ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

ISLAM DAN PEMBINAAN PERADABAN DI KAWASAN TIMUR LAUT

بسم الله الرحمن الرحيم
ISLAM DAN PEMBINAAN PERADABAN DI KAWASAN TIMUR LAUT
OLEH:
MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY
 
Negeri Kelantan (11)
 
Tanpa pergi kepada asal usul negeri Kelantan dan yang bertalian dengannya dari segi sejarah, memadailah kalau dikatakan bahawa Kelantan merupakan sebuah negeri yang banyak memainkan peranannya dalam perkembangan Islam dan budaya ilmunya serta juga perkembangan kehidupan mengikut tuntutan agama Islam. Sampai sekarang negeri Kelantan dengan rakyatnya yang penuh iltizam dengan agama jelas diambil kira sampai dalam kalangan mereka yang melihat dari segi kepentingan siasah cara sekarangpun faktor ini diambil kira untuk menjayakan rancangan-rancangan yang hendak direalisasikan dengan berkesan.
 
Dalam bukunya Detik2 Sejarah Kelantan, pengarangnya membicarakan beberapa aspek kehidupan yang selain daripada peristiwa-peristiwa siasah berkenaan dengan hubungan dengan Siam, British dan perkembangan-perkembengan yang sepertinya. Disentuh oleh beliau umpamanya bagaimana Majlis Ugama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan ditubuhkan dengan inspirasi daripada seorang ulama terkenal iaitu To’ Kenali, pada tahun 1915, dengan tujuan:
 
‘Untuk menjayakan’ Ugama itu ialah tiap-tiap perkara yang bergantung dengan Ugama Islam yang mendatangkan muslihat kepada sekelian anak2 negeri kita, dan menambahkan kebajikan Kelantan, dan kita kehendaki dengan ‘Istiadat Melayu’ itu ialah yang melengkapi atas ‘adat dan adab Melayu elok yang sayugiya dipelihara akan dia mengikut peredaran masa. Apakala kamu sekelian mengerti akan tujuan yang tersebut itu, hendaklah tiap2 seorang daripada kamu berfikir pada tiap-tiap perkara yang bergantung dengan majlis ini kerana manfaat kepada yang ramai dan mendatangkan muslihat bagi negeri … (hlm 124).
 
Antara perkembangan yang berlaku ialah pembukaan sekolah Arab pada tahun 1917 oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diberi nama Madrasah Muhammadiyyatul-‘Arabiyyah bertempat di bangunan Majlis Ugama Islam. Kemudiannya menjadi Maahad Muhammadi di Kelantan, yang berada di Merbau itu, kemudiannya ada cawangan-cawangannya seperti di Jalan Pengkalan Cepa. Sekolah ini memberi pelajaran dalam agama, Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris. Ianya melahirkan pegawai-pegawai kerajaan, pengarang-pengarang yang bertanggungjawab.
 
Dalam hubungan dengan wawasan pendidikan yang dibawa oleh To’ Kenali terdapat kenyataan yang menarik (13):
 
Di Kelantan, suasananya agak berbeza (daripada apa yang berlaku di Pulau Pinang dan lainnya dengan pengaruh Muhammad Abduh dan yang sepertinya - p) kerana ia merupakan seat of learning dalam bidang pendidikan Islam. Semasa kepulangan Tok Kenali dari Mekah (1910) sudah terdapat beberapa pusat pengajian agama (pondok) yang diasaskan oleh ulama-ulama terkenal seperti Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal), Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdullah (Tok Padang Jelapang), dan juga Haji Abdul Rahman bin ‘Uthman (Tok Selehor Palekbang) .Di Masjid Besar Muhammadi juga terdapat pengajian pondok yang dikendalikan oleh beberapa ulama terkenal di Kota Bharu. Namun semua institusi pondok tersebut menumpukan perhatian dalam bidang agama sahaja seperti Tafsir, Hadith, Feqah, Tasauf dan ilmu bahasa (Nahu /Saraf/Balaghah).
 
Walaupun Tok Kenali banyak terpengaruh dengan konsep islah yang diperjuangkan oleh Muhammad Abduh, namun di peringkat awal beliau sendiri turut mempraktikkan sistem lama iaitu dengan membuka pondok dan mengajar mata-mata pelajaran nahu, tauhid, tasauf dan tafsir, seperti pondok-pondok lain juga. Akan tetapi selepas beliau berpindah ke Kota Bharu, (1915) pandangannya telah berubah, terutama setelah beliau diberi kepercayaan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan Haji Nik Mahmud untuk merancang penubuhan Sekolah Ma’ahad al-Muhammadi dan merangka kurikulum yang sesuai dengan institusi yang agak moden itu.
 
