Kaedah Kajian dalam Tradisi Keilmuan Islam





Kaedah Kajian dalam Tradisi Keilmuan Islam

Oleh : Al-Fadhil Sheikh Dr. Ali Jum’ah al-Syafi’e

A.    Ke arah Penguasaan Warisan Tradisi Islami (al-Turath al-Islami)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tamadun Islam telah memainkan peranan penting dalam membangunkan serta memajukan tamadun kemanusiaan. Peranan ini terbukti oleh sumbangan para ilmuwan serta saintis Islam yang mendahului cendekiawan tamadun lain dalam menemukan banyak teori saintifik, fakta-fakta serta kaedah-kaedah yang banyak dimanfaatkan oleh tamadun manusia pada zaman moden. Seseorang yang mengkaji warisan keilmuan Islam pasti menyedari bahawa warisan ini menjadi panduan dan petunjuk dalam kajian dan kaedah saintifik serta nilai-nilai dan adab-adab dalam kajian dan pemikiran. Makalah ini bertujuan untuk meletakkan prinsip-prinsip, dasar-dasar dan langkah-langkah permulaan yang perlu diikuti oleh pengkaji dalam keilmuan Islam agar hasil kajiannya menepati kaedah ilmiah yang digariskan dalam makalah-makalah yang telah ditulis oleh para cendekiawan Muslim sepanjang sejarah Keilmuan Islam.

Kajian (Bahth): secara umumnya dalam Bahasa Arab bermaksud, “untuk mencari atau menyiasat sesuatu.”

Maksud Qa’idah: “satu jalan yang membawa kepada penemuan hakikat dalam lapangan keilmuan berpandukan perantaraan sekumpulan prinsip-prinsip umum yang membantu penggunaan pemikiran dan mencetuskan tindakan agar sesorang mencapai kesimpulan tertentu.”

Kajian Ilmiah bererti kajian terperinci mengenai suatu bidang menggunakan satu susunan qa’idah  dan sekumpulan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.

B.     Kaedah Kajian Ilmiah dalam Pengajian Islam

Pengajian Islam sentiasa diperbaharui pada setiap generasi dan akan sentiasa wujud sepanjang zaman. Ia diwajibkan kepada orang ramai khususnya kepada mereka yang memegang amanahnya (ya’ni para ‘ulama) untuk mewarisi serta menyampaikan ia kepada orang ramai. Kewajipan tugas ini bersandarkan seruan al-Quran serta perintah Rasulullah S.A.W.: “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (at-Taubah, 9:122). Ayat tersebut merupakan suruhan  kepada pembacanya dan kesinambungan kepada suruhan tersebut dinyatakan dalam ayat seterusnya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dila’nati Allah dan dila’nati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat mela’nati. Kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah 2:159-160).

Akibat menjauhi setiap kecelaruan pemikiran atau segala permasalahan manusia, penuntut pengajian Islam telah melanggar kewajipan dan membuka jalan kepada golongan yang mempunyai matlamat peribadi dan sakit jiwanya.

Para pengkaji dan mahasiswa Muslim sepatutnya menunaikan satu tugas berkelompok yang diwajibkan kepada ummah (fardhu kifayah) yang lebih mustahak berbanding bergerak  sendirian. Hal ini kerana dengan menunaikan tugas secara berkelompok, kelompongan dan kekurangan keseluruhan ummah dapat diperbaiki. Imam Zarkashi (794H) berkata, “Menghasilkan buku-buku merupakan tugasan berkelompok kepada sesiapa sahaja yang Allah telah kurniakan kefahaman dan kesedaran. Walaupun mempunyai umur yang singkat, masyarakat Islam berterusan berkembang dan membangun khususnya disebabkan kemampuan pemikiran dan pengetahuannya tidak dibiarkan terpendam begitu sahaja. Jika penulisan buku-buku diabaikan, maka pengetahuan dalam masyarakat akan lenyap.”


C. Perkembangan Pengajian Islam mengikut Tempat dan Masa 

Pengajian Islam merupakan lapangan keilmuan yang luas, merangkumi pelbagai tempoh, tempat dan pengkhususan. Daripada aspek zaman, ia merangkumi sejarah sepanjang 14 abad. Daripada kategori tempat, para pemikir dari segenap dunia telah menyumbang kepada Pengajian Islam. Daripada aspek pengkhususan pula, banyak bidang pengajian telah dikembangkan untuk pelbagai tema yang luas dalam Islam. Bahkan kesemua bidang pengajian tersebut masih membangun dan berkembang. Menurut Haji Khalifah (1675 M) dalam bukunya Kashf al-Zunnun, terdapat 300 cabang ilmu dan bidang pengajian. Dalam bidang pengajian al-Quran sahaja terdapat 80 cabang ilmu, seperti dinukilkan oleh Suyuthi (911 H) dalam kitabnya al-Itqan. Ilmu tafsir merupakan salah satu daripada 80 cabang ilmu al-Quran tersebut. Manakala daripada ilmu tafsir pula, lebih kurang 10 pengkhususan telah terhasil. Setiap pengkhususan tersebut pula mempunyai berganda-ganda karya yang telah diterbitkan. Antara pengkhususan dalam ilmu tafsir ialah tafsir oleh:
  1. ulama hadith dan sanad.
  2. ulama ‘aqidah dan ilmu ‘kalam
  3. ulama fiqh dan usul fiqh
  4. pakar tatabahasa dan ahli bahasa.
  5. ahli akademik dan pemidato
  6. ulama seni pembacaan (qira`at).
  7. ahli Sufi dan ahli zahid
  8. sejarawan dan bangsawan.
  9. aktivis masyarakat.
10.  saintis dalam pelbagai bidang.
11.   gabungan dua atau lebih jenis tafsir di atas.

