkan
[menguatkan keharusan ini] dengan dia oleh Rafi‘ie dan Imam Haramain dan
mengi’timadkan dia oleh Asnawi dan berkata ia bahawa sanya ialah
yang ma’ruf pada mazhab, berkata di dalam [kitab] Tuhfah dan atasnya maka
sayugia harusnya daripada fajar seperti mandinya (82)
Sembahyang
Jama’ Bagi Orang Sakit
Kebanyakan kitab jawi akan menyebut bahawa
sebab-sebab yang mengharuskan sembahyang jama’ itu ialah kerana bermusafir
yang harus dari segi syara’ atau kerana hujan bagi orang yang sentiasa
menjaga sembahyang jamaah. Itulah qaul yang masyhur di kalangan ulama
Syafi‘e. Syaikh Ahmad telah memilih qaul Imam Nawawi yang
mengharuskan sembahyang jama’ bagi orang sakit, walaupun ianya bukan qaul
yang masyhur di dalam mazhab. Qaul ini telah banyak memudahkan kesukaran
orang-orang yang sakit seperti yang menjalani dialasis bagi yang sakit buah
pinggang atau yang terpaksa melalui pembedahan, syaikh menulis:
(Dan harus) jama’kan antara
dua sembahyang sebagai jama’ taqdim dan jama’ ta’khir dengan sebab sakit atas
mazhab yang dipilihkan dia oleh Imam Nawawi dan iaitu mazhab Ahmad Bin Hanbal
dan sunnat meraie’ oleh orang yang sakit akan yang terlebih mudah bagi
dirinya pada sakitnya, maka orang yang demam ia pada waktu yang kedua, jama’
ia pada waktu yang pertama dengan segala syarat taqdim atau demam
ia pada waktu yang pertama, jama’ ia pada waktu yang kedua dengan segala
syarat jama’ ta’khir, maka jika bersamaan dua waktu itu pada orang yang sakit
maka jama’ taqdim itu aula. (83)
Hubungan
Dengan Ahli Masyarakat Yang Bukan Muslim
Syaikh Ahmad bersikap positif terhadap hubungan
kerjasama dengan orang bukan Islam, Syaikh telah menulis mengenai
hukum hubungan kita dengan mereka sekiranya kita memasukki negeri orang
kafir secara aman:
Adapun jika masuk kita [ke dalam negeri
mereka] dengan memberi aman [keselamatn kita tidak diancam] oleh
mereka niscaya tiada harus [haram] bagi kita mengerjakan segala pekerjaan
yang mereka itu tegah daripadanya seperti mencuri akan harta mereka itu,
dengan membunuh diri mereka itu dan membeli anak-anak mereka itu (84)
Sekiranya ada orang bukan Islam yang memberi
sumbangan bagi tujuan kebajikan dan kerja-kerja agama, syaikh juga memberi
pandangannya:
Apabila memberi oleh kafir akan kita hartanya,
adalah harta itu milik bagi kita maka harus bagi kita tasarruf [gunakan]
padanya dengan mengerjakan dengan dia akan waqaf dan lainnya pada negeri
mereka itu atau negeri yang lain. Adapun jikalau menyerah mereka itu kepada
kita akan harta mereka itu pada hal minta tolong mereka itu akan kita mengerjakan
kebajikan daripada diri mereka itu daripada [untuk tujuan] waqaf atau lainnya
niscaya tiada diberi pahalakan mereka itu atas kebajikan kerana terhenti
dapat pahala itu beriman, telah berfirman Allah Ta‘ala dengan
kata-Nya: ‘ ’.