Di sinilah Tok Kenali mengislahkan sistem pendidikan agama dengan memasukkan beberapa subjek baru seperi: Sejarah, Geografi, Bahasa inggeris, mantik (Logik), Adab (sastera), Jalan Perdagangan dan Ilmu Pidatu. Sementara subjek-subjek yang biasa diajar di institusi pondok seperti feqah, usuluddin (tawhid), faraidh, dan ilmu-ilmu bahasa Arab tetap menjadi subjek utama sekolah tersebut.
 
Dalam memberi komen tentang kebijaksanaan Tok Kenali dalam mengislah pendidikan ini penulis tersebut membuat kenyataan seperti berikut (14)
 
Sebenarnya apa yang menarik dalam membicarakan pendekatan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Tok Kenali ini ialah: beliau tidak mengambil sikap yang radikal dan terburu-buru dalam mengislahkan pemikiran umat Islam di Kelantan, seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh islah yang lain. Sebaliknya beliau cuba menyampaikan ideanya dengan cara yang sederhana dan penuh hikmah. Dari segi tindakan jelas apa yang dilakukan oleh Tok Kenali itu jauh lebih lembut daripada cara yang diambil oleh Muhammad Abduh. Oleh sebab itu Tok Kenali tidak mempunyai musuh walaupun mempunyai perbezaan idea dengan ulama-ulama yang lain di Kelantan.
 
Dalam hubungan dengan tokoh Tok Kenali sebagai ahli agama yang sederhana hidupnya tetapi yang disertakan dengan tujuan perjuangan yang besar penulis ini membuat kenyataan yang menarik bagi orang yang mahu berfikir tentang pembangunan di Kelantan:
 
Sebagai seorang reformis, Tok Kenali mempunyai wawasan perjuangan yang amat unik dan futuristik sifatnya. Beliau dapat melihat secara jelas permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam khususnya dan anak-anak Melayu yang terlibat dalam sistem pendidikan tradisional pada masa itu. Permasalahan ini mula wujud bilamana penjajah British memperkenalkan sistem pendidikan sekular yang berorientasikan pasaran kerja….
 
Menyedari hakikat inilah maka Tok Kenali sanggup turun padang bagi mengislahkan sistem pendidikan agama dengan mengemukakan alternatif penubuhan institusi pembelajaran moden yang menggunakan kurikulum bersepadu iaitu cantuman di antara pelajaran agama dan akademik. Ini bermakna dari segi persekolahannya ia bermodelkan Barat, tetapi dari segi pengisiannya ia berorientasikan Islam. Eksperimen pertama yang dilakukan oleh Tok Kenali dengan penubuhan Ma’ahad al-Muhammadi itu telah memberi kesan yang positif dan berjaya mengurangkan jurang perbezaan di antara golongan yang berpendidikan Barat dan berpendidikan agama. Ini terbukti setelah ramainya pelajar lepasan Ma’ahad al-Muhammadi berjaya menyambung pelajaran mereka ke peringkat tinggi dalam berbagai jurusan.
 
Tentang Tok Kenali menggabungkan sifat zuhudnya dengan semangat perjuangan yang tepat dan kental penulis ini menyatakan: (15)
 
Maka untuk menyaingi bangsa yang maju maka Tok Kenali menyarankan orang Melayu mengubah sikap malas dan lalai kepada rasa tanggungjawab untuk memartabatkan bangsa sendiri. Ini mesti dilakukan dengan penumpuan kepada penggelidahan ilmu pengetahuan secara menyeluruh di samping mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri dan mempunyai objektif yang jelas dalam semua hal.
 
…Tok Kenali cuba menampilkan beberapa contoh tentang kejayaan yang dicapai oleh bangsa asing terutama Eropah dengan tujuan untukmenimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam supaya tampil ke hadapan bagi membela maruah bangsa dengan cara mengubah sikap dan persepsi yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Namun demikian, segala perubahan itu mestilah berlaku secara seimbang di antara kepentingan dunia dan akhirat. Sementara kepada golongan yang mengenepikan kepentingan dunia dengan hanya menumpukan kepada kerja-kerja keakhiratan sahaja Tok Kenali menjelaskan bahawa tindakan sedemikiian adalah tidak tepat, kerana harta kekayaan juga adalah penting untuk memenuhi keperluan manusia. Demikian juga dengan golongan yang hanya menumpukan kerja-kerja keduniaan sahaja, mereka dianggap sebagai golongan yang rugi kerana ilmu, harta dan amal perlu seimbang.
 
Sungguhpun dari segi pandangannya Tok Kenali kelihatan begitu progresif, tetapi dalam menjalani hidup harian beliau tetap mengamalkan tradisi orang-orang sufi yang hidup secara sederhana tanpa menunjukkan sebarang sifat riya’ dan takabur. Di sinilah terletaknya kekuatan jiwa Tok Kenali kerana beliau berjaya membuktikan kezuhudannya sebagai seorang ulama tanpa terpengaruh dengan pangkat serta kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat. Faktor ini selalunya menjadi dilema kepada sesetengah ulama kerana kesukaran menyelaraskan bikinan dengan cakapan. Dan akibat daripada perwatakan sufi yang dihayati oleh Tok Kenali ini menyebabkan sebahagian daripada peminat-peminat islah atau pembaharuan menjadi bingung kerana wujud percanggahan antara idea dan perwatakan Tok Kenali.
 
