ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Makna Istiwa' dan dalil serta penjelasan Ulama

                Makna Istiwa' dan dalil serta penjelasan Ulama'

soalan: Apa makna firman Allah SWT:
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang beristiwa' di atas 'Arasy." (surah Thoha:5)

jawapan: Imam Malik berkata:
"Beristiwa sebagaimana Dia menyifatkan ZatNya, tidak dikatakan (mengenai istiwa itu) bagaimana (umpama: Bagaimana Allah beristiwa'?), dan soalan "Bagaimana" adalah tidak layak bagi Allah."

Al-Kayf (Bagaimana) adalah sifat makhluk. Di antara sifat makhluk ialah julus (duduk), istiqrar (menetap/bersemayam), bertempat (menempati suatu tempat) dan berarah (mempunyai arah).

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah (salah seorang isteri Rasulullah SAW), dan juga diriwayatkan daripada Sufyan bin 'Uyainah, dan daripada Imam Malik bahawa mereka menjelaskan istiwa' seperti berikut:

"Istiwa sudah diketahui ianya dinyatakan dalam Al-quran, dan tidak boleh ditanya bagaimana kaifiatNya dan kaifiat (bentuk dan sifat-sifat makhluk)-jika dinisbahkan kepada Allah SWT - tidak boleh diterima oleh akal.
(Riwayat Imam Al-Lalika'i)

Imam Ahmad pernah ditanya tentang ayat-ayat mutasyabihat di antaranya yang berkaitan dengan istiwa, lalu beliau menjawab:

"(Allah) istiwa' seperti mana disebutkan (dalam Al-quran), bukannya seperti yang terlintas difikiran-fikiran manusia."

Di sini Imam Ahmad telah menjelaskan tafsiran ayat-ayat mutasyabihat dengan cara Tafwidh (menyerahkan makna kepada Allah SWT). Al-Hafiz Muhammad murtadha az-Zabidi di dalam syarahnya ittihaf Sadah al-Muttaqin menyebutkan:
"Allah SWT beritiwa di atas 'Arasy seperti mana yang Dia katakan di dalam al-Quran: (Allah Yang Rahman, Beristiwa di atas 'Arasy), dengan makna yang Dia kehendaki, yang layak dan sesuai denganNya Yang Maha Suci yang lebih tahu dengan maknanya,  sebagaimana yang telah diamalkan oleh para ulama' salaf dalam ayat Mutasyabih, iaitu dengan cara mensucikan Allah SWT dari apa sahaja yang tidak patut dan tidak layak dengan kemuliaanNya dan menyerahkan makna lafaz tersebut kepada Allah SWT. Ia bukanlah seperti orang yang mengatakan bahawa bolehnya Allah SWT duduk di atas kursi 'Arasy sebagaimana seorang raja duduk di atas singgahsananya."

Ulama'-ulama' Ahl as-sunnah mentafsirkan makna istiwa dengan makna yang layak baginya seperti 'mencipta' dan 'menguasai' sebab di antara sifat-sifat Allah SWT ialah Al-Qahir (yang Menguasai) dan Al-Khaliq (Yang Maha Mencipta). Allah SWT berfirman:
"Dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (surah Ibrahim: 48)

Di dalam tafsir ibn kathir, istiwa ditafsirkan dengan 'tanpa kaifiat (bentuk) dan penyamaan', tafsir al-Qurthubi dengan 'penjagaan dan penguasaan', tafsir al-Kabir dengan 'mencipta', tafsir al-Jalalain dengan 'istiwa' yang layak bagiNya' dan tafsir an-Nasafi dengan 'menguasai'.

Al-Hafiz Abu Bakar bin Arabi menjelaskan perkataan 'istiwa' mempunyai hampir 15 makna, di antaranya: tetap, sempurna, lurus, menguasai, tinggi dan lain-lain.

Antara makna ialah: yang bermaksud 'menguasai' berdasarkan bait:
"Bisyr telah menguasai Iraq, tanpa menggunakan pedang dan penumpahan darah."

Pensyarah kamus, iaitu Abu al-Qasim al-Ashfahani berkata di dalam kitab Mufradat al-Quran:
"sesungguhnya kalimah istiwa' jika dita'addikan dengan kalimah 'ala, adalah maknanya menjadi 'memerintah/menguasai'."

