ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Institut Strategik Kajian Wasatiyyah (ISKW) & Suruhanjaya Penasihat Agama Islam

ISKW tidak bertindih Majlis Fatwa Kebangsaan

PUTRAJAYA 11 Jun - Institut Strategik Kajian Wasatiyyah (ISKW) yang dicadangkan penubuhannya tidak lama lagi tidak akan bertindih peranannya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, institut itu hanya bertanggungjawab dari sudut menyebarkan kefahaman mengenai konsep wasatiyyah (kesederhanaan), manakala Majlis Fatwa Kebangsaan pula lebih kepada soal hukum agama Islam.

"Institut ini juga akan berperanan memberi penerangan dan menerapkan konsep itu bukan sahaja kepada umat Islam, malah penganut agama lain juga.

"Ia akan menerangkan bahawa konsep wasatiyyah bukan bermaksud kita meninggalkan dunia untuk mengejar akhirat, sebaliknya perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia (Nadi) di sini hari ini.

Penubuhan Institut Strategik Kajian Wasatiyyah itu merupakan salah satu daripada tujuh resolusi yang dicapai menerusi konvensyen dua hari tersebut.

Jamil Khir menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi perhatian yang tinggi terhadap penubuhan institut tersebut dan pengumuman mengenainya juga akan dibuat secara khusus nanti.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sentiasa bekerja sama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantau pergerakan rangkaian kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di negara ini.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memantau pergerakan yang boleh merosakkan keharmonian negara ini.

http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Konvensyen Wasatiyyah rumus tujuh resolusi

PUTRAJAYA 11 Jun - Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam di Nusantara yang berakhir hari ini, sebulat suara merumuskan tujuh resolusi untuk diberi perhatian oleh semua pihak.

Pengumuman ketujuh-tujuh resolusi itu dilakukan Setiausaha Ahli Jawatankuasa Resolusi Konvensyen Wasatiyyah, Datuk Abd. Manaf Ahmad setelah kesemua lima pembentangan kertas kerja pada konvensyen tersebut berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, resolusi pertama menyatakan fakta ilmiah yang ditemui membuktikan kehadiran Islam kepada masyarakat Nusantara bermula sejak kurun pertama Hijrah dan satu kajian saintifik diperlukan segera bagi memuktamadkan hakikat tersebut.

"Kedua, sejarah kedatangan Islam di alam Melayu secara langsung telah memupuk konsep amalan wasatiyyah dalam masyarakat selaras dengan tuntutan Islam yang syumul.

"Ketiga, keperluan untuk mendalami konsep wasatiyyah secara lebih menyeluruh agar dapat menghindari salah tafsir dan elemen kontradiksi dalam pemikiran masyarakat," katanya ketika mengumumkan resolusi tersebut pada majlis penutup konvensyen itu di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Konvensyen selama dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Nadi Dialog Malaysia (Nadi) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri para pemimpin negara, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemerhati politik serta mahasiswa.

Abd. Manaf berkata, resolusi keempat adalah melihat keperluan untuk menterjemahkan konsep wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan sebagai satu falsafah bangsa Melayu Nusantara termasuk dari sudut politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Beliau berkata, kelima, konsep wasatiyyah yang diamalkan oleh masyarakat Islam selama ini perlu diperkukuhkan sebagai teras agenda pengukuhan gagasan perpaduan ummah sejagat.

Resolusi keenam pula katanya, mencadangkan supaya sebuah institut strategik kajian wasatiyyah ditubuhkan bagi melaksanakan keperluan tersebut.

"Resolusi ketujuh menyatakan sebuah Suruhanjaya Penasihat Agama Islam yang bertanggungjawab kepada Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu ditubuhkan bagi memantau dan mendapatkan nasihat tentang isu terkini hal ehwal agama Islam secara lebih efektif," katanya.

http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm