PEMIKIRAN ISLAH DAN TAJDID SHEIKH AHMAD AL-FATHANI DALAM ‘HADIQAH AL-AZHAR WA AR-RAYAHIN’: Kearah penghayatan Fiqh al-Hadharah


PEMIKIRAN ISLAH DAN TAJDID SHEIKH AHMAD AL-FATHANI DALAM ‘HADIQAH AL-AZHAR WA AR-RAYAHIN’: Kearah penghayatan Fiqh al-Hadharah

Islam merupakan agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam ini. Mukjizat agung al-Quran merupakan panduan dan rujukan utama kepada umat manusia untuk kehidupan di dunia ini sepanjang zaman. Rasulullah SAW Berjaya membawa risalah Islam seterusnya diwarisi para sahabat dan pewarisnya. Islam telah membawa nur petunjuk dan membawa manusia keluar daripada kegelapan. Para ulama’ merupakan pewaris Rasulullah SAW membawa panji dan dakwah Islamiah dengan rahmat dan hikmah bagi kesejahteraan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya”.

Islam agama membawa peradaban, bersifat ukhrawi dan duniawi dan menitikberatkan konsep Islah Dan Tajdid bagi kehidupan realiti manusia di alam ini dan perkembangan zaman. Ibnu Manzur dalam karyanya ‘Lisan al-Arab’ Islah bermaksud menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh.Manakala Tajdid adalah kalimah arab yang berasal daruipada jaddada dan yujaddidu, tajdidi bermaksud iaitu menjadikannya baru atau bernafas baru. Kamus Dewan edisi keempat menyatakan Istilah Islah ialah usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai; 2. penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai. Manakala Tajdid ialah pembaharuan (yang menurut ulama fiqah bererti menghidupkan kembali ajaran Rasulullah SAW yang semakin ditinggalkan akibat amalan bidaah).

Islah iaitu memperbaiki atau membersihkan Islam daripada pemalsuan dan penyelewengan.Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati agama dengan sebenar mengikut pendekatan baharu,penghayatan dan realiti semasa muafakat dengan al-Quran dan hadis serta berpaksikan akidah sahih Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Tajdid adalah bagi memperbaharui atau menyegarkan semula kefahaman terhadap ajaran agama sesuai dengan tuntutan zaman. Tajdid merupakan asas  perubahan yang menyeluruh tidak sahaja dari segi konsep, falsafah, isi, hala tuju dan hasil, tetapi terdapat orientasi maju dan dinamik sesuai dengan perkembangan zaman. Tajdid dalam Islam tidak mencabut akar tradisi yang cemerlang tetapi menjadi elemen pengukuh dan memperkasa supaya pembangunan insan memberi manfaat terhadap sekitarnya.

Alam Melayu telah berjaya melahirkan ramai ilmuwan dan ulama’. Mereka telah menghasilkan Khazanah pemikiran dan keilmuan dalam bentuk karya-karya yang begitu banyak didalam pelbagai bidang, sehingga terdapat banyak manuskrip Melayu di pelbagai negara. Khazanah peradaban Melayu Islami (kitab Jawi)  masih terpinggir dan ditinggalkan untuk dikaji, diamati dan dianalisis. Justeru dalam memacu kearah ketamadunan dan peradaban sewajarnya karya khazanah warisan bangsa Melayu Islami perlu diterokai dalam menongkah membina ketamadunan mengikut acuan sendiri. Memahami khazanah sendiri membangkitkan semangat rasa bangga, kagum, jatidiri terhadap nusa dan bangsa serta agama.

