IRRC /Maktabah al-Ihyaa'

IRRC /Maktabah al-Ihyaa' 


Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami 

Dalam menghadapi cabaran bidang ilmu semasa, suatu perkara yang sangat penting adalah tentang pemeliharaan dan penguasaan terhadap al-Turath al-Islami. Kita sering melihat fenomena di mana ramai para ilmuwan yang mendapat pengajian daripada institusi pengajian Barat sering membawa pemikiran-pemikiran yang rosak dan bersifat melawan kefahaman muktabar ajaran Islam yang asas.

Ini kerana, mereka menguasai bidang pengetahuan terutamanya sainsn moden tanpa memahami ajaran Islam dengan baik. Lalu, nilai-nilai sekular dalam kebanyakan ilmu-ilmu moden yang disemai oleh para ilmuwan dan falsafah Barat mula memberi kesan kepada pemikiran mereka. Bertolak daripada inilah, atas nama ilmu pengetahuan, golongan ini menyebarkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan prinsip murni ajaran Islam yang muktabar.

Antara bentuk kepincangan pemikiran yang cuba diketengahkan oleh golongan ilmuwan sekular ini adalah:

• Sekularisme: Iaitu, pemisahan antara peranan keagamaan daripada perkara-perkara keduniaan.

• Liberalisme: Iaitu, menjadikan akal sebagai suatu ukuran yang bebas dalam menilai sesuatu tanpa campur tangan penilaian keagamaan.

• Penafsiran Hermeneutik: Iaitu, agenda penafsiran semula teks-teks wahyu agar ianya sesuai dengan perkembangan semasa tanpa merai penafsiran muktabar yang sudah diterima oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Ia juga ada kaitan dengan penafsiran Kontekstual yang membataskan teks wahyu kepada sosio-historikalnya, iaitu suasana dan sejarah di mana teks tersebut diturunkan.

• Menolak Autoriti Institusi Ulama’: Iaitu, mereka meletakkan diri mereka sebaris dengan para ulama’ termasuk para ulama’ salaf untuk melayakkan diri mereka berbicara tentang kefahaman agama dan menafsirkan semula teks-teks agama dalam rangka ingin menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan semasa, menurut sangkaan mereka.

• Padahal, kita wajar menguasai prinsip-prinsip ajaran Islam yang muktabar sepanjang zaman lalu barulah menilai perkembangan semasa sesuai dengan neraca keislaman yang jelas. Sheikh Dr. Ali Jum’ah menekankan tentang penguasaan terhadap alat-alat penting yang diperlukan untuk memahami kaedah berinteraksi dengan al-Mauruth al-Islami (karya warisan Islam) supaya seseorang ilmuwan Islam tu menguasai al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami ataupun Dr. Syed Naquib al-Attas menyebutnya sebagai Islamic worldview dalam buku beliau berjudul Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Maka, bagaimana berinteraksi dengan al-Turath al-Islami itu sangat penting bagi membentuk Islamic Worldview (pandangan alam Islami) dalam diri para ilmuwan Islam, agar sejauhmana sekalipun mereka menguasai sains moden, mereka akan menguasainya sebagai muslim yang mana Islamic Worldview akan menjadi penapis intelek terhadap sebarang nilai anti-Islam dalam bidang ilmu-ilmu moden Barat.Sheikh D
r. Ali Jum'ah menyatakan :- 'al-ta'amul al-takamuli' (interaksi bersepadu) yg merangkumi sudutnya yg tiga iaitu fikriyyah (pemikirannya), nasiyyah (teksnya) dan irfaniyyah (hikmah kerohaniannya).

Sheikh Dr. Ali Jum’ah memberi definisi terhadap al-Turath al-Islami (Islamic Legacy) sebagai: produk atau karya kemanusiaan (al-Muntaj al-Basyari) yang diwarisi secara lisan mahupun secara tulisan, bagi umat Islam yang berusia lebih seratus tahun. [Al-Thariq ila Al-Turath al-Islami, m/s: 19]

Para ilmuwan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap al-Turath al-Islami ini, terutamanya dalam perkembangan bidang ilmu pada masa kini. Kita tidak boleh membiarkan al-Turath al-Islami dipinggirkan daripada arus pembangunan bidang ilmu pengetahuan sehingga ianya dianggap sebagai kelas kedua (second class) atau kurang penting berbanding ilmu sains moden. Dalam pandang alam Islami tradisional, pembahagian ilmu kepada fard al-‘ain dan fard al-kifayah adalah suatu asas yang perlu dipertahankan. Ia akan meletakkan ilmu-ilmu asas agama seperti ilmu Aqidah Islam, Fiqh Islam dan Tasawwuf Islam di tempatnya iaitu sebagai ilmu yang paling perlu dipelajari sebagai seorang muslim, sebelum ilmu-ilmu lain.