Tetapi jika menghendaki Allah Ta‘ala niscaya meringan Ia daripada mereka itu
akan azab dosa mereka itu yang lain daripada dosa kafir
mereka itu (85)
Syaikh juga ditanya berkenaan hukum kita menjadi
bidan atau seumpama kepada orang yang bukan Islam, syaikh telah menjawab:
Barangkali harus [menolong] jika tiada diqasad
akan menolong akan dia pada pekerjaan kufurnya dan segala maksiat seperti
jadi bidannya kerana hendak mengambil upah daripadanya, hanyalah [yakni
disebabkan] kerana harus muamalah akan kafir dengan jual beli dan
lainnya. (86)
Selain hal-hal yang telah disebut, syaikh juga
mengeluarkan beberapa kenyataan hukum yang berkaitan dengan perkara yang
menjadi kebiasaan di dalam kehidupan orang Melayu, seperti :
(Dan telah) jatuh dariapada ahli
setengah-setengah negeri Melayu bahawa berkata mereka jika disembuh akan
daku daripada penyakit aku atau umpamanya aku hendak rasul kambing kepada
Rasulullah atau aku hendak buat kenduri dan telah berlaku ‘uruf mereka itu
bahaw sanya apabila bernazar mereka itu berkata mereka itu akan umpama
perkataan itu maka sayugia bahawa dihukumkan pada perkataan itu dengan bahaw
sanya sighah nazar kerana memberi faham perkataan itu pada ‘uruf mereka
itu akan nazar dan ihtimal bahawa dikatakan bahawasa perkataan itu
sighah kinayah bagi nazar, maka jika menyertai akan niat nazar niscaya jadi
nazar dan jika tiada maka tiada. (87)
Syaikh juga menyentuh tentang sahnya zakat padi
yang diamalkan oleh kebanyakan ahli Kelantan dan Patani yang menaruh-simpan
padi dengan romannya.
Akhir
Kalam
Syaikh Ahmad telah menduduki tempat
istimewa di dalam sejarah ummat Melayu. Syaikh telah meninggalkan
murid-muridnya yang berperanan di hampir setiap pelusuk rantau Melayu. Ada di
antara mereka yang menjadi ulama terbilang, pengerak masyarakat yang berjaya
dan pentadbir yang berjasa. Antara jasa-jasa syaikh ialah:
1.
Memulakan
kerja-kerja pentashihan dan percetakan kitab-kitab warisan Melayu
karangan ulama sebelum beliau.
2.
Menyediakan
kerangka bekerja secara berpersatuan dengan dimulai oleh beliau
Syaikh telah menubuhkan Jam‘iah al-Fataniyyah di Makkah. Dan ini mungkin
merupakan organisasi Melayu yang pertama.
3.
Membuka
jalan berfikir yang subur untuk menerima perubahan dan kemajuan secara
luaran dan mengekalkan fahaman aqidah dan pengamalan feqah berdasarkan ajaran
klasikal secara dalaman.
4.
Menyediakan
pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran, dan bukan bergantungan
kepada kekuatan atau kekerasan semata-mata.
5.
Mendedahkan
pelajar Melayu kepada perkembangan di luar lingkungan mereka. Dia
mengadakan rehlah bersama pelajarnya ke Syam, Masir dan Istanbul. Serta
mendedahkan mereka kepada pembacaan yang bukan lazim bagi penuntut ilmu di
zaman itu, seperti surat khabar dan majallah.
6.
Menjadi
tempat rujukan para pembesar dan orang awam dari kawasan Melayu
7.
Menitik
beratkan kesedaran tentang kepentingan bahasa dan sejarah bangsa.
8.
Mendorong
ahli masyarakat kita bersangka-baik dan menerima ajaran Tasauf Islami,
termasuk amalan tariqah yang mu’tabarah
9.
Meninggalkan
kitab-kitab serta karangannya yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi, serta
perlu disebar-luaskan kepada ahli masyarakat
10.
Meniupkan
semangat mencintai bangsa dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.
