Skyfall Cuba Kembalikan Kemegahan M16



Skyfall Cuba Kembalikan Kemegahan M16, Realitinya Masih Jauh

‘Kematian’ Bond pada babak awal dalam kemegahan terbaharu francais agen perisik British, menyebabkan filem Skyfall yang mula ditayangkan di Malaysia awal Novemberi ini seakan memberikan saya satu ingatan semula kepada buku The Art of Betrayal: Life and Death in the British Secret Service, tulisan Gordon Corera, koresponden keselamatan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Perkhidmatan Rahsia British atau dikenali sebagai M16 sudah terancam kehebatannya setelah negara itu gagal dalam beberapa pertarungan menjadi kuasa hegemoni kerana ia telah diambil alih oleh Amerika Syarikat dengan CIA dan Israel dengan Mossadnya. Jadi, siri James Bond yang sudah memasuki episod ke-23 dan mencapai tahap kemasyhurannya selama 50 tahun pada tahun ini hendak ditebus semula dengan kemunculan Skyfall, kerana filem sebelumnya, Quantum of Solace (2008) kurang menyerlah.
Tahun 2008 memberikan banyak kesukaran dalam perkembangan psikologi rakyat Britain kerana mula terkena lantuman kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat yang kemudiannya diwarisi dengan payah oleh Barrack Obama yang mengambil alih pentadbiran Rumah Putih dari George Walker Bush dari parti Republikan.
Bush bermula dengan langkah “balas dendam” apabila hampir menemui kekalahan di tangan parti Demokrat pada tahun 2000, dan mencipta ruang pengkhianatan sejagat terbesar dalam sejarah politik antarabangsa apabila dikaitkan sebagai perancang dan dalang serangan Menara Berkembar New York pada 11 September 2001.
Namun teori konspirasi dengan pelobi Yahudi itu sukar untuk dibuktikan kesahihannya kerana penguasaan maklumat rahsia oleh CIA dan Pentagon, dikunci kemas oleh agen-agen Mossad yang mahukan berlakunya sebuah realiti abad ke-21 benar-benar sebuah pertembungan peradaban antara Barat dan Islam.
Gemanya mula kedengaran pada tahun 1995 hasil rumusan seorang yang kental dengan nilai-nilai zionisme-intelektual, iaitu Samuel P Huntington, murid seorang lagi ientelektual Yahudi yang pernah menyamar dan berpura-pura sebagai pakar rujuk sejarah Asia Barat, Bernard Lewis.
Ketika itu, rantau Asia dan nilai-nilai timur dikatakan sebagai faktor yang bakal menyumbang pembinaan tamadun baharu yang lebih besar, sehingga mampu mencabar kemampuan dan daya saing Barat.
Kemunculan Jepun sebagai kuasa ekonomi yang besar dan diikuti oleh Korea Selatan dan Taiwan menjadikan kuasa Barat rasakan dunia seterusnya adalah milik Asia, dan kerana itu, suatu doktrin perlu dicipta dan dipropagandakan sebagaimana Amerika Syarikat begitu takut dengan idelogi komunis.
Kemunculan ideology komunis menciptakan teori domino dan akhirnya Amerika Syarikat benar-benar mengambil peluang untuk menyekat kemaraannya dengan menjadikan Vietnam sebagai “medan pertembungan antara komunisme dan kapitalisme” pada tahun 1964, tetapi terpaksa mengaku kalah pada tahun 1974 meninggalkan kesan buruk yang mendalam.
Hari ini, selepas agenda perang ideologi sudah berakhir, Perang Dingin, peranan agen perisikan British, M15 sudah berakhir, maka digantikan dengan M16. Wajah gagahnya tidaklah sehebat watak James Bond, yang mempunyai kecekapan dan daya pemikiran yang hebat. M16 dilihat semakin kurang menyengat, kerana terperosok jatuh apabila lebih banyak agen-agen perisikan Rusia yang berpaling tadah dibawa masuk.
Bekas perisik KGB digunakan membantu pengintipan maklumat rahsia negara-negara komunis, akhirnya berjaya dikesan serta dibunuh secara terancang, sedangkan CIA dan Mossad menumpukan perhatian untuk memperkuatkan kedudukan ekonomi menerusi penguasaan lebih banyak telaga minyak menerusi kegiatan Economic Hit Man dan organisasi perundingan projek.
