ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Dasar Pertahanan Negara (HANRUH)


Sejak tahun 1986 HANRUH merupakan salah satu strategi pertahanan negara. Pada tahun 1990an usaha-usaha untuk melaksanakan konsep HANRUH dimulakan tetapi tidak dapat direalisasikan. Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada September 2006 telah memutuskan konsep ini direalisasikan dan Majlis Keselamatan Negara merupakan agensi pelaksana bagi tujuan ini.

Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH dapat didefinasikan sebagai satu bentuk pertahanan yang melibatkan secara menyeluruh dan bersepadu agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan serta rakyat jelata dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara. Ini bermakna dalam usaha mempertahankan negara, semua rakyat jelata akan terlibat. Sekiranya negara diserang, musuh bukan sahaja berdepan dengan sebilangan anggota tentera tetapi ia akan berdepan dengan 27 juta rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, negara perlu membina keupayaan untuk mengembeling 27 juta rakyat Malaysia untuk menghadapi sebarang ancaman serta juga semasa suasana bencana alam.


Pertahanan menyeluruh juga penting untuk keselamatan negara. Rakyat seharusnya bersama memastikan keselamatan negara terjamin, aman, sejahtera serta harmoni kekal berpanjangan. Semua jentera negara, sektor swasta dan badan-badan berkanun perlu dipastikan agar konsep ini kekal dijalin demi kedaulatan negara. Oleh yang demikian konsep HANRUH ini tidak terbatas mengenai isu-isu pertahanan atau pun unsur-unsur ketenteraan tetapi juga sebagai elemen untuk menerapkan konsep keselamatan negara secara lebih luas.


Berdasarkan rasional ini adalah penting bagi setiap rakyat diberi kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menjamin keutuhan serta kedaulatan negara. Semangat dan minda mereka perlu dibentuk sebegitu rupa bagi menentang sebarang cabaran dalam mengekalkan kebebasan dan kemerdekaan bangsa dan negara. Pembentukan pemikiran ini perlu disemai dan dipupuk secara berterusan.


Jika sebagai rakyat, mereka perlu memahami pentingnya konsep ini. Maka sebagai peneraju atau pemilik syarikat swasta, mereka akan bersama-sama diharapkan berupaya untuk merealisasikan konsep ini. Sektor swasta harus faham bahawa kesejahteraan negara juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan daya tahan sesebuah syarikat tersebut.
Pertahanan menyeluruh memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan pembangunan negara. Komponen HANRUH adalah meliputi seperti berikut;


i. Keutuhan Psikologi,
ii. Penyatuan dan Perpaduan Masyarakat,
iii. Kesiagaan Awam,
iv. Keutuhan Ekonomi dan,

v. Kesiagaan keselamatan


Lima komponen HANRUH yang telah dikenalpasti sebagai langkah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang penuh semangat patriotisme dan nasionalisme adalah:


Keutuhan Psikologi;
Penyatuan dan Perpaduan Masyarakat;
Kesiagaan Awam;
Keutuhan Ekonomi; dan
Kesiapsigaan Keselamatan.


Matlamat utama Keutuhan Psikologi adalah untuk mempersiapkan akal dan fikiran seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa bersedia dan komited untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan Negara. Objektif utama Keutuhan Psikologi adalah untuk melahirkan warga Negara yang mempunyai sifat:


patriotisme dan nasionalisme;
perasaan cintakan negara;
bangga menjadi rakyat Malaysia;
sanggup berkorban demi negara;
muhibah, perpaduan dan integrasi nasional; dan
bermaklumat.


Peranan Penyatuan dan Perpaduan Masyarakat pula adalah untuk melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan harmonis, tanpa mengira perbezaan status, kaum, agama, budaya dan negeri kelahiran. Kemantapan integrasi nasional tanpa mengira perbezaan agama akan memacu Malaysia menjadi Negara yang harmoni. Untuk mewujudkan keadaan ini, ciri-ciri berikut hendaklah dipupuk di kalangan setiap lapisan masyarakat:


mengamalkan sikap penyayang;
toleransi;
mengamalkan sikap permuafakatan;
berkongsi matlamat dan wawasan yang sama;
mengamalkan nilai-nilai murni; dan
menghormati perbezaan agama.