Manakala ilmu pengetahuan Sunnah Nabi pula mengandungi lebih daripada 90 cabang ilmu, seperti perundangan dan sumbernya, sejarah perundangan Islam, dasar-dasar keimanan, pengajian terhadap perkumpulan dan mazhab pemikiran, sejarah Nubuwwah, sejarah Islam dan juga pengajian bahasa Arab. Kesemua ilmu tersebut membuktikan ruang lingkup lapangan pengajian Islam yang luas apabila dikaitkan dengan zaman, tempat dan pengkhususan. Walaubagaimanapun ilmu pengetahuan tersebut menumpukan kepada pengajian al-Quran dan as-Sunnah. Bidang-bidang keilmuan yang lain wujud untuk menumpukan serta berkhidmat kepada dua sumber asas keilmuan tersebut.

D. Matlamat dan Tujuan Penulisan dalam Pengajian Islam 

Pada setiap kajian dalam suatu bidang pengajian Islam atau bidang pengetahuan yang lain, semestinya ada matlamat dan tujuan yang hendak dicapai. Seperti yang telah dijelaskan oleh Ibn Hazm (456 H) dalam bukunya Pengenalan kepada Ilmu Mantiq dan disyarahkan oleh Ibn Khaldun (1382) dalam Muqaddimah, para ilmuwan telah menggariskan 7 perkara yang perlu diberi perhatian dalam penulisan.

“Ilmuwan telah menetapkan matlamat-matlamat yang harus dipatuhi dalam penulisan. Kesemua matlamat tersebut ada 7:

1)      Syarahan dan penjelasan dalam pelbagai cara dan bentuk:
Mengembangkan ilmu dalam bidang tersebut; menetapkan pembahagian tajuk dan topik ilmu, menyelesaikan masalah (ilmu tersebut) atau memudahkannya. Terdapat permasalahan yang telah diselesaikan oleh ilmuwan ulung disampaikan kepada orang ramai agar penyelesaian tersebut tersebar. Beliau menyimpan pengetahuannya dengan menulis buku-buku agar para pengikutnya dapat memanfaatkannya, sebagaimana yang berlaku kepada ilmu usul fiqh. Imam al-Shafi’e (204 H) menerajui pembahasan hujah serta menyimpulkan perbahasannya. Setelah itu ilmuwan mazhab Hanafi hadir mendalamkan perbahasan-perbahsan berkaitan dengan perumpamaan (qiyas), serta berjaya menyelesaikan perbahasan tersebut sehingga dapat  dimanfaatkan oleh generasi terkemudian.

2)      Memberi penjelasan yang lebih mudah difahami terhadap karya yang rumit:
Seseorang menemukan karya-karya ulama terdahulu yang sukar difahami, kemudian Allah mengurniakan kefahaman kepadanya. Oleh itu seseorang itu bersungguh-sungguh ingin menyampaikan mesej ulama terdahulu dalam bentuk yang lebih mudah difahami kepada golongan yang layak. Inilah caranya dalam memberi kefahaman ilmu pengetahuan baik dalam ilmu rasional dan sanad. Sesungguhnya ia adalah pekerjaan yang terpuji.


3)      Membetulkan kesalahan ulama terdahulu:
Ilmuwan generasi terkemudian menemukan kesalahan dalam perkataan-perkataan ulama  terdahulu yang terkenal dengan akhlaq mulianya. Seorang ilmuwan seharusnya memastikan kesalahan itu diperbetulkan dengan bukti yang jelas sehingga tidak timbul sebarang keraguan. Kemudian pembetulan yang telah dilakukan haruslah disampaikan kepada orang ramai. Memandangkan susahnya untuk mengundurkan kembali kesalahan dek tersebarnya buku ulama terdahulu kerana namanya yang masyhur dan keyakinan masyarakat yang mendalam terhadap ilmunya, sebuah buku yang dapat membetulkan kefahaman orang awam mestilah dihasilkan.

4)      Melengkapkan ilmu pengetahuan:
Apabila seseorang menemukan perbahasan atau perkara yang terlepas pandang dalam suatu bidang ilmu, dia harus berazam untuk menyempurnakan ilmu tersebut dengan mengisi kelompongannya.

5)      Menyusun kembali ilmu yang tersalah susun-aturnya:
Barangsiapa yang menemui kesalahan susun atur dalam suatu bidang ilmu, hendaklah dia menyusun kembali perbincangan-perbincangan tersebut mengikut tajuk-tajuk yang bersesuaian dengannya. Begitulah yang terjadi terhadap karya Mudawwana oleh ibn Sahnun yang diriwayatkan daripada Ibn al-Qasim (854H) dan karya al-Utbiyya oleh al-Utbi yang diriwayatkan daripada para sahabat Imam Malik. Pada kedua-dua kitab ini, terdapat beberapa perbincangan dalam bab hukum-hakam dan juga bab yang lain-lain telah diletakkan dalam tajuk yang tidak sesuai. Oleh itu Ibn Abi Zayd (996H) telah menyusun kembali kitab Mudawwana, manakala kitab al-Utbiyya terbiar begitu sahaja tanpa sebarang pembetulan. Mereka hanya berpuas-hati dengan kitab Mudawwana yang telah diperbaiki oleh Ibn Abi Zayd, al-Barada’i dan usaha-usaha para ilmuwan lain.

