ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

SISTEM PENGAJIAN PONDOK


SISTEM PENGAJIAN PONDOK

Dalam kertas ini, saya akan menolak sifat dunia ilmiah moden yang membentuk dua falsafah iaitu objektif dan subjektif. Berhubung dengan hal ini, semasa saya menghadiri Kongres Peradaban Malaysia (12-14. Jun. 2001), Prof. Dr. Khoo Kay Kim menyatakan bahawa alasan subjektif terhadap sesuatu perkara sering digunakan sedangkan kita berada di dunia ketiga yang tidak sama faham nilai dengan tasawwur dunia barat yang diasaskan pada materialisme. Dengan ini, dalam kertas ini, saya akan mencampur-adukkan yang dikatakan subjektif oleh pihak sistem ilmiah barat maka tetap objektif oleh pandangan sistem ilmiah Islam. Islam mengajar umatnya mencari haqqiyyah yakni apa jua yang mencapai kebenaran maka itulah objektif hidup kita seperti menghormati ulama sebagai syarat untuk keberkatan ilmu.

Pendahuluan

Islam pertama kali diwahyukan adalah di Makkah al-Mukarramah. Kemudian berkembang ke al-Madinah al-Munawwarah hingga tertubuhnya kerajaan Islam pertama di dunia dan juga sebagai lanjutan kepada kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Kedua-dua tempat ini juga amat berperanan dalam ibadah haji. Juga, sebagai tempat kenangan dan motivasi bagi seluruh umat Islam terutama kisah Nabi Ibrahim a.s. Dengan ini, sudah tentu sekali paling sesuai untuk dijadikan pusat pengajian Islam untuk seluruh umat Islam. Keberkatan di kedua-dua tempat ini juga amat berbeza berbanding tempat-tempat lain di dunia kecuali Bait al-Maqdis. Islam yang bersifat harmoni antara ilmu-penuntut dengan keberkatan tempat akan memberikan keupayaan luar jangkaan dan membentuk kekuatan rohani. Pengajian yang dijalankan di sini dikatakan berbentuk halaqah-halaqah. Institusi ini juga telah berjaya melalui era Nabi s.a.w. Khulafa` al-Rasyidin, Umayyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah hingga zaman Saudi. Di zaman Saudi, ia semakin mengecil dan berubah . . .

Allah s.w.t. berfirman:

يرفع الله الذيـن آمنوا منكم و الذيـن أوتوا العلم درجات .
Allah s.w.t. akan mengangkat orang-rang yang beriman dan orang-orang yang dikurniakan ilmu akan beberapa darjat.”
(al-Mujadalah: 11)

Nabi Muhammad s.aw. bersabda:

العلماء ورثـة الأنبياء
Para ulama pewaris para nabi.”

Penghormatan Allah s.w.t. kepada orang-orang yang berilmu amat tinggi apabila hanya dapat menunaikan tanggungjawabnya. Ilmu itu sendiri bersifat berpusat hanya kepada Allah s.w.t. manakala yang dimiliki oleh manusia hanyalah pinjaman sahaja. Diri ilmu itu tidak boleh dibelah bahagi tetapi untuk memudahkan manusia belajar maka ia dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti ilmu nahwu, ilmu tajwid, ilmu fiqh, ilmu tauhid dan sebagainya. Memang untuk mencapai tahap manusia yang faham maka ditetapkan oleh Allah s.w.t. perlu belajar. Maka melatih pewaris para nabi perlu adanya guru dan murid. Dalam sistem pengajian Islam zaman permulaan, Rasulullah r telah mengambil pendekatan mempelajari ilmu secara riwayat. Hadith yang terkenal sendiri juga telah menunjukkan tauladan di mana apabila malaikat Jibril a.s. bersoal-jawab dengan Nabi Muhammad r tentang iman, Islam dan ihsan, menekankan hubungan rapat dengan guru (yang dapat dikategorikan sebagai aspek keadaban). Dalam Pegangan Sejati Ahli Sunnah, halaman 99, saya telah memberikan tips-tips penyelamat diri yang difahami daripada sejarah awal umat Islam dan dunia pendidikan terutama aspek asasi iaitu mencari ilmu perlu berguru, sebagaimana hadith menyatakan:

العلم بالتعلم
Ilmu itu (didapati) dengan belajar.”