Dalam hubungan dengan pendidikan Inggeris di Kelantan, yang diperlukan untuk melatih pegawai-pegawai yang menggunakan Bahasa itu dalam pentadbiran negeri Kelantan, maka akhirnya kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan untuk membuka Sekolah Inggeris, Ismail English School, tahun 1931, tetapi oleh kerana keperluan dana yang terlalu besar, ianya dibatalkan pada waktu itu. Akhirnya pada tahun 1936 baharulah dibuka Sekolah Inggeris itu - Ismail English School - dengan mula-mulanya menggunakan bangunan di Padang Garong, Kota Bharu. Selepas itu baharulah diadakan bangunannya yang tersendiri. Walaupun dicuba oleh pihak cerdik pandai untuk membuka jenis pendidikan yang setinggi-tingginya, bukan terhad untuk mendidik para pegawai tadbir sahaja, usaha waktu itu menjadi terhad sahaja, sesuai dengan kehendak British. (10A). Dengan itu maka diadakanlah Sekolah Ismail itu peringkat rendah, menengah dan menengah atas dengan menggnakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dengan itu bermulalah pendidikan Inggeris di Kelantan. Bahagian tertingginya dinamakan kemudiannya sebagai Maktab Sultan ismail. Kemudiannya diadakan tingkatan enam sebagaimana yang ada sekarang dengan mata-mata pelajarannya.
 
Berhubungan dengan persuratan Islam, pada tahun 1918 lahirlah majalah “Pengasuh” diterbitkan oleh Majlis Ugama islam dan Adat Istiadat Kelantan. Ketua pengarangnya ialah To’ Kenali dengan pilihan Majlis sendiri. Majalah itu mengandungi bahan-bahan tulisan menyentuh perkara-perkara berkenaan dengan agama, pendidikan, dan juga pengetahuan umum.
 
Pada tahun 1922 ditubuhkan Masjid Muhammadi yang menjadi pusat ibadat dan pendidikan di Kelantan.
 
Berhubungan dengan perkembangan bahasa Melayu, maka di Kelantan ditubuhkan Dewan Bahasa Melayu pada tahunh 1933 yang diadakan demi untuk memaju, mengembang dan meninggikan bahasa ibunda.
 
Pemimpin Dewan itu ialah Tengku Mahmud Mahyuddin sebagai Yang DiPertuanya, (beliau Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan tahun 1934-1941), dan setiausahanya ialah Sa’ad Shukri b. Hj Muda. (16).
 
Dalam bidang pelajaran disebut bagaimana Kelantan menghantar Nik Ahmad Kamil Hj Nik Mahmud untuk mempelajari undang-undang di England pada tahun 1926 dan pada tahun 1931 dihantarkan pula dua orang putera Kelantan iaitu Tengku Indera Putera dan Tengku Abdullah bin Tengku Hassan untuk melanjutkan pelajaran dalam ilmu undang-undang.
 
Berkenaan dengan bidang persuratan dalam buku Detik2 Sejarah Kelantan didapati maklumat-maklumat yang boleh dimanfaatkan. Antaranya disebutkan (17) bahawa selain daripada cerita-cerita sejarah tempatan dan cerita-cerita kebangsaan oleh penulis-penulis yang bertugas di dalam dan di luar istana, ada karya-karya yang banyak dihasilkan oleh pengarang-pengarang agama dan pengarang-pengarang dalam bidang umum, termasuk juga mereka yang mengarang cerita-cerita rakyat yang menjadi hiburan kepada orang ramai. Selain itu ada diterbitkan majalah-majalah di Kelantan.
 
Pada tahun 1923 diterbitkan majalah Al-Hikmat (Pengetahuan) yang dewan redaksinya diketuai oleh En.Ahmad Isma’il yang bergelar Dato’ Lela Negara, yang banyak menulis dan menerima nasihat daripada To’ Kenali; majalah ini diterbitkan tiga kali sebulan.
 
Kegiatan dalam persuratan ini semakin bertambah dengan terbitnya majalah Terot pada tahun 1927, di Pasir Putih oleh New Club. Kemudian pada tahun 1929 lahir pula akhbar Putera terbit dua kali sebulan oleh Putera Kelab. Ketua pengarangnya ialah Abd Kadir Adabi Muhammad dengan penolongnya Sa’ad Shukri bin Hj Muda. Pada bulan April 1930 lahir pula majalah Kencana usaha oleh Siti Maryam Sa’adi yang memuat bahan-bahan sejarah tempatan. Sayang ianya terhenti selepas beberapa keluaran.
 