6)      Menyusun satu bidang ilmu baru:
Terdapat sesetengah bidang ilmu yang bercampur-aduk dengan bidang ilmu yang lain. Oleh itu segelintir ilmuwan menumpukan perhatian kepada bidang ilmu yang terpecah-pecah dalam bidang ilmu yang lain lalu mengumpulkan perbahasan-perbahasannya. Melalui usaha ini, beliau telah menyusun satu bidang ilmu daripada pelbagai bidang keilmuan yang lain, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Abd al-Qahir al-Jurjani (474H) yang telah menyusun ilmu pidato.

7)      Meringkaskan karya yang mendalam dan terperinci:
Bagi karya ilmiah yang penting tetapi terlalu panjang dan terperinci, seseorang perlu menghasilkan karya baru yang lebih ringkas. Hal ini dapat dilakukan dengan mengambil intisari karya terdahulu, meringkaskan serta mengelakkan pengulangan kata-kata, di samping berhati-hati dalam menyaring karya tersebut agar tidak lari daripada maksud yang ingin disampaikan oleh penulis asal.”

Kumpulan matlamat-matlamat ini perlu diteliti dan diikuti dalam menghasilkan karya penulisan. Matlamat selain daripada matlamat-matlamat tersebut tidak diperlukan sama sekali. Imam Abu Bakr ibn al-Arabi (543 H) dengan indahnya telah meringkaskan matlamat-matlamat yang digariskan oleh ilmuwan terdahulu melalui madahnya “Seorang yang wara’, yang sanggup menulis buku, tidak akan lari daripada dua matlamat: Sama ada menghasilkan sesuatu yang berma’na atau menghasilkan susunan yang baru, sebagaimana yang telah kami tentukan dalam Qanun al-Tawil dan kami simpulkan secara umum dan terperinci dalam al-Tahsil. Sebarang penulisan yang mengabaikan dua perkara ini hanyalah mencoret dan menghias kertas dengan dakwat melaui penciplakan.” Oleh itu, seorang pengkaji mestilah lebih mengutamakan tujuan dan matlamat yang mulia lebih daripada dirinya agar dapatlah dia memberi manfaat kepada diri dan agamanya.

E.     Langkah-langkah Dalam Melakukan Kajian menurut Isi Kandungan dan Susunan.

1.      Kelayakan dan persediaan untuk kajian.

Asas-asas yang penting untuk melakukan kajian ialah persediaan dan latihan dalam menundukkan hawa nafsu dan memurnikan niat. Tanpa mengira bidang kepakarannya,  seseorang yang melakukan kajian dalam pengajian Islam, hendaklah melakukan dua perkara:
a)      Membiasakan diri dengan prinsip-prinsip dan konsep-konsep asas, iaitu al-Quran dan as-Sunah. Inilah syarat yang paling asas, sebagaimana Nabi S.A.W. bersabda, “Ilmu ini akan dibawa oleh para ulama’ yang adil dari setiap generasi. Mereka akan membenteras penyimpangan yang dilakukan oleh golongan yang ghuluw (yang melampaui batas), menolak kebohongan pelaku kebatilan (para pendusta), dan takwil golongan yang jahil.” Seseorang yang menguasai perkara-perkara asas akan semakin menghampiri kebenaran.
b)      Menguasai bidang ilmu yang berkaitan dengan pengkajiannya, seperti tafsir, hadith, syari’at, usul fiqh, kalam dan sewaktu dengannya. Bagaimana mungkin seseorang yang tidak menguasai bidang ilmu yang ingin ditulisnya dapat berbakti? Bidang apakah yang akan diperbaiki olehnya? Dan perkara apakah yang difahami olehnya sehingga membolehkannya untuk memberi pendapat?

Pengetahuan mengenai kata-kata kunci dalam bidang tertentu serta mengetahui ma’nanya dengan tepat juga penting kerana setiap bidang ilmu mempunyai istilah-istilahnya yang khusus. Kadangkala berlaku pertindihan penggunaan istilah-istilah yang melibatkan dua bidang ilmu atau lebih daripada itu. Oleh itu seseorang mestilah mengenali penggunaan khusus istilah tersebut, menguasai perbendaharaan kata serta fasih menggunakannya. Para ilmuwan telah menemukan penyalahgunaan kata-kata kunci disebabkan terdapat segelintir penulis merujuk buku-buku yang mencampur-adukkan kata-kata kunci daripada pelbagai bidang ilmu yang berbeza, seperti karya Ta’rifat al-Sharif oleh al-Jurjani (1414H). Ma’na istilah-istilah dalam al-Quran adalah sesuai untuk bidangnya sahaja, begitu juga istilah-istilah dalam ilmu hadith, nahwu, usul fiqh dan falsafah. Istilah daripada suatu bidang ilmu tidak sepatutnya digunakan kepada bidang ilmu yang lain kerana ma’na istilah tersebut akan menjadi salah atau tidak sempurna dalam bidang yang berlainan dengannya.