Amir al-Mukminin Fi l-Hadith Ibnu Hajar al-'Asqallani memperjelaskan istilah ta'allum sebagai "berguru bukan sekadar mentelaah kitab sahaja". Takrif berguru juga dapat diketahui melalui metode-metode periwayatan hadith seperti mendengar (sama'an), membaca (qara`tu), berunjuk-unjuk naskhah (munawalah) dan pendaripadaan (mu'an'anah) dan juga ijazah.

Ada juga hadith mutawatir berbunyi:

نَضَّرَ اللهُ امْرَءاً سَمِعَ مَقَالَتِى فَوَعَاهَا ثُمَّ أَدَّاهَا إِلَى مَنْ لَمْ يَسْمَعْهَا

Allah s.w.t. akan memberikan nikmat kepada seseorang yang mendengar ucapanku lalu dia peliharanya kemudian dia menyampaikan kepada orang yang tidak mendengarinya . . . .

Hadith ini membuktikan peranan belajar secara sama'i yang menduduki hierarki tertinggi dalam sistem pendidikan kaum salaf soleh. Salah satu nikmat dalam pembelajaran ialah keberkatan ilmu dan mudah faham. Ini bermakna kenikmatan tersebut melampaui batas alam zahiriah yang bersifat materialistik.

Kehadiran ajaran Islam di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah sudah tentu akan membentuk penyusunan semula dalam setiap lapangan hidup terutama tasawwur atau jurus pandang terhadap sesuatu perkara atau isu. Sekalipun setelah pembentukan kerajaan Islam Madinah, umat Islam digegarkan dengan perpecahan umat. Untuk mengukuhkan sikap Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ketika sedang dirempuh oleh fahaman perosak seperti Khawarij, Syiah Pelampau, al-Muktazilah maka Ahli Sunnah telah menyelidik apakah itu ilmu bagi ilmu. Dalam bahasa moden, ini disebut sebagai epistemologi atau kajian ilmiah tentang ilmu itu sendiri iaitu bagaimana sesuatu itu diberikan namaan sebagai ilmu. Dalam kitab al-Tauhid karya Abu Manshur al-Maturidi dan Maqalat al-Islamiyyin karya Abu l-Hasan al-'Asy'ari yang kemudian dikemaskinikah, dalam konteks peradaban ilmiah dunia Melayu, antaranya, termaktub dalam kitab berjudul Aqidah al-Najin Fi 'Ilm Ushuliddin karya Zainal 'Abidin bin Muhammad al-Fatani, katanya:

"Ketahui olehmu bahawa sebab mendatang dapat ilmu yang baharu itu tiga perkara:
   1.   khabar yang shadiq (benar) iaitu khabar Allah s.w.t. dan khabar Rasulullah s.a.w. dan khabar mutawatir sekira-kira sampai bilangan yang banyak yang tiada tasawwur pada akal muwafakat oleh mereka itu atas dusta.
   2.   aqal iaitu aqal yang sihat dan waras.
   3.   segala pancaindera yang lima yang sejahtera."

Inilah pegangan terasas agar diri tidak seperti lalang. Sebenarnya tasawwur atau world view masyarakat moden tidak menjunjung ketiga-tiga perkara di atas dan inilah punca pelbagai pemikiran yang penuh keraguan seperti munculnya faham pasca moden (sila teliti Pegangan Sejati Ahli Sunnah, halaman 22-26. Untuk mengetahui secara kasar kelemahan asas ilmu tamadun Barat, sila baca, Islamic Epistemology: An Introduction to the Theory of Knowledge in al-Quran (Epistemologi Islam: Teori Ilmu Dalam al-Quran), oleh Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (kini Setiausaha Agung Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam). Tujuan saya menekankan aspek ini kembali kerana sebahagian penulis Islam sendiri telah mengabaikannya hingga pembinaan paradigma ( أنـموذج ) amat rapuh. Sebenarnya tiga asas inilah yang mencabangkan pelbagai ilmu dan pengetahuan untuk digunakan pada setiap zaman dan tempat. Sifat inilah yang menunjukkan bahawa Islam itu kekal dan boleh diamalkan pada setiap masa dan tempat. Sebagai bukti, kalau seseorang saintis mengkaji bahan alam sudah tentu akan menggunakan akal dan pancaindera. Ini menunjukkan kajian ulama silam serta pemeliharaan serta pemberian nafas baru wajar sekali dihargai.