Pelaksanaan komponen ini haruslah selari dengan komponen-komponen HANRUH yang lainnya. Oleh sebab itu, pelaksanaan komponen Penyatuan dan Perpaduan Masyarakat ini perlulah dipupuk sedari awal untuk melahirkan rasa persefahaman dan bertoleransi dalam kepelbagaian nilai dan budaya lain. Komponen ini memainkan peranan penting dalam menjamin perpaduan dan integrasi national tetap utuh dan tidak terancam. Setiap masyarakat seharusnya sedar dan memahami bahawa setiap apa yang diperkatakan di atas adalah demi keutuhan Negara tanpa megira kepentingan individu, perbezaan sosio budaya, perbezaan idealogi dan kelompok-kelompok tertentu.


Kesiagaan Awam pula memberi fokus dalam dua bidang:


menyediakan kemudahan perlindungan nyawa dan harta benda; dan
menentukan keselamatan dan bekalan kemudahan asas yang berterusan sama ada di dalam keadaan perang, darurat atau bencana.
Untuk mencapai objektif tersebut, strategi pelaksanaan adalah dengan menubuhkan:


Kumpulan penyelamat dan bantuan kecemasan;
Kumpulan Pemadam kebakaran; dan
Kumpulan mengagih dan membekal makanan.
Agensi induk untuk mengkoordinasikan semua aktiviti dan pelaksanaan program kesediaan awam adalah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Malaysia dan persatuan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John's Ambulance.

Untuk memperkasakan kesiagaan awam, penyertaan dari badan-badan sukarela adalah penting. Ini kerana, setiap warga negara dapat memahami peranan masing-masing apabila berlaku kecemasan, konflik, bencana bahkan semasa berlakunya peperangan. Sehubungan dengan itu, untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi seperti sanggup menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah melalui penglibatan secara langsung dalam badan-badan sukarela. Adalah penting untuk memupuk kesedaran tersebut bermula dari bangku sekolah dan diperluaskan sehingga ke alam pekerjaan. Penglibatan aktif masyarakat dalam badan-badan beruniform seperti Anggota Pasukan Simpanan akan meningkatkan semangat jati diri.

Manakala bagi komponen Keutuhan Ekonomi pula, tujuannya adalah untuk menjamin kemakmuran ekonomi yang kukuh dan kompetatif sentiasa berkekalan. Tiga faktor utama Keutuhan Ekonomi ialah:


Penyimpanan stok bahan-bahan perlu;
Memastikan bekalan makanan asas sebagai aset strategik Negara;
Memastikan kemudahan pengangkutan, tenaga dan sumber air tidak tergendala atau terancam.
Bagi melaksanakan program dan aktiviti selaras dengan tujuan di atas, strategi pelaksanaan merangkumi perancangan dan pelaksanaan dasar pertanian Negara untuk mengurangkan kebergantungan Negara kepada sumber-sumber dari luar dan mempelbagaikan hasil keluaran Negara. Satu penanda aras bagi menentukan aras bekalan makanan asas perlu ditetapkan untuk memastikan Negara sentiasa mempunya bekalan asas semasa mengalami konflik atau darurat. kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta sangat penting untuk meminimumkan gangguan, dan untuk mengelakkan suasana panik semasa darurat.

Manakala bagi komponen Kesiagaan Keselamatan pula, terdapat dua elemen utama di dalam, elemen-elemen tersebut adalah:


Keselamatan (kepolisan)
Ketenteraan
Matlamat utama elemen keselamatan (kepolisan) adalah untuk menjaga keselamatan awam, membantu agensi-agensi kerajaan, melindungi nyawa dan harta benda serta membantu dalam usaha-usaha peperangan. Manakala angkatan tentera berperanan untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Negara. Mereka haruslah berupaya dan dilengkapi dengan persenjataan yang canggih dalam usaha untuk membantu pihak berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang, menjaga ketenteraman awam dan membantu Negara semasa mengalami sebarang bencana.

Pelaksanaan komponen-komponen HANRUH ini adalah saling berkaitan di antara satu sama lain. Walaupun beberapa aspek di dalam konsep HANRUH sudah pun sedia wujud dan telah dilaksanakan di Negara ini, ia perlu diselaraskan dan diperkukuhkan lagi secara bersepadu. Pelaksanaan konsep ini memerlukan penerimaan dan komitment semua pihak. Dengan pelaksanaan konsep ini, pertahanan negara adalah menjadi tanggungjawab semua pihak. Justeru, pertahanan Negara akan menjadi lebih bersepadu, kukuh dan terjamin.