Syaikh telah meninggalkan nasihat dan peringatan
yang sangat bernilai kepada kita, supaya kita melakukan
segala gerak-kerja di dalam kehidupan kita, termasuk usaha
meningkatkan tamaddun bangsa, agar kita tidak lari daripada melihat kesudahan
yang akan kita hadapi akibat daripada usaha kita itu, atau apa yang
diistilahkan di dalam ilmu pengurusan semasa sebagai ‘begin with the
end’. Syaikh juga memperingati kita di dalam keghairahan kita mahu
mengislah masyarakat, semada pihak berkuasa mahu membetulkan rakyat atau
rakyat mahu menegur pihak berkuasa, pertimbangan yang paling
asas perlu dibetulkan ialah qiblat hati kita masing-masing. Syaikh
memperingatikan kita dengan nasihatnya:
Bahawa
dunia ini hilang dan binasa ia dan bahawsa akhirat itu datang ia lagi kekal
dan bahawsa tiap-tiap seseorang dalam dunia ini musafir dan tak dapat tiada
bahawa selesai safarnya dan sampai ia kepada tempat kediamannya yang kekal ia
padanya maka jika bersungguh-sungguh ia bagi meraikan tempat kediamannya[yang
kekal] dan membaiki[memperelukkan] akan dia dan menghiasi akan dia dengan
segala taatnya dan menanggung ia akan segala musyaqqah demikian itu di
dalam masa yang sedikit ini ini supaya bersedap-sedap ia di tempat
kediamannya di dalam masa yang panjang yang tiada kesudahan baginya dengan
ketiadaan mencampurikan[menghiraukan] kesusahan dan penat sekali-kali,
maka ia daripada orang yang berakal lagi yang amat besar untungnya dan
tuahnya. (88)
(Dan dengan sebab) tiada sah niat dan
tiada ikhlas qasad itu, dibalakan beberapa banyak mereka itu yang
menzahirkan menegah daripada mungkar padahal tiada membangkit [berpunca] akan
dia atas menegah daripada mungkar itu melainkan semata-mata segala kehendak
yang fasid atau barang yang bercampur dengan seperti dengki dan
riya’ dan beberapa banyak melawani oleh yang kena engkar dengan
sebenarnya akan mempunyai engkar [orang yang menegur] itu dengan sebab
bencinya akan dengkinya dan riya’nya , maka tiada memberi faedah engkar itu
melainkan menambahkan perpanjangan fitnah dan mudarat. Wa al-‘iyazubillahi
Ta‘ala (89)
Sebagai penutup, sukalah pencatit ini merumuskan
perjuangan pemikir agung bagi bangsa, Syaikh Ahmad di dalam beberapa bait
puisi (90), walaupun ianya jauh dari sempurna:
KENANGKAN
SYAIKH WAN AHMAD ULAMA GEMILANG
Kenangkanlah sumbangan Tok Wan Ahmad
Ulama gemilang penyuluh zaman
Penulis cemerlang pembawa harapan
Perintis perjuangan anak bangsa dan watan
Penyambung faham dari rantaian ulama silam
Serta bersedia bagi berdepan perubahan mendatang
Tok Wan Ahmad milik seluruh ummah bangsa ini
Nasab bapanya keturunan besar dari Patani
Serta ibunya berasal dari Pasir Mas Kelantani
Nama dan jasanya terlalu indah bagi dikenangi
Tok Wan Ahmad dalam usianya sesingkat itu
Menabur jasa buat para penuntut serta guru
Mewaris tulisan dan cara fikir yang jitu
Menumbuhkan semangat serta kegigihan
yang baru
Mencambahkan ulama dan pentadbir bangsa Melayu
Tok Wan Ahmad mudanya penuntut Azhar dan Makkah
Hebat berpuisi serta syair dia bermadah
Sehingga cantiknya bahasa dan bidalan digubah
Mempunyai sarat erti penuh hikmah
Kebenaran disampainya dengan bahasa yang
tersangat indah
Tok Wan Ahmad ke Istanbul berjumpa Abdul Hamid
Sultan Uthmani
Membawa harapan bangsa agar kitab Melayu dapat
dicetaki
Maksudnya termakbul dan disambut Sultan dengan
penuh ikrami
Tok Wan juga menziarahi Beirut menemui Syaikh
Yusuf an-Nabhani
Ulama kerohanian pembela mazhab dan pencinta Ahla
al-Baiti
Kemudian ke Qahirah berjumpa Muhammad Abduh
syaikh al-Azhari
Pemikir cara baru perintis perubahan bagi
sebahagian ummah ini