Tahun 1933 dengan kematian To’ Kenali, ketua pengarang kehormat Pengasuh dan anggota ahli majlis Ugama yang kanan suasana menjadi muram. Dengan kewafatannya juga bermakna hilangnya seorang wartawan. Selain itu pada tahun 1939 meninggallah Dato’ Laksamana iaitu Tuan Hj Muhammad bin Haji Mohd Said, yangt cergas dalam persuratan semenjak 1921 lagi. Beberapa karangannya diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Kelantan.
 
Berkenaan dengan pendidikan pondok di negeri Kelantan, ianya merupakan sebahagian yang paling menarik dan mendalam kesannya dalam kehidupan Islam di kawasan ini. (18) Dalam tulisannya dalam Warisan Kelantan X, 1-25 Sdr Ismail Che Daud ada menyenaraikan ulama Kelantan yang terkenal dalam menjalankan pendidikan podok seramai 285 orang semuanya mulai dengan mereka yang bergiat dari tahun 1870an yang beliau sebutkan sebagai tahap I dalam menjayakan sekolah pondok ini dengan menyebut pusat-pusatnya berada di Kota Bharu, jajahannya, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tumpat, Machang, Pasir Putih, Tanah Merah.
 
Antara mereka yang disebutkan yang lahir dari sistem ini ialah Dato’ Lela Negara iaitu penterjemah, pengarang dan penerbit yang terkenal itu, tokoh pentadbiran ahli agama, dan pengarang terkenal Dato’ Laksmana iaitu Hj Muhammad bin Hj Muhammad Said Khatib, Kota Bharu, iaitu beliau ini, murid kepada Dato’ Muhammad Ghazali bin Muhammad Ariffin Singapura, dan Syaikh  Ahmad al-Fatani Makkah, Syaikh Nik Mat Kecik Makkah, dan lainnya; penterjemah, pengarang, sejarawan ahli siasah dan guru pondok, iaitu Hj Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh, Jitra, Kedah, murid To’ Kenali, Hj Ahmad Maher Mufti Kelantan, dan Hj Abdullah Tahir Bunut Payung, Kota Bharu, dan lainnya. Termasuk ke dalamnya tokoh seperti Syaikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi, berasal dari Perak, murid kepada To’ Kenali dan lainnya. Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Malaysia. Antaranya termasuk tokoh terkenal Syaikh ‘Uthman Jalalul-Din Sering yang berpindah ke Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang murid To’ Kenali dan lainnya.
 
Antara tokoh-tokoh yang diberikan latar belakang pendidikan mereka yang menunjukkan hubungan yang rapat antara Kelantan, Petani, Terengganu dan Mekah, ialah seperti berikut. (19).
 
Hj Abdul Malik bin Hasan (men. 1934) Sungai Pinang, mengaji di kampungnya di Sungai Pinang, Kelantan, kemudian pergi memondok ke Petani, kemudian pergi ke Mekah, akhirnya pulang ke Kelantan. Pondoknya di Sungai Pinang berjaya melahirkan tokoh-tokoh seperti Hj Ibrahim To’ Raja dari Penambang, Kota Bharu, Hj Yusuf Pulau Ubi, Hj Muhammad Akoib Kelar dan Hj Ali Pulau Pisang.
 
Tok Jerulong, atau Hj Muhammad Said bin Muhammad (men. 1939) di Salor, Kelantan. Selepas mengaji di Kelantan terus mengaji di Mekah selama suku abad, bila pulang membuka pondoknya di kampung. Salah seorang muridnya yang terkenal ialah Lebai Deraman bin Muhammad yang masyhor di Pasir Mas, Kelantan.
 
Tok Selehor atau Hj Abdul Rahman bin Hj Uthman, (men. 1935) terkenal sebagai peminat silat, selepas belajar di Petani pergi ke Mekah, kemudian pulang membuka pondok di kampungnya. Terkenal sebagai penghurai kitab Hikam. Antara muridnya yang terkenal ialah Pa’ Su Wel Kampung Dangar, Pasir Mas, Hj Wan Abdul Latif Jerteh, antaranya Hj Abdul Rahman Tasawwuf Wakaf Bharu.
 
Tok Jelapang, atau Hj Wan Ahmad bin Hj Wan Abdul Halim (men. 1935) mula-mula belajar di Petani, kemudian terus belajar di Mekah, kemudian kembali ke Kelantan membuka pondok di Palekbang. Kemudian pindah ke Padang Jelapang Pasir Mas. Antara murid kanannya ialah Tuan Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah, Hj Abdullah Lai, Hj Abdul Ghani Kubang Bemban, Hj Hasan Lemal, Hj Abdullah Kampng Laut, semuanya di Pasir Mas, melainkan yang terakhir. Kemudian pergi menetap di Sungai Golok dan meninggal di sana.
 