Selanjutnya, sebagai penyempurnaan dalam penurunan ilmu maka si pelajar perlu memiliki persediaan berikut:
·        aqal
·        ilmu
·        amal
·        hemah (al-Maslak al-Qarib li Kulli Salik Munib, Rabi'ul Awwal, 1346 H - yang diriwayatkan oleh guru kami daripada Syaikh Muhammad Shalih Idris al-Kalantani)

Empat perkara ini menjadi persiapan yang perlu dimiliki oleh para pelajar agar input (masukan) ilmu akan 'menjadi'. Demikian penerimaan ilmu secara turun-temurun terutama dalam konteks penghafalan dan pemahaman. Inilah yang juga menjadi paksi kepada kejayaan sistem pengajian ulama silam.

Tokoh ulama melayu tidak lupa juga mengarang tentang ilmu, peri penting dan adab-adabnya. Ini menunjukkan satu pendekatan yang namapk bersahaja tetap memberi kesan langsung kepada peradaban Melayu secara keseluruhan terutama untuk pembaca yang tidak mampu berbahasa Arab.

Antara karya sedemikian yang bersifat ibtida'i atau asas tentang ilmu, peri penting serta etika orang berilmu ialah karya berjudul Risalah Hidayah al-Mukhtar: Hadith Empat Puluh Syaikh 'Abdul 'Azhim al-Mundziri, yang diterjemahkan oleh al-'Allamah al-Syaikh Wan Hasan bin al-Syaikh Wan Ishaq al-Fatani. Karya ini diselesaikan dalam bulan Muharram, 1249 Hijrah, di Makkah al-Mukarramah, yang kini diterbitkan kembali oleh Khazanah al-Fathaniyyah, 1420H/1999M.

Metode pengajian silam juga bersifat tumpuan kepada mahaguru. Mahaguru dipusatkan dalam pengajian seperti para ulama lain belajar dulu dengan mahaguru utama kemudian barulah masing-masing menerajui halaqah-halaqah masing-masing. (sila baca al-Rihlah al-Hijaziyyah karya Muhammad al-Sanusi (1267/1851-1318/1900)). Dalam Kata Pengantar (25hb. Ogos. 2001) oleh Prof. Dr. Osman Bakar (Kursi Pengajian Islam Asia Tenggara di Georgetown University) kepada buku saya berjudul "Nafas Baru Hikmah al-Isyraq" menyatakan bahawa "perlu wujud kumpulan-kumpulan pengajian falsafah yang boleh kita rujuk sebagai halaqah falsafah. Kita perhatikan bahawa dalam tradisi pemikiran Islam sepanjang zaman, halaqah-halaqah yang tidak rasmi sifatnya inilah yang telah memainkan peranan yang penting dalam memajukan dan menyebarkan ilmu falsafah. Dalam konteks ini juga, saya berpendapat bahawa institusi pondok boleh menghidupkan semula peranan tradisinya sebagai pusat pengembangan ilmu falsafah". Mengikut pandangannya, semasa temubual di Pondok Lubok Tapah, sistem sukatan pengajian usuluddin klasik yang telah dikarang oleh ulama silam sebenarnya luas ruang lingkupnya merangkumi falsafah (seperti alam fizik). Sebenarnya sistem pengajian tradisional adalah penyumbang kepada pembaikan sistem pendidikan masa kini yang sedang menempuh 'krisis'. 

Untuk membuktikan bahawa sistem pengajian silam mempunyai kewibawaan tersendiri yang tidak sewajarnya dikutuk sebagai mundur dan jumud, setelah Sultan Muhammad al-Fatih menawan Konstantinopel, beliau telah membiayai pengajian yang merangkumi ilmu yang bersepadu dan sifat pengajian begini patut diteruskan oleh pondok. Dalam Jurnal Pemikir, Oktober-Disember, Prof. Dr. Idris Zakaria telah mengkritik ruang lingkup pengajian Islam di Tanah Haram serta mengkritik para ulama pondok yang tidak belajar falsafah maka umat Melayu mundur. Kenyataan ini terdapat beberapa kekeliruan yang mampu merosakkan wajah tamadun Islam-Melayu. Ini kerana apabila dikaji memang tidak didasarkan kepada sumber utama tetapi bersumberkan sekunder dan kalau dibiarkan maka sistem pengajian Islam silam dihukum secara tidak jujur dan tidak tepat dan sekaligus memberikan gambaran tamadun silam tidak menyokong kepada penyelidikan dan pembangunan. Sepanjang tinjauan saya, didapati ramai juga yang salah faham terhadap pendidikan aliran pondok. Oleh itu, pihak bertanggungjawab perlu menjelaskannya dengan menerbitkan buku-buku penting yang benar-benar mewakili aliran pondok. Apabila ini berjaya diselesaikan, Insya Allah, sistem pendidikan silam akan berwibawa kembali dengan wujudnya pertambahan para pelajarnya.