Imam Al-Qusyairi berkata:
"Istiwa  bererti hafizha (memelihara), qahara (menundukkan dan menguasai) dan abqa (menetapkan dan mengekalkan). Tidak boleh mengi'tikadkan bahawa Allah SWT  duduk atau versemanyam di atas 'Arasy, kerana keyakinan seperti ini adalah aqidah orang-orang Yahudi dan aqidah ini merupakan pendustaan terhadap firman Allah SWT:

"Oleh itu janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah SWT." (Surah An-Nahl: 74)

'Arasy secara khusus disebutkan kerana ia adalah makhluk Allah SWT yang paling besar saiznya dan dengan menyebutkannya ('Arasy) sudah termasuk contoh untuk makhluk-makhluk lain dalam bab keutamaan (bab al-Aula). Sayyiduna Ali ibn Abi Tholib berkata:

"Sesungguhnya Allah menciptakan 'Arasy untuk menzahirkan (menampakkan) kekuasaanNya, bukan untuk dijadikan tempat bagi ZatNya."

DEBAT RINGKAS:
Debat ringkas ini adalah di antara seorang mahasiswa yang berfahaman wahabi(w) dengan seorang lagi mahasiswa bermazhab Sunni(s) sekitar ayat yang mafhumnya:"Allah Yang Rahman beristiwa di atas 'Arasy.":

W: "Kami hanya akan mengatakan apa yang teleh dikatakan oleh kalangan salaf, iaitu: "Duduk (Al-Istiwa) diketahui, tapi bentuk (Al-Kaif) duduknya tidak diketahui, dan pertayaan tentangnya adalah bida'ah."
S: "Anda tidak menambah apa-apa kecuali kesamaran, dan anda hanya mentafsirkan air dengan air." 
W: "Ini tidak mungkin berlaku."
S: "Jika erti 'duduk' diketahui, tentulah 'bentuk'nya pun diketahui juga. sebaliknya, jika 'bentuk' tidak diketahui, maka 'duduk' pun tidak diketahui. keduanya tidak boleh berpisah di antara satu dengan yang lain. Pengetahuan tentang 'duduk' adalah pengetahuan tentang 'bentuk' duduk itu sendiri. akan tidak boleh memisahkan antara sifat sesuatu dengan bentunya kerana kedua-duanya adalah satu.

Jika anda mengatakan Zaid duduk, maka ilmu anda tentang  duduknya adalah tentang bentuk (kaifiyah) duduknya. ketika anda mengatakan, 'duduk' diketahui, maka ilmu anda tentang duduk itu adalah tentang bentuk duduk itu sendiri. jika tidak, tentulah terdapat pertentangan didalam perkataan anda, yang mana pertentangan itu bersifat zat. Ini tidak ada bezanya dengan pernyataan bahawa anda mengetahui 'duduk', akan tetapi pada masa yang sama, anda mengatakan bahawa anda tidak mengetahui bentuknya."

Mahasiswa (W) pun terdiam kerana tidak dapat membalas hujah kawannya  lalu pergi dari tempat itu dalam keadaan tergesa-gesa.

Perbandingan manhaj:
Di sini, dibawakan sedikit perbandingan untuk lebih jelas tentang manhaj mazhab-mazhab ini.

pertama:
"Allah bersifat ar-Rahman beristiwa' di atas 'Arasy." (surah Thiha: 5)

Musyabbihah: Tuhan duduk bersila serupa manusia duduk di atas unta.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada Istaula' (menguasai)
Wahhabiyyah: Tidak boleh Ta'wil. Allah SWT duduk bersila di atas 'Arasy, Tetapi dudukNya tidak serupa dengan duduk makhluk.

kedua:
"Setiap yang ada di atas bumi akan binasa, dan yang akan kekal hanyalah 'wajah' Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan." (Surah Ar-Rahman: 26-27)

Musyubbihah: Tuhan bermuka serupa dengan manusia
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada Zat Allah SWT Yang Maha Esa.
Wahhabiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT bermuka, tetapi mukaNYa tidak serupa dengan muka makhluk.

ketiga:
"Dan buatlah perahu dengan 'mata' kami dan wahyu kami." (surah Hud: 37)

