Untuk anda yang mencintai ilmu
Pada zaman dahulu,  menurut ceritanya, si polan yang ingin menuntut  ilmu, terpaksa merantau berpurnama lamanya untuk mencari seorang guru.  Guru yang ditemui pula belum tentu akan menerima si polan dengan mudah.  Setelah disuruh mengangkat air, membelah kayu dan dilempang hingga  tergolek; jika si polan tahan dengan deraan itu, baharulah dia diterima  menjadi murid.  
Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, menuntut ilmu asas menjadi  mudah dengan wujudnya sekolah. Namun, untuk memperoleh ilmu ke  peringkat tertinggi hingga ke menara gading bukannya senang. Bukan  sedikit mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (kini  PMR) lebih daripada sekali, Sijil Pelajaran Malaysia hingga tiga kali,  atau Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) sampai lima kali hanya untuk  menjejakkan kaki ke tangga universiti. 
Tetapi, pada hari ini, ilmu pula yang mencari kita. Bukalah  akhbar dan kita akan menemui pelbagai ilmu yang ditawarkan. Kita boleh  memilih mana yang sesuai dan diminati. Layarilah internet, dan kita  boleh menemui beribu-ribu laman institusi pelajaran. Malah, tawaran  untuk mempelajari ilmu sampai kepada kita dalam bentuk e-mel ataupun  surat. Seolah-olah pada hari ini, guru yang mencari kita, bukan  sebaliknya. 
Oleh kerana mudahnya memperoleh ilmu pada hari ini, maka sesiapa  sahaja boleh belajar apa yang diingininya pada bila-bila masa yang kita  suka. Tambahan pula, tiada had umur yang menyekat kita daripada  mempelajari sesuatu. Tentu sekali fenomena ini amat bagus kerana ia  memenuhi hasrat kita sebagai manusia yang sentiasa ingin tahu dan ingin  menjadi lebih pandai. Tanpa perlu mengikuti kelas atau kuliah yang  formal pun, kita itu boleh menjadi pakar di dalam bidang yang  diminatinya. 
Namun, ia boleh menjadi masalah apabila kita tidak mempunyai  kepandaian untuk menilai sesuatu ilmu itu. Kita perlu tahu menimbang  apakah ilmu itu menjadikan kita lebih bijaksana atau semakin dungu.  Lebih tawaduk bila mana ilmu itu membuatkan kita semakin sedar akan  kekurangan ilmu yang diterokai atau semakin bongkak dengan ilmu yang  sedikit. Lebih malang lagi jika kita tertuntut ilmu yang sudah  ketinggalan zaman ataupun yang salah lagi menyesatkan! 
Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan  menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Jika itulah  sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi dan tidak  intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya, tetapi  intinya pula ialah sikapnya. 
Serampang tiga mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi  kunci-kunci kepada penguasaan apa jua bidang. Tidak boleh tidak, ilmu  yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara  mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana, pengetahuan sesuatu  ilmu itu adalah untuk mental, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal,  sementara perubahan sikap yang diperoleh daripada sesebuah ilmu itu  adalah untuk spiritualnya. 
Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar tetapi  tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi yang tidak dapat  dipraktikkan. Kerana itulah, jika kita renungi, terdapat banyak sekali  masalah di dalam masyarakat yang terjadi secara berulang kerana  pendekatan penyelesaiannya mengikut paradigma yang serupa. Puncanya  adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah penambahan pengetahuan dan  peningkatan kemahiran dan tidak kepada perubahan sikap.  
Jika akal dan fikiran sahaja yang diasah, tetapi hati masih  tidak diasuh, maka setinggi mana, sebanyak mana ilmu yang dituntut, ia  akan berkesudahan dengan kesilapan yang akhirnya menjadi kesalahan. Ilmu  yang tidak dipelajari dengan penyertaan hati akan menjadikan seseorang  itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, negara dan agamanya  meskipun dia sudah mumaiyiz berpuluh-puluh tahun yang lalu.   
Justeru itu, dalam pada kita mudah sekali mempelajari ilmu, kita  mestilah memperoleh tiga elemen yang penting itu. Ia akan menjadikan  kita seseorang yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran. Malah,  pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara  optimum. Inilah wasatiyyah yang harus menjadi pegangan kepada sesiapa  yang mencintai ilmu. 
 NORDEN MOHAMED
Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini                                                                                
 