Peringkat Pelajar atau Pelapis

Ilmu tidak akan tersebar tanpa adanya pelajar yang berbakat. Dengan ini, pihak guru telah menggunakan pelbagai cara untuk menarik perhatian para pelajar dengan cara-cara yang tersendiri. Ada ulama yang mampu menggunakan firasat untuk membimbing keperluan seseorang pelajar. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh sama sekali memperlekehkan keistimewaan yang dikurniakan kepada umat Islam kerana metode inilah yang akan menyingkatkan masa secara praktikal kerana Allah s.w.t. lebih mengetahui kedudukan sebenar seseorang insan itu dan bagaimana untuk dididik. Dan, ini dapat diambil iktibar bahawa zikir-zikir tertentu diberikan kepada sahabat-sahabat tertentu. Inilah kepelbagaian yang perlu dihormati oleh mana-mana cara atau sukatan pelajaran.

Dalam pengalaman sejarah, tidak semestinya para pelajar yang pada usia mudanya lembab maka juga masa dewasanya lembab. Ini dapat dibuktikan bahawa Shalih bin Kaisan, seorang tokoh periwayatan hadith terkenal, mula mempelajari ilmu pada usia 90 tahun dan sempat mengajar di kemudian harinya hingga 160 tahun umurnya. Begitu juga, Albert Einstein agak lembap dalam pendidikan di peringkat awalnya tetapi cemerlang dalam pemikiran ilmiahnya di kemudian hari. Dengan ini, sistem pondok yang sememangnya tidak menghadkan umur dan peringkat pensijilan mempunyai kelebihan tersendiri untuk memupuk keupayaan yang sebegini dan mungkin, Insya Allah, akan mampu melahirkan tokoh yang dapat mewarnakan tamadun Islam, demi maruah Islam !!!

Bukti yang memperkukuhkan lagi iaitu Allah s.w.t. akan mengurniakan hikmah ilmu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa tahap dan untuk orang ini dia dapat kurniaan yang banyak. Inilah sifat sistem ulama silam yang berjaya mendidik umat. Ini kerana realiti manusia memang wujud sikap ‘sedar’ dan ‘sesal’. Maka pendekatan sistem pondok kini patut diperkaya dan diteruskan bukan direformasikan kerana manalah tahu individu yang lembab itulah yang akan membangunkan masyarakat Islam. Dengan ini, pihak Pusat Pembangunan Pondok Berhad sedang berusaha membentuk program-program bagi penyelidikan dan pembangunan yang sesuai dengan arus semasa.

Dalam buku al-Rihlah al-Hijaziyyah, para pelajar yang berjaya menamatkan kuliahnya akan diuji dengan menggunakan kitab-kitab tertentu lalu pihak pelajar perlu menghuraikan menurut apa yang difahaminya. Nampaknya, metode ini masih dipakai oleh generasi tok-tok guru di zaman kemerosotan dan semakin ditinggalkan juga oleh pondok di Malaysia. Gejala ini patut sekali diperbaiki.

Sistem pengajian yang kini turut ditauladani ialah pertandingan pidato ilmiah. Ini dapat disaksikan dalam ketokohan Syaikh Ahmad al-Fatani yang berjaya memenangi pertandingan membuat syair secara langsung ('live') di Makkah. Pertandingan semacam ini patut diteruskan untuk menguji kecekapan ilmiah di kalangan para pelajar. Para pelapis ini juga perlu dididik dan dibentuk untuk berupaya menulis pelbagai ilmu untuk dijadikan bahan bimbingan untuk seluruh umat Islam. Ini sebenarnya telah diusahakan oleh Syaikh Ahmad al-Fatani. Dan, saya telah dimaklumkan oleh al-Mu`arrikh Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir, pemilik Khazanah Fathaniyah yang dibentuknya adalah mengikut model kehendak datuknya, sebagai institusi pengkaderan.

