Dato’ Perdana Menteri Dato’ Haji Nik Mahmud



Dato’ Perdana Menteri Dato’ Haji Nik Mahmud


Nama Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud adalah nama yang tidak asing bagi masyarakat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Ketokohan serta ketinggian ilmunya khususnya dalam bidang keagamaan memang diakui dan terkenal bukan sahaja semasa hayatnya,  bahkan sehingga kini.

Latar Belakang Keluarga dan Pendidikan
Nama sebenar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja ialah Dato’ Haji Nik Mahmud bin Haji Nik Ismail. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, dalam keluarga bangsawan Melayu Kelantan pada tahun 1880 Masihi. Ayahnya iaitu  Haji Nik Wan Ismail Qadhi bin Haji Nik Wan Mahmud adalah sahabat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-duanya adalah ulama besar. Sejak dari kecil lagi Nik Mahmud telah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Kelantan.


Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Dato' Haji Nik Mahmud Nik Ismail, Perdana Menteri Kelantan dari tahun 1921 – 1944


Setelah ayahnya wafat pada 1315 Hijrah/1898 Masihi, dalam tahun itu juga ibunya Wan Aisyah membawa Nik Mahmud dan tiga orang anaknya yang lain ke Mekah. Nik Mahmud diserahkan pengurusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab ilmu-ilmu dalam bidang keislaman yang dipelajari oleh Nik Mahmud daripada ayahnya dipandang sudah memadai, maka al-Fathani hanya mendidik Nik Mahmud dalam bidang-bidang ilmu khusus, terutama ilmu pentadbiran dan siasah, serta diperlengkapkan lagi dengan ilmu pertahanan diri.

Sepanjang pendidikan pengkaderan putera-putera Melayu di Mekah yang dilakukan oleh al-Fathani, tidak ramai yang berbakat dalam ilmu pentadbiran dan siasah. Tetapi yang pasti, tercatat dua orang dari kerajaan Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Haitami (cucu Raja Ali Haji). Mereka yang berasal dari Kelantan pula ialah Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id yang kemudian dikenali memperoleh gelaran Datuk Laksamana.

Hubungan antara Nik Mahmud dengan Muhammad bin Muhammad Sa’id selanjutnya adalah saudara ipar, kerana Nik Mahmud berkahwin dengan Che Aisyah, adik kepada Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id.
Walaupun pendidikan di Mekah yang diperoleh Nik Mahmud tidak begitu lama, namun Nik Mahmud sempat berguru dengan ramai ulama yang terkenal. Selanjut al-Fathani mengirim Nik Mahmud ke Mesir.

Pendidikan khusus untuk Nik Mahmud diberikan oleh al-Fathani di Bukit Jabal Suaidan, Mekah. Pendidikan siasah diberikan dengan menggunakan permainan catur. Sedangkan pendidikan pertahanan diri diberikan di tanah lapang, di tempat yang sama dengan menggunakan pedang, keris dan lainnya. Untuk memahirkan ilmu pertahanan diri, Nik Mahmud sentiasa membuat latihan di Bukit Jabal Suaidan yang disaksikan sendiri oleh al-Fathani.
Sebelum menceritakan pendidikan Nik Mahmud di Mesir, terdapat  satu peristiwa menarik mengenai Nik Mahmud, Tok Kenali dan lain-lainnya bersama guru mereka, al-Fathani dalam perjalanan ke Beirut dan Mesir.

