ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Prolegomena to the Metaphysics of Islam Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas



Prolegomena to the Metaphysics of Islam Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas

OLEH: UGI SUHARTO

Antara isi kandungannya ialah:
a) Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality
b) The Meaning and Experience of Happiness in Islam
c) Islam and The Philosophy of Science
d) The Nature of Man and The Psychology of the Human Soul
e) The Intuition of Existence
f) On Quiddity and Essence
g) The Degree of existence


a) Peri Ilmu dan Pandangan Alam
b) Peri Tanzil dan Kesatuan Agama
c) Peri Ilmu dan Adab
d) Perihal Bahasa dan Istilah Kunci
e) Perihal Akhlak dan Kesejahteraan
f) Perihal Perubahan, Pembangunan dan Kemajuan

Prolegomena to the Metaphysics of Islam (Mukadimmah kepada metafizik islam) adalah sebuah karya mutakhir Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Buku ini bertujuan menjelaskan kembali dasar-dasar penting dalam pandangan hidup Islam yang dipanggil sebagai Islamic worldview. Dasar-dasar ini pada hari ini telah dicemari oleh pandangan hidup Barat seKular(Western Secular Worldview). Menurut beliau apa yang dipanggil sebagai Islamic worldview ini tidak tepat dialih bahasa ke dalam bahasa arab semasa sebagai nazrat al- Islam li ‘l-kawn. Alasannya, Islamic Worldview bukanlah berdasarkan spekulasi falsafah atau penemuan sains yang akan berubah dengan perubahan paradigma. Islamic worldview lebih bermaksud ru’yat al-islam li’l-wujud atau pandangan Islam terhadap hakikat dan kebenaran semesta . Ia berlandaskan wahyu dan agama yang diperkukuhkan dengan akal hati dan intuisi. Islam sebagai agama wahyu sejak dari awal lagi telah mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan. Ia tidak seperti agama –agama lain yang memerlukan sejarah panjang untuk berkembang sehingga menjadi sebuah institusi baru yang seakan-akan mencapai tahap kesempurnaan. Oleh itu gagasan sociology of Religions tidak sesuai untuk agama islam. Gagasan ini cuba disebarluaskan oleh para orientalis dengan tujuan menyamakan agama islam dengan agama-agama kultur lainnya.


Di antara unsur-unsur penting dalam Islamic worldview yang tidak mengalami perubahan adalah pengenalan(ma’rifah) terhadap sifat-sifat Tuhan, hakikat wahyu(al-Quran), hakikat alam semesta , hakikat diri manusia, hakikat ilmu, hakikat agama, hakikat kebebasan, hakikat nilai dan akhlak, dan hakikat kebahagiaan. Pada hari ini hakikat-hakikat ini telah dikaburkan oleh falsafah dan tamadun Barat, sehingga umat islam menjadi keliru dalam memahami agama mereka sendiri. Dalam buku ini, Prof al-Attas menghuraikan secara terperinci pengertian dan kandungan Islamic worlview diatas dan membersihkannya dari kekaburan akibat falsafah Barat itu.

Di dalam mukaddimahnya ,Prof al-Attas telah menyentuh suatu isu penting yang mungkin belum dirasai bahayanya oleh kalangan ramai, tetapi telahpun diserap oleh sebahagian pemikir dan intelektual Muslim. Isu ini adalah berkenaan dengan fahaman Transcedent Unity of Religions yang digagaskan di Barat. Menurut beliau , walaupun disana seolah-olah ada semacam kesamaan antara agama-agama, seperti konsep ketuhanan agama- agama lain dengan sifat-sifat Tuhan ajaran Islam , kesamaan yang Nampak ini bukanlah merupakan bukti akan adanya persamaan pengenalan terhadap sifat Tuhan Semesta Alam Yang Esa. Ia tidak membuktikan adanya penyatuan ataupun persamaan agama-agama diperingkat yang mereka panggil sebagai peringkat “transcendent” iaitu apabila peringkat yang dimaksudkan itu sebagai keadaan ontology di luar sepuluh kategori ilmu mantiq. Tuhan pada peringkat ini bukanlah tuhan yang diwahyukan dalam agama islam, kerana Tuhan pada peringkat ini adalah Tuhan yang mutlak, seperti konsep Tuhan golongan Jahmiyyah Mu’attilah yang telah ditolak umat islam sejak dahulu lagi. Pada peringkat ini Tuhan tidak dapat dikenali sifat-sifat –Nya, dan pada peringkat ini agama tidak tidak ada lagi. Bagaimana agama-agama boleh bersatu pada peringkat ini, sedangkan agama-agama di peringkat itu tidak ada sama sekali?