Tok Wan Ahmad hampir 100 tahun telah pergi
Jasa dan pusakanya belum sempat habis kita gali
Kerdilnya bangsa sekiranya tokoh agung ini terus
dilupai
Kerana sibuk dengan kemajuan dan bahas duniawi
Sehingga warisan agung bangsa tiada mahu kita
fahami
Marilah kita jernihkan hati dan perasaan
Kita menumpang tuah tokoh ini yang penuh
keberkatan
Kita akur anjurannya agar dilaksanakan
kemuafakatan
Kita dabikkan perasaan yang agama akan kita
dirikan
Kita azamkan putus bagi maksiat kita tumbangkan
Fahaman ulama silam akan terus kita sambungkan
Agar Melayu kita akan menjadi bangsa gemilang
Marilah kita turuti saranan Tok Wan Ahmad
Kita jadikan bumi ini perbendaharaan ilmu,
perladungan kepandaian
Kita gunakan kemudahan sezaman untuk menegak
agama anutan
Agar Melayu ini bertambah kemajuan di dalam
taatnya kepada Tuhan
Agar Melayu ini akan berdaulat berumbikan faham
keagamaan
Agar Melayu ini punyai nilai diri dan bukan
sekadar buih lautan
Tok Wan Ahmad berada pada gerbang zaman
Selayaknya kita jadikan dia imam ikutan
Bagi berderpan dengan zaman yang penuh cabaran
Nilai agama dan maruah bangsa sedangkan
dikoyakkan
Oleh anasir-anasir yang benci kepada kebajikan
Ingatlah pesan Tok Wan Ahmad
Tegakkan agama, teguhkan bangsa, binalah tanah
air tercinta
Sebagai watan Islami yang berdaulat merdeka
Sehingga kita menjadi Melayu berakal budi, hebat
berfikir, indah budaya
Memiliki keberkesanan cara siyasahnya, bijak
mendalam faham ilmunya
Umpama pohon bertunjang teguh di bumi, dahannya
menyentuh awan yang tinggi
Serta mengeluarkan buahannya apabila sampai
detiknya nanti
Tok Wan Ahmad
Hari ini kami berhimpun bagi mendapat sedikit
fahaman
Dari warisan Tok Wan yang nilainya gilang
cemerlang
Semoga kami semuanya mendapat restu taufik dari
Tuhan
Rahmat-Nya tercurah dengan penuh keberkatan
Wahai Tuhan, anugerahilah kami kekuatan bagi
mendapat pengertian
Serta bagi kami amalkan pusaka berharga tinggalan
Tok Wan
Amin
Bi jahi Sayyidi al-Mursalin
Wa alihi wa sahbihi ajmain
Ya Rabba al-‘Alamin (90)
‘Abdullah Zaidi bin Hassan
Himpunan Pencakna Budaya Kelantan
Kemudiannya Alhamdulillah di atas segala
ni’mat
Serta taubat dari segala dosa, kelalaian
dan kecacatan
Semoga dikirakan usaha yang kekurangan ini
sebagai pertaruhan di hari kelak.
Serta terima kasih kepada semua yang banyak
membantu
Wallahu wa’lam
************************************
NOTA
CATITAN
Maka setengah daripada besar-besar nikmat-Nya
yang wasi‘ah bahawa ditoba’ kan [dicetak] beberapa kitab Melayu yang nafe‘ah*
dan adalah dahulunya sehabis-habis payah akan tahsilnya
Syaikh Ahmad menyebut ketika beliau menganjur ‘format’ bagi
surat-kiriman dalam bahasa Melayu di dalam Hadiqatu al-Azhar (m/s
223): “berbuat surat kirim-kiriman dan fan [seni] yang sangatnya
berhajat oleh ahli tamaddun”
Syaikh
juga memberi contoh bagi menghampirkan kepada faham tentang hal majzub di
kalangan oleh sufi, dengan ibaratnya : (maka berkata hamba) bermula
yang hamba fahamkan daripada kalam sufiyyah rahimahumuLlah Ta‘ala pada kutub
[kitab-kitab] mereka itu yang terlihat hamba atasnya sekarang ini bahawasa
Majzub di-itlaq akan dia atas 4 bahagi (pertama) mereka yang ditarikkan dia
oleh Allah Ta‘ala kepada beberapa hal yang mulia dan beberapa maqam yang
tinggi di dalam masa yang sedikit serta dilenyapkan akalnya maka dilalukan
dia atas segala hal dan maqam itu dengan bersegera dan misalnya pada
menghampirkan yang demikian itu bagi segala akal hal orang yang di atas
keretapi yang amat deras perjalanan yang berjalan di dalam 3 hari akan jalan
yang berjalan padanya 30 hari atau hal deras mesra lalu khasiat ubatan