Peranan Tokoh Dalam Memantapkan Sistem dan Pewarisan

Setelah ditinjau serba sedikit metode pengajian tradisional, elok kita tinjau pencapaian tokoh-tokoh Nusantara. Buat beberapa abad semenjak era Aceh, Pattani, Terengganu dan Melaka, pusat pengajian di Tanah Haram cukup bermakna kepada seluruh umat Islam di Asia Tenggara. Untuk kertas ini, saya akan mendekati penokohan kepada empat generasi.

Generasi pertama:
   1.   Syaikh Nuruddin al-Raniri (wafat 22hb. Zuhijjah. 1069H/21hb. Sept. 1658M)
Tokoh ini memang signifikan kerana mempunyai pelbagai karya yang membuktikan sistem pengajian yang diperoleh amat berjasa besar dan juga menunjukkan bahasa Melayu telah berjaya mempengaruhi dunia ilmiah tamadun Melayu. Perkembangan tokoh ini nampak dilihat dalam polemiknya dengan Syaikh Hamzah al-Fansuri.
   2.   Syaikh Abdurra`uf al-Fansuri
   3.   Syaikh Hamzah al-Fansuri, dan lain-lain.

Dalam generasi pertama, saya tidak mengenengahkan tokoh pengarang `Aqa`id al-Nasafi namun begitu telah saya senaraikan kitab-kitab usuluddin dalam buku saya berjudul Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengikut kronologi. Untuk penyelidikan tentang era ‘Aqa`id al-Nasafi, sila rujuk buku Syaikh Muhammad Naquib al-Attas.

Generasi Kedua:
   1.   Syaikh Abdus Shamad Palembang
Tokoh ini turut mendapat tempat di kalangan ulama Yaman. Dalam sebuah kitab (yang dimiliki secara ijazah oleh Tuan Guru al-Mufti Muhammad Nor bin Ibrahim), berjudul 'Uqud al-La`ali Fi Asanid al-Rijal, halaman 223-224, dinyatakan nama tokoh ini sebagai yang merangkul gelaran al-waliyy, al-fahhamah. Tokoh ini amat meminati kitab Ihya` Ulumiddin karya al-Imam al-Ghazali. Ulama Yaman bernama al-Sayyid Abdurrahman bin Sulaiman al-Ahdal bergurukan tokoh ini.
   2.   Syaikh Daud Patani
Mengikut pendapat Tuan Guru Hj. Wan Shaghir, tokoh ini dilahirkan pada tahun 1133H/1720M. dan wafat pada tahun 1297H/1879M. Penyediaan teks-teks terjemahan beliau banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat Nusantara.
   3.   Syaikh Muhammad Arsyad Banjar.
Dilahirkan pada tahun 1122 H/1710M dan wafat pada tahun 1227H/1812M. Kitab beliau yang terkenal ialah huraian terhadap matan al-Shirat al-Mustaqim karya Syaikh Nuruddin al-Raniri. Ini menunjukkan betapa penting keilmuan fiqh Syaikh Nuruddin al-Raniri.

Ketiga-tiga tokoh ini adalah bersahabat dan sering dikaitkan sebagai tiga tokoh serangkai.