Tok Seridik, atau Hj Saman bin Awang Senik (men. 1935) pengasas pondok Kuala Nipah, Bachok; dalam 1890an merantau ke Petani, menumpang perahu pedagang berulang alik antara Terengganu dengan Petani. Tahun 1894 baru memondok di Seridik, kemudian berpindah ke pondok Hj Abdul Latif garak, akhirnya berjaya menjadi orang alim. Akhirnya pergi ke Mekah. Kemudian pulang ke Kelantan di penghujung Perang Dunia I dan membuka pondok di Nipah, Bachok. Antara muridnya ialah Hj Abdul Muttalib Bukit Abal, Hj Daud Limbat, Hj Yaakub Nipah, Hj Yaakub Kampung Cengal.
 
Haji Idris bin Senik (men. lebih kurang tahun 1946) Kampung Tok Burong Bachok. Belajar di Petani.kembali ke Kelantan dan mengajar di beberapa tempat di Pasir Putih. Antara muridnya ialah Hj Abdullah bin Awang Senik, Cerang Hangus, dan Hj Awang bin Jusoh Kuin Pasir.
 
Hj Isa bin Derasa @ Lebai Hamad (men. sekitar tahun 1949 atau atau awal 1950), Kampung Belukar, Salor. Selepas belajar di Kelantan pergi ke Petani, selepas belajar di Petani terus ke Mekah hingga tamat dipelajarinya lima qiraat dari yang tujuh itu. Akhirnya menetap di Kampung Belukar, Salor di jajahan Kota Bharu.
 
Dalam hubungan dengan para pendidik atau mursyid yang mendidik para guru dalam tahap III (1910-1930 an) disebut oleh penulis mereka yang berjasa di Makkah itu dengan kenyataannya:
 
Kebanyakan mereka yang tersenarai dalam Tahap Ketiga (guru-guru pondok antara 1910 - 1930an) boleh disifatkan sebagai golongan ulama bertuah kerana berpeluang berguru dengan guru-guru ternama di Kota Ilmu Makkah. Kota Makkah pada dekad-dekad 1890an dan 1900an sememangnya menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan, menampilkan tokoh-tokoh jempoilan seperti Syaikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Fatani, Syaikh Muhammad bin Syaikh Ismail Daud al-Fatani (Syaikh Nik Mat Kecik), Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (Tok Guru Wan Ahmad), Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau, Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syaikh ‘Uthman bin ‘Abdul Wahhab Sarawak, Syaikh Muhammad ‘Ali binh ‘Abdul Rahman al-Kelantani, (Tok Wan ‘Ali Kutan), Tuan ‘Abdul Muttalib bin Tuan Faqih ‘Abdullah Kota, Syaikh Sa’id bin Muhammad al-Yamani, Syaikh Mustafa al-‘Afifi, Syaikh ‘Abdul Karim al-Daghastani, Syaikh ‘Abdul Karim al-Bantani, Syaikh Nawawi Banten, Syaikh Muhammad Sa’id Babsail, Syaikh Surur, Syaikh Saruji, Syaikh ‘Abdullah Senggora, Syaikh Zainuddin Sumbawa, Syaikh Muhammad bin Yusuf Khayyat, Syaikh Hasbullah, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayyid ‘Abdullah as-Zawawi, Sayyid Abu Bakr bin Sayyid Muhammad Syata, Sayyid Muhammad Amin bin Sayyid Ahmad, dan lain-lain guru lagi. (20)
 
Hubungan pendidikan Islam di Kelantan dengan Orang Cam sangat erat sehingga boleh dikatakan mereka itu mendapat pendidikan Islam sangat banyak di Kelantan ini. Antaranya terdapat kenyataan bagaimana seorang putera raja Campa yang kemudiannya menjadi Raja Po Rome (1627-1651) pernah datang ke Kelantan untuk mempelajari agama, kemudian beliau berkahwin dengan seorang puteri Kelantan. (21) Dan pada abad ke-19 pula, sebagaimana yang diterangkan di atas ada orang yang terkenal dalam sejarah Cam bernama Katib Sumat yang dilahirkan di Kemboja kemudian datang ke Kelantan untuk mendalami hukum-hukum agama, dan kemudian kembali ke negerinya untuk mengatur gerakan Islam di sana pada tahun 1833-1834 untuk menentang Raja Minh Menh. Selain daripada beliau itu ramai orang-orang Melayu-Cam yang datang ke Malaysia, khususnya ke Kelantan untuk mempelajari agama dan berdagang.
 
Di kalangan orang Cam Islam ini, mereka yang berada di Kemboja lebih maju pengetahuannya dalam Islam jka dibandingkan dengan orang Bani atau Orang Cam Islam di Vietnam. Antara peribadi yang mendatangkan kesan dalam pendidikan di sana ialah seorang yang bernama Imam Musa. Bila Imam Musa ini tamat pelajarannya di Kota Bharu Kelantan, beliau kembali ke kampungnya di Phum Ampil, Krauch Chmar, dalam wilayah Kompong Cam pada tahun 1948/1949. Dengan itu timbullah apa yang dipanggil di sana Aliran Kaum Muda. Kewujudan kaum muda ini menimbulkan perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam Kemboja sehingga beberapa tuduhan terhadap Imam Musa menyebabkan beliau dibawa ke mahkamah Kementerian Kepercayaan (Ministry of Cults) dan juga ke mahkamah lain. Beliau pernah dihukum penjara dan dibuang negeri.
 