Musyubbihah: Tuhan bermata serupa dengan manusia.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada pengawasan. Ertinya: Buatlah perahu dengan pengawasan kami.
Wahhabiyyah: Tidak boleh  ta'wil. Allah SWT bermata, tetapi mataNya tidak serupa dengan mata makhluk.

keempat:
"Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia kepadamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah, 'Tangan' Allah di atas tangan mereka." (Surah Al-Fath: 10)

Musyubbihah: Tuhan bertangan serupa dengan manusia.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada kekuatan. Ertinya: kekuatan Allah SWT di atas kekuatan mereka.
Wahhbiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT bertangan, tetapi tanganNya tidak serupa dengan tangan makhluk.

kelima:
"Adakah kamu merasa aman terhadap yang 'di langit' itu, bahawa kamu akan ditengelamkan ke dalam bumi, yang ketika itu bergoncang kuat." (Surah Al-Mulk: 16)

Musyubbihah: Tuhan berada di langit serupa dengan benda yang ada di langit.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada kekuasaanNya di langit.
Wahhabiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT berada di langit, tetapi tidak serupa dengan benda di langit.

keenam:
"Dan 'datang' Tuhanmu dan Malaikat berbaris-baris." (Surah Al-Fajr: 22)

Musyubbihah: Tuhan datang dan pergi serupa dengan manusia.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada 'Dan datang perintah Tuhanmu'.
Wahhabiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT datang dan pergi, tetapi tidak serupa dengan datang dan pergi makhluk.

ketujuh: Hadith dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Tuhan kita 'turun' setiap malam ke langit dunia ketika tinggal sepertiga malam yang terakhir dan Dia berfirman: Siapakah yang berdoa kepadaKu, maka AKU perkenankan, siapa yang meminta kepadaKu, maka AKU akan memberinya dan siapa yang memohon keampunanKu, maka AKU akan memberi keampunan kepadaNya." (shahih Al-Bukhari, 4/72)

Musyubihah: Tuhan turun setiap malam ke langit dunia serupa manusia turun dari rumah.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada 'Malaikat rahmat diturunkan untuk mengatakan perkataan tersebut'.
Wahhabiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT turun setiap malam ke langit dunia, tetapi turunNya tidak serupa dengan turun makhluk.

kelapan: Hadith:
"Sentiasalah dilemparkan di dalam neraka Jahanam sesuatu dan ia selalu bertanya: Adakah ada tambahan lagi?, sehingga Tuhan meletakkan 'tumit'Nya dalam neraka Jahanam itu, sehingga berhimpit isi neraka itu sebahagian ke sebahagian yang lain, lalu neraka Jahanam berkata: Cukuplah, cukuplah." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Musyabbihah: Tuhan berkaki dan bertumit serupa dengan manusia.
Salaf: Tidak tahu erti sebenar, serahkan kepada Allah SWT Maha Suci Allah SWT daripada serupa dengan makhluk.
Khalaf: Ta'wil kepada 'kaum yang akan dimasukkan ke dalam neraka. (Tafsir al-Qurtubi, 17/19)
Wahhabiyyah: Tidak boleh ta'wil. Allah SWT bertumit dan berkaki, tetapi tumit dan kakiNya tidak serupa dengan makhluk.

Banyak lagi contoh dalam ayat-ayat dan hadith-hadith berkenaan.

kesimpulan:
Maka natijahnya bahawa kedua-dua jalan pilihan ulama' Salaf dan Khalaf adalah benar dan tidak menyimpang kerana kedua-duanya menta'wilkan cuma bezanya kebanyakan salaf menta'wil secara ijmal (ringkas) dan kebanyakan Khalaf pula menta'wil secara Tafshil (Detial).

Para salaf dengan jelas memahaminya dengan kaedah tafwidh atau Ta'wil Ijmal terhadap makna Nas tersebut tetapi pengikut wahhabiyyah, mengambil jalan mengithbatkan zahir nas tersebut. Oleh itu, para ulama' Salaf yang kalam mereka nukilkan di dalam kitab, mengekalkan lafaz nas tersebut, tanpa menzahirkan dalam bentuk bahasa yang lain atau yang setara dengannya. Golongan Wahhabiyyah pula menukarkan kalam Ulama' itu kepada fahaman mereka dengan menterjemahkan dan menghuraikan kalam Ulama' tersebut mengikut pamahaman mereka, bukan pemahaman para Ulama' Salaf. Jsteru itu, golongan Wahhabiyyah yang mendakwa mengikut manhaj salaf adalah sebenarnya jelas tidak mengikut manhaj mereka, malah manhaj mereka dalam perkara ini adalah seperti manhaj golongan Musyabihah.