Di samping penguasaan terhadap asas-asas ajaran Islam, para ilmuwan Islam juga sewajaranya mampu berinteraksi dengan perkembangan semasa secara Islamik, iaitu memerhatikan sesuatu isu dan menilainya dengan neraca ajaran Islam yang jelas. Maka, kita bertanggungjawab juga terhadap al-Turath al-Islami dalam rangka untuk mempertahankan-nya dan memelihara kesinambungan perkembangannya, agar ianya tidak terhenti pada zaman kita semata-mata, namun ianya terus dapat diwarisi oleh para ilmuwan Islam pada masa akan datang.

Di antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaiknya terhadap al-Turath al-Islami (karya Islamik) iaitu:

1) Al-Nasyr wa al-Tahqiq (Penyebaran dan penelitian)

2) Al-Taisir (Pemudahan)

3) Al-Khidmah (Perkhidmatan)

4) Al-Ihya’ (Penghidupan)

Justeru, Maktabah al-Ihya’ cuba menghimpunkan kemahiran untuk melakukan tanggungjawab ini di samping melatih dan memberi bimbingan kepada generasi baharu untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu, bagi turut terlibat menyertai usaha pemeliharaan dan perkembangan al-Turath al-Islami ini. 

Kita telah mengambil manfaat daripada kesungguhan para ulama’ terdahulu yang mewariskan karya-karya ilmiah yang agung sebagai rujukan umat Islam selepas mereka dan memeliharanya, maka kita sewajarnya melakukan perkara yang sama untuk generasi kemudian mendapat manfaat yang sewajarnya daripada karya-karya warisan para ulama’ Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Inilah antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sekadar kemampuan kita bersama.

Konsep Asas

Zaman terus beredar sehingga membawa kepada perkembangan ilmu pengetahuan yang sangat pesat dan ledakan maklumat yang sangat dahsyat. Budaya ilmu ditekankan di segenap pelusuk dunia sehingga mencetuskan persaingan demi membangunkan tamadun-tamadun kemanusiaan yang sempurna. Budaya ilmu yang berkembang pada masa kini mencetuskan pembaharuan dalam sistem pembelajaran sehingga wujudnya institusi-institusi pengajian tinggi moden seperti universiti-universiti dan sebagainya.

Budaya ilmu turut mempengaruhi aspirasi peringkat keluarga lagi kerana penguasaan ilmu sering dikaitkan dengan masa depan yang cerah terutamanya dalam sektor pekerjaan. Penghargaan terhadap bidang pengetahuan wujud dalam pelbagai bentuk dan tujuan, dalam kalangan mereka yang memang mencintai ilmu pengetahuan mahupun di sisi mereka yang mengejar keuntungan material.

Mungkin tidak ramai mahasiswa yang melanjutkan pelajaran mereka ke IPT atas semangat cinta keilmuan berbanding mereka yang memasuki menara gading dengan tujuan untuk mendapatkan sijil yang baik sebagai sarana untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. 

Bahkan, universiti-universiti yang wujud juga turut mempunyai masalah yang tersendiri terutamanya dari sudut meletakkan susunan sesuatu ilmu itu sendiri yang tidak mengikut Maratib al-Ilm (peringkat-peringkat ilmu) acuan Islam. Di samping pencemaran ideologi-ideologi yang songsang dalam pelbagai bidang ilmu samada ilmu-ilmu sains tabi’e mahupun sains sosial, lalu mempengaruhi para penuntut ilmu yang mempelajari ilmu-ilmu tersebut.

Dalam masa yang sama, kita dapati juga, kekurangan sumber-sumber rujukan yang muktabar dalam bidang ilmu-ilmu agama terutamanya melibatkan ilmu-ilmu yang sering menjadi sasaran salah faham para ilmuwan seperti ilmu tasawwuf, ilmu aqidah dan falsafah dan sebagainya. Begitu juga, kurangnya rujukan-rujukan dalam bidang ilmu-ilmu agama yang masih tidak popular dalam masyarakat intelektual di Malaysia seperti ilmu berkaitan sanad-sanad, kitab-kitab thabat dan sebagainya.