Apabila berlaku peperangan saudara di Kemboja pada tahun 1970 kedua belah pihak telah kembali ke pangkuan yang sama dan mereka berusaha untuk menghadapi bahaya Komunis dalam mempertahankan agama Islam. Bagaimanapun golongan Khmer Rouge berjaya menumbangkan pemerintahan Lon Nol pada tahun 1975. Mulai masa itu ramailah orang-orang Melayu-Cam yang datang ke Malaysia, khususnya ke Kelantan.
 
Dalam kalangan mereka yang dihantar ke Kelantan untuk mengaji agama itu ialah Encik Idris bin Makmor yang dikenali dengan nama Pak Yeh. Sekarang beliau menjadi warganegara Malaysia dan berniaga di Kota Bharu, Kelantan. Ada seorang lagi pemuda Cam yang datang ke Kelantan tahun 1957 untuk tujuan mendapat pendidikan. Beliau kembali ke Kemboja bila tamat pelajarannya, kemudian datang kembali ke Kelantan untuk menetap di sana.
 
Muhammad Zain bin Musa dalam karangannya “Masyarakat Melayu-Cam dan Kelantan Dilihat dari Sudut Agama” (22) membuat kenyataan:
 
Ulama-ulama Melayu dari Kelantan tidak hanya melihat pemuda-pemuda Cam ini datang mempelajari Islam dan kemudiannya kembali ke Kampung mereka untuk mengajar, tetapi sama-sama mengambil tindakan yang wajar untuk pergi ke Kemboja dan menjadi muballigh-muballigh di sana. Antara mereka ialah Laksmana Abdul Hamid, Laksmana Haji Omar, kedua-duanya telah pergi ke Kemboja pada penghujung abad ke-XVII Masihi; Tok Guru Syaikh Ismail bin Syeikh Hussin, Tok Guru Haji Wan Salleh bin Haji Omar, Tok Guru Haji Wan Ngah bin Wan Mat Yunus, Tok Guru Haji Syeikh Ismail bin Muhammad Zain dan lain-lain lagi pada pertengahan ke dua abad ke-XIX Masihi; Tok Gurun Haji Said bin Haji Isa, Tok Guru Haji Ahmad bin Haji Abdul Manaf, Tok Guru Haji Wan Hassan bin Wan Muhammad, Tok Guru Nik Daud bin Nik Mat dan lain-lain pada pertengahan abad ke-XX Masihi. Muballigh wanita dari Kelantan juga turut terlibat. Antaranya ialah Che Fatimah binti Abdullah. Antara mereka ini ada yang menetap selama-lamanya di Kemboja dan ada yang balik ke kampung halaman mereka semula di Kelantan.
 
Antara mereka yang datang belajar di Kelantan itu ada yang mendapat kelulusan di luar negara seperti di Mesir dan di Arab Saudi. Sekarang pendidikan Islam mula diadakan di negeri mereka, yang memerlukan banyak sekali bantuan dari pihak saudara-saudara mereka dari luar.
 
Dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan di Kelantan dalam hubungan dengan pertukangan yang yang sejenis dengannya - yang mempunyai kepentingannya yang tersendiri dari segi pembinaan tamadun - tidak disentuh dalam catitan ini.
 
Kesimpulan:
 
Sebagai kesimpulannya ada beberapa perkara yang hendak diberi penekanan dalam perbincangan kertas ini, iaitu:
 