Generasi Ketiga:
   1.   Syaikh Muhammad Zain Patani.
Tokoh ini amat berjasa dalam pemuliharaan kitab-kitab gurunya, Syaikh Dawud Patani. Pemeliharaan ini dapat menyumbang sebagai buku teks utama dalam mana-mana sistem pengajian pondok sejak beberapa abad lalu.
   2.   Syaikh Ahmad bin Muhamad Zain Patani.
Tokoh ini telah berjaya mendapatkan perkenan   pihak Khilafah Uthmaniyyah untuk membentuk syarikat matba‘ah di Makkah untuk cetakan kitab-kitab berbahasa Melayu. Apabila kitab-kitab tersebut dicetak maka akan memudahkan murid-murid mempelajari ilmu dengan mudah dan proses pengkaderan lebih berkesan. Tokoh ini amat peka dengan perkembangan semasa dan boleh ditarafkan sebagai seorang Tokoh Penyelidikan Dan Pembangunan Dunia Melayu. Berjaya menguasai 47 jenis ilmu pengetahuan. Sebenarnya manuskrip karyanya juga meliputi banyak bidang tetapi sayang ada sebahagiannya hilang. Sebagai seorang ulama yang mempunyai ilmu bersepadu, beliau turut dijadikan tempat rujukan oleh Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu. Ini menunjukkan keupayaan ilmu tradisional menjadi panduan hidup dalam segenap lapangan hidup. Di peringkat antarabangsa, tokoh ini telah dilantik sebagai Tokoh Bahasa Dan Sastera Arab Kerajaan Turki di Hijaz pada 28hb. Rejab. 1307H/1889M. (Syeikh Ahmad al-Fatani: Ulama Dan Tokoh Persuratan Melayu Dari Zaman Klasik Ke Arah Dunia Moden, Hj. Wan Shaghir, 1995)
   3.   Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau.
Tokoh ini mempunyai banyak karya dan juga mempunyai ilmu yang bersepadu. Seorang tokoh matematik Islam, Dr. Mat Rofa Ismail (U.P.M.) dalam tesis Ph.Dnya, Sejarah Aritmetik Dan Aljabar Islam, telah mengulas keterlibatan tokoh ini dalam dunia matematik amali. Ini menunjukkan tradisi ilmu di Makkah tidak hanya tertumpu kepada bidang-bidang agama malah menjangkau ke bidang akli. Kemungkinan tokoh ini akan dijadikan model suatu hari nanti dalam aspek teori matematik berteraskan gunaan dan kemanusiaan di mana pihak Sekretariat Falsafah Dan Sains Islam, U.S.M. telah mengulas semula dalam newsletternya, al-Hikmah, No. 7, 1999M/1420H.
   4.   Syaikh Nawawi al-Bantani. Tokoh ini banyak mengarang. Antara kitab terbaik karyanya ialah Tafsir Marah al-Labid.
   5.   Syaikh al-Muhaddith al-Musnid al-Faqih al-Ushuli Muhammad Mahfudz Termas. Mempunyai karya yang cukup penting. Wafat pada malam Isnin, 1hb.7. 1338 H. Tokoh ini turut dimasukkan sebagai ulama qurra` oleh Ilyas bin Ahmad al-Burmawi dalam Imta' al-Fudhala` Bi Tarajim al-Qurra` .

Generasi Keempat:
     1.   Tok Kenali
Tokoh ini berjaya menyepadukan antara keilmuan, penulisan dan pengurusan. Pendekatan ini berjaya memunculkan MAIK. Beliau menjadi tokoh yang berpengaruh dalam mewujudkan majalah Pengasuh sehingga pernah menjadi Ketua Pengarangnya. Tokoh ini telah banyak dibicarakan orang.
     2.   Syaikh Pak Da Eil (wafat 1965 M)
     3.   Mengikut keterangan guru kami, Pak Da mula mengajar ketika usia 16 tahun. Tokoh ini mempunyai kesepaduan ilmu dan bersifat tahqiq. Di atas sifat tahqiq inilah maka beliau melalui metode mengajar secara halus-halus atau 'lumat'. Syaikh Abdul Qadir al-Mandili pernah berpesan kepada guru kami, "mu, Abdallah belajarlah dengan Pak Da selagi hidup sebab dia orang tua banyak ilmu". 
Dalam kajian penulis yang terbaru, tokoh ini boleh diletak sebagai berperanan selaku pelapis ulung (min kibar ulama malayuwiyyah). Saya cuba berbicara tentang sains moden menggunakan pendekatan analisis Syaikh Pak Da terhadap al-maqulat al-'asyara. Kitab ini dipelajarinya daripada Syaikh Muhammad Ali al-Maliki dan Pak Chik Wan Dawud Patani. Huraian beliau banyak dipengaruhi pemikiran Syaikhul Azhar Hasan al-Attar. Tokoh Syaikhul Azhar ini telah mendapat perhatian dalam karya Prof. Dr. Osman Bakar sebagai tokoh model dalam era mutakhir Khilafah Uthmaniyyah. Saya berpendapat bahawa majoriti orang pondok mengikuti aliran pemikiran pembaharuan yang dilakukan oleh Syaikhul Azhar tersebut yang kini masih dipinggir dan diabaikan termasuk oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi.
     4.   al-Mufti Muhammad Nor bin Ibrahim. Tokoh ini amat berjasa dalam penyebaran Islam di Malaysia dan dikatakan mempunyai kedudukan kepopularan selepas Tok Kenali.
     5.   Tok Guru Abdullah Tahir Bunut Payung. Menyeragamkan kesatuan ulama dalam melahirkan kader-kader berilmu.
     6.   Tok Guru Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh. Pondok ini mempunyai ramai pelajar dan masih aktif. Pondok ini dikatakan sebagai lanjutan ilmu Tok Guru Hj. Abdullah Tahir Bunut Payung.

