ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Penghayatan Ihsan


Gabungan ini, Islam, Iman dan Ihsan maka sempurnalah seorang itu dipanggil hamba Allah yang siddiq. Ia akan menghasilkan buah yang dapat membentuk kembali politik, ekonomi, sosial dan lain-lain aspek pembangunan ummah berlandaskan kesepaduan Ad-Din.

SYAIKH MURABBI

Memiliki Syaikh Murabbi yang jiwanya sudah memiliki syuhudiah, akan mempercepatkan lagi proses penyucian jiwa dari ananiah untuk mencapai hakikat ASWJ, dengan menerima talqin darinya untuk dibenihkan nur syuhudiah ke dalam jiwanya. Ia adalah barakah yang bertali sampai pada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.

Dalam masa yang sama, Allah boleh mengurniakan (syuhudiah) kepada sesiapa yang dikehendakiNya walaupun tanpa murabbi dan rantaian sanad. Namun untuk menjalani proses penyucian dan mencapai Asrar (rahsia-rahsia keTuhanan) yang halus-halus dalam tasawwuf, maka wajib memiliki murabbi agar tiada tersesat dari ASWJ dalam perjalanan rohaniahnya.

Tauladan ini ditunjukkan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang menjadikan Jibril a.s sebagai murabbinya ketika menuju kepada Allah dalam peristiwa Isra' Mikraj. Sesungguh pada segala sunnah Nabi tidak berlaku dengan tiada sengaja atau dianggap kecil, bahkan semuanya mempunyai pengajaran dan rahsia yang perlu dikaji, diimani dan diikuti untuk mencapai kejayaan dunia akhirat.

Bila memisahkan akar, batang dan dahan, pohon tersebut tiada makna dan tiada akan menghasilkan buah. Begitu juga memisahkan tiga rangkaian asas agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan juga akan membawa seorang itu beragama dalam keadaan tidak sempurna dan tidak akan menghasilkan keindahan buah yang dapat dipetik oleh masyarakat di sekelilingnya.

“ISLAM PLASTIK”

Pemisahan hanya pada sebutan sahaja, tapi hakikatnya untuk mendapat buah mempelam, akar, batang dan dan dahan diperlukan. Begitu juga untuk mendapat hakikat agama, ilmu akidah yang benar, ibadah yang benar dan pandangan mata hati yang benar perlu berseiringan tanpa ada satu yang terputus.

Buah yang didapati tanpa melalui pokok adalah buah plastik, begitu juga agama tanpa melalui tiga rangkain tersebut adalah ‘Islam plastik’. Nampak di luarnya sama, tetapi apabila dihampiri, tiada bau dan tak dapat dimakan.

Ramai orang dilihat pada zahir agamanya begitu bagus, tetapi apabila dihampiri, kita tidak mendapat manfaat melainkan keburukan akhlak yang penuh buruk sangka, fitnah, umpat keji, sombong, riak, dengki, tamak, lemah keyakinan, bergantung pada makhluk, mudah terpedaya, sukar untuk menghormati pendapat yang lain, kagum dengan diri sendiri dan lainnya. Ibarat buah keras yang tiada isi, dilihat pada zahirnya keras tetapi apabila dipicit sahaja sudah pecah. Ia disebabkan agama pada dirinya tiada isi yang berakar pada tauhid yang benar, ibadah yang khusyu’ dan jiwa yang memiliki perasaan kebersamaan dengan Allah atau mata hati yang memiliki cahaya seolah memandang kepada Allah (syuhud).

Hal ini bukan sahaja terjadi pada orang awam, tetapi juga pada mereka yang bergelar ulama, para ustaz atau ahli agama. Ini kerana mereka hanya memiliki maklumat agama tetapi tiada jiwa agama. Ia ibarat komputer yang memiliki segala data maklumat mengenai agama, tetapi tiada jiwa dan ruh agama.

ULAMA PUNCA PERPECAHAN?

Kesesatan akidah dan penyelewengan agama bermula daripada ulama kurun ketiga lagi sehingga berpecah pada 73 puak. Ia bukan dicetus orang awam tetapi dicetus oleh mereka yang dipanggil para ulama.