Dalam menghadapi cabaran dan kehidupan semasa memahami turath dan massa amat penting dalam kerangka tersendiri yang lebih mantap dan jitu.  Fiqh al-Hadharah, Pensejarahan dan falsafah sejarah harus digali kembali bagi melihat akar kekuatan umat Islam, untuk dimartabatkan dan dijadikan panduan rujukan dan diambil manfaat bagi menghadapi cabaran kehidupan semasa. Sheikh Ahmad al-Fathani menukilkan bahawa:

‘Ilmu Tarikh itu daripada sebesar-besar segala ilmu kadarnya dan terlebih cemerlangnya, didalam segala kelam, tercengang itu qamarnya, member faedah ia akan yang mempunyainya, akan cerdik dan tajam penilikkannya ia atas segala mereka yang semasanya dan sama taranya, dan mendapat ia akan beberapa martabat yang tinggi didalam dunianya, bahkan membawa kepada manfaat bagi ukhranya kerana dengannya lah jadi caraca bagi tolannya bagi afkar dan dengan dia pula dapat mengambil iktibar dan dengan dia diketahuikan segala hawadis didalam segala masa dan didalam cerminnya, terlihat barang yang mentadwinkan dia oleh segala mereka yang dahulu daripada ulum dan sonai, dan nyatalah dengan dia oleh barang yang tersembunyi daripada segala ehwal kurun yang telah lalu dan sekalian khabar segala negeri dan barang yang didalamnya daripada asar dan manafi’.

Tokoh ilmuwan dan ulama Melayu tersohor diantaranya Sheikh Wan Ahmad b Wan Muhammad Zain al-Fathani (1856-1908). Ketokohan beliau terserlah dengan penguasaan lebih 40 bidang keilmuan, dan banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang keilmuan terutama dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Beliau adalah pemikir, strategis, pengkader, ilmuan, ulama, sasterawan dan pejuang. Seorang Melayu Muslim yang serba boleh, berpengetahuan luas dan bijaksana. Kepakarannya mendapat pengiktirafan khilafah kesultanan Osmaniah di Istanbul, Turki pada masa tersebut. Beliau juga menjadi rujukan para Sultan di alam Melayu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan. Perakuan Sarjana dan Orientalis Belanda iaitu C.Snouck Hurgronje menggelarnya sebagai ‘A Savant  of Merit’ diatas keilmuan dan ketokohan Sheikh Ahmad al-Fathani. William R.Roff  menggelar sebagai ‘A Great Savant’. Yakni sebagai sarjana ulung.

Kalangan ulama’ Melayu pernah belajar dan berguru dengan beliau semasa menuntut ilmu di Haramain (kurun ke19 dan awal ke-20) serta mempunyai hubungan sanad dan silsilah ilmu dan amalan. Ramai muridnya telah berjaya menjadi ulama dan pejuang sekembalinya ke tanahair masing-masing. Sheikh Ahmad al-Fathani banyak memberi sumbangan dengan pendekatan Islah Dan Tajdid yang dibawa oleh beliau hasil daripada tarbiah,keilmuan, pemikiran dan pengalaman serta kembara ilmiah di Haramain, Mesir, dan Turki serta pengamatan beliau terhadap bangsa dan alam Melayu.

Antara karya agung memperlihatkan keilmuan dan  pengetahuannya dalam pelbagai bidang ilmu ialah ‘Hadiqah al-Azhar’ yang ditulis dalam bahasa Melayu tulisan Jawi, karya ini siap ditulis pada hari Sabtu 15 Syaaban 1307 bersamaan 6 April 1890. Cetakan pertama ialah pada tahun 1307H/1890M . Karya ini telah diulang cetak dalam beberapa versi seperti cetakan Istanbul, Kaherah, Mekah dan Pulau Pinang. Keunikan karya ini kerana memperlihatkan penulisan tokoh dalam pelbagai bidang keilmuan.

Kepentingan menghidupkan warisan Melayu Islam merupakan suatu usaha untuk memahami dan menilai tradisi yang sedia ada dalam sesuatu masyarakat  bertujuan untuk mengenalpasti aspek ‘hakikat’ yang terkandung didalamnya yang boleh diaplikasi,dikembangkan penjelasan dan pelaksanaannya menurut setempat dan semasa. Ini dapat menyumbang kearah menghasilkan suatu kaedah penyelesaian  bagi masalah dan cabaran umat setempat dalam kerangka dan tradisi serta acuan sendiri yang terjaga dengan pendekatan bersesuaian dengan tuntutan dan cabaran setempat dan semasa. Gandingan secara bersepadu diantara ‘hakikat’ yang disaring dari warisan dan tradisi Melayu Islam dan ilmu-ilmu moden yang berkembang kini akan menghasilkan suatu penyelesaian yang mantap dan terkawal bagi permasalahan ummah setempat.