Dalam memerhatikan himpunan kepincangan dan kekurangan ini, cadangan untuk menubuhkan sebuah Pusat Sumber dan Penyelidikan yang diberi nama Maktabah al-Ihya’ (IRRC). Maktabah al-Ihya’ dicadangkan penubuhannya untuk menyediakan khidmat bantuan dalam penyelidikan ilmiah terutamanya dalam bidang-bidang agama, khidmat penerangan dalam falsafah ilmu berteraskan acuan Islam, pusat sumber yang menyediakan rujukan-rujukan yang sukar didapati dalam perpustakaan-perpustakaan umum terutamanya dalam bidang ilmu-ilmu agama yang tidak popular.

Maktabah al-Ihya’ ditubuhkan sebagai sebuah pusat sumber dan penyelidikan ilmu-ilmu agama dan ketamadunan yang mana, secara asasnya merujuk kepada konsep Bait al-Hikmah atau Dar al-Hikmah yang pernah diwujudkan dalam merancakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam tamadun Islam pada zaman kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu. Kaum muslimin mendapat kesan yang positif ketika ilmu pengetahuan berkembang dalam tamadun Islam melalui kemunculan pusat-pusat keilmuan seperti Bait al-Hikmah.


IRRC atau Maktabah al-Ihya’ ditubuhkan dalam rangka untuk meneruskan usaha dan semangat keilmuan yang pernah tersemat dalam penubuhan Bait al-Hikmah tersebut. Pada zaman ini, justeru umat Islam sewajarnya lebih berupaya untuk meningkatkan kualiti dalam bidang ilmu, samada samada dari sudut pemeliharaan sumber ilmu mahupun dari sudut perkembangannya.

Semoga cadangan penubuhan Maktabah al-Ihya’ atau IRRC ini dapat mengisi kekosongan dan kekurangan dalam perkembangan budaya ilmu (khususnya ilmu-ilmu agama) di Malaysia, terutamanya dalam masyarakat ilmuwan dan para penuntut ilmu.
Okjektif Penubuhan

Antara tujuan penubuhan Pusat Sumber dan Penyelidikan Al-Ihya’ (Maktabah al-Ihya') adalah:

1) Menjadi pusat sumber rujukan dalam bidang ilmu-ilmu agama dan ketamadunan terutamanya yang sukar didapati di pusat-pusat sumber awam dan universiti dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

2) Menjadi pusat kajian dan penyelidikan dalam mempertahankan ajaran agama Islam dan kefahamannya yang muktabar berdasarkan pegangan ahli sunnah wal jamaah.

3) Menyediakan khidmat bimbingan dan latihan dalam melakukan penyelidikan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu terutamanya dalam menjawab isu-isu semasa. Antara khidmat tersebut adalah:

3.1: Khidmat perbincangan untuk mencari tajuk kajian dan isi kandungan kajian yang ingin dilakukan.

3.2: Khidmat bimbingan dalam merujuk sumber rujukan terutamanya dalam bahasa asing.

3.3: Perbincangan dan penerangan tentang hala tuju kajian, kaedah-kaedah penyelidikan yang berkenaan dan teknik-teknik penyediaan penyelidikan ilmiah yang mudah.

4) Menyediakan pengajian asas Fardhu ‘Ain dan penerangan tentang isu-isu mengenai ilmu pengetahuan berdasarkan pandang alam Islam (Islamic Worldview). Antara penerangan-penerangan tersebut adalah:

4.1: Penerangan tentang tradisi dan falsafah Ilmu menurut Islam

4.2: Penerangan tentang perkembangan bidang-bidang ilmu agama dalam tradisi keilmuan Islam.

4.3: Penerangan dan perbincangan tentang aliran pemikiran semasa dalam konteks ilmu pengetahuan.

4.4: Penerangan tentang tradisi perwarisan ilmu-ilmu agama berdasarkan amalan para ulama’ yang muktabar.

5) Menyediakan kemudahan pinjaman sumber rujukan dan jualan buku-buku rujukan dan khidmat penyalinan sumber rujukan untuk kemudahan para pengkaji.

6) Menyediakan penyelidikan-penyelidikan ilmiah samada secara individu mahupun berkumpulan.

Bidang yang menjadi fokus ialah:

1. Ilmu Tasawuf (Amali atau Isyari)
2. Ilmu Aqliyyah (Mantik,Maqulat,Falsafah dan Kalam (Aqidah)
3. Ilmu Sanad (Thabat,Baramij dan sebagainya)
4. Ilmu Sejarah dan Ketamadunan


Sumber:
Top of Form