Sewaktu al-Fathani mendapat mandat daripada ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan peristiwa khilafiyah antara Sayid Yusuf bin Ismail an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir), al-Fathani telah mengajak beberapa orang muridnya menemui kedua-dua ulama tersebut.
Telah menjadi tradisi al-Fathani dan ulama-ulama lainnya, jika akan menyelesaikan masalah-masalah besar, mereka sentiasa bermunajat di tempat-tempat yang makbul. Oleh itu ketika sampai di Tursina, beliau berdoa secara berjamaah. Untuk Nik Mahmud, al-Fathani berdoa, “minta supaya Allah memberinya kedudukan orang besar di kerajaan Kelantan …”.  Doa di Tursina ternyata dikabulkan Allah, kerana setelah Nik Mahmud sekembalinya ke Kelantan, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan digelar sebagai Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.
Beberapa pucuk surat al-Fathani di Mekah kepada Nik Mahmud ketika belajar di Mesir sebagai bukti kesungguhan al-Fathani memberikan pendidikan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu, sebagaimana pesannya kepada Nik Mahmud;
Dan mudah-mudahan anakanda meninggikan hemah pada mendapatkan barang yang sayugia mendapatkan dia, bagi seumpama diri anakanda di dalam ini masa, supaya terangkat dengan yang demikian itu oleh nama jenis Melayu, berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib (orang asing). Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syara’ ”. (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).
Surat yang sama maksudnya dengan bahagian yang dipetik ini juga pernah dikirim kepada Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, dan sultan-sultan dalam negeri Melayu lainnya.
Bukti kesungguhan dan penuh rasa tanggungjawab al-Fathani terhadap Nik Mahmud dapat kita pelajari daripada kalimat beliau;
Dan tatkala sampai surat anakanda kepada bonda anakanda, daripada kenyataan minta tambah lima junaih itu, maka ia beri kepada Abang Awan Kenali dua junaih sahaja. Maka Abang Awan Kenali pun terima hendak pergi kirim kepada anakanda atas tangan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Maka sampai khabar itu kepada ayahanda. Maka ayahanda hentikan dia dahulu. Dan ayahanda suruh akan dia minta tambah biar cukup lima junaih. Kemudian datang bonda anakanda ke rumah ayahanda bermusyawarat pada demikian itu, lalu ayahanda minta daripadanya kirim cukup juga kerana takut kepayahan hendak mengirim …” (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).
A
ktiviti Sekembalinya Ke Kelantan
Sekembalinya dari Mekah, beliau bekerja sebagal kerani di pejabat Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1908. Beliau juga merupakan seorang cendikiawan negeri yang berjiwa mulia kerana khidmatnya yang jujur dan penuh taat setia, belian dikurniakan pangkat ‘Dato Bentara Setia’.

Nik Mahmud sewaktu bergelar Dato’ Bentara Setia, bersama-sama Tok Kenali dan Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id, berhasil menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan majlis pengisytiharannya disempurnakan oleh Sultan Muhammad IV di Istana Balai Besar pada 24 Disember 1915.


Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhasil menerbitkan majalah Pengasuh, Tok Kenali sebagai Ketua Pengarang yang pertama. Terbitan pertama 11 Julai 1918. Majalah Pengasuh masih terbit sampai sekarang, bererti majalah inilah majalah Islam di dunia Melayu yang paling lama dapat bertahan.

Nik Mahmud secara rasmi telah dilantik sebagai pentadbir dan diplomat tertinggi Kelantan mulai 29 April 1921, dengan gelar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau menggantikan Che Hassan bin Mohd. Salleh yang memegang jawatan Dato’ Menteri Kelantan yang meninggal dunia pada 22 Januari 1921. Datuk Nik Mahmud meletak jawatan pada 27 Disember 1945, diganti oleh anaknya Nik Ahmad Kamil hingga tahun 1953. Istilah yang digunakan setelah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memakai Perdana Menteri, diganti dengan Menteri Besar.