Apabila transcendent dimaksudkan sebagai keadaan kejiwaan pula, iaitu keadaan yang berhubungan dengan pengalaman dan kesedaran individu yang melampau keadaan kejiwaan masyarakat awam, maka persamaan dan kesatuan pengalaman individu-individu pada peringkat itu sebenarnya bukanlah agama. Ia tidak lebih hanya sekadar pengalaman dan kesedaran agama yang telah dicapai oleh segelintir individu semata-mata. Ia bukanlah agama itu sendiri, kerana tujuan agama itu boleh turut dicapai dan dialami oleh manusia umumnya. Oleh kerana manusia pada umumnya tidak boleh mencapai tahap yang mereka panggil sebagai transcendent itu, maka penyatuan dan persamaan agama-agama itu sebenarnya tidak ada. Sebagai kesimpulan kepada isu ini, Prof al-Attas menegaskan bahawa faham ini dengan kata-katanya “ 

The phrase ‘trancendent unity of religions’ is misleading and perhaps meant to be so for motives other than the truth”.


Mukaddimah setebal tiga puluh Sembilan halaman adalah merupakan intisari kepada tujuh bab yang beliau huraikan dalam buku ini. Kandungan mukadimahnya itu juga merupakan satu bab yang tersendiri dan sarat dengan nilai sebagai sebahagian daripada buku setebal tiga ratus lima puluh lapan muka surat itu. Prof al-Attas membuka buku ini dengan perbincangan mengenai konsep faham agama ; The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality. Dalam bab ini beliau meneliti aspek semantic istilah Din(religion,agama) yang mempunyai kaitan erat dengan perkataan dayn yang bermakna “Hutang.” Hutang manusia yang paling mendasar adalah hutang kewujudannya di dunia ini. Oleh itu seluruh kehidupannya adalah hutang yang perlu dibayar dan dijelaskan. Ianya hanya akan terlaksana menerusi “pengembalian” hidupnya dengan jalan perhambaan( ibadah) dan penyerahan total (istislam) kepada Tuhan . Penyerahan hidup (aslama) inilah yang dikehendaki oleh agama(din). Di sini tampaklah hubungan antara perkataan aslama,yang daripadanya timbul perkataan islam,dengan perkataan din.

Hubungan dua hala ini juga membuktikan bahawa islam itu adalah Din, dan Din itu hanyalah islam. Sesungguhnya di sisi Allah, al-Din adalah al-islam. Oleh itu islam bukanlah sekadar kata kerja yang bermakna “pasrah” atau “menyerah”, tetapi islam juga adalah nama agama dan takrif agama itu sendiri. Terdapat terjemahan al-Quran kedalam bahasa inggeris pada hari ini yang mengalihbahasakan setiap perkataan al-Islam dalam al-Quran sebagai self-surrender unto God, sedangkan penggunaan istilah al-Islam itu juga merujuk kepada nama khas bagi agama islam, seperti dalam firman Allah : inna al-din ‘inda Allah al-islam. Oleh itu konsep agama ini sangat penting dicerna kembali oleh para intelektual Muslim agar tidak dikaburkan oleh pelbagai faham yang cuba mengelirukan agama islam, dan menamakan agama kepada sesuatu yang bukan agama yang sebenarnya.

Bab kedua memberi tumpuan mengenai The Meaning and experience of Happiness in Islam. Kebahagiaan dalam perspektif Islam diungkapkan dengan istilah sa’adah yang lawannya adalah shaqawah. Ia meliputi dua dimensi iaitu akhirat dan dunia. Kebahagiaan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat dimana peringkat yang paling tinggi adalah melihat wajah Allah yang dijanjikan kepada mereka yang melaksanakan perintah-perintah –Nya dan menjauhi segala larangan –Nya . Adapun kebahagiaan di dunia ini meliputi tiga aspek ;aspek kejiwaan, aspek keragaan, dan aspek luaran yang mempengaruhi jiwa dan raga . Bab yang kedua ini sangat penting untuk difahami demi menangkis faham Barat tentang konsep tragedy yang menjadi aspek utama dalam worldview mereka.