Memandangkan generasi keempat mudah untuk dikesan dan bahan bertulis masih boleh didapati maka ramailah yang dapat mengisi ruangnya. Bagi saya, para ulama mempunyai paradigma ala tasawwuf ketika memandangkan alam kosmologi. Inilah yang menyebabkan kitab-kitab tauhid sering menjadikan alam realiti sebagai bukti adanya Tuhan yang disebut Allah s.w.t. Ini juga membuktikan pendekatan ayat-ayat Makkiyyah tentang alam semesta menjadi asas pemikiran manusia. Antara tauhid dan tasawwuf perlu dijambatani oleh fiqh. Inilah ketiga-tiga asas ilmu yang berlegar-legar di Nusantara. Kitab-kitab fiqh  mengatur kehidupan sehingga pernah wujud pemerintahan Islam yang mengamalkan hukum-hakam Islam sepenuhnya di sebelah sini seperti zaman Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Jasa baik hasil didikan ulama silam maka kita mempunyai raja-raja yang berjiwa rakyat dan disayangi oleh rakyat jelata dengan keberkatan ajaran Islam. (sila baca Pensejarahan Melayu oleh Muhammad Yusof Hashim ; Hj. Wan Shaghir, 1995; dll)

Kesimpulan

Masyarakat pondok atau aliran tradisional perlu sekali mengekal budaya ilmu secara bersanad yang kini semakin diabaikan oleh institusi-institusi moden. Kita perlu memelihara perolehan keberkatan berilmu sebagai yang disebutkan dalam hadith lalu. Keberkatan sebenarnya memainkan peranan penting  dalam kejayaan sistem pengajian ulama silam. Berdasarkan apa yang telah disebutkan di atas juga menunjukkan bahawa ilmu-ilmu yang dipelajari dan diajari di Tanah Haram bersifat menyeluruh.

Menurut Prof. Dr. Azyumardi Azra, Rektor I.A.I.N. Syarif Hidayatullah Jakarta, dalam bukunya, Substantif Islam, “setelah bangunnya Arab Saudi sebagai sebuah negara maka jaringan ulama itu menyurut secara nyata. Terutama setelah wafatnya Syaikh Yasin Padang pada 1990”. Diharap kemerosotan ini tidak berpanjangan sehingga terhinggap pada pondok-pondok Nusantara. Sekalipun pembaharuan bisa dilaksanakan namun pemeliharaan kitab-kitab Melayu klasik wajar sekali menjadi tujuan utama pondok itu sendiri kerana kalau pondok semakin mengenepikannya maka siapakah lagi yang hendak diharapkan !!??

Akhir kata, saya meminta maaf kepada tokoh-tokoh dari pondok lain kerana tidak menyebutkan sumbangan mereka dengan  lebih persis lagi terhadap sistem pengajian ulama silam. Insya Allah, kalau diizinkan-Nya, akan dikemukakan di lain pembentangan. Sekian . . . Wallahu'alam.

( Selasa, 23hb. Okt. 2001)

Kertas kerja Hari Pondok SeMalaysia 1

oleh; Zaidi Abdullah
(Penyelidik/Pengasas Akademi Ulum Pondok & Pencerahan Tamadun)
tas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1 Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1 Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia
Bahan Bacaan:
Nota: Nota-nota kuliah guru kami.

Azyumardi Azra
          Islam Substantif: Agar Umat Tidak Jadi Buih
al-Imam al-Ghazali
          Ihya Ulumiddin
Mahir Abdul Qadir Muhammad Ali
          Musykilah al-Falsafah
Mat Rofa Ismail
          Sejarah Aritmetik Dan Aljabar Islam
Muhamamd Ja'far al-Kattani
          Nazhm al-Mutanathir Min al-hadith al-Mutawatir
Muhammad al-Sanusi
          al-Rihlah al-Hijaziyyah
Wan Mohd Shaghir
          Koleksi Karya Ilmiah (1989-1997)
Koleksi Kertas Kerja Ilmiyah (1990-1996) dan karya-karyanya yang lain