PEWARIS NABI YANG SEBENAR?



 SI
SIAPAKAH PEWARIS NABI YANG SEBENAR?

Susunan : Tok Kelana

MUQADDIMAH
Segala puji tertentu bagi Allah. Salawat salam kepada Sahibul Asrar Sayyidina Muhammad  صلى الله عليه وسلم, Ahlul Bayyit yang suci, para Sahabat yang mulia serta sekalian Aulia' Allah sehingga akhir zaman. 

Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم  adalah Nabi dan Rasul terakhir bagi Ummat ini. Siapakah yang akan memimpin Ummat ini setelah ketiadaan Baginda.? Siapakah yang akan mendidik Ummat ini dengan ilmu syari'at dan ilmu kerohanian?. Siapakah yang akan membawa manusia ini mengenal diri serta penciptanya? 

Kerana manusia selamanya memerlukan pemimpin Rabbaniyyah yang menunjukki kepada hakikat kebenaran dan keTuhanan bagi membebaskan dirinya daripada kekufuran dan kesyirikan. Kitab serta aqal sahaja tanpa pemandu yang menunjuk arah akan menyebabkan manusia menyimpang dari kebenaran yang hakiki. Ini kerana aqal manusia yang terbatas kemampuannya tidak dapat menyelami segala rahsia KeTuhanan yang tersembunyi. Nafsu jahat yang bersemadi dalam batin pula akan sentiasa mengajak kepada membuat fasad dan penyelewengan. 

Rasulullah صلى الله عليه وسلم  telah mendidik serta mencurahkan Ilmu zahir dan Ilmu Kerohanian kepada para Sahabat Baginda yang mulia Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu 'Anh, Sayyidina Umar Radhiallahu 'Anh, Sayyidina Uthman Radhiallahu 'Anh dan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka ini kemudiannya mencurahkan pula Ilmu suci ini kepada Sayyidina Hassan, Sayyidina Husain, Sayyidina Salman Al-Farisi serta sahabat lain Radhiallahu 'Anhum Ajmain. 

Demikian Sayyidina Hassan, Sayyidina Husain serta sahabat lain Radhiallahu 'Anhum Ajmaiin telah mencurahkan ilmu tersebut kepada generasi Tabiin berikutnya.   Generasi Tabiin seterusnya mendidik Tabi-it-Tabiin.  Demkianlah seterusnya ilmu ini dipindahkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya secara mushahfahah  dan tidak putus sehingga ke zaman kita sekarang ini.  

Ilmu Nabi ini akan terus dipindahkan dengan cara yang sama sehingga akhir zaman.  

Mereka yang mewarisi Ilmu Nabi zahir batin ini di kenali sebagai khalifah-khalifah/ Pewaris Rasulullah (pengganti Nabi) .  

Firman Allah:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنْكُمْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى الاٌّرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِى ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِى لاَ يُشْرِكُونَ بِى شَيْئاً وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْفَـسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [An-Noor (24) : 55]


Sabda Rasulullah  صلى الله عليه وسلم :

 “Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, Namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut ”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apa yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan baiat seperti baiat pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka, Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.” (Bukhari Muslim).


Sabda Rasulullah   صلى الله عليه وسلم  

"Tidak akan masuk neraka seorang muslim yang telah melihat dia akan daku. Dan tiada pula masuk neraka, mereka yang melihat ia akan orang yang melihat ia akan daku sehingga 70 lapisan wasitah sekalipun. Maka sesungguhnya mereka itulah khalifah- khalifahku (pewarisku) pada menyampaikan syariatku dan memimpin Ummatku pada jalan ketuhanan dan ubudiyyah yang sebenar. Dengan syarat mereka tetap pada syari'atku." 

(Riwayat Khatib daripada Abdur-Rahman bin Uqbah) 


Dan sabda Rasulullah  صلى الله عليه وسلم

"Hairan oleh Allah daripada satu-satu kaum yang masuk syurga bertali-tali (ya'ni bergantung satu kepada satu beberapa banyak Shaikh kepada Shaikh yang lain sehingga bertemu pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam) 

(Riwayat Bukhari) 

Segala keterangan di atas menjadi bukti nyata bahawa Nabi tidak meninggalkan kita tanpa panduan. Bahkan Nabi telah menurunkan segala Ilmu Baginda zahir batin kepada generasi berikutnya dan juga memberi jaminan akan adanya pengganti Baginda yang akan meneruskan Risalah Baginda!Pada hakikatnya ini adalah rencana Ilahi yang tersusun indah didalam  PemerintahanNya!   

