ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Kerajaan Melayu Melaka diasaskan Pada tahun 1262


Kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1262

Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
bhsastera@nstp.com.my
2010/06/09


Pengkaji tolak pandangan Tom Pires yang disepakati Barat

PANDANGAN penulis Barat, Tom Pires yang meletakkan tarikh Kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada sekitar 1399 dan 1400 yang selama ini dipegang dalam teks sejarah kita, akhirnya disanggah apabila sarjana dan sejarawan tempatan mendedahkan penemuan baru bahawa kesultanan itu bermula pada 1262 Masihi. Pendedahan yang dibuat di Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran Kerajaan Negeri Melaka di Tanjung Kling, baru-baru ini, bukan saja menolak pandangan penulis berbangsa Portugis terbabit, bahkan turut menafikan tahun penubuhan pada 1278 seperti pendapat sebahagian sejarawan. Seminar yang diselenggara oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) itu, berkongsi perkembangan baru dan menarik melalui pendedahan oleh sepasukan penyelidik yang merangkumi pakar dan tokoh sejarah negara yang dilantik oleh kerajaan negeri terbabit.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Ketua Jabatan Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali itu, sebulat suara bersetuju tarikh yang tepat adalah berdasarkan kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu dengan Sultan Iskandar Syah sebagai pemerintah pertama.

Prof Abdullah Zakaria berkata, keputusan penting yang dibuat itu, berdasarkan penelitian mendalam yang dilakukan penyelidik dalam pasukannya itu termasuk melalui naskhah di Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan UM, selain mengadakan penyelidikan ke Indonesia untuk mengumpulkan maklumat yang tepat.

“Ia susulan daripada penyelidikan berterusan selama setahun sejak Jun tahun lalu dengan kajian turut dilakukan berdasarkan sumber bertulis, artifak dan lisan, selain penyelidikan di Indonesia itu.
“Saya sendiri sebelum ini membuat penyelidikan ke beberapa tempat di Indonesia seperti Palembang dan Jambi di Sumatera Selatan, selain Padang dan Batu Sangkar di Sumatera Barat,” katanya ketika membentangkan penemuan itu di seminar terbabit.

Beliau berkata, penyelidikan di Indonesia turut merangkumi lokasi seperti Pulau Bentan, Kepulauan Riau dan Pulau Penyengat, Pulau Singkep serta Pulau Lingga.
“Hasil penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan kami ini menolak dakwaan oleh penulis terdahulu, Tom Pires bahawa kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada sekitar 1399 dan 1400 Masihi,” katanya.

Selain Prof Abdullah Zakaria, pasukan penyelidik ini turut dianggotai Naib Canselor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (Kuim), Prof Emiratus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim; Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Dr Mohamad Redzuan Othman; Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains UM, Dr Zulkarnain Abd Rahman dan Pengerusi Program Sejarah, Politik dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nordin Husin.

Kumpulan penyelidik itu turut dianggotai Prof Emiratus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Lim dari Jabatan Sejarah UM; Prof Dr Noriah Mohamad dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Prof Madya Dr Abd Rahman Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Madya Ubaidilah Muhammed dari Jabatan Pengajian Tiong Hua UM.

Pada seminar itu juga, keputusan mengenai tarikh 1262 sebagai tarikh pengasasan Kerajaan Melayu Melaka dipersetujui pada seminar yang turut mendapat kerjasama daripada UM, UKM dan Kuim.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata pihaknya menerima pakai hasil kajian oleh kumpulan penyelidik terbabit, sekali gus menganggapnya sebagai muktamad.

“Rumusan yang dibuat oleh kumpulan berkenaan menolak 1400 dan 1278 sebagai tahun wujudnya Kerajaan Melayu Melaka kerana kesepakatan sarjana Barat sebelum ini termasuk dari Portugal bukan berdasarkan fakta sejarah.

“Keputusan ini adalah muktamad selepas semua penyelidik yang dilantik sepakat menerima penemuan baru ini dan menolak pendapat terdahulu kerana tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan didapati tidak mempunyai ciri dan fakta kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka,” katanya.

* kajian sejarah harus berpaksi kepada fakta sebenar dan dari perspektif kita....
kembalilah kepada hakikat leluhur bagi perjuangan Melayu Islam dan peradaban Insani.
''Siapa tahu Sejarah nescaya tahu masa hadapan'
Saya juga seorang ahli Persatuan Sejarah Malaysia.