Berapa ramai hari ini yang menolak ilmu tasawwuf malah mengatakan ia tiada perlu diamalkan. Ramai di kalangan Tuan Guru pondok hari ini sendiri yang terkena virus wahhabi, qadariah dan muktazilah sehingga berfikiran seperti ini. Ilmu tasawwuf yang mereka pelajari hanya dalam bentuk maklumat, bukan untuk diamal dan dihayati, malah jiwa mereka kering dengan tasawwuf.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEizpWCYEGjSUtnWhg4S6087HJT_NtPrJFZ2rt8FXPyIIoEKbJZ6q9Ocv_SOXhzDqgOY4Z7Opg1hwIeG6Zygz9uguUPU4eRpVPVjIs6icHPY-3IjF8n5XWw8CWgyvlIlmDVW_gvoY9bS-YA/s1600/a2.jpg

Ini dinyatakan sendiri oleh Almarhum Syeikh Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah al-Fathani[1] kepada penulis ketika mengunjunginya satu ketika dahulu, bahawa “70% pondok di Malaysia dan Patani (Thailand) terkena virus wahhabi dan lari daripada asas yang didirikan oleh Syaikh Daud al-Fathani dan Syaikh Ahmad al-Fathani, ia disebabkan meninggalkan tarbiyyah tasawwuf.”

Kebanyakan pondok hari ini sudah menjadi seperti universiti yang hanya menekan pada aspek maklumat ilmu semata-mata tanpa adanya pentarbiyahan jiwa untuk mencapai nafsu Mutmainnah, pembinaan akhlak dan ibadah yang khusyu’. Lahirlah para ahli ilmu yang angkuh, mudah menghukum orang lain, berburuk sangka, terlarut dalam perbahasan fekah tetapi akhlak dan jiwa langsung tiada mencerminkan kerendahan diri, berbaik sangka dan kasih sayang.

Ada setengah tempat berlaku perpecahan, berpuak-puak dalam perebutan solat jenazah, penerimaan zakat dan sumbangan, perebutan kuasa mentadbir dan sebagainya, cela mencela kalangan para ustaz sehingga para murid berpecah belah walaupun berada pada pondok yang satu.

PENYELEWENGAN GOLONGAN TAREKAH

Begitu juga dengan golongan tarekah tasawwuf yang dilihat tiada memiliki sifat-sifat yang baik, angkuh, sombong, mudah menghukum, meringankan syariat yang jelas tiada khilaf, berebut untuk menjadi khalifah, bergaduh antara khalifah, khalifah tua terus mahu menguasai walaupun jahil dan banyak kesalahan. Ini disebabkan tarekahnya dipermulaan lagi bukan berdasarkan akidah yang benar dan bukan bermatlamat untuk mencapai kesempurnaan ASWJ. Tetapi yang dicari ialah maqamat, kasyaf, ladunni, karamah yang semuanya akan membawa pada ananiah dan menebalkan lagi cahaya qadariahnya!

Ramai yang sesat dalam tasawwuf apabila terkeliru dalam fahaman Wahdatul Wujud[2]sehingga menjadi JABARIAH (Tuhan semata-mata, manusia seperti kapas, tiada usaha ikhtiar), mencari kelebihan yang berpunca pada Qadariah, salah faham pada Ilmu Martabat Tujuh[3], terpengaruh dengan kitab Hakikat Insan Ahmad Laksamana[4]yang meringankan syariat. Malah ada juga fahaman yang menuju kepada persamaan agama dan lainnya.

Ini disebabkan kejahilan ummah hari ini yang tiada faham bahawa agama berdiri pada tiga asas yang bersepadu dan ia ibarat tapak yang kukuh bagi sebuah bangunan.

Ramai yang mendakwa mereka ASWJ (termasuklah diri penulis…), tetapi amalan dan cara berfikir, cara bertauhid, cara bercakap semuanya menuju pada qadariah, muktazilah malah jabariah yang sesat dan batil.

Maka untuk mencari ulama waris Nabi adalah sukar pada zaman ini. Pada zahirnya ilmu mereka betul, tetapi pada pengamalan dan pegangan, ramai di kalangan mereka yang tidak berada dalam ASWJ yakni pegangan NabisallaLlahu ‘alaihi wassalam dan para sahabat r.a.