[aliran] kahraba-iyyah [elektrik] di dalam beberapa daqiqah [saat] yang
sedikit pada segala juzu dawainya yang dibentangkan antara segala tiangnya
pada perjalanan beberapa bulan atau hal lekas suluh cahaya matahari kepada
dunia di dalam beberapa thawani(?) daqiqah yang amat sedikit perjalanan
ribi-ribu tahun… [m/s:181-182. al-Fatawa al-Fataniyyah]
Syaikh
menulis perkara ini pada suratnya bertarikh 5 Safar 1324 (bersamaan 30Mac
1906) kepada as-Sultan Kelantan. Elektrik mula diperkenalkan di Kelantan
telah dicatitkan oleh Muhammad Yusuf bin Soleh al-Kelantani dalam
bukunya Laksana Staman (edisi pertama 1954):
“Dan
perasaan yang berkehendakkan menambah bergemilangan negeri maka diringkasnya
pada hari 10 Jamadi al-Awwal 1345 bersamaan 15 November 1926 dicuba
menjalankan pasangan lampu-lampu api elektrik di dalam Bandar Kota Bharu dan
pada hari rabu 26 Jamadu al-Awwal 1345 bersamaan sehari bulan Disember 1926
mulai terpasang api elektrik itu pada segala gudang tempat-tempat perniagaan
dan rumah yang gemar memakai dan suka membayarnya dengan
bertambah-tambahlah pada tiap-tiap masa”
Syaikh
Daud Bin Abdullah al-Fatani telah menyentuh hukum memakan kecau di dalam
kitabnya As-Saidu wa az-Zaba-ihu, terbitan Matba‘ah
al-Miriyyah pada tahun 1310. Kata Syaikh Daud:
(Dan)
demikian lagi halal memakan isi [kehidupan] laut yang tiada hidup di
darat lagi tiada memberi mudarat seperti ibu edang mutiara dan kepah dan
tiram, dan taritib dan ramis dan segala baginya dan temakul [ikan
tembakul] dan upamanya seperti keca dan siput yang
tiada memberi mudarat dan tiada hidup di darat
Terjemahan
Melayunya di dalam al-Fatawa terjatuh perkataan ‘alkohol’ daripada teks
Arabnya.
Air launda
adalah apa yang dipanggil ‘lavender water’. Kaedah yang dipetik oleh syaikh
itu berkemungkinan diterjemahkan daripada ‘The Household Cyclopedia Of
General Information’. Terbitan 1881 di Amerika. Boleh didapati di: http://www.publicbookshelf.com/public_htm.
Hanyalah perbincangan di sini lebih
detail.
63.Ibid m/s 39
64.Tayyibu al-Ehsan m/s 3. Syaikh juga menulis
kitab perubatan yang dinamakan
Laqatu al-Ajlan, yang
merupakan himpunan amalan rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa, azimat
dan petua. Terdapat juga kitab jenis yang sama yang dinisbahkan kepada Tok
Kenali yang dinamakan Mujarabat, yang merupakan terjemahan
daripada tulisan Imam Darabi. Sementara Datuk Perdana Menteri Nik Mahmud Bin
Ismail menulis kitab Pati Rahsia. Pada tangan
pencatit ini terdapat manuskrip tentang perdukunan yang sangat uzur
keadaannya, tuan asalnya adalah Haji Ishak Bin Abdullah, seorang lagi
murid Syaikh Ahmad asal Kelantan yang meninggal di Kampong Cham, Kemboja.
kemungkaran
jangan mudah ditegur, kerana di dalam menegur satu kemungkaran, kita mungkin
melakukan tiga kemungkaran. Kita mungkin menegur keumungkaran dengan
menganggap kita lebih baik daripada yang ditegur, ini adalah kemungkaran yang
besar iaitu takabbur. Kita mungkin mengintai-intai keabaiban orang lain untuk
menegurnya, ini juga adalah kemungkaran. Dan di dalam menegur, kita mungkin
membuka aib orang lain secara sengaja dan ini juga adalah kemungkaran. Oleh
itu, Guru kami mengatakan istita‘ah hati di dalam menegur kemungkaran itu ialah
menghadirkan keikhlasan semata-mata kerana Allah. Apabila ada kekuatan
istita‘ah itu, cegahlah kemungkaran semada dengan tangan atau lisan atau
dengan hati. Keikhlasan yang berakar-umbi di hati itulah yang akan
memancarkan keredaan Allah di dalam tindakan
90. Puisi ini dilakarkan sebelum berlangsungkan seminar Syaikh
Ahmad al-Fatani pada September 2002, di Kota Bharu
|