Penulisan Buku Ringkasan Cetera Kelantan dan Kontroversi Mengenainya
Ringkasan Cetera Kelantan sememangnya dikarang oleh Dato’  Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan sendiri. Walau bagaimanapun, fitnah telah ditaburkan ke atasnya kerana versi asal yang ditulis oleh Dato’ Nik Mahmud adalah berbeza dengan versi buku Ringkasan Cetera Kelantan yang diterbitkan yang dipercayai telah dipinda oleh seorang yang bernama Ku Chik. Berdasarkan catatan, buku tersebut dikatakan  telah diselesaikan pada 8 Ramadan 1351 Hijrah/4 Januari 1933 Masihi. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah Company Kelantan, tanpa dinyatakan tarikh. Semasa beliau menulis Cetera ini, beliau telah diugut oleh beberapa kerabat di raja yang terdekat kerana cuba mendedahkan perkara berikut :
  1. Bahawa Long Gaffar adalah sebenarnya Raja Muda Negeri Reman.
  2. Bahawa Kota Limbat adalah sebenarnya Kota Langgar dan Langgar sebenarnya adalah Limbat.
  3. Bahawa Long Gaffar tidak pernah memberikan laluan untuk seorang lagi saudaranya (tidak perlu disebutkan nama) untuk memerintah Negeri Kelantan.
  4. Mendedahkan silsilah yang asal kerana masih banyak nama-nama kerabat di raja yang sepatutnya berada di takhta-takhta tertentu telah cuba dipadamkan. Silsilah asal juga mendedahkan keturunan dari isteri-isteri lain Long Nuh Raja Jambu (kini ianya dipadamkan – dipercayai lebih kurang 500 nama atau lebih yang tiada dalam silsilah kini) dan yang tinggal hanyalah beberapa orang keturunan sahaja.
  5. Bahawa Long Gaffar telah mengalahkan Long Pandak dan Long Muhammad (Peperangan Kubang Labu) dibantu oleh Long Deraman, Raja Legeh.
  6. Dan banyak lagi.
Pengarang “Iktisar Sejarah Kelantan” yang dibantu oleh “Pengasuh” keluaran MAIK (pengasas majalah Pengasuh ialah Tuan Guru Waliyullah Haji Muhammad Yusof  atau Tok Kenali – seorang rakan karib kepada Datuk Perdana malah menganggap Datuk Perdana sebagai abang angkatnya)  dikatakan cuba mendedahkan kisah Cetera Kelantan yang  diragukan sesetengah faktanya. Pengarang berkenaan tidak mengetahui kisah sebenar kerana Cetera Kelantan yang terbit ketika itu bukan versi asal yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud kerana Datuk Nik Mahmud telah diugut oleh pihak-pihak tertentu ketika itu supaya tidak mendedahkan perkara sebenar. Selain Dato’ Perdana,  Pak Wan Mahmud dan Pak Abdullah yang dikatakan telah menyalin  Cetera Kelantan dari versi asal juga telah diugut oleh pihak tersebut.


Bilakah Cetera Kelantan diubah ?
Buku Cetera Kelantan dikatakan telah diubah sebanyak dua kali. Kali pertamanya  selepas versi asal disiapkan. Cetera Kelantan bukanlah bermaksud untuk disampaikan kepada sesiapa pun. Malangnya ada saudara beliau (yang juga tidak mahu disebutkan nama) ketika itu telah menjadi talibarut Inggeris yang berkonspirasi dengan pemerintah tertentu. (Semua kerabat Long Gaffar tahu bagaimana istana dan kerajaan baginda telah dimusnahkan oleh penjajah supaya fakta dapat disembunyikan) Kali keduanya, selepas beliau meninggal, ianya sekali lagi telah ditukar faktanya.

Buku-Buku Hasil Penulisan Dato’ Perdana
Selain buku Ringkasan Cetera Kelantan, Dato’ Perdana Paduka Raja juga berkesempatan mengarang beberapa buah buku lain, di antaranya ialah:
  1. Cahaya Purnama : Bagi Menerangkan Jalan Ugama. Ia diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Syaaban 1336 Hijrah/12 Mei 1918 Masihi. Dicetak oleh Mathba’ah Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan. Kandungannya membicarakan perkara-perkara fardu ain, dimulai perbicaraan ilmu tauhid dan disudahi mengenai mengerjakan haji.
  2. Tajuk Kemuliaan : Diselesaikan pada 21 Syaaban 1350 Hijrah/31 Disember 1931 Masihi. Dicetak oleh Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Mathba’ah Asasiyah, Kelantan, 1350 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya membicarakan akhlak.
  3. Perbendaharaan Mustika :  Diselesaikan hari Isnin, 2 Jamadilawal 1363 Hijrah. Cetakan pertama Ismailiyah Press, Kota Bharu, Kelantan (tanpa tahun cetak). Dicetak atas kebenaran Nik Mustafa Fadhil (Datuk Seri Amar Diraja) bin Nik Mahmud. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 21 Julai 1946 Masihi. Kandungannya mengupas Al-Asmaul Husna, menghuraikan ilmu hikmah yang diamalkan oleh golongan khas.
  4. Pati Rahsia : Diselesaikan pada 1 Rejab 1363 Hijrah. Cetakan yang ketiga Haji Daud bin Haji Abu Bakar al-Ahmadi, 3296-B, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu, Kelantan, 1389 Hijrah/1969 Masihi. Dicetak atas perbelanjaan Nik Ahmad Kamil (Datuk Seri Setia Raja) bin Nik Mahmud, dan dicetak atas kebenarannya. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 15 Jun 1946 Masihi, bilangan (3) 136/46. Kandungannya mengupas ilmu hikmah menggunakan berbagai-bagai, isim, wirid, doa, dan lain-lain.
Penglibatan Dato’ Perdana Dalam Seni Mempertahankan Diri
Datuk Nik Mahmud adalah pengasas Silat Terlak 4 setelah menerimanya daripada Tuan Guru Tamam Indera Muda dan satu lagi silat yang masih dirahsiakan. Datuk Nik Mahmud sangatlah rapat hubungannya dengan anakanda Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani atau Tuan Guru Abdul Rahman Jabat – yang bernama Tuan Guru Haji Tayyib.
Mereka sering bergurau-senda menyerang (sudi – kata orang Kelantan) dan mempamerkan seni mempertahankan diri masing-masing. Datuk Nik Mahmud juga kagum dengan kebolehan Tuan Guru Haji Tayyib dan telah membicarakan sesetengah amalan masing-masing dalam kitab Pati Rahsia (bukan kesemua rahsia telah didedahkan – banyak lagi yang belum didedahkan)
Antara pewaris seni mempertahankan diri beliau ialah Allahyarham Nik Ismail Burong (belakang sekolah Naim) yang juga menjadi pemandu kepada Datuk Perdana. Beliau yang ditemui pada akhir 80-an ketika itu berusia lebih 110 tahun. Dari beliaulah, sumber ini diketahui bahawa Datuk Perdana telah difitnah malah dikhianati.
Dato’ Perdana dikatakan amat berdukacita di atas fitnah yang melanda dirinya, beliau banyak dinasihatkan oleh Tok Kenali supaya bersabar dan Tok Kenali pernah berpesan padanya :
Akan ada salah satu anak cucu mu akan mendedahkan kisah sebenar”