Ini bermakna pada setiap zaman dan setiap wilayah pasti ada "Pewaris Nabi" ini untuk memimpin Ummat Islam kepada jalan Ketuhanan dan Syari'at Islam.  Allah Ta'ala akan sentiasa zahirkan Pewaris Nabi ini dan menghimpunkan beberapa hamba-hamba pilihan untuk menjadi pengikut mereka yang setia.  Mereka inilah sahabat dan penolong kepada Pewaris Nabi ini.  



Tetapi sayang sekali kebanyakan Ummat Islam tidak lagi mengenali  "Pewaris Nabi"   yang haq ini. Setengah mereka tidak peduli samada mereka ada pemimpin atau tidak.   Yang lain-lain  mengambil Ulama-ulama jahat dan orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Ini yang di isyaratkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم

Dari Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما bersabda Rasululllah  صلى الله عليه وسلم  :

"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan (menghilangkannya) dari dada hamba2Nya sekaligus. Tetapi Allah menghilangkan ilmu tersebut dengan mematikan Alim-Ulama sehingga tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin2 dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka mereka sesat dan menyesatkan. (Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah)


WARISAN CAHAYA SILSILAH (PEWARIS NABI) ADALAH PILIHAN ALLAH

Apa yang kami maksudkan dengan Pewaris Nabi atau Cahaya Silisilah Nabi adalah  orangorang Mu'min pilihan Allah yang menerima  pemindahan Ilmu Nabi zahir dan batin daripada sahabat ke sahabat berikutnya secara 'mushafahah' - dengan cara berhadapan dengan Guru!   Pemindahan Ilmu keruhanian adalah pancaran Nur Muhammad (cahaya ke Nabian)  kepada sekalian sahabat Baginda yang kemudiannya di alirkan kepada generasi sahabat dan Shaikh-shaikh berikutnya.

Oleh yang demikian Pewaris Nabi yang sebenar bukanlah lantikan pemerintah-pemerintah negara atau lantikan melalui undian atau lantikan kerana keturunan atau lebih buruk lagi seseorang  mengaku dia lantikan Allah.  Semua ini tidak dapat diterima kerana Pewaris Nabi bukan barang mainan nafsu atau  politik dunia.  Walaupun dia seorang Ulama Al-Azhar yang terkenal sebagai Ulama seluruh dunia, namun jika dia tidak menerima pemindahan Ilmu dan cahaya KeNabian dengan cara mushafahah yang disebutkan seperti di atas, maka dia belum boleh dikatakan sebagai Ulama' Pewaris Nabi yang haq.  

Orang-orang Alim seperti ini hanya boleh digelar sebagai orang Alim Fiqh.  (Ihya Ulumuddin)

Pewaris Nabi yang haq adalah pilihan Allah yang tidak boleh di engkari oleh sesiapa pun.    Lantikan ini tidak boleh di tolak dan tidak boleh minta-minta!  Ianya adalah pancaran Nur Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.  Ia semata-mata anugerah dan Amanah Allah Ta'ala!   Di dalam disiplin Ilmu Ma'rifat dan pimpinan keruhanian,  pilihan Allah ini akan disampaikan oleh Ruhaniyah Rasulullah kepada seseorang Pewaris Nabi yang sedang memimpin kaumnya.  Apa yang kami maksudkan adalah :  Pewaris Nabi yang sedang memimpin akan melantik seseorang yang telah mendapat limpahan Ruhani Rasulullah untuk menjadi Pewaris Nabi seterusnya jika dia layak.  Ianya tidak boleh di reka-reka oleh Guru itu melainkan melalui petunjuk Raslullah صلى الله عليه وسلم

Mereka inilah Ulama Pewaris Nabi yang sebenar!  

Berkata Ghawthul A'zham Shaikh Muhyddin رضي الله عه,

"Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan Rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah Pewaris Nabi-Nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh Rasul-Rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi."   (Sirrul Asrar)

Kata Imam Ghazali   رضي الله عه :

Sebelum Nabi wafat,  Baginda telah menentukan sahabat2 yang akan menggantikan Baginda untuk memimpin dan mendidik Ummat pada jalan ketuhanan.  Setelah itu para sahabat mewariskan pimpinan ini kepada para Tabi’in dan seterusnya sehingga hari kemudiannya. Mereka inilah Pewaris Nabi. (Ihya Ulumuddin)

Sila perhatikan baik-baik perkataan Shaikhuna,   lantikan Guru yang mewarisi Nabi untuk memimpin Ummat sebagai Pewaris Nabi bukanlah dari Guru itu sendiri, melainkan ianya petunjuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم.    Dengan demikian orang-orang yang melantik diri sendiri sebagai Shaikh  Pewaris Nabi kononnya dia dilantik oleh Allah adalah pengakuan batil dan sesat yang tidak boleh diterima!