Reputasi Perkhidmatan Rahsia Perisikan British berada dalam situasi terburuk selepas Perang Dunia Kedua disebabkan pengaruh dan penerobosan pengaruh Soviet dalam organisasi itu. Ketika M16 menerima kemasukan agen perisikan Soviet, Oleg Penkovsky, seorang yang cenderung menakluki perempuan, mencerminkan bahawa agensi tersebut penuh dengan skandal dan mewujudkan tekanan sehingga beliau akhirnya ditembak mati oleh skuad penembak tepat.
Meskipun buku tulisan Gordon Corera ini melalui proses kajian yang mendalam mengenai badan perisikan tersebut, ia masih belum menghasilkan analisis yang mantap mengenai peranannya di akhir period Perang Dingin. Membawa masuk Oleg Gordievsky, seorang bekas pegawai kanan KGB dan Vasili Mitrokhin, pegawai arkib KGB, peranan M16 dilihat membantu dalam usahanya membantu Barat memahami dengan lebih mendalam dan tepat kelemahan Moskow sehingga runtuhnya Tirai Besi pada tahun 1989.
Keruntuhan Tembok Berlin yang menjadi simbol pemisahan dua pengaruh ideology pada tahun 1989, yang disifatkan oleh Francis Fukuyama sebagai “penamat sejarah” dan Samuel P Huntington titik penting “pertembungan peradaban”—kemenangan besar kapitalisme liberal—menjadikan M16 terus menyepi jauh daripada senario perebutan maklumat rahsia. Britain dilihat semakin lemah kerana kebangkitan mula tertumpu kepada Jerman dan Perancis dalam mendominasi politik Eropah.
Peranan tersebut meskipun ada, M16 melemahkan pengaruh Soviet—kejayaannya hanya diraikan secara senyap dalam acara minum “champagne” oleh Menteri Kabinet. Dengan lenyapnya “empayar hantu—rujukan kepada pengaruh komunisme—M16 sebenarnya terpaksa berhempas pulas mencari makna sebenar peranan selanjutnya dalam jentera Whitehall (pusat pentadbiran kerajaan Britain).
M16 hanya sedikit timbul apabila memainkan peranan apabila Tony Blair, Perdana Menteri Britain mengambil bahagian dalam membantu Amerika Syarikat untuk menyerang Irak pada tahun 2003. Bagaimanapun, pembabitan tersebut menyebabkan Tony Blair menerima kecaman pelbagai pihak kerana pada anggapan rakyat, Britain tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk bersengkongkol dengan AS, kerana yang menciptakan permusuhan dengan Islam ialah AS dan Britain tidak sepatutnya terjebak dengan ego Bush.
Selepas Perang Dingin, M16 menjarakkan kaitannya dengan ahli politik di mana Sir Colin McColl, ketua perisik atau dikenali “C” hanya berbincang dengan Perdana Menteri secara puratanya 40 minit bagi setiap enam bulan. Ketika bersengkongkol dengan AS menyerang Irak, Sir Richard Dearlove, ketua perisikan, berpindah ke No 10 (kediaman Perdana Menteri), menjadi pusat maklumat rahsia untuk Perdana Menteri mengenai rancangan menjatuhkan Saddam Hussein.
Perpindahan pejabat bagi Dearlove itu dilihat wajar untuk membekalkan maklumat perisikan dengan cepat dan segera, dan ini membayangkan M16 bukan lagi sebuah badan perisikan yang cekap dan benar-benar boleh bertindak seperti James Bond. M16 penuh dengan kongkongan dan terikat dengan kepentingan politik Perdana Menteri, dan bukannya untuk menjaga kepentingan rakyat Britain.
Dakwaan AS bahawa Saddam Hussein mempunyai simpanan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) diterima tanpa penelitian mendalam oleh M16, yang sebenarnya maklumat tersebut berdasarkan dakwaan segelintir saintis Irak sendiri yang dikumpulkan oleh Mossad setelah mereka berpaling tadah, bukanlah sesuatu yang sahih, ia banyak dikutip menerusi bahan dalam internet.