Kesimpulan dan Penutup
Dato Haji Nik Mahmud bukan saja terkenal sebagai pegawai pentadbir yang cekap malahan beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Majlis Againa Islam dan Adat Istiadat Melayu yang masih kekal sehingga kehari ini. Setelah beliau menjadi Menteri Besar tanggungjawab yang dipikul terhadap negeri dan rakyat bertambah besar tetapi beliau rnenggunakan segala kebijaksanaannya telah berjaya mengatasi segala kesulitan setiap rnasalah yang dihadapi. Beliau telah berkhidmat dalam jawatan kerajaan Kelantan selama 38 tahun iaitu daripada permerintahan Almarhum Al Sultan Muhammad (IV), AI-Marhum Sultan Ismail sehingga Al-Marhurn DYMM Al-Sultan Ibrahim.

Dalam hidup berkeluarga, beliau dikurniakan oleh Allah seramai tiga orang anak. Antaranya ialah Tan Sri Nik Ahmad Kamil iaitu bekas ahli Parlimen Kota Bharu Hilir yang juga bekas Menteri Besar Kelantan dan Dato’ Nik Mustapha Fadzil (Dato Sri Amar Diraja) bekas Dato’ Maharaja Lela, istana negeri Kuala Lurupur.

Ketokohan Haji Nik Mahrnud pada masa hayatnya telah membawa banyak perubahan dan kemajuan pemikiran orang-orang Melayu di negeri Kelantan ini. Beliau banyak menyalurkan ilmu, pendapat dan idea-idea ini melalui bidang penulisan. Di antara buku-buku beliau yang terkena ialah Kitab Pati Rahsia dan Tajuk Kemuliaan.

Beliau merupakan anak watan Kelantan yang telah banyak berjasa kepada negeri ini dan tercatat di dalam sejarah negeri Kelantan Darul Naim. Pada 7 hb. April  1968, sebagai mengenangkan jasa-jasanya yang besar kepada negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Namanya telah diabadikan kepada sebuah sekolah menengah terbesar di Jajahan Tanah Merah pada masa itu, iaitu Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja Tanah Merah yang kini berdiri megah di Tanah Merah sebagai sebuah institusi pendidikan yang penting di jajahan ini.  Pada tahun 2002, namanya sekali lagi diabadikan  kepada sebuah sebuah sekolah menengah alaf baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja (2), Tanah Merah, Kelantan.
Belian telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1964 di rumahnya di jalan Atas Banggol, Kota Bharu sewaktu berusia 84 tahun.