PANGGILAN BERBEZA 

Setelah wafat Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, pengganti-pengganti Nabi untuk mendidik Ummat tidak lagi dipanggil Khalifah, sebaliknya mereka di kenali sebagai Imam,  Shaikh,  Mursyid,  Ulama Tasawwuf, Ahli Ma'rifat dan panggilan-panggilan yang lain sesuai dengan kemuliaan sebagai pewaris Nabi yang haq !   Ini kerana istilah dan pangkat khalifah telah menjadi rebutan para penguasa-penguasa /pemerintah yang rakus dan zalim.    

Sementara mereka-mereka yang sebenarnya memegang Amanah Nabi ini mengasingkan diri dari perebutan dan kekacauan nafsu manusia.   Mereka membentuk satu sistem pendidikan yang tersendiri berdasarkan ajaran Nabi yang suci tanpa di cemari fahaman-fahaman sesat dan pembuat bid'ah Mu'tazilah, Jabariah dll.  Demikian juga mereka membuat pengasingan dan daripada kelompok-kelompok yang menyamar sebagai Ahli Sufi dan Ahli Ma'rifat padahal mereka termasuk golongan penipu dan tertipu!

Ghawthul A’zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu ‘Anh menyebut didalam salah satu ungkapan yang menarik :

Dalam semua itu mereka (para Pewaris Nabi)  mengikut teladan daripada pengikut-pengikut  صلى الله عليه وسلم  yang terkenal sebagai ‘golongan tasawwuf’ yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dan berada hampir dengan Baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam .

Kata Imam Jailani lagi,
"Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi   صلى الله عليه وسلم  dengan Tuhannya (Ma'rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi Wasallam." 
(Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar)

Dengan penjelasan di atas kami ingin menegaskan secara ringkas bahawa apa yang dikehendaki dengan panggilan Shaikh, Murshid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat atau Aulia Allah adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu "PEWARIS NABI."    Tugas mereka adalah mendidik dan memimpin manusia kepada Allah Ta'ala. 


SIFAT-SIFAT SHAIKH / MURSHID /AHLI SUFI  YANG MENJADI PEWARIS NABI:

Kita sudah bicarakan sebelum ini bahawa seorang Shaikh, Murshid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat dll adalah Pewaris Nabi yang sebenar untuk mendidik jiwa manusia serta membimbing mereka kepada Allah Ta'ala.  Persoalan sekarang Bagaimana kita boleh mengenal seorang Murshid /Ulama Pewaris Nabi yang sebenar?  Apakah tanda-tanda yang boleh dilihat untuk menentukan  bahwa seorang Guru atau Ulama itu Pewaris Nabi yang sebenar dan bukannya penyamar atau  penipu.??? 

Kami menyebut begini kerana didalam sejarah perkembangan Islam, setelah nama Mursyid dan Shaikh menjadi terkenal dikalangan Ummat Islam sebagai Pewaris Nabi, maka banyaklah manusia-manusia jahil mula mengaku sebagai Mursyid atau Shaikh.   Sebahagain dari mereka adalah berniat untuk mengabui dan menipu  Ummat Islam untuk tujuan duniawi dan nafsu serakah mereka!  

Golongan penipu yang mengaku Sufi Allah, Ahli Ma'rifat, Mursyid atau Shaikh  telah wujud pada masa dahulu dan akan wujud sepanjang zaman! Oleh kerana itulah para Shaikh-shaikh yang siddiq seperti Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani , Shaikh Junaid Al-Baghdadi , Imam Ghazali Radhiallahu Anhum Ajmaiin,  dan lain-lainnya memberikan pesanan dan AMARAN supaya sangat berhati2 didalam memilih Guru Mursyid.  Seseorang perlu memerhatikan  beberapa sifat penting yang menjadi tanda Pewaris Nabi yang sebenar ini, supaya tidak menyesal di akhirat nanti! 