Sesungguhnya zaman ini adalah fitnah, dan para ulama yang sesat ini adalah pembawa fitnah yang utama! Mereka menjadikan ummah ini bertuhan pada akal, mentafsir al-Quran dengan logik akal, menjauhi perkara kerohanian yang dianggap sebagai bida’ah, menolak adanya karamah dan barakah serta memusuhi jalan para auliya’ kerana dilihat tak sesuai dengan akal.

Mereka hanya melihat pada amal dan ilmu, terhijab dengan kitab-kitab sehingga merasa sudah cukup dijadikannya sebagai wirid. Perasaan ananiah amat tebal sehingga melihat dirinya yang alim sehingga merendahkan keilmuan orang lain. Mereka sanggup menukar agama dengan dunia, mereka lebih takut manusia daripada Allah, mereka lebih takut celaan manusia daripada celaan Allah, mereka lebih mencari pujian manusia daripada pujian Allah.

Ini adalah contoh sifat para ulama yang perlu dijauhi kerana mereka bukan ASWJ yang sempurna, malah tidak terlepas daripada muktazilah dan qadariah walau matan-matan kitab Asya’irah dihafal sekalipun.

Demi Allah, begitu sukar untuk menjadikan diri (penulis) sebagai seorang yang benar dalam ASWJ dan begitu sukar untuk mencari sahabat ASWJ di zaman ini. Sesungguhnya ASWJ bukan sekadar ilmu, kefahaman atau hafalan, bukan sekadar mengamalkan hukum, tetapi perlu memiliki cahaya hati yang menghasilkan adabiah yang tinggi dengan rukun Iman dan rukun Islam.

WaLlahu ‘alam.

_________________

1. Nama sebenar beliau ialah Hj Wan Mohd. Shaghir bin Hj Wan Abdullah bin Hj Wan Abdul Rahman bin Hj Wan Abu Bakar bin Wan Ma’aris bin Cik Wan Taksim al-Qumurani al-Juhuri al-Fathani bin Datuk Bendahara Lingkai al-Juhuri al-Fathani, iaitu Megat Seri dan Laksamana Johor. Ibunya Hjh Wan Zainab binti al-‘alim al-‘allamah Syaikh Wan Ahmad bin Syaikh Hj Wan Muhammad Zainal ‘Abidin bin Syaikh Hj Wan Musthafa bin Wan Muhammad Faqih bin Muhammad Zainal ‘Abidin @ Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin ‘Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau berasal dari keturunan al-Fathani, mengambil dari sebelah ibunya yang merupakan anak kepada ulama terkenal alam Melayu, Syaikh Ahmad al-Fathani. Lahir pada 17 Ogos 1945 di Pulau Midai, Kepulauan Riau, Indonesia. Pengasas Khazanah Fathaniah dengan penulisan dan transliterasi kitab pelbagai tajuk, menulis di akhbar, majalah, wawancara di media elektronik dsb, serta mengasaskan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (PENGKAJI) bagi tujuan pengumpulan, penyelidikan, penerbitan dan penyebaran khazanah Islam ulama dan tokoh silam dunia Melayu di rantau Asia Tenggara/Nusantara. Almarhum pulang ke rahmatullah pada 12 April 2008.

2. Wahdatul Wujud yang sesat ialah kefahaman bahawa “Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).” Adapun yang benar ialah “Seluruh makhluk yang wujud, pada asalnya tidak wujud (adam). Mereka (seluruh makhluk tersebut) akhirnya wujud apabila Allah SWT mewujudkan mereka. Maka, seluruh makhluk pada hakikatnya wujud dengan sebab kewujudan Allah SWT, kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t., nescaya tiada makhluk pun yang wujud ataupun meneruskan kewujudannya. ((Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai, kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t., adalah daripada Allah s.w.t., yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri)

3. Pembicaraan mengenai Alam Ahadiah, Wahdah, Wahidiah, Arwah, Mithal, Ajsam & Insan serta Nur Muhammad.

4. Difatwa sesat oleh JAKIM dsb, sila rujuk Fatwa Jabatan Mufti Selangor


Sumber: kuliah adden