ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Perlunya Terus Berfikir

Perlunya kita terus berfikir

Apabila Sharif Shaary memberitahu saya – :menurut pembacaannya, di kalangan manusia, hanya 10 peratus sahaja yang berfikir, saya terus percaya. Bukanlah percaya peratusan itu tepat, tetapi jumlah orang berfikir amat kecil.

Saya bersetuju dengan peratusan itu, kerana telah lama menganggap rakyat (tidak hanya Malaysia) terbahagi dua, iaitu rakyat konkrit dan abstrak. Pilihan raya misalnya ialah medan untuk rakyat abstrak memilih kerajaan. Jika kita adakan pilihan raya, hanya 10 peratus pengundi guna pemikiran kritis, analitis dan logik ketika guna ‘kuasa’ mereka, yang lainnya tidak berfikir - sekadar mengizinkan isi-isi kempen yang selalunya bersifat propagandistik mempengaruhi tindakan mereka.

Pengundi tidak berfikir dapat dianggap pengundi yang tiada, ada hanya undinya kerana dapat dihitung. Rene Descartes (1596 – 16 50) menyebutkan ”:i think, therefore i exist:.” (Saya berfikir, oleh itu saya wujud.) Seseorang tidak berfikir, samalah dengan ketiadaan (tidak wujud, abstrak). Jika dia mengundi, undi itu bukanlah undinya, tetapi undi rakyat abstrak. Hukum Anjakan Makna mengatakan begitu.

Bukan maksud saya pengundi Malaysia tidak berfikir. Ini bicara teoritis, iaitu akan tiba pada kesimpulan, setiap penglibatan dalam sesuatu lapangan, seharusnya sentiasa diiringi pemikiran. Sharif Shaary mengimpikan keadaan agar 90 peratus daripada manusia ialah kumpulan yang berfikir. Pada masa ini, mengikut tanggapan Sharif, kumpulan yang menjadi pemimpin ialah 10 peratus yang berfikir itu, manakala 90 peratus tidak berfikir sedang menjadi pengikut. Sharif mahu, 90 peratus jadi pengikut itu ialah rakyat berfikir.

Hasrat Sharif hanya dapat direalisasikan jika rakyat rajin membaca, dan para pemikir itu pula rajin hasilkan buku. Cara lain ialah dengan memperbanyak seminar, forum, simposium dan seumpamanya. Majlis ilmu begitu akan menyebabkan minda peserta terbuka, terdedah pada soalan yang disebut Sharif, WH Questions - What, Who, When, Where, Which, Why dan How. Soalan-soalan ini sentiasa ada dalam minda yang aktif berfikir.

Orang tidak berfikir sentiasa terdedah pada kelemahan segala bidang. Apa-apa yang dikatakan orang dipercayai belaka. Fikiran sendiri pun sentiasa ‘mudah’. Jika kita tertinggal barang di dalam kereta orang, kita terus menyimpulkan akan dapat semula. Padahal, secara logiknya, ia sudah 50 peratus kemungkinan hilang.

Kita mungkin mengatakan jika kerajaan bertukar, kita akan lebih senang atau bahagia. Sebenarnya ada 50 peratus kemungkinan betul, dan 50 peratus kemungkinan silap. Dengan anggapan begini kita tidak akan berasa hampa jika kerajaan baru itu (jika bertukar) tidak sebaik kerajaan yang lama. Oleh itu, ketika memikirkan perubahan atau atau pengekalan, setiap kita hendaklah berfikir bersandarkan WH Questions.

Segala yang akan kita pilih, sebenarnya terdedah pada kemungkinan. Namun kita hendaklah terus berfikir, tidak sama orang berfikir dengan yang tidak. Pengalaman ialah guru terbaik bagi pemikir.

Sumber: sinar harian 12 Disember 2010