Nasihat dan pesanan:
Al-Allamah al-Muhaddith sayyid Muhammad bin Alawi ak-Maliki menyebutkan di dalam kitabnya At-Tahzir min Al-Mujazafah fi at-Takfir di bawah tajuk Al-Awwam wa Mabahit ash-Shifat fi al-Aqidah (orang awam dan perbahasan tentang sifat Allah SWT dalam perkara aqidah):

"Di antaranya finah terbesar yang telah menimpa kita dengannya yang datang dari kumpulan yang mendakwa 'Salafi' sedangkan mereka amat jauh dari hakikat sebenar Salaf dan adab-adabnya. Apa yang zahir pada hari ini dari bentuk buku-buku dan syarahan-syarahan (mereka) yang menyibukkan orang ramai dan kebanyakan mereka (yang disibukkan ini adalah) orang awam. Semuanya menyibukkan orang awam dengan perbahasan-perbahasan  yang sukar difahami dan perbahasan-perbahasan dalam perkara aqida (kepercayaan). Perbahasan-perbahasan ini membawa kepada tergelincir kaki (dari jalan kebenaran) dalam aqidah dan menyesatkan pemahaman dalam perkara itu. Hanya para imam yang masyhur ilmu dan ketaqwaan mereka yang mengetahui dengan mendalam perkara ini. Perkara yang dimaksudkan ialah perbahasan mengenai sifat-sifat Allah SWT dan selainya yang berkisar pada perbincangan aqidah ini."
(kitab At-Tahzir min Al-Mujazafah fi at-Takfir)

Beliau bekata lagi:
"Para Ulama' berkata: Antara fitnah terbesar ialah orang awam bertanya tentang sifat Allah SWT, KalamNya, HurufNya; adakah ia qadim atau muhdath (baharu), dan (bertanya) tentang Istiwa', Nuzul, Yad; apakah ia? dan apakah jawapan yang ada dalam perkara ini, Dan orang awam menjadi suka mendalami ilmu (aqidah) ini, walaupun sebenarnya syaitan menghayalkannya (sehingga dia menyangka) bahawa dia dari kalangan Ulama' dan orang yang dimuliakan. Dan syaitan sentiasa menjadikan orang awam tadi agar suka membicarakan tentang aqidah sehinggalah dia berkata sesuatu dalam perkara aqidah ini yang menjadikan dia menjdai kafir sedangkan dia tidak tahu. kadang-kadang dosa besar yang mereka mungkin lakukan lebih selamat kepadanya daripada bercakap dalam bab ini dalam Ilmu Aqidah yang berkaitan dengan Allah SWT dan sifat-sifatNya...."
(kitab At-Tahzir min Al-Mujazafah fi at-Takfir, MS. 52)

(Beliau seterusnya menasihatkan orang awam agar berusaha mempertingkat dan menguatkan keimanan di samping melakukan ibadat dengan tekun dengan berkatabya:)

"Dan sepatutnya urusan orang awam ialah menyibukkan diri dengan ibadah-ibadah dan beriman dengan apa yang ada di dalam Al-Quran dan menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. dengan tidak banyak mencari-cari (dalil, ini dan itu)."


                Hadith Jariyah: Menetapkan Allah SWT berada di langit(Soal-jawab ulama dan penjelasan Ulama)

Soalan: Apakah boleh menetapkan Allah SWT berada di langit dengan dalil hadith Jariyah?

Jawapan: Tidak boleh sama sekali kerana ia menempatkan Allah SWT di arah atas dan seolah-olah Allah SWT diam di langit, Maha Suci Allah SWT dari berarah dan bertempat.