Setelah meneliti beberapa Kitab Ulama Tasawwuf seperti Imam Jailani, Imam Ghazali, Shaikh Hujweri, Shaikh Ibnu Arabi, Shaikh Yahya Al-Khalidi dan Ulama Mu'tabarah yang lain, kami dapat menyimpulkan bahawa seorang Guru Mursyid, Shaikh yang menjadi Pewaris Nabi wajib memiliki sekurang-kurangnya 10 sifat berikut :

1. Beliau termasuk didalam 'rantaian' pewaris Nabi iaitu yang dipanggil silsilah  keruhanian Nabi.

Ini bermakna beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikh nya yang telah menerima daripada Shaikh nya dan seterusnya keatas dan ke atas sehingga bertemu  Rahmat-Al-Alameen, Sayyidina Wa Maulana  Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Ini merupakan salah satu tanda kebenaran seorang Shaikh Pewaris Nabi. Sebagaimana kami pernah sebut dahulu, 'cahaya silasilah' bukan rekaan dan buat-buatan manusia.  Ianya adalah pancaran "cahaya Nur Muhammad" yang memancar kedalam hati para Pewaris Nabi. Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala.   Seseorang Guru yang tidak mempunyai silsilah keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat ketuhanan kerana mereka sendiri tak pernah di pimpin dan tidak pernah sampai  ke Hadrat ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain....!

Seluruh Pewaris Nabi yang siddiq, yang terkenal dan di akui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jamaah,  adalah mereka itu dari satu silsilah keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.  Ianya  bukan rekaan dan buatan Pewaris2 ini.  Dengan demikian Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman. Dan orang2 yang menentangnya akan binasa. Wal Iyazubillah!

Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid, tetapi tidak dapat membuktikan dengan menunjukkan silsilah keruhaniannya, maka pengakuan ini tidak dapat diterima.  Dan kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura2 menjadi Guru Mursyid.  

Berkata Ghawthul A'zaham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir didalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya didalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya, sempurna didalam kemurahan hatinya."(Qala'id Al-Jawahir)

Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu Anh :

"Orang yang silsilahnya /sanadnya tidak bersambung ke hadrat Nabi      صلى الله عليه وسلم  itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah صلى الله عليه وسلم, (bukan Murshid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."  ( Khazinah Al-Asrar )

Berkata Shaikh Syeikh Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu Anh :

 Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru2 Toriqah (sehingga Rasulullah صلى الله عليه وسلم) dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan2 lain didalam Toriqah."  
(Jami' Usul Fil Aulia)

Demikian lah jelasnya setiap Guru Murshid wajib mempunyai silsilahnya sampai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan beliau sendiri pernah dipimpin pada Toriqah Sufiyyah di bawah pimpinan Shaikhnya  sehingga wusul kepada Allah. 


2 : Alim didalam Syari'at - Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mahir didalam Ilmu Al-Qur'an dan Hadis Nabi
Seorang Shaikh yang benar dan sempurna adalah seorang yang sangat mahir didalam hukum hakam agama dan beliau dapat membezakan diantara Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf.   Demikianlah apabila  kita melihat sejarah hidup Ulama Pewaris Nabi ini,  semuanya mahir didalam selok belok agama dan mampu memberikan fatwa didalam masalah2 yang dihadapi oleh kaumnya.     

Berkata Sayyid-At-Tariqah As-Sufiyyah Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu 'Anh  :

"Ilmu kami, ahli Tasawwuf diikat dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Jika seseorang tidak menghafal Hadis Nabi dan tidak menulisnya didalam kitab2 dan tidak menghafal Al-Qur'an, dan tidak mahir didalam hukum2 syaria't dan tidak pula 'alim didalam ahwal perjalanan kerohanian, maka orang itu tidak layak diikuti sebagai pemimpin Ma'rifat ketuhanan. Maka jangan kamu mengambil ilmu daripadanya" 


3: Mahir didalam Ilmu Ma'rifat Ketuhanan serta mampu mendidik jiwa manusia kepada ketuhanan.

Seorang Pewaris Nabi yang sebenar adalah beliau terdidik dengan Ilmu keruhanian di bawah bimbingan Guru/ Shaikhnya sehingga beliau mendapat curahan berbagai Hikmat Ilahiyyah serta kebijaksanaan. Beliau telah sampai kepada Maqam Mushahadah (penyaksian wajah ketuhanan) serta sentiasa didalam bimbingan Rasulullah   صلى الله عليه وسلم.

Sila rujuk kata2 Imam Jailani pada perkara 1. 


4 : Sentiasa berpegang teguh dengan Syari'at Nabi.