Fiqh al-Hadharah ini sebagai satu usaha ilmiah/amaliah bagi membina satu kerangka islah dan tajdid berdasarkan tradisi pandangan (worldview) dan pengalaman (lifeworld) Islam. Tradisi keilmuan(budaya ilmu) dan keruhanian(amal ruhiyyah) yang menjadi teras kepada kekuatan peradaban Islam.
Antara ciri-ciri faham Tajdid dan Islah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah:
1.   Mengembalikan ajaran Islam ke landasan yang asal iaitu berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah
2.   Memelihara dan memperkasakan ajaran dan amalan ahli sunah wal jamaah.
3.   Faham sebenar al-Quran dan Sunnah adalah melalui ulama mursyidin.
4.    Mendorong kepentingan teras amal Islami berdasarkan Islam, Iman, Ihsan dimana kepentingan amal Islami melalui bermazhab dan bertariqat.
5.   Mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli kearah kesepaduan ilmu
6.   Memperbetulkan fahaman keliru yang terdapat di kalangan umat Islam yang beranggapan bahawa jenis ilmu dan pekerjaan yang bukan dari ibadat secara khusus tidak dituntut oleh agama.
7.   Kepentingan ilmu dan pendidikan serta penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu serta membasmi kejahilan. Menggalakkan rehlah ilmiah bagi menuntut ilmu dan pengalaman di Negara luar.
8.   Menitik beratkan kesedaran tentang kepentingan bahasa dan sejarah bangsa serta mengambil iktibar dan panduan sejarah manaqib ulama’, Khilafah Osmaniah dan ancaman ajaran Wahabi.
9.   Mengambil berat tentang nasib bangsanya dan sayangkan bahasa Melayu. Dia telah melakukan usaha yang terancang sebagai langkah untuk menebus maruah bangsanya dan perancangan bebaskan daripada penjajahan.
10.              Melakukan pentashihan dan percetakan kitab-kitab Melayu/jawi bagi tatapan umah Melayu. Meninggalkan kitab-kitab serta karangannya yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi.
11.               Menyediakan kerangka bekerja secara berpersatuan dengan dimulai penubuhan Jam‘iah al-Fataniyyah di Makkah. Merupakan organisasi Melayu yang pertama. Pengkaderan orang melayu dan ulama di Mekah bagi kembali ke tanah Melayu sebar ilmu, dakwah dan pusat pendidikan serta jihad.
12.              Membuka jalan berfikir menerima perubahan dan kemajuan secara luaran dan supaya mencapai kemajuan sains, teknologi dan ilmu semasa dalam pelbagai bidang serta budaya mengkaji, menyelidik dan analisis (R&D).
13.              Menyediakan pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran, jaringan ukhuwwah dan hubungan diplomatik dengan Khilafah Islamiah Turki Osmaniah.
14.               Mengikuti perkembangan dunia luar kerana dunia Melayu tiada akan terlepas dari perkembangan yang berlaku di peringkat dunia,
15.              Menyemarak semangat mencintai bangsa,bahasa Melayu dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.
16.              Kepentingan dan kepedulian siasah
17.              Merencanakan perancangan ketamadunan ummah
Perkara ini menarik perhatian untuk mengkaji, menyelidik, menganalisis serta meneroka khazanah ini dalam memahami warisan pemikiran, pendekatan dan konsep Islah Dan Tajdid oleh tokoh tersebut. Dengannya dapat dijadikan sebagai suatu panduan dan kerangka dalam menghadapi cabaran semasa, dakwah Islamiah dan kearah (fiqh al-Hadharah) mengembalikan dan menjana peradaban insan dan ketamadunan Melayu Islami. Pemikiran Islah Dan Tajdid beliau menjurus secara bersepadu kepada perancangan ketamadunan ummah dan peradaban insani. Pemikiran beliau jelas bersifat glokal,futuristik,progresif, wasatiyyah, strategis dan berperadaban mengikut acuan Melayu Islami.

Rizhan el-Rodi