Terlebih dahulu dijelaskan bahawa hadith Jariyah ialah hadith yang merujuk kepada seorang jariyah (seorang budak perempuan) milik Mu'awiyah bin Al-Hakim as-sulami yang di tanya oleh Rasulullah SAW tentang soal keimanan sebelum dia dimerdekakan. Hadith Jariyah ini disebutkan oleh Imam Muslim dalam Al-Jami' ash-Shahih:

"...(Mu'awiyah bin Al-Hakim berkata): Aku mempunyai seorang Jariyah yang menggembala kambingku di sebelah bukit Uhud dan Al-Jawwaniyyah. Suatu hari ketika aku menjenguknya, Tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing gembalaanya. Dan aku sebagai seorang manusia biasa menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Nabi SAW dan Baginda SAW memandang serius perbuatanku itu. Aku bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, adakah akan aku merdekakannya (untuk menebus kesilapannya menampar tadi?". Nabi SAW berkata: Datangkan dia kepadaku, lalu aku pun membawanya berjumpa Nabi SAW. Nabi SAW bertanya kepadanya: "Di manakah Allah?" Jariah tersebut menjawab:"Di langit." Nabi SAW bertanya lagi:"Siapakah aku?". Jariyah tersebut menjawab: "Engkau adalah pesuruh Allah (Rasulullah)." Nabi SAW bersabda:"Merdekakanlah dia. Sesungguhnya dia seorang yang beriman."

Imam Nawawi berkata di dalam syarahnya terhadap hadith ini:
"Perkataan "Di mana Allah?" adalah pertanyaan tentang darjat kedudukan Allah SWT, bukan mengenai tempatNya."

Ia (Aina Allah) bererti apakah i'tikad kamu tentang keagungan Allah SWT?. Manakala jawapannya: (Allah di langit) mempunyai makna bahawa darjat dan kedudukan Allah SWT sangat tinggi. Tidak boleh diyakini bahawa Rasululalh SAW bertanya kepada budak perempuan tersebut tentang tempat (di mana) Allh SWT?. Juga tidak boleh diyakini bahawa budak perempuan itu bermaksud Allah SWT mendiami langit.

Qiblat bagi solat ialah Kaabah. Bukanlah bererti Allah SWT diam di dalam kaabah. Samalah juga ketika berdoa mengadap ke langit, bukanlah bererti Allah SWT diam di langit. Langit adalah qiblat bagi doa. Hendaklah perkara ini difahami dengan baik.

Imam Ali ibn Abi Tholib berkata:
"Tidak boleh ditanya 'di mana' kepada Tuhan yang menjadikan 'aina' (tempat)."

Haruslah dilangit bahawa Imam  Muslim meletakkan hadith ini di dalam Bab Diharamkan berkata-kata di dalam solat, bukan dalam bab iman atau aqidah. Apa yang dapat difahami dari segi meletakkan hadith ini pada bab tersebut menunjukkan bahawa Imam Muslim sendiri tidak bermaksud menjadikan hadith tersebut sebagai dalil dalam masalah aqidah.

Al-Hafiz Abi al-Abbas Ahmad Bin Umar bi Ibrahim al-Qurthubi di dalam Syarh Muslim menyebutkan:
"Pertanyaan ini diarahkan Rasulullah SAW kepada Jariyah ataas dasar kemampuan pemahamannya, kerana Baginda SAW ingin memastikan diri Jariyah itu yang dia bukanlah seorang penyembah berhala dan batu yanga ada di bumi. Jawapannya sedemikian (iaitu "Di langit"), seolah-olah dia menjawab sesungguhnya Allah SWT bukanlah jenis yang berada dibumi."

"Tidak boleh diucapkan seperti itu kerana Allah SWT secara hakikat kerana Allah SWT Maha Suci dari Tempat, sebagaimana juga Allah SWT Suci dari masa, malah Allah SWT lah yang menjadikan masa dan tempat. Allah SWT sentiasa ada, tidak dilingkungi oleh masa dan tempat. Dan Dia (Allah SWT)  sekarang (masa kini) seperti yang asalnya demikian (tidak bertempat dan dilingkungi masa)."

"...Hendaklah kamu ketahui bahawa sesungguhnya tidak ada perbezaan pendapat di antara umat islam, baik dari golongan hadith, ahli feqah, ahli tauhid, orang yang bertaqlid (mengikut pendapat ulama') dan yang seumpama mereka, (semua) berpendapat bahawa sebutan yang terdapat didalam Al-Quran dan hadith, yang menyebutkan Allah SWT di langit seperti ayat:
bukanlah dimaksudkan secara zahir (hakikat). Sesungguhnya ayat ini dita'wilkan oleh mereka.." Sesiapa yang memahami ayat tersebut dengan secara zahirnya (hakikatnya), maka dia adalah (termasuk di kalangan) orang yang sesat dari kumpulan orang yang sesat."