·       Bagaimana kawasan Timur Laut ini berupa kerajaan-kerajaan awal tempat pembinaan kegiatan-kegiatan peradaban samada dalam manifestasinya yang berupa akliah dan bukan benda dan juga yang bersifat kebendaan;
·       Bagaimana berlakunya kegiatan penghayatan Islam dan dakwahnya yang menimbulkan pengaruhnya dalam kawasan sekitarnya;
·       Bagaimana berlakunya perkembangan itu melalui pendidikan dan dakwah serta kegiatan-kegiatan perdagangan;
·       Bagaimana ajaran dan pegangan yang berkembang - sebagaimana yang berlaku dalam kawasan lain di Dunia Melayu ini - ialah ajaran dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dengan fiqhnya berdasarkan ajaran Imam Syafi’I dan ajaran kerohaniannya banyak dipengaruhi oleh Imam al-Ghazali sebagaimana terbukti dengan popularnya kitab-kitab beliau dalam kawasan ini.
·       Bagaimana kegiatan bahasa dan persuratan berkembang bernafaskan Islam berserta dengan penulisan dalam bidang-bidang Islam (kalau zaman sekarang ini melibatkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan juga Yayasan Islam Terengganu selain daripada penerbit-penerbit lainnya, kalau di Kelantan seperti Dian Press dan PAP atau Pustaka Aman Press; kalau di Petani dengan Al-Nahdinya, dan sebelum ini dengan Sulaiman Mar’I di Singapura dan Pustaka al-Rawi di Pulau Pinang).
·       Timbulnya majalah-majalah yang banyak seperti di Kelantan dan Terengganu di awal abad ke 20 dengan perbincangannya banyak tentang agama, bahasa, siasah dan budaya.
·       Bagaimana kawasan ini mempunyai keperibadian yang sama dalam erti kuat iltizamnya dengan agama serta berpegang kepada adat serta ciri kegigihan dalam hidup yang ingin berdikari.
·       Bagaimana banyaknya pengaruh pondok-pondok yang memainkan peranan dalam membentuk pemikiran dan sikap hidup serta nilai-nilai, ditambah dengan sekolah-sekolah agama yang dibina oleh pihak rakyat dan pihak rasmi yang menguatkan lagi iltizam dengan pegangan dan kehidupan Islam.
·       Bagaimana adanya perbezaan faham antara golongan yang berfikiran secara baharu - disebut sebagai masalah kaum muda-kaum tua - yang perlu diberi penyelesaian dengan pengembalian kepada keseluruhan sistem dan faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang sepadu dengan kesinambungannya itu demi untuk mempertahankan Islam dan untuk menghadapi kebencanaan pemikiran moden dan pascamoden serta globalisasi yang tanpa bimbingan akliah itu kita akan kehilangan panduan dan arah tuju.
·       Bagaimana adanya perbezaan faham kerana siasah dan kepentingannya yang juga perlu diberi penyelesaian dengan pengembalian kepada faham ilmu Sunni yang menyeluruh dan sepadu - misalnya sebagaimana wujudnya kritikan terhadap setengah pemikiran almarhum Sayyid Qutb dan almarhum Maududi oleh al-Hudhaibi dan Abul-Hasan ‘Ali Nadwi yang menggunakan faham ilmu yang sepadu dan menyeluruh itu sebagai neraca intelektuilnya.
·       Bagaimana perlu dipergiatkan aktiviti intelektuil dan lain-lain dalam bidang ketamadunan yang tinggi untuk mengekalkan identiti ini dan memperkasakannya untuk kebaikan perkembangan budaya dan tamadun rantau ini.
·       Dan bagaimana perlunya dibentuk sejarah intelektuil Islam rantau ini demi untuk memberi kefahaman tentang tunjang hidup ketamadunannya berdasarkan kepada fahamnya, faham ilmu dan faham nilainya, sebagaimana yang terkandung dalam kata-kata terkenal “hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan Kitab”. (26).
 
Wallahu a’lam.
Notahujung:
 
 
(1)      Lihat Po Dharma, “Peranan Kelantan dalam Pergerakan Islam di Campa 1833-1834” dalam Warisan Kelantan, VIII, 79-88; Abdullah bin Mohamed (Nakula),”Keturunan Melayu di Kemboja dan Vietnam:Hubungannya dengan Semenenjung dengan Tumpuan Khas kepada Negeri Kelantan”, sama, hlm 6-41; Abdul Rahman Al-Ahmadi, “Kelantan Dalam Nagarakertagama  dan Sumpah Palapa Gajah Mada Di pandang Dari Semenanjung Melayu -Segenting Kra dan Campa”, sama, VII, hlm 1-15; G.E.Marrison, “The Chams of Malacca”, in JMBRAS, jld XXIV.pt.I, hlm 90-98; Doctor Pierre Yves  Manguin, Charge de Recherches, E.F.E.O, The Introduction of Islam to Champa”,in JMBRAS, jld 58, pt I, hlm6-20; juga dlm “The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay  Archipelago” edited and annotated by Dr Elijah Gordon, MSRI, Kuala Lumpur, 2001, hlm 287-328; dan Cambodia”, dalam Encyc.Britannica, jld III, edisi 1981, hlm 675-689.
 
(2)Dalam The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, ed. Dr Elijah Gordon, hlm. 305ff.
 
(3)sumber sama.
 
(4)Lihat Po Dharma, sama, hlm. 79 (dengan sumber-sumbernya).
 
(5)Manuscript Cam:CM 32(6), CM 24(5), lihat P Dharma, sama.
 
(6)Manuskrip Campa, CM 32(6), 113 sq. lihat Po Dharma, sama.
 
(7)Po Dharma, 1987, 143.Po Dharma, sama
 
(8))Lihat C.C. Brown:”Sejarah Melayu: Malay Annals”, JMBRAS, jld XXV Oktober, 1952, hlm. 108-111; P.B.Lafont, op.cit. hlm. 77-78. Disebut oleh Po Dharma, sumber sama hlm. 83.
 