Seseorang penulis dianggap melanggar etika ilmiah apabila dia memberi pengertian perbendaharaan kata dalam suatu bidang menurut perspektif  bidang ilmu yang lain. Saya khuatir dengan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, “Barangsiapa yang berpuas-hati dengan sesuatu yang bukan miliknya, bagaikan seseorang yang berpada dengan memakai baju yang dicuri.” Imam Dhahabi (784 H) mengesahkan permasalah ini, dalam penjelasannya mengenai jalan untuk menguasai ilmu hadith dan cabang-cabangnya, iaitu, “Tidak mungkin seorang ilmuwan yang mengkaji perwatakan-perwatakan perawi hadith dapat menguasai ilmu tersebut melainkan dengan berterusan mencari dan menyiasat perkara-perkara ini, melakukan banyak ulangkaji, berjaga malam, pemahaman melalui akhlaq mulia, keimanan yang teguh, adil, melazimi halaqah-halaqah ulama, penyiasatan yang mendalam, dan penguasaannya. Jikalau tidak, “Tinggalkan penulisan kerana kau bukanlah ahlinya, walaupun wajahmu menjadi hitam dipenuhi dakwat.”

Para ilmuwan terdahulu pernah berkata, “Seseorang dinilai berdasarkan kepakarannya. Ilmuwan sepanjang zaman telah menegaskan kepentingan persediaan dan latihan sebelum menghasilkan karya penulisan. Bahkan mereka melarang sebarang usaha penulisan sehinggalah seseorang itu telah melepasi peringkat persediaan dan latihan. Abu Amr ibn al-Ala (154H) berkata, “Seseorang itu terselamat daripada parasangka dan umpatan orang ramai selagi mana dia tidak menulis buku atau bersya’ir.”

Menurut pemerhatian kami, kelemahan yang terdapat pada para mahasiswa dan latihan yang diberikan adalah disebabkan kekurangan dalam pendidikan dan juga sedikitnya usaha dalam menelaah ilmu al-Quran, as-Sunnah dan ilmu pengetahuan Islam yang lain. Berbahaya bagi mahasiswa yang sedemikian rupa untuk menghasilkan karya penulisan kerana mereka akan mendatangkan kerosakan sama-ada dengan menyalah-gunakan karya ilmuwan terdahulu atau menghasilkan pendapat yang rendah dan lemah. Apa yang lebih merisaukan kita adalah hasil karya tersebut akan mempengaruhi kehidupan, ummah Islam serta membantutkan perkembangan pemikiran Islam.

Antara golongan tersebut adalah para mahasiswa yang tiada asas dalam pengajian Islam, seperti penuntut bahasa, perubatan, sejarah, kejuruteraan, fizik dan kimia. Mereka memetik ayat-ayat al-Quran atau hadith secara rawak dan mengeluarkan hukum-hakam yang tidak pernah ditetapkan oleh Allah. Pada masa kini, pengetahuan Islami dicabar oleh pemikiran mereka yang terkeliru.

2.      Mengetahui Bidang Kajian dan Menguasainya

Sebelum seorang layak menulis suatu karya, wajib bagi setiap pengkaji dalam bidang tersebut untuk mengetahui dimensi bidang yang ingin dia ceburi. Oleh itu dia mesti membiasakan diri dengan pengetahuan bidang tersebut dan mengetahui karya-karya utamanya yang diwarisi zaman-berzaman, yang diakui oleh pakar ilmu tersebut sebagai karya yang agung, asli dan diterima-pakai. Dia perlu terlebih dahulu mengajar bidang tersebut dengan menggunakan buku yang merangkumkan intisari karya-karya utama dan memberi pengajaran mengenainya dengan cemerlang. Dengan demikian dia akan memahami perbahasan dalam bidang tersebut dengan lebih meluas. Kemudian, sepanjang tempoh penyiasatan dan pengkajiannya, seorang pengkaji juga haruslah mengambil-kira permasalahan yang dibahaskan oleh ilmuwan masakini mengenai bidang tersebut. Seterusnya dia juga perlu memeriksa pelbagai pandangan perintis dan juga pemikir dalam bidang itu untuk mengetahui perkara yang disepakati bersama, perkara yang ditolak ke tepi, menentukan perkara yang nyata daripada perkara yang bermasalah dan perkara yang betul daripada perkara yang samar-samar. Usaha-usaha tersebut akan membuka pintu kepada pengkajian serta membentuk kepakaran seseorang. Imam Dhahabi (684H) berkata, “Seorang pelajar seharusnya mempelajari buku hukum-hakam. Sekiranya dia berjaya menghafalnya, dia menyiasat dan memeriksa pendapat ke atasnya. Jika dia pintar dan berbakat dalam hukum-hakam serta memahami penyaksian para imam, maka dia perlu memerhati kebesaran Tuhan dan berwaspada terhadap agamanya, kerana sebaik-baik iman adalah berwaspada. Barangsiapa yang meninggalkan perkara yang ragu-ragu maka dia terbebas daripada tuduhan dalam agama dan juga maruahnya.” Apa yang teraplikasi dalam bidang hukum-hakam juga terpakai pada cabang keilmuan yang lain.