Atas sandaran maklumat yang kurang tepat itulah pentadbiran Blair menerima kecaman hebat daripada rakyatnya sendiri, kerana terpaksa berbelanja besar menanggung kos tentera dan M16 pula dituduh mula cenderung bersifat politik. Sedangkan dalam masa yang sama, Britain masih berhadapan dengan masalah kemelesetan ekonomi dan hanya bergantung kepada pendapatan daripada sektor pelancongan. Pembabitan itu menyebabkan lebih banyak pelancong dari Timur Tengah mula mencari destinasi baharu, dan tidak lagi menjadikan Britain sebagai “syurga pelancongan.”
Corera percaya M16 belajar daripada kes tersebut, memetik pendapat seorang pegawai kanan badan perisikan tersebut: “The vehicle of WMD as an argument for war was incapable of sustaining the weight put upon it, given that we didn’t have all the answers and we didn’t have the sources.” Pegawai tersebut dan lain-lainnya berpendirian M16 sepatutnya menghapuskan bayangan tersebut, dan kembali menemukan semula imejnya.
Nampaknya, kehadiran filem Skyfall ini menjadi bahan propaganda berkesan untuk memberikan semula nafas baru kepada M16, walaupun menurut Corera, budaya perisikan macho gaya James Bonda sebenarnya sudah berakhir, tetapi ia tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, kerana kemachoan itulah menarik penonton kepada watak utama filem tersebut.
Malangnya, untuk Skyfall kita tidak akan menemukan skandal seks dan tarikan seks sebagai kaedah “mencuri maklumat” tetapi, sebenarnya, tarikan tersebut masih memerangkapkan anggota perisikan Britain sehingga kadangkala terjerat dengan agen-agen perisikan dari Moskow yang bekerja dengan KGB, termasuk kes yang melibatkan Anna Chapman (nama asalnya ialah Anna Vasil’yevna Kushchyenko), wanita Rusia yang berkahwin dengan rakyat Britain dan kemudiannya diusir kerana dia adalah perisik Rusia yang cekap dan bijak.
Anna Chapman bekerja di NetJets dan kemudiannya di Barclays Bank. Pada tahun 2001, bertemu dengan Alex Chapman di sebuah parti Docklands, London. Tidak berapa lama, mereka berkahwin di Moskow, dan membolehkan Anna mendapat dua kerakyatan, iaitu Rusia dan Britain. Sebaik sahaja memperoleh passport Britain, membolehkan beliau bermastautin di New York antara tahun 2009-2010.
Anna tinggal di Exchange Place, berdekatan Wall Street, Manhattan. Mendakwa sebagai CEO Property-Finder, memasarkan hartanah menerusi internet. Alex memberitahu untuk beberapa tahun, syarikat tersebut dibelenggu hutang, tetapi pada tahun 2009, bertukar menjadi sebuah syarikat yang berjaya dan mempunyai 50 orang pekerja. Pernah dikaitkan dengan Michel Bittan, pemilik restoran yang berjaya dan berpengaruh, pada 27 Jun 2010 ditangkap oleh pihak berkuasa AS kerana didakwa melakukan pengintipan bagi pihak Rusia. Beliau ditangkap bersama Sembilan orang lain yang melakukan pengintipan.
Selesai membaca buku ini, saya terus membuat perbandingan apakah Skyfall itu sebenarnya merupakan jelmaan baharu generasi M16 yang sedang dilakukan proses perubahan agar badan perisikan British akan menjadi lebih cekap dan berpengaruh pada masa depan?
Realitinya, M16 masih terkebelakang dalam senarai badan perisikan antarabangsa, bahkan, tidak dapat menandingi kehebatan badan perisikan Australia, Perancis atau Itali. Nampaknya, M16 semakin tidak bermaya kerana dibayangi kehebatan Mossad dan CIA, tetapi, James Bond telah berjaya menutupi banyak kelemahan yang ada. Itulah yang hendak digambarkan oleh Gordon Corera dalam buku setebal hampir 500 halaman ini.
Nama Buku : The Art of Betrayal: Life and Death in the British Secret Service
Nama Pengarang : Gordon Corera
Nama Penerbit : Widenfekd, London, 2011.
Jumlah Halaman : 472
Nama Pengulas : Kamarun KH

http://ummatanwasatan.net/2012/11/skyfall-cuba-kembalikan-kemegahan-m16-realitinya-masih-jauh/