Al-Jami' li Ahkam al-Quran:
"Maksudnya ialah membesarkan dan mensucikan Allah SWT dari (berada di) tempat bawah dan rendah. (Di samping itu ia bertujuan untuk) menyifatkanNya dengan sifat tinggi dan besar, bukan dengan tempat, arah, dan batas-batas kerana (semuanya) itu adalah sifat-sifat ajsam (benda).

Adapun sebab diangkat tangan ketika berdoa ke langit adalah kerana langit adalah tempat turunnya wahyu, turunnya hujan, tempat yang suci, tempat makhluk-makhluk yang suci dari kalangan malaikat. Di atas langit terdapat 'Arasy dan syurganya. (Perumpamaannya) sama sahaja seperti Allah SWT  menjadikan Ka'bah sebagai qiblat do'a dan sembahyang. Allah SWT menjadikan tempat tetapi tidak memerlukan tempat. Wujudnya (adanya) Allah SWT pada Azali sebelum menjadikan tempat dan masa, tidak bersama tempat dan masa. Begitu juga setelah terciptanya tempat dan masa, (Allah SWT tetap) tidak bersama tempat dan masa."

Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Absath menyatakan:
"Adalah Allah SWT ada pada Azali (ada tanpa permulaan) sebelum ada tempat, Dia ada (pada azali) dan belum ada tempat serta makhluk, dan Dia Pencipta segala sesuatu."

Allah SWT berfirman:
"Tiada sesuatupun yang serupa dengan (ZatNya, Sifat-sifatNya dan pentadbiranNya)." [Surah Asy-Syura:11]

Dalam hadith disebutkan bahawa Allah SWT sudah wujud sebelum benda-benda lain ada, termasuklah langit dan lain-lain:
"Allah ada pada azali (ada tanpa permulaan) dan belum ada sesuatu selainNya." (HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi dan Ibn Jarud)

Menurut ulama' lain, walaupun sah lafaznya riwayat Muslim begitu, bukanlah bermakna Allah SWT berada di langit, akan tetapi maknanya adalah Allah SWT  mempunyai ketinggian kekuasaanNya yang hebat.

Tidak shahih: Walau bagaimanapun, sebahagian ulama' lain menilai hadith ini sebagai tidk shahih kerana 2 sebab:
1) kerana Iththirab, iaitu hadith ini diriwayatkan dengan banyak lafaz iaitu lafaz di atas dan lafaz-lafaz lain termasuklah:

a) Riwayat Ibn Hibban di dalam Shahihnya:
"Dari Asy-Syuraid bin Suwaid ath-Thaqafi berkata: Aku berkata: Wahai rasulullah, sesungguhnya ibuku berwasiat agar kami membebaskan untuknya seorang hamba dan bagiku seorang Jariyah yang hitam, Rasulullah SAW berkata: Panggillah dia. Maka jariyah itu pun datang, Lalu Baginda SAW bertanya: Siapkah Tuhanmu? dia menjawab: Allah, Baginda SAW  bertanya lagi: Siapakah Aku? Dia menjawab: Rasulullah (pesuruh Allah). Baginda SAW berkata: bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman."

b) Riwayat Al-Baihaqi didalam As-Sunan al-Kubra dengan lafaz:
"..Di mana Allah?, Lalu jariyah itu mengisyaratkan ke langit dngan jarinya."

c) di dalam As-Sunan al-Kubra juga diriwayatkan dengan lafaz:
"....(Baginda SAW bertanya): Siapakah Tuhanmu? Dia menjawab: Allah Tuhanku. Baginda SAW bertanya lagi: Apakah agamamu? Dia menjawab: Islam. Baginda SAW bertanya lagi: Lalu siapakah aku? Dia menjawab: Engkau Rasulullah (Pesuruh Allah). Baginda SAW berkata: Bebaskanlah dia."

d) Di dalam Al-Muwaththo' diriwayatkan dengan lafaz:
"...(Baginda SAW bertanya): Apakah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah? Dia menjawab: Ya. Baginda SAW bertanya lagi: Apakah kamu bersaksi bahawa aku ini pesuruh Allah? Dia menjawab: Ya. Baginda SAW bertanya lagi: Apakah kamu menyakini dengan hari kebangkitan selepas kematian? Dia menjawab: Ya. Maka Baginda SAW berkata: bebaskanlah dia."

