ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Menghargai sumbangan tokoh sejarah


Menghargai sumbangan tokoh sejarah
ANUGERAH Felo Persatuan Sejarah Malaysia tidaklah sehebat Anugerah Juara Lagu atau Anugerah Festival Filem yang diraikan saban tahun. Tidak ada karpet merah, percikan bunga api atau sorak-sorai para penonton. Bagaimanapun penganugerahan yang diadakan pada Sabtu, 25 Februari lalu di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Sejarah, Kuala Lumpur dijalankan dengan tertib dan meriah.
Dalam acara tersebut, dinobatkan tiga tokoh sejarah yang banyak menyumbangkan tenaga dan jasa dalam bentuk penulisan, penyelidikan dan penggerak aktiviti sejarah tanah air.
Ini menggambarkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap mereka yang banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan bidang sejarah terus dijulang dan ditonjolkan. Tetamu utama majlis berkenaan ialah Tan Sri Mazlan Nordin, Tokoh Wartawan Negara dan felo penulis akhbar Mingguan Malaysia.
Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Omar Hashim menyatakan bahawa majlis penganugerahan Felo adalah kali ke-6 diadakan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).
Kali ini seramai tiga orang tokoh memenuhi peruntukan Perkara 8 Perlembagaan PSM bagi melayakkan mereka dianugerah Felo PSM. Tokoh-tokoh tersebut ialah Datuk Dr. Wan Shamsuddin Mohd. Yusuf, Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman dan Abd. Rahman Mohd. Ali.
Beliau mengharapkan anugerah itu akan menjadi pencetus semangat kepada pencinta sejarah untuk terus bergiat demi kepentingan dan menjaga warisan negara. Dalam masa sama PSM akan menjadi penggerak utama dalam memartabat dan memasyarakatkan sejarah serta perujuk berwibawa mengenai sejarah negara dan wilayah sekitarnya.
Penghargaan kepada penyelidik, penggiat, penulis dan aktivis sejarah oleh PSM perlu diberi pujian kerana bidang ini nampaknya tidak mendapat perhatian sewajarnya jika dibandingkan penghargaan kepada tokoh dalam bidang-bidang lain seperti sains, teknologi, ICT, perniagaan dan keusahawanan.
Malah mereka yang terlibat dalam bidang hiburan seperti nyanyian, komedi, muzik, teater, filem dan lakonan mendapat perhatian dan pengiktirafan yang lebih besar. Oleh itu, sudah sampai masanya kita memberi penghargaan lebih besar kepada penggiat dan aktivis dalam bidang sejarah kerana peranan mereka turut melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Penyelidikan, penemuan baru dan penulisan mereka memberi kesan yang besar kepada pembentukan identiti dan jati diri bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Sering dikatakan sejarah masa lampau boleh dijadikan contoh atau teladan untuk tindakan pada masa hadapan.
Peranan yang dimainkan oleh ketiga-tiga tokoh anugerah Felo PSM kali ini tidak kurang pentingnya. Wan Shamsuddin yang dilahirkan pada 1932 sekarang berusia lebih 80 tahun membuat banyak penyelidikan tentang dokumen lama di antaranya ‘Surat Menyurat Zaman Sultan Abdul Hamid, 1882-1943' yang merupakan manuskrip Jawi koleksi Arkib Negara Malaysia cawangan Kedah dan Perlis.
Berdasarkan 12 buah artikel hasil kajiannya berkaitan manuskrip itu telah termuat dalam Warta Darul Aman yang akhirnya mendapat pengiktirafan ‘The Memory of the World’ sebagai salah sebuah manuskrip warisan dunia daripada pihak UNESCO pada 2001. Beliau juga terlibat dalam pembentangan lebih 50 kertas kerja dalam seminar, forum dan ceramah yang berkisar pada sejarah, budaya, sastera dan tokoh ulama Kedah silam.
Di antara kajian beliau yang mendapat perhatian ramai adalah membuat pengesahan keturunan legenda rakyat Kedah, Puteri Mahsuri di Kampung Kemala, Phuket, Thailand pada 1988 setelah Wan Aishah, generasi ketujuh Mahsuri ditemui di sana. Sumbangan lain adalah berjaya menemui masyarakat Melayu Kedah di Desa Jaring Halus, Kebupaten Langkat, Sumatera Utara yang berjumlah 600 orang yang masih bertutur dalam dialek Kedah.
Sementara itu, beliau juga telah membuat kajian tentang kehidupan ‘Orang Laut’ Pulau Adang di Laut Andaman yang dikatakan menjadi milik Kedah suatu masa dahulu. Beliau menyarankan supaya lebih banyak kajian dilakukan terhadap sejarah dan budaya penduduk selatan Thailand bermula daripada Segenting Kra hingga ke sempadan negara kerana terdapat banyak persamaan dengan sejarah dan budaya kita.
Dr. Nik Hassan yang bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia pula telah menulis lebih 150 buah artikel dalam pelbagai jurnal dalam negeri dan antarabangsa di samping menghasilkan 50 buah buku.
Kebanyakan kajian sejarahnya berasaskan bidang arkeologi yang dikatakan kaedah penyelidikan yang berkesan terutama jika ketiadaan dokumen yang berkaitan dengannya. Untuk membuat kajian arkeologi yang lebih jitu dan berkesan beliau telah menjelajah hampir seluruh negara Asia Tenggara.
Tokoh yang ketiga ialah Abd. Rahman yang kini berusia 71 tahun, bekas seorang pendidik. Beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia sejak 1970-an hingga sekarang.
Di antara sumbangan beliau adalah menjadi Pengerusi Jawatan Kuasa Pertandingan Sejarah yang mengendalikan Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme serta Pertandingan Menulis Sejarah Malaysia yang melibatkan ramai pelajar di peringkat sekolah dan universiti.
Aktiviti tersebut telah dapat menyemarakkan kesedaran pelajar dan siswa tentang kepentingan sejarah terutama di kalangan pelajar sekolah.
Sesungguhnya penganugerahan Felo PSM ini akan meningkatkan perhatian masyarakat terhadap kegiatan penyelidikan dan penulisan sejarah tanah air. Ia perlu diteruskan bagi memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah memberi banyak sumbangan dalam menggerakkan aktiviti sejarah.
Diharapkan dalam keghairahan mengejar kemajuan dan pembangunan maka jangan pula kita meminggirkan aktiviti berkaitan sejarah tanah air.
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Utusan Malaysia 29 Februari 2012