Sifat ini merupakan penjagaan. Seorang Shaikh wajib mematuhi hukum2 yang termaktub didalam Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari'at ; samada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya secara terang2an atau mengadakan/anjurkan perkara2 yang bertentangan dengan hukum Islam dalam.  (Ini adalah bermaksud kepada hukum2 yang telah disepakati oleh Ulama2 Mu'tabar, bukan masalah khilafiyah)

Apabila seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang2an atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara ma'siat, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh. Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut Iblis dan Istidraj!  Wal Iyazubillah! 

Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu Anh: 

"Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut Syaitan dan musuh Islam.(Kashful Mahjoob) 

Dengan demikian WAJIB menjauhkan diri daripada orang yang mengaku Mursyid tetapi melakukan penyelewengan didalam Syari'at. Bahkan HARAM mengikutinya  lagi.


5 : Tabligh dan Menjalankan Amr Ma'ruf nahyi Anil Mungkar.

Ini merupakan salah satu ciri penting iaitu beliau hendaklah seorang yang sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan,  melalui nasihat2, teguran2 dan amaran2 kepada murid2nya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.  


6. Bersifat siddiq (benar) dalam perkataan dan perbuatannya.

Beliau hendaklah seorang yang sentiasa BENAR didalam perkataan dan perbuatannya.  Seorang Shaikh atau Murshid bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq. 


7 : Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia .

Hidup beliau penuh didalam kesederhanaan. Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.   Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan. Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi   صلى الله عليه وسلم,   bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid!

Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul2 kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid2 nya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!  Tiada layak sedikitpun duduk diatas sejadah kemuliaan Murshid!

Sedikit Catitan :  Kemungkinan juga sebahagian Shaikh atau Murshid diberi kekayaan oleh Allah Ta'ala (tetapi bukan hasil dari harta yang ditagih dari murid2nya)   namun kekayaan tersebut tidak sedikitpun mengganggu Ubudiyyah dan Khidmatnya kepada Allah!


8 : Memiliki sifat halim (lemah lembut) kepada manusia didalam pergaulan  Serta mencontohi segala akhlaq Nabi.

Beliau memiliki sifat2 Nabi seperti sifat halim dan sifat2 kemuliaan yang lainnya.  Beliau mencontohi Rasul didalam mendidik Ummat kepada ketuhanan.  Beliau sangat penayabar dan lemah lembut  didalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia. Walau bagaimana pun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama.   Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama.  Namun beliau bukanlah orang yang selalu didalam keadaan demikian.  


9:  Wajahnya, serta perlakuannya memberi kesan yang mendalam kedalam hati orang yang melihatnya.

Sesungguhnya ini salah satu tanda yang besar menunjukkan ketinggian dan kemuliaan beliau di sisi Allah dan juga menunjukkan tanda kebenarannya sebagai seorang Aulia Allah yang mewarisi Nabi.  Orang yang memandang beliau akan membawanya  kepada ingat akan Allah Ta'ala.     Bahkan hanya dengan mengingat2 akan wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah didalam kehidupan dan menolakkan pelbagai kesusahan!


10 : Terkenal di tempat jauh

Seorang Shaikh yang benar akan dikenali oleh mereka2 yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan ilham dan petunjuk kepada manusia untuk mencari Shaikh ini walaupun dari jauh.   Ulama2 meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.

Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya.  Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan2 palsu.  diantaranya :   Kononnya dia seorang Murshid sebenar, tiada lagi Murshid didunia ini lagi.   Guru ini mendakwa dia sudah  wusul  kepada Allah, maka tiada lagi takluk kepada Syari'at.  Guru ini juga sering mengugut  sesiapa yang meninggalkannya akan jatuh Murtad  dan munafiq.    Ini diantara taktik2 kejahatan Guru palsu....!

Oleh sebab inilah seseorang murid perlu terbuka  fikirannya dan jauh pandangannya.  Jangan biarkan diri dikongkong oleh perasaan fanatik buta kepada seseorang yang mengaku dirinya Murshid.  Perlulah kaji sedalam2nya dengan berdasarkan panduan2 Ulama Mu'tabarah.  Ini adalah soal hidup mati. Soal syurga neraka!  Soal redha atau Murka Allah Ta'ala! 


>>>>> 
Demikianlah kami dapat himpunkan syarat2 yang wajib ada pada seorang untuk melayakkan beliau sebagai Shaikh /Mursyid /Pewaris Nabi untuk memimpin Ummat!   Waspadalah!  Jangan kita tertipu  oleh kehebatan zahir atau perbuatan2 luar biasa yang sering di lakukan oleh Golongan penipu yang bertujuan mengaut keuntungan duniawai daripada hamba2 Allah yang ikhals.  

Ini termasuklah "kelebihan Kasyaf"  yang sering di tonjolkan oleh Guru Palsu, kononnya untuk  meyakinkan bahawa dia Guru yang sebenar! Kami katakan :   Sesungguhnya ramai orang kafir boleh "membaca fikiran"  orang lain, boleh melihat benda2 ghaib. Jadi jangan lah kita terpesona dengan perlakuan2 ganjil yang cuba di tonjolkan.

Banyak juga ahli2 sihir boleh mencengangkan manusia dengan pelbagai perkara yang kelihatan 'luarbiasa'.  Jadi apa yang hendak dihairankan dengan 'pertunjukan' wayang yang dilakukan oleh golongan penipu ini....!

Seorang Mursyid/ Shaikh / Pewaris Nabi yang sebenar akan menyembunyikan segala hal-ehwal luarbiasa yang Allah Anugerahkan kepadanya.  Hal2 istimewa atau 'karamah'    akan berlaku tanpa diusahakan, bahkan hanya  semata2 kehendak Allah!   


Disini kami kemukakan beberapa petikan wasiat para Ulama Arifin berkenaan sifat2 Mursyid/ Shaikh/ Pewaris Nabi ;

Berkata Imam Jilani Radiallahu Anh:

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak (Maqam mushahdah Mutlaq- pent). 
(Qalaid Al-Jawah)

Sayyid-At-Tariqah As-Sufiyyah Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu 'Anh berkata :

"Ilmu kami, ahli Tasawwuf diikat dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Jika seseorang tidak menghafal Hadis Nabi dan tidak menulisnya didalam kitab2 dan tidak menghafal Al-Qur'an, dan tidak mahir didalam hukum2 syaria't dan tidak pula 'alim didalam ahwal perjalanan kerohanian, maka orang itu tidak layak diikuti sebagai pemimpin Ma'rifat ketuhanan. Maka jangan kamu mengambil ilmu daripadanya" 

Berkata Ghawthul A'zaham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir didalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya didalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin, sempurna didalam kemurahan hatinya."(Qala'id Al-Jawahir)

Berkata Shaikh Hujweri: 

Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut Syaitan dan musuh Islam.(Kashful Mahjoob) 

Berkata Imam Al-Ghazali :

"Siapa yang mengatakan bahawa dirinya telah sampai kelada haal (hakikat) bersama Allah yang membuatnya bebas dari kewajipan solat atau bebas dari larangan minum khamar, maka membunuhnya adalah wajib, meskipun perlu peninjauan mengenai hukum kekalnya orang tersebut di neraka.  Membunuh orang seperti ini adalah lebih utama daripada membunuh seribu orang kafir, kerana bahayanya lebih besar"  (I'aanat-at-Talibin)


PERLUKAH KITA  MENCARI ULAMA PEWARIS NABI?

Adakah wajib atas seseorang mukallaf mencari Pewaris Nabi / Khalifah / Shaikh/ Mursyid ini? Adakah wajib membai'at dengan beliau sebagaimana para sahabat Baginda lakukannya terhadap Rasulullah     ?

Berdasarkan segala keterangan Ulama Mu'tabarah, setiap orang beriman wajib mencari seorang Shaikh atau Murshid yang menjadi Pewaris Nabi untuk memimpinnya kepada jalan Syari'at dan Haqiqat. 


Sabda Rasulullah   صلى الله عليه وسلم :

Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, Namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut ”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apa yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan baiat seperti baiat pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka, Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.” (Bukhari Muslim).


Berdasarkan hadis Nabi di atas serta beberapa hadis Nabi yang lain, Ulama2 menyatakan bahawa wajib atas setiap mukallaf mencari Mursyid/ Shaikh /Pewaris Nabi yang haq ini dan berbai'at dengan beliau.

Imam Fakhruddin Ar-Razi menyatakan, 

Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah dan mukashafah, kecuali dia mengikuti mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik2 kesalahan dan jalan yang sesat.”  (Tafsir Mafatih Al-Ghaib)


Shaikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani,

Jika jalan kaum sufi dapat dicapai  dengan pemahaman tanpa bimbingan seorang Shaikh, nescaya orang seperti Al—Ghazali dan Shaikh Izzuddin Abdus-Salam tidak perlu berguru kepada seorang Shaikh(mursyid). 