2) kerana riwayat (Di mana Allah?) bercanggah dengan Ushul (Ushuluddin).
Seseorang tidak dihukum Islam atau tidak hanya dengan jawapan: "Allah di langit" sahaja kerana ia bukanlah kalimah tauhid. Perkataan ini juga adalah seperti kepercayaan orang Yahudi dan Nasrani serta aqidah sesat yang lain.

Ushul yang dikenal di dalam Syariat Allah SWT ialah apa yang dibawa di dalam hadith Mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih 15 orang Sahabat iaitu:
"Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku pesuruh Allah."

Mengenai riwayat Imam Malik dalam Al-Muwaththo' dia atas (no.iv) adalah bersesuaian dengan Ushul. hadith Muslim di atas jika dilihat dari segi zahirnya adalah berlawanan dengan hadith Mutawatir di atas. Para ahli hadith dan ulama' Ushul telah sepakat mengatakan bahawa hadith yang menyalahi Hadith Mutawatir adalah batil jika tidak dita'wil.

Faedah:
Jika dikatakan: Bolehkah riwayat dalam Shahih Muslim diatas tidak Shahih sedangkan ia ditakhrijkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya, dan setiap hadith yang diriwayatkan oleh Muslim adalah Shahih?, Jawapannya: Ada beberapa hadith di dalam Shahih Muslim yang ditolak oleh para Ulama hadith.

Tanbih:
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
"Jika salah seorang di antara kamu sembahyang, sesungguhnya dia bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah ada yang meludah di kiblatnya, dan jangan juga berludah di sebelah kanan, kerana sesungguhnya Tuhannya berada di antaranya dan antara kiblat."

Hadith ini lebih kuat sanadnya daripada hadith jariyah. Imam Al-Bukhari juga meriwayatkan hadith dari Abu Musa al-Asy'ari:
"Hendaklah kamu merendahkan suara (jangan memaksa diri untuk mengeraskan suara secara berlebihan), kerana kemau tidak berdoa kepada Zat yang tuli dan ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada Zat yang Maha Mendengar lagi Mada Dekat (secara maknawi, bukan secara fizikal)."

Mungkin boleh juga dikatakan kepada golongan yang tidak menerima ta'wil, malah sekeras-keras menolaknya: "Jika kamu berpegang kepada hadith jariyah secara zahirnya dan berpegang juga kepada kedua hadith Al-Bukhari ini secara zahir, maka terbatallah (tersilaplah) dakwaan kamuyang mengatakan Allah SWT di langit (kerana hadith  pertama jelas menunjukkan seolah-olah 'Tuhan berada di antara orang yang sedang sembahyang dan antara kiblat', Maha Suci Allah SWT daripada bertempat. Inilah bahayanya jika nas sebegini tidak dita'wil yang boleh membawa wahm kepada tasybih, terutama sekali kepada orang awam.

Sebaiknya, jika kamu menta'wilkan kedua hadith ini, tetapi tidak menta'wilkan hadith jariyah, maka inilah namanya tahakkum iaitu Qaul biladalil (pendapat yang tidak disandarkan kepada dalil). Berhati-hatilah kamu dengan firman Allah SWT kepada orang Yahudi:

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian kendungan kitab dan kafir (tidak beriman) kepada sebahagian yang lain?" [Surah Al-Baqarah: 85]

Dikatakan lagi kepada mereka: "Apakah yang kamu katakan tentang firman Allah SWT:

"Di mana-manapun kamu menghadapkan wajahmu, maka kamu akan mengadap 'wajah'/Zat Allah?" 
[Surah Al-Baqarah: 115]

jika kamu menta'wilkannya, tetapi tidak menta'wilkan hadith Jariyah, ini menunjukkan keadaan yang tidak ada penderian dalam hal boleh tidak bolehnya ta'wil ini. Ahl al-Ilm telah membawa riwayat yang Mujahid, murid kepada Ibn Abbas telah mentafsirkan kalimah 'Wajah Allah' di sini dengan 'Kiblat' Allah. Ia merujuk kepada solat sunat dalam musafir di atas kenderaan."

oleh:putera tasawuf