Ibn Khaldun (1406M) juga berkata, “Kemahiran dan penguasaan suatu bidang hanya dapat dicapai dengan mendapatkan kemahiran dalam memahami prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan bidang tersebut, memahami segala permasalannya, serta mendapatkan penyelesaian daripada prinsip-prinsipnya. Selagi kemahiran ini tidak dimiliki, kepakaran dalam suatu bidang takkan dapat dicapai.”

 3.      Kajian ilmiah ilmuwan Islam dan Manfaatnya kepada Manusia Sejagat

Sebelum menjalankan suatu kajian, seorang pengkaji perlulah memikirankan manfa’at hasil-kerjanya kepada orang ramai. Adakah ia akan merungkaikan permasalahan umum atau mendasar, yang sedang berlaku atau yang akan berlaku? Adakah kajian tersebut mempunyai sebarang nilai untuk dimulakan? Atau adakah ia sekadar membazir masa sahaja? Kajian itu sendiri adalah suatu masalah sekiranya ia menghabiskan bertahun-tahun usia si pengkaji serta tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Anehnya pada zaman sekarang ini, selalu kita dengar segolongan cerdik-pandai yang memberi syarahan di Amerika atau Eropah, atau menghasilkan makalah dan buku, sebagai contoh, mengenai melawat makam-makam, dan lain-lain. Bahkan ada juga yang mengkaji warna kulit Pemuda Gua (Ashabul Kahfi) atau tentang Lembu Nabi Musa, dan lain-lain. Kajian-kajian sebegini merupakan satu kebodohan. Bolehkah dijumpai makam-makam di Amerika dan juga Eropah? Benarkah orang ramai menghadapi permasalahan dengan perkara-perkara sebegini?

Pada peringkat ini, ilmuwan terdahulu akan menjawab persoalan-persoalan yang ditanya kepada mereka; mereka akan menulis dan menyusun idea-idea mereka ke dalam buku-buku. Apabila mereka ditanya tentang peraturan atau perbahasan yang terperinci tentang suatu perkara, mereka akan bertanya kepada si penyoal, “Adakah ini masalah yang sedang berlaku? Adakah awak risau ia akan menjadi kenyataan? (**) Jika si penyoal mengiyakan persoalan, sang ilmuwan akan mengkaji soalan dan jawapan yang asal. Jika tidak, mereka akan menolak untuk menjawab bahkan memberi kefahaman kepada si penyoal. Dalam aspek membuang masa, cukuplah bagi kita merujuk kepada ayat al-Quran, “Itu adalah umat yang lalu; baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang sudah kamu usahakan, dan kamu tidak akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Baqarah, 2:134;141). Segala perbincangan ini tiada kaitan pun dengan permasalahan dunia sebenar. Tiada nilai pun pada perbincangan tersebut kerana ia adalah perbincangan yang tandus dan tidak memberi kesan dinamik kepada orang ramai. Perkara ini menujukkan hubungan yang kuat antara ilmu dan kehidupan serta kepentingan ilmu dalam membimbing manusia ke arah jalan kebenaran.
Dengan mengambil-kira semangat yang sama, dapat dilihat tentang kepentingan memikirkan kepanjangan karya seorang ilmuwan. Pada masakini, memanjang-manjangkan hasil penulisan akan mengurangkan manfa’at daripadanya. Betapa banyak karya-karya terdahulu yang terlalu panjang sehingga memaksa ilmuwan masakini melakukan kerja-kerja meringkaskan.

4.      Pengaturan, Pemetaan serta Pengkelasan yang cermat dalam Bidang Kajian

Ulama hadith dan feqah telah menjelaskan kepentingan pengaturan dan pemetaan yang cermat dalam bidang pengkajian. Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai, “al-sabr wa’l-taqseem”. Al-sabr adalah meneliti susur-galur hadith untuk mengetahui periwayatnya, dan al-taqseem bermaksud mengasingkan setiap isu daripada isu yang lain agar proses pemikiran menjadi lebih mudah. Para ulama meletakkan al-taqseem sebagai satu usaha untuk memudahkan serta membincangkan sesuatu perkara secara teliti. Antara alat yang paling bermanfaat dalam lapangan mendapatkan ilmu pancaindera, atau ilmu teori deduktif, adalah dengan memisahkan serta mengumpulkan, iaitu memisahkan permasalahan umum kepada permasalahan yang lebih kecil dalam pengkelasannya yang tersendiri, dan juga mengumpulkan permasalahan-permasalahan kecil kepada permasalahan yang lebih umum.

Dengan memisahkan perkara yang umum, usaha kajian secara waspada dan terperinci bagi setiap kelas menjadi lebih mudah. Setelah mengkaji perkara-perkara yang terperinci, dan memperoleh kesimpulan, proses mengumpulkan pandangan yang sama berulang kembali (dikenali juga sebagai asbah dan nazho’ir), dan menyimpulkan mereka kepada prinsip-prinsip umum yang berkualiti.

