Pelajar Melayu Pertama di al-Azhar


Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad bin Muhammad Zainal Abidin, lebih dikenali dengan nama Syeikh Ahmad al-Fathani, dilahirkan pada 10 April 1856 M/5 Syaaban 1271 H di Jambu, Jerim, Pattani, selatan Thai. Ayah dan ibunya merupakan keturunan pembesar Daulah Fathani Darussalam.
Manakala abangnya, Syeikh Mustafa al-Fathani, yang bergelar ‘Datuk Panglima Kaya Fathani‘ adalah seorang hakim yang bertugas menentukan sah dan tidaknya perlantikan seorang raja dan pembesar kerajaan di Daulah Fathani Darussalam, Thailand Selatan. Ia lahir dalam keadaan negerinya tertindas dan terjajah, sehingga memaksa dia dan orang tuanya berpindah ke Mekah.
Sebelum berhijrah ke Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani pernah belajar ilmu agama daripada ayahnya, Muhammad Zain dan seorang ulama Daulah Fathani Darussalam, Syeikh Abdul Kadir Mustafa. Pada tahun 1860, beliau berhijrah ke Mekah, mengikuti ayah dan ibunya, untuk menuntut ilmu agama.
Di Mekah, beliau berkesempatan belajar agama daripada beberapa ulama, baik ulama Melayu mahupun ulama Arab yang bermukim di kota suci tersebut. Dengan demikian, beliau membesar dalam lingkungan dan budaya yang amat menghargai ilmu pengetahuan.
Selama berada di Mekah, beliau berupaya mempelihatkan diri sebagai anak yang rajin belajar. Beliau dikenali memiliki kemampuan menghafal al-Quran. Dalam usianya yang masih remaja, ia telah mampu mengajar ilmu tatabahasa Arab.
Syeikh Ahmad al-Fathani kemudian pergi ke Baitulmaqdis untuk menuntut ilmu perubatan / kedoktoran. Menurut riwayat, beliau adalah orang Melayu pertama yang mahir ilmu perubatan dan mendapat pendidikan khusus di bidang tersebut. Pendidikan perubatan yang dikuasainya telah membezakan dirinya dengan tabib-tabib tradisional ketika itu.
Di Baitulmaqdis inilah beliau mendapat inspirasi untuk menulis buku yang berjudul Thayyib al-Ihsan fi Thib al-Insan. Setelah itu, beliau kembali ke Mekah untuk meneruskan pembelajaran daripada guru-guru Pattani, seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Beberapa tahun kemudian, ia pergi menuntut ilmu ke Mesir; negara yang terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan keislaman dengan kemegahan Universiti Al-Azhar. Di negara ini, nama beliau tercatat sebagai pelajar pertama dari Asia Tenggara. Sekembalinya dari Mesir, beliau kemudian mengajar di Mekah selama 15 tahun.
Menurut riwayat, selama belajar di Mesir, Syeikh Ahmad Al-Fathani telah mulai menu­lis buku-buku tentang ilmu tatabahasa Arab. Karya-karyanya kemudian dikenali oleh banyak kelompok masyarakat sehingga beliau dianggap sebagai salah satu pakar bahasa Arab di kota Mekah.
Kepakaran beliau dalam bahasa Arab telah tersebar kepada raja Mekah, sehingga ia kemudian diangkat menjadi ahli bahasa kerajaan (sekarang Arab Saudi) di bawah pemerintahan Turki Uthmaniah. Beliau termasuk salah satu ulama Melayu yang menguasai berbagai-bagai disiplin ilmu pengetahuan dan menulis lebih daripada 100 buku.
Karya-karyanya ditulis dalam berbagai bahasa; bahasa Arab 32 buah, bahasa Melayu 22 buah, dan di bidang pentashihan 36 buah. Beberapa naskhah pula diambil oleh beberapa orang yang tinggal di rumah beliau di Mekah yang kemudiannya membawa pulang ke tempat asal mereka.
Manuskrip yang dapat diselamatkan hanyalah sebahagian kecil. Itu pun yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Mahmud dari rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah ke Gajah Mati, Pendang, Kedah. Ada juga yang dibawa ke Kepulauan Riau oleh anak beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab.
Setelah pulang ke Mekah, beliau telah menulis di  dalam bahasa Melayu. Tidak disangkal bahawa adanya jaringan ulama Nusantara yang terbina sejak abad ke-17 telah menunjang penyebaran keilmuan dan keintelektualan Islam. Ulama-ulama tersebut ber­peranan besar dalam menunjang kemajuan peradaban Islam.
Beliau meninggal dunia di Mina ketika sedang melaksanakan ibadah haji pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan dimakamkan berhampiran dengan makam Ummul Mukminin ‘Siti Khadijah’ di Ma‘la, Mekah.

sumber:ummatanwasatan