NASIHAT KHAS BUAT AHLI-AHLI TARIQAT~
Oleh : Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Professor Dr. Awang Hj. Mahmud Saedon B. Awang Othman
Mantan Pakar Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam
Mantan Naib Canselor Universiti Brunei Darul Salam
Mantan Professor Universiti Islam Antarabangsa
Mantan Dekan Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengajaran ilmu tasawuf dan ilmu tariqat di alam Melayu ini telah lama bertapak dan tersebar luas, ianya mendapat perhatian daripada masyarakat Islam rantau ini, ianya menarik minat berbagai golongan seperti golongan istana, ulama’, bangsawan mahupun rakyat jelata. Pergeseran di antara ulama’ tasawuf dengan ulama’ lain khususnya fuqaha’ adalah merupakan suatu lumrah dan sentiasa berlaku, bukan sahaja di rantau ini malahan perselisihan pendapat golongan-golongan ini berlaku di seluruh alam Islami.
Hingga hari ini masih terdapat golongan-golongan yang menentang perjalanan tareqat di rantau ini, dalam masa yang sama tidak kurang pula yang berusaha dengan giatnya mengembangkan tariqat. Penentangan ini adalah lahir dari beberapa faktor. Di antaranya ialah kerana kejahilan tentang tariqat, atau didorong oleh perasaan cemburu atau kerana lahirnya beberapa amalan dan tradisi yang bertentangan dengan syariat. Hal ini boleh berlaku kerana wujudnya orang-orang yang jahil mengaku sebagai pemimpin tariqat, berlagak sebagai “syeikh mursyid”, malahan ada di antara mereka yang mendakwa telah sampai kepada martabat wali dan mendakwa memiliki keramat-keramat yang zahir walaupun pada hakikatnya ini adalah suatu fitnah terhadap perjalanan tariqat dan yang lahir itu pada hakikatnya bukan keramat tetapi hal-hal yang mencarik adat yang lain seperti sihir, istidraj dan juga amalan-amalan kebatinan dengan menggunakan pertolongan jin dan syaitan. Seperti yang kita maklumi bahawa bukan semua yang mencarik adat ini adalah keramat atau mukjizat.
Sebagai natijah, tariqat telah dicemarkan oleh golongan-golongan ini, diperkecilkan oleh golongan-golongan sememangnya tidak menyukai perjalanan tariqat dan ditentang oleh mereka-mereka yang jahil atau degil terhadap kebenaran tariqat dan tidak kurang pula wujudnya golongan yang menjadikan tariqat sebagai pintu rezeki yang menguntungkan. Ini bermakna perjalanan tariqat yang sebenar yang suci murni telah dirosakkan. Keunggulan perjalanannya telah dikotorkan. Sikap menentang kebenaran perjalanan tariqat hendaklah dihapuskan, penyelewengan yang dilakukan oleh petualang-petualang dan orang-orang yang mengambil kesempatan dari perjalanan tariqat hendaklah didedahkan dan dicegah jangan sampai terus merosakkan tariqat, kejahilan tentang tariqat hendaklah dibanteras.
Golongan yang menjalankan pentadbiran Agama Islam hendaklah mengetahui tentang ilmu tasawuf dan tariqat ini supaya segala keputusan dan pendapat mereka tidak bertentangan dengan kebenaran dan menampakkan kejahilan mereka. Dengan cara demikian, kebenaran, kesucian dan keunggulan tariqat dapat dipertahankan, supaya ianya benar-benar utuh dan kuat sebagai jalan menuju Allah. Malahan perjalan tariqat hendaklah digalakkan, disokong dan didukung supaya masyarakat Islam di rantau ini dapat berjalan menuju Allah S.W.T dan bermusyahadah, muraqabah, riadhah dan tarbiah roh, akal, hati serta jiwa dengan cara yang sempurna dapat diwujudkan melalui pimpinan dan bimbingan ulama’ Amilin Arifin Mursyidin yang menjadi pewaris Nabi-Nabi a.s.