5.      Mengumpul maklumat dengan berjaga-jaga dan penuh kesedaran

Permulaan kepada pembacaan yang berma’na adalah dengan mengumpulkan segala ma’lumat yang berkaitan dengan permasalah yang dikaji dalam pelbagai bentuk, mengenali buku-buku yang berkaitan, kelebihan dan kekurangan buku-buku tersebut, serta pendekatan para penulis dalam menyampaikan idea-idea mereka. Para pengkaji haruslah berwaspada dengan perkara terakhir tersebut. Sebagai contoh, kitab Wafiyyat al-A’yan yang masyhur oleh Ibn Khallikan (1282M) adalah buku yang menjadi rujukan ramai pihak. Ibn Kathir (774H) juga mencontohi tindakan Ibn Khallikan dengan menegah pembaca hasil-karyanya daripada mencela tokoh yang ditulis sejarah hidup olehnya, khususnya para ilmuwan, walaupun ada di antara mereka yang berkelakuan buruk , berfahaman serta mengikuti aliran pemikiran yang sempit. Contohnya, siapakah yang tidak kenal dengan orang yang lebih sesat pemikirannya daripada Ibn Rawandi (911M)? Walaubagaimanapun apabila Ibn Khalikan (1282M) bercerita tentangnya, beliau menggelar Ibn Rawandi sebagai “ilmuwan terkenal”, serta memetik hasil karya beliau tanpa menunjukkan kecacatan karya tersebut. Oleh sebab itu Ibn Kathir (774H) selalu mengulas, “Perbuatan ini adalah sejajar dengan perbuatan (Ibn Khallikan) yang bersikap bertolak-ansur dan mengalihkan pandangan daripada melihat kelemahan peribadi…” Contoh yang sebaliknya ialah Ibn Nadim pula (998H) yang cenderung ke arah Shi’ah serta cenderung dan melampau-lampau dalam mengagung-agungkan para ilmuwan yang sealiran-pemikiran dengannya sehinggakan melabel para ilmuwan lain sebagai “orang awam”. Terdapat juga segelintir “cendekiawan” semasa yang jahil dan tidak berprinsip yang merendah-rendahkan para ilmuwan Islam agung yang terdahulu serta memuji-muji golongan yang jahil sepertinya juga. Oleh itu para pengkaji perlu berhati-hati dalam menilai kualiti sumber ilmiah kerana ia penting dalam membimbing manusia ke arah kebenaran.

6.      Mengkaji bahan ilmiah, susunan serta kerangkanya secara menyeluruh

Setelah mengumpul serta mengesahkan kelayakan bahan ilmiah, pengkaji perlulah memeriksa bahan tersebut secara menyeluruh, berusaha untuk menyaring kesimpulan daripadanya dan merangka semula bahan ilmiah itu dalam susunan yang tidak mengabaikan tertib urutan, pembentukan, perkembangan serta perubahan terhadapnya. Setiap isu yang dibincangkan mestilah disertai dengan ayat al-Quran dan juga hadith yang mantap. Tafsiran dan syarahan daripada sumber yang berkelayakan juga perlu mengiringi ayat al-Quran dan hadith tersebut. Kaedah-kaedah ini menggambarkan kepada kita akan perkembangan pemikiran, darjat dan sumbangan para cendekiawan terhadap generasi yang terkemudian. Kemuncaknya dapatlah kita menyedari peranan masa dan tempat.

Jika para pengkaji mendapat idea daripada penulis yang asal, maka wajib bagi mereka untuk menisbahkan sepenuhnya idea tersebut kepada penulis asal. Begitu juga perlu dinukilkan peranan keseluruhan individu yang terlibat dalam periwayatan idea tersebut. Imam an-Nawawi (676H) berkata dalam bukunya Al-Majmu’ Sharh Al-Muhadhdhab fi al-fiqh Al-shafi’i: “Ketahuilah bahawa buku-buku mazhab mengandungi percanggahan pendapat yang serius dalam kalangan ‘ulama`. Walhal tidaklah jelas percanggahan tersebut timbul disebabkan pandangan peribadi para ‘ulama` sehinggalah anda sendiri mengkaji karya-karya utama mazhab tersebut.” Hal ini bermaksud para pengkaji perlu menjalani pembelajaran yang mendalam tentang mazhab dan belajar setiap pendapatnya, bantahannya, dan lain-lain, supaya dia menemukan jawapan kepada persoalannya.

Dalam kalangan pemikir moden, Descartes dalam karyannya Tafakkur turut menekankan keutamaan dalam mengikuti kaedah. Beliau berkata, “Saya memulakan proses pemikiran saya daripada ‘ilmu yang paling ringkas agar saya dapat mendaki secara bertahap kepada ‘ilmu yang lebih rumit. Kaedah ini lebih baik daripada saya mempelajari ‘ilmu pengetahuan secara membabi-buta.” Pengetahuan Islam berkembang dengan berdikit, maka ia juga perlu disusun sebegitu rupa. Descartes juga berkata, “Kemudian dalam segala keadaan, saya bertindak berpandukan maklumat yang lengkap dan sumber yang menyeluruh menuju kepada jawapan yang memberikan saya keyakinan bahawa saya tidak melakukan sebarang pengabaian.” Sesungguhnya kaedah ini yang sememangnya diamalkan oleh para ilmuwan Islam telah membuka ruang agar setiap generasi masa hadapan dapat menambah sesuatu yang baru, membetulkan kesilapan serta memperbaiki bidang ‘ilmu yang terdahulu sehinggalah ia mencapai kesempurnaan.