Sebelum memasuki dunia Tasawwuf, keduanya pernah mengatakan, “ Setiap orang mengatakan ada jalan memperoleh ilmu selain apa yang ada pada kami, maka ia telah membuat kebohongan kepada Allah.”


Akan tetapi setelah memasuki dunia Tasawwuf keduanya berkata, “Sungguh kami telah mensia-siakan umur kami dalam sia2 dan hijab”.   Dan akhirnya kedua mereka mengakui Jalan Tasawwuf ahli Sufi sebagai jalan jalan terbaik menuju Allah.”  (Lataif Al-Minan)




Imam Ath-Tayyibi berkata didalam kitab beliau, 

Tidak patut bagi seorang yang alim – meskipun dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, sehingga dia menjadi salah seorang cendikiawan pada masanya – untuk merasa puas dengan apa yan diketahuinya.  Yang wajib baginya adalah bergabung dengan para Ahli Toriqat Sufiyyah, agar mereka menunjukki jalan yang lurus. Sehingga dia menjadi salah seorang yang diajak berbicara oleh Allah didalam hati mereka kerana kesucian batin mereka, dan dibebasakan dari sifat2 tercela. (Hasyiah Al-Kasyaf)


Imam Al-Ghazali berkata,

Bergabung dengan kalangan sufi adalah fardhu ‘ain. Sebab tidak seorang pun terbebas dari ‘aib atau kesalahan kecuali para Nabi.” (Khulasah At-Tasannif fi-Tasawwuf)

Berkata Imam Al-Ghazali lagi,

Diantara hal yang wajib bagi seorang salik yang menempuh jalan kebenaran adalah dia wajib mempunyai seorang Mursyid dan pendidik spiritual yang dapat memberinya petunjuk dalam perjalanannya serta melenyapkan akhlak2 yang tercela dan menggantinya dengan akhlak2 yang terpuji.” (Ihya Ulumuddin)

 Ibnu Atha’illah berkata,
Shaikh mu adalah orang yang sentiasa memberishkan cermin hatimu sehingga tampak jelas padanya cahaya2 Tuhanmu.”  (Miftah Al-Falah)


BEBERAPA KEMUSYKILAN  BERKENAAN MURSYID ATAU SHAIKH PEWARIS NABI : 

Di sini  kami senaraikan sebahagian persoalan yang sering di ajukan oleh Ummat Islam, samada mereka dari kalangan orang biasa atau juga mereka yang berpendidikan tinggi didalam agama: 

Soalan 1 :  Masih adakah Shaikh atau Murshid yang benar di akhir zaman ini? 

Jawapan :
Jika anda meneliti  keterangan Hadis2 Nabi dan kata2 Ulama yang kami kemukakan sebelum ini, maka anda akan dapati Shaikh, Murshid ini pasti wujud sehingga akhir zaman.  Ketika tiada lagi seorang pun Pewaris Nabi ini iaitu yang yang sebenarnya mewarisi cahaya Kenabian Muhammad صلى الله عليه وسلم, maka itulah alamatnya Qiamat dunia ini.  

Soalan 2 :  Adakah wajib seorang Guru Mursyid itu bersilsilah sampai Nabi صلى الله عليه وسلم?   (Iaitu perpindahan/penerimaan Ilmu  dari satu generasi kepada generasi berikutnya secara mushafahah)?

Jawapan :  
Silsilah merupakan rantaian keruhanian dari seorang Shaikh kepada Shaikhnya sehingga bertemu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم.  Ianya tidak boleh direka-reka atau dibuat2.  Sesiapa yang cuba2 untuk mereka-reka, pasti akan batal dan pelakunya akan menemui kebinasaan!

Oleh kerana Silsilah merupakan pancaran 'cahaya kenabian', maka ianya akan tetap mendapat pemeliharaan Allah Ta'ala. Tidak ada sesiapa pun dapat menentangnya atau merosakkannya.  

Jika seseorang Guru tiada silsilah keruhanian sampai Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bagaimana kita boleh mengakui akan kebenaran nya sebagai seorang Shaikh atau Mursyid yang mampu memimpin keruhanian sedangkan untuk memimpin manusia di jalan ketuhanan, seseorang Guru itu terlebih dahulu perlu di didik oleh Gurunya yang juga telah mendapat didikan keruhanian dari Murshidnya....demikian ke atas dan keatas sehingga akhirnya titik penerimaannya dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.  