Bab ini juga mengaitkan pengertiaan kebahagiaan dengan konsep kebebasan(freedom). Menurut beliau, istilah kebebasan dalam pandangan islam bukanlah hurriyah tetapi ikhtiyar yang berasal dari kata khayr yang bermaksud memilih yang terbaik. Usaha memilih yang terbaik inilah yang dinamakan pelaksanaan kebebasan itu sendiri. Ikhtiyar telah mengambil kira aspek pengetahuan dan pengenalan akan baik dan buruk. Oleh itu memilih keburukan bukanlah suatu kebebasan, kerana ianya didasari oleh kejahilan dan pengaruh jiwa kebinatangan . Orang yang memilih jalan keburukan dan kejahatan sambil mendakwa yang mereka juga mencapai kebahagiaan, tidak ubah seperti haiwan yang juga merasai kebahagiaan di peringkat yang rendah ini. Di dalam bab ini juga Prof al-Attas menolak faham secularism yang mendakwa bahawa kebahagiaan tidak ada hubungan dengan tingkah laku yang baik dan nilai-nilai akhlak dan ruhani yang tinggi.

Islam and the Philosophy of science diletakkan pada bab yang ketiga dalam buku ini. Sains, menurut beliau ,tidak neutral. Ia sebenarnya memihak dan bergantung kepada tafsirannya. Pada hari ini falsafah moden menjadi penafsir kepada sains dan menentukan arah perjalanan sains itu dalam mengkaji alam ini. Penafsiran dan arah sains inilah yang perlu diberi penilaian secara kritikal menerusi pandangan Islam. Menurut Prof al-Attas, sains pada hakikatnya adalah salah satu bentuk ta’wil terhadap materi-materi alam tabi’i. Apabila materi-materi ini dipandang oleh sains sentiasa mengalami proses perubahan, maka para ahli sains menganggap bahawa perubahan itu adalah segala-galanya. Mereka tidak setakat mengatakan bahawa hakikat alam ini adalah perubahan,bahkan mendakwa bahawa hakikat kewujudan itu sendiri adalah perubahan. Dalam pandangan hidup Islam, hakikat kewujudan itu adalah perubahan dan sekaligus ketetapan, bukan dalam arti perubahan yang berterusan . Di sinilah peranan metafizik Islam menentang falsafah Barat yang menafsirkan sains dengan tafsiran secularism yang membuang makna-makna ruhani dari alam tabi’i ini.


Apabila secularism sebagai program falsafah telah menjadi penafsir kepada fakta alam tabi’I, maka sains tidak boleh dikatakan lagi sebagai pihak tidak berpihak. Kini sains moden berpihak kepada secularism dan tidak berpihak kepada agama yang benar . Sains moden bukan sahaja telah menceraikan diri dari agama, bahkan telah dijadikan alat untuk menentang agama. Orang-orang yang masih berpegang dengan ajaran agama dan sekaligus menjadi ahli sains menghadapi dilemma. Di Barat orang-orang ini terperangkap dengan falsafah dualism. Dua aliran falsafah ini, secularism dan dualism ,sentiasa menghantui sains moden. Ianya bukan sahaja dialami oleh Barat, bahkan telah menyerap ke dalam pemikiran golongan terpelajar umat islam. Ketika inilah golongan ini perlu kembali meneliti warisan intelektual Islam silam, terutamanya mengenai metafizik Islam untuk menyelaraskan kembali sains dan agama yang telah bercerai. Oleh itu bab yang membincangkan tentang Islam dan falsafah sains dalam buku ini sangat berguna untuk ditelaah oleh para intelektual muslim supaya mereka tidak terjebak ke dalam faham melampau scientism, ataupun fahaman melampau orang-orang kristian di Barat dahulu yang sama sekali menolak sains ataupun dalam keraguan dualism.

