ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

40 Tokoh Ulama' Johor

40 Tokoh Ulama Johor

Abd Latif Juffri @ Al-Jufri/Masnorindah Mohd Masry
Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor


Buat julung kali, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor berjaya menerbitkan buku, 40 Tokoh Ulama Johor bertujuan untuk memperingati sumbangan ulama tersohor negeri itu yang sama-sama bertanggungjawab menyumbangkan ilmu melalui sistem pendidikan agama di negara ini.

Buku setebal 180 halaman berharga RM100 sebuah yang ditulis oleh Abd Latif Juffri @ Al-Jufri dan Masnorindah Mohd Masry itu merupakan siri pertama menghimpunkan 15 orang tokoh ulama dan baki 25 orang tokoh lagi akan diterbitkan Jun depan.

15 tokoh ulama yang ditampilkan dalam buku siri pertama itu, seperti Dato’ Syed Hassan Ahmad al-Attas, Syed Syeikh Al-Hadi, Syekh Tahir Jalaludin, Dato’ Hj Abdullah Abd. Rahman, Kiai Haji Fadhil al-Banteni, Haji Abu Bakar bin Hassan al-Muari, Dato’ Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, Ustaz Hj Mohd Yassin Mohammad (Bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin) , Kiai Haji Ahmad Shah, Dato’ Kiai Hj Samsudin Redwan, Dato’ Hj. Ismail Bin Omar Abdul Aziz, Tan Sri Abdul Jalil bin Hassan, Ustaz Hj Md. Lazim Saim, Panglima Kiai Salleh dan Dato’ Haji Omar bin Muhammad Yusuf.

Pengarangnya, Abd Latif Juffri, berkata buku yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan itu menghimpunkan 40 tokoh ulama Johor seawal tahun 1832 hingga 1921. Antara kandungan utama buku itu termasuk menjelaskan ketokohan ulama silam yang meninggalkan deligasi pemikiran, cara hidup, keterampilan dan mewariskan ilmu melalui sumbangan dalam bidang dakwah, pendidikan dan karya penulisan.

Beliau berkata, buku yang sesuai dimiliki dan menjadi rujukan perpustakaan awam, perpustakaan IPT dan sekolah-sekolah itu turut menjelaskan mengenai kesempurnaan pendidikan agama di Johor yang tersusun seawal tahun 1895.

Istimewanya buku itu kerana di dalamnya ada menjelaskan mengenai perjuangan aliran Ahli Sunah Waljamaah yang pernah bersaing dengan perjuangan Kaum Muda yang didokong oleh tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh Al-Hadi (1864-1931) dan Syekh Tahir Jalaluddin (1869-1956)”

“Turut dipaparkan mengenai perjuangan guru-guru aliran pondok tradisional termasuk bapa kepada Timbalan Perdana Menteri sekarang, iaitu Tuan Guru Haji Mohd. Yassin bin Muhammad pada sekitar tahun 1898 hingga 1975” katanya.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan buku berkenaan timbul selepas beliau memenangi anugerah khas untuk buku Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor dalam pertandingan Anugerah Media Islam Negara (Amin) 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Oktober tahun lalu.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor, Samsudin Samudi, berkata ulama Johor yang diabadikan dalam buku berkenaan tidak terkecuali daripada kelompok ilmuan Islam tersohor yang bertanggungjawab menabur benih iman dan Islam.

“Mereka seterusnya menyubur dan menyumbangkan ilmu melalui siistem pendidikan agama yang paling tersusun di negara ini”

“Ia bermula seawal tahun 1895 dikenali dengan Sekolah al-Quran, Sekolah Kitab, sekolah Pondok, Sekolah Arab dan sekolah agama kerajaan Johor yang kemudian berkembang melalui proses pemodenan negeri ini” katanya.

Buku yang wajar dimiliki oleh semua pencinta ilmuan Islam itu bertuah apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin melancarkan buku itu sempena program Multaqa Ulama dan Ilmuan Islam Johor yang berlangsung di Persada Johor baru-baru ini.

Sempena multaqa itu, sebanyak 1,000 naskah buku itu berjaya dijual kepada orang ramai. Pihak penerbit ketika ini sudah menerima lebih 2,000 tempahan, dan buku itu dalam proses untuk diulang cetak.

Kepada yang berminat boleh menghubungi Abdul Latif Jufri (012-735 1714).