Soalan 3 :  Adakah semua Shaikh atau Murshid mengamalkan satu atau lebih Toriqat ?

Jawapan :
Daripada keterangan sekalian Ulama Arifin yang menjadi pemimpin Ummat,  semua Mursyid atau Shaikh wajib telah istiqmah dengan mengamalkan sekurang2nya satu Toriqat Sufiyyah.  Ada di antara mereka mendapat keistimewaan mengamalkan lebih dari satu Toriqat berdasarkan Maqam dan  kehampiran mereka dengan Allah Ta'ala.


Soalan 4 :  Bolehkah seseorang yang tidak bersanad sambung menyambung kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, menjadi Mursyid, mengajar Toriqat dan memberikan ijazah (iaitu bolehkah dia memimpin keruhanian si murid)?

Jawapan :
Sebagaimana kami menerangkan sebelum ini, Seseorang Guru yang tiada sanad silsilahnya sampai Rasulullah صلى الله عليه وسلم, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'atkan orang dan tidak boleh memberikan ijazah!    Ini berdasarkan keterangan Hasil Mu'tamar Ahli Tariqah Mu'tabarah Nahdatul Ulama.   Mereka mengambil dalil dari kitab2 berikut :

     (i) Khazinah Al-Asrar ms 188 (Shaikh Muhammad An-Nazili):    Orang yang silsilahnya /sanadnya tidak bersambung ke hadrat Nabi      صلى الله عليه وسلم  itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah صلى الله عليه وسلم, serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."

      (ii) Usul At-Toriq, ms 89 : Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru2 Toriqah (sehingga Rasulullah صلى الله عليه وسلم) dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan2 lain didalam Toriqah."

      (iii)  Tanwirul Qulub, ms 534 (Shaikh Amin Kurdi) : Tidak boleh menjadi Guru Toriqah dan Murshid kecuali setelah mendapat penempaan dan izin, sebagaimana kata para Iman, kerana sudah jelas bahawa orang yang menjadi guru Toriqah tanpa izin itu bahayanya lebih besar daripada kemaslahatannya, dan ia memikul dosa sebagai perampas Toriqah serta jauh dari darjat murid yang benar apalagi darjat Guru Toriqah yang arif..!


Soalan 5 :  Adakah benar seseorang Pewaris Nabi,  Shaikh, Murshid juga seorang Aulia Allah?  

Jawapan : 
Benar!  Setiap seorang Murshid yang siddiq adalah beliau itu termasuk didalam Jamaah Aulia' Allah.  Tetapi semasa hayatnya tidak di masyurkan sebagai Aulia Allah demi mengelakkan fitnah dan juga demi menolak para penipu dari mengambil kesempatan!

Lazimnya mereka yang siddiq ini akan masyur namanya sebagai Aulia Allah sesudah kewafatan mereka.  Namun ada juga Shaikh2 yang dahulu di masyurkan namanya sebagai Aulia Allah ketika hayat mereka seperti Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani [Qala'id Al-Jawahir]  disebabkan ketinggian maqam beliau yang melampaui segala Aulia Allah pada zaman beliau!


Soalan 6:  Bagaimana jika kita ragu2 tentang seseorang Guru Murshid samada benar atau palsu atau macamana cara kita mencari Murshid?

Jawapan :
Telah berkata Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه :

"Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian (Murshid, Shaikh Tasawwuf, Ahli Ma'rifat)yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil 2 rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala. Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia2 suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran. Dia mesti sungguh2 merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan. Dan yang akan membuka kepada kejadian2 ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya. Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala. (Fathur-Rabbaniyy)"

Demikianlah huraian kami sekadar memberikan kefahaman asas siapakah yang digelar Pewaris Nabi, tugas2 mereka2, sifat2 mereka dan kewajipan seluruh Ummat untuk mencari mereka dan menyertai kafilah mereka. Mudah-mudahan mendapat hasil dan manfaat!

Wallahu A'lam

Rujukan utama :

1. Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar
2. Fathur Rabbaniy Wa Faidhul Rahmani
3. Futuhatul Makkiyyah
4. Risalah Qushairiyyah
5. Kasyful Mahjoob, 
6. Ihya Ulumuddin
7.  Tanwirul Qulub
8. Haqeqat Tasawwuf
9. Himpunan Hasil Musyawarah Ahli Toriqah Mu'tabarah Nahdatul Ulama