7. Kejujuran ilmiah dalam menisbahkan idea 

Berkenaan dengan kejujuran ilmiah dalam menisbahkan idea kepada pemikir asalnya, Qadi ‘Iyad (1149) pernah berkata, “Kejujuran ilmiah dalam menisbahkan kata-kata dan idea asal kepada pemiliknya wajib dilakukan tanpa sebarang kelalaian, sama ada menisbahkan kepada orang yang hebat ataupun tidak, seorang Muslim ataupun bukan, seorang yang soleh ataupun bukan, juga kepada seorang yang terdahulu atau yang terkemudian.” Para ilmuwan Islam telah menunjukkan teladan yang baik dalam mengamalkan kejujuran ilmiah kerana al-Quran sendiri telah menetapkan asas ini. Amalan ini memberi manfaat yang besar kepada ilmu pengetahuan Islam, seperti ilmu hadith, yang telah menetapkan kaedah dalam menentukan kesahihan periwayatan hadith daripada Rasulullah S.A.W.

Seperti yang dimaklumkan, al-Quran sendiri telah menetapkan prinsip kejujuran. Hal ini terbukti melalui penceritaan al-Quran tentang kepercayaan-kepercayaan tamadun lain sebagaimana keadaan asalnya, walaupun al-Quran menganggapnya sebagai kepercayaan yang terpesong. Al-Quran menceritakan keadaan orang munafiq, perlakuan mereka semasa bersendirian ataupun di tempat awam, kemudiannya barulah al-Quran bertindak-balas terhadap mereka. Kaedah inilah yang di’amalkan oleh para ilmuwan Islam dalam perkara ilmiah, baik sesama mereka ataupun terhadap ilmuwan yang lain, dalam menunjukkan bukti sebagaimana keadaan asalnya, sepenuhnya, tanpa mengubah atau menyalahgunakannya. Setelah menunjukkan bukti yang asal, barulah mereka, ya’ni ilmuwan Islam, menyanggahi atau menunjukkan kesilapan-kesilapan idea yang asal. Pendekatan seperti ini boleh ditemui dalam karya-karya oleh al-Asha’ari (324H), al-Baqillani (402H), al-Razi (313H), al-Ghazali (505H), Ibn Taymiyyah (728H), Ibn al-Qayyim (751H), al-Shaybani (805), al-Shafi’I (204H), al-Tahawi (303H), al-Tabari (310H) dan Abd al-Qahir al-Baghdadi (1037M). Merekalah suri-teladan dalam kebenaran dan kejujuran. Pada karya-karya mereka, idea-idea asli golongan terdahulu walaupun menyesatkan tetap ditunjukkan agar kesesatan idea-idea tersebut dapat disanggah dengan hujah-hujah kebenaran. Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan, “Memberitahu sesuatu yang salah tidak bermakna perbuatan itu sendiri salah,”,  agar dapatlah halangan-halangan berupa perbincangan dan perdebatan dielakkan, dan lebih penting lagi untuk memenuhi tuntutan kepada kejujuran ilmiah.

Dengan beristiqamah dalam kejujuran, kita dapat meladeni idea-idea yang tak dapat ditemui di tempat lain disebabkan karya-karya para pendokongnya telah hilang dan lenyap ditelan zaman. Oleh itu, karya para ilmuwan agung yang mengamalkan kejujuran ilmiah seperti yang disebutkan sebelumnya menjadi rujukan untuk mempelajari pemikiran golongan terdahulu yang telah pupus.

Perlu diingatkan juga supaya kita tidak terlibat dalam penipuan ilmiah semasa menunjukkan teks asal seperti dengan memendekkannya, atau mengeluarkan bahagian-bahagian tertentu, juga mengeluarkan pendapat penulis asal yang menyanggahi pandangan pengkaji. Bahkan, para pengkaji mestilah menzahirkan kejujuran dalam setiap keadaan.

8.      Pemahaman yang betul mengenai teks dan juga memberi pengertian kepadanya

Aspek lain yang penting bagi kejujuran ilmiah adalah isu berpegang kepada prinsip-prinsip untuk memahami teks dengan pemahaman yang benar, serta memberi pengertian kepadanya menurut adab yang mematuhi prinsip-prinsip ini.