Dalam bab yang keempat Prof al-Attas membincangkan The Nature of Man and the Psychology of Human Soul. Perbincangan dalam bab ini didasarkan kepada keterangan –keterangan yang pernah diberikan oleh para ulama dan pemikir Islam seperti Ibn Sina dan Imam al-Ghazali, supaya perbincangan tentang jiwa manusia tidak terkeluar dari landasan tradisi Islam. Istilah-istilah seperti al-Qalb, al-Nafs, al-Ruh dan al-Aql yang dibahas oleh Imam al-Ghazali diungkap kembali di dalam bab ini. Begitu juga konsep jiwa Ibn Sina mengenai alam tumbuhan , haiwan dan manusia dipaparkan kembali.

Konsep dan istilah ilmu jiwa Islam yang selama ini telah ditinggalkan oleh orang Islam sendiri, dibentangkan semula dan disegarkan kembali di tengah-tengah pengaruh ilmu jiwa moden. Pada dasarnya ilmu jiwa moden menafikan dan menolak kewujudan jiwa kerana terpengaruh dengan program falsafah Secularism. Bab ini juga amat penting dalam memahami epistemologi Islam. Kerana menurut Prof al-Attas , ilmu adalah kehadiran makna dalam jiwa dan juga kehadiran jiwa kepada makna. Oleh itu dalam proses penerimaan ilmu, jiwa bukanlah penerimaan pasif, tetapi ianya juga aktif dalam persediaan dan persiapan untuk sampai kepada makna. Inilah kaitan antara jiwa dan ilmu. Bab ini sangat berguna sekali bagi para pemikir muslim agar mereka kembali kepada kerangka tradisi keilmuaan mereka sendiri dalam menafsirkan hakikat jiwa dan juga akal manusia.

Empat bab awal di dalam buku ini mungkin dipersiapkan untuk menyongsong tiga bab berikutnya yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada metafizik Islam. Pembacaan dan kefahaman yang mendalam akan empat bab yang awal ini sangat penting untuk memahami bab-bab seterusnya iaitu , The Intuition of Existence, On Quiddity and Essence, dan The Degrees of Existence. Perbahasan tentang “ wujud” (Existence) yang merupakan fasa perbincangan yang paling tinggi dalam pemikiran manusia yang telah menjadi bahan kajian terperinci para ulama kita dahulu disentuh dengan mendalam oleh Prof al-Attas . Dalam tiga bab yang terakhir ini beliau membicarakan dengan panjang lebar pendirian tiga golongan yang merupakan jurubicara pemikiran Islam tentang falsafah kewujudan iaitu Mutakallimun, Hukama’ dan Ahlu Tasawwuf. Pendirian para ahli tasawwuf yang beliau anggap sebagai Muslim Metaphysicians menurut beliau adalah yang paling tepat dalam mengungkapkan dan memaparkan hakikat kewujudan itu. Semua perbincangan itu tentunya berdasarkan kepada al-Quran, al-Hadith, dan pengalaman ruhani mereka yang dinalar dengan analisis intelektual yang tinggi.
Buku ini diakhiri dengan sebuah epilog setebal sebelas muka surat tentang tafsir dan ta’wil akan makna penciptaan alam semesta dalam enam masa. Dengan merujuk kepada pandangan-pandangan Enam Maratib Kewujudan yang didasari oleh pendapat Ibn Arabi, Prof al-Attas telah berjaya menjelaskan pengertian ayat mutashabihat yang sukar difahami itu.

Sebenarnya kandungan buku ini terlalu padat dan sarat dengan mutu. Oleh itu apa yang dipaparkan dalam tulisan ini hanyalah secebis dari isi yang sangat berharga ini. Penulis merasa terlalu kerdil untuk mewakili apa yang dimaksudkan oleh pengarang karya agung ini. Biarlah para pembaca sendiri yang merasai dan menikmati kedalaman dan keindahan ungkapan-ungkapan tanpa perantara. Biarlah para pembaca sendiri yang merasai kekuatan hujah-hujah yang diutarakan untuk meluruskan pemikiran-pemikiran yang bengkok pada hari ini. Selain kandungannya yang bernilai di mata hati. Zahir buku ini pun menarik pandangan mata kasar. Sampul tebal berwarna hijau muda yang disadur dengan tulisan emas, melambangkan keserasian jilid dan isi. Buku ini didedikasikan kepada ISTAC, sebuah bibit yang diberi baja dengan doa dan diserahkan kepada Tuhan , diharapkan nantinya institusi ini akan menjadi pohon yang rendang, akarnya tertanam menghujam di bumi dan dahannya menjulang tinggi ke angkasa.