(9)Campa dans la litterature malais, dalam Actes du Seminaire sur le Campa, Paris, 1988, hlm. 120.Lihat Po Dharma, sama, hlm. 84.
 
(10)Warisan Kelantan, VIII, hlm 6-41, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1989.
 
(11) Lihat berkenaan dengan Kelantan Detik2 Sejarah Kelantan, oleh Sa’ad Shukri bin Haji Muda, dengan pembaharuan dan tambahan oleh Abdullah al-Qari bin Haji Salleh, dengan sumbangan Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi, PAP, Kota Bharu, Kelantan, 1971; Anker Rentse, History of Kelantan.I, JMBRAS, vol.XII.pt II, hlm 44-62; W.Linehan, “Coins of Kelantan”, JMBRAS, vol.XII. pt II, hlm 63-70;Robert L.Winzeler, “Traditional Islamic Schools in Kelantan”, JMBRAS, vol.48, pt I, hlm 91-103; Chan Su-Ming, “Kelantan and Terengganu 1909-1939”, JMBRAS, vol 38 pt I, hlm. 159-197 ;Hugh Clifford,”Expedition to Terengganu and Kelantan”, JMBRAS, 34, pt I, hlm xi-162; “Kelantan Darul Naim”, dalam Ensiklopedia Malaysiana, jilid 6, Anzagain Sdn Bhd, 1996, hlm 446-455; Leslie Ratnasingam Robert, “The Duff Syndicate in Kelantan 1900-1902”, JMBRAS, 45, pt I, hlm 81-110; amnya berkenaan dengan pelbagai aspek negeri Kelantan dalam Warisan Kelantan, jilid I-XVI, terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, dari tahun 1982 dan seterusnya; Mohamad Zain bin Musa, “Masyarakat melayu Cam dan kelantan Dilihat dari Sudut Agama”, Warisan Kelantan, XIII, 33-47; Ismail Che Daud, “Satu Abad Mufti-Mufti Kelantan”, Warisan Kelantan, XIII.49-81.
 
(12) Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, “Penubuhan dan Perkembangan Ismail English School”, Warisan Kelantan, VII, hlm 81-100.
 
(13)Dr Ismail Bakar, “Tok Kenali Sebagai Ulama dan Tokoh Islah”, Warisan Kelantan, XVI. Hlm. 50-65
 
(14) hlm. 59
 
(15) sumber sama hlm. 61-62
 
(16)Dalam Detik2 Sejarah Kelantan, hlm. 147.
 
(17hlm. 154 ff.
 
(18)Lihat Ismail Che Daud, “Sekolah Pondok di negeri Kelantan: Satu Tinjauan Umum”, Warisan Kelantan, X, hlm 1-25 dengan sumber-sumbernya; Abdul Halim Ahmad, “Pendidikan Islam di Kelantan”, Warisan Kelantan, 1, hlm 1-28; Rahim bin Abdullah, “Pelajaran Pondok di Kelantan”, Warisan Kelantan, II, hlm 1-20; Robert L.Winzeler, “Traditional Islamic Schools in Kelantan”, JMBRAS, 48 pt I, hlm 91-103.
 
(19) sumber sama.hlm 21-25.
 
(20) sumber sama. Hlm 10-11.
 
(21) Warisan Kelantan, XIII.37  dst
 
(22) dalam Warisan Kelantan, XIII.hlm 41-42;.
 
(23) Lihat “The Stone Inscription of Terengganu”, dalam The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, edited by Dr Elijah Gordon, MSRI, Kuala Lumpur, 2001, hlm.35-37; “Terengganu” dalam Ensiklopedia Malaysiana, jld 13, hlm 64—72; Chan Su-Ming, “Kelantan and Terengganu” dalam JMBRAS, 38 ptI, hlm 150-197; Hugh Clifford, “Expedition to Terengganu and Kelantan”, JMBRAS, 34pt I, hlm xi-161 dengan mukadimah oleh Prof Khoo Kay Kim; M.C.ff Sheppard, “A Short History of Terengganu” JMBRAS XXII. pt III  sampai ke halaman 74; J.de Vere Allen, “The Ancient Regime in Terengganu”, JMBRAS, 41, pt I, hlm 23-54. Barbara Watson Andaya, “An Examination of Sources Concerning the Reign of Sultan Mansor Shah of Terengganu (1741-1793) with Special Reference to Tuhfat al-Nafis”, JMBRAS, 49 pt  II, hlm 80-106.
 
(24) M.C.ff Sheppard, “ A Short Historyof Trengganu”, JMBRAS, XXII, pt III hlm 2.
 
(25) sama hlm 45.
 
(26) Percubaan dibuat oleh seorang Orientalis bernama Peter Riddell, dengan buku terbarunya Islam and the Malay -Indonesian World, Horizon Books, Singapore, 2001.dari perspektifnya, dan kita memerlukannya dari perspektif kita.