Perkara yang paling berbahaya dalam bidang keilmuan ialah seseorang itu mengikuti tindak-balas hati dan pandangan peribadinya, serta keinginan dan juga tindakannya yang gelojoh. Sebab itulah al-Quran telah memberi amaran  kepada golongan yang mengikuti tindak-balas hatinya tanpa matlamat yang jelas. Salah satu manifestasi kecenderungan sebegini adalah perbuatan mengikuti pendapat yang terpencil, hujah yang lemah serta penjelasan yang memesongkan kerana perbuatan sebegini dapat memuaskan tindak-balas hati dan dorongan nafsunya.
Al-Quran telah memerintahkan kepada orang Islam supaya berkata benar, “Berkatalah sesuatu yang benar daripada Tuhanmu.” Rasulullah S.A.W. juga telah menegaskan kembali perkara ini melalui bai’ah para Sahabat R.A. kepada baginda. Para sahabat berkata, “Nabi S.A.W. telah menerima bai’ah daripada kami bahawa kami akan dengar dan taat, bercakap benar walau di mana sahaja, dan tidak akan takut kepada sesuatupun melainkan Allah.” Pada masa yang sama, para ilmuwan Islam menyetujui perkara ini apabila mereka sepakat bahawa “Barangsiapa yang berlepas daripada sebarang mazhab maka hilanglah daripadanya sebarang tanda sebenar beragama.” Isu memahami teks dengan kefahaman yang benar – khususnya al-Quran dan as-Sunnah – telah bermula sejak zaman generasi awal Muslimin. Kemudian secara bertahap mereka mengasaskan prinsip-prinsip untuk mendapatkan kefahaman yang benar. Generasi awal Muslimin telah membentuk satu ilmu pengetahuan untuk memahami teks dengan sebetulnya, kemudian menjadikan ilmu tersebut lebih umum agar dapat digunakan dalam bidang ilmu yang lain (kerana prinsip-prinsipnya yang rasional, umum dan induktif (*). Ilmu tersebut ialah usul-fiqh yang perbahasan utamanya berkisar tentang menjelaskan teks, memahami ma’nanya yang tersurat dengan sewajarnya, serta menentukan keadaan prinsip-prinsip ini sesuai digunakan atau tidak.

 9.      Merujuk kepada yang pakar

Dalam kajiannya, pengkaji yang jujur akan merujuk pakar dalam bidang yang dikaji olehnya. Dia akan mengambil maklumat daripada sumber asli yang disahkan sebagai sumber rujukan ilmu tersebut. Bahkan para pakar seharusnya lebih diutamakan berbanding golongan kebanyakan kerana mereka telah mengumpulkan seluruh perbahsan-perbahasan yang utama, mengkhususkan prinsip-prinsip ilmu, menyusun-atur buku-buku, serta menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang rumit. Oleh itu, sebagai contoh, dalam ilmu al-Quran dan kaedah pembacaannya (qiraat), seseorang akan merujuk kepada pakarnya, begitu jugalah untuk ilmu hadith, bahasa dan lain-lain.

Dengan menumpukan perhatian khusus terhadap perkara ini, maka terjawablah permasalahan yang telah menimpa segelintir pengkaji yang mengabaikan prinsip-prinsip sesuatu perbincangan sebaliknya menghubung-kaitkan pendapat-pendapat daripada pelbagai sumber tanpa memeriksa kesahihan atau mendedahkannya kepada pemikiran yang waras. Akibatnya berlaku terlalu banyak caca-marba dan kesilapan dalam hasil kajiannya. Oleh sebab itulah penting bagi para pengkaji dalam pengajian Islam untuk menimba ilmu melalui kerangka kaedah yang sepatutnya.

10.  Kritikan yang adil dan jujur

Seorang pengkaji yang mahir dan terlatih tidak akan berdiam diri serta menyimpan idea pemikirannya. Sebaliknya dia berhaq memahami dan menjelaskan kefahamannya mengenai al-Quran, as-Sunnah dan menuai penghasilan ilmiah daripada kedua-duanya. Dia berhaq mengkritik dan memeriksa secara membina. Tidak sepatutnya berlaku teks yang berkaitan dengan bidang kajiannya yang pada pemerhatiannya memerlukan pemeriksaan atau pembetulan melainkan dia membetulkan teks tersebut sebagaimana yang sepatutnya diperbaiki. Jika terdapat sesuatu yang tidak difahaminya, dia boleh menunjukkan serta menerangkannya. Hal ini kerana jika dia tidak menyatakan kebenaran, maka itu petanda dia menerima kesalahan yang terdapat pada teks dan secara tidak langsung bertanggungjawab terhadap kesalahan tersebut.

Asas kepada haq memeriksa ditemukan dalam mutiara kata oleh Imam Malik bin Anas (179H), “Setiap pendapat seseorang boleh diterima atau ditolak melainkan pendapat daripada insan di dalam kubur ini,” sambil menunjukkan ke arah kubur Rasulullah S.A.W. Hal ini kerana dalam tasawwur Islami, hanya pendapat Rasulullah S.A.W. sahaja yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Kritikan ilmiah yang jujur adalah antara ciri-ciri positif umat ini. Sikap ini merupakan akar kepada warisan pengesahan dan penghasilan ilmiah dalam kalangan para ilmuwan hadith, qadhi, ‘ulama` feqah (*), sejarawan dan bidang kepakaran yang lain. Al-Nawawi mewajarkan tindakan beliau mengkritik dan mendedahkan kesalahan para ilmuwan agung kerana kebenaran itu lebih mulia.
Semangat mengkritik dan memeriksa memerlukannya untuk diamalkan oleh pengkaji tulen terhadap dirinya sendiri serta orang lain. Sebagaimana para ilmuwan akan berkata, “Berhati-hatilah dalam menonjolkan karya anda sebelum ia diperiksa dan diperbaiki berkali-kali.” Al-Rabi’ al-Muzani pernah berkata, “Aku tidak pernah melihat al-Shafi’i makan pada siang hari atau tidur pada malam hari. Beliau selalu asyik dalam menulis dan memeriksa penulisannya berulang-ulang kali.”

Sumber